BAYANGAN GURAUAN
Teaser 14
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 15 September 2015
** ALHAMDULILLAH.. Bayangan Gurauan sudah diterbitkan pada Januari 2017 under Alaf 21 / Karangkraf & kini sudah berada di pasaran.. Anda boleh dapatkannya melalui belian secara online di Karangkraf Mall, melalui Whatsapp, di outlet Karangkraf & juga di kedai-kedai buku berhampiran anda.. Terima kasih semua yang setia dan sabar menanti BG selama lebih 3 tahun ini.. Salam sayang dari #HarrysIrish.... ^_^
Penilaian Purata:
(6 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
5947

Bacaan






BAB 14 

“ZUL! Dah lama ke sampai?” Tengku Hafiy menyapa Izzul sambil menepuk lembut bahu rakannya itu yang sedang duduk menunggu. Petang itu dia mengajak Izzul berjumpa di sebuah restoran kegemaran mereka yang menyediakan makanan ala western. Dulu sewaktu masih belajar dan sebelum Izzul berkahwin, tempat inilah yang kerap dikunjungi mereka kerana begitu menyukai menu-menu yang disajikan.

“Adalah dalam sepuluh minit macam tu,” jawab Izzul sambil melihat sekilas jam di tangannya. Safiya di rumah sudah dimaklumkan tentang kelewatan mereka untuk pulang ke rumah kedua orang tuanya hari ini kerana ada temujanji bersama Tengku Hafiy.

“Oh, ya ke? Sorrylah lambat sikit. Jalan jammed tadi. Biasalah, malam ni malam minggu. Semua orang nak keluar. Dah order belum?” soal Tengku Hafiy sambil menanggalkan kaca mata hitamnya.

“Dah. Kau punya pun aku dah orderkan sekali. Our favourite foods here!”

Yeah! That’s why you were my best friend, man!”

Tengku Hafiy menyuakan buku limanya sebelum disambut oleh Izzul yang turut melakukan hal yang sama. Begitulah cara mereka menunjukkan keserasian masing-masing semenjak dulu.

“Ada apa kau nak jumpa aku ni, Fiy?” Izzul memulakan bicara mereka petang itu.

“Saja. Lagipun dah lama kita tak lepak-lepak minum macam ni. Yelah, orang tu dah kahwin kan. Dah ada anak tiga pun!”

“Ha, tulah! Aku suruh kahwin cepat-cepat, tak nak. Nak ke mana-mana ada teman. Hujung minggu pun ada orang nak dipandang, dilayan. Tak adalah sunyi macam ni. Tengok.... aku jugak yang kena layan sunyi kau tu, kan!” Izzul menyakat rakannya itu kembali, menyebabkan ketawa mereka kedengaran.

“Bukan tak nak, bro. Cuma masanya tu belum sampai lagi. Tapi since kau dah cakap macam ni, aku rasa dah sampai masanya kut.”

“Hah! Bila?”

Muka Izzul mula berseri-seri. Memang inilah berita yang dinanti-nantikannya selama ini.

“Tengoklah. Kalau tak ada aral melintang, tak ada apa-apa masalah, dalam tahun ni kut. Insyaallah.”

“Serius?? Alhamdulillah. Cepat dari sangkaan aku, bro!” ucap Izzul yang begitu gembira mendengar perkhabaran dari Tengku Hafiy itu. Maklumlah, siapa yang tidak gembira bila rakan baik akan berkahwin dan mempunyai teman hidup untuk menjaganya sehingga ke hari tua nanti. Waktu dia menyampaikan hasrat hatinya itu juga dulu, Tengku Hafiylah orang yang paling gembira apabila mengetahui, selain keluarganya. Tapi sayang, rakannya itu tiada di sini sewaktu dia melangsungkan hari bahagianya kerana Tengku Hafiy sedang menghadapi peperiksaan tahun akhir di UK ketika itu. “Baguslah kalau kau dah terfikir ke arah tu.Kau pun dah lama ikat si Helena tu. By the way, aku nak tahu jugak. Apa yang buat kau tiba-tiba terbuka hati fikir pasal kahwin ni? Selalunya bila aku tanya ada je alasan kau bagi, kan?”

“Dah sampai seru kut! Lagipun, adik aku yang sorang tu dah balik.”

“Adik kau dah balik? Bila dia balik sini?” soal Izzul. Namun tidak sempat dijawab oleh Tengku Hafiy kerana perbualan mereka terhenti dek kedatangan pelayan restoran yang membawa hidangan yang telah dipesan oleh Izzul seawal kedatangannya ke situ. Selepas mengucapkan terima kasih dan pelayan itu beredar pergi, barulah Tengku Hafiy berpeluang untuk menjawab.

“Hmm, dia dah balik. Balik terus. Dah seminggu dia kat sini. Cuma dia minta nak rest dulu sebelum masuk kerja kat syarikat. Nak biasakan diri dengan keadaan kat sini katanya. Dua minggu lagi mungkin masuklah office tu. So, since dia dah ada kat sini legalah sikit hati aku bila dah ada orang nak tolong uruskan syarikat tu. Tak adalah beban tu terpikul kat bahu aku sorang. Dan, fokus aku pun dah boleh lari sikit dari syarikat. Kalau aku nak ambil cuti lama sikit macam cuti kahwin ke, cuti honeymoon ke, atleast papa aku ada orang lain yang boleh diharapkan untuk tengok-tengokkan syarikat. Tapi yang sebetulnya memang niat aku nak tunggu adik aku tu balik pun. Then baru aku nak fikir pasal kahwin,” panjang lebar Tengku Hafiy bercerita.

Izzul mengangguk-angguk tanda berpuas hati dengan jawapan yang diberikan Tengku Hafiy. Setelah itu, mereka mula menikmati hidangan fish and chip serta orange juice yang merupakan hidangan kegemaran mereka berdua di restoran itu.

“Eh! Sebelum aku lupa, Zul. Aku nak jumpa kau ni pun sebab nak sampaikan pesan mama aku.”

“Pesan apa?”

“Hujung minggu depan parents aku buat makan-makan sikit. Nak sambut adik aku yang dah balik tu. Tak adalah besar-besaran. Untuk saudara-mara dan kenalan terdekat je. Sambil tu, sambut sekali hari jadi anak buah aku yang kecik tu,” jelas Tengku Hafiy merujuk pada anak kakaknya, Tengku Hazleen.

“Insyaallah. Kalau tak ada apa-apa sampailah aku nanti.”

“Ha, lagi satu. Yang ni pun mama aku asyik pesan.”

“Apa dia?”

“Jangan lupa bawa Irish sekali. Takut benar mama aku kalau lupa!”

Izzul mengangguk-anggukkan kepalanya sekali lagi. “Insyaallah.”

“Jangan cakap je, Zul. Make sure kau datang. Kalau tak, mati aku kena dengan mama aku tu nanti!”

Izzul sudah tergelak kecil. “Ya. Aku datang!”

Mereka menikmati kembali makanan sambil berbual-bual. Sudah lama tidak melepak bersama begitu, ada sahaja yang dibualkan dari zaman mereka belajar hinggalah sekarang.

“Zul, boleh aku tanya sikit?”

“Tanya jelah. Sejak bila pulak kau pandai minta permission kat aku sebelum nak tanya ni, Fiy. Tak pernah-pernah pun. Selalu main belasah je dengan aku!”

“Sebab benda yang aku nak tanya ni tentang adik kau, Irish.”

Serentak itu Izzul memandang tepat ke wajah Tengku Hafiy. Wajahnya yang nampak tenang sahaja semenjak sampai ke sini tadi sudah bertukar menjadi serius apabila nama adiknya itu disebut. “Kenapa dengan Irish? Dia buat hal kat office ke?”

“Eh, tak adalah! Kan aku dah cakap banyak kali, adik kau tu pandai bawa diri. Tak pernah menyusahkan sesiapa pun.”

“Habis tu, kenapa?”

Tengku Hafiy menarik nafas sebelum memulakan ayatnya. “Irish tu tak ada teman ke? Err.... maksud aku teman lelaki. Sepanjang kerja kat situ aku tak pernah nampak lansung dia keluar dengan mana-mana lelaki. Keluar lunch ke, atau jemput dia balik ke. Selalunya dia cuma keluar dengan budak-budak office perempuan. Itu yang aku perhatikanlah. Yelah, adik kau tu kan cantik. Mustahillah tak ada lelaki yang berkenan. Aku bukan apa. Kan kau suruh aku tengok-tengokkan Irish tu. So, aku nak jugaklah tahu serba sedikit tentang dia. Manalah tahu kalau-kalau ada certain orang yang tak boleh dekat dengan dia ke. Kalau apa-apa jadi, senanglah sikit aku nak get ready.”

Penuh berhati-hati tutur kata yang diucapkan oleh Tengku Hafiy. Izzul yang mendengar hanya terdiam, memikirkan jawapan yang paling sesuai untuk diberikan. Untuk menceritakan keadaan yang sebenar, mustahil dia akan berbuat demikian. Inilah perkara yang paling tidak suka untuk dijawab. Kalaulah diberi pilihan, dia lebih memilih untuk berdiam diri daripada menjawab soalan berkenaan adik perempuannya itu. Entah mengapa setiap kali hal berkaitan Irish disebut atau dibangkitkan, hatinya pasti akan terusik.

Melihat Izzul yang hanya terdiam membuatkan Tengku Hafiy dipagut rasa bersalah. “Hey Zul! Kau okay ke? Atau aku salah cakap? Kalau kau tak nak jawab tak apa. Aku tak paksa pun.”

“Tak ada apalah, Fiy. Irish tu memang macam tu dari dulu. Susah sikit dengan lelaki. Dengan kau pun dia berani sebab dia tahu kau kawan baik aku. Tentang teman lelaki tu, aku sendiri pun tak pasti dia ada ke tak. Kalau ada pun memang dia takkan beritahu dengan siapa dia berkawan. Nak cakap adik aku tu ada certain orang yang tak boleh nak dekat dengan dia, tak adalah jugak. Cuma kalau kau nampak dia dengan sesiapa yang mencurigakan tu, kau get readylah awal-awal. Aku pun bukan ada dengan dia setiap masa, Fiy. Jadi aku bagi sepenuh kepercayaan pada kau untuk jaga dia bila aku tak ada. Boleh kau janji?” pinta Izzul. Buku limanya diangkat lalu disuakan pada Tengku Hafiy. Lelaki itu tersenyum, lalu turut menyambutnya.

As you wish. Kau jangan risaulah pasal tu, Zul. Tahulah aku nak jaga Irish macam mana.”


“IRISH buat apa sorang-sorang kat luar?” Izzul menegur adiknya yang sedang duduk termenung di atas buaian di sudut halaman rumah seorang diri. Semua ahli keluarga mereka sedang asyik melayan rancangan televisyen di dalam rumah. Hanya kelibat Irish seorang tidak kelihatan. Rupa-rupanya di sini adiknya itu membawa diri.

“Eh, along. Tak ada apalah. Saja ambil angin kat luar,” sapaan Izzul mengejutkan Irish dari lamunan. Sengaja dia ingin mengambil angin di luar malam ini sambil menenangkan fikiran.

“Boleh along join?” Izzul meminta izin.

“Duduk jelah, long.”

Irish menepuk-nepuk ruang di sebelahnya, sebagai isyarat menyuruh alongnya duduk di situ.

“Mak Engku jemput kita datang rumah Sabtu depan,” beritahu Izzul sebaik melabuhkan duduk di atas buaian.

“Ada apa?”

“Anak lelakinya yang duduk luar negara tu dah balik. Jadi dia buat jamuan sikit. Sekali sambut hari jadi cucunya.”

“Insyaallah. Kalau along nak bawa, Irish ikut je.”

Izzul menganggukkan kepalanya. Setelah itu, keadaan menjadi senyap seketika. Masing-masing mencari idea untuk menyambung perbualan.

“Irish fikir apa? Dari tadi along tengok termenung panjang.”

“Eh, mana ada termenung. Along ni pandai jelah. Saja duduk sini tenang-tenangkan fikiran. Seminggu kepala dok asyik fikir pasal kerja je.”

“Kerja kat pejabat okay?”

Okay. Semuanya okay. Alhamdulillah,” balas gadis itu. Sejenak dia teringatkan kerjanya di pejabat. Masuk setahun bekerja di Haiyan Holdings, dia semakin dapat menyesuaikan diri dengan keadaan dan kerjayanya sebagai eksekutif kewangan di situ. Memang agak sibuk. Lebih-lebih lagi menjelang pertengahan dan akhir tahun kerana dia perlu membantu pegawai-pegawai atasannya untuk menyiapkan laporan kewangan yang akan dihantar dan disemak oleh orang atasan syarikat sebelum diserahkan kepada ahli lembaga pengarah.

“Along nak tanya sikit, boleh?” pinta Izzul.

“Boleh. Tanyalah. Apa dia?”

“Irish... Irish....”

Irish menoleh ke sisi, hairan melihat alongnya seperti teragak-agak ingin membuka mulut. “Kenapa ni, long? Tanya jelah apa along nak tanya.”

Izzul menarik nafas dalam-dalam, cuba menenangkan diri sebentar sebelum menyusun ayat dengan penuh berhati-hati. Bimbang jika tersilap kata akan membuatkan adiknya terasa. “Irish tak terbuka hati nak bercinta lagi?”

Sekali lagi Irish mengerling sekilas ke sisinya. Kemudian dia menguntum senyum dengan soalan tersebut.

“Tak.”

Itu sahaja jawapan yang terkeluar dari mulut Irish, membuatkan Izzul serta-merta menoleh memandang adiknya. Bagai tidak percaya gadis itu hanya boleh tersenyum mendengarkan soalan tersebut. Jangkanya, Irish akan memarahinya. Paling tidak pun, adiknya itu akan angkat kaki meninggalkannya seorang diri di sini. Namun apa yang berlaku sekarang jelas sebaliknya.

“Irish tak marah ke along tanya macam tu?” soal Izzul sekali lagi tanpa berkelip memandang Irish.

“Tak. Nak marah buat apa. Along bukan buat salah apa pun.”

“Betul, Irish tak teringin nak bercinta lagi?”

“Tak. Irish lebih suka macam ni.”

“Tak terfikir untuk cuba buka hati tu pada lelaki lain?”

Pantas Irish menggeleng-gelengkan kepalanya yang hanya ditundukkan sedari tadi. “Tak.”

“Sampai bila?”

“Entah.”

“Tak salah kalau mencuba. Beri peluang pada diri Irish, pada lelaki lain.”

“Irish tak layak untuk bercinta lagi, long.”

Suara Irish sudah tersekat-sekat di situ.

“Jangan menghukum diri sendiri. Kita manusia tak layak untuk menghukum. Yang layak menghukum hanya Allah seorang saja. Setiap orang berhak untuk bahagia. Termasuk adik along ni,” bicara Izzul lembut, lalu tangan kirinya memaut mesra bahu adiknya itu.

“Dengan siapa?”

“Dengan lelaki yang lebih baik, yang boleh menerima Irish seadanya.”

“Wujud lagi ke lelaki macam tu kat dunia ni?”

“Ada. Pasti ada!” bicara Izzul, seakan memujuk.

Irish menghela nafasnya yang semakin menghimpit dada. “Entahlah, long. Irish takut nak fikirkan tentang tu lagi. Biarlah masa yang tentukan. Kalau pun suatu hari nanti pintu hati ni terbuka balik untuk terima lelaki, biarlah semua tu dengan izin Dia. Irish redha,” ucap Irish perlahan. Air mata yang sudah berada di tubir, sedaya upaya ditahannya agar tidak keluar. Dia tidak ingin menangis lagi.

Mendengarkan rintihan hati adiknya itu, Izzul mengeratkan lagi pelukan. Kepala Irish dikucup, bagai menenangkan jiwa yang sedang kesedihan itu. Matanya juga dipejam, cuba menahan sebak di dada. Dia tahu Irish juga berperasaan berat sama sepertinya saat ini.

“Ingat. Walau apapun yang terjadi, walau beribu orang pun yang datang dan pergi tinggalkan Irish, along tak akan pernah sesekali tinggalkan adik along ni. Itu janji along!”

Dan air mata yang sedari tadi ditahan, gugur jua akhirnya ke bumi. Angin malam yang bertiup lembut dan nyaman, bulan bintang yang indah bersinar di awanan, pungguk yang terbang hinggap di dahanan, turut menyaksikan dua beradik itu berdakapan melayani emosi yang hanya mereka berdua sahaja yang mengerti.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku