BAYANGAN GURAUAN
Teaser 28
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 15 September 2015
** ALHAMDULILLAH.. Bayangan Gurauan sudah diterbitkan pada Januari 2017 under Alaf 21 / Karangkraf & kini sudah berada di pasaran.. Anda boleh dapatkannya melalui belian secara online di Karangkraf Mall, melalui Whatsapp, di outlet Karangkraf & juga di kedai-kedai buku berhampiran anda.. Terima kasih semua yang setia dan sabar menanti BG selama lebih 3 tahun ini.. Salam sayang dari #HarrysIrish.... ^_^
Penilaian Purata:
(7 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
5336

Bacaan






BAB 28 

KETUKAN di muka pintu membuatkan Tengku Harrys bangkit dari tikar sejadah. Usai menunaikan solat Isya’ dia duduk berteleku di atas tikar sembahyang itu memohon doa kepada yang Maha Esa. Pohonnya agar kehidupannya serta kehidupan orang-orang yang disayangi sentiasa dilimpahi rahmat dariNya.

“Masuklah,” lembut sahaja pertuturannya membenarkan empunya gerangan yang mengetuk pintu masuk ke dalam bilik.

“Harrys.”

Pantas Tengku Harrys menoleh ke arah suara itu. “Mama.”

“Kenapa tak turun makan malam tadi?” soalan pertama dari Tengku Dafina sebaik melabuhkan duduk di atas katil anak bujangnya itu, diikuti Tengku Harrys.

“Kenyang lagilah, ma. Tadi petang baru makan dengan kawan.”

“Kawan lelaki ke kawan perempuan?” spontan pertanyaan tersebut terpancul dari mulut wanita itu. Mendengarkan perkataan ‘kawan’ itu membuatkan dia begitu teringin untuk mengetahuinya.

Tengku Harrys menoleh ke arah mamanya. Kemudian dia tersenyum sambil menggeleng-geleng kepala bersama senyuman nipis di bibir. 

Of courselah lelaki, ma. Dengan Fezrul. Takkan mama lupa kut best friend Harrys dari masa sekolah dulu,” ujarnya. Memang itulah satu-satunya kawan baik dia di sini semenjak sekolah dahulu. Dengan perwatakannya yang sebegini, tidak ramai yang berani untuk mendekatinya. Cuma Fezrul seorang itu sahajalah. Bahkan Fezrul juga pernah memberitahunya bahawa semua orang takut untuk menjadi temannya, lebih-lebih lagi pelajar perempuan kerana menyangka dia seorang yang sombong disebabkan sifatnya yang kurang mesra dengan orang. Namun dia tidak kisah dengan semua itu. Yang penting, hanya orang yang benar-benar mengenalinya sahaja yang tahu dirinya bagaimana. Termasuklah rakannya itu. Disebabkan dia terus berhijrah ke luar negara selepas tamat SPM, maka dia tidak berkesempatan untuk mencari teman-teman yang lain di sini melainkan Fezrul, satu-satunya teman yang dia ada.

Satu keluhan lega kedengaran dari mulut Tengku Dafina. Dan perbuatannya itu mematikan lamunan Tengku Harrys.

Why?”

“Tak ada apa-apalah.”

“Ma, how long I know you?”

“Hmm.… kalau kawan Harrys tu perempuan, mama suka. Tapi kalau kawan Harrys tu lelaki, lagi mama suka!”

What?” Berkerut dahi Tengku Harrys mendengarkan jawapan tersebut. Direnung wajah mamanya yang kelihatan selamba sahaja. “Mama sihat ke tak ni?”

“Eh! Apa kamu tanya macam tu? Dah tentulah sihat!”

“Habis, yang mama cakap macam tu kenapa?”

“Cakap apa? Tak betul ke apa mama cakap tadi?”

“Ma. Mama ingat anak mama ni lelaki tak normal ke?”

“Hisshhh! Ada ke situ pulak fikir dia ni!”

Serta-merta tangan wanita itu memukul bahu Tengku Harrys. Tidak menyangka anak terunanya akan berfikiran sejauh itu. Matanya kemudian meliar melihat sekeliling, takut ada yang mendengar hal yang tidak terjangkau dek akal fikiran itu. Tengku Harrys pula hanya tergelak kecil melihat tingkah mamanya yang sedikit mencuit hati.

“Mama datang bilik Harrys ni nak cakap apa sebenarnya. Hmm?” Tengku Harrys seakan dapat mengagak tujuan Tengku Dafina datang ke biliknya. Dia bangkit dari katil lalu menuju ke tempat sidaian untuk meletakkan kembali songkok serta sejadah yang digunakan ketika menunaikan solat tadi. Kemudian dia menuju ke meja kerjanya untuk menyiapkan sedikit tugasan pejabat.

“Harrys dah ada teman ke sekarang?”

Kata-kata Tengku Dafina itu menyebabkan Tengku Harrys memandang semula ke arah wanita itu.

“Teman?”

“Yelah. Teman.”

“Maksud mama?”

“Teman wanitalah, Rys. Takkan teman lelaki!”

Satu keluhan dilepaskan oleh Tengku Harrys. Soalan yang tidak begitu digemarinya. Soalan yang sering ditanyakan oleh keluarga, saudara-mara dan juga rakan-rakannya. Setiap kali ditebak dengan soalan sebegitu, setiap kali itulah seboleh-bolehnya dia cuba untuk mengelak.

“Harrys. Dengar tak apa mama cakap ni?”

“Mama dah tahu jawapan Harrys.”

“Sampai bila, Rys?”

“Sampai Harrys jumpa tulang rusuk kiri Harrys balik.”

“Budak ni, kan. Orang serius, dia main-main pulak!” hampir sahaja Tengku Dafina menjerit melihatkan sikap acuh-tak acuh anaknya itu.

“Harrys seriuslah ni, ma.”

“Serius apanya? Mama tengah sibuk bercakap kat sini, kamu pulak sibuk buat kerja kamu tu.”

“Harrys dengar ni, ma.”

“Ada je jawapannya, kan. Kamu tu bukan muda lagi, Harrys. Umur dah dua puluh sembilan tahun. Patutnya dah ada anak tahu tak?” Tengku Dafina sudah mula bersyarah di dalam bilik itu.

“Abang lagi tua, mama.”

“Hah, tu lagi satu! Tapi sekurang-kurangnya abang kamu tu dah bertunang. Insyaallah dah nak kahwin. Kamu tu, bayang calon pun belum tentu nampak lagi. Dia ingat boleh tunggu orang datang sini masuk meminang dia agaknya!”

Leteran Tengku Dafina itu membuatkan tawa Tengku Harrys terhambur tiba-tiba. Entah mengapa ada sedikit kelucuan pada ayat terakhir mamanya itu. Dia tahu mamanya memang kuat mengomel. Tapi adakalanya omelan wanita itu terselit perkara yang di luar jangkaan.

“Dah ketawa pulak dia! Kamu ni, kan. Baik dengan papa, dengan abang kamu tu sama jelah. Orang tengah serius, boleh pulak ketawa. Apa entah yang lucu sangat agaknya!”

Melihat mamanya sudah menarik muka masam, Tengku Harrys cuba menahan tawanya. Setelah reda, dia kembali bersuara. “Nantilah, ma. Ada jodoh nanti, Insyaallah adalah. Cuma Dia bagi lambat sikit je.”

“Memanglah. Tapi mama tengok kamu tak pernah cuba berusaha untuk cari jodoh tu. Takkan nak tunggu sampai bulan jatuh ke riba kut. Sekurang-kurangnya usahalah untuk cari.”

Seperti biasa, Tengku Harrys hanya berdiam diri mendengar kata-kata nasihat sebegitu. Dia sudah lali dengan semuanya. Hendak tak hendak, terpaksalah dia telan satu-persatu segala kata-kata itu.

“Kalau dah susah sangat, biar mama je yang carikan.”

Spontan tangan Tengku Harrys yang sedang asyik menulis, terhenti. Lantas dia mendongak mencari wajah Tengku Dafina.

“Kalau mama yang carikan, tak payah dah membazir masa lama-lama nak cari. Dah ada dah pun calonnya.”

Semakin tajam renungan Tengku Harrys pada wanita di hadapannya itu. Tidak menyangka yang mamanya betul-betul serius kali ini.

“Siapa?”

“Nanti Harrys akan tahu sendiri. Harrys tak kisah kan siapa pun pilihan mama?”

Tiada sebarang jawapan dari mulut lelaki itu. Hanya tangannya sahaja kembali menulis sesuatu di atas kertas kerjanya.

“Harrys?”

“Ikut mamalah. Tapi kalau Harrys tak berkenan, jangan salahkan Harrys bila Harrys tolak pilihan mama tu,” acuh tak acuh sahaja Tengku Harrys menjawab.

“Yelah. Kita tengok nanti sama ada Harrys sanggup tolak pilihan mama tu atau tidak.” Sebaik menghabiskan kata-katanya, Tengku Dafina bangun dari katil untuk keluar dari bilik itu. “Mama keluar dulu. Kalau rasa lapar nanti turun makan. Bagitahu je Mak Ros. Nanti dia boleh panaskan lauk-lauk tu, ya.”

Tengku Harrys menghantar mamanya keluar dengan satu renungan. Apabila daun pintu bilik ditutup, satu lagi keluhan dilepaskan olehnya. Pen di tangan diletakkan di atas meja. Tersandar dia seketika mengenangkan setiap butir bicara mamanya sebentar tadi.

Dan akhirnya lelaki itu bangkit dari kerusi lalu menuju ke ruangan balkoni bilik. Menikmati panorama indah di waktu malam bertemankan hembusan angin yang sesekali menampar wajahnya. Melayan perasaan yang dia sendiri tidak tahu bagaimana untuk diungkapkan. Sesungguhnya dia pasrah pada ketentuan Ilahi seandainya ini adalah pengakhiran pada bayangannya selama ini.


“DARI mana awak, Fina?” Tengku Haiyan yang ketika itu sedang khusyuk membaca buku di atas katil, dikejutkan dengan kehadiran isterinya di dalam bilik itu.

“Pergi jenguk Harrys sekejap kat bilik dia. Risau saya dia tak turun makan tadi.”

Berpuas hati dengan jawapan isterinya itu, Tengku Haiyan kembali menatap buku di tangannya.

“Abang....,” Tengku Dafina memanggil lembut suaminya setelah dia merebahkan diri di atas katil bersebelahan Tengku Haiyan.

“Hmm.”

“Saya ada bercakap dengan Harrys tadi.”

“Cakap apa?”

“Tentang hajat saya tulah.”

“Pinang Irish untuk Harrys?” soal Tengku Haiyan inginkan kepastian. Namun matanya masih lagi setia menatap buku di hadapannya.

“Iya. Saya berkenan sangat dengan Irish tu, bang. Sejak kali pertama jumpa dia dulu.”

“Kenapa pulak macam tu?”

“Entahlah. Saya pun tak tahu kenapa. Tapi bila tengok muka dia je, buat saya rasa sayang sangat pada dia,” luah Tengku Dafina.

So, apa kata Harrys?”

“Nampak gaya dia macam setuju kali ni.”

Mendengarkan jawapan itu, terus sahaja tumpuan Tengku Haiyan berkalih pada isterinya di sebelah. Buku di tangannya sudah pun ditutup. “Biar betul awak ni?”

“Betullah. Dia cakap terpulang pada saya kalau saya nak carikan calon untuknya.”

“Harrys cakap macam tu? Macam pelik je,” soal Tengku Haiyan masih lagi tidak percaya.

“Tak ada yang peliknya, bang. Manusia bila-bila masa boleh berubah. Samalah dengan anak kita tu. Cuma Harrys ada cakaplah jugak. Kalau dia tak berkenan, jangan salahkan dia kalau dia tolak pilihan Fina tu nanti.”

“Hmm.… adalah tapinya, ya.” Tengku Haiyan terdiam sejenak seperti memikirkan sesuatu. “Awak ada bagitahu Harrys ke siapa calon yang awak pilih tu?”

“Tak. Saya tak bagitahu lagi. Memang saya tak nak dia tahu dulu. Niat saya biar dia tahu sendiri lepas kita datang merisik Irish nanti.”

Kelihatan Tengku Haiyan terdiam mendengar penjelasan isterinya. Kemudian dia membuka semula buku di tangannya. “Hai, awak ni. Semuanya ikut rancangan awak sendiri, kan. Kesian budak Harrys tu. Tak tahu menahu siapa calon bakal isterinya. Memanglah budak tu tak terus setuju.”

“Kenapa? Abang rasa kalau Fina terus terang cakap Irish tu pilihan Fina, Harrys terus setuju ke, bang?” bersinar-sinar wajah Tengku Dafina sebaik mendengar kata-kata suaminya itu. Dari berbaring, sekarang dia sudah duduk menghadap Tengku Haiyan yang kembali meneruskan pembacaan yang terhenti dek perbualan mereka sebentar tadi.

“Mungkin.”

“Abang cakaplah betul-betul. Fina serius ni!”

“Abang pun seriuslah ni. Kalau Harrys tahu calon yang awak nak pinangkan tu ialah Irish, abang rasa dia tak fikir dua tiga kali dah. Siapa yang tak nak calon isteri macam tu. Lemah-lembut, sopan santun, tak banyak cakap. Kalau abang pun, abang terus setuju!”

“Apa bang? Terus setuju? Ada hati jugak, ya?” spontan suara Tengku Dafina berubah nada.

“Dah awak tanya, abang tolong jawablah. Hai.... kalau abang nak cari lain, dah lama abang buat, Fina. Tapi mana nak sama dengan sayang abang sorang ni.”

Tersipu-sipu malu Tengku Dafina dibuatnya apabila diusik sebegitu oleh Tengku Haiyan. Namun dia tahu suaminya itu hanya berniat untuk bergurau sahaja. Begitu juga dirinya.

Blushing ya isteri abang ni!” semakin galak Tengku Haiyan menyakat isterinya bila melihat pipi wanita itu sudah bertukar kemerahan.

“Ishh, abang ni! Dahlah, saya nak tidur. Kalau dilayan makin menjadi-jadi nanti!”

Tengku Dafina merebahkan kembali badannya di atas tilam, tidak mahu melayani perangai menyakat suaminya itu. Kalau terus dilayan, sudahnya dia saja yang akan terkena nanti.

“Eh yang, nak tidur dah ke? Bukan kita belum habis bincang lagi ke pasal Harrys dengan Irish ni?”

“Hmm, esok-esoklah sambung. Abang bukannya serius pun nak bincang. Nak menyakat saya lagi adalah!” balas wanita itu dengan mata yang sudah terpejam.

“Isteri abang ni dah merajuk, ya? Habislah abang macam ni nak kena pujuk.”

Tengku Dafina yang ketika itu memalingkan mukanya dari pandangan Tengku Haiyan, tersenyum kecil dengan kata-kata suaminya itu. Rajuk dia bukan panjang mana pun. Esok pagi eloklah dirinya. Tapi dia senang dengan sikap Tengku Haiyan yang adakalanya suka memanjakannya sejak dari awal perkahwinan mereka.

“Selamat malam,” ucap Tengku Dafina sebelum melayani lenanya.

“Selamat malam, sayang.”



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku