BAYANGAN GURAUAN
Teaser 18
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 15 September 2015
** ALHAMDULILLAH.. Bayangan Gurauan sudah diterbitkan pada Januari 2017 under Alaf 21 / Karangkraf & kini sudah berada di pasaran.. Anda boleh dapatkannya melalui belian secara online di Karangkraf Mall, melalui Whatsapp, di outlet Karangkraf & juga di kedai-kedai buku berhampiran anda.. Terima kasih semua yang setia dan sabar menanti BG selama lebih 3 tahun ini.. Salam sayang dari #HarrysIrish.... ^_^
Penilaian Purata:
(8 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
5649

Bacaan






BAB 18 

IRISH melangkah masuk ke pejabatnya sedikit awal hari ini berbanding biasa. Ada kerja yang perlu dia selesaikan. Pukul 10.00 pagi nanti akan diadakan mesyuarat oleh Tengku Haiyan bersama dengan semua jabatan di syarikat itu. Jadi dia harus menyediakan laporan-laporan yang akan dibentangkan oleh Pengarah Kewangan syarikat, Encik Naufal di dalam mesyuarat itu nanti. Jam di dinding menunjukkan waktu sekarang pukul 8.00 pagi.

“Awal lagi. Hmm, lapar pulak!” Irish berbicara sendiri. Pagi tadi dia tidak sempat menjamah sarapan kerana ingin bertolak awal ke tempat kerja kononnya. Membebel jugalah Puan Qarina padanya. “Pergi buat air sekejaplah.”

Gadis itu bangun semula dan melangkah keluar dari bilik. Suasana di ruangan pejabat masih lengang kerana semua staff masih belum sampai. Kakinya dihayun menuju ke ruangan pantry yang dikhaskan untuk pekerja-pekerja di tingkat dua belas itu. Masuk sahaja ke dalam pantry, Irish terus mencapai mug beserta sudu. Diambilnya satu uncang teh lalu dimasukkan ke dalam mug bersama beberapa sudu gula. Kemudian dia mengambil air panas yang sememangnya tersedia di dalam thermo pot di situ. Sedang Irish leka mengacau airnya, kelibat seseorang masuk ke ruangan pantry. Agak lama dirinya diperhatikan namun sedikit pun tidak dia sedari.

“Boleh buatkan air untuk saya?”

Sepantas kilat Irish berpaling ke belakang. Mahu gugur jantungnya dikejutkan sebegitu rupa. Mujur tidak jatuh gelas yang dipegang. Kalut sebentar dia melihatkan tuan punya suara yang sedang elok bersandar di dinding sambil berpeluk tubuh merenung ke arahnya.

“Te... teng.... tengku.” Hampir tidak terkeluar suara Irish menyebut nama itu.

Sorry. Saya dah terkejutkan awak,” bersahaja Tengku Harrys menjawab. Matanya masih tidak lepas dari memandang Irish.

“Tengku nak air?”

“Hmm. Boleh buatkan untuk saya?”

Irish sekadar mengangguk, lalu dipusingkan kembali badannya. Dicapai sebiji lagi mug yang lain untuk Tengku Harrys.

“Nak saya buatkan air apa?” Irish menyoal.

“Milo panas.”

“Nak letak susu atau gula?”

“Kenapa? Biasa awak buat air milo letak apa?” Tengku Harrys menyoal hairan.

“Gula. Saya tak minum susu.”

“Hmm.... buatlah macam yang selalu awak buat.”

Senyap. Tiada soalan lagi dari Irish. Diperhatikan sahaja tangan gadis itu yang laju membuat kerjanya tanpa menghiraukan dia di belakang. Dengan perlahan Tengku Harrys menghampiri Irish dan kemudian berdiri betul-betul di belakang gadis itu.

“Dah siap?”

“Hmm?” Irish tersentak. Terasa begitu hampir suara itu dengannya. Dari ekor mata, dia dapat melihat tubuh Tengku Harrys sudah berdiri hampir di belakangnya kini. Kalau dia berpusing memang pasti mereka akan berlanggar. Terus dijarakkan dirinya agar menjauh sedikit dari lelaki itu.

“Dah.”

Mug yang berisi milo panas itu segera dihulurkan pada Tengku Harrys sebelum Irish memalingkan semula tubuhnya. Tidak mahu lelaki itu perasan rasa gementar yang cuba disembunyikan, dia cuba menyibukkan diri mengemas barang-barang yang telah digunakannya sebentar tadi.

Thanks,” ucap Tengku Harrys. Dia menghirup sedikit minuman tersebut. Sesaat, didekatkan semula dirinya pada Irish lantas membisikkan sesuatu ke telinga gadis itu. “Saya anggap ini sebagai denda disebabkan tiga kali awak langgar saya, tiga kali tu jugak awak minta maaf tanpa pandang muka saya.”

Sebaik menghabiskan kata-katanya, lelaki itu terus beredar meninggalkan pantry bersama satu senyuman nakal di wajah.

Membulat mata Irish. Sekali lagi jantungnya hampir gugur. Dan kali ini memang benar-benar pasti akan terkeluar. Pantas dia menoleh ke arah Tengku Harrys, namun kelibat lelaki itu sudah pun menghilang di sebalik dinding.


TUMPUAN Irish sedikit terganggu dek pengakuan yang dibuat oleh Tengku Harrys tadi. Tidak senang duduk dia jadinya di dalam bilik itu. Tugas yang ingin disiapkan juga sudah tersasar entah ke mana.

“Ya Allah Ya Tuhanku, habislah aku macam ni. Astaghfirullahalzim!” Irish meraup wajahnya yang sudah ke berapa kali pagi itu. Hatinya benar-benar dilanda risau. “Keciknyalah duniamu ini, Ya Allah. Dalam banyak-banyak manusia, kenapa mesti dia yang aku langgar? Tiga-tiga kali pulak tu! Allahuakhbar.”

Irish seakan tidak percaya dengan apa yang terjadi. Kalaulah boleh diputarkan semula waktu, mahu sahaja dia berbuat begitu agar dia boleh kembali pada insiden perlanggaran dulu. Sudah tentu dia akan meminta maaf dan melihat muka lelaki tersebut.

“Tapi semua tu berlaku mesti time aku nak cepat. Terkejar-kejar masa. Hishh! Irish, Irish. Apa yang kau nak buat sekarang ni?!” mulut kecil itu mengomel lagi.

Kepalanya yang mula terasa berdenyut dipicit perlahan agar terus berfikir. Namun apa yang difikirkan dalam kepalanya dia sendiri tidak tahu. Sudahnya, dia mengambil keputusan untuk membiarkan dan berdiam diri sahaja. “Nak buat macam mana. Benda dah jadi. Kasi redah jelah!” getusnya sendiri.

“Apa yang kasi redah je, Cik Irish?”

“Hmm?” segera kepala Irish didongakkan. Dilihatnya Insyirah sudah tercegat di muka pintu. “Err.... tak ada apa-apa.”

Are you sure?”

Yes!” jawab Irish dengan yakin. “Ada apa, Insyirah?”

“Lagi lima belas minit pukul 10.00. It’s time for meeting, Cik Irish.” Insyirah mengingatkan Irish tentang mesyuarat yang akan bermula sebentar lagi.

“Oh! Ya, ya. Saya terlupa. Terima kasih ingatkan saya, In.”

No problem! Saya pergi dulu, Cik Irish.” Pamit gadis itu seraya menutup kembali pintu.

Dengan pantas Irish mengemaskan fail-fail di atas mejanya. Disusun dengan teliti laporan-laporan yang akan diserahkan pada pengarah kewangan untuk dibentangkan dalam mesyuarat sebentar nanti. Nasib baiklah semalam dia sudah berkerah tenaga menyiapkanya bersama-sama Encik Naufal dan Puan Faridah. Jadi tidak banyaklah yang perlu diperbetulkan pagi ini.

Selesai semuanya, Irish melangkah menuju ke bilik mesyuarat yang terletak di tingkat tiga belas. Tidak lupa dibawa bersamanya fail-fail berisi laporan kewangan yang sudah lengkap beserta diari catitan di tangan. Setibanya di hadapan pintu bilik, dia berhenti seketika. Ditarik nafas semahunya bagi meredakan jiwa. Fikirannya juga dikosongkan dari segala gangguan yang bertamu di kotak minda. Dengan lafaz Bismillah, Irish melangkah masuk ke dalam dengan tenang.

Kelihatan bilik mesyuarat sudah dipenuhi oleh pegawai-pegawai dari semua jabatan di Haiyan Holdings. Masing-masing berbual antara satu sama lain sementara menantikan kedatangan Chairman syarikat, Tengku Haiyan. Irish menghalakan kakinya ke arah Encik Naufal lalu diserahkan fail-fail yang berada di tangan kepada lelaki itu sebelum mengambil tempat di sebelah Puan Faridah, tanpa sedar setiap tingkah-lakunya diperhatikan oleh sepasang mata yang duduk di bahagian hadapan bersebelahan Tengku Hafiy.

Tengku Harrys hanya memandang Irish dengan senyuman sebaik gadis itu memasuki bilik ini tadi. Tidak dapat digambarkan bagaimana rupa gadis itu apabila mengetahui tentang ‘rahsia’ yang disimpannya selama ini. Ketawa yang cuba ditahan sejak di pantry pagi tadi terhambur jua sebaik dia melangkah ke dalam biliknya.

“Irish, Irish! Tak sangka kita akan bertemu di sini. What a small world!” bicara Tengku Harrys sendirian dengan ketawa yang masih bersisa. Sejak dari dalam pantry lagi tadi dia cuba menahan tawanya.

Insiden perlanggaran itu memang betul-betul meninggalkan kesan pada diri, jiwa serta fikirannya. Insiden yang membuatkan wajah gadis itu sentiasa melekat di kepalanya. Tiga kali! Pertama kali setahun yang lalu di SACC Mall ketika dia pulang ke Malaysia bercuti. Kali kedua adalah beberapa minggu selepas itu semasa dia datang ke syarikat ini untuk berjumpa dengan abang dan papanya sebelum berangkat pulang ke UK. Dan kali ketiga di sini jugalah sewaktu dia baru pulang ke Malaysia. Ketika itu dia datang ke syarikat untuk mengambil beberapa fail dan dokumen dari Tengku Hafiy.

Tiga kali Irish telah melanggarnya. Dan sebanyak tiga kali itu jugalah gadis tersebut meminta maaf tanpa memandang lansung wajahnya. Hanya berlalu pergi meninggalkannya tanpa sempat dia berkata apa-apa. Masih terbayang di mindanya betapa kalut gadis itu sewaktu mereka berlanggar. Tapi disebabkan tingkah gadis itulah hatinya yang selama ini beku terhadap perempuan, sedikit tercuit. Dan semenjak itu jugalah wajah gadis itu tersimpan rapi di dalam kotak ingatannya dengan harapan akan dipertemukan suatu hari nanti.

“Allah mendengar doa aku, Irish. Suara hati aku.” Luahnya sambil merenung ke arah bangunan-bangunan yang megah berdiri di bandaraya itu menerusi jendela biliknya.

“Assalamualaikum. Selamat pagi, semua.”

Suara Tengku Haiyan yang hadir ke bilik mesyuarat itu menghentikan lamunan Tengku Harrys serta-merta. Tidak sedar entah berapa lama dia sudah mengelamun di situ.

“Maaf, saya lewat sedikit. Ada urusan tadi. Shall we start now?” Semua yang ada di situ menganggukkan kepala tanda bersetuju. “Alright! Hafiy, silakan.” Tengku Haiyan mempersilakan anak sulung lelakinya untuk mempengerusikan mesyuarat pada pagi itu.

Okay.”

Tanpa berlengah lagi Tengku Hafiy memulakan mesyuarat pada pagi itu. Memang kebiasaannya mesyuarat besar seperti itu akan dikendalikan olehnya selaku CEO syarikat. Mesyuarat yang berlangsung selama lebih kurang dua jam itu berjalan dengan lancar dan diberi sepenuh perhatian oleh setiap ahlinya. Namun tidak bagi Tengku Harrys. Tumpuannya sedikit terganggu dek kerana Irish yang turut berada di situ. Ingatannya melayang jauh mengingati setiap detik pertemuannya dengan gadis tersebut.

Inilah kali pertama Tengku Harrys tidak memberikan sepenuh komitmen terhadap kerja. Biasanya dia dikenali sebagai seorang yang begitu komited terhadap tugasnya, sama ada di universiti mahupun di tempat kerja sewaktu di UK dahulu. Tapi kali ini berbeza sekali. Dia sendiri tidak faham apa yang sedang berlaku pada dirinya.

‘Apa kena dengan kau ni, Harrys? Tak pernah-pernah kau buat perangai macam ni. Hmmh, parah!’ terdengar suara-suara kecil berbisik di dalam hati lelaki itu.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku