BAYANGAN GURAUAN
Teaser 22
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 15 September 2015
** ALHAMDULILLAH.. Bayangan Gurauan sudah diterbitkan pada Januari 2017 under Alaf 21 / Karangkraf & kini sudah berada di pasaran.. Anda boleh dapatkannya melalui belian secara online di Karangkraf Mall, melalui Whatsapp, di outlet Karangkraf & juga di kedai-kedai buku berhampiran anda.. Terima kasih semua yang setia dan sabar menanti BG selama lebih 3 tahun ini.. Salam sayang dari #HarrysIrish.... ^_^
Penilaian Purata:
(4 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
6069

Bacaan






BAB 22 

“BERAPA hari Irish pergi kali ni?” Izzul bertanya sebaik keretanya berhenti di lampu isyarat merah. Seperti yang dirancang, pagi itu dia masuk lambat sedikit ke pejabat untuk menghantar Irish yang mempunyai tugasan luar minggu ini.

“Tak tahu lagi, long. Depends pada kerja. Dah selesai semua masalah kat sana tu baru boleh balik.”

Izzul yang sedang memandu hanya mendengar sahaja jawapan yang keluar dari mulut Irish. Dia tidak kisah sangat adik perempuannya itu outstation ke mana-mana kerana setahu dia, setiap kali Irish pergi pastinya Tengku Hafiy akan turut sama. Jadi dia tidaklah begitu risau kerana tahu rakannya itu boleh diharapkan untuk menjaga dan melihat-lihat Irish.

“Hafiy ikut sekali, kan?”

“Kali ni tak.”

Sepantas kilat Izzul menoleh Irish di sebelah. “Hah?! Kenapa pulak?” sedikit meninggi suara lelaki itu.

“Kalau iya pun along pandanglah depan. Kan along tengah drive tu.”

“Ya.... along tahu. Tapi kenapa Hafiy tak ikut sekali?” tanya Izzul sekali lagi seakan tidak berpuas hati.

“Abang Hafiy ada hal penting yang lain. Sebab tu dia tak boleh nak follow.”

Izzul terdiam seketika. Baru tadi dia berasa senang kerana sangkanya Tengku Hafiy akan turut serta sekali. Tetapi berita yang baru didengarnya ini membuatkan hatinya mula dipagut risau.

“Habis, siapa yang lead korang kat sana nanti?”

“Adik dia.”

“Tengku Harrys?”

Irish mengangguk sebagai mengiakan jawapan Izzul. Sebentar kemudian, terdengar keluhan dari alongnya.

“Along janganlah risau. Irish boleh jaga diri. Lagipun Kak Faridah kan ada. Adalah jugak kawan perempuan,” jelas Irish, ingin menyedapkan hati Izzul. Padahal, hati dia sendiri pun belum tentu tenang.

Suasana di dalam kereta itu sunyi kembali. Masing-masing mendiamkan diri. Hinggalah kereta milik Izzul tiba di hadapan bangunan Haiyan Holdings. Sebaik mereka keluar dari kereta, kelihatan dari jauh Tengku Hafiy sudah tersenyum-senyum. Pantas lelaki itu datang menghampiri mereka berdua.

“Long, Irish nak naik office sekejap. Nak ambil barang sikit,” beritahu Irish. Sempat dia menghadiahkan sebuah senyuman kepada Tengku Hafiy yang sudah terpacak di sebelah Izzul sebelum berlalu pergi.

“Betul ke kali ni kau tak ikut?” Izzul terus bertanya sebaik kelibat Irish semakin menjauh.

“Hmm. Aku terpaksa attend meeting dengan Kementerian. Nak suruh Harrys, he still new. Belum mahir seratus peratus hal syarikat. So, aku minta dia follow outstation kali ni. Biar dia tahu sikit projek-projek kat luar tu,” terang Tengku Hafiy pada Izzul. Namun bila melihat rakannya hanya diam membisu, dia tahu lelaki itu sedang memikirkan sesuatu.

“Hey! Kau jangan risaulah! Aku dah pesan kat Harrys suruh tengok-tengokkan adik kau bila kat sana nanti. Aku tahu dia boleh diharapkan. Kau pun kenal dia macam mana, kan?” Tengku Hafiy menepuk-nepuk bahu Izzul, meyakinkannya agar tidak perlu terlalu risau akan hal tersebut.

Dan ketika itu Tengku Harrys muncul bersama keretanya. Melihatkan Izzul sedang bersembang dengan Tengku Hafiy, segera dia keluar lalu bersalaman dengan rakan baik abangnya itu sebelum mereka meneruskan perbualan bersama sementara menanti yang lain tiba untuk memulakan perjalanan.

Beberapa minit menanti, Irish kemudiannya turun bersama-sama Kak Faridah sambil tangan kanannya membawakan beg kecil kepunyaan wanita itu manakala sebelah lagi tangannya memegang beberapa buah fail. Dari jauh dia dapat melihat Tengku Harrys sudah ada bersama-sama Tengku Hafiy dan alongnya. Spontan jantung Irish berdegup laju. Perasaan takut mula menghantui dirinya. Dan sebaik dia dan Kak Faridah menghampiri kelompok itu, perbualan ketiga-tiganya terhenti. Izzul datang mendapatkan adiknya.

“Dah ambil barang dah?” soal Izzul pada Irish.

“Dah.”

Izzul kemudian berlalu ke bonnet keretanya untuk mengeluarkan barang-barang milik Irish yang berupa sebuah luggage beserta sebuah beg bersaiz sederhana besar lalu diletakkan di sebelah beg-beg kepunyaan Kak Faridah. Kemudian dia datang semula kepada Irish.

“Along dah nak pergi kerja?”

“Hmm. Irish pun dah nak gerak kan kejap lagi?” pertanyaannya itu dibalas dengan anggukan oleh Irish. “Jaga diri baik-baik kat sana. Kalau ada apa-apa terus call along, atau family kat rumah.”

Sekali lagi Irish mengangguk, membalas kata-kata Izzul. “Insyaallah. Along janganlah risau. Irish akan jaga diri.”

“Mahunya tak risau! Dengan Hafiy pun tak ada,” keluh lelaki itu. “Okaylah, along pergi kerja dulu.” Lantas salam dihulurkan. Sebaik Irish mencium tangannya, terus sahaja ditarik adiknya itu sebelum kepala gadis itu dikucup seperti selalu. Dan kelakuan mereka itu disaksikan oleh yang lain, termasuk Tengku Harrys.

“Dah sampai nanti jangan lupa bagitahu along dengan family,” pesan Izzul sekali lagi sebelum berlalu meninggalkan Irish.

Okay, Fiy. Aku gerak dulu!” Izzul bersalaman dengan rakannya itu. Setelah itu, dia beralih pada Tengku Harrys pula. “Tolong tengok-tengokkan Irish kat sana nanti, Rys.” Pinta Izzul seraya menghulurkan tangan dengan satu renungan mata yang penuh mengharap. Genggaman salam yang disambut lelaki itu juga dieratkan.

“Insyaallah.”

Hanya itu yang jawapan yang terlahir di mulut Tengku Harrys. Dapat dirasakan permintaan Izzul itu bagaikan satu amanah berat untuk dia pikul. Lebih-lebih lagi selepas melihat keakraban hubungan dua beradik itu sebentar tadi.

Izzul beredar menghampiri kereta. Sebelum masuk, sempat dia berpaling pada Irish yang kebetulan memandang ke arahnya. Sebuah senyuman di bibir gadis tinggi lampai itu terukir manis untuknya.

‘Kau tak tahu macam mana along sayangkan kau.’ Namun kata-kata itu hanya terluah di sudut hati. Lantas Izzul masuk ke dalam kereta sebelum menghidupkan enjin dan berlalu pergi dengan mata yang sedikit berair.

Melihat kereta Izzul yang sudah menjauh, Irish mendapatkan semula Kak Faridah yang sedang bercakap di telefon. Wakil dari finance department sudah ada kesemuanya. Hanya tinggal menunggu kedatangan mereka dari bahagian construction sahaja sebelum berangkat pergi.

“Itu ke abang Irish?” tanya Kak Faridah sebaik selesai perbualannya di telefon.

“Hmm. Tulah along Irish,” jawab gadis itu. Memang Kak Faridah belum pernah bertemu dengan Izzul. Biasanya sebelum ini Kak Faridah akan sampai lambat apabila mereka ada tugasan luar. Cuma baru kali ini suaminya dapat menghantar sedikit awal dari biasa.

Handsome! Dah kahwin dah?”

Irish tergelak mendengarkan kata-kata Kak Faridah itu. “Dah. Dah ada anak tiga pun, kak.”

“Oh, ya ke? Tapi tak macam orang dah ada anak pun. Memang kenal dengan boss ke along Irish tu?”

“Along dulu satu universiti dengan Tengku Hafiy.”

“Oooo.... Along Irish anak dah tiga. Tapi boss tu bila entah nak dapat rasa nasi minyak dia, kan!”

Sekali lagi Irish tergelak dengan jenaka Kak Faridah. Pagi-pagi lagi Kak Faridah sudah buatkan moodnya ceria. Namun gelak tawanya terhenti sebaik terpandangkan Tengku Harrys yang sedang bersandar di kereta sambil berpeluk tubuh memerhatikannya dari jauh. Terus sahaja dia melarikan pandangannya dari lelaki itu.

Pukul 9.30 pagi, barulah semuanya berkumpul di hadapan bangunan syarikat. Hanya Tengku Harrys dan Encik Hazman yang membawa kereta kali ini. Pilihan diberikan pada yang lain untuk memilih samada ingin menaiki kereta Tengku Harrys ataupun Encik Hazman. Ingin sahaja Irish memeluk Kak Faridah dan mengucapkan terima kasih pada wanita itu kerana menawarkan diri untuk menaiki kereta Encik Hazman bersamanya dan juga Henry. Sementara Encik Saiful pula akan menemani Tengku Harrys memandu keretanya.

‘Selamat kau, Irish. Tapi kali nilah. Lain kali, belum tentu lagi. Jadi, bersiap sedia sajalah!’ Irish bermonolog sendiri apabila kereta yang dipandu Encik Hazman mula bergerak mengikuti kereta Tengku Harrys dari belakang, meninggalkan perkarangan bangunan Haiyan Holdings untuk menuju ke tapak projek yang terletak di selatan Malaysia itu.


WAKTU sudah menghampiri 6.30 petang sewaktu mereka tiba di hotel. Sampai sahaja di Johor Bahru tengahari tadi mereka terus bergerak ke tapak projek bagi meninjau dahulu keadaan di sana sebelum memulakan kerja keesokan hari. Sementara menanti Encik Saiful dan Tengku Harrys menguruskan bilik untuk mereka menginap selama berada di sini, Irish mengambil kesempatan untuk melihat-lihat pemandangan di sekitar hotel itu.

Okay, guys! Dah boleh gerak ke bilik masing-masing. Ini kuncinya.” Encik Saiful bersuara sambil menghulurkan kunci bilik berbentuk sebuah kad. “Faridah, you satu bilik dengan Irish. Saya dengan Hazman satu bilik. Ha, Tengku Harrys dengan Henry ni special sikit! Seorang satu bilik.”

“Aik! Apa pasal I seorang satu bilik, Encik Saiful?” tanya Henry kehairanan.

“Itu Executive Suite yang ada twin rooms sudah fulllah, Henry. So Tengku booked Premier Suite untuk you. Tak apa. Agak-agak you takut tidur sorang malam-malam, lari jelah bilik I dengan Hazman. Okay?” seloroh Encik Saiful. Sempat lagi dia bergurau dalam keadaan mereka yang kelihatan letih ketika itu.

“Eh, siapa cakap I takut tidur sorang-sorang? I tak kisah pun!” bidas lelaki muda berbangsa Cina itu lantas mencapai kunci biliknya, membuatkan yang lain tertawa.

So malam ni macam mana, Encik Saiful? Ada apa-apa plan ke, or bebas?” Kak Faridah membuka mulut bertanya mengenai agenda malam itu setelah keadaan kembali reda.

“Ha.... yang itu kena tanya boss. Macam mana, Tengku?”

“Malam ni kita dinner sekali. Lepas Maghrib dalam pukul 8.00 semua turun berkumpul kat sini,” bersahaja saja Tengku Harrys memberikan jawapan.

Okay!” sahut yang lain serentak lalu mula bergerak menaiki lif untuk ke bilik masing-masing.

Bilik mereka terletak di tingkat yang sama, iaitu tingkat sepuluh. Cuma blok sahaja yang berlainan. Bilik Encik Saiful dan Encik Hazman serta Kak Faridah dan Irish berada di satu blok, manakala bilik Tengku Harrys dan Henry pula terletak di blok yang bertentangan. Sampai di hadapan bilik, Kak Faridah terus sahaja membuka pintu menggunakan kad yang diberikan.

“Hmm.... besar jugak bilik ni, Irish. Dah macam rumah pulak, ya?” ujar Kak Faridah sambil matanya melilau-lilau memerhatikan sekeliling bilik itu.

Bilik itu memang agak besar. Seperti sebuah apartment. Masuk sahaja ke situ akan terus ke ruangan lounge dilengkapi TV LED empat puluh dua inci, set sofa serta sebuah meja makan empat kerusi. Di sudut bertentangan pula disediakan ruangan dapur mini lengkap dengan peti sejuk, singki, dapur elektrik serta perkakas untuk memasak. Juga terdapat sebuah mini bar yang mana memisahkan antara ruang dapur dan ruangan lounge di hadapan. Pihak hotel turut menempatkan sebuah bilik air di sebelah ruangan dapur. Seperti kata Encik Saiful, Executive Suite itu mempunyai dua bilik yang mana ia terletak di ruang sebelah kiri pintu masuk utama tadi.

“Irish nak bilik yang mana satu?” tanya Kak Faridah pada Irish sebelum dia masuk ke dalam bilik untuk berehat.

“Tak kisah, kak. Mana-mana pun boleh.”

“Kalau macam tu akak masuk bilik yang inilah. Nak rehat kejap. Letih sangat. Irish pun masuklah rehat. Mesti penat jugak, kan. Malam nanti pun kita nak keluar lagi. Akak masuk dulu, ya!” pesan Kak Faridah sambil membawa barang-barang kepunyaannya masuk ke dalam salah sebuah bilik.

“Hmm, yelah kak.”

Melihat Kak Faridah sudah menghilang ke dalam bilik, Irish mengatur kakinya masuk ke dalam sebuah lagi bilik yang bertetangan dengan bilik Kak Faridah. Masuk saja ke bilik itu, terbentang sebuah katil bersaiz queen di hadapannya. Berhadapan dengan katil itu ada sebuah lagi tv LED sebesar tiga puluh dua inci, sebuah meja solek dan almari pakaian manakala sofa, meja kopi serta bilik air diletakkan di sudut kiri bilik. Di sebelah kanan bilik pula terdapat sliding door yang bersambung terus dengan ruang balkoni.

Irish membawa masuk beg pakaiannya lalu di sandarkan di tepi almari pakaian. Lantas dia membuka pintu sliding dan berdiri di balkoni untuk seketika. Terbentang luas di hadapannya pemandangan laut yang cukup indah. Ditambah lagi angin bayu yang berpupuk lembut menampar ke pipi. Terasa begitu damai dan tenang jiwanya saat ini.

“Hmm.... boleh tahan jugak ya company sediakan hotel kali ni. Macam ni lebih dari seminggu pun aku sanggup duduk sini,” bicaranya sambil tersenyum sendirian. Namun hanya beberapa saat sahaja senyuman itu melebar di bibir sebelum wajah Tengku Harrys tiba-tiba menerpa ke ruang mindanya.

“Eh, tak boleh! Mana boleh lebih dari seminggu. Habis kena menghadap Tengku tu lama-lama nanti. Isshh! Tak boleh, tak boleh! Jangan cakap macam tu lagi, Irish. Masin mulut nanti, naya je!” Irish menampar-nampar mulutnya yang baru sahaja terlepas cakap. Diraup mukanya bagai menepis segala yang bermain di fikiran tika ini.

Tiba-tiba dia teringatkan keluarganya di rumah. Baru tersedar yang dia belum menelefon along serta keluarganya untuk memaklumkan ketibaannya di Johor Bahru tengahari tadi. Segera dia masuk semula ke dalam bilik. Telefon di dalam beg tangannya dicapai lantas jari terus mendail nombor ahli keluarganya.

“Hello, umi! Assalamualaikum.”


SEBAGAIMANA yang dirancang pada malam itu, Irish turun bersama Kak Faridah ke lobi hotel jam 8.00 malam. Keluar sahaja dari pintu lif, telah kelihatan Encik Saiful dan Encik Hazman yang sedang duduk menanti di kerusi yang disediakan oleh pihak hotel di ruang lobi tersebut. Cuma bayang Tengku Harrys serta Henry sahaja yang masih belum nampak lagi. Sementara menunggu, mereka berbual-bual kosong.

“Dah lama tunggu?”

Perbualan mereka terhenti. Semua mata teralih pada sekujur tubuh yang sedang berdiri bersebelahan dengan Irish.

“Eh! Tak adalah, Tengku. Kitorang pun baru sampai. Borak-borak kosong je ni.” Encik Saiful menjawab bagi pihak yang lain.

“Semua dah ada ke?” tanya Tengku Harrys lagi.

“Belum. Apek yang sorang tu belum turun lagi,” balas Encik Hazman pula diselangi dengan gelakan mereka.

Tengku Harrys hanya mengangguk sambil membetulkan lengan jaketnya. Malam ini dia kelihatan agak casual dengan memakai t-shirt dan jeans hitam dipadankan dengan jaket yang tersarung elok di badan. Berbeza dari hari-hari biasa dengan pakaian pejabatnya yang agak formal. Pertama kali Irish melihat Tengku Harrys dari sisi yang agak sederhana, namun tetap mampu menarik mata sesiapa sahaja yang memandang. Selesai membetulkan lengan jaketnya, Tengku Harrys mengangkat kembali wajah sambil kedua-dua tangannya dimasukkan ke dalam saku seluar. Dan ketika itu juga Irish memalingkan pandangannya ke tempat lain.

‘Hmmh! Tenanglah wahai hati. Kenapalah takut benar ni?’ bisiknya. Setiap kali kelibat Tengku Harrys muncul, pasti perasaan takutnya mula menerpa. Takut dek insiden perlanggaran yang sering menghatuinya selepas lelaki itu berterus-terang tempoh hari. Ikutkan hati mahu sahaja ditarik Kak Faridah di sebelah kanan agar bertukar tempat dengannya yang berada ditengah-tengah ketika ini.

So kita nak makan kat mana malam ni, Tengku?” Encik Hazman bersuara sementara menanti kedatangan Henry.

“Awak dah biasa dengan tempat ni kan, Saiful. Ada tempat-tempat menarik yang awak nak suggest?” soal Tengku Harrys kembali. Memang Encik Saiful ada memberitahu semasa dalam perjalanan siang tadi yang dia dan Encik Hazman kerap turun ke sini untuk memantau projek pembinaan hotel tersebut. Kalau nak ditanya pada dia, memang tidak tahulah jawapannya memandangkan bertahun-tahun lamanya dia bermastautin di bumi asing. Bukan dia tidak pernah datang ke sini. Pernah juga tetapi itu beberapa tahun yang dulu. Sekarang sudah tentulah segalanya telah berubah.

“Hmm.... biasa kat sini saya makan kat area-area Danga Bay, Tengku. Tapi yang selalunya saya pergi makan kat Restoran Singgah Selalu tu. Malam-malam macam ni memang seronok makan kat sana. Meriah pun meriah. Macam-macam jenis makanan ada,” beritahu Encik Saiful. Namun seketika dia mula terfikir kemungkinan selera ketuanya yang satu ini agak tinggi, tidak biasa makan di tempat-tempat seperti itu. Berbeza Tengku Hafiy yang tidak kisah makan di mana-mana. Walhal di warung juga bossnya itu tidak berkira asalkan dapat mengisi perut. “Cuma.... saya risau Tengku tak biasa makan kat tempat macam tu.”

“Saya tak kisah, Saiful. Kat mana-mana pun sama. Semua tu pun rezeki. Yang penting, halal.”

Mendengarkan kata-kata Tengku Harrys itu, semua yang ada terdiam. Tidak menyangka anak majikan mereka yang sudah biasa hidup di negara Eropah itu akan memberikan jawapan sedemikian. Tanpa mengira status dan juga kedudukan, sama seperti ahli keluarga Tengku Haiyan yang lain. Tidak hairanlah semua pekerja di syarikat itu begitu senang dan hormat dengan mereka sekeluarga.

“Haiya! Banyak sorrylah guys. I terlajak tidur, maa!” celah Henry yang secara tiba-tiba muncul di situ.

“Ha, apek! Ingat dah tak fikir nak makan tadi. Dah 8.15 dah. Baru nampak batang hidung!” jerkah Encik Hazman apabila melihat lelaki Cina itu sedikit kelam kabut. Sesuailah dengan gelaran apek yang diberikan oleh staff-staff di pejabat untuknya.

Sorrylah. Sorry, sorry! Banyak letihlah. So, where we are going to have our dinner, guys?” soalnya pada yang lain.

“Lambatlah you, apek! Kitorang dah habis discuss dah. Nak gerak dah pun. Sebab you lambat sangat, so tinggal!” seraya itu Encik Saiful bangun dari sofa diikuti Encik Hazman dan Kak Faridah meninggalkan Henry yang kelihatan terpinga-pinga sebelum ketawa kedengaran pecah dari mulut masing-masing.

“Irish?” Henry menyoal Irish pula.

Melihat Henry yang sudah tidak tentu arah, Irish menguntum senyuman pada lelaki itu. “Tak ada apalah, Henry. Diorang gurau je. Jomlah!”

Tanpa bertanya lagi Henry akhirnya menuruti langkah Irish dan kemudian diikuti Tengku Harrys di belakang mereka.


SO, nak makan apa? Pilih je. Macam-macam makanan ada kat sini,” ujar Encik Saiful sewaktu mereka duduk di salah satu meja makan di tempat yang dipanggil Restoran Singgah Selalu itu. Hanya Tengku Harrys yang tidak kelihatan di dalam kelompok tersebut. Sampai sahaja tadi, lelaki itu meminta diri sebentar untuk membuat panggilan telefon.

“Irish nak makan apa ni?” tanya Kak Faridah pada Irish di sebelahnya.

“Tak tahulah, kak. First time makan kat sini. So, tak tahu menu apa yang sedap.”

“Tulah. Akak pun tak tahu nak makan apa ni. Nampak semua macam sedap je!” Kak Faridah sudah terliur melihat pelbagai makanan yang terhidang di depan mata. “Ermm.... kita minta Encik Saiful jelah order, ya? Dia dah biasa makan kat sini.”

“Irish ikut je, kak.”

“Encik Saiful jelah yang order. Lagipun Encik Saiful dah biasa dengan tempat ni. Mesti tahu apa menu yang sedap, kan?” Kak Faridah bersuara bagi pihak dirinya dan Irish.

“Boleh je. No problem. Kau, Man?”

“Aku menu macam biasalah.”

Encik Saiful mengangguk-anggukkan kepalanya tanda memahami kata-kata rakannya itu. “Ha, apek! You nak makan apa?”

“Oh, I tak kisah pun. Apa you order, I makan je!” selamba Henry menjawab.

Sejurus itu, Encik Saiful mula memesan makanan untuk mereka pada malam itu. Termasuklah untuk Tengku Harrys sekali. Walaupun dia tidak mengetahui selera majikannya itu bagaimana. Harapnya Tengku Harrys tidak kisah dengan hidangan-hidangan yang telah dipesannya.

Seperti kata Encik Saiful, keadaan di sini memang agak meriah pada waktu malam dengan pelbagai gerai yang menjual makanan. Pengunjung juga boleh memilih sama ada ingin duduk di bahagian dalam yang berhawa dingin ataupun mengambil angin di luar sambil menikmati hidangan. Dan mereka memutuskan untuk duduk di luar sahaja bersama pengunjung-pengunjung lain dan memilih salah satu meja makan yang disusun panjang di mana ia diletakkan di tengah-tengah antara gerai-gerai yang terdapat di situ.

Hampir setengah jam menunggu, barulah makanan yang dipesan sampai. Waktu itu juga kelibat Tengku Harrys muncul menuju ke arah mereka. Semua ruang di kerusi telah penuh. Yang tinggal hanya satu ruang kosong bersebelahan Irish. Mahu tidak mahu, itu sahajalah tempat yang tinggal untuk dia duduki. Lalu dia melabuhkan duduknya di situ tanpa menoleh Irish di sebelah.

“Banyak order makanan.” Tegurnya sebaik terlihatkan meja itu sudah dipenuhi dengan pelbagai jenis hidangan.

“Tak perasan, Tengku. Order punya order tadi tak sangka pulak jadi banyak macam ni,” balas Encik Hazman.

“Alaa.... sekali sekala datang sini tak apalah. Rugi kalau tak merasa makanan tempat orang ni. Bila lagi, kan?” Encik Saiful pula bersuara.

“Boleh habis ke banyak-banyak ni?”

“Apa susah, Tengku. Yang lelaki ni kan ada. Boleh tolong habiskan. Lagi-lagi si apek ni!” Kak Faridah memuncungkan mulut pada Henry yang berada di hadapannya.

“Hah? I ke? Mana I larat nak habiskan semua ni sorang-sorang!”

Semuanya sudah tergelak-gelak melihat gelagat lelaki itu. Henry, engineer termuda di syarikat Haiyan Holdings itu sering saja disakat oleh rakan-rakan sepejabatnya. Tetapi dia tidak pernah ambil hati. Walaupun kerap diusik, namun dialah antara jurutera terbaik yang syarikat ada. Tidak hairanlah di usia yang dua tahun lebih tua dari Irish itu dia sudah ada jawatan yang boleh dibanggakan.

“Tak adalah! Akak main-main je. Tak habis pun, tak apalah. Boleh bungkus bawa balik.”

Mereka mula menikmati makan malam sambil berbual-bual. Ditambah dengan angin bayu laut malam-malam begini, memang berseleralah mereka menjamah hidangan. Sesekali terdengar gelak tawa mengiringi perbualan mereka. Disebabkan meja makan itu tidak sebesar mana, dan kedudukan mereka juga agak rapat, ada waktunya lengan Irish akan berlanggar dengan lengan Tengku Harrys di sebelah. Sedayanya gadis itu cuba berlagak tenang. Namun jauh di sudut hati, hanya Tuhan saja yang tahu betapa menggelabahnya dia ketika ini. Sudahlah dulu dia terlanggar lelaki itu, sekarang pula begini.

‘Hai! Memang nak cari nahas kau ni, Irish!’ ngomelnya dalam keresahan.

Selesai makan, mereka berjalan-jalan sebentar di sekitar Teluk Danga sambil menikmati pemandangan di waktu malam. Hampir menginjak ke pukul 11.00, barulah mereka bertolak pulang ke hotel penginapan untuk merehatkan diri memandangkan esok sudah ada tugas yang telah tersedia menanti.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku