BAYANGAN GURAUAN
Teaser 12
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 15 September 2015
** ALHAMDULILLAH.. Bayangan Gurauan sudah diterbitkan pada Januari 2017 under Alaf 21 / Karangkraf & kini sudah berada di pasaran.. Anda boleh dapatkannya melalui belian secara online di Karangkraf Mall, melalui Whatsapp, di outlet Karangkraf & juga di kedai-kedai buku berhampiran anda.. Terima kasih semua yang setia dan sabar menanti BG selama lebih 3 tahun ini.. Salam sayang dari #HarrysIrish.... ^_^
Penilaian Purata:
(5 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
5827

Bacaan






BAB 12 

“HAFIY, papa kamu mana?” Tengku Dafina yang muncul dari dapur bertanyakan tentang keberadaan suaminya pada Tengku Hafiy. Mereka sekeluarga baru sahaja selesai menikmati makan malam bersama. Selepas itu dia dibantu anak gadis dan dua pembantu rumahnya, Mak Ros dan Dewi, mengemas meja makan sementara Tengku Haiyan dan Tengku Hafiy melangkah ke ruang istirehat untuk menonton televisyen. Namun kini suaminya entah ke mana menghilang.

“Ada kat luar tu, ma. Pak Ngah telefon tadi,” balas Tengku Hafiy yang sedang menyaksikan perlawanan bola sepak pasukan kegemarannya, Manchester United bertemu dengan pasukan Chealsea di kaca televisyen. Pandangannya ditoleh sekilas pada Tengku Dafina yang sudah melabuhkan duduk di sebelah sebelum menumpukan semula perhatian pada perlawanan tersebut.

Tengku Dafina memanjangkan leher melihat ke arah luar, mencari-cari kelibat suaminya. Dari kejauhan dia nampak lelaki itu sedang bercakap di telefon dengan seseorang di talian. Beberapa minit berlalu, Tengku Haiyan masuk semula ke dalam. Langkahnya diatur menuju ke ruangan istirehat menyertai anak dan isterinya di situ.

“Pak Ngah kirim salam semua,” beritahu Tengku Haiyan. Salam daripada abangnya, Tengku Arham pada keluarganya selamat disampaikan.

Ketika itu juga Tengku Hazreen muncul dari dapur sambil menatang dulang berisi minuman panas dan sedikit buah-buahan sebagai pencuci mulut. Selepas menghidangkannya, dia duduk di salah sebuah sofa yang terdapat di situ lalu berbaring menyertai keluarganya menonton televisyen.

“Ada apa Abang Ngah telefon, bang?” Tengku Dafina menyoal suaminya.

“Tak ada apa. Saja tanya khabar. Dia minta maaf sebab tak dapat datang majlis kita minggu lepas. Dia dengan wife ada urusan kat Amerika. Sambil tu pergi jenguk sekali anak mereka kat New York tu.”

Tengku Dafina terangguk-angguk mendengarkan kata-kata suaminya. Tengku Hafiy dan Tengku Hazreen pula hanya mendiamkan diri sambil mata tidak lepas dari perlawanan bola sepak yang sedang berlansung di layar televisyen LED bersaiz enam puluh inci itu. Suasana menjadi sepi seketika.

“Err.... Hafiy. Boleh mama tanya sikit?” Tengku Dafina kembali bersuara memecah kesepian.

“Tanya apa, mama?”

“Pasal Irish.”

Serentak itu Tengku Hafiy menoleh, sedikit hairan apabila nama gadis itu tiba-tiba disebut. “Irish? Kenapa dengan Irish?”

“Hafiy selalu ke jumpa Irish kat pejabat?”

Soalan itu membuatkan Tengku Hafiy sedikit lega. Tumpuannya terarah kembali pada perlawanan yang diikutinya semenjak tadi. “Kalau dah pejabat kitorang satu level memang hari-harilah jumpa, ma”

“Sepanjang dia bekerja kat syarikat, Hafiy tengok Irish tu macam mana?”

She’s okay, ma. Cuma agak pendiam sikit. Susah nak bercakap atau berbual dengan orang yang dia tak biasa ataupun baru kenal. Bercakap bila dia rasa perlu je.”

“Hmm, kerja dia kat syarikat macam mana?” Tengku Haiyan mencelah.

“Kerja dia okay. Papa tak payahlah risau. Walaupun mulut tak banyak cakap tapi kerja dia memuaskan. Cepat catch up, rajin belajar, rajin bertanya dengan senior-senior dan staff-staff bawahan. Baguslah macam tu. Kurangkan bercakap, lebihkan kerja.”

Tengku Haiyan menganggukkan kepala tanda berpuas hati dengan jawapan yang didengarinya. Sebagai pengerusi syarikat, serba sedikit kenalah juga dia mengambil tahu tentang pekerja-perkerjanya, terutama yang masih baru seperti Irish.

“Habis selalu bersendirilah Irish kat pejabat tu, ya? Kurang bergaul dengan yang lain-lain?” duga Tengku Dafina.

“Ishh, tak adalah mama! Dengan sesetengah orang je dia kurang bercakap. Tapi dengan orang yang dia dah biasa, boleh nampaklah dia nak bergaul. Hafiy tengok budak-budak kat office tu pun semua sukakan dia. Termasuklah makcik-makcik cleaner tu. Siapa yang pandai pancing dia, dapatlah berbual dengan dia. Izzul sendiri pun cakap yang adik dia memang macam tu. Nak buat lagu mana, ma. Dah memang rupa itu,” terang Tengku Hafiy panjang lebar.

“Dengan kamu, nak dia bercakap?”

“Dengan Hafiy memang taklah! Pemalu sikitlah si Irish tu dengan Hafiy. Segan kut dengan kawan abangnya ni. Eh! Yang mama ni asyik tanya-tanya pasal Irish ni, kenapa? Dah berkenan ke? Untuk siapa? Untuk Hafiy?”

“Ishh, budak ni! Ke situ pulak! Tak ada apa-apalah. Saja je tanya. Tak sangka pulak selama ni Izzul ada adik perempuan macam tu. Baik nampaknya. Lemah lembut, sopan santun, hormat orang. Orangnya pun cantik. Sejuk mata mama tengok dia. Pandai Izzul sorok adik dia selama ni, ya.”

Spontan kedengaran suara Tengku Hazreen berdehem. Mulutnya ditutup cuba menahan tawa.

“Ha! Yang kamu ni dah kenapa, Reen? Sakit tekak?” tingkah Tengku Dafina seraya menghadiahkan satu jelingan pada anak bongsunya itu, membuatkan ketawa yang cuba ditahan oleh Tengku Hazreen sedari tadi terburai juga akhirnya.

“Alaa.... mama. Kalau mama dah berkenan sangat, apa tunggu lagi. Mama kan ada sorang lagi anak bujang. Tak payah risau-risaulah!”

“Siapa? Abang kamu lagi sorang tu?”

“Yelah, ma. Siapa lagi? Nak bagi kat yang ni, dah berpunya dah. Sorrylah ya Mr. Hafiy. Melepas peluang!”

Spontan tangan Tengku Hafiy mencapai sebiji bantal di sebelahnya lalu dilemparkan pada Tengku Hazreen. Namun adiknya itu lebih pantas menangkap. Sudahnya, dia hanya ditertawakan oleh gadis itu.

“Kuat menyakat betul! Tak padan dengan kecik!”

“Ikut perangai siapa? Perangai abang dia jugak, kan? Tapi betullah. Reen pun suka jugak dengan Kak Irish tu. Tak banyak cakap. Masa mula-mula jumpa dia malam tu, dah rasa something special dengan akak ni. Kak Leen pun cakap benda yang sama,” akui Tengku Hazreen mula bercerita.

“Kenapa pulak?” tanya Tengku Hafiy hairan.

“Yelah. Kita yang banyak bercakap ni, kalau berjumpa dengan orang tak banyak cakap, kan rasa tercabar. Mesti akan rasalah challenge tu! Rasa macam.... nak jugak cakap dengan dia, nak jugak borak dengan dia. Macam-macamlah cara nak grab attention dia. Sampailah dia dah buka mulut, nak bercakap, nak berbual dengan kita. Hah! Masa tulah kita rasa puas!”

Dalam hati Tengku Hafiy mengiakan kata-kata adiknya. Terkadang dia ingin juga berbual-bual dan lebih mengenali adik rakan baiknya itu. Namun gadis itu lebih gemar mendiamkan diri. Hanya bersuara bila disoal. Itupun boleh dibilang dengan jari hanya berapa kali Irish mahu bercakap dengannya. Bak kata Izzul, sepuluh patah ditanya, setengah patah sahaja yang dijawab. Memang satu cabaran baginya untuk membuatkan gadis itu menjadi mesra dan tidak segan dengan dirinya.

“Irish tinggal dengan Izzul ke, Fiy?” pertanyaan lanjut dari Tengku Dafina sekaligus mematikan lamunan Tengku Hafiy.

“Tak adalah, ma. Izzul cakap Irish tinggal dengan parents diorang. Kalau balik kerja lewat atau ada hal penting je Irish stay rumah Izzul.”

“Hmm. Ada masa nanti Hafiy ajaklah Izzul dengan adiknya ke sini lagi. Bolehlah kita borak-borak panjang. Izzul pun lama dah tak bermalam kat sini, kan.”

“Insyaallah, mama. Nanti-nanti Hafiy sampaikan pada Izzul.”

Jawapan dari anak lelakinya itu membuatkan Tengku Dafina tersenyum lega. Memang dia teringin sekali mengenali adik Izzul itu dengan lebih dekat. Sejak pertama kali dia terpandangkan Irish pada malam majlis ulangtahun perkahwinannya minggu lalu, hatinya sudah jatuh sayang. Harapannya, moga akan ada pertemuan-pertemuan yang seterusnya selepas ini bersama gadis manis itu.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku