BAYANGAN GURAUAN
Teaser 21
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 15 September 2015
** ALHAMDULILLAH.. Bayangan Gurauan sudah diterbitkan pada Januari 2017 under Alaf 21 / Karangkraf & kini sudah berada di pasaran.. Anda boleh dapatkannya melalui belian secara online di Karangkraf Mall, melalui Whatsapp, di outlet Karangkraf & juga di kedai-kedai buku berhampiran anda.. Terima kasih semua yang setia dan sabar menanti BG selama lebih 3 tahun ini.. Salam sayang dari #HarrysIrish.... ^_^
Penilaian Purata:
(8 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
5905

Bacaan






BAB 21 

SURAH Yassin yang baru selesai dibaca ditutup dengan perlahan. Doa kemudian dititipkan sebagai melengkapi bacaannya. Pohonnya pada yang Maha Esa agar dipermudahkan segala urusan hidup di dunia mahupun di akhirat kelak. Juga moga seluruh hidup ahli keluarganya dirahmati dan diberkati oleh Allah swt. Sesudah mengaminkan doanya, Irish duduk berteleku seketika di atas tikar sejadah. Merenung jauh masa depan yang bakal ditempuhinya nanti. Dan akhirnya dia mengeluh sendiri.

Irish bangun dan menyidai kembali telekung serta sejadah ke tempat asal. Kemudian dia beralih ke katilnya dan melabuhkan duduk di situ. Luggage sederhana besar yang terletak di atas katil direnungnya. Esok dia sudah mahu berangkat ke Johor Bahru untuk tugasan luar yang diarahkan oleh majikannya. Namun satu apapun dia belum berkemas lagi. Entah mengapa kali ini dia berasa begitu berat untuk pergi sedangkan bukan dia tidak biasa dengan kerja luar seperti itu. Cuma kali ini perasaannya sedikit resah bila memikirkan Tengku Harrys akan turut serta.

Tengku Harrys. Menyebut nama lelaki itu sahaja bagai mahu terkeluar rasa jantungnya. Belum lagi dengan renungan tajam lelaki itu setiap kali mereka bertemu. Dapat dirasakan perasaan marah lelaki itu dari setiap pandangan matanya.

“Kenapalah mesti dia yang aku langgar? Dalam ramai-ramai lelaki kat Malaysia ni, kenapa mesti dia? Tengoklah sekarang. Daripada tak ada musuh, tiba-tiba ada orang yang tak senang dengan kau kat syarikat tu. Padan dengan muka kau, Irish. Padan muka! Padan! Padan!” Irish berbicara sendiri sambil menampar-nampar kedua pipinya melepaskan geram. Dan kemudian dia meraup seluruh wajahnya.

Luggage di hadapan dipandang kembali. Nak tak nak terpaksa juga dia pergi. Satu arahan yang tidak mungkin dapat dia bantah. Dengan lemah, Irish melangkah menuju ke almari pakaian dan mula mengemas baju serta barang-barang yang perlu dibawa untuk beberapa hari yang dia sendiri tidak pasti.

“Harap-harap tak adalah lama. Kalau tak, boleh menangis aku dibuatnya macam ni. Aduh, kenapa susah hati betul rasanya ni!” Irish mengomel lagi. Tangannya yang sedang melipat baju juga terhenti. Dadanya disentuh. Dapat dirasakan degupan jantungya bergerak laju.

“Ishh! Tak ada apa-apa kut. Kau ni Irish, suka sangat fikir yang bukan-bukanlah!” kali ini Irish menepu-nepuk dahinya pula. Setelah memastikan semua barang-barang keperluannya telah dibawa bersama, dia menutup zip luggage tersebut.

“Ya Allah, minta-mintalah Tengku Harrys baik hati kali ni. Tak ada nak buli-buli aku ke kat sana nanti. Amin!”

Irish mengaminkan doanya sendiri. Sesudah itu, luggagenya disandarkan di dinding bersebelahan almari. Jarum jam menunjuk ke angka 10.00 malam.

‘Masih awal lagi.’

Lantas gadis itu membuka komputer ribanya, ingin melayari laman sosial facebook seketika sebelum masuk tidur. Sudah lama dia tidak memeriksa akaunnya disebabkan kekangan masa kerja. Tiada apa yang begitu menarik perhatiannya. Cuma sedikit sebanyak dapat mengetahui perkembangan semasa rakan-rakan serta beberapa kenalan mayanya. Sedang melihat cerita-cerita terkini di laman sosial itu, tetingkap massengernya berbunyi.


Nazmi Jauhari : Salam.. Hai cute! Sihat?

Irish Izz : W’salam.. Hai Nazmi! Saya sihat je.. Awak?

Nazmi Jauhari : Saya pun okay.. Apa news sekarang?

Irish Izz : Macam biasa je.. Sibuk sikit dengan kerja..

Nazmi Jauhari : Oh, I see.. Saya tengah study ni.. Tengah final exam sekarang..

Irish Izz : Tengah study? Tapi sempat hadap FB lagi? Hmm, pandai!

Nazmi Jauhari : Sambil-sambil.. Hehehe.. Bosan juga asyik hadap buku 24 jam.. Kalau macam ni, dapat relaks sikit. Lagi-lagi dapat chatting dengan awak..

Irish Izz : Kan? Yelah tu! Macam saya tak kenal awak..

Nazmi Jauhari : Inda la.. Jujur saya cakap ni..

Irish Izz : Yelah, Nazmi.. So, bila habis exam? Dan bila balik Brunei?

Nazmi Jauhari : Insyaallah akhir bulan ni habis.. But next two weeks after that baru balik Brunei sebab nak round-round dulu dengan kawan-kawan kat sini..

Irish Izz : Ai! Inda rindu sama buah hati ke balik lambat ni?

Nazmi Jauhari : Inda la.. Rindu jua.. Tapi lepas ni boleh jumpa terus.. Inda payah risau! Hahaha..

Irish Izz : Amboi! Seronoknya awak, kan..

Nazmi Jauhari : Mesti la! Satu hari nanti saya mahu awak jumpa dia.. Mahu kenalkan awak pada dia.. Dia juga teringin jumpa awak..

Irish Izz : Hmm? Dia kenal saya?

Nazmi Jauhari : Yup! Saya ada cerita tentang awak pada dia..


Kata-kata Nazmi itu begitu mengejutkan Irish. Tidak sangka pula Nazmi bercerita tentangnya pada kekasih hatinya itu.


Irish Izz : Awak tak takut ke?

Nazmi Jauhari : Takut apa?

Irish Izz : Dia marah..

Nazmi Jauhari : Jangan risau la! Dia sangat-sangat sporting..

Irish Izz : Insyaallah.. Panjang umur nanti kita akan jumpa..

Nazmi Jauhari : Irish?

Irish Izz : Ya..

Nazmi Jauhari : Saya harap masa tu awak juga sudah jumpa pengganti..


Irish terdiam. Tidak tahu apa yang harus dikatakan. Rasa sebak mula bertandang.


Irish Izz : Insyaallah.. Doakan saya..

Nazmi Jauhari : Saya selalu doakan yang terbaik untuk awak.. Harap awak bertemu jodoh yang lebih baik suatu hari nanti.. Kuatkan semangat..

Irish Izz : Ya.. Thanks, Nazmi..

Nazmi Jauhari : Most welcome! Kalau kat Malayisa dah lewat malam ni.. Awak tak tidur lagi?

Irish Izz : Kejap lagi saya masuk tidur..

Nazmi Jauhari : Okay.. Next time kita borak lagi.. Or maybe time tu kita borak face to face..

Irish Izz : Ya.. Siapa tahu, kan? Okay, saya minta diri dulu.. You take care there.. Study elok-elok.. Jangan layan FB je!

Nazmi Jauhari : Yes, maam! You too, take care.. Smile always.. Kalau ada apa-apa problem, terus cari saya.. Bye sweet girl! Salam..


Irish tertawa sendirian dengan kata-kata akhir Nazmi itu. Sesungguhnya rakannya itu begitu mengerti akan dirinya, walaupun mereka belum pernah lagi bertemu. Boleh dikatakan Nazmilah satu-satunya sahabat lelaki yang rapat yang dia ada setakat ini. Sahabat yang begitu memahami dan setia mendengar segala luahan hatinya. Walaupun hanya internet menjadi peghubung mereka.

Irish lantas menekang butang ‘Log Out’ dari akaun facebooknya lalu menutup komputer riba sebelum berlalu ke katil untuk tidur. Baru sahaja dia melabuhkan duduk di birai katil, pintu biliknya diketuk dari luar.

“Umi.” Ucapnya sebaik kelibat Puan Qarina muncul di balik pintu.

“Irish dah tidur ke?”

“Belum lagi. Umi pun belum tidur?”

“Kejap lagilah. Saja nak tengok Irish dah siap berkemas belum. Dah siap dah?”

“Dah sudah,” ujar Irish sambil menunjukkan luggage serta sebuah beg sederhana besar yang diletakkan di sebelah almari.

“Cukup ke tu? Berapa hari pergi kali ni?”

“Tak tahu lagi berapa hari, umi. Kalau cepat siap, cepatlah balik. Tapi cukup kut rasanya. Irish ada bawa baju lebih.”

“Jadi along hantarkan esok pagi?” tanya Puan Qarina lagi. Sudah menjadi kelaziman apabila Irish mempunyai tugasan di luar selama beberapa hari, anak sulungnya itu akan menghantar Irish ke tempat kerja. Jika Izzul ada hal lain, dia akan meminta suaminya ataupun Irhan untuk menghantar anak perempuannya itu.

“Jadi. Along cakap esok dia masuk office lambat sikit.”

“Ha, kat tempat orang tu nanti jaga diri baik-baik. Solat jangan tinggal. Kalau ada apa-apa terus telefon bagitahu kami kat sini, ya?”

“Insyaallah, umi.” Balas Irish sambil tersenyum. Masuk ini entah yang ke berapa kali uminya berpesan sebegitu. Pesanan yang sama seperti sebelum-sebelum ini jika dia ingin pergi bertugas di luar kawasan. Hinggakan dia sudah boleh hafal setiap bait-bait perkataan yang dipesan oleh wanita itu. Dia tahu, uminya hanya bimbangkan keadaan dirinya jika berada di tempat orang.

“Hmm, dahlah tu. Pergi tidur. Dah lewat. Esok nak jalan jauh dah,” arah Puan Qarina apabila terpandangkan jam di dinding sudah menginjak ke pukul 11.30 malam. Lantas dia bangun ingin keluar dari bilik anaknya itu.

“Selamat malam, umi.”

Sempat Irish memberi ucapan sebelum uminya menghilang di sebalik pintu.

“Selamat malam. Dah, tidur.”

Sebaik sahaja Puan Qarina keluar, Irish mematikan suis lampu biliknya sebelum merebahkan badan ke atas tilam. Sejenak otaknya berfikir bagaimana dia harus menempuh hari yang bakal menjelang esok mengenangkan dia harus sentiasa berada bersama dengan Tengku Harrys untuk melakukan tugas. Bagai terbayang renungan tajam lelaki itu yang sedang memandang ke arahnya dengan perasaan marah. Mujurlah Puan Faridah turut serta. Kalau tidak, nahas juga dia.

“Isshh!” Irish meraup wajahnya beberapa kali. Bagai ingin membuang segala perasaan resah dan gelisah yang bertandang. Malas mahu melayan terus emosinya, dia cuba memejamkan mata. Dan entah bila dia sudah terlena di kala malam sudah merangkak ke pagi.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku