BAYANGAN GURAUAN
Teaser 10
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 15 September 2015
** ALHAMDULILLAH.. Bayangan Gurauan sudah diterbitkan pada Januari 2017 under Alaf 21 / Karangkraf & kini sudah berada di pasaran.. Anda boleh dapatkannya melalui belian secara online di Karangkraf Mall, melalui Whatsapp, di outlet Karangkraf & juga di kedai-kedai buku berhampiran anda.. Terima kasih semua yang setia dan sabar menanti BG selama lebih 3 tahun ini.. Salam sayang dari #HarrysIrish.... ^_^
Penilaian Purata:
(6 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
6480

Bacaan






BAB 10 

SUDAH seminggu lebih Irish bekerja di Haiyan Holdings. Banyak juga perkara yang telah dipelajarinya di situ. Dari pegawai atasan sehinggalah pekerja bawahan, rata-rata mereka semua tidak pernah lokek untuk berkongsi ilmu pengetahuan mengenai syarikat dengannya. Malah adakalanya dengan office boy dan makcik-makcik yang membersihkan pejabat juga Irish tidak segan silu untuk bertanya sekiranya keadaan memerlukan dia untuk berbuat demikian. Orang cakap kalau segan bertanya, jadilah seperti katak di bawah tempurung.

Tuk! Tuk! Tuk!

Ketukan di muka pintu mengejutkan Irish yang ketika itu sedang khusyuk menghadap skrin komputer di biliknya.

“Masuk.”

Lembut sahaja suara gadis itu memberi arahan.

“Cik Irish!” kelihatan Insyirah, pembantunya melangkah masuk sambil tersenyum dengan beberapa fail di tangan. “Ini dia annual report syarikat untuk lima tahun yang Cik Irish minta tadi.”

“Oh! Terima kasih, Insyirah. Nampak gayanya saya kena hadap jugaklah annual report ni untuk fahamkan yang lain-lain ni semua.”

Irish menunjukkan mejanya yang dipenuhi dengan fail-fail syarikat yang perlu diteliti. Minggu-minggu terawal begini memang semua itulah yang akan ditelaahnya memandangkan banyak lagi hal-hal syarikat yang dia perlu belajar dan ketahui.

“Tebal-tebal annual report ni, Cik Irish. Larat ke? Kalau sayalah, mahu pengsan macam ni!” Insyirah yang sudah duduk di kerusi berhadapan Irish menggeleng-gelengkan kepalanya. Gerun melihat fail-fail yang setebal hampir sepuluh inci setiap satunya. Irish hanya tertawa melihat gelagat pembantunya itu.

“Saya dah biasa, In. Masa belajar dulu dah selalu kena study macam-macam annual report syarikat. Kalau tak, tak dapatlah nak analyze company tu, nak tahu financial dia macam mana.”

“Hmm, sebab tulah saya takat jadi pembantu je boleh.” Insyirah menyedarkan dirinya sambil tersengih pada Irish. “Eh, ni nanti lunch Cik Irish turun makan dengan kitorang macam biasa ke?” Insyirah bertanya pada Irish. Memang semenjak hari pertama bekerja lagi gadis itu sudah keluar makan tengahari bersamanya dan beberapa rakan pejabat yang lain. Dia sendiri yang mempelawa Irish memandangkan ketuanya itu tidak biasa lagi dengan tempat-tempat di sini. Tambahan pula Irish jenis yang tidak kisah untuk keluar makan dan bergaul dengan pekerja-pekerja bawahannya, walaupun dia boleh dikatakan seorang yang berpangkat juga di syarikat. Disebabkan itu dia dan rakan-rakannya yang lain amat menyenangi Irish.

“Oh! Saya terlupa nak bagitahu awak, In. Abang saya call tadi ajak temankan dia lunch hari ni. Tapi hari ni je tau. Esok saya keluar dengan awak dan yang lain-lain macam biasa. Tak apa, kan?” beritahu Irish. Memang tadi Izzul ada menghubunginya untuk makan tengahari bersama hari ini. Saja katanya memandangkan mereka belum pernah lagi keluar makan bersama sejak dia mula bekerja di sini.

“Tak ada hal lah, Cik Irish! Kitorang okay je. Kalau macam tu, saya keluar dululah.”

Okay. Pesan kat Zaryn, Kak Mai, Farisya dan Elaine saya minta maaf sebab tak dapat join hari ni, ya.”

Insyirah menunjukkan isyarat okay dengan jarinya di muka pintu. “Enjoy your lunch!”

You too!” balas Irish sambil tergelak kecil.


TENGKU HAFIY melangkah keluar dari lif sebaik sahaja pintu terbuka. Niat di hati ingin pulang ke rumah untuk makan tengahari memandangkan petang ini dia tiada sebarang mesyuarat atau temujanji dengan client syarikat. Sudah agak lama juga dia tidak pulang makan di rumah disebabkan jadual kerja yang padat.

Sebaik tiba di ruang legar syarikat, Tengku Hafiy terpandangkan kelibat seorang gadis sedang duduk di sofa yang disediakan di ruangan itu. Sepertinya sedang menunggu seseorang. ‘Tunggu siapa pulak dia kat situ? Atau ada masalah?’ desisnya. Tengku Hafiy tidak jadi meneruskan langkah. Sebaliknya kaki dihayun menghampiri gadis tersebut.

“Cik Irish. Assalamualaikum.”

Irish yang sedang duduk membelakangi Tengku Hafiy, sedikit terkejut lantas bangun dan berpaling ke belakang. Berderau darahnya melihat wajah itu yang tiba-tiba sahaja muncul. “Waalaikumussalam. Tengku!”

“Cik Irish buat apa kat sini. Tak pergi lunch? Atau tunggu seseorang?” soal Tengku Hafiy melihatkan gadis itu hanya bersendirian di situ.

“Ha, ya! Saya tengah tunggu orang.”

“Siapa?”

“A....”

“Irish!” belum sempat Irish ingin membuka mulut, kedengaran satu suara memanggil namanya. Serentak dia dan Tengku Hafiy berpaling ke arah suara tersebut.

“Izzul!”

“Eh, Hafiy!”

“Hey, Zul! Kau buat apa kat sini? Meeting ke?” tanya Tengku Hafiy sambil berjabat tangan dan berpelukan dengan rakannya itu.

“Tak adalah. Aku nak jemput Irish. Nak pergi lunch.”

What??! Kau dengan Irish? Lunch? Eh, kau biar betul Zul! Jangan nak buat hal. Tahu dek Fiya, nahas kau!”

Sebaik mendengar kata-kata tersebut, spontan Izzul tergelak besar. Dia yakin lelaki itu masih tidak tahu-menahu tentang perkara yang sebenar. Irish yang sedari tadi hanya memerhati, mula berasa kasihan melihat majikannya itu terpinga-pinga ditertawakan sebegitu rupa.

“Along, dah-dahlah ketawa tu!” tingkah Irish sambil memukul lembut lengan Izzul, berharap agar alongnya itu berhenti ketawa.

“Hah?! Along?” sekali lagi Tengku Hafiy terkejut. Matanya dialihkan pada Izzul dan kemudian Irish silih berganti meminta penjelasan.

“Ha, betullah tu. Along.”

Means, kau dengan Irish....,”

“Irish ni adik akulah. Kan ke aku ada cakap kat kau nak tolong carikan kerja untuk adik aku hari tu. Then kau suruh pass resume kat secretary kau, kan? Adik aku yang nilah!” terang Izzul bersama tawanya yang masih bersisa. Gelihati melihat rakannya itu tidak berkedip mata memandangnya.

“Ya Allah!” Tengku Hafiy menepuk dahinya. “Baru aku ingat! Aku tercari-cari jugaklah yang mana satu adik kau yang kau cakap tu. Tak sangka pulak Irish yang ni rupanya adik kau! Serius, aku lupa lansung!”

“Ha, tulah! Lain kali serkap jarang lagi. Nasib kau kawan aku. Kalau tak....,” Izzul memaut leher Tengku Hafiy sambil menunjukkan buku limanya, membuatkan tawa rakannya itu pula yang berderai.

Sorrylah, bro! Mana aku nak tahu. Patutlah masa interview Irish hari tu aku asyik teringatkan kau je. Rupanya memang ada kena-mengena!”

That’s we called sibling’s connection!” ujar Izzul membuatkan ketawa mereka terhambur lagi. Irish yang masih lagi termangu, turut tersenyum melihat gelagat dua rakan tersebut.

So, kau nak bawa adik kau pergi lunchlah ni?” Tengku Hafiy menyoal sebaik tawanya reda.

“Yup! Saja ajak dia temankan aku lunch hari ni. Alang-alang dah jumpa kau ni, jomlah sekali!”

“Tak apa ke?” Tengku Hafiy memandang Izzul dan kemudiannya Irish meminta kepastian. Takut pula jika dia akan mengganggu privacy dua beradik itu.

“Alaa.... jom jelah! Lagipun aku dah lama tak lepak makan-makan dengan kau.” Izzul terus sahaja menarik bahu rakannya itu untuk beredar sambil memanggil adiknya di belakang sebelum mereka bertiga melangkah keluar dari bangunan itu menuju ke kereta.


SEBUAH restoran yang menyediakan masakan kampung menjadi pilihan mereka untuk menu makan tengahari hari itu. Sambil makan mereka berbual-bual, bercerita dan berkongsi perkembangan terkini diri masing-masing. Suara Tengku Hafiy dan Izzullah yang lebih banyak kedengaran berbanding Irish. Gadis itu hanya sesekali mulutnya berbicara apabila diajukan pertanyaan. Dia lebih gemar mendengar along dan rakannya itu berbual sambil menikmati hidangan sendiri. Lagipun tidak ada cerita menarik yang ingin dia kongsikan. Ada ketika bila dia kebosanan, matanya meliar melihat sekeliling restoran yang dipenuhi dengan pelanggan-pelanggan ketika itu.

“Irish.”

Tiba-tiba Izzul yang berada di sebelah menyikunya.

“Hmm?”

“Dengar tak Hafiy tanya tu?”

“Tanya apa, ya?”

“Macam mana kerja dengan syarikat dia so far? Okay ke?” Izzul mengulangi soalan yang ditanya Tengku Hafiy sebentar tadi.

“Oh! So far, okay. Alhamdulillah,” jawab Irish ringkas sambil mengukir senyum.

“Tu je?”

“Hmm.”

Izzul menghela nafasnya. “Macam nilah adik aku, Fiy. Susah betul mulutnya nak bercakap. Lagi-lagi orang yang dia tak biasa. Sepuluh patah ditanya, setengah patah je dijawab. Kadang-kadang tak jawab lansung. So, kau kena faham-fahamlah kalau kat ofis dia memang tak banyak cakap. Tapi kau make sure dia buat kerja. Kalau tak, report je kat aku!”

“Along ni!” Sekali lagi Irish memukul lembut lengan Izzul. Mukanya juga sudah kemerahan menahan malu apabila diusik oleh lelaki itu di hadapan majikannya.

“Tak betul ke apa along cakap ni? Betul, kan?”

“Dahlah, Zul. Kesian adik kau tu. Merah dah muka dia. Kau ni dari time belajar sampai sekarang tak berubah, kan? Suka menyakat orang. Dulu si Fiya. Sampai menangis dia kau kerjakan!”

Izzul tergelak mendengarkan Tengku Hafiy menyebut nama isterinya. Sememangnya Tengku Hafiy mengenali Safiya ketika mereka belajar di Universiti Putra Malaysia dulu. Cuma kursus yang diambil oleh Safiya sahaja berbeza dengan mereka berdua. Safiya dalam jurusan perakaunan sementara mereka di bidang kejuruteraan. Dan selepas mereka menamatkan Ijazah Sarjana Muda di UPM, dia dan Safiya mengambil keputusan untuk bekerja manakala Tengku Hafiy menyambung pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana di luar negara.

“Eh, kau bila nak kawin dengan Helena ni? Dah nak setahun kan korang bertunang?” tiba-tiba soalan itu dibangkitkan oleh Izzul.

“Belum lagi kut Zul buat masa sekarang. Aku nak fokus pada syarikat dulu. Bila semua dah okay, bolehlah lansung. Lagipun aku tunggu adik aku yang sorang tu balik sini dulu. Lepas tu bolehlah fikir.”

“Adik kau yang kat oversea tu?”

“Yup!”

“Hmm.... lama jugak dia dah merantau, kan. Selama tu jugaklah aku tak pernah jumpa dia. Amacam dia sekarang? Makin handsome macam kau, ada?”

Handsome macam aku tu tak adalah. Sebab dia memang dah handsome dari aku sejak dulu lagi. That’s whylah sampai macam ni perempuan beratur nakkan dia. Dia je yang tak nak. Pelik aku!” ujar Tengku Hafiy sambil menunjukkan isyarat dengan tangannya pada Izzul.

“Eleh, tak mengaku konon! Kau pun dulu sampai macam ni hah perempuan beratur nak, kan? Kau tu je yang jual mahal!” Izzul membidas kembali kata-kata Tengku Hafiy dengan menunjukkan isyarat tangan yang sama pada rakannya itu.

“Aku lain!”

“Lain apanya, bro? See? Tak nak kalah jugak!”

Dan kedua-dua mereka tertawa bila menyedari tingkah mereka sudah seakan-akan seperti waktu belajar dahulu. Sering bergurau dan bertelingkah.

“Hai! Ni kalau kat rumah kau ni Fiy, gerenti Mak Engku dah bising tengok aku dengan kau dah start gaduh. Hmm.... lama dah aku tak ke sana jumpa parents kau. Apa khabar mereka sekarang?” tanya Izzul. Terimbau kembali zaman dahulu sewaktu belajar. Memang dia sering berkunjung ke villa keluarga Tengku Hafiy. Adakalanya hingga bermalam di villa tersebut.

“Sihat, Alhamdulillah. Ha! Sebut pasal rumah aku. Sabtu minggu depan lepas Isya’ datanglah bawa Fiya dengan anak-anak kau sekali ke rumah. Parents aku ada buat majlis kesyukuran sikit sempena anniversary diorang. Mama aku memang dah pesan awal-awal suruh jemput kau. Dah lama sangat tak jumpa katanya. Rindulah tu dengan anak dan cucu-cucu angkat dia tu!”

Izzul tergelak kecil. “Insyaallah, kalau tak ada apa-apa nanti aku datang.”

“Bawalah Irish ni datang sekali, Zul. Kut mama aku berkenan nak jadikan dia anak angkat macam abang dia jugak. Irish nanti jemput datang sekali, ya?” pinta Tengku Hafiy. Gelaran ‘Cik’ yang biasa digunakan apabila memanggil gadis itu juga sudah tidak kedengaran lagi selepas mengetahui gadis itu adalah adik kepada Izzul.

Irish yang sedari tadi hanya menjadi pemerhati, hanya tersenyum. Bila melihatkan telatah alongnya dan Tengku Hafiy, spontan dia teringat pada Athirah. Begitu jugalah mereka bila berjumpa. Ada sahaja yang hendak digaduhkan. Tiba-tiba dia jadi rindu pula pada teman baiknya itu.

“Dah nak pukul 2.00 ni. Jomlah gerak.” Izzul mengerling sekilas jam di tangan. Baru tersedar yang masa rehat hampir tamat. Dia kemudiannya memanggil pelayan restoran untuk membawakan bil makan tengahari itu. Seketika kemudian, datang seorang pelayan ke meja mereka lalu meletakkan bil di hadapan Izzul.

“Tak apa, Zul. Aku bayar.” Tengku Hafiy menawarkan diri untuk membayar kesemua jumlah bil tersebut.

“Eh! Janganlah macam tu, Fiy. Aku yang ajak kau tadi.”

“Tak apa. Aku ihklas nak belanja kau dengan adik kau.”

Izzul sudah tidak dapat berkata apa-apa bila melihatkan rakannya lebih pantas mengeluarkan wang lalu diserahkan kepada pelayan yang setia menunggu di situ.

Okay. Let’s go!” ujar Tengku Hafiy yang sudah pun berdiri sesudah bil makan tengahari mereka selesai dibayar.


HYUNDAI Sonata putih milik Izzul berhenti di hadapan bangunan Haiyan Holdings. Setelah makan tengahari bersama sebentar tadi, dia singgah di syarikat itu sebentar untuk menghantar Irish dan Tengku Hafiy sebelum memandu pulang ke pejabatnya.

“Balik nanti sampaikan salam along pada umi dah ayah semua, Irish.” Izzul sempat berpesan pada adiknya setelah mereka bertiga keluar dari kereta. Irish hanya menganggukkan kepala. Baru sahaja Izzul ingin berpaling, Irish memanggilnya semula. Izzul kembali menghadap adiknya. “Kenapa?”

Tanpa menjawab soalan itu, Irish menghulurkan tangan untuk bersalam.

Sorry, along lupa!” tingkah Izzul. Lantas huluran itu disambut sebelum Irish tunduk dan mencium tangannya. Seraya itu juga kepala gadis itu dikucup seperti selalu. Entah mengapa, setiap kali dia berbuat begitu, hatinya pasti berasa sayu. Dihantar langkah adiknya itu masuk ke dalam bangunan pejabat bersama satu pandangan yang sukar untuk dimengerti.

“Manja Irish dengan kau.”

Tengku Hafiy yang sedari tadi memerhati gelagat dua beradik itu, menegur rakannya yang tidak lepas-lepas dari memandang langkah Irish sehingga tubuh gadis itu menghilang.

“Biasalah. Adik perempuan bongsu.“

“Tak tahu pulak aku kau ada adik cun macam tu. Kalaulah aku belum bertunang, silap hari bulan aku boleh jadi adik ipar kau kut!” selamba sahaja Tengku Hafiy berkata sambil berpeluk tubuh dan bersandar pada kereta Izzul.

“Ha, mulalah tu!”

Tengku Hafiy sudah tergelak-gelak. “Aku gurau jelah, bro!”

“Tahu.” Balas Izzul selamba. “Sorrylah kalau adik aku tu menyusahkan kau bila dia kerja kat sini. Sekarang dan nanti-nanti.”

“Eh, tak adalah! Dia tak pernah menyusahkan sesiapa pun. Biasalah budak baru nak bekerja, banyak benda yang kena belajar. Macam kita jugak dulu-dulu. Lama-lama esok pandailah nanti. Jangan risaulah, Zul. Adik kau tu pandai bawa diri. Sejak dari interviewhari tu aku dah suka dengan cara dia. Budak-budak kat office pun ramai yang senang dengan dia.”

Sedikit sebanyak penjelasan Tengku Hafiy itu melegakan hati Izzul.

“Kau tolonglah tengok-tengokkan adik aku tu kat sini, Fiy.”

“Insyaallah, aku akan tengok-tengokkan dia. Kau jangan risau, okay!” Tengku Hafiy lantas memaut bahu Izzul yang berada di sebelah, seakan berjanji untuk terus meyakinkan rakannya itu.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku