BAYANGAN GURAUAN
Teaser 19
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 15 September 2015
** ALHAMDULILLAH.. Bayangan Gurauan sudah diterbitkan pada Januari 2017 under Alaf 21 / Karangkraf & kini sudah berada di pasaran.. Anda boleh dapatkannya melalui belian secara online di Karangkraf Mall, melalui Whatsapp, di outlet Karangkraf & juga di kedai-kedai buku berhampiran anda.. Terima kasih semua yang setia dan sabar menanti BG selama lebih 3 tahun ini.. Salam sayang dari #HarrysIrish.... ^_^
Penilaian Purata:
(7 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
5754

Bacaan






BAB 19 

“NAK masak apa tengahari ni, umi?” tanya Iman sebaik dia melangkah ke dapur. Dilihat uminya sedang memotong ayam di singki dapur manakala adiknya, Irma sedang melakukan kerja di meja yang terdapat di ruangan itu. Sudah menjadi rutin mereka untuk turun ke dapur menolong Puan Qarina memasak setiap kali pulang hujung minggu.

“Umi ingat nak masak nasi ayam. Budak-budak tu suka betul makan. Sampai licin nasi kat pinggan!” “Diorang tu memang suka makan kalau neneknya yang masak. Kalau makan kat luar, jangan haraplah. Tak adanya nak habis, umi!”

“Hmm, betul kata alang tu. Bukan takat cucu umi je, anak menantu umi pun hantu nasi ayam jugak tau!” akui Iman. Dia kemudiannya menyertai Irma melakukan kerja-kerja mengupas dan memotong bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat nasi ayam. Sementara Safiya pula sedang menidurkan anak kecilnya, Izmie. Sambil memasak, mereka berbual anak beranak.

“Irish mana, umi? Tak nampak dari tadi,” soal Safiya yang baru muncul di dapur untuk membantu ibu mertua dan ipar-iparnya.

“Irish keluar dah pukul 10.00 tadi. Katanya nak jumpa kawan.”

“Keluar jumpa kawan? Siapa umi? Lelaki ke??” pantas sahaja Irma bertanya pada Puan Qarina.

“Ishh! Tak adalah. Dia pergi jumpa Ira. Dah lama tak jumpa katanya.”

Sememangnya Athirah dikenali oleh keluarga mereka memandangkan gadis tersebut kerap berkunjung ke rumah ini. Memandangkan keluarga Athirah menetap jauh di Melaka, jadi dengan merekalah tempat gadis itu menumpang kasih bagi melepaskan rindu pada keluarganya. Dan keluarga Irish juga senang dengan kehadiran Athirah di situ.

“Oh, jumpa Ira. Ermm.... Irish ada cakap apa-apa ke dengan umi?”

“Cakap apa, lang?”

“Yelah. Kut dia ada cakap berkawan dengan sesiapa ke sekarang. Maksud alang, dengan lelaki.” Irma menjelaskan maksud pertanyaannya.

“Eh, bukan alang yang rapat dengan Irish ke? Patutnya alanglah yang lebih tahu!” Iman tiba-tiba mencelah.

“Hmm, memanglah rapat. Tapi macam angah tak tahu si Irish tu. Manalah dia nak cakap bab-bab benda tu dengan orang. Tapi manalah tahu dengan umi dia ada share apa-apa.”

Puan Qarina yang begitu tekun memotong ayam terus terhenti kerjanya. Dia membasuh tangan lalu melabuhkan duduk di meja bersama yang lain.

“Tak adalah pulak Irish beritahu apa-apa dengan umi pasal tu. Cuma, hari tu adalah juga along kamu cakap dengan umi.....”

“Ha, along cakap apa umi?!” belum sempat Puan Qarina menyudahkan ayat, Irma sudah memotong percakapannya. Spontan lengannya ditepuk Iman.

“Hishh! Kalau ya pun sabarlah sikit kau ni, lang! Umi belum habis cakap pun kau dah potong!”

Sorry. Excited nak tahu!” Irma menyengih. “Ceritalah umi. Along cakap apa?”

“Tak adalah apa sangat. Cuma along cakap dia ada bersembang dengan Irish, tanyakan pasal hal tu. Irish cakap, hatinya belum terbuka lagi untuk bercinta balik. Dan dia jugak cakap, dia tak layak untuk bercinta lagi dengan mana-mana lelaki.”

Mendegarkan kata-kata Puan Qarina itu, semua yang ada di situ terdiam. Dalam menahan, gugur jua setitis airmata ibu di pipi Puan Qarina. Pilu hati mengenangkan nasib anak perempuannya yang seorang itu.

“Umi, sabarlah. Insyaallah, Irish akan berjumpa dengan jodohnya nanti. Kita doakan saja untuk dia, ya?” Safiya menyentuh tangan Puan Qarina, cuba memujuk ibu mertuanya. Hatinya turut tersentuh kala melihat airmata wanita itu.

“Betul kata Kak Long tu, umi. Kita sama-samalah doakan yang terbaik untuk Irish. Angah tahu Irish tu kuat walaupun selama ni kita tengok dia banyak diam.”

“Hmm.... yelah. Kita doa sama-sama,” balas Puan Qarina sambil mengangguk-anggukkan kepalanya. “Eh, dahlah! Sambung kerja tu. Asyik berborak je kang tak berasap dapur tengahari ni,” ujar wanita itu sambil berlalu ke singki untuk menyudahkan kerjanya yang tertangguh.


IRISH meletakkan keretanya di tempat parkir. Hari ini dia telah berjanji untuk bertemu Athirah. Sudah lama mereka tidak berjumpa. Kali terakhir adalah dua bulan yang lalu sewaktu menghadiri majlis perkahwinan rakan seuniversiti. Niat di hatinya ingin menjemput Athirah di rumah sewa gadis itu sahaja. Tetapi Athirah menyarankan agar mereka bertemu di sebuah tempat memandangkan gadis itu telah keluar lebih awal dengan teman serumahnya.

Langkah kaki diatur memasuki sebuah cafe yang terletak di tengah Bandaraya Shah Alam. Sengaja dia memilih untuk berjumpa Athirah di sini. Sebaik duduk di sebuah tempat yang agak jauh dari pengunjung yang lain, Irish memesan minuman terlebih dahulu untuk membasahkan tekaknya yang sedikit kering. Baru beberapa minit duduknya dilabuhkan, telefon bimbitnya tiba-tiba berbunyi.

“Assalamualaikum, cik adik. Kat mana tu?” sapa Irish sebaik panggilan dijawab.

“Waalaukumussalam. Aku dah nak sampai kat area cafe ni. Kau kat mana?”

“Aku dah masuk dalam. Nanti kau masuk je dalam cafe ni terus ke bahagian kiri. Dari situ kau dah boleh nampak aku. Cepat datang sini, aku tunggu. Jangan melencong ke mana-mana dulu,” pesan Irish.

“Yelah, maam! Sekarang jugak aku datang! See you around two minutes.”

Irish meletakkan telefon bimbitnya kembali. Sambil menanti Athirah, dia membasahkan tekaknya dengan minuman yang dipesan tadi sambil memerhatikan sekeliling. Hari Ahad begini agak ramai juga pengunjung yang datang ke sini. Ada yang bersama keluarga, teman-teman, pasangan masing-masing dan tidak kurang juga ada yang hanya bersendirian sepertinya di kala ini.

“Hey, termenung!” sergah satu suara sambil melambai-lambaikan tangannya di hadapan Irish sebelum duduk menghadap gadis itu.

“Mana ada termenung. Saja tengok-tengok orang kat sini. Tunggu kaulah lama sangat.”

“Ya ke? Lama ke kau dah tunggu?” jawapan Irish itu membuatkan Athirah tidak senang duduk jadinya.

“Adalah dalam satu jam.”

“Hah?! Kau biar betul, Rish?”

Pantas Athirah menarik muka Irish supaya memandang ke arahnya. Ditenung tepat wajah itu. Bimbang dia jika benar Irish telah menunggunya sebegitu lama. Hanya beberapa saat, kemudian Irish tergelak. Gelihati melihat reaksi spontan Athirah. Sengaja dia ingin menyakat rakannya itu.

“Kau kenakan aku, ya!” tingkah Athirah. Pantas lengan Irish dipukul. Bibirnya diketap menahan geram.

Irish masih terus dengan tawanya. Sesekali mengenakan rakannya terasa seronok pula. “Kan? Tulah, selalu bukan main lambat lagi. Suka buat aku tertunggu sorang-sorang. Hari ni, amacam? Besttak kena penangan aku sesekali?”

“Amboi, amboi! Sukanya dia gelakkan orang! Tak apa, tak apa. Hang tunggulah nanti kalau turn hang, aku gelakkan puas-puas!”

Okay, okay okay! Tak gelak dah. Aku tutup mulut!” pantas Irish menutup mulutnya agar berhenti dari ketawa. “So, what’s your plan for our date today?

“Ermm.... aku ingat lepas ni nak ajak kau pergi shopping sikit. Lepas tu kita tengok wayang. Cerita best! Okay tak?” Athirah menjelaskan perancangan untuk hari ini.

“Aku ikut je. Tapi makanlah dulu kat sini. Ke kau tak lapar?”

“Mahu tak lapar! Pagi tadi pun aku tak sempat breakfast, kau tahu? Housemate aku tulah. Pagi-pagi dah ajak aku temankan dia pergi cari barang.”

Irish hanya tersenyum mendengar bebelan tersebut. “So, tunggu apa lagi? Orderlah.”

“Habis kau? Takkan minum air je kut! Kau jangan tak nak makan, Irish. Pengsan kau nanti kang, tak larat aku nak angkat!”

“Ya. Aku pun nak order sekalilah ni.”

Sejurus itu Athirah memanggil pelayan untuk memesan makanan. Hanya dalam masa setengah jam barulah mereka dapat mengisi perut yang sememangnya sudah lapar.

So far macam mana dengan kerja kau? Okay?”

Okaylah. Cuma stress sikit. Biasalah. Kerja bank, kan. Tak boleh tangguh-tangguh. Hari tu jugak nak kena settled. Dengan menghadap customernya lagi.” Athirah bercerita tentang kerjanya sebagai eksekutif di salah sebuah bank di Shah Alam. “Kau?”

Okay. Cuma.…,” kata-kata Irish terhenti, menyebabkan Athirah yang sedang menyedut minuman, mengangkat wajahnya serta-merta.

“Cuma apa?”

Pertanyaan Athirah itu dijawab Irish dengan satu keluhan. Gusar hatinya memikirkan hal yang satu itu.

“Kau ni kenapa, Rish? Kalau ada apa-apa masalah, ceritalah dengan aku. Macam tak biasa pulak dia ni!”

Melihatkan Irish sekadar diam membisu, Athirah mengalihkan pinggan dan gelas di hadapannya ke tepi dan kemudian menumpukan sepenuh perhatian pada rakannya itu. “Cepatlah cerita. Aku dengar ni.”

Irish menarik nafas, mencari sedikit ruang sebelum menyambung bicara.

“Kau ingat lagi tak aku pernah cerita yang aku terlanggar orang dulu?”

“Yang dua kali tu? Yang kau cakap kau cuma minta maaf tapi tak sempat nak pandang muka orang tu sebab nak cepat?”

Irish mengangguk-anggukkan kepalanya tanda mengiakan kata-kata Athirah. “Baru-baru ni aku ada terlanggar orang lagi.”

“Hmm? Dah jadi tiga kalilah ni? So, apa masalahnya sekarang? Apa kena-mengena kes tu dengan kerja kau? Dan bukannya tiga-tiga insiden tu orang yang sama kau langgar, kan? At least kau dah minta maaf. Cuma tak sempat nak pandang muka diorang je sebab kau memang nak kejar masa time tu.”

Irish merenung rakannya di hadapan. “Memang masalah pun, Ira. Yang tiga kali aku terlanggar tu, orang yang sama.”

Membulat mata Athirah memandang Irish. Sedikit terkejut dengan apa yang diberitahu oleh gadis itu. “Kau biar betul, Rish?!”

“Hmm.... betullah.” Balas Irish lemah.

“Mana kau tahu tiga kali kau langgar tu orang yang sama?”

“Sebab orang yang aku langgar tu anak big boss aku.”

“Hah??!” Athirah terlopong. Kali ini dia benar-benar terkejut. Duduknya yang sedikit santai tadi sudah menegak memandang ke arah Irish. Seakan tidak percaya dengan cerita itu.

“Tutuplah sikit mulut tu. Kang masuk pulak lalat.” Irish masih sempat bergurau sambil tangan kanannya menutup mulut Athirah. Namun, tidak dipedulikan rakannya itu.

“Jap! Kau cakap yang kau langgar tu lelaki, kan? Then, anak big boss kau. Setahu aku kalau anak big boss kau yang lelaki, yang sorang tu jelah. Kawan along kau. Yang lain perempuan, kan?” Athirah menyoal inginkan kepastian. Memang Irish ada menceritakan padanya tentang keluarga majikannya itu. Secara tidak lansung dia mengetahui juga serba sedikit tentangnya.

“Tengku Haiyan ada sorang lagi anak lelaki. Adik pada Tengku Hafiy. Baru balik dari oversea. Aku pun baru tahu masa semua staff dok sibuk bercerita time dia balik Malaysia hari tu. Dan sekarang, anak lelaki dia tu kerja kat syarikat tu.”

“Ha.... don’t tell me anak big boss kau tu yang bagitahu sendiri pasal semua ni, Irish?” duga Athirah.

Sekali lagi Irish menganggukkan kepalanya tanda mengiakan. “Hmm, memang ya pun. Parah aku macam ni, Ira!”

Serentak dengan itu ketawa Athirah meletus di situ. Gelihati dia mendengar jawapan dari Irish. Orang-orang di sekeliling yang memandang hairan ke arahnya lansung tidak dipedulikan. Lama gadis itu melayan tawanya hingga akhirnya dia mengesat sendiri airmata yang sudah terkeluar dek kerana terlalu asyik ketawa.

“Amboi! Senangnya hati dia ketawakan orang. Tadi kata nak dengar masalah. Sekarang bukan main suka ketawakan orang, ya?”

“Kan aku dah cakap. Tadi kau seronok ketawakan aku, kan. Sekarang, turn akulah gelakkan kau puas-puas!” Athirah menyambung kembali tawanya.

“Hmm.... bangunlah macam ni.”

“Eh, janganlah merajuk! Okay, okay. Aku stop!” pantas Athirah menarik tangan Irish sebelum sempat gadis itu bangun. Ketawa yang masih berbaki segera dihentikan sebelum dia kembali bersuara. “Jadi, memang betullah tiga-tiga kali yang kau terlanggar tu anak big boss kau?”

“Ya.”

So, macam mana?”

“Macam mana apa?”

“Yelah. Macam mana anak big boss kau tu? Err.... siapa namanya?”

“Tengku Harrys.”

“Ha, macam mana reaksi Tengku Harrys tu masa bagitahu pasal semua ni kat kau? Dia marah ke? Atau mengamuk?”

“Biasa je. Tak ada nampak marah. Tu yang aku rasalah. Tapi dalam hati dia aku tak tahu sebab masa dia bagitahu tu dia terus pergi macam tu je,” terang Irish lagi.

“Ha! Tu maknanya dia tak marahlah tu. Dia okay kut. Kau jangan risaulah!”

“Mana kau tahu? Tahu tak, masa dia bagitahu tu dia minta aku buatkan air. Lepas aku bagi air kat dia, dia cakap terima kasih dan anggap itu sebagai denda sebab tiga kali aku langgar dia, tiga kali tu jugak aku minta maaf tapi tak pandang muka dia.”

Sekali lagi ketawa Athirah pecah. Kali ini lebih kuat.

“Kau janganlah gelak, Ira! Aku tengah risau ni. Tu baru dia suruh buat air. Lepas ni tak tahulah macam mana. Agaknya lagi teruk dari tu.” Irish meluahkan kerisauannya, bagai hendak menangis saja rasanya dia saat ini.

“Sabarlah, Rish. Tak ada apa-apalah! Kita tengok je nanti macam mana. Dia saja je tu nak menyakat kau. Tulah, lain kali kalau jalan sorang-sorang tu pandang depan. Ni tak, asyik tunduk bawah je!” Athirah cuba menenangkan perasaan Irish yang sudah kelihatan resah. Faham benar dia dengan perangai Irish bila berjalan seorang diri di tempat umum. Kurang gemar melihat atau dilihat orang katanya. “Tapi kan Rish…. handsome tak Tengku Harrys tu?”

Mendengarkan pertanyaan itu, spontan mata Irish melekat di wajah Athirah yang sudah tersengih nakal. “Kan? Kau memang suka kalau bab-bab macam tu, kan?”

“Saja je aku nak tahu. Cakaplah, handsome tak dia?” soal Athirah lagi, begitu teruja ingin tahu.

“Hmm.... bolehlah.”

“Dengan abangnya, lagi handsome siapa?”

“Entahlah, Ira. Orang cakap handsome adik dia. Agaknyalah kut. Aku tak tahu.” Irish menjawab pertanyaan itu sambil menjungkitkan bahu, seakan kurang berminat untuk bercakap tentangnya.

“Ya ke?? Hmm.... menarik!”

“Apa yang menarik?”

“Kalau aku jadi kau, tak kisahlah Tengku Harrys tu nak suruh aku buat apapun untuk dia. Manalah tahu, something interesting is going to happen.” Athirah tersenyum sambil mengangkat-angkat keningnya.

“Maksud kau?”

“Tak ada apa-apalah. Dah masuk waktu Zohor ni. Kita solat dulu jom! Then we start our date today!”

Athirah bingkas bangun dari duduknya. Namun bibirnya masih menguntum senyum. Bagai menyimpan maksud yang tersirat di sebalik kata-katanya sebentar tadi.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku