BAYANGAN GURAUAN
Teaser 08
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 15 September 2015
** ALHAMDULILLAH.. Bayangan Gurauan sudah diterbitkan pada Januari 2017 under Alaf 21 / Karangkraf & kini sudah berada di pasaran.. Anda boleh dapatkannya melalui belian secara online di Karangkraf Mall, melalui Whatsapp, di outlet Karangkraf & juga di kedai-kedai buku berhampiran anda.. Terima kasih semua yang setia dan sabar menanti BG selama lebih 3 tahun ini.. Salam sayang dari #HarrysIrish.... ^_^
Penilaian Purata:
(7 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
5400

Bacaan






BAB 8 

“ALANG dengan Irish mana, umi?” Izzul bertanyakan uminya yang sedang menuang minuman panas di atas meja sambil dibantu oleh Iman. Malam minggu itu Encik Izzuddin sekeluarga hanya bersantai di rumah sambil menonton televisyen.

“Tak tahulah. Lepas makan malam tadi terus hilang diorang. Ada dalam bilik Irish agaknya,” duga Puan Qarina. Sesudah itu dia berlalu ke arah suaminya dan melabuhkan duduk di sebelah lelaki itu.

Beberapa minit kemudian barulah terpancul wajah Irish dan Irma di ruang tamu tersebut bersama gelak ketawa mereka. Sekaligus membuatkan tumpuan yang lain terganggu pada rancangan yang sedang ditayangkan di kaca televisyen.

Happy nampak!” spontan Irhan menyapa.

“Ya ke? Biasa je,” balas Irma masih dengan ketawa yang bersisa. “Tapi, kalau semua orang tahu pun mesti happy jugak!”

“Apa dia? Irfan nak dapat anak buah baru ke, Kak Lang?” Irfan bagaikan teruja ingin mengetahui berita tersebut. Kebetulan dia balik bercuti hujung minggu itu, dapatlah dia berkumpul dengan ahli keluarganya yang lain.

“Ishh, Irfan ni! Ke situ pulak fikir dia!”

“Habis dah tengok Kak Lang happy semacam! Kalau bukan tu, apa dia?” tanya Irfan lagi sambil menggosok-gosok lengannya yang sedikit pedih akibat dipukul kakaknya.

“Ada orang tu dah dapat kerja. Lepas ni bolehlah belanja kita semua!” seloroh Irma seraya melirik ke arah Irish dengan senyuman penuh makna.

Semua mata yang ada di situ tertumpu pada Irma, dan kemudiannya jatuh pada wajah Irish. Pandangan mata menggantikan mulut sebagai isyarat menyoal pada gadis itu. Melihatkan semua ahli keluarganya bagaikan ternanti-nanti, akhirnya Irish menggangguk-anggukkan kepalanya tanda mengiakan berita yang baru disampaikan oleh Irma sebentar tadi.

“Wah! Tahniah, tahniah! Alhamdulillah!” Kedengaran suara-suara gembira keluar dari mulut mereka yang berada di ruangan keluarga itu.

“Senyap-senyap je Irish, kan. Saja nak bagi surprise, ya?” Puan Qarina mengusik anak gadisnya itu.

“Tak adalah, umi. Saja Irish nak tunggu semua ada macam ni baru bagitahu. Seronok sikit!”

“Syukur Alhamdulillah. Akhirnya sampai jugak rezeki Irish. Betul kan ayah cakap? Ada rezeki Irish nanti tak ke mana. Cuma lambat sikit je Dia bagi.”

“Alhamdulillah. Berkat doa ayah, umi dan semuanya juga.”

Company mana, Rish?” Izzul yang sedari tadi hanya mendiamkan diri, mula bersuara sebaik sahaja keadaan kembali tenang.

“Haiyan Holdings.”

Serentak itu mata Izzul terarah ke wajah adiknya. “Serius? Company kawan along tu?” tanya Izzul seakan tidak percaya.

“Iyalah, long. Kenapa?”

“Tak ada apa. Along ingatkan tak dapat. Yelah, dah lama jugak baru dapat jawapan sejak along hantar interview hari tu.”

“Hmm, tulah. Irish ingat pun tak dapat. Tapi tengahari semalam baru diorang call bagitahu,” jelas Irish. Memang pada mulanya dia juga menyangka temuduga itu tidak berjaya disebabkan sudah hampir tiga minggu lebih semenjak dia menghadirinya, tiada apa-apa jawapan yang diterima dari syarikat itu.

So, bila kena lapor diri?” soal Iman.

“Isnin depan.”

Drive sendiri? Ke berulang-alik?”

“Ya kut, Kak Ngah. Semalam masa call ada jugak diorang bagitahu yang syarikat ada sediakan apartment untuk staff. Tapi, Irish rasa baik Irish berulang jelah. Lebih selesa tinggal kat rumah sendiri. Lagipun, tak boleh nak tinggalkan umi, ayah dengan adik-adik lama. Nanti rindu. Lagi-lagi dengan Irfan ni.”

“Tahu tak apa!” Irfan membalas kembali gurauan kakaknya itu. Belum sempat Irish ingin memukulnya, kali ini Irfan sudah terlebih dahulu menjauhkan diri. Dan spontan ruang tamu itu dipenuhi dengan gelak ketawa mereka yang lain.

“Tak apalah. Ikut yang mana Irish selesa. Tapi kalau rasa penat nak berulang-alik atau lewat malam balik kerja ke apa, Irish balik jelah rumah along. Along tak kisah. Dekat pun dekat. Kan, yang?” ujar Izzul sambil menoleh pada isterinya di sebelah. Gurauannya itu disambut dengan satu cubitan di lengan, membuatkan tawa mereka berderai lagi.

“Kalau Irish nak ulang-alik, umi tak kisah. Nak balik rumah along pun umi tak kisah. Tapi kalau nak duduk sana, yang tu umi kisah. Tak payahlah. Risau umi kalau tak ada siapa yang nak tengok-tengokkan. Ni Irish dapat kerja kat sana pun hati umi dah cukup risau dah. Irish bukannya biasa dengan tempat tu.”

“Janganlah risau, umi. Tahulah Irish tu jaga diri. Tak ada apa-apalah. Kalau ada pun ni hah, kat sini banyak hero-hero yang boleh tolong jagakan dia. Yang kecik-kecik ni pun ada. Siapa berani kacau, marilah hadap diorang dulu!” seloroh Irma sambil menunjukkan anak menantu lelaki dan cucu-cucu Encik Izzuddin serta Puan Qarina. Dan seisi ruangan itu dipenuhi dengan deraian tawa mereka untuk sekali lagi.


MALAM sudah semakin larut kala Irish melangkah masuk ke biliknya. Ahli keluarganya yang lain turut berbuat demikian setelah puas bersembang panjang tadi. Seperti biasa bila menjelang malam begini sudah tentulah masing-masing ingin merehatkan badan serta otak setelah penat melakukan aktiviti seharian.

Irish merebahkan badannya di atas katil, cuba untuk melelapkan mata. Namun matanya tidak juga mahu pejam. Sudahnya dia hanya berbaring sambil merenung kipas yang sedang berputar di syiling. Sebagaimana kipas itu berputar, begitu jugalah dirasakan putaran hidupnya selama dua puluh empat tahun bernafas di muka bumi ini. Mindanya mula berlegar-legar mengingati sorotan kisah hidupnya dari zaman kecil hinggalah menginjak ke alam remaja. Bagaimana dia mula menjejakkan kaki ke alam persekolahan, kemudian melanjutkan pelajaran ke pengajian tinggi, dan selepas ini dia akan mula memasuki alam pekerjaan pula.

Begitu pantas masa berlalu. Baru dirasakan semalam dia belajar mengeja di sekolah tadika. Tetapi hari ini dia sudah menamatkan pengajiannya di menara gading dengan segulung ijazah. Dan lusa, dia akan memulakan khidmatnya di salah sebuah syarikat yang boleh dikatakan cukup gah di negara ini.

“Dah ready ke kau nak kerja ni, Irish? Macam tak je tengok. Isshhh!”

Irish meraup wajahnya. Cuba mengusir perasaan tersebut jauh dari hati. Dikumpulkan sedikit kekuatan untuk menghadapi hari-hari mendatang selepas ini. Usahanya berhasil apabila sedikit keyakinan mula datang bertamu dalam diri. Lantas mulut kecil itu tersenyum nipis.

“Boleh. Kau boleh, Irish. Insyaallah pasti boleh. Semangat!”

Sesudah itu, mindanya kembali berputar mengingati satu persatu peristiwa yang berlaku sepanjang hidupnya. Pelbagai suka dan duka telah ditempuh, dari kisah-kisah yang menggembirakan hinggalah ke cerita yang menyedihkan itu. Terdetik sesuatu di dalam hati. Andai dirinya tidak kuat, mungkin dia tidak akan berada hinggap ke tahap sekarang ini. Mungkin dia akan melukakan hati banyak pihak. Dan yang lebih teruk lagi, mehancurkan masa depannya sendiri. Syukur Alhamdulillah, Allah masih sentiasa bersamanya. Dan akan tetap terus bersama seandainya dia sendiri tidak pernah lupa dan leka kepada Penciptanya itu.

Irish melepaskan keluhan. Diraup wajahnya sekali lagi. “Haishh! Kenapa mata ni tak nak pejam-pejam ni?”

Digosok-gosok matanya yang sedikit pedih. Kemudian dia beralih kedudukan dari menelentang hingga mengiring pula kini, cuba untuk melelapkan mata sekali lagi. Namun matanya itu masih tetap segar. Jam di sisi katil ditenung. Sudah pukul 2.00 pagi. Lantas dia bangun dari pembaringan.

“Ishh, tak boleh jadi ni! Daripada dok guling-guling tapi tak mahu pejam jugak, baik aku ambil air sembahyang. Sembahyang sunat lepas tu mengaji. Lagi bagus!”

Serentak itu Irish turun dari katilnya perlahan-lahan dan kemudian menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk dengan mulut yang tidak henti-henti mengomel.

“Kau ni mata bila suruh pejam, tak nak pejam. Bila time nak buat kerja, masa tulah kau nak tertutup, kan? Saja betul!”



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku