BAYANGAN GURAUAN
Teaser 07
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 15 September 2015
** ALHAMDULILLAH.. Bayangan Gurauan sudah diterbitkan pada Januari 2017 under Alaf 21 / Karangkraf & kini sudah berada di pasaran.. Anda boleh dapatkannya melalui belian secara online di Karangkraf Mall, melalui Whatsapp, di outlet Karangkraf & juga di kedai-kedai buku berhampiran anda.. Terima kasih semua yang setia dan sabar menanti BG selama lebih 3 tahun ini.. Salam sayang dari #HarrysIrish.... ^_^
Penilaian Purata:
(8 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
5656

Bacaan






BAB 7 

TENGKU Hafiy memarkirkan kereta sebaik memasuki villa milik keluarganya. Kelihatan kereta Tengku Haiyan sudah terletak elok di garaj, menandakan papanya itu sudah pulang ke rumah lebih awal. Sebaik keluar dari kereta, langkahnya terus diatur untuk memasuki villa.

“Hafiy!” kedengaran satu suara memanggil namanya dari taman mini yang terletak di sudut halaman villa itu. Apabila dijengah kelihatan mamanya, Tengku Dafina sedang melambai-lambai tangan ke arahnya. Papanya juga turut berada di situ sedang menikmati minuman petang. “Mari duduk minum dulu. Teman papa dengan mama ni.”

Mendengarkan pelawaan itu, Tengku Hafiy tidak jadi untuk masuk ke dalam. Lantas kakinya dihalakan ke arah taman mini tersebut. Memang papanya itu gemar mengambil angin luar di waktu petang begini sambil minum petang ditemani isterinya.

“Adik belum balik lagi ke, ma?” Tengku Hafiy bertanyakan tentang adik bongsunya, Tengku Hazreen Damya sebaik melabuhkan duduk di kerusi. Briefcase dan blazernya diletakkan di kerusi bersebelahan.

“Belum lagi. Biasalah nak exam ni sibuk jelah dengan study group dia tu,” balas Tengku Dafina yang ketika itu sedang menuangkan secawan teh panas untuk anak lelakinya. “Lewat kamu balik hari ni?”

“Sibuk sikit, mama. Pagi tadi ada meeting untuk finalised calon-calon temuduga tempoh hari. Petang pulak ada meetingdengan client dari Sarawak. Tu yang balik lambat sikit.”

“Macam mana dengan interview hari tu, Fiy? Tak sempat papa nak turun menjenguk.”

Tengku Haiyan yang sedari tadi menghadap bacaannya, bersuara mencelah. Buku yang berada di tangan ditutup dan diletakkan di atas meja. Kemudian dia mengambil secawan teh panas yang dihidangkan oleh isterinya tadi lalu dihirup perlahan-lahan.

“Alhamdullilah, semuanya berjalan lancar papa. Adalah dua tiga orang calon yang Hafiy rasa layak untuk isi jawatan-jawatan tu. Papa tak payahlah risau. Uncle Mikhail dengan AuntyZarina pun ada. So, Hafiy rasa calon-calon yang kami pilih adalah yang terbaik dan memang layak.”

“Papa tak risau, Fiy. Papa yakin dengan anak papa ni. Dan jugak semua staffpapa,” tutur lelaki itu sambil tersenyum. Memang tidak dapat dinafikan kejayaan Haiyan Holdings selama ini adalah hasil usaha dirinya dan juga seluruh pekerjanya yang berdedikasi, jujur serta ikhlas dalam mencurahkan bakti demi kemajuan syarikat itu. Dan sepanjang dia mengendalikan syarikat, belum pernah lagi berlaku kejadian buruk yang membabitkan pekerja-pekerjanya setakat ini. Jadi, tiada sebab untuk dia mencurigai sesiapa pun di dalam syarikat.

“Hmm..... dah alang-alang ada kat sini ni, mama nak tanyalah. Kamu bila nak lansung? Dah nak dua tahun kamu bertunang dengan Helena tu. Bukan apa, takut nanti mak bapak Helena tu bising pulak. Yelah, tak elok sangat tunang lama-lama ni. Lagi-lagi anak mereka tu perempuan. Kamu pun bukannya makin muda. Tahun ni dah nak masuk tiga puluh dua dah. Dah patut ada anak pun.”

Tengku Hafiy yang sedang melihat ikan-ikan di kolam yang terdapat di taman mini tersebut sedikit terkejut mendengarkan pertanyaan itu. Ditenung mamanya seketika sebelum menggaru kepala yang sememangnya tidak terasa gatal. Tidak tahu bagaimana ingin menjawab soalan Tengku Dafina.

“Err.... nantilah mama. Hafiy nak fokus pada syarikat tu dulu. Bila semua dah okay nanti dan life Hafiy pun dah stabil, bolehlah Hafiy fikirkan hal tu. Hafiy dah bincangkan perkara ni dengan Helena dan kedua orang tuanya. Mereka tak kisah. Lagipun Hafiy tunggu adik Hafiy yang sorang tu balik. Tak bestlah kalau Hafiy kahwin, dia tak ada. Kan, pa?” bicara Tengku Hafiy panjang lebar sambil memandang papanya, mengharapkan sokongan dari lelaki itu. Tengku Haiyan yang sekadar memerhati hanya tersenyum melihat tingkah anak lelaki sulungnya.

“Nak tunggu budak bertuah tu balik? Hmm.... berjanggutlah kamu jawabnya, Fiy! Entah sampai bila adik kamu tu nak duduk kat negara orang putih tu agaknya. Nak cari kerja kat sana bagai. Macam papanya sendiri tak ada syarikat nak diuruskan kat sini. Tu satu hal. Belum lagi mama sebut pasal hal kahwin kat dia. Kalau dah bertahun-tahun nak tunggu dia balik sini, alamat bertahun-tahun jugaklah agaknya nak tunggu hal kahwin keluar dari mulut dia. Bukan kamu tak kenal adik kamu tu. Nasib baiklah kakak kamu tu dah kahwin. Kalau tak, kempunanlah mama ni nak timang cucu tau!” ngomel Tengku Dafina bagai meluahkan isi hati pada suami dan anaknya.

Tengku Hafiy cuba menyembunyikan tawa di balik tangan sambil memandang ke arah papanya bila mendengarkan Tengku Dafina sudah mula membebel tentang adik lelakinya itu. Walaupun nada suaranya kedengaran lembut, namun terselit juga ketegasan di situ. Bukan dia tidak biasa, malah telinganya sudah lali mendengar leteran mamanya setiap kali nama lelaki itu mula disebut. Dia sendiri hairan melihat adiknya itu yang lebih suka mencari rezeki di negara orang semenjak menamatkan ijazah pertamanya di University of Cambridge, United Kingdom. Katanya ingin mencari pengalaman terlebih dahulu sebelum berkhidmat di syarikat keluarganya di sini. Itu berkenaan kerja. Belum lagi disentuh hal peribadi. Dari dulu lagi adiknya itu memang susah kalau bercakap mengenai hal perempuan dengannya. Tidak tahu apa sebabnya sedangkan bukan dia tidak tahu ramai gadis yang tergila-gilakan adiknya yang seorang itu. Bak kata orang, rambut saja sama hitam tapi hati lain-lain.

“Ada adik kamu tu bagitahu bila dia nak balik terus ke sini?”

Soalan Tengku Dafina yang secara tiba-tiba itu mengejutkan Tengku Hafiy dari lamunan.

“Hmm, ada jugak dia bagitahu masa balik sini hari tu. Insyaallah dalam masa setahun. Lepas dia habiskan master kat sana.”

“Dahlah tu, Fina. Tak payahlah awak risau sangat. Dah bosan duduk kat sana nanti, baliklah budak tu ke sini. Lagipun bukannya dia bekerja semata-mata. Sambil belajar jugak, kan. Manalah tahu pengalaman yang dia dapat kat tempat orang tu nanti boleh bantu majukan lagi syarikat kita bila dia balik ke mari.” Tengku Haiyan cuba memujuk isterinya.

“Hmm, yelah. Tulah abang, kan? Suka sangat manjakan anak.”

“Hai! Anak awak jugak, kan? Saya bukan manjakan, tapi cuba memahami anak-anak. Budak-budak sekarang bukan macam zaman kita dulu-dulu, Fina. Zaman dah moden, jadi pemikiran mereka pun modenlah. Saya tak kisah berapa lama budak tu nak betapa kat negara orang tu. Asal jangan sampai lupa asal-usul sebagai orang Islam dan orang Melayu, sudahlah.”

Tengku Dafina hanya terdiam bila mendengar kata-kata suaminya. Dalam hati dia turut sama mengiakan semua itu. Dia bukan apa. Cuma kalau boleh dia hendak anak-anaknya sentiasa berada dekat dengannya, walaupun mereka telah berkahwin dan tinggal berasingan nanti. Hati ibu mana yang tidak risau bila anak-anak berada jauh dari mata.

Okaylah ma, pa. Hafiy nak naik dulu. Badan pun dah melekit ni. Anywayma, betul kata papa tu. Mama janganlah risau sangat. Tak adanya adik Hafiy tu nak duduk lama-lama kat sana. Hafiy pun dah pesan kat dia, daripada bekerja dengan orang lebih baik berkhidmat untuk keluarga sendiri. Penat dah papa bina syarikat tu untuk anak cucu dia.” Tengku Hafiy mengenyitkan mata pada papanya. Lantas briefcase dan blazernya dicapai sebelum berlalu meninggalkan kedua orang tuanya di taman mini tersebut. Lebih baik dia angkat kaki dahulu sebelum telinganya menjadi bahan leteran mamanya lagi seperti selalu. Bukan dia tidak suka. Tetapi sebaiknya kata-kata itu diucapkan sendiri pada yang empunya badan, bukan pada dia. Banyak mana pun wanita itu berleter padanya, keadaan tetap sama juga. Sudahnya, telinga dia sajalah yang sentiasa ditadah untuk mendengar luahan hati Tengku Dafina tentang anak bujangnya yang seorang itu.

Langkah Tengku Hafiy diatur dengan segera memasuki villa. Agak tergesa-gesa dia berjalan memandangkan solat Asar masih belum disempurnakan lagi.

Buk!

Tengku Hafiy terlanggar sesuatu, menyebabkan dia jatuh terduduk ke atas lantai. Bahunya disentuh, terasa sedikit sengal. Belum hilang sakit di bahunya, Tengku Hafiy mendengar satu suara lain yang turut sama menyeringai kesakitan.

“Aduhhh!”

“Eh, Dewi! Awak tak apa-apa ke?” pantas Tengku Hafiy menerpa ke arah pembantu rumah yang berasal dari Indonesia itu.

“Enggak apa-apa. Cuma pusing!” balas Dewi sambil menunding jari pada kepalanya yang sedikit berpinar akibat dilanggar oleh anak majikannya sebentar tadi. “Mas apaan sih? Sampai saya yang sebesar ini ditabrak! Apa dikejar sama hantu?”

Kata-kata Dewi sekaligus mengundang tawa Tengku Hafiy. Gelihati melihat telatah gadis muda yang berasal dari Medan itu. Sakit-sakit begini pun masih ada hati mahu berjenaka.

“Tak adalah hantu. Tapi lagi cantik dari tu.”

“Lorr? Siapa??”

“Sshhh!” spontan Tengku Hafiy meletakkan jari telunjuk di mulutnya, menyuruh Dewi agar memperlahan sedikit suaranya yang separuh menjerit itu. “Pelan sikit! Dengar Mak Engku nanti!”

“Ya. Iya! Iya! Dewi perlahan dikit ni. Mas lari dari siapa?” soal Dewi dengan nada berbisik kali ini.

“Dari Mak Engkulah. Siapa lagi. Sebab adik saya, ni.... telinga ni yang asyik kena tadah je dengar Mak Engku mengomel. Sebelum kena lagi teruk, baik saya cabut dulu!”

Dewi mengangguk-angguk tanda faham.

“Eh, dahlah. Saya nak naik dulu. Belum solat Asar lagi.” Tengku Hafiy mengambil semula briefcase dan blazer yang terlepas dari tangannya sewaktu berlanggar tadi. “Betul awak tak apa-apa ni?”

“Iya! Betul! Enggak apa-apa, mas. Swear!”

Good! Tapi kalau ada apa-apa bagitahu saya, okay?” pesan Tengku Hafiy lagi sebelum bangun dan berlalu dari situ.

“Iya, mas!”

Dewi hanya tersenyum sambil memandang Tengku Hafiy mendaki anak tangga ke tingkat atas. Sebaik sahaja kelibat lelaki itu menghilang, senyumannya mati serta-merta. Spontan kepala yang masih terasa sakit dipegang semula.

“Masih sakit dibilangin enggak sakit. Ya, tanggung sendiri kamu Dewi!” ngomel gadis itu seorang diri lalu bangun melangkah ke ruang dapur villa.

“Kau dah kenapa membebel sorang-sorang ni, Dewi?”

Mak Ros, seorang lagi pembantu rumah Tengku Haiyan yang berusia dalam lingkungan enam puluhan menyapa Dewi yang dilihatnya bercakap sendirian memasuki dapur. Ketika itu dia sedang menemani suaminya, Pak Man, yang juga merupakan pemandu kepada Tengku Haiyan minum petang di meja dapur. Berbanding Dewi yang baru sahaja bekerja, Mak Ros adalah merupakan pembantu senior yang telah berkhidmat lebih dari tiga puluh tahun di villa tersebut. Memang di villa inilah tempat dia menumpang teduh bersama suaminya. Oleh kerana tidak dikurniakan cahaya mata sejak berkahwin, jadi pada anak-anak majikan tempat mereka mencurahkan sedikit kasih sayang sebagai ibu bapa. Dan kini mereka juga mempunyai Dewi yang sudah dianggap seperti anak sendiri.

“Ha’ah, Dewi. Kenapa kau ni bercakap sorang-sorang?” tegur Pak Man pula.

“Enggak apa-apa, sih. Cuma ditabrak sama hantu.”

“Hantu??!” serentak suami isteri tua itu membalas. Kopi yang ingin dihirup oleh Pak Man juga hampir tersembur dek terkejut dengan jawapan yang diberikan gadis itu.

“Eh bukan, bukan! Bukan hantu! Apa ya? Alaa.... Itu! Dewi ditabrakin samanya Mas Hafiy. Aduh!” spontan Dewi memegang kepalanya yang masih terasa berdenyut. Serasa selepas berlanggar tadi kepalanya juga sudah tidak boleh berfikir dengan betul ketika ini.

“Ishh! Kau ni, Dewi. Buat orang terkejutlah. Dah tu, okay tak ni? Tu kepala tu, kenapa pulak?!”

“Dewi baik-baik aja, mak. Cuma kepala lagi pusing ni!” tingkah Dewi. Memang sejak bekerja di sini gelaran itulah yang digunakan untuk memanggil Mak Ros. Begitu juga Pak Man yang dipanggil bapak olehnya.

“Hmm. Dewi, Dewi. Macam-macam kau nilah! Dah mari duduk minum. Sejuk air ni nanti,” arah Mak Ros sambil menuangkan minuman untuk Dewi. Walaupun adakalanya mulut gadis itu tidak berhenti-henti bercakap setiap masa, namun itulah kelebihan yang ada pada Dewi yang membuatkan hari-harinya di dapur sentiasa riuh dan ceria dengan jenaka gadis dari seberang itu.


“DAH siap gembur tanah tu, Rish?” Puan Qarina muncul semula dari belakang rumah bersama dengan beberapa anak pokok bunga yang baru sahaja dibelinya semalam.

“Dah, umi.”

Irish menyudahkan kerja-kerjanya menggembur tanah. Petang itu dia menolong uminya membersihkan pasu-pasu bunga yang tersusun rapi di halaman rumah mereka. Memang itulah hobi Puan Qarina semenjak dia menjadi suri rumah sepenuh masa kini. Menghias halaman rumahnya dengan pokok-pokok bunga yang terdiri dari pelbagai jenis. Nampak ceria sedikit laman rumah itu. Dahulu, Puan Qarina pernah berkhidmat di sektor kerajaan. Namun apabila kesemua anaknya telah besar dan ada yang telah berkeluarga, dia memutuskan untuk berhenti dan menjadi suri rumahtangga sepenuh masa.

“Kalau dah, bawa mari sini. Umi nak pindahkan anak-anak pokok ni dalam pasu tu.”

Mendengar kata-kata Puan Qarina, Irish lantas membawa pasu-pasu tersebut kepada wanita itu. Memang dia gemar melihat uminya menanam pokok-pokok bunga bila setiap kali dia berpeluang berbuat demikian. Sambil membantu, dapat juga dia belajar cara-cara menanam pokok-pokok bunga tersebut dengan betul.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.”

Serentak mereka menjawab salam itu sebelum berpaling ke arah suara tersebut.

“Eh! Dah balik, bang? Bila masa abang sampai? Tak dengar bunyi kereta pun?”

“Hmm, baru je. Awak dengan Irish tu yang leka sangat dengan bunga-bunga tu, sampai kereta abang masuk pun tak sedar.”

Encik Izzuddin sudah menarik sebuah kerusi yang memang tersedia ada di laman rumah itu. Duduknya dilabuhkan seketika untuk melepaskan penat sambil memerhati kedua beranak tersebut membuat kerja-kerja mereka.

“Ya ke? Maaflah, bang. Memang tak dengar lansung. Dah ini je aktiviti yang saya ada waktu sekarang. Kebetulan hari ni anak dara abang yang sorang ni pun lapang sedikit masanya. Tu yang dia temankan saya sambil tolong-tolong ni. Kalau tak, sibuk memanjanglah dia dengan interviewnya sana sini.”

Irish yang mendengar usikan uminya itu hanya tersenyum sahaja. Memang tidak dinafikan sejak kebelakangan ini dia agak sibuk menghadiri beberapa temuduga kerja hingga masanya di rumah juga berkurangan.

“Awal abang balik hari ni?” soal Puan Qarina pada suaminya. Biasanya, suaminya itu hanya pulang awal jika tiada urusan penting. Tugasnya sebagai pegawai di salah sebuah syarikat swasta di Shah Alam adakalanya terpaksa berurusan dengan pelanggan biarpun di luar waktu kerja.

“Tak ada appointment dengan client hari ni, Ina. Dapatlah balik awal sikit. Lagipun, malam ni ada tahlil kat rumah Haji Azam tu. Ha, Sebut pasal interview. Macam mana, Irish? Ada yang dah dapat panggilan?”

Irish yang sedang leka mengangkat pasu bunga yang telah siap ditanam segera menoleh. “Belum lagi, ayah. Belum sampai rezeki kut.”

“Hmm, tak apalah. Pelan-pelan je, Rish. Insyaallah ada rezeki tu nanti. Ayah masa mula-mula cari kerja dulu pun macam tu jugak. Yang penting kita dah usaha,” pesan Encik Izzuddin cuba memujuk Irish agar tidak terlalu memikirkan hal tersebut.

“Betul cakap ayah tu. Banyaklah bersabar. Yang penting Irish dah berusaha. Rezeki kita masing-masing ni Allah dah tentukan seadilnya. Cuma cepat atau lambat je. Lagi banyak kita bersabar, lagi besar rezeki yang Allah akan beri nanti. Insyaallah.”

Irish mengukir senyum sambil mengangguk-anggukkan kepala pada kedua orang tuanya. Namun di dalam hatinya terselit juga sedikit kerisauan. Sudah hampir tiga minggu dia menghadiri pelbagai temuduga. Namun hingga ke hari ini masih tiada sebarang panggilan kerja dari mana-mana syarikat berkenaan. Sama ada dia tidak layak ataupun rezekinya masih belum sampai lagi, hanya Allah sahaja yang mengetahui. Apa yang dia mampu lakukan pada masa ini hanya terus bersabar dan berdoa pada Yang Maha Esa moga rezekinya akan dipermurah dan dipermudahkan kelak.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku