BAYANGAN GURAUAN
Teaser 33
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 15 September 2015
** ALHAMDULILLAH.. Bayangan Gurauan sudah diterbitkan pada Januari 2017 under Alaf 21 / Karangkraf & kini sudah berada di pasaran.. Anda boleh dapatkannya melalui belian secara online di Karangkraf Mall, melalui Whatsapp, di outlet Karangkraf & juga di kedai-kedai buku berhampiran anda.. Terima kasih semua yang setia dan sabar menanti BG selama lebih 3 tahun ini.. Salam sayang dari #HarrysIrish.... ^_^
Penilaian Purata:
(6 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
6268

Bacaan






BAB 33 

BANGUNAN tinggi yang tersergam indah itu direnung dari jauh. Entah mengapa kakinya terasa berat untuk melangkah ke situ. Mengenangkan insiden malam kelmarin serta pertemuannya dengan Tengku Harrys semalam, hatinya berbelah bahagi untuk masuk ke pejabat. Puas dia mencari-cari apa salahnya sehingga tiba-tiba lelaki itu bersikap dingin terhadapnya. Adakah disebabkan hal kerja, ataupun hal lain. Atau juga lelaki itu masih berdendam dengan insiden pelanggaran dulu. Dia sendiri bingung memikirkannya.

Agak lama Irish duduk termenung di dalam kereta. Berkira-kira untuk keluar ataupun tidak. Akhirnya gadis itu memutuskan untuk keluar sahaja. Walau apapun yang berlaku, dia harus bersedia untuk berhadapan dengan Tengku Harrys sekiranya hari ini dia akan bertemu dengan lelaki itu. Dengan perasaan yang agak berat, Irish melangkah memasuki bangunan Haiyan Holdings. Sepanjang kakinya melangkah menuju ke pejabat, hati tidak putus-putus berdoa agar tiada apa-apa perkara tidak diingini akan berlaku hari ini. Sewaktu melintasi pejabat Tengku Harrys, dilihatnya pintu bilik itu masih tertutup rapat.

‘Belum masuk lagi kut!’ detik hatinya.

Masuk sahaja ke dalam bilik, Irish menjatuhkan tubuhnya di atas kerusi. Hari ini dia merasakan seperti kurang bersemangat untuk melakukan kerja. Tidak seperti hari-hari selalu. Namun bila mengingatkan banyak kerja yang masih tertangguh, digagahkan juga diri untuk menyelak fail-fail yang berada di hadapannya.

“Cik Irish.”

Irish mendongak. Wajah Natasya tiba-tiba terpancul di muka pintu.

“Ya, Tasya?”

“Tengku Harrys panggil Cik Irish masuk bilik dia.”

Terkedu Irish mendengar kata-kata gadis itu. Seingat dia waktu sekarang baru pukul 8.45 pagi. “Boss awak dah sampai ke?”

“Dah. Pukul 8.30 tadi dah sampai. Tak tahu mimpi apa dia datang awal hari ni.”

Jantung Irish serta-merta berdegup laju. ‘Hmmh... siaplah kau Irish!’ gumamnya.

“Tak apa, Tasya. Sekejap lagi saya datang. Thanks, ya!”

Natasya mengangguk dan sejurus kemudian dia beredar dari bilik itu. Dengan malas Irish bangun dari kerusinya. Dalam hati tertanya-tanya apa tujuan lelaki itu memanggilnya seawal pagi begini. Sampai di bilik Tengku Harrys, Irish mengetuk pintu terlebih dahulu sebelum terdengar suara lelaki itu memberi arahan dari dalam. Sebaik melangkah masuk, dilihatnya Tengku Harrys sedang bercakap di talian. Irish hanya tegak berdiri sambil menanti lelaki itu menghabiskan perbualannya di telefon. Wajahnya kelihatan serius. Sesekali keningnya berkerut.

Hampir lima minit menunggu, Tengku Harrys akhirnya meletakkan telefon. Irish di hadapan dipandang sekilas sebelum matanya kembali dihalakan pada skrin komputer. “Hari ini awak ada apa-apa hal penting?”

“Tak ada.”

Good. Saya nak awak follow Encik Naufal hadiri mesyuarat di Putrajaya hari ini. Saya tak dapat attend. Ada hal lain.”

“Baik, Tengku.” Irish menjawab perlahan, akur dengan arahan terebut. Mesyuarat itu sepatutnya dihadiri oleh Tengku Harrys bersama Encik Naufal pada awalnya. Tetapi memandangkan arahan yang baru diterima ini memintanya untuk pergi, terpaksalah dia patuhi. “Kalau tak ada apa-apa, saya keluar dulu.”

Tengku Harrys membisu. Tiada tanda-tanda ingin membalas kata-kata tersebut. Matanya juga tidak merenung Irish seperti selalu. Melihatkan tiada sebarang jawapan yang keluar dari mulut lelaki itu, Irish ingin segera beredar keluar. Namun belum pun sempat kakinya melangkah, Tengku Harrys memanggil namanya kembali. Lantas dia berpaling. Mata lelaki itu masih setia menatap skrin komputer di mejanya.

“Tolong siapkan final draft laporan projek di Johor Bharu tu. As soon as possible. Then, submit to me.”

Tegas sahaja suara lelaki itu kedengaran di cuping telinga Irish.

“Baik. Ada apa-apa lagi, Tengku?”

Nothing.

Sebaik mendengar jawapan tersebut, Irish terus melangkah keluar. Kecut perut dibuatnya mendengar suara serius lelaki itu. Lain benar tingkah Tengku Harrys sejak akhir-akhir ini. Tidak seperti dulu. Tidak banyak cakap, apatah lagi memandangnya. Tidak mengusiknya seperti selalu. Yang jelas di matanya hanyalah sikap dingin lelaki itu sahaja.

‘Apa kena dengan dia, ya? Hari tu lain, semalam lain, hari ni pun dah lain jugak.’

Irish mengaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Pelik dengan sikap Tengku Harrys yang tidak terjangkakan olehnya.

Effect duduk oversea lama sangat kut!” Irish menjungkitkan bahu, menjawab persoalan itu dengan andaiannya sendiri. Tanpa menunggu lagi, dia mula menapak meninggalkan bilik Tengku Harrys.

“Irish!”

“Hmm?” sedikit tersentak gadis itu dipanggil tiba-tiba.

Sorry. Saya buat awak terkejut pulak!” ujar Encik Naufal sedikit tertawa sambil menghampiri Irish.

“Tak apa. Encik Naufal cari saya ke?”

“Ha... tulah. Saya pergi bilik awak tadi. Insyirah kata Tengku panggil awak. So, Tengku dan inform pada awaklah ni?”

“Sudah.”

“Kalau macam tu pukul 10.00 nanti awak standby, okay? And don’t forget all documents that we need to bring along.

Irish membalasnya dengan sebuah anggukkan sebelum Encik Naufal beredar memasuki biliknya semula. Jam di tangan dikerling. Masih ada lebih kurang satu jam lagi sebelum dia menemani Encik Naufal. Pantas kakinya diatur masuk ke bilik untuk menyediakan dokumen-dokumen yang perlu dibawa ke mesyuarat itu nanti.


“ZUL.” Tengku Hafiy bersuara sewaktu dia dan Izzul dalam perjalanan pulang dari melawat tapak projek usahasama antara syarikat Haiyan Holdings dengan syarikat Mega Putra tempat Izzul bekerja. Izzul yang sedang memandu di sebelah dikerlingnya.

Yes?”

“Aku ada benda nak tanya ni.”

“Tanya apa?”

“Tentang hajat mama aku tu.”

“Hajat?” Izzul mengerutkan keningnya, walaupun dalam hati dia sudah dapat mengagak apa yang ingin cuba disampaikan oleh rakannya.

“Ya. Hajat untuk pinang Irish. Kau dah lupa ke?”

Izzul menghela nafas. Spontan jantungnya berdebar-debar. Satu-satunya perkara yang cuba dielak daripada dibincangkan buat masa ini. “Tak. Tak lupa pun.”

So, macam mana?”

“Macam mana apa?”

“Yelah. Dah bagitahu dengan family kau ke yang family aku nak datang merisik? Mama aku tu hari-hari dah bertanya aku pasal hal ni.”

Izzul terdiam sejenak. Lambat-lambat dia menjawab pertanyaan tersebut. “Belum lagi.”

“Laaa... ingatkan kau dah bagitahu!”

“Bila family kau nak datang?”

“Mama aku cakap Insyaallah lepas majlis aku nanti,” beritahu Tengku Hafiy. Suasana sepi seketika.

“Boleh aku tanya sikit?”

“Ai! Kau pun nak tanya jugak?”

“Habis, kau ingat kau sorang jelah ada soalan?” bidas Izzul, membuatkan rakannya itu tergelak.

Okay, okay! Ha, apa dia yang kau nak tanya?”

“Masa dinner malam tu. Aku tengok Harrys mesra betul dengan cousin kau tu. So, aku agakdiorang ada special relationship. Tapi kenapa Mak Engku masih nak teruskan hajat pinang adik aku?”

“Maksud kau Harrys dengan Melissa? Ada affair?”

“Hmm.”

Serentak itu kedengaran tawa Tengku Hafiy berderai. Izzul di sebelah lansung terpinga-pinga melihat reaksi rakannya itu.

“Yang kau gelak ni kenapa? Salah ke apa aku cakap?”

“Memang salah pun! Harrys dengan Melissa? Hmm... alamat meletuplah gunung berapi kat rumah aku tu jawabnya!”

“Gunung berapi?”

“Mama akulah. Siapa lagi. Dah sah-sah kena reject awal-awal kalau si Melissa tu pilihan Harrys.”

“Kenapa? Cousin kau tu cantik apa.”

“Hai... cantik je tak cukup, Zul. Sosial, kaki clubbing, dengan seksi macam tu. Tak ada ciri-ciri ketimuran lansung! Manalah mama aku berkenan. Tak sesuai nak dibuat bini katanya.”

Izzul tersenyum mendengar. Namun mindanya masih ligat memikirkan hal yang disuarakan oleh Tengku Hafiy pada permulaan bicara mereka tadi.

So, macam mana? Boleh ke family aku datang? Rasa-rasanya family kau okay ke dengan kedatangan kitorang nanti? Aku ni kena bawa balik jawapan untuk mama aku, Zul. Kalau tak, hmm... masak aku!”

Pertanyaan Tengku Hafiy itu hanya dibiarkan oleh Izzul. Dia juga masih tercari-cari jawapan yang sesuai untuk diberikan. Puas memikirkan, akhirnya dia bersuara walaupun tidak pasti sama ada betul atau tidak keputusan yang dibuatnya ini.

“Macam nilah, Fiy. Kau bawa jelah family kau datang rumah parents aku. Nanti pandailah aku bagitahu diorang macam mana.”

Sure?” Tengku Hafiy meminta kepastian. Dan soalannya hanya dibalas dengan satu anggukkan oleh Izzul.

Alright!

Tengku Hafiy tersenyum lega. Seolah-olah dia telah menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan oleh mamanya. Hilang sudah bebanan yang ditanggung. Namun sebaliknya bagi Izzul. Saat dia menyatakan keputusannya tadi, serasa bagai ada satu batu besar yang telah diletakkan di atas bahunya untuk digalas sehingga tiba hari yang dimaksudkan oleh Tengku Hafiy itu nanti.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku