BAYANGAN GURAUAN
Teaser 24
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 15 September 2015
** ALHAMDULILLAH.. Bayangan Gurauan sudah diterbitkan pada Januari 2017 under Alaf 21 / Karangkraf & kini sudah berada di pasaran.. Anda boleh dapatkannya melalui belian secara online di Karangkraf Mall, melalui Whatsapp, di outlet Karangkraf & juga di kedai-kedai buku berhampiran anda.. Terima kasih semua yang setia dan sabar menanti BG selama lebih 3 tahun ini.. Salam sayang dari #HarrysIrish.... ^_^
Penilaian Purata:
(8 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
5969

Bacaan






BAB 24 

GENAP seminggu sudah mereka berada di negeri yang berjiran dengan Kota Singa itu. Seperti tidak percaya rasanya. Semuanya gara-gara masalah yang timbul semasa proses pembinaan hotel bertaraf lima bintang tersebut. Bagi Encik Saiful, perkara sebegini mungkin sudah biasa padanya sebagai ketua jurutera syarikat yang banyak memantau projek-projek di luar kawasan seperti itu. Tetapi bagi mereka yang hanya sekali-sekala diarahkan untuk menghadiri tugasan luar, terutama kaum wanita seperti Irish dan Kak Faridah, satu minggu itu adalah tempoh yang agak lama bagi mereka. Lebih-lebih lagi bagi wanita yang telah berkahwin dan mempunyai anak.

Setelah seminggu berkampung di situ, hampir kesemua masalah di tapak projek berkenaan dapat diselesaikan. Dari masalah berkaitan syarikat pembekal, kualiti bahan-bahan yang digunakan hinggalah ke proses pembinaan semula fasa ketiga projek tersebut. Dan hari ini pegawai-pegawai dari construction department akan pulang setelah kerja-kerja mereka selesai. Yang selebihnya masih perlu berada terus di situ untuk menyiapkan tugas yang masih lagi berbaki.

Mengikut perancangan Encik Saiful, Encik Hazman dan Henry, mereka akan bertolak pulang pada petang Khamis itu selepas makan tengahari. Bermakna pada hari itu mereka semua hanya berada di tapak projek pada sebelah pagi sahaja. Selepas itu mereka akan terus pulang ke hotel untuk memberi peluang kepada Encik Saiful, Encik Hazman dan Henry berehat sambil berkemas sebelum turun makan dan terus bergerak pulang. Tengku Harrys awal-awal sudah berpesan yang dia mahu makan bersama sebelum pekerja-pekerjanya itu pulang. Tujuh hari sudah bersama membuatkan hubungan mereka menjadi agak rapat. Maklumlah, segala aktiviti dilakukan bersama, baik di tapak projek mahupun di luar waktu kerja.

Seperti yang dijanjikan, mereka berkumpul di cafe hotel pada jam 2.00 petang. Selepas mengambil hidangan makan tengahari masing-masing, mereka berenam mengambil tempat duduk di satu sudut yang agak berjauhan dari pengunjung lain.

“Dah siap berkemas semua?” Tengku Harrys memulakan perbualan antara mereka.

“Sudah, Tengku.” Encik Saiful, Encik Hazman dan Henry menjawab serentak.

Tengku Harrys mengangguk sahaja mendengarkan jawapan itu. Satu perkara yang dia kurang senang sebenarnya sejak dari awal lagi menjejakkan kaki ke syarikat papanya. Dia kurang gemar apabila orang memanggilnya dengan gelaran ‘Tengku’ itu. Seperti ada jarak yang memisahkan antara mereka. Dulu semasa di luar negara tiada sesiapa yang memanggilnya dengan gelaran tersebut memandangkan bangsa asing di sana tidak mengetahui makna di sebaliknya. Jadi tidaklah dia berasa ‘jauh’ apabila bergaul. Tapi bila dia kembali ke sini, nama itu disebut-sebut kembali.

Hal yang sama juga pernah disuarakan oleh ahli keluarganya yang lain. Namun Tengku Haiyan pernah berkata, mungkin orang memanggil keluarganya sebegitu atas dasar hormat kerana menganggap ahli keluarganya bukan dari darah keturunan orang biasa. Hendak menegah tidak, hendak menggalakkan jauh sekali. Tambahan pula kalau hanya seorang dua pekerja sahaja yang tidak memanggil sebegitu tetapi yang lain berbuat demikian, tentu ianya akan menjadi buah mulut orang juga. Sudahnya, papanya menasihatkan agar terima sahaja keadaan itu selagi ianya perkara yang baik dan tidak mendatangkan kesusahan pada orang lain.

“Tengku dan yang lain lama lagi ke kat sini?” Encik Saiful yang duduk di hadapan Tengku Harrys bertanya, sekaligus mematikan lamunan lelaki itu.

“Ermm, mungkin dalam dua tiga hari lagi. Tengok keadaan macam mana. Kalau dah siap semua kerja-kerja di sini, masalah semua dah selesai, keadaan pun dah betul-betul okay untuk saya tinggalkan, barulah saya bawa Kak Faridah dan Irish balik,” balas Tengku Harrys sambil merujuk pada Kak Faridah dan Irish yang duduk sebaris dengan Encik Saiful.

“Bunyi macam tak nak bagi kitorang lepas je ni, Tengku!” sampuk Kak Faridah.

“Eh, mestilah! Kalau tak, siapa yang nak tolong Tengku kira balik kos projek ni, maa? And report lagi. Ingat senang ke you all!”

“Eh, apek! Akak cakap jelah. Tahulah dah nak balik!”

“Alaa.... Kak Faridah. I pun cakap jelah. Janganlah marah, ya!” Henry membalas semula sambil menyengih pada wanita itu, membuatkan ketawa mereka kedengaran.

Sedang rancak mereka bersembang, tiba-tiba terdengar nada dering telefon bimbit berbunyi. Serta-merta perbualan mereka terhenti.

“Siapa punya?” Henry bersuara di antara mereka.

“Akak punya,” sahut Kak Faridah. Seraya itu dia mengambil telefon dari beg tangannya. Senyuman melebar di bibir tatkala melihat nama pemanggil yang tertera di skrin telefon. “Sekejap, ya.”

Wanita itu bangun meminta diri untuk menjawab panggilan tersebut. Sementara yang lain menyambung kembali perbualan yang tadinya terhenti. Selang beberepa minit kemudian, Kak Faridah kembali dan duduk semula di kerusinya bersebelahan Irish. Wajahnya kelihatan mendung. Irish yang perasan akan perubahan itu sedikit hairan.

“Kak.... Kenapa?” tanya Irish perlahan sambil menyentuh tangan Kak Faridah. Namun suaranya yang disangka perlahan itu rupanya didengari oleh yang lain, membuatkan semua mata tertumpu pada wanita tersebut.

Are you okay, Kak Faridah?” soal Tengku Harrys pula apabila melihat wanita itu tidak menjawab pertanyaan Irish.

Husband akak call. Dia bagitahu anak lelaki akak yang bongsu tu demam panas. Tengahari tadi bawa pergi hospital terus kena tahan,” beritahu Kak Faridah. Suaranya hampir tidak kedengaran kerana menahan tangis. Mereka yang mendengar terus terdiam. Siapa yang tidak sedih bila mana ada ahli keluarga yang ditimpa sakit atau musibah. Lebih-lebih lagi apabila berjauhan begini. Agak lama mereka berkeadaan begitu hinggalah Tengku Harrys bersuara semula.

“Tak apalah. Akak pergi naik bilik kemas barang-barang akak. Then akak ikut mereka ni balik.”

“Betul ke ni, Tengku??” Kak Faridah seakan tidak percaya. Tetapi selepas melihat ketuanya itu mengangguk-anggukan kepalanya tanda mengiyakan, sedikit kelegaan terpancar di wajahnya. “Terima kasih, Tengku. Terima kasih sangat!” ucapnya sedikit ceria. Namun senyuman wanita itu hanya seketika bila dia teringatkan sesuatu. “Tapi.... Irish macam mana?” soalnya sambil memandang Irish di sebelah, tanpa mengetahui soalan yang sama juga sedang berlegar-legar di dalam kepala gadis itu.

“Macam mana apanya, kak. Nampak gayanya terpaksalah si Irish ni stay kat sini. Kalau tak, siapa yang nak tolong Tengku siapkan report projek tu.”

Encik Hazman terlebih dahulu menjawab pertanyaan itu sebelum sempat Tengku Harrys membuka mulut. Jawapan yang membuatkan pandangan lelaki itu terus dihalakan pada Irish.

“Tak apa ke, Irish?”

“Tak apa. Anak akak lagi perlukan akak kat sana,” balasnya. Namun kata-kata yang dizahirkan itu tidak sama dengan apa yang tersirat di hatinya. Mana mungkin dia boleh bekerja berdua sahaja dengan Tengku Harrys di sini. Sedangkan waktu Kak Faridah ada bersama pun, hatinya sentiasa dipagut resah.

“Kalau macam tu akak naik bilik kemas dulu.” Seraya itu Kak Faridah bangun dari duduknya.

“Kak.... Irish tolong,” pinta gadis itu. Tidak betah rasanya untuk dia terus duduk melihatkan hanya dia seorang sahaja perempuan. Sebaik bangun, mereka mula mengatur langkah untuk naik ke bilik meninggalkan keempat-empat lelaki tersebut yang masih setia di meja makan.


“AKAK minta maaf sangat, Rish. Terpaksa tinggalkan Irish sorang-sorang kat sini. Tak sangka pulak nak jadi macam ni!” luah Kak Faridah sambil menggenggam tangan Irish. Sebentar lagi dia akan bertolak pulang bersama-sama Encik Saiful, Encik Hazman dan juga Henry. Kelihatan Tengku Harrys dan ketiga-tiga lelaki tersebut sedang berbincang sesuatu tidak jauh dari mereka.

“Tak apalah, kak. Benda dah nak jadi. Bukan kita minta pun. Agaknya anak akak tu rindu dengan mama dia ni kut. Lama sangat kena tinggal.”

“Tak tahulah, Irish. Selalunya tak ada pulak sampai demam-demam macam ni. Itulah orang cakap. Benda yang kita nak elak tulah yang kadang-kadang akan jadi tanpa kita duga.”

Irish tersenyum. ‘Ya, kak. Samalah macam yang berlaku sekarang ni. Tak sangka Irish pulak yang kena tinggal last-last kat sini. Nak menghadap Tengku yang sorang tu lagilah satu hal.’ Namun semua itu hanya terluah di dalam hati. Risau dia memikirkan bagaimana untuk berhadapan dengan lelaki itu sekarang ini.

“Dah boleh gerak, Kak Faridah?” tanya Encik Hazman yang berjalan ke arah keretanya diikuti yang lain.

“Sudah.” Kak Faridah dan Irish turut melangkah menghampiri kereta Encik Hazman. “Okay, Irish. Akak balik dulu. Jaga diri baik-baik, ya.”

“Insyaallah. Apa-apa nanti akak bagitahulah.” Irish bersalam dengan wanita itu lantas mencium tangannya. Sudah menjadi kebiasaan pada dirinya kerana telah diajar sebegitu semenjak kecil oleh Puan Qarina untuk menghormati orang yang lebih tua.

Kak Faridah menarik Irish ke dalam pelukannya. Berat rasa hatinya ingin meninggalkan Irish seorang di sini, walaupun dia tahu Tengku Harrys ada bersama. Sejak dari mula Irish diletakkan di bawah seliaannya, dia begitu senang dengan gadis ini. Tidak banyak bercakap, tapi prestasi kerjanya amat baik sekali.

“Saya balik dulu, Tengku. Terima kasih benarkan saya balik,” ucap Kak Faridah sebelum memasuki kereta.

Tengku Harrys membalasnya dengan senyuman. “Take a good care of your son.”

Kereta Honda CRV milik Encik Hazman mula bergerak meninggalkan Tengku Harrys dan Irish di perkarangan hotel penginapan mereka. Lama mereka berdiri di situ hinggalah bayang kereta Encik Hazman sudah tidak kelihatan lagi.

“Saya rasa awak patut pindah bilik.”

“Hmm?” spontan Irish menoleh ke sebelahnya.

“Bilik awak jauh dari bilik saya. Jadi, saya suggest awak pindah blok yang sama dengan blok bilik saya. In case kalau jadi apa-apa, senang nanti.”

Irish hanya mendengar kata-kata lelaki itu tanpa sebarang reaksi. Mungkin masih terkejut dengan sapaan yang tiba-tiba itu. Kepalanya tunduk seperti memikirkan sesuatu.

“Ke nak saya pindah bilik awak? Twin rooms, kan? So lagi senang saya tinggal masuk je bilik yang satu lagi tu.”

Sekali lagi Irish menoleh ke sebelah, memandang Tengku Harrys yang masih lagi melihat ke arah jalanraya di hadapan. Bersahaja lelaki itu menuturkan kata-katanya.

Menyedari renungan gadis itu yang kelihatan agak terkejut, lantas Tengku Harrys berpaling ke belakang dan mula mengatur langkahnya.

Go up and pack your things. Saya akan uruskan bilik untuk awak pindah.”

Dan Tengku Harrys berlalu meninggalkan Irish yang masih terpinga-pinga di situ dengan satu senyuman yang disembunyikannya sejak dari tadi.


“DAH siap?” satu suara menegurnya dari belakang ketika Irish baru selesai mengunci pintu bilik hotel. Hampir terlepas kad yang berada dipegangan. Pantas dia berpaling.

‘Dia ni memang suka terkejutkan orang agaknya!’ tingkah gadis itu dalam hati.

“Sudah.”

Setelah itu Irish berpaling semula untuk memastikan pintu bilik itu benar-benar sudah dikunci.

“Jom!” Tengku Harrys menghampiri Irish dan mengambil lagguage serta beg kepunyaan gadis itu. Tanpa berkata apa-apa, dia terus beredar dan mula melangkah ke blok di seberang sana. Irish pula hanya memandang tingkah-laku lelaki itu dengan satu perasaan.

‘Baik pulak dia hari ni nak tolong bawakan beg-beg tu.’

Gadis itu kemudian menuruti langkah Tengku Harrys yang sudah berjalan di hadapan. Mereka bergerak menuju ke blok bertentangan yang menempatkan bilik lelaki itu. Beberapa minit berjalan, akhirnya Tengku Harrys berhenti di hadapan pintu sebuah bilik. Beg-beg Irish diletakkan di situ. Dia kemudian mengeluarkan sesuatu dari poket kemejanya lalu dihulurkan pada Irish.

“Ini kunci bilik. Dah duduk satu blok ni senang sikit nak panggil kalau ada apa-apa. Even taklah dekat sangat bilik kita. So masuklah, berehat.”

Lelaki itu kemudiannya berlalu dan berhenti betul-betul di hadapan pintu bilik sebelah. Serta-merta kening Irish berkerut.

“Err.... bilik Tengku kat mana?”

Tengku Harrys yang sedang menyeluk saku seluarnya ketika itu, mengerling Irish sekilas. Kemudian dia tersenyum. Kelihatan satu kad sudah berada di tangannya dan terus sahaja dimasukkan kad itu pada pintu. “Sebelah je.”

Dan lelaki itu terus masuk ke dalam bilik meninggalkan Irish sekali lagi dalam keadaan terpinga-pinga.

“Sebelah?” bicara Irish sendiri. Termangu seketika gadis itu di tempatnya.

One more thing. Malam ni jangan lupa turun pukul 8.00. Saya tunggu kat lobi bawah. Thanks!” Tengku Harrys masuk semula ke dalam tanpa menunggu sebarang jawapan dari Irish.

Sekali lagi lelaki itu membuat Irish kehilangan kata-kata. Agak lama dia tercegat di situ sambil memandang pintu bilik Tengku Harrys yang sudah tertutup rapat.

‘Belum sampai setengah hari ada dengan dia dah jadi macam ni. Esok, lusa, dan berapa hari lagi agaknya kena layan fiil dia ni, tak tahulah aku macam mana.’

“Ya Allah Ya Tuhanku!”

Irish meraup wajahnya beberapa kali. Tidak sanggup untuk melalui saat-saat seperti ini untuk beberapa hari lagi. Segera ditarik luggage dan begnya untuk masuk ke dalam bilik, ingin meredakan sedikit hatinya yang sudah melayang jauh entah ke mana dek kerana lelaki itu!


TEPAT jam 8.00 malam Irish turun dari biliknya. Dia tidak tahu sama ada Tengku Harrys sudah turun atau belum. Sewaktu keluar dari biliknya tadi tidak pula dia terserempak dengan lelaki itu. Kakinya melangkah masuk ke dalam sebaik pintu lif terbuka. Sampai di bawah, dia terus menuju ke lobi hotel. Dari jauh sudah kelihatan susuk tubuh Tengku Harrys yang sedang duduk di sofa ruangan menunggu sambil leka menatap skrin i-phone miliknya.

“Hmm.... awal pulak dia turun hari ni. Selalunya lambat.” Jam di tangan sempat dikerling. “Tapi memang aku turun sharp pukul 8.00 ni. Dia kut yang turun awal!” ngomel Irish bagi menyedapkan hati sendiri. Bibirnya diketap menahan risau. Risau sekiranya dia yang terlambat. Tanpa berlengah lagi, dia datang menghampiri Tengku Harrys yang sedang membelakanginya ketika ini.

“Assalamualaikum.”

Pantas lelaki itu menoleh. Dilihatnya Irish sudah tegak berdiri di belakang. Terlalu leka membelek telefonnya hingga tidak sedar bila gadis itu muncul di situ. Tengku Harrys bingkas bangun dari sofa yang didudukinya.

“Waalaikumussalam. Dah lama ke kat sini?”

“Baru je,” balas Irish seraya tertunduk apabila Tengku Harrys datang mendekatinya.

Shall we?”

Irish menjawabnya dengan satu anggukan. Mereka beriringan keluar dari bangunan hotel itu menuju ke kereta Tengku Harrys. Sebaik menghampiri keretanya, lelaki itu mendahului Irish masuk ke dalam.

Lain pula dengan Irish. Dia masih lagi tercegat di luar. Entah kenapa dia berasa gementar. Badannya pula terasa seram sejuk. Sudah lama dia tidak keluar dengan lelaki, apatah lagi dengan menaiki kereta berdua begini. Tiba-tiba pula malam ini dia terpaksa berhadapan dengan situasi tersebut. Dengan Tengku Harrys pula. ‘Hai, parah ni Irish. Parah!’

“Irish?”

Panggilan Tengku Harrys melalui tingkap kereta mematikan terus lamunannya.

“Ya!”

Are you okay?”

“Ya, okay.”

Pantas Irish memasuki kereta sebelum ditebak dengan lebih banyak soalan. Dia tidak mahu lelaki itu dapat mengesan riak mukanya yang serba tidak kena waktu ini.

Sure?” sekali lagi Tengku Harrys bertanya sebaik tubuh Irish sudah berada di dalam kereta.

“Hmm.”

Setelah menutup pintu kereta dan mengenakan tali pinggang keledar, Irish duduk membisu di sebelah Tengku Harrys. Malah sepanjang berada di dalam kereta itu, masing-masing tidak bersuara lansung walau sepatah perkataan. Yang seorang leka memandu, yang seorang lagi asyik melihat pemandangan di luar tingkap. Hanya alunan muzik di radio sahaja yang berkumandang menemani perjalanan mereka berdua.

“Teringin nak makan kat mana-mana?”

Pertanyaan Tengku Harrys membuatkan Irish menoleh sekilas lelaki di sebelahnya. Dengan lambat dia menjawab. “Tak ada.”

So, kita nak pergi makan kat mana ni?” Tengku Harrys bertanya lagi, cuba untuk mewujudkan perbualan di antara dia dan Irish. Walaupun dia tahu memang payah untuk mendengar suara gadis itu.

“Tak kisah. Saya ikut je,” kali ini Irish lansung tidak menoleh ke arah Tengku Harrys. Perkataan ‘kita’ yang disebut oleh lelaki itu sebentar tadi kedengaran janggal di telinganya.

Mendengarkan jawapan Irish, Tengku Harrys meneruskan pemanduan. Beberapa minit keretanya menderu di atas jalan raya, BMW 6 Coupe miliknya kini berhenti di hadapan bangunan Danga Bay International Restaurant. Malam ini dia terasa ingin mencuba makanan di restoran agak ekslusif itu.

Sesudah memarkirkan kereta, Tengku Harrys menapak keluar diikuti Irish lalu kaki dihalakan ke arah restoran tersebut. Melihat panorama malam di situ memang mengasyikkan. Dengan reka bentuk bangunannya yang menyerupai sebuah kapal, dihiasi dengan lampu-lampu neon yang indah, dibina pula di atas air di tebing Teluk Danga sememangnya amat mengujakan pengunjung-pengunjung di situ. Termasuk mereka berdua.

Sebaik memasuki ruang restoran itu, Tengku Harrys memilih tempat di bahagian tepi yang menghadap ke perairan Teluk Danga. Malam ini dirasakan tidak seperti malam-malam sebelumnya. Selalunya riuh dengan suara dan gelak ketawa dari jenaka Encik Saiful, Encik Hazman, Henry serta Kak Faridah setiap kali menikmati makan malam. Tetapi mereka bereempat telah selamat pulang. Tinggallah dirinya dan Irish sahaja berdua malam ini. Sepanjang berada di dalam restoran itu, tiada komunikasi yang berlaku antara mereka. Masing-masing hanya menyepi. Perasaan janggal yang timbul apabila berduaan begitu menyebabkan masing-masing kelu lidah untuk berbicara. Hanya mata Tengku Harrys sahaja sesekali merenung Irish bila dia mendapat peluang untuk berbuat demikian.

Selesai makan dan membuat pembayaran di kaunter, mereka berdua keluar dari restoran tersebut. Irish mendahului Tengku Harrys mempercepatkan langkahnya menuju ke kereta. Kalau boleh dia ingin segera pulang ke hotel. Tidak betah berlama-lama dengan Tengku Harrys begini.

“Boleh kita jalan-jalan dulu?”

Suara itu membuatkan langkah Irish terhenti. Lambat-lambat dia berpaling menghadap Tengku Harrys. “Hmm?”

“Temankan saya ambil angin sekejap.”

Irish masih memandang Tengku Harrys. Lelaki itu kelihatan tenang sahaja. Tetapi kata-katanya itu bagaikan satu arahan yang tidak boleh untuk dia berkata ‘tidak’.

‘Alamak! Macam mana ni?’ gumam Irish.

“Boleh?” sekali lagi Tengku Harrys bertanya.

Tanpa ada pilihan, terpaksa juga Irish menuruti permintaan itu. Kalau ditolak mahunya dia akan ditinggalkan di sini. Bagaimana pula dia hendak balik ke hotel nanti? Akhirnya Irish menggangguk. Dengan berat hati dia melangkah mengikuti Tengku Harrys menuju ke tebing laut yang berpagar itu. Agak ramai juga pengunjung yang bersantai di situ mengambil angin malam.

Tengku Harrys berdiri di hadapan pagar besi tersebut. Tangannya kemudian ditongkatkan di atas besi itu sambil memandang ke arah laut yang terbentang luas. Irish yang berada tidak jauh darinya hanya memerhati. Dan akhirnya dia juga ikut turut melakukan hal yang sama. Memandang air laut yang gelap dek ditelan kepekatan malam.

“Tengok apa?”

“Hmm?”

Irish sedikit tersentak. Gelagatnya yang sedikit kalut itu mengundang senyum di bibir Tengku Harrys. Satu tindakan refleks apabila disapa secara tiba-tiba. Sesuatu yang dia sedari tentang gadis itu.

“Ada apa-apa yang menarik kat laut tu?” Tengku Harrys bertanya lagi. Pandangannya turut sama dihalakan pada laut di hadapan.

“Tak adalah.” Hanya itu jawapan yang keluar. Dia sendiri tidak tahu apa yang dipandangnya pada air laut itu. Sudahlah gelap, satu apa pun dia tidak nampak. Yang dia tahu, dia hanya mengikut kelakuan Tengku Harrys. ‘Cakap orang. Dia yang mulakan dulu.”

“Daripada tenung laut tu, lebih baik tengok saya.”

Sekali lagi Irish menoleh. Kali ini dia dapat melihat dengan jelas senyuman yang terukir di bibir Tengku Harrys. ‘Okay ke tak dia ni? Dah kenapa?’ Irish menghalakan semula pandangannya ke hadapan. Terasa lain dengan sikap Tengku Harrys malam ini.

“Selalu outstation ke sini?”

Site lain kerap jugak. Tapi kat sini, first time.”

Tengku Harrys menganggukkan kepalanya. “Saya tanya something boleh?”

Irish mengerling lelaki itu sekilas. “Boleh.”

“Awak takut dengan saya ke?”

Tersirap darah Irish mendengar pertanyaan Tengku Harrys itu. Terasa kakinya tidak menjejak bumi saat ini. Nafasnya juga terasa pendek. Kaku dia seketika. Tidak tahu apa yang harus dijawab pada soalan yang tidak lansung terjangka olehnya.

“Irish?”

“Hmm?”

“Awak okay?” Dalam samar-samar, Tengku Harrys dapat melihat riak wajah Irish yang sedikit berubah. Soalannya hanya dibiarkan sepi. Dia tahu gadis itu agak terganggu dengan pertanyaannya sebentar tadi. “It’s okay. Just forget it. Jomlah, kita balik.” Seraya itu Tengku Harrys berpaling untuk berlalu.

“Saya minta maaf.”

Irish mula bersuara, menyebabkan Tengku Harrys berpaling semula padanya.

What?”

“Saya minta maaf,” ulang Irish.

“Untuk apa?”

Irish kecut perut. Suara lelaki itu kedengaran serius saja.

“Pasal insiden langgar tu.”

Jawapan Irish itu membuatkan Tengku Harrys tersenyum lagi. Namun sedaya upaya cuba disembunyikannya agar tidak terlihat walaupun gadis itu sedang tertunduk.

“Saya tahu salah saya. Saya langgar Tengku tiga kali. Tiga kali saya minta maaf tapi lansung tak pandang muka Tengku. Saya kejar masa time tu.” Irish mencuri nafas seketika sebelum menyambung kembali kata-katanya. “Dan saya tak sangka Tengku orang yang saya langgar tiga-tiga kali tu. Sampailah Tengku berterus-terang tempoh hari. Saya memang betul-betul tak sengaja!”

Irish masih lagi tunduk. Menantikan reaksi dari Tengku Harrys. Namun tiada sebarang jawapan yang keluar dari mulut lelaki itu. Lantas dia mengangkat wajah, membuatkan pandangan mata mereka bertaut kini. Satu renungan tajam diberikan oleh Tengku Harrys untuknya.

“Sebab tu ke awak takut dengan saya?”

Irish hanya membisu. Mencari-cari perkataan yang sesuai untuk diberikan. Sesaat dua, keadaan masih lagi sepi.

Melihatkan pertanyaannya tidak dijawab, Tengku Harrys menghampiri gadis tinggi lampai itu.

“Cakaplah. Kenapa diam?”

Irish kembali tunduk. Perasaannya semakin tidak keruan. Kalaulah dia ada pilihan, mahu sahaja dia pilih untuk pergi dari sini. Soalan itu benar-benar menyeksa jiwanya.

Okay. Saya tahu saya salah. Saya minta maaf. Benda tu dah berlaku dan saya tak boleh nak buat apa-apa dah. Kalau Tengku nak hukum saya sekalipun, hukumlah. Saya terima.” Irish memejamkan matanya, cuba menahan air hangat itu daripada mengalir. Suaranya juga mula bergetar.

“Kalau saya ada niat nak balas dendam, dah lama saya buat. Tapi saya tak seteruk tu.”

Irish membuka matanya. Jawapan Tengku Harrys bena-benar diluar jangkaan. Kepalanya didongak, mencari anak mata lelaki itu.

Saya maafkan awak. Tapi kalau berlaku lagi, saya tak jamin saya akan duduk diam.” Tengku Harrys seakan-akan memberi amaran. “So, boleh kita balik sekarang? Dah malam.”

Irish mengangguk. Memang itu yang dia mahu. Ingin segera kembali ke bilik hotel sekarang ini. Kakinya mula mengatur langkah beriringan dengan Tengku Harrys menuju ke tempat letak kereta.

“Tapi saya nak ucap terima kasih jugak sebab dah langgar saya,” ucap Tengku Harrys selamba, membuatkan Irish berhenti melangkah. Dan lelaki itu terus berjalan dengan senyuman yang tidak henti-henti melekat di bibir.


IRISH mencari-cari kunci bilik di dalam beg tangan sewaktu menyusuri koridor bangunan yang menghala ke biliknya. Tengku Harrys di belakang lansung tidak dihiraukan.

‘Mana pulak kunci bilik ni. Masa ni jugaklah dia nak menyorok,’ rungutnya di dalam hati. Setelah beberapa saat mencari, akhirnya dia temui kunci itu. Terus sahaja kakinya meluru ke arah pintu. Serasa tidak sabar dia ingin meloloskan diri ke dalam bilik.

“Tak apa tinggal sorang-sorang malam ni?” Tengku Harrys menegurnya dari belakang.

“Tak apa. Saya dah biasa,” jawab Irish tanpa menoleh. Tidak sanggup lagi untuk memandang lelaki itu. Betapa malunya dia saat ini, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Kalaupun esok dia harus berhadapan dengan lelaki itu lagi, itu cerita esok. Tapi untuk malam ini, dia sudah tidak sanggup lagi.

Tengku Harrys turut berlalu ke biliknya. Sebelum masuk ke dalam, sempat dia menjengah Irish di sebelah.

“Kalau takut tinggal sorang-sorang, ketuk jelah bilik ni. Saya tak kisah kalau nak temankan,” ujar lelaki itu dengan selamba sambil menghadiahkan sebuah senyuman pada Irish sebelum menghilang ke dalam biliknya.

Membulat mata Irish melihat tingkah Tengku Harrys malam ini. Tak pernah-pernah bossnya itu berperangai sebegini. Selalunya lelaki itu agak serius. Jangankan ketawa, senyum pun susah hendak nampak di wajahnya.

“Ya Allah. Dah kenapa dengan dia ni? Takkan kena angin Danga Bay terus jadi macam tu kut!” ngomelnya sedikit geram. “Astaghfirullahalazim! Sabar, Irish. Sabar! Sabar! Nasib dia boss. Kalau tak....,” gumam Irish lagi. Ayatnya terhenti di situ. Malas mahu melayani perasaan, pantas dia membuka pintu dan terus masuk ke bilik, meninggalkan segala perasaan yang sudah bercampur baur di dalam hati.

Tengku Harrys menghempaskan badannya di atas katil dengan ketawa yang masih bersisa. Pasti gadis itu berasa hairan dengan kelakuannya. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia begitu berani mengusik Irish malam ini. Melihatkan telatah gadis itu apabila diusik membuatkan hatinya terhibur.

“Irish Qiara.....”

Nama gadis itu meniti di bibirnya sekali lagi. Lama dia merenung syiling bilik di atas. Hingga akhirnya satu keluhan dilepaskan.

“Bayangmu umpama satu gurauan,” bisiknya perlahan.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku