BAYANGAN GURAUAN
Teaser 27
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 15 September 2015
** ALHAMDULILLAH.. Bayangan Gurauan sudah diterbitkan pada Januari 2017 under Alaf 21 / Karangkraf & kini sudah berada di pasaran.. Anda boleh dapatkannya melalui belian secara online di Karangkraf Mall, melalui Whatsapp, di outlet Karangkraf & juga di kedai-kedai buku berhampiran anda.. Terima kasih semua yang setia dan sabar menanti BG selama lebih 3 tahun ini.. Salam sayang dari #HarrysIrish.... ^_^
Penilaian Purata:
(5 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
5682

Bacaan






BAB 27 

“LEPAS ni kau ada nak ke mana-mana ke, Zul?” Tengku Hafiy bertanya sewaktu mereka menuju ke tempat letak kereta. Petang Sabtu itu mereka berdua menghabiskan masa bermain futsal bersama rakan-rakan yang lain. Memang sejak berada di universiti dulu mereka berdua aktif bermain bola sepak mewakili universiti. Tapi bila sudah bekerja dan Izzul pula telah berkeluarga, hanya di padang futsal sahajalah tempat mereka mempamerkan aksi bila ada waktu terluang.

“Tak ada kut. Ingat nak terus balik. Kenapa?”

“Jom! Singgah rumah sekejap. Orang tua aku ada kat rumah tu. Mak aku pun asyik tanyakan kau je bila nak datang jenguk dia. Aku yang jenuh nak menjawab.”

Izzul ketawa kecil. Beg yang berada di tangan kini sudah berpindah ke dalam bonnet kereta. Begitu juga dengan Tengku Hafiy.

“Ya ke? Takkan rindu kut? Anak bujang dia kan ada dua orang.”

“Kitorang lain. Kau tu lain. Mama aku ni kalau dah sayang orang macam tulah. Faham?”

Sekali lagi Izzul tergelak. “Okay, okay! Kita singgah rumah kau lepas ni. Jumpa mama ‘kita’. Okay?”

Sengaja Izzul menekan perkataan kita pada Tengku Hafiy, membuatkan lelaki itu tergelak besar. Lantas kedua-duanya memasuki kereta masing-masing dan memandu ke arah villa milik keluarga Tengku Hafiy. Beberapa minit perjalanan, akhirnya mereka tiba di kediaman mewah itu.

“Sunyi je rumah kau, Fiy. Ada ke tak parents kau ni?” Izzul menyoal sewaktu dia dan Tengku Hafiy mengatur langkah menuju ke taman mini.

“Ada. Petang-petang macam ni kat taman minilah tu. Time minum petang. Macam tak biasa pulak kau ni.”

“Yelah. Dulu time belajar, lain. Sekarang mungkin dah tak sama.”

“Eh, tak adalah. Dulu dengan sekarang sama je, Zul. Macam mana kau kenal parents aku dulu, macam tulah jugak sekarang. Tak berubah pun!”

Seperti jangkaan Tengku Hafiy, memang benar kedua-dua orang tuanya sedang duduk bersantai di taman mini villa. Sebaik menghampiri Tengku Haiyan serta Tengku Dafina, Izzul menyalami mereka sambil bertanya khabar.

“Sihat Pak Engku, Mak Engku?”

“Sihat, Alhamdulillah. Macam nilah, Zul. Sihat orang tua.” Tengku Haiyan membalas pertanyaan Izzul itu bersama anggukan dari isterinya di sebelah.

“Orang tua Zul sihat?” Tengku Dafina pula bertanya.

“Alhamdulillah. Sihat jugak, Mak Engku.”

“Hmm.... lama dah Zul tak datang sini. Rindu Mak Engku dengan budak-budak tu.”

“Maaflah, Mak Engku. Sibuk sikit dengan kerja. Niat nak datang memang ada. Cuma masa tu yang tak berapa nak ada!” seloroh Izzul membuatkan yang lain ketawa. Memang sejak akhir-akhir ini dia agak sibuk dengan kerjanya di pejabat. Hujung minggu pula adakalanya dia terpaksa turun padang untuk melawat tapak projek. Hinggakan dia tidak dapat pulang ke rumah orang tuanya bila mana jadual sudah terlalu padat.

“Biasalah, Fina. Orang muda time-time nilah kena kerja keras nak kumpul duit, kumpul harta untuk anak isteri. Dah tua-tua esok tak larat dah. Macam saya sekarang nilah.” Tengku Haiyan meluahkan pendapatnya.

“Yelah, bang. Tapi sekurang-kurangnya si Izzul ni dah pun berkahwin, berkeluarga. Tu anak-anak abang tu. Hai! Naik risau saya dibuatnya. Berbuih dah mulut ni bercakap. Tak pun dikisahkannya. Tak faham sungguh sayalah. Lagi-lagi anak bujang abang yang sorang tu!”

Tengku Dafina sudah mula mengomel. Geram hatinya bila mengenangkan hal yang satu itu. Izzul pula sudah tersenyum-senyum sambil mengerling ke arah Tengku Hafiy yang tergaru-garu kepalanya. Sudah faham benar apabila bab perkahwinan mula disebut oleh wanita itu.

“Eh, anak saya sorang ke? Anak awak jugak, kan.”

“Yelah, bang. Anak saya jugak. Tapi perangai diorang tu sebijik ikut macam abang!” selamba sahaja Tengku Dafina menuturkan kata-kata itu. Namun, hanya disambut gelak oleh Tengku Haiyan.

Sedang mereka rancak berbual, Mak Ros muncul dengan membawa dulang berisi juadah minuman petang.

“Budak berdua tu dah balik, Kak Ros?” Tengku Dafina bertanyakan tentang Tengku Harrys dan Tengku Hazreen pada pembantunya yang baru selesai menuang minuman panas ke dalam cawan.

“Belum lagi nampaknya, Tengku.”

“Hmm, tak apalah.”

“Kalau tak ada apa-apa saya masuk dulu, Tengku.”

Usai menghantar minuman petang untuk majikannya, Mak Ros bergegas masuk ke dalam villa. Dia harus menyiapkan bahan-bahan untuk menu masakan malam pula. Sebentar lagi Tengku Dafina pasti akan masuk ke dapur untuk memasak memandangkan waktu sekarang hampir ke pukul 6.00 petang.

“Astaghfirullahalazim!” Mak Ros mengurut dadanya tatkala melangkah masuk. Terperanjat dia bila dikejutkan dengan kelibat seseorang di balik pintu. “Ya Allah! Kau ni kenapa, Dewi?!”

Dewi yang berdiri di hadapannya sudah tersengih-sengih bersama sudip yang masih berada di tangan. “Sorry, mak. Dewi enggak punya niat untuk bikin mak shocked!”

Sorry, sorry! Kalau hari-hari macam ni boleh sakit jantung mak, Dewi!”

“Ishh! Jangan dibilangin begitu, mak.”

“Bilangin, bilangin. Tapi buat jugak, kan? Yang kau duduk terpacak kat sini kenapa? Dengan sudip bagai!”

“Enggak ada apalah, mak. Cuma lihat-lihat itu tetamu yang datang,” balas Dewi sambil terjenguk-jenguk ke arah taman mini di luar.

“Siapa? Izzul?”

Dewi mengangguk-anggukkan kepalanya. “Mas Izzul tu ganteng juga ya, mak.”

“Eh, Dewi! Kau ni sihat ke tidak? Kan Izzul tu dah kahwin. Anak dah tiga pun!”

“Ya, iyalah. Itu Dewi tahu, mak. Tapi kan udah kahwin pun tempatnya masih available lagi tiga juga. Iya, kan?”

“Amboi! Sedapnya dia bercakap. Tak pandang kiri kanan pun. Jangan nak merepeklah, Dewi! Daripada kau ambil laki orang, ramai lagi bujang-bujang kat luar kau boleh pilih. Bangladesh, Myanmar, Vietnam. Orang kampung kau pun ada jugak. Ambil je mana yang kau nak.”

“Hishh, mak ini! Muka yang secantik begini disuruh Dewi cari cowok begitu? Aduh, mak! Sedih sekali Dewi dengarin!”

“Dah kau yang merepek tak tentu pasal. Tak payah nak bermimpi di siang harilah Dewi oi! Dah, jom sambung kerja!” tingkah Mak Ros dan terus berlalu ke dapur meninggalkan Dewi terkebil-kebil seorang diri.

Sementara di luar, Tengku Haiyan anak-beranak masih rancak bersembang bersama Izzul. Daripada berbual-bual kosong, perbualan mereka bertukar kepada topik yang lebih serius.

“Izzul, Mak Engku nak tanya ni. Boleh?”

Tengku Dafina tiba-tiba mencelah dalam kerancakan mereka berbual.

“Apa yang tak bolehnya, Mak Engku. Tanya jelah. Apa dia?”

“Err.... Mak Engku.... Mak Engku.....”

“Ha! Dah kenapa pulak tergagap-gagap awak ni?”

“Ishh, abang ni! Janganlah sergah saya macam tu kalau ya pun!” tingkah Tengku Dafina kala suaminya menepuk bahunya secara tiba-tiba.

“Betullah. Tadi awak bukan main lagi minta izin nak tanya. Sekarang dah tak tercakap pulak. Kenapanya?”

“Ha’ah, ma. Mama nak tanya apa sebenarnya ni? Cakap jelah. Izzul tengah tunggu tu. Hafiy pun tunggu jugak ni.”

“Yelah-yelah! Mama nak cakaplah ni. Err.... Mak Engku nak tanya Izzul sikit ni.”

“Tanya apa, Mak Engku?”

“Tentang Irish.”

Serentak itu mata Izzul tepat merenung wanita di hadapannya. Malah Tengku Hafiy serta Tengku Haiyan juga turut berbuat perkara yang sama.

“Kenapa dengan adik saya, Mak Engku? Dia ada buat salah ke?” soal Izzul. Nada suaranya berubah. Wajahnya juga sudah bertukar serius.

“Eh, bukan macam tu! Adik kamu tak ada buat salah apa pun. Cuma Mak Engku nak bertanyakan sikit tentang diri dia.”

Kening Izzul berkerut. “Tentang diri dia? Maksud Mak Engku? Saya kurang faham.”

“Mama, strait to the point jelah. Kan senang!” pinta Tengku Hafiy. Dan serta-merta satu jelingan tajam Tengku Dafina diberikan untuknya. Namun dia hanya tergelak kecil dengan reaksi mamanya itu.

“Ermm.... macam ni. Mak Engku nak tanya, Izzul. Adik kamu Irish tu dah berpunya ke?” Tengku Dafina mula meluahkan hasrat hatinya.

“Setahu saya, Irish tak ada sesiapa buat masa ni. Itu yang dia cerita pada sayalah. Selebihnya, wallahualam. Kenapa Mak Engku tiba-tiba tanya?” Izzul menyoal lagi, sedikit pelik dengan pertanyaan wanita tersebut. Namun sebaliknya bagi Tengku Dafina. Jawapan Izzul itu sedikit sebanyak melegakan dirinya. Senyuman mula terbit di bibir.

“Macam ni, Izzul. Mak Engku ada hajat sebenarnya.”

Bagaikan dapat menangkap maksud yang tersirat disebalik kata-kata itu, jantung Izzul sedikit berdebar. “Hajat?”

“Ya. Hajat.”

“Hajat apa, Mak Engku?”

Tengku Dafina terdiam sejenak. Mengumpul sedikit keberanian untuk menyusun ayat yang seterusnya. Lambta-lambat dia menjawab. “Hajat untuk menyunting Irish, Zul.”

Kali ini jantung Izzul bagaikan disentap. Terpanar dia seketika. Tepat sekali tekaannya sebentar tadi. Bukan sahaja Izzul, malah Tengku Haiyan serta Tengku Hafiy juga jelas terkejut dengan apa yang baru mereka dengar.

What?? Sunting Irish?! Untuk siapa, ma?” laju soalan itu terlontar dari mulut Tengku Hafiy.

“Untuk adik kamu.”

“Harrys?”

Pantas Tengku Dafina mengangguk. “Iyalah. Siapa lagi. Takkan untuk kamu kut!”

Tengku Hafiy memandang Tengku Haiyan. Papanya itu sekadar menjungkitkan bahu. Kemudian matanya beralih pada Izzul. Lelaki di sisinya hanya sepi tanpa suara. Dia tahu rakannya masih lagi dalam keadaan terkejut. Sedangkan dirinya juga masih sukar mempercayai apa yang disampaikan oleh mamanya itu.

“Harrys dah tahu ke pasal ni, Fina?” tanya Tengku Haiyan pada isterinya.

“Belum lagi, bang. Saya ingat nak risik-risiklah pada si Izzul ni dulu. Kalau betul Irish tu masih belum berpunya, senanglah sikit saya nak buka cerita pada si Harrys tu nanti.”

“Boleh tahan jugak mama ni. Senyap-senyap dah jadi tukang cari jodoh nampak!” dalam keadaan yang sedikit tegang itu Tengku Hafiy masih sempat bergurau.

“Hmm.... kalau mama tak buat macam ni, alamat adik kamu tu jadi bujang telajaklah jawabnya. Susah betul bila cakap hal perempuan dengan dialah!”

“Apa-apa pun, mama kena tanya tuan empunya badan tu sendiri. Tak naklah nanti jadi paksaan pada diorang pulak, ma.”

“Sebab tulah mama nak tanya dulu ni. Apa pendapat kamu, Izzul?”

Pertanyaan Tengku Dafina menyentakkan lamunan Izzul yang sedari tadi hanya terdiam seribu bahasa. “Saya tak boleh nak buat keputusan sendiri, Mak Engku. Macam yang Hafiy cakap tadilah, kena tanya tuan empunya badan dulu. Dan lebih elok kalau Mak Engku dan Pak Engku datang ke rumah jumpa keluarga saya sendiri untuk sampaikan hajat ni.”

Kali ini Tengku Dafina pula terdiam. Sedikit sebanyak ada betulnya juga kata Izzul itu.

“Biar kami sekeluarga bincang dulu, Zul. Hal kahwin ni bukan perkara main-main. Nak-nak pulak bukan pilihan sendiri. Mak Engku kamu ni pulak pandai betul simpan plan dia. Terkejut jugak Pak Engku dibuatnya!” Tengku Haiyan mengerling sekilas pada isterinya yang sudah tersipu malu.

“Yelah, Pak Engku. Kalau macam tu saya minta diri dulu. Dah nak Maghrib pun,” pinta Izzul lalu bangkit dari kerusi yang didudukinya. Salam dihulurkan pada kedua orang tua Tengku Hafiy sebelum berlalu menuju ke garaj kereta ditemani rakannya itu.

“Kau okay ke?” Tengku Hafiy memaut bahu Izzul.

“Eh, okay. Asal pulak tak okay?”

“Kalau apa yang mama aku cakap tadi buat kau tak selesa, abaikan jelah!”

“Eh, tak adalah! Aku okay je,” balas Izzul. Sebaik menghampiri keretanya, punat alarm ditekan. Seperti biasa sebelum berpisah, mereka berjabat tangan dan berpelukan.

Sorrylah Zul pasal mama aku tadi.”

No hal. Mama kau pun baru buka mulut. Belum confirm lagi. So.... aku gerak dululah, bro!” Izzul terus memasuki kereta sebelum menghidupkan enjin.

“Tapi kan.... bagus jugak idea mama aku tu. Mana tahu boleh lembutkan hati adik aku yang dah keras tu. Penat aku dah! Dah tu, dapat pulak beripar-duai dengan kau. Memang ngamlah!”

Kata-kata Tengku Hafiy itu hanya disambut gelakakan kecil oleh Izzul. Setelah meminta diri, lelaki itu terus berlalu meninggalkan villa besar tersebut dengan hati yang sarat dengan seribu satu perasaan.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku