BAYANGAN GURAUAN
Teaser 09
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 15 September 2015
** ALHAMDULILLAH.. Bayangan Gurauan sudah diterbitkan pada Januari 2017 under Alaf 21 / Karangkraf & kini sudah berada di pasaran.. Anda boleh dapatkannya melalui belian secara online di Karangkraf Mall, melalui Whatsapp, di outlet Karangkraf & juga di kedai-kedai buku berhampiran anda.. Terima kasih semua yang setia dan sabar menanti BG selama lebih 3 tahun ini.. Salam sayang dari #HarrysIrish.... ^_^
Penilaian Purata:
(5 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
5755

Bacaan






BAB 9 

LANGKAHNYA diatur penuh kemas memasuki bangunan besar itu. Ini kali kedua dia menjejakkan kaki ke syarikat Haiyan Holdings. Kali pertama lebih kurang tiga minggu yang lalu sewaktu dia menghadiri temuduga. Namun hari ini kakinya melangkah dengan penuh semangat untuk memulakan satu fasa baru dalam hidupnya dan akan terus melangkah pada hari-hari berikutnya demi membina kerjaya serta cita-citanya di syarikat itu.

Sama seperti sebelum ini, hatinya tetap berdebar-debar ketika memasuki ruang legar bangunan tersebut. Cuma kali ini debarannya agak berlainan memandangkan hari ini adalah hari pertama dia berkhidmat di sini.

‘Mampukah kau melaksanakan segala tugas yang akan dipertanggungjawabkan kepada diri kau, Irish? Bukan calang-calang syarikat tempat kau akan bekerja ini.’ Hatinya berbisik risau.

“Tak apa, Irish. Belum cuba belum tahu. Insyaallah, kau boleh!” Irish menasihati diri sendiri, cuba berlagak tenang dan yakin. Segera kakinya dihala menuju ke meja penyambut tetamu. Ruang legar ketika itu dipenuhi dengan pekerja-pekerja Haiyan Holdings yang mula memasuki pejabat masing-masing.

“Assalamualaikum. Selamat pagi,” sapa Irish pada gadis yang berada di kaunter penyambut tetamu itu dengan lembut.

“Waalaikumussalam. Selamat pagi. Ya cik, boleh saya bantu?” gadis itu menjawab sopan lalu tersenyum.

“Saya datang untuk lapor diri hari ni.”

“Oh, cik nak lapor diri? Tunggu sebentar, ya.” Bicara gadis itu sambil tunduk memeriksa fail yang berada di hadapannya. Sesaat kemudian, dia mendongak semula memandang Irish.

“Cik Irish Qiara binti Izzuddin?” soal gadis penyambut tetamu itu meminta kepastian.

“Ya, saya.”

“Cik Irish boleh ikut saya. Silakan.”

Gadis itu bangun dan meminta Irish mengikutinya sambil di tangan memegang erat sebuah fail. Hanya beberapa langkah mereka berjalan, Irish memanggil gadis tersebut.

“Err, maaf cik....,”

“Panggil je saya Zaryn, Cik Irish.” Gadis itu memperkenalkan diri. Tampak mesra dengan senyuman tidak lekang di bibir, membuatkan Irish berasa selesa untuk memulakan perbualan dengannya.

“Zaryn, tak ramai ke yang lapor diri hari ni?”

“Ada tiga orang je yang perlu lapor diri hari ni. Termasuk Cik Irish.”

“Patutlah senang je Zaryn dapat detect saya.”

“Sudah semestinya! Lagipun, Cik Irish sorang je perempuan. Yang lagi dua orang tu lelaki. So, bila Cik Irish datang tadi dancakap nak lapor diri, saya cuma check nama je,” balas Zaryn sambil tersengih.

Irish menganggukkan kepalanya sambil tersenyum. Terasa ada keserasian bila dia bersembang dengan gadis kecil molek itu, walhal ini baru pertama kali mereka berbual. Satu perkara yang amat jarang bagi dirinya apabila bertemu dengan orang yang baru dikenali. Tempoh hari sewaktu hadir ke temuduga, dia tidak terfikir untuk berbuat demikian dek kerana perasaan takut dan gemuruhnya. Tetapi hari ini, ditambah lagi dengan sikap Zaryn yang peramah dan ceria membuatkan Irish mula berasa senang dengan gadis tersebut.

“Macam mana interview Cik Irish hari tu? Mesti seronok, kan?” Zaryn bertanya kepada Irish. Lagaknya mereka seperti sudah lama kenal.

“Biasa je, Zaryn. Okaylah. Alhamdulillah.”

“Mestilah okay, kan? Kalau tak, tak adalah saya dapat jumpa Cik Irish lagi hari ni!”

“Oh ya, lupa! Saya tak sempat nak ucap terima kasih kat awak lepas temuduga hari tu. Abang saya dah tunggu kat luar.”

“Tak apa, Cik Irish. Saya tak kisah pun. Ni dah jumpa, kan? Lepas ni lagi hari-hari Cik Irish jumpa muka saya. Sampai dah tak larat nanti nak tengok agaknya!”

Serentak itu ketawa mereka bergema di dalam lif. Mujur hanya mereka berdua berada di dalam itu. Dan ketawa mereka terhenti sebaik sahaja pintu lif terbuka di tingkat dua belas.

“Silakan, Cik Irish.” Zaryn melangkah keluar diikuti Irish. “Bangunan syarikat ni ada lima belas tingkat semuanya. Satu level mewakili satu department. Pejabat Cik Irish kat tingkat dua belas ni which this level is for finance department. Tapi level ni dia special sikit, tak sama dengan levelyang lain. Sebabnya level ni sekali satu level dengan bilik CEO, CFO, COO dan beberapa pegawai atasan Haiyan Holdings yang lain. Memang bahagian kewangan syarikat ni dipantau rapi oleh Tengku sekeluarga. Jadi senang sikit kalau letak satu level ni. Cuma bilik Chairman je, iaitu bilik Tengku Haiyan kat tingkat atas, tingkat tiga belas. Kalau Cik Irish perasan, tingkat dua belas ni agak besar sikit berbanding tingkat-tingkat yang lain,” jelas Zaryn panjang lebar tentang ruangan bangunan syarikat itu. Irish hanya terangguk-angguk tanda memahami dengan apa yang disampaikan oleh gadis tersebut.

So, Cik Irish kira bertuah tau. Dapat kerja satu level dengan our big bosses Haiyan Holdings!” seloroh Zaryn sambil mengangkat sebelah keningnya.

“Bertuah apanya, Zaryn. Kecut perut adalah kena menghadap mereka hari-hari!” Irish berbisik di telinga Zaryn, agak perlahan hingga membuatkan gadis itu tergelak kecil.

Relaxlah, Cik Irish. Big bosses kat sini semuanya baik-baik. Tak pernah beza-bezakan pangkat walaupun mereka bukan berketurunan biasa. Saya dah empat tahun kerja kat sini, dah rasa macam kerja dengan keluarga sendiri. Cik Irish dah lama kat sini nanti tahulah rasanya macam mana.” Zaryn kembali berbisik pada Irish, seakan mengikuti gelagatnya sebentar tadi.

Sampai sahaja di hadapan sebuah bilik, Zaryn menghentikan langkahnya. Kemudian dia berpaling menghadap Irish.

“Sampai sini je saya boleh hantarkan Cik Irish. Lepas ni Kak Maisarah, setiausaha Tengku Hafiy pulak yang akan uruskan,” ujar Zaryn sambil memandang ke arah wanita yang dimaksudkan.

Irish memandang wajah Zaryn. “Tadi bukan Zaryn cakap ada dua orang yang lain ke yang kena lapor diri hari ni. Mana diorang, ya?”

“Oh, yang tu! Memanglah ada lagi dua orang. Tapi diorang under department lain. Cik Irish sorang je yang saya kena hantar kat bahagian finance ni. Lepas ni Cik Irish bolehlah masuk.”

“Hmm? Masuk? Masuk mana?”

“Masuk bilik Tengku Hafiy, our CEO. Memang dia dah pesan nak berjumpa dengan semua staff baru on first day mereka mulakan tugas di sini.”

Zaryn lantas menyerahkan fail yang dipegangnya kepada wanita yang dipanggil Kak Maisarah tadi sambil berkata sesuatu.

Okay, Cik Irish. Saya turun dulu. Kalau ada apa-apa, saya ada kat bawah. Tapi kalau macam jauh sangat nak turun, Kak Maisarah yang dekat ni pun ada. Jangan risau. Staff kat sini semuanya sporting-sporting. Tak gitu, Kak Mai?” soal Zaryn pada Kak Maisarah. Wanita itu hanya mengangkat kedua ibu jarinya sambil tersenyum.

Okay, Cik Irish. Saya gerak dulu. Enjoy your first day!” Zaryn mengenyitkan matanya sambil berlalu meninggalkan Irish.


IRISH duduk di dalam ruangan pejabat itu sendirian. Baru sebentar tadi Kak Maisarah memaklumkan bahawa Tengku Hafiy menyuruh agar dia masuk ke pejabat lelaki itu terlebih dahulu dan menunggu di dalam bilik ini kerana Tengku Hafiy ada beberapa hal yang perlu diuruskan. Sementara menunggu tuan empunya bilik itu tiba, mata Irish melilau memandang setiap sudut ruang pejabat yang tersusun kemas dan rapi itu. Ringkas tetapi menarik. Mungkin sama seperti tuannya yang sederhana, tetapi berkarisma. Itu yang didengar daripada mulut Izzul tentang rakan baik alongnya itu.

Irish memandang jam di tangan. Jarum sudah menunjukkan angka 9.30 pagi. Perasaannya mulai gelisah. ‘Ada ke tak, ya?’ desisnya. Hati Irish mula berbolak-balik. Namun hanya seketika bila tiba-tiba kedengaran pintu bilik pejabat itu terkuak dari luar.

“Assalamualaikum.”

Suara seorang lelaki di belakang menyapa telinganya. Irish bingkas bangun dari kerusi yang diduduki. “Waalaikumussalam.”

“Tak apa. It’s okay. Duduk je, Cik Irish. Maaf saya lambat sikit. Ada hal yang kena settleddulu. Maklumlah, hari Isnin.” Tengku Hafiy memberitahu dengan ramah sambil senyuman terukir di bibirnya.

Irish membalas senyuman tersebut. “Tak apa, saya faham.”

“Dah lama tunggu?”

“Tak adalah, Tengku.” Tenang Irish menjawab. Namun yang sebenarnya dia cuba menutup rasa gugup dalam diri kerana pertama kali berhadapan dengan majikannya ketika ini.

Tengku Hafiy memandang Irish sekilas, sebelum matanya dialih pada fail yang diberikan oleh setiausahanya sebelum dia masuk ke sini tadi. Fail tersebut mengandungi semua maklumat dan dokumen berkenaan gadis yang sedang berada di hadapannya ini. Hanya sepintas lalu, dia menutup kembali fail tersebut.

“Hmm.... rasanya tak ada apa yang perlu ditanya lagi. Dengan adanya awak kat sini hari ini, maka terjawab sudah yang awak adalah merupakan salah seorang daripada tiga calon yang telah dipilih untuk berkhidmat dengan syarikat Haiyan Holdings. Dan mengikut penilaian kami, awak adalah calon yang layak untuk memegang jawatan sebagai Financial Executive di sini. So Cik Irish, awak dah bersedia untuk menjadi sebahagian daripada kami?”

“Insyaallah, saya akan berikan yang terbaik dan termampu untuk syarikat.” Irish cuba memberi keyakinan pada majikannya.

“Baiklah. Saya ucapkan selamat datang dan selamat menyertai keluarga Haiyan Holdings. Semoga tujuan kita untuk memajukan lagi syarikat ini akan diberkati dan diredhai oleh-Nya. Insyaallah. Jadi sekarang mari, saya perkenalkan awak pada staff-staff di sini dan apa yang ada kat tingkat ni. Kemudian saya akan tunjukkan bilik awak. Silakan,” ujar Tengku Hafiy seraya bangun dari kerusinya. Irish hanya menuruti langkah lelaki itu di belakang.

Semua pekerja yang berada di tingkat dua belas diperkenalkan kepada Irish. Bukan itu sahaja, malah Tengku Hafiy juga turut menunjukkan setiap ruangan yang terdapat di tingkat itu bagi memudahkan serta memberi keselesaan kepada pekerja barunya untuk memulakan tugas pada hari pertama dan hari-hari berikutnya di syarikat berkenaan. Irish yang pada mulanya agak gementar, mula terasa yakin dan seronok sedikit demi sedikit tatkala diperkenalkan dengan semua pekerja di situ yang pada penglihatannya amat mesra dan peramah. Majoriti mereka yang bekerja di tingkat itu adalah Melayu. Hanya beberapa orang sahaja yang berketurunan Cina dan India serta bumiputera Sarawak.

Selesai memperkenalkan Irish kepada semua pekerja dan membawanya melihat sekitar ruangan di tingkat itu, Tengku Hafiy kemudiannya menunjukkan sebuah bilik yang menempatkan pejabat Irish.

Alright, Cik Irish. This is your room. How is it? Kalau rasa tak selesa, terlalu kecil ke atau apa saja, let me know. Okay?” beritahu Tengku Hafiy. Sebolehnya dia ingin memastikan semua pekerja Haiyan Holdings bekerja dalam keadaan tenang dan selesa.

“Eh, tak ada Tengku. Ini dah lebih dari selesa. Terima kasih.”

“Kalau macam tu, tak apa. Tapi kalau ada apa-apa, just inform me, okay?

“Baik.”

Good. Saya keluar dulu. Sekejap lagi pembantu awak, Insyirah akan datang dan awak bolehlah belajar sikit-sikit dulu dengan dia berkenaan syarikat ni. Apa-apa masalah, awak rujuk dengan dia. This is you first day. So just relax and stay calm. Semuanya akan baik-baik saja.” Tengku Hafiy memberikan kata-kata akhirnya dengan sebuah senyuman pada Irish sebelum berlalu pergi.

Sebaik Tengku Hafiy keluar dari bilik itu, Irish menarik nafas sedalam-dalamnya. Setiap ruangan bilik itu diperhatikan. Bilik itu tidaklah kecil. Tidak juga terlalu besar seperti bilik Tengku Hafiy. Sederhana sahaja, namun cukup untuk membuat dia berasa sangat selesa. Perabot, hiasan dalaman, lukisan. Semuanya serba ringkas, tetapi menarik dan elegan.

‘Hmm.... macam mimpi je aku ada kat sini. Inilah rezeki yang umi dan ayah cakapkan. Rezeki kita masing-masing Allah dah tentukan seadilnya. Lagi banyak kita bersabar, lagi besar rezeki yang Allah akan beri nanti. Dan sekarang semuanya sudah jelas depan mata. Cuma tinggal usaha sahaja yang perlu ditingkatkan lagi untuk mencapai cita-cita dan impian hidup yang selama ini aku doa dan impikan. Tanpa menoleh ke belakang lagi.’

Nafas lega dihela untuk kesekian kalinya.


Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku