BAYANGAN GURAUAN
Teaser 05
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 15 September 2015
** ALHAMDULILLAH.. Bayangan Gurauan sudah diterbitkan pada Januari 2017 under Alaf 21 / Karangkraf & kini sudah berada di pasaran.. Anda boleh dapatkannya melalui belian secara online di Karangkraf Mall, melalui Whatsapp, di outlet Karangkraf & juga di kedai-kedai buku berhampiran anda.. Terima kasih semua yang setia dan sabar menanti BG selama lebih 3 tahun ini.. Salam sayang dari #HarrysIrish.... ^_^
Penilaian Purata:
(5 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
5628

Bacaan






BAB 5

IRHAN menuju ke bilik Irish setelah disuruh oleh Izzul untuk memanggil kakaknya yang berada di dalam bilik ketika itu. Dalam hati tertanya-tanya mengapa alongnya ke sini pagi-pagi Sabtu begini. Biasanya Sabtu petang atau malam baru lelaki itu pulang bersama keluarganya. Itu pun jika ada kelapangan. Sebaik tiba di hadapan bilik Irish, Irhan mengetuk pintu bilik. Beberapa saat kemudian, daun pintu dibuka dari dalam.

“Ya Irhan, ada apa?”

“Along panggil akak.”

“Hmm? Along? Eh! Kenapa pulak along datang pagi-pagi ni?” Irish sedikit terkejut. Lantas dikerling jam di dinding yang menunjukkan pukul 8.00 pagi ketika ini.

“Tak tahulah. Adalah tu hal penting dia datang nak jumpa akak,” balas Irhan sambil menjungkitkan bahunya.

Irish termenung seketika memikirkan hal apa yang begitu penting hingga membuatkan Izzul datang ke mari dalam waktu sebegini.

“Hey! Termenung pulak dia. Cepatlah! Along dah tunggu tu!” Irhan menepuk kedua belah tangannya di hadapan muka Irish bila melihatkan tiada reaksi dari kakaknya.

“Yelah, yelah. Kalau ya pun janganlah terkejutkan orang macam tu.”

“Habis, dok termenung kat situ buat apa? Orang dah tunggu dia dari tadi.”

Irish mengikuti langkah Irhan menuju ke meja makan di bahagian belakang rumah. Kelihatan Izzul sedang duduk bersembang dengan Encik Izzuddin dan Puan Qarina sambil menikmati sarapan pagi. Adik bongsunya, Irfan yang menuntut di UiTM Melaka tiada di rumah ketika ini disebabkan semester baru telah bermula.

“Along, dari mana? Dah lama sampai?” tanya Irish sambil menyalami lelaki itu lalu melabuhkan duduk di kerusi antara Izzul dan Irhan.

“Baru je tadi. Dari rumah terus ke sini.”

“Oh! Irhan kata along datang nak jumpa Irish. Ada apa, ya?”

“Kata dah start cari kerja. Dah ada yang bagi jawapan?”

“Adalah jugak. Tapi kebanyakannya offer bahagian sales and marketing. Tak berminatlah.”

“Hmm.... kesianlah company-company tu long kalau Kak Irish yang jadi marketing officer diorang! Bukan tak tahu kakak ni macam mana. Nak buka mulut dengan orang yang baru dia kenal pun susah, ni nak promote kat orang yang dia tak kenal? Memang tak jalanlah jawabnya!” tingkah Irhan membuatkan ketawa yang lain berderaian.

Irish sekadar mengukir senyum. Memang kebanyakan syarikat yang memberi jawapan menawarkannya jawatan sebagai eksekutif jualan dan pegawai pemasaran. Sudah tentu itu bukan bidangnya. Dah sah-sah jurusan yang diambil semasa menuntut di universiti dulu adalah bidang kewangan, bukan pemasaran atau jualan. Bak kata Irhan, memang kesianlah syarikat-syarikat tersebut kalau dia yang mengisi jawatan-jawatan itu.

“Tak apalah. Mungkin itu bukan rezeki Irish.” Encik Izzuddin yang sedari tadi diam mula bersuara memujuk anaknya.

“Yang tu bukan rezeki Irish. Tapi yang ini Insyaallah rezeki Irish mungkin,” ujar Izzul sambil menghulur sampul surat berwarna putih kepada adiknya. Irish menyambut huluran tersebut.

“Surat apa ni, long?”

“Kan along ada cakap nak tolong-tolong surveykan kerja untuk Irish. Lepas Irish bagi resume kat along hari tu teruslah along tanyakan kat kawan-kawan dengan client-client along kalau ada vacancies kat company diorang. Lupalah tu!”

Dahi Irish berkerut, cuba mengingati sesuatu. Ya! Memang dia ada menyerahkan resume pada Izzul tempoh hari. Hampir dia terlupa akan hal itu. Seraya dia menoleh pada Izzul sambil tersenyum.

Sorry! Lupa langsung!”

“Memang pun!” balas Izzul geram lantas menumbuk lembut pipi Irish. “Ni syarikat terawal yang bagi jawapan. Yang terawal jugak bagi surat suruh datang interview. Hari ni dengan esok along tak ada. Nak balik JB sebab sepupu Kak Long kahwin. Next week pulak along kena outstation empat hari, Khamis sampai Ahad. Ni yang along datang pagi-pagi nak bagi surat ni sebab interview ni hari Isnin minggu depannya. Takut tak sempat pulak nanti.”

“Syarikat mana ni, long?” tanya Irish yang masih meneliti surat yang diberikan oleh Izzul sebentar tadi.

“Syarikat keluarga kawan along masa kat U dulu. Kebetulan memang company along client tetap dia. So, sambil menyelam minum airlah!”

“Kat mana tu, long? Jauh ke?” celah Puan Qarina sedikit gusar

“Kat PJ jugak, umi. Umi tak payah risaulah. Kalau ada apa-apa pun, along ada dekat-dekat situ.”

“Habis Irish nak pergi interview tu dengan siapa? Tahu ke tempatnya?” soal Puan Qarina lagi.

“Tak apa. Nanti hari Isnin tu along minta cuti. Bolehlah along tolong hantarkan.” Izzul terlebih dahulu menjawab bagi pihak Irish. “Okaylah, along dah lewat ni. Gerak dulu. Takut lambat nanti sampai kampung Fiya. Ha Rish, Jangan lupa prepare mana yang patut sebelum interview nanti. Ni je yang along dapat tolong. Selebihnya kenalah usaha sendiri. Buatlah solat hajat sekali nanti minta dipermudahkan segalanya,” nasihat Izzul pada Irish sambil menyalami semua ahli keluarganya sebelum bergerak pulang.

“Insyaallah. Terima kasih ya, long.”

“Tak ada apalah. Bukan untuk orang lain pun. Untuk adik along jugak.” Izzul mengusap kepala Irish sebelum memeluk bahu gadis itu. Tidak tahu mengapa sejak kejadian dulu, rasa sayang dan tanggungjawab pada Irish serasa bertambah baginya. Bukan pada adiknya yang lain dia tidak ambil berat. Iman dan Irma sudah pun berkahwin dan bersuami manakala dua adik lelakinya sudah semakin dewasa dan tahu menjaga diri sendiri. Mungkin kerana Irish perempuan dan tiada tempat mengadu selain ahli keluarga. Lebih-lebih lagi adiknya itu seorang yang pendiam. Hanya dengan keluarga dan teman-teman rapatnya sahaja dia banyak bercakap dan boleh bergurau senda. Dengan orang lain, memang kena berusahalah untuk bercakap dengannya. Terutamanya dengan orang yang baru dia kenal dan tidak biasa untuk bergaul.

“Along minta diri dulu. Assalamualaikum!” laung Izzul dari dalam keretanya sambil melambaikan tangan dan terus bergerak keluar dari halaman rumah kedua orang tuanya itu.


JAM di pergelangan tangan direnung sekali lagi. Hampir ke pukul 2.30 petang. Sudah setengah jam dia duduk menunggu di bangku tepi tasik itu. Namun bayang Athirah masih tidak kelihatan. Malam tadi Athirah menelefon mengajaknya untuk keluar petang Sabtu itu memandangkan sudah lama mereka tidak berjumpa. Kali terakhir adalah sewaktu mereka keluar selepas tamat peperiksaan tempoh hari.

“Hai, Ira ni. Janji pukul 2.00. Ni dah 2.30 batang hidung pun tak nampak lagi. Takkan tertinggal kad matrik lagi kut!” Irish mengomel sendirian.

“Irish!”

Gadis itu menoleh bila seseorang menepuk bahunya dari belakang.

“Ira! Kau kalau tak kejutkan aku dari belakang, tak boleh ke?” gerutu Irish sedikit geram sambil mengurut dadanya kerana terkejut.

Sorry, sorry! Aku terlewat bangun tadi. Sorry!”

“Hmm. Ingatkan terlupa ada date hari ni.”

“Ishh, mana boleh lupa! Aku tidur lambat malam tadi. Eh, bukan malam! Lepas solat Subuh baru aku tidur. Tu yang terlewat sedar. Bangun-bangun dah pukul 1.30 petang. Apalagi! Macam lipas kudunglah jawapnya!”

”Kau buat apa sampai lepas Subuh baru tidur? Ingatkan time belajar dulu je stay up.”

“Aku buat surat dengan resumelah. Cari kerja. Kan aku baru balik dari kampung Jumaat minggu lepas. Tu yang baru nak start cari ni. Sambil-sambil tu chattinglah. Manalah tahu kut tersangkut sorang dua....,”

“....yang boleh buat calon. Kan?” belum sempat Athirah menghabiskan ayatnya, Irish sudah terlebih dulu menyambung. Athirah hanya tersengih di hadapan rakannya itu.

Sodah dapat belum?” soal Irish.

“Dapat apa?”

“Calon suamilah.”

“Adalah dalam dua tiga orang.”

“Hmm? Biar betul! Takkan sampai dua tiga orang kut?!”

“Tak apalah. Kalau yang sorang dah jadi steady boyfriend, yang lain boleh buat spare part. Kalau tak okay, tukar yang lain. Kan senang!” seloroh Athirah.

“Kan? Lepas tu, kalau diorang dapat tau, then kejar kau, macam mana?”

“Apa lagi? Main kejar-kejarlah!”

Serentak itu ketawa Athirah pecah. Seronok benar nampaknya gadis itu dengan jenakanya. Namun tidak sedikit pun mencuit hati Irish.

“Alaa.... relaxlah, Rish. Nanti ada lebih, bolehlah aku past kat kau.”

“Hmm.... tak payahlah. Simpan jelah buat spare part kau.”

“Apa salahnya? Kau pun bukannya ada boyfriend dari dulu. Kan?”

Irish hanya terdiam. Perlu ke dia menjawab? Hatinya bagaikan meronta-ronta ingin membalas kata-kata itu. Namun akal warasnya menghalang dari berbuat demikian. Dia tidak menyalahkan Athirah walaupun hakikatnya dia agak sedikit terasa kerana sepanjang belajar di universiti, memang dia tidak pernah bercerita kisah peribadi pada kawan-kawan. Baginya apabila berada di dalam universiti, hal yang berkaitan adalah tentang pelajaran sahaja. Hal peribadi tidak ada kena mengena lansung.

“Dahlah. Tak nak cerita pasal tu. So, kau dah dapat panggilan interview mana-mana belum?” seraya itu Irish menukar topik perbualan.

Athirah mengeluh perlahan. Faham benar dia yang rakannya itu pasti akan menukar topik jika hal berkaitan lelaki diutarakan. Dia sudah sedia maklum yang Irish memang tidak suka apabila berbincang berkenaan topik itu. “Belum lagi.”

“Tak apalah. Mungkin belum ada rezeki kau.”

“Kau?” soal Athirah.

“Dah.”

“Serius?? Bila?”

“Lagi seminggu.”

“Ya ke? Kat mana? Company apa?” bertalu-talu soalan Athirah pada Irish. Begitu teruja dia bila mengetahui rakannya itu sudah mendapat panggilan temuduga. Sedangkan dia baru sahaja ingin mencari.

“Kat PJ. Ni pun along aku yang tolong recommendkan. Company keluarga kawannya. Kira client dia jugaklah.”

“Wah! Bolehlah kau ngorat kawan abang kau tu!”

“Tak ada maknanya. Entah-entah dah kahwin.”

“Alaa.... kalau abang dah kawin, adik mesti ada!”

“Dah! Tak payah! Ingat aku macam kau, dua puluh empat jam asyik fikir pasal lelaki je.”

“Jangan. Masin mulut aku ni nanti, baru kau tahu!” Athirah masih tidak mahu mengalah.

“Tak payah nak beranganlah, Cik Athirah. Daripada melayan kau, lebih baik aku jalan-jalan kat tepi tasik tu. Cari makanan ke. Lagi bagus. Dahlah datang lambat. Dia yang ajak dating, dia yang lambat!” Irish sudah bangun dari bangku duduknya.

“Yelah, yelah. Aku yang salah! Okay, aku diam!”

Athirah turut bangun dan terus memaut bahu Irish sambil menunjukkan isyarat mengunci mulut, membuatkan ketawa Irish terburai jua akhirnya. Memang begitulah gelagat mereka apabila berjumpa. Ada sahaja yang dibahaskan. Selalunya Athirahlah yang kuat menyakat Irish. Dan apabila Irish mula marah atau merajuk, pasti gadis itu akan memujuk dengan lawak jenakanya.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku