BAYANGAN GURAUAN
Teaser 06
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 15 September 2015
** ALHAMDULILLAH.. Bayangan Gurauan sudah diterbitkan pada Januari 2017 under Alaf 21 / Karangkraf & kini sudah berada di pasaran.. Anda boleh dapatkannya melalui belian secara online di Karangkraf Mall, melalui Whatsapp, di outlet Karangkraf & juga di kedai-kedai buku berhampiran anda.. Terima kasih semua yang setia dan sabar menanti BG selama lebih 3 tahun ini.. Salam sayang dari #HarrysIrish.... ^_^
Penilaian Purata:
(7 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
5920

Bacaan






BAB 6 

BAYANGAN diri pada cermin panjang di hadapan ditatapnya penuh teliti. Sesekali dia membetulkan baju kurung moden yang tersarung di badan serta selendang di kepala agar kelihatan lebih kemas. Dia merasakan semuanya sudah elok, cuma kurang sempurna.

‘Ermm, apa ya?’ soalnya dalam hati. Dia merenung kembali cermin di hadapan, mencari kekurangan itu. Dari hujung kaki hingga ke atas, di pandang setiap sudut dengan teliti.

Okay! Dapat!” jarinya dipetik lantas dicapai kotak yang berisi alat-alat soleknya. “Patutlah tak berseri. Sekejap ya, aku bagi naik seri tu!”

Diambilnya eyeliner, blusher, dan lipstick dari dalam kotak tersebut lalu dicalit sedikit eyeliner di mata, sedikit blusher di pipi serta sedikit lipstick di bibirnya.

“Ha! Barulah berseri sikit. Ingat pengantin je nak ada seri!” pujinya sendiri. Dikemaskan kembali alat soleknya sebelum disimpan ke tempat asal. Terakhir sekali, dia mencapai blazerdan disarungkan ke badan.

Perfect!” Irish berpuas hati dengan penampilannya di hadapan cermin kini.

“Irish! Dah siap ke belum? Along dah sampai kat luar tu!” laung Puan Qarina dari luar biliknya.

“Dah, umi!” sahut gadis itu. Segera dia mencapai handbag serta failnya lalu keluar dari bilik. Sampai di dapur, dilihatnya Izzul sedang menjamah sarapan pagi. Ayah dan adiknya, Irhan seawal pagi lagi sudah pergi kerja.

“Minum dulu, Rish.”

Kedengaran suara Puan Qarina memberi arahan. Kemudian Irish memandang alongnya, seakan bertanya.

“Duduklah minum dulu. Awal lagi ni. Interview pukul 9.00 pagi. Sekarang baru pukul 7.30,” jawab Izzul sambil mengerling jam di tangannya. Hari ini Izzul serba ringkas berpakaian. Hanya mengenakan t-shirt dan jeansmemandangkan dia mengambil cuti semata-mata untuk menghantar Irish menghadiri temuduga. Sesudah menjamah sedikit sarapan, mereka meminta diri untuk beredar sambil menyalami Puan Qarina.

“Umi doakan Irish, ya.”

“Insyaallah. Umi sentiasa doakan yang terbaik untuk anak-anak umi. Jangan lupa banyakkan berselawat.” Puan Qarina membalas lantas mencium kedua pipi serta dahi Irish sebagai tanda restu seorang ibu untuk anaknya.

“Pergi dulu, umi. Assalamualaikum!”

“Waalaikumussalam. Hati-hati bawa kereta, long!” pesan wanita itu sambil melambai tangan sebelum kereta Izzul berlalu pergi meninggalkan halaman.

Kereta Hyundai Sonata yang dipandu Izzul menyusur di atas jalan raya bersama kenderaan yang lain. Pagi-pagi begini sememangnya jalan akan dipenuhi dengan kenderaan yang bersusun untuk menuju ke tempat kerja masing-masing. Lebih-lebih lagi hari ini adalah hari Isnin.

“Irish dah ready nak interview hari ni?” Izzul memulakan bicara setelah masing-masing diam membisu sejak berada di dalam keretanya.

“Dah. Insyaallah,” balas Irish ringkas. Dia duduk bersandar sambil merenung ke luar tingkap. Entah kenapa hatinya semakin berdebar-debar tatkala memikirkan temuduga yang bakal dilaluinya sebentar nanti.

Izzul mengerling sekilas Irish di sebelah. Melihatkan keadaan adiknya itu, dia tersenyum. “Rilex jelah. Tak payah nak fikirkan sangat. Cuma interview je. Masuk bilik, duduk, and then jawab je apa yang diorang tanya. Lepas tu keluar. Ada rezeki, adalah. Kalau kawan along tu yang jadi interviewer, memang Alhamdulillah jawabnya!”

Sepantas kilat Irish menoleh pada Izzul. “Kenapa?”

“Sebab dia tu memang sporting. And simple. Time belajar dulu pun dia memang macam tu. Tak ada nak buli-buli ke apa. Walaupun dia selalu jadi leader. Kalau dia rasa orang tu okay dan layak, dia takkan cakap banyak punya. Sebab tu semua orang suka cara dia. Cuma satu je yang dia pantang!”

“Apa dia?”

“Dia tak suka orang yang cakap besar dan berlagak. Itu paling pantang. Bukan takat dia je, semua keluarga dia macam tu. Walaupun keturunan diorang tu bukan calang-calang,” jelas Izzul dengan terang. Sekadar memberi peringatan kepada Irish, walaupun dia tahu adiknya bukanlah seperti itu.

“Along memang rapat dengan dia ke? Err.... maksud Irish kawan along tu. Siapa namanya?”

“Tengku Hafiy Daiem. Tapi kawan-kawan biasa panggil Hafiy je. Dia tak suka sangat orang panggil gelaran Tengku tu. Kecuali di pejabat memang terpaksalah. Sebab tu along boleh ngam dengan dia. Sejak study sampailah sekarang ni. Perangai pun lebih kurang sama jugak macam along. Dengan family dia pun along dah kenal. Selalulah jugak lepak rumah dia. Tapi time belajar dulu-dulu. Dah kahwin ni, jarang. Jumpa-jumpa macam tu je. Atau pasal kerja. Dia pun dah bertunang. So, masa tu agak terhadlah nak jumpa. ”

Irish mengangguk-angguk kepalanya mendengar cerita Izzul mengenai rakannya itu, yang juga merupakan anak kepada pemilik syarikat yang akan dia hadiri temuduga pagi ini. Kereta yang dipandu Izzul kini sudah memasuki Lebuhraya Persekutuan. Keadaan lebuhraya yang agak sesak ketika ini menyebabkan semua kereta bergerak sedikit perlahan. Dikerling jam di dashboard, kemudian jam di tangannya.

“Along rasa sempat ke sampai sana on time? Sekarang dah pukul 8.15. Dengan jammed macam ni,” Irish menyoal Izzul meminta kepastian. Bimbang dia sekiranya lewat sampai ke tempat temuduga seperti yang dijadualkan. Sudahlah baru hendak mencari kerja. Kalau sampai pun lambat, alamatnya masuk angin keluar asap sajalah.

“Sempat-sempat. Jangan risaulah. Duduk je diam-diam kat sebelah tu. Tahulah along macam mana.”

Izzul cuba menenangkan adiknya yang kelihatan resah. Sememangnya dia sudah biasa dengan keadaan sesak di lebuhraya itu. Dulu sebelum berkahwin dengan Safiya, jalan inilah yang selalu digunakan untuk berulang-alik dari rumahnya ke tempat kerja yang terletak di Petaling Jaya. Hanya selepas dia berkahwin dan berpindah ke kawasan berhampiran tempat kerjanya, tidak perlu lagi untuk dia menempuh keadaan sesak seperti ini setiap hari.

Tiga puluh lima minit berlalu, akhirnya kereta Izzul sudah berada di hadapan bangunan syarikat milik keluarga rakannya itu. Nasib baiklah dapat sampai awal. Dilihatnya Irish di sebelah sudah tergesa-gesa untuk keluar.

“Along, pergi dulu. Doakan Irish.”

Irish menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Izzul sebelum keluar dari kereta. Izzul menyambut huluran salam tersebut, dan seperti biasa dia menyentuh kepala adiknya itu lalu dikucup perlahan. Memang itulah yang lazim dilakukan pada kesemua adik-adiknya sejak kecil dahulu.

Goodluck! Dah selesai nanti call along.” Pesan Izzul sebelum Irish menutup pintu. Baru beberapa langkah Irish beredar pergi, dia memanggil semula adiknya.

”Irish!”

Langkah gadis itu terhenti, lalu dia berpaling semula pada Izzul.

“Jangan lupa pesan umi. Selawat!”

Irish tersenyum. “Yes, sir!” balasnya sambil mengangkat tangan ke dahi, membuatkan mereka tertawa.

Irish meneruskan semula langkahnya menuju ke arah bangunan di hadapan. Jam di tangan kanannya dikerling sekilas. ‘Ishh! Dah lambat ni!’ rungutnya di dalam hati. Langkahnya dipercepatkan. Kepalanya tunduk memerhati tiap gerakan kaki yang diatur.

“Aduh!” Irish terjerit kecil apabila bahunya berlanggar dengan seseorang. Fail di tangan juga lansung terlepas jatuh ke bawah. Bahu yang terasa sengal dipegang.

‘Asal aku nak cepat je mesti time tulah nak berlanggar dengan orang!’ ngomel gadis itu sendiri. Failnya yang jatuh tadi diambil semula sebelum menghadap orang yang dilanggarnya.

“Maaf.”

Irish tertunduk sedikit mengucapkan kata maaf sambil meneruskan langkah tanpa memandang wajah orang yang dilanggarnya sebentar tadi. Dia benar-benar hendak cepat.

Lelaki itu hanya merenung Irish yang terus berlalu tanpa melihat ke arahnya.

‘Tak cukup handsome agaknya aku ni sampai dia tak nak pandang.’ Detik hatinya.

Lelaki itu kemudian berpaling dan meneruskan langkah kembali. Kacamata ‘Ray Ban’ hitam dikenakan semula sambil kuntum-kuntum senyum mula menghiasi wajahnya.


SEBAIK melangkah ke dalam bangunan itu, terpampang nama Haiyan Holdings Sdn Bhd di hadapan mata. Irish dapat merasakan nama yang cukup gah itu segah bangunan tempat dia berpijak sekarang. Kemodenan dan kecantikan bangunan tersebut membuatkannya terpegun seketika melihat.

“Assalamualaikum, cik. Boleh saya bantu?”

“Hmm?”

Sapaan gadis yang berada di ruang penyambut tetamu itu sedikit mengejutkan Irish. Tidak sedar entah bila dia sudah berada di hadapan kaunter tersebut.

“Boleh saya bantu cik?” soal gadis itu lagi sambil tersenyum.

“Err.... ya, ya. Saya datang untuk temuduga hari ini.”

“Cik ada bawa surat?”

“Oh, ada. Sekejap ya,” Irish membuka begnya mencari surat tawaran temuduga yang diberikan oleh Izzul tempoh hari. “Ini dia.”

Surat itu diserahkan kepada gadis penyambut tetamu tersebut. Gadis itu menyambutnya lalu menatap surat itu seketika. Setelah selesai, dia melipat kembali dan menyerahkannya semula kepada Irish.

“Sila ikut saya, cik.”

Irish mengangguk dan mengikuti sahaja langkah gadis itu. Sesampai di hadapan lif, gadis tersebut menekan butang dan kemudian menunggu seketika. Sesaat dua, pintu lif terbuka dan gadis itu melangkah masuk diikuti Irish. Dalam pada itu mata Irish masih tidak lepas-lepas memerhatikan keadaan sekeliling, menghayati setiap inci keindahan serta kecantikan binaan bangunan tempat dia berpijak sekarang ini.

Ting! Pintu lif terbuka setiba di tingkat tujuh.

“Silakan, cik.” Gadis itu mempersilakan Irish keluar. Dari jauh jelas kelihatan tulisan ‘Human Resource Department’ menandakan tingkat tersebut adalah khas untuk Jabatan Sumber Manusia. Di sinilah mungkin dirinya akan ditemuduga. “Cik boleh duduk di sini dahulu. Sebentar lagi ada staff yang akan datang uruskan temuduga untuk hari ini.”

“Terima kasih,” ucap Irish sebelum gadis itu meminta diri dan berlalu pergi.

Irish duduk di sofa yang disediakan di ruangan itu. Kelihatan ada beberapa lagi calon yang turut berada bersama untuk temuduga tersebut. Melihatkan keadaan di sekeliling pejabat itu membuatkan Irish menarik nafas sedalam-dalamnya. Matanya dipejamkan seketika. Teringat malam tadi dia sempat mencari laman web syarikat ini untuk mengkaji serba sedikit tetang profilnya. Apa yang diketahui, Syarikat Haiyan Holdings Sdn Bhd merupakan milik bumiputera sepenuhnya di mana ia merupakan syarikat pembinaan kelas A, menerima projek membina bangunan tinggi dan projek yang bernilai lebih RM10 juta. Ia telah diasaskan oleh Tengku Haiyan sendiri, iaitu pemilik syarikat ini. Selain itu Haiyan Holdings juga mempunyai beberapa buah anak syarikat dibawahnya yang menguruskan projek-projek berkelas sederhana yang nilainya tidak mencecah hingga puluhan juta ringgit.

Irish mengeluh. Serasa seperti dia tidak layak untuk berkhidmat di syarikat besar seperti ini. Dapat dirasakan jantungnya sudah bertukar rentak. ‘Betul ke apa yang kau buat ni, Irish?’ Bicaranya sendiri sambil menggeleng-gelengkan kepala.

“Assalamualaikum, semua. Dan selamat pagi.”

Suara lelaki yang muncul secara tiba-tiba itu mengejutkan Irish dari lamunan. Seraya itu matanya dibuka dan mencari arah datangnya suara tersebut.

“Selamat datang ke syarikat Haiyan Holdings Sdn Bhd. Sebentar lagi anda semua akan ditemuduga. Jadi saya harap anda telah bersedia. Tapi sebelum itu staffsaya akan berikan borang maklumat diri untuk anda isi. After filled upmake sure you submit back to her. So guys, saya ucapkan selamat berjaya. Jumpa anda semua di dalam nanti.”

Lelaki itu menyudahkan kata-katanya dengan menghadiahkan sebuah senyuman manis. Lembut dan tenang saja suaranya. Sut hitam yang dipakainya menambahkan lagi karismanya sebagai salah seorang pegawai di situ, mungkin. Kemudian dia beredar masuk ke salah sebuah bilik yang terdapat di situ.

Okay. Saya akan edarkan borang ni dan anda semua boleh terus isi,” ujar wanita bertudung yang mungkin merupakan pekerja di bahagian sumber manusia ini sambil tersenyum.

‘Memang orang kat sini semua suka senyum agaknya. Hmmh.... tak apalah. Sekurang-kurangnya turun sikit rasa gemuruh aku ni.’ Irish cuba menyedapkan hati sendiri.

Setelah memastikan kesemua borang calon-calon diserahkan semula, sesi temuduga itu pun bermula tepat pukul 9.15 pagi. Seorang demi seorang calon dipanggil masuk ke dalam bilik, membuatkan Irish semakin gelisah. Cuba ditenangkan hatinya dengan berselawat seperti mana yang dipesan oleh umi serta alongnya tadi.

Selang beberapa minit kemudian, nama Irish dipanggil. Lantas dia bangun dan kakinya dihayun menuju ke bilik temuduga. Sampai di hadapan pintu dia berhenti seketika. Dengan lafaz Bismillah, tombol pintu dipulas dan kaki kanannya melangkah masuk ke dalam bilik tersebut.

“Assalamualaikum.” Irish memberi salam melihatkan ketiga-tiga penemuduga di bilik itu berbangsa Melayu kesemuanya. Salamnya berjawab dan sebuah senyuman telahir di bibirnya tatkala ketiga-tiga mereka mendongak memandang ke arahnya. Dua daripada mereka lelaki dan seorang lagi adalah wanita.

“Silakan duduk.”

Setelah diberi arahan, barulah Irish mengambil tempat duduk berhadapan dengan mereka bertiga. Salah seorang lelaki di hadapannya itu adalah lelaki yang memberikan taklimat pada calon-calon di luar sebentar tadi. Irish melihat tanda nama yang tertera dihadapan lelaki itu. Tengku Hafiy Daiem Tengku Haiyan.

‘Ini ke Hafiy yang along cerita tu?’ soalnya di dalam hati. Kemudian perhatiannya beralih pula pada wanita yang duduk di tengah-tengah. Tanda nama di depan tertulis Puan Zarina Azman. Nampak agak serius. Berbanding Encik Mikhail Firdaus, lelaki yang seorang lagi di sebelahnya. Raut wajahnya kelihatan agak lembut dan tenang.

“Cik Irish Qiara binti Izzudin.”

Lelaki yang bernama Tengku Hafiy itu menyebut nama penuhnya.

“Ya saya.”

“Awak lulusan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kewangan dari UiTM Shah Alam?” soal lelaki itu lagi.

“Ya, betul.”

Mata Irish tepat memandang ke arah lelaki itu semasa menjawab, walau di hati hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa gementarnya dia.

Fresh graduated?” tiba-tiba Puan Zarina mencelah dengan suara yang agak serius. Soalan itu bagai melemahkan semangatnya. Dia sudah sedia maklum kebanyakan syarikat kurang berkeyakinan untuk mengambil graduan lepasan Ijazah sepertinya. Tiada pengalaman kata mereka.

“Err.... betul. Saya baru graduated Disember tahun lepas. Baru ingin mencari pengalaman jika diberi peluang,” teragak-agak Irish menjawab pertanyaan tersebut. Kepalanya sedikit menunduk.

“Awak takut ke, Cik Irish?”

“Hmm?” pertanyaan itu membuatkan Irish sedikit kalut. Serta-merta dia memandang ke arah Puan Zarina.

Melihatkan wajah gadis di hadapannya itu sedikit pucat, barulah kali ini Puan Zarina mempamerkan senyuman. “Janganlah takut. Tenang je. Saya tak makan orang. Muka saya memang macam ni, nampak garang, Tapi dalam hati, ada baik!” ujarnya sedikit bergurau.

“Jangan risau, Cik Irish. Puan Zarina ni saja je nak gertak awak,” baru kini kedengaran suara Encik Mikhail, membuatkan mereka di dalam bilik itu tertawa.

“Oh, tak mengapa.”

Irish menarik lafaz lega melihatkan keadaan kembali tenang dan terkawal. Sedikit keyakinan mula datang bertamu dalam dirinya.

Okay. Tengok awak pun dah tenang sikit. So, bolehlah kita mulakan sekarang. Baik, Cik Irish. First of all please introduce yourself to us,” pinta Tengku Hafiy memulakan sesi temuduga bersama Irish. Baru beberapa minit dia bersemuka dengan gadis di hadapannya ini, dia merasakan hatinya mula tertarik dengan personaliti serta perwatakan Irish. Sikapnya yang kelihatan merendah diri juga tingkah laku gadis itu yang tampak lembut dan sopan membuatkan dia selesa dan senang. Seperti ada satu tarikan pada Irish yang membuatkan dia teringat pada seseorang. Memasang harapan agar pertemuan ini bukanlah yang terakhir, dia ingin memberi peluang sekaligus membimbing gadis itu untuk berkhidmat di syarikat ini. Tetapi dia sedar keputusan bukan berada di tangannya seorang.

Sesi temuduga Irish berjalan lancar hingga ke akhirnya. Dia yang pada awalnya agak tidak yakin dengan kebolehan diri sendiri, mengubah persepsi itu setelah temuduga tersebut berakhir seperti yang diharapkan. Tidak terjangka olehnya yang dia boleh melakukan semua itu dengan baik sekali. Dan sepanjang kakinya melangkah keluar dari bangunan tersebut, kuntuman senyum tidak putus-putus terukir di wajahnya. Dengan lafaz syukur dan hati yang lapang, dia berharap moga usahanya ini akan membuahkan hasil.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku