BAYANGAN GURAUAN
Teaser 15
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 15 September 2015
** ALHAMDULILLAH.. Bayangan Gurauan sudah diterbitkan pada Januari 2017 under Alaf 21 / Karangkraf & kini sudah berada di pasaran.. Anda boleh dapatkannya melalui belian secara online di Karangkraf Mall, melalui Whatsapp, di outlet Karangkraf & juga di kedai-kedai buku berhampiran anda.. Terima kasih semua yang setia dan sabar menanti BG selama lebih 3 tahun ini.. Salam sayang dari #HarrysIrish.... ^_^
Penilaian Purata:
(8 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
6080

Bacaan






BAB 15 

PERKARANGAN Villa Haiyan sudah dipenuhi dengan para tetamu sewaktu mereka tiba di kediaman milik Tengku Haiyan itu. Izzul yang sedang mendukung anak perempuannya, Qisrina masuk mendahului Safiya yang juga sedang menggendong anak kecilnya, Alief Qhuarizmie yang berusia sepuluh bulan itu. Irish pula mengekori di belakang sambil memimpin tangan Qusyairi manakala sebelah lagi tangannya membawa sebuah beg kertas berisi dua buah hadiah. Satu daripadanya dan satu lagi daripada Izzul untuk diberikan kepada anak Tengku Hazleen yang turut menyambut hari ulangtahun kelahirannya di majlis malam ini.

Dari kejauhan sudah terlihat kelibat Tengku Hafiy yang sedang berbual mesra dengan seorang gadis. Lansung dia tidak menyedari kehadiran Izzul sekeluarga serta Irish kerana berdiri membelakangi mereka. Sebaik Izzul datang menghampiri, ditepuk bahu rakannya itu. Tengku Hafiy pantas menoleh.

“Hey, Zul! Bila kau sampai? Tak perasan pun aku!”

“Mana nak perasan. Dok sibuk bersembang dengan tunang dia sampai aku datang pun tak sedar!” Izzul menumbuk lembut dada Tengku Hafiy, menyebabkan lelaki itu tergelak besar.

Sorry, sorry! Betul aku tak perasan. Dah lama sampai ke?” soal Tengku Hafiy lalu berjabat tangan dengan Izzul.

“Taklah. Baru je.”

Izzul mengangkat tangannya pada Helena yang setia di sisi Tengku Hafiy, membuatkan gadis itu tersenyum. Helena kemudiannya menghampiri Safiya untuk bersalaman.

“Hai, Fiya. Sihat?”

“Sihat El, Alhamdulillah.”

Seraya itu pandangan Helena dialihkan pada gadis di sebelah Safiya. Serasanya dia tidak pernah bertemu dengan gadis tersebut sebelum ini. Lantas dia menoleh pada Tengku Hafiy, seakan bertanya.

“Oh, lupa! Kenalkan ini Irish, adik Izzul. Irish, ni tunang Abang Fiy, Helena.” Tengku Hafiy memperkenalkan kedua-dua gadis tersebut antara satu sama lain.

“Hai, Irish. Helena.”

Helena meperkenalkan dirinya pada Irish. Tangannya disuakan untuk bersalaman dengan gadis manis di hadapannya itu. Senyuman yang mekar di bibir Irish membuatkan dia berasa selesa walaupun ini baru kali pertama mereka bertemu.

Tengku Hafiy kemudiannya mengajak mereka mengambil tempat duduk di salah satu meja yang sudah tersedia untuk para tetamu yang hadir. Dia memilih meja yang terletak di bahagian tepi, tetapi di barisan hadapan sekali berhampiran dengan pentas kecil yang disediakan khas untuk majlis malam ini. Hadirin yang lain juga sudah mula duduk di meja masing-masing memandangkan majlis akan bermula sebentar lagi. Kelihatan Tengku Haiyan dan isterinya, Tengku Dafina serta ahli keluarganya yang lain turut mengambil tempat di meja utama betul-betul menghadap pentas, juga berhampiran dengan meja yang diduduki oleh mereka.

Majlis pada malam itu diacarakan oleh seorang pemuda yang segak berbaju batik. Mungkin kenalan keluarga Tengku Haiyan barangkali, atau mungkin juga dari kalangan saudara mereka. Tirai majlis dibuka dengan bacaan doa oleh seorang ustaz dan diaminkan beramai-ramai oleh para tetamu. Sesudah itu, pengacara majlis menjemput Tengku Haiyan naik ke atas pentas untuk memberikan sedikit ucapan. Seluruh tetamu begitu khusyuk mendengar ucapan yang disampaikan oleh beliau, termasuklah Irish. Gadis itu memberikan sepenuh tumpuannya kepada Tengku Haiyan yang sedang berucap di atas pentas hingga tanpa disedari ada sepasang mata yang sedang memerhatikannya dari meja yang lain.

Bagaikan menyedari dirinya sedang diperhatikan, pantas Irish menoleh. Berderau darahnya apabila sepasang mata sedang merenung tajam ke arahnya. ‘Siapa dia ni? Rasanya tak pernah nampak sebelum ni. Tapi kenapa pandang aku sampai macam tu?’ bisik gadis itu. Puas Irish memikirkan siapakah gerangan lelaki tersebut. Manalah tahu mungkin dia pernah mengenalinya. Namun mindanya tidak berjaya untuk mengingati.

‘Hmmh, biarlah.’ Akhirnya Irish hanya membiarkan sahaja.

Selesai Tengku Haiyan berucap, semua hadirin bangun dan memberikan tepukan padanya. Majlis kemudian dianjuti dengan acara memotong kek sempena menyambut ulahgtahun kelahiran cucu bongsu Tengku Haiyan yang berusia dua tahun. Walaupun majlis disambut dalam keadaan yang sederhana, namun kemeriahannya tetap terasa.

Setelah itu Tengku Haiyan mempersilakan para jemputan untuk menjamu selera dengan hidangan yang telah disediakan pada majlis malam ini. Pelbagai juadah makanan telah terhidang dari menu yang ringkas hinggalah kepada yang berat. Dan menu istimewa pada malam ini seperti ayam panggang, kambing golek, sate dan daging salai. Pendek kata, ibarat seperti makan di hotel sahaja lagaknya, lengkap dengan serba-serbi kesemuanya. Rata-rata tetamu kelihatan begitu berselera menikmati hidangan. Ditambah dengan iringan muzik yang berkumandang mengharmonikan lagi suasana majlis di villa itu.

Sementara di dapur pula, kedua-dua pembantu rumah Tengku Haiyan juga tidak menang tangan untuk menyediakan segala keperluan bagi membolehkan majlis tuan rumah berjalan dengan lancar. Walaupun hidangan pada malam ini kebanyakannya disediakan oleh pihak katering, namun ada juga hidangan yang dimasak oleh mereka berdua atas permintaan Tengku Dafina sendiri. Maklumlah, tidak semua hidangan katering itu memenuhi selera orang ramai. Disebabkan itu tugas mereka di dapur tetap juga berjalan.

“Dewi, tolong mak ambilkan pinggan besar kat almari sebelah meja makan tengah tu,” pinta Mak Ros pada Dewi yang dilihat tadi sedang menyiapkan kerjanya di meja makan dapur. Sesaat dua, tiada sebarang reaksi. Mak Ros berpaling ke belakang. Namun tiada sesiapa di situ. “Ai! Hilang dah? Mana budak bertuah ni pergi? Bukan tadi dia duduk kat sini buat kerja ke?”

Mak Ros melangkah keluar dari dapur untuk mencari Dewi. Sangkanya mungkin gadis itu pergi ke tandas sebentar. Lantas wanita itu mengatur langkah menuju ke tandas di bahagian dapur. Namun apabila dia sampai, pintu tandas itu kelihatan terbuka menandakan tiada sesiapa berada di dalamnya.

“Mana pulak budak ni? Takkan tidur kat bilik kut? Sakit kepala?” duga Mak Ros. Walaupun mindanya tidak bersetuju dengan apa yang dikatakan namun kakinya tetap juga dihayun untuk melihat sama ada Dewi memang berada di biliknya atau tidak. Keluar sahaja dari ruangan dapur, langkah Mak Ros tiba-tiba terhenti. Spontan bibirnya diketap. Dengan perlahan dia melangkah menghampiri pintu di ruangan tengah villa.

“Oi, Dewi!”

Sergahan Mak Ros secara tiba-tiba itu menyebabkan Dewi begitu terkejut. Habis semua periuk dan sudip di tangan tercampak. Berdentang-dentung bunyinya sebaik jatuh ke lantai.

“Mak! Ngapain shockkan Dewi sampai begini sekali? Aduh, lemah dong jantung Dewi! Bisa kena heart attack Dewi kaya gini!” tingkah gadis itu. Dadanya diusap-usap kerana masih terkejut dek sergahan Mak Ros sebentar tadi.

Heart attack, ya? Yang kau dok terintai-intai kat sini tu kenapa? Penat mak terpanggil-panggil kau kat dapur dari tadi. Rupanya kau dah kat sini, kan!”

“Sshhh!” Dewi meletakkan jari telunjuknya di bibir.

“Apa sshhh, sshhh?”

“Aduh, mak! Perlahan dikit suaranya. Nanti didengarin sama semua orang.”

“Tau pun kau takut, kan? Kerja bukan main melambak kat dapur, kau pulak dok terintai-intai kat sini. Dah kenapa? Curi tulang, ya?”

“Enggaklah, mak. Masakan Dewi dibilangin begitu. Ini.... Dewi cuma suka lihat semua orang di luar itu. Cantik-cantik, ya. Cowoknya juga ganteng-ganteng. Aduh! Suka banget Dewi lihat sama mereka.”

“Amboi! Seronoknya dia cuci mata, kan. Suka?”

“Iya sukalah, mak! Kan bagus kalau Dewi juga bisa pakai begitu. Pasti lagi grand banget sih!” ujar Dewi begitu teruja. Tersenyum-senyum dia seorang melayani angan-angan sendiri.

“Dah, jangan nak berangan!” serentak itu Mak Ros mencubit pipi gebu Dewi, membuatkan gadis itu mengaduh kesakitan. “Kau kalau dah berangan sampai esok pun tak ada sudahnya. Dah, jom masuk dapur! Kerja kau dah memanggil-manggil tu!”

Pantas Mak Ros menarik tangan Dewi untuk ke dapur. Namun langkahnya sekali lagi terhenti apabila ditahan oleh Dewi.

“Bentar, mak. Sebentar!”

“Laaa.... apa lagi? Kang tak siap kerja tu, bising pulak Tengku nanti. Isshh! Cari pasal betullah budak bertuah ni! Hah, kenapa pulak kali ni?”

“Sabar, mak. Jangan marah-marah dong!” Dewi cuba menenangkan Mak Ros yang sudah mula panas. Kemudian dia menjengah semula ke luar villa sambil memerhatikan sesuatu. “Tu....,”

“Apa dia?” Mak Ros turut menyoroti arah yang ditunjukkan oleh Dewi. “Tak nampak apa-apa pun!”

“Ishh! Mak ini! Manusia yang segede-gede itu pun enggak bisa dilihatin. Tu.... itu....,”

“Mana?!”

“Laaa.... ya itulah! Anaknya Ibu Tengku yang baru pulang dari oversea itu!” ujar Dewi sambil jari telunjuknya diarahkan pada seorang lelaki yang sedang berbual bersama tetamu-tetamu di luar. Ditarik sedikit badan Mak Ros merapatinya agar dapat melihat gerangan yang dimaksudkan.

“Yelah, yelah! Mak nampak ni. Ha, kenapa pulak dengan anak Tengku tu?” tanya Mak Ros. Dia tahu semenjak Dewi bekerja sebagai pembantu di villa ini, baru pertama kali gadis ini berjumpa dengan anak lelaki bongsu majikannya. Maklumlah, Dewi bekerja di sini belum sampai setahun. Sedangkan lelaki itu sudah setahun tidak pernah pulang ke Malaysia.

Dewi tersengih-sengih apabila diajukan soalan itu padanya. “Anak Ibu Tengku itu ganteng banget ya, mak! Handsome! Gorgeous! Grand! Man.....”

“Oi! Tak habis-habis lagi? Dah, kau pergi buat kerja sekarang! Sebelum mak report kat Tengku baik kau pergi buat kerja sekarang!” Mak Ros sudah kembali membebel.

“Ya, iya! Dewi pergi sekarang. Baru bilang sedikit udah mau marah.”

Dengan muka yang sedikit mendung Dewi kembali ke dapur untuk meyambung kerja-kerjanya semula. Namun rajuknya bukanlah seteruk mana. Hanya merajuk seorang anak pada ibunya sahaja. Sebentar lagi baiklah dia. Dia tahu walaupun Mak Ros kuat berleter padanya, namun hati wanita itu sangat baik. Masakan tidak. Sepanjang dia bekerja di sini orang tua itulah tempat dia bermanja dan menumpang kasih seorang emak sebagai ganti tempat ibunya yang berada jauh di seberang laut sana.

“Dah, siapkan kerja cepat. Lepas tu kita boleh makan. Dah lapar, kan?” tanya Mak Ros setelah kedua mereka sudah kembali ke dapur.

“Iya, mak. Dewi siapin sekarang!"


MENGINJAK ke angka 11.30 malam, suasana di halaman villa sudah beransur lengang. Kebanyakan tetamu sudah ramai yang pulang. Yang tinggal hanyalah beberapa kerat sahaja yang masih belum bersedia untuk meninggalkan majlis.

“Mana adik kau, Fiy?” Izzul bertanya pada rakannya. Sudah lama dia berada di sini namun batang hidung orang yang diraikan masih belum kelihatan.

Spontan Tengku Hafiy menoleh ke arah meja utama yang terletak selang satu meja dari tempat mereka duduk. “Tadi ada dia duduk kat situ dengan family aku. Mana entah hilang.”

“Adalah tu dia jumpa sesiapa kut,” duga Izzul.

“Acik Irish.... jom kita pergi tengok ikan kat kolam sana tu nak?” tiba-tiba Qusyairi bersuara mengajak Irish sambil jarinya ditunding ke arah kolam ikan yang terletak di taman mini. Memang itulah ‘destinasi’ wajib yang dia akan pergi setiap kali bertandang ke villa ini.

“Boleh. Tapi kena tanya papa dulu.”

“Boleh tak papa?” pinta Qusyairi pada Izzul. Serentak semua mata tertumpu pada kanak-kanak itu.

Izzul menganggukkan kepalanya. “Hmm. Tapi hati-hati. Jangan terjun dalam kolam tu pulak, ya!”

Yes, sir!” jerit Qusyairi sambil mengangkat tangannya. Sepantas kilat dia turun dari kerusi lalu menarik tangan Irish untuk turut bangun.

“Acik Iyish.... Qis nak ikut jugak!”

Qisrina yang masih pelat sebutannya itu sudah mendepakan tangan minta dibawa bersama. Dalam tersenyum, Irish menuruti saja kemahuan anak kecil itu. Didukungnya Qisrina manakala tangan kanannya memimpin tangan Qusyairi lalu dibawanya menuju ke kolam ikan yang terletak hanya beberapa meter sahaja dari tempat mereka duduk.

“Hai! Nasib baik yang sorang ni kecik lagi. Kalau tak, dengan dia-dia sekali Irish kena angkut!” ngomel Izzul. Kepala anaknya yang sedang tidur dipangkuan Safiya diusapinya.

“Itu baru kau, Zul. Esok-esok kalau aku dah ada anak, tak tahulah macam mana gayanya!”

“Ikut perangai kaulah! Nak ikut siapa lagi. Betul tak, El? Ceh! Dah terfikir pasal anak nampak!” Izzul mengusik rakannya itu hingga menyebabkan wajah Helena merona merah. Tersipu malu gadis itu dibuatnya.

Perbualan mereka semakin rancak. Apa yang berlaku di sekeliling mereka juga tidak begitu diambil pusing. Dalam pada mereka berborak-borak, tiba-tiba muncul Tengku Dafina bersama anak-anaknya yang lain. Kesempatan ini diambil oleh mereka untuk bersalaman sambil bertanya khabar masing-masing.

“Mama.”

Baru sahaja Tengku Dafina ingin melabuhkan duduk di kerusi, kedengaran satu suara memanggilnya. Segera wanita itu berpaling.

“Mama panggil Harrys?”

“Ha, Harrys. Mari! Jumpa dengan anak angkat mama, Izzul. Ingat lagi tak kawan abang kamu yang selalu datang sini dulu?” soal Tengku Dafina pada anak lelakinya, Tengku Harrys yang baru kembali itu.

Of course. The only one his best friend.” Tengku Harrys terus mengatur langkah menghampiri Izzul. Dijabat tangan rakan abangnya itu sebelum mereka berpelukan setelah lama tidak bertemu.

“Ingat lagi kau, ya?” Tengku Hafiy turut bangun seraya menumbuk lembut dada Tengku Harrys, membuatkan lelaki itu tersenyum kecil.

“Sihat, bro?” Tengku Harrys bertanya khabar pada Izzul. Dia masih ingat lagi dulu sewaktu abangnya masih menuntut di UPM, Izzul inilah yang selalu dibawanya ke villa. Dan adakalanya bermalam di sini. Hinggalah Tengku Hafiy melanjutkan pelajaran ke luar negara dan tidak lama selepas itu dia pula turut sama menyertai jejak langkah abangnya. Sejak itu, mereka tidak pernah bertemu lagi.

“Sihat, Alhamdulillah. How about you?” soal Izzul kembali, sedikit janggal dia untuk berbual dengan Tengku Harrys. Dilihat adik rakannya itu masih seperti dahulu. Cuma penampilannya sahaja agak berbeza. Lebih kacak dan segak walaupun hanya dengan berseluar slack serta kemeja hitam yang dilipat lengannya hingga ke paras siku.

“Macam nilah. Sama macam dulu.”

Tengku Dafina tersenyum melihat gelagat anak-anak muda itu. Namun dalam sibuk dia memerhatikan mereka, baru dia merasakan ada satu kekurangan yang tidak disedarinya semenjak tadi.

“Err.... mana anak kamu yang berdua tu, Izzul? Tak nampak dari tadi. Irish pun Mak Engku tak nampak. Mana dia? Tak datang ke?” Tengku Dafina bertanyakan pada Izzul, dan dalam masa yang sama turut menyedarkan yang lain. Belum pun sempat Izzul ingin membuka mulut, terdengar suara kanak-kanak memanggil Tengku Dafina dari kejauhan.

“Nek Engku!!”

Kelihatan Qusyairi berlari-lari dari arah kolam meluru untuk mendapatkan Tengku Dafina sebelum memeluk wanita itu. Kelakuan yang sama turut diulang oleh Qisrina, membuatkan kedua kanak-kanak itu berada dalam pelukan Tengku Dafina serentak.

“Cucu Nek Engku berdua ni ke mana je?”

“Pergi tengok ikan kat kolam tu dengan Acik Irish.” Qusyairi menjawab pertanyaan itu sambil muncungnya disuakan ke arah Irish di belakang. Irish yang masih lagi tercegat di tempatnya sekadar menguntum senyuman. Dapat dirasakan seluruh mata tertumpu padanya kini. Dengan perlahan, kakinya diatur mendapatkan Tengku Dafina.

“Mak Engku.”

Irish menyalami tangan wanita itu lalu dikucupnya lembut. Dan serentak itu Tengku Dafina meraih tubuhnya ke dalam pelukan sebelum dahinya dicium wanita itu seperti yang biasa dilakukan.

“Mak Engku ingat Irish tak datang tadi.”

“Ada. Irish ada.”

“Hmm, mama ni risau benar Kak Irish tak datang, kan!” Tengku Hazreen yang muncul dari belakang turut sahaja menyalami Irish bersama-sama kakaknya, Tengku Hazleen.

“Ha! Irish belum pernah jumpa dengan Harrys lagi, kan? Tu.... kenalkan adik akak yang baru balik tu. Tengku Harrys.”

Tengku Hazleen mengarahkan telunjuknya ke arah lelaki yang dimaksudkan. Irish menoleh. Seketika, dua pasang mata mereka bertentangan. Berderau sekali lagi darah Irish tatkala anak mata lelaki itu merenung tepat ke arahnya. ‘Bukan lelaki ni ke yang tenung aku tadi?’ desisnya. Dan sekarang ini pun lelaki itu masih tetap merenungnya tanpa berkalih walau seinci. Tidak tahan dengan panahan mata itu, Irish hanya menghadiahkan senyuman sekilas sebelum dialihkan pandangannya ke tempat lain.

“Eh, jomlah duduk! Boleh borak-borak panjang. Dah lama tak berkumpul ramai-ramai macam ni!” Tengku Dafina bersuara memecah kesunyian. Lalu semua mereka yang berada di situ duduk mengelilingi meja berkenaan, kecuali Tengku Haiyan yang sibuk melayan tetamu yang kebanyakannya terdiri daripada kenalannya. Bermacam-macam cerita yang mereka bual dan kongsikan. Sesekali gelak tawa mengiringi perbualan, membuatkan suasana semakin riuh.

Hanya Tengku Harrys yang lansung tidak terusik dengan apa yang disembangkan di dalam kelompok itu. Matanya asyik memerhatikan Irish yang sedang memangku seorang anak perempuan kecil dalam lingkungan usia empat tahun yang sudah terlena dalam pegangan. Menurut mamanya tadi, itu adalah anak Izzul. Sesekali kelihatan gadis itu menepuk lembut kanak-kanak tersebut apabila lenanya terganggu.

“Hoi! Kau okay tak?” sergah Tengku Hafiy dengan perlahan seraya menyiku adiknya yang berada di sebelah. Bukan dia tidak perasan. Sedari tadi dilihat mata Tengku Harrys tidak lepas-lepas dari memandang Irish.

Sedikit tersentak dengan sergahan itu, cepat-cepat Tengku Harrys melarikan pandangannya dari terus menatap gadis yang duduk tidak jauh di hadapan.

Okay.”

Selamba sahaja suara lelaki itu menjawab, meninggalkan satu rasa yang sudah lama terbuku di hati.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku