BAYANGAN GURAUAN
Teaser 11
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 15 September 2015
** ALHAMDULILLAH.. Bayangan Gurauan sudah diterbitkan pada Januari 2017 under Alaf 21 / Karangkraf & kini sudah berada di pasaran.. Anda boleh dapatkannya melalui belian secara online di Karangkraf Mall, melalui Whatsapp, di outlet Karangkraf & juga di kedai-kedai buku berhampiran anda.. Terima kasih semua yang setia dan sabar menanti BG selama lebih 3 tahun ini.. Salam sayang dari #HarrysIrish.... ^_^
Penilaian Purata:
(7 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
6372

Bacaan






BAB 11

IRISH membelokkan keretanya memasuki perkarangan sebuah rumah teres berkembar dua tingkat. Kelihatan kedua-dua kereta Izzul serta isterinya terparkir elok di dalam garaj. Malam ini nampaknya dia akan bermalam di sini memandangkan permintaan alongnya yang inginkan dia turut serta ke majlis ulangtahun perkahwinan ibu bapa Tengku Hafiy, yang juga merupakan majikannya. Ikutkan hati memang dia keberatan untuk pergi. Maklumlah, kalau dah majlis itu diadakan oleh orang yang berketurunan kerabat diraja, sudah tentulah tetamu-tetamu yang hadir nanti bukan calang-calang orang. Tetapi bila mengenangkan alongnya yang beria-ia mengajak, ditambah pula Tengku Hafiy yang sudah mengingatkannya berkali-kali untuk hadir, tidak sedap pula jika tidak diturutkan permintaan kedua-dua insan yang telah banyak berjasa pada dirinya itu.

Irish keluar dari kereta lantas mengambil barang-barangnya di bahagian belakang. Setelah itu, dia memberi salam pada tuan rumah di dalam. Beberapa ketika, pintu rumah dibuka. Kelihatan seorang kanak-kanak menjengulkan kepalanya keluar.

Yeay! Acik Irish dah sampai!” jeritnya dan terus meluru keluar mendapatkan Irish lantas dipeluk erat ibu saudaranya. Pelukan Alief Qusyairi itu dibalas oleh Irish.

“Ermm.... rindunya Acik Irish kat Airi ni. Lama tak jumpa. Adik Qis mana?” Irish bertanyakan tentang anak Izzul yang seorang lagi, Aliefa Qisrina.

“Adik ada kat dalam dengan papa dan mama,” jawab kanak-kanak berusia tujuh tahun itu dengan begitu lancar. “Jomlah masuk, Acik Irish. Meh, Airi tolong bawakkan beg.” Diambilnya satu beg yang bersaiz kecil lalu digamit tangan ibu saudaranya untuk masuk ke dalam rumah. Irish hanya menuruti langkah anak kecil itu.

“Papa! Mama! Acik Irish dah sampai dah!” laung Airi sebaik melangkah masuk ke ruang tamu rumah Izzul. Tangan Irish ditarik ke sofa untuk duduk di sebelahnya. Selang beberapa minit kemudian, kelibat Izzul dan Safiya serta Qisrina yang berada di dalam dukungan papanya muncul dari arah dapur. Irish bangun untuk bersalaman dengan along dan kakak iparnya, kemudian mengambil Qisrina dari dukungan Izzul.

“Irish duduklah dulu. Kak long buat air kejap ya,” ujar Safiya lalu masuk semula ke dapur meninggalkan suami, adik ipar serta anak-anaknya di ruang tamu.

“Pukul berapa Irish gerak tadi?” Izzul memulakan perbualan sebaik melabuhkan duduknya di sofa bertentangan dengan Irish. Qisrina yang sudah terlentok di pangkuan Irish dipandang sekilas. Memang anak-anaknya agak manja dengan adiknya itu.

“Lepas Asar tadi terus gerak. Umi, ayah dengan Irhan kirim salam kat along sekeluarga.”

“Waalaikumussalam. Nanti esok Irish balik along ingat nak ikut sekali. Kesian kat budak-budak ni asyik tanya bila nak balik rumah atuk dengan nenek dia.”

Irish hanya tersenyum mendengar. Qusyairi di sebelah sudah tersengih-sengih memandangnya. “Eloklah, long. Umi pun dah rindu dengan cucu-cucu dia yang kat sini.” Kepala Qisrina yang terlentok di bahunya dicium. Ketika itu juga Safiya muncul dari dapur dengan menatang dulang berisi air dan sedikit kuih-muih.

“Pukul berapa along nak pergi rumah Tengku malam ni?”

“Lepas Isya’ dalam pukul 8.45 macam tu.”

“Ada party ke?”

“Ishh, tak adalah! Keluarga Tengku bukan jenis macam tu. Diorang bukan macam sesetengah orang kaya yang suka berparti. Cuma buat majlis doa selamat and then kenduri arwah sekali. Lepas tu adalah jamuan sikit,” jelas Izzul.

Irish mengangguk-anggukkan kepalanya. Nasib baiklah dia ada membawa sepasang kurung moden dari rumah tadi. Kalau tidak, terpaksalah dia pinjam dengan kakak iparnya.

“Minumlah, Rish. Makan kuih tu. Kak Long tak ada buat apa. Ni pun along yang beli tadi kat cafe depan sana.” Safiya mempelawa Irish untuk menjamah sedikit hidangan di atas meja.

“Tak apa, Kak Long. Ini pun dah cukup.”

“Lepas minum Irish pergilah naik atas berehat. Lepas Isya’ nanti turun, kita gerak. Along nak keluar pergi cuci kereta kejap.” Izzul berpesan pada adiknya sebelum bangkit dari sofa. “Airi nak ikut papa?”

“Nak!”

Cepat sahaja anak kecil itu bangun mendapatkan papanya yang sudah berada di muka pintu.

“Nasiblah adiknya dah tertidur. Kalau tak, dengan budak-budak ni sekali nak ikut. Bukannya boleh tinggal diorang berdua ni!” ngomel Safiya, membuatkan Irish tertawa mendengarkannya. Qisrina yang sedang lena dipangkuan, ditepuk dengan lembut agar tidak terjaga dengan suara-suara mereka.


PERJALANAN yang memakan masa selama lebih kurang tiga puluh minit dari rumah Izzul itu berakhir di satu kawasan rumah golongan elit yang agak mewah. Kelihatan banglo-banglo yang berbagai reka bentuk dan gaya terdapat di sepanjang kiri dan kanan jalan menghala ke rumah keluarga Tengku Hafiy. 'Berapa jutalah agaknya diorang buat rumah besar-besar macam ni, ya?’ Irish menyoal di dalam hati. Terkesima seketika dia melihat rumah-rumah di sekitar kawasan yang agak berbukit itu. Ralit benar memerhati hingga tidak sedar rumah yang ingin dituju oleh mereka sudah semakin hampir.

Beberapa minit berlalu, Izzul memberhentikan keretanya di hadapan sebuah banglo besar yang dibina tinggi sedikit di atas sebuah bukit. Kawasan banglo itu kelihatan lebih luas berbanding banglo-banglo lain yang dilihatnya sebentar tadi. Terpampang sebuah papan tanda di hadapan pintu pagar dengan nama ‘Villa Haiyan’.

Okay, kita dah sampai. Jom!”

Izzul mendahului yang lain keluar dari kereta. Tangan isterinya digamit untuk masuk ke perkarangan villa sambil mendukung Qisrina. Irish yang memimpin tangan Qusyairi, mengekori mereka dari belakang. Kelihatan sudah ramai tetamu yang telah sampai ke teratak mewah milik ibu bapa Tengku Hafiy itu. Masing-masing mengenakan baju Melayu serta baju kurung bagi menghormati majlis doa selamat dan kenduri arwah yang diadakan pada malam ini.

“Assalamualaikum.” Izzul memberi salam sebaik terlihat kelibat Tengku Hafiy yang sedang sibuk menyambut kedatangan para jemputan yang hadir.

“Waalaikumussalam. Eh, Zul! Laaa.... aku ingatkan tak datang tadi!” sedikit terkejut lelaki itu melihat Izzul sekeluarga yang muncul tiba-tiba.

Sorry, lambat sikit. Budak-budak ni buat hal tadi.”

“Alaa.... biasalah budak-budak. Eh, jomlah masuk! Fiya, silakan. Ha, Irish pun ada! Alhamdulillah, sampai jugak. Jom, jom masuk!” pelawa Tengku Hafiy yang segak berbaju Melayu rona ungu gelap itu sebaik terpandangkan Safiya dan Irish. Sibuk benar nampaknya lelaki itu.

Melangkah masuk sahaja ke dalam villa tersebut, mata Irish tidak berkelip memandang keadaan sekeliling. Serasanya inilah kali pertama dia menjejakkan kaki ke dalam kediaman serba mewah begini.

‘Patutlah pejabat cantik. Rumah pun dah cantik macam ni.’ Namun pujian itu hanya terlahir di dalam hati.

Seluruh tetamu yang hadir duduk bersila di atas lantai membentuk satu bulatan, seperti kebiasaan yang dilakukan oleh masyarakat Melayu apabila mengadakan tahlil, kenduri atau majlis doa selamat. Semua kaum lelaki berada di ruangan hadapan, manakala wanita pula di ruang tengah villa tersebut. Selain ahli keluarga dan saudara-mara, tetamu yang hadir juga terdiri daripada rakan-rakan perniagaan dan sahabat handai Tengku Haiyan, Tengku Dafina serta anak-anak mereka.

Izzul mengambil tempat bersebelahan dengan Tengku Hafiy dan Tengku Haiyan. Qusyari turut dibawanya bersama menyertai para jemputan lelaki yang berada di situ. Sementara Safiya pula membawa Qisrina dan Irish duduk menyertai jemaah perempuan di ruangan tengah, bersebelahan dengan kakak Tengku Hafiy, iaitu Tengku Hazleen Damyra yang sudah dikenalinya itu.

Tepat jam 9.30 malam, majlis dimulakan dengan tahlil arwah dan bacaan yasin diikuti dengan bacaan doa selamat sempena meraikan hari ulangtahun perkahwinan Tengku Haiyan dan isterinya yang ke tiga puluh tiga tahun. Sememangnya Tengku Haiyan dan isteri akan menyambut ulangtahun perkahwinan mereka dengan mengadakan majlis sebegini pada setiap tahun yang dirasakan lebih afdal. Baginya, biarlah disambut dengan sederhana tetapi majlisnya mendapat keberkatan dan keredhaan dari Allah swt. Satu jam berlalu, majlis kenduri arwah dan doa selamat telah selesai dijalankan. Di kesempatan itu juga Tengku Haiyan memberikan sedikit ucapan kepada para tetamu yang sudi hadir ke teratak beliau bagi sama-sama menyempurnakan majlis malam ini. Sebentar kemudian, semua tetamu dipersilakan untuk menikmati jamuan yang telah disediakan di perkarangan villa. Izzul dan Safiya serta anak-anak mereka bersama Irish juga turut menyertai tetamu-tetamu yang lain. Dengan ditemani Tengku Hafiy, mereka duduk di salah satu meja yang disediakan untuk majlis malam ini.

“Helena tak datang ke, Fiy?” Izzul memulakan bicara tatkala mereka sedang menikmati juadah makanan.

“Tak. Dia balik kampung dengan family dia. Last minute, emergency.”

Izzul menganggukkan kepalanya perlahan. “Mana Mak Engku dengan adik perempuan kau? Dari tadi tak nampak-nampak.”

“Ada kut kat sini-sini. Sibuk memanjang dari siang tadi.” Tengku Hafiy turut memanjangkan lehernya mencari-cari kelibat mama serta adik perempuannya, Tengku Hazreen.

“Ramai betul tetamu malam ni. Silap hari bulan tak dapatlah aku jumpa Mak Engku.”

“Eh, apa pulak tak jumpanya. Jumpa nanti. Mama aku tengah sibuk melayan tetamu tu. Kau pun janganlah balik awal sangat. Lepaklah dulu. Lagipun dah lama kau tak datang sini, kan. Staylah lama sikit. Rumah kau bukannya jauh sangat pun!” Tengku Hafiy cuba memujuk rakannya itu agar tidak pulang awal. Dan seperti biasa, Izzul hanya menurut kata-kata itu memandangkan dia juga sememangnya ingin berjumpa dengan keluarga Tengku Haiyan yang sudah lama tidak ditemui.

 

WAKTU semakin membilang detiknya ketika para tetamu sudah beransur pulang meninggalkan kediaman tersebut. Hanya beberapa orang rakan-rakan dan saudara-mara Tengku Haiyan sahaja yang masih tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing.

“Izzul.”

Izzul yang sedang rancak berbual dengan Tengku Hafiy, sedikit tersentak dengan panggilan itu. Lantas dia menoleh ke belakang. Apabila matanya menangkap sesusuk tubuh, kuntuman senyum terlahir di bibirnya.

“Mak Engku. Apa khabar?” Izzul bingkas bangun dan bersalaman dengan Tengku Dafina.

“Sihat, Alhamdulillah. Izzul sihat? Lama dah kamu tak datang ke sini. Rindu betul Mak Engku!”

Tengku Dafina meraih huluran salam Izzul lalu dikucup kepala lelaki itu. Satu kebiasaan yang dilakukan pada semua anak-anaknya, termasuk Izzul. Memang hubungan Izzul dan Tengku Dafina agak rapat disebabkan Tengku Hafiy sering membawa lelaki itu bermalam dirumahnya sewaktu mereka masih menuntut di UPM dahulu. Sehinggakan lama-kelamaan Tengku Dafina mengambil Izzul menjadi anak angkatnya. Gelaran Mak Engku yang digunakan oleh Izzul itu juga atas saranan Tengku Dafina. Nampak lebih mesra dan sedap didengar padanya.

“Zul sihat, Mak Engku. Maaflah sibuk sikit. Tu yang jarang ada masa nak ke sini. Lagi-lagi Fiya tengah berbadan dua. Tak boleh nak tinggalkan sorang-sorang,” jelas Izzul sambil menoleh ke arah isterinya yang sedang memangku Qisrina yang sudah lena tidur.

“Laaa.... kesiannya cucu Nek Engku. Dah tertidur kat mama dia!” Tengku Dafina terus meluru ke arah Safiya apabila terpandangkan wanita itu sedang memangku anak kecilnya sedang tidur. Diusap lembut pipi Qisrina, dan kemudian matanya beralih pada Safiya. “Fiya sihat, nak? Baby dalam perut ni macam mana? Bila due?”

“Sihat, Mak Engku. Baby pun sihat, Alhamdulillah. Insyaallah lagi dua bulan macam tu,” Safiya membalas. Tangan Tengku Dafina diraih untuk bersalam. Sama seperti Izzul, kepala Safiya juga turut dicium oleh wanita itu.

“Yang heronya ni mana? Tak nampak pun.”

“Ada kat sana tu, dengan makcik dia. Sibuk nak tengok ikan dalam kolam katanya,” beritahu Izzul sambil menunjuk ke arah kolam ikan yang terletak di taman mini tidak jauh dari tempat mereka. “Airi! Mari sini salam dengan Nek Engku!”

Melihatkan Izzul memanggil Qusyairi, Irish mengajak anak buahnya itu kembali ke meja makan mereka yang ditinggalkan sebentar tadi. Kanak-kanak itu akur walaupun dia belum puas lagi melihat ikan-ikan di dalam kolam tersebut. Kakinya diatur mengikut langkah Irish. Sesampai di situ terus sahaja Qusyairi menyalami Tengku Dafina.

“Cucu Nek Engku ni belum tidur lagi? Tak mengantuk ke Airi?”

“Belum, Nek Engku. Seronok tengok banyak ikan dalam kolam tu. Kan, Acik Irish?” celoteh Qusyairi lalu memegang tangan Irish yang berada di sebelahnya. Irish yang mendengar hanya mempamerkan sebuah senyuman.

Tengku Dafina menyoroti pandangan kanak-kanak itu pada sesusuk tubuh yang berdiri di sebelahnya. Wanita itu kembali tegak berdiri. Dipandang wajah gadis yang dimaksudkan oleh Qusyairi sebentar tadi. Melihat gadis itu membuatkan Tengku Dafina memandang ke arah Izzul, seperti bertanya. Izzul yang memahami lantas menghampiri Irish dan memeluk bahu adiknya itu.

“Mak Engku, kenalkan ini adik perempuan Izzul. Irish.”

Irish memandang alongnya. Dan bila melihat Izzul menganggukkan kepala padanya, kakinya terus melangkah menghampiri wanita separuh usia itu.

“Assalamualaikum, Tengku. Apa khabar?” sapa Irish lalu menghulur salamnya. Sebaik Tengku Dafina menyambut huluran tersebut, lantas tangan wanita itu dikucup penuh hormat. Irish kemudian kembali menegakkan badannya sebelum ingin menarik tangan dari genggaman Tengku Dafina. Namun wanita itu seakan enggan melepaskan. Malah mata Tengku Dafina juga lansung tidak berkalih dari terus merenung wajahnya. Irish serba tidak keruan.

Agak lama Tengku Dafina berkeadaan begitu. Hinggalah tiba-tiba wanita itu menarik Irish dekat dengannya sebelum dikucup dahi gadis tersebut. Beberapa saat bibirnya menyentuh dahi Irish, barulah dilepaskan genggaman tangannya perlahan-lahan.

Irish tergamam. Sedikit terkejut dengan perlakuan tersebut. Terkaku sebentar dia di situ sebelum kakinya diatur menghampiri Izzul yang sudah pun kembali duduk bersama Qusyairi. Izzul yang seakan mengerti, hanya mengusap kepala Irish lalu memeluk bahu adiknya itu. Dia tahu Irish pasti terkejut dengan apa yang baru terjadi sebentar tadi.

“Mak Engku dah takutkan Irish, ya. Maaflah. Di luar sedar Mak Engku.” Tengku Dafina baru menyedari kertelanjurannya tadi. Dia sendiri tidak tahu bagaimana semua itu berlaku. Saat dari mula tadi dia melihat Irish, matanya ingin terus sahaja menatap wajah gadis tersebut. Seperti ada sesuatu yang menarik minatnya untuk terus menikmati wajah mulus itu.

“Tak apa, Tengku. Saya pun minta maaf sebab terkejut sikit tadi.”

“Ishh! Tak payahlah panggil tengku-tengku. Panggil Mak Engku je, Irish. Sama macam abang kamu.”

Irish kembali melemparkan senyum mendengar kata-kata wanita itu sebelum mengangguk perlahan.

“Ni adik kamu yang dah kahwin tu ke, Izzul?”

“Eh, bukanlah Mak Engku. Ini adik perempuan Izzul yang bongsu. Belum kahwin lagi. Yang dah kahwin baru dua orang.”

“Oh, iya ke? Masih belajar lagi?” tanya Tengku Dafina lagi. Hatinya bagai teruja ingin mengetahui tentang gadis bernama Irish itu.

“Ma, nilah adik Izzul yang baru kerja dekat syarikat papa tu.” Tengku Hafiy yang sedari tadi hanya menjadi pemerhati, mencelah perbualan tersebut.

“Sebut-sebut nama papa ni, ada apa-apa yang papa boleh joinke? Hmm?”

Tiba-tiba suara Tengku Haiyan muncul di situ, membuatkan semua menoleh ke arahnya. Kedua-dua anak perempuannya serta suami Tengku Hazleen juga turut ada bersama. Oleh kerana kesemua tetamu yang hadir untuk majlis malam itu telah pun pulang, mereka tidak ingin melepaskan peluang untuk turut serta berkumpul menyertai perbualan di dalam kelompok yang masih tegar berada di situwalaupun malam sudah semakin larut.

“Tak ada apalah, papa. Ni Hafiy tengah kenalkan staff baru syarikat papa pada mama ni.”

Staff baru?”

“Iya. Salah satu staff baru yang Hafiy cerita kat papa tempoh hari. Perkenalkan, Irish Qiara Izzuddin. Our new Financial Executive in Haiyan Holdings. Dan juga merupakan adik kepada kawan baik Hafiy, Izzul Qalief Izzuddin.” Lagak Tengku Hafiy seperti membuat satu pengumuman penting sambil menunjuk ke arah Irish.

“Laa.... iya ke? Kecik betul dunia ni. Pusing sana pusing sini, bertembung jugak akhirnya!” seloroh Tengku Haiyan lalu mengambil tempat duduk di sebelah Tengku Hafiy. Tengku Dafina juga turut mengambil tempat bersebelahan suaminya bersama-sama yang lain.

“Itulah. Masa finalised calon-calon hari tu, Hafiy tak tahu pun Irish ni adik Zul. Dah seminggu lebih dia kerja, baru dapat tahu. Itupun sebab bertembung dengan si Zul dan adiknya ni. Kalau tak, sampai sekarang pun Hafiy tak tahu kut.”

Tengku Haiyan mengangguk-anggukkan kepalanya. “Pak Engku minta maaflah ya Irish tak dapat nak menjenguk staff yang baru masuk ke syarikat. Tak berkesempatan lansung. Ha.... ni dah jumpa malam ni, dapatlah jugak kenal-kenal. Nak-nak pulak adiknya si Izzul ni, ya!”

“Ada jodohlah tu!”

“Siapa yang ada jodoh?” Tengku Dafina menyoal anak bongsunya yang tiba-tiba mencelah.

“Jodoh Kak Irishlah,” balas Tengku Hazreen.

“Jodoh dengan siapa pulak ni, Reen?” Tengku Dafina seakan tidak dapat menangkap maksud kata-kata anaknya.

“Siapa lagi. Dengan anak mamalah!”

“Siapa? Dengan abang awak ni? Tak payah! Yang dah diikat tu pun belum menjadi, ada hati nak cari lain!” bidas Tengku Hazleen dengan selamba, membuatkan semua yang ada memandang Tengku Hafiy dan tertawa. 

“Eh! Hafiy tak ada cakap apa-apa pun, ya. Adik tu yang memandai!”

“Ishh, bukan abanglah! Jangan perasan! Tengoklah dengan siapa-siapa nanti. Yang pasti, masih single and available!” ujar Tengku Hazreen dengan lirikan senyum penuh makna.

Dan perbualan mereka berlanjutan hingga ke topik-topik yang seterusnya. Adakala mereka ketawa, ada masa tergelak besar bila ada cerita lucu yang terkeluar. Ibarat seperti sebuah keluarga besar yang sedang berkumpul untuk satu pertemuan istimewa malam ini. Hinggalah jam menginjak ke angka 2.00 pagi, barulah Izzul sekeluarga meminta diri untuk pulang.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku