BAYANGAN GURAUAN
Teaser 35
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 15 September 2015
** ALHAMDULILLAH.. Bayangan Gurauan sudah diterbitkan pada Januari 2017 under Alaf 21 / Karangkraf & kini sudah berada di pasaran.. Anda boleh dapatkannya melalui belian secara online di Karangkraf Mall, melalui Whatsapp, di outlet Karangkraf & juga di kedai-kedai buku berhampiran anda.. Terima kasih semua yang setia dan sabar menanti BG selama lebih 3 tahun ini.. Salam sayang dari #HarrysIrish.... ^_^
Penilaian Purata:
(6 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
5878

Bacaan






BAB 35 

“PUKUL berapa awak cakap dengan Izzul nak datang ke rumah orang tuanya nanti?” Tengku Haiyan menyoal isterinya yang sedang menuangkan minuman panas ke dalam cawan ketika mereka sedang menikmati sarapan pagi. Hanya mereka berdua di meja makan ketika itu. Anak menantunya yang lain masih belum turun dari bilik masing-masing.

“Saya bagitahu Izzul lepas waktu Zohor macam tu. Lepas solat Zohor kita geraklah, bang.”

“Dah bagitahu anak-anak semua?”

“Sudah,” balas Tengku Dafina. Memang dia sudah memaklumkan perkara itu pada kesemua anak-anaknya. Hanya Tengku Hazleen sekeluarga yang tidak dapat turut serta kerana mengikut suaminya pulang ke kampung.

“Harrys?” soal Tengku Haiyan lagi.

“Dah, bang. Awal-awal saya dah bagitahu dia.”

Okay ke budak tu? Apa kata dia?”

“Nak kata setuju, tidak. Nak kata membantah pun tidak. Insyaallah, dia okaylah tu.”

Jawapan Tengku Dafina membuatkan satu keluhan terbit dari mulut lelaki separuh umur itu. Berfikir sejenak tentang penerimaan anak lelakinya berkenaan hasrat keluarga mereka ini. Kalau boleh dia tidak mahu memaksa anak-anaknya dalam soal memilih teman hidup. Biarlah mereka sendiri yang tentukan pilihan masing-masing. Zaman sekarang bukan seperti dulu yang mana calon pasangan ditentukan oleh orang tua.

Morning, ma, pa!” sapa Tengku Hazreen tiba-tiba dengan nada penuh ceria pada kedua-dua orang tuanya di meja makan. Dia baru sahaja turun dari bilik diikuti abangnya, Tengku Hafiy serta kakak iparnya, Helena di belakang.

“Hmm, turun dah? Mari sarapan sini. Sejuk nanti tak sedap pulak. Ha, Fiy! Ajak Helena duduk sarapan sini,” arah Tengku Dafina. Tengku Hafiy hanya menurut kata-kata mamanya, begitu juga yang lain. “Abang kamu mana, Reen?”

“Abang? Ni kan abang, ma. Mama tak nampak?” Tengku Hazreen menjawab pertanyaan itu sambil melayang-layangkan tangan di hadapan mamanya. Spontan bahunya ditepuk oleh Tengku Dafina.

“Ishh, dia ni! Mama nampaklah. Maksud mama abang Harrys kamu. Mana dia? Tak turun sekali ke?”

“Oooo... Abang Harrys. Reen dah ketuk pintu bilik dia tadi. Senyap je,” terang gadis itu seraya menyuap mee goreng ke dalam mulutnya.

“Fina. Awak pergilah jenguk Harrys kat bilik tu,” pinta Tengku Haiyan pada isterinya.

“Tak apa. I’m here.”

Suara itu membuatkan semuanya menoleh. Entah sejak bila Tengku Harrys sudah berada di ruangan makan itu. Kelihatan dia begitu santai dengan jeans dan t-shirt berserta jaket kulit yang sudah tersarung kemas di badan. Di tangannya pula sudah siap memegang topi keledar beserta sepasang glove. Tengku Harrys menghampiri ahli keluarganya di meja makan. Disalami satu persatu ahli keluarganya sebelum berlalu dari situ.

“Kamu nak ke mana, Harrys?” tanya Tengku Haiyan, membuatkan langkah lelaki itu terhenti.

“Keluar.”

“Keluar? Pukul berapa nak balik? Harrys tak ingat hari ni kita nak pergi mana?” sedikit terkejut Tengku Dafina dengan tingkah anak bujangnya.

Lama Tengku Harrys terdiam di situ. Seketika suasana menjadi sedikit sepi. Masing-masing bagaikan menunggu jawapan darinya. “Papa dengan mama buatlah apa yang baik untuk Harrys. Harrys terima. I’ve got to go. Assalamualaikum.”

Sebaik menghabiskan ayatnya, Tengku Harrys terus berlalu meninggalkan mereka di meja makan. Semua yang ada di situ kelihatan terpinga-pinga sambil berpandangan sesama sendiri. Sudah lama Tengku Harrys tidak menunggang motosikalnya. Mereka sudah sedia maklum yang lelaki itu lebih gemar memandu kereta untuk ke mana-mana, termasuklah ke pejabat. Motosikal itu hanya akan dinaiki jika dia berada dalam keadaan emosi yang tidak baik. Dari riak lelaki itu tadi, memang agak tegang kelihatan wajahnya.

“Apa yang tak kena dengan anak bujang awak tu, Fina?” lembut sahaja suara Tengku Haiyan bertanyakan isterinya.

“Entahlah, bang. Saya pun tengah fikir jugak ni apa yang tak kena.”

“Ma... Abang Harrys kalau dah bawa sports bike dia, means jiwa kacaulah tu!” Tengku Hazreen mencelah tiba-tiba.

“Jiwa kacau? Kenapa pulak?”

“Dia tengah marahlah tu,” jelas Tengku Hazreen lagi.

“Iyalah. Marah kenapa? Kalau tak cakap, mana kita nak tahu apa yang dia marahkan tu.”

Kata-kata Tengku Dafina itu membuatkan tawa Tengku Hafiy pecah tiba-tiba. Spontan semua mata tertumpu ke arahnya.

“Yang kamu ni tiba-tiba ketawa kenapa, Fiy? Orang tengah susah hati fikir pasal adik dia yang sorang tu, dia boleh senang hati ketawa pulak!” tingkah Tengku Dafina sedikit geram melihat gelagat anak lelaki sulungnya.

“Harrys tu jiwa kacau pasal mama carikan calon isteri untuk dialah tu. Macamlah mama tak tahu anak bujang mama tu kan allergic perempuan!”

“Tapi mama bukannya cari calon yang bukan-bukan untuk dia pun!”

“Ha... yang tu satu lagi. Awak dah bagitahu Harrys ke belum?”

“Bagitahu apa, bang?”

“Siapa calon pilihan awak tu. Harrys dah tahu belum siapa yang kita nak pergi pinang nanti ni?”

Terdiam Tengku Dafina seketika, seperti baru teringatkan sesuatu. Lambat-lambat dia menjawab. “Belum. Saya ingat nak bagitahu nanti-nantilah.”

Sekali lagi Tengku Hafiy tergelak. Kali ini lebih galak dari tadi hingga membuatkan Helena di sebelah menepuk lengannya agar dia memperlahankan tawanya.

“Patutlah pun dia marah sangat. Mama tak bagitahu lagi rupanya siapa calon menantu pilihan mama tu. Hai! Harrys, Harrys!”

Tengku Hafiy menyambung kembali sisa-sisa tawanya itu. Sedikit tercuit dengan apa yang sedang berlaku. Dia yakin kalau mamanya berterus terang tentang siapa calon pilihannya, keadaan mungkin akan menjadi sebaliknya.

‘Kau ingat abang tak tahu apa yang ada dalam hati kau, Rys. Ini abang kaulah!’ senyuman Tengku Hafiy semakin melebar.


KEDATANGAN Tengku Haiyan sekeluarga disambut dengan penuh mesra oleh seluruh keluarga Encik Izzuddin. Seawal kedatangan mereka tadi sehinggalah ke meja hidangan ketika ini, ada sahaja perkara yang disembangkan oleh dua buah keluarga itu. Bagaikan sudah lama mengenali antara satu sama lain walaupun hakikatnya ini adalah pertemuan kali kedua mereka selepas majlis perkahwinan Tengku Hafiy kira-kira sebulan yang lalu.

Berselera sungguh nampaknya keluarga Tengku Haiyan menjamah hidangan yang disediakan oleh Puan Qarina serta anak dan menantu perempuannya. Maklumlah, sudah lama tidak merasa masakan kampung sebegini. Ditambah lagi dengan kehadiran kedua-dua buah keluarga itu yang berkumpul membuatkan suasana menjadi sedikit meriah.

“Irish mana, kak? Dari kami sampai tadi tak nampak lansung kelibat dia,” soal Tengku Dafina yang membahasakan Puan Qarina sebagai kakak disebabkan faktor umurnya yang lebih muda dari wanita itu

“Oh, Irish dia keluar tengahari tadi. Ada majlis kahwin kawan sekolah katanya. Sekejap lagi baliklah tu.”

Usai menikmati makan tengahari, mereka kembali duduk di ruang tamu rumah Encik Izzuddin. Masing-masing kembali rancak berbual. Hanya Tengku Dafina yang sedikit gelisah. Hajat untuk berkenalan mesra dengan ahli keluarga Encik Izzuddin sudah tercapai. Namun hajat yang sebenar-benarnya yang menyebabkan dia sekeluarga datang ke sini hari ini masih belum dibincangkan lagi. Dilihat anak menantunya rancak berborak dengan Puan Qarina bersama anak menantu wanita itu. Manakala Tengku Hafiy, Izzul, dua adik lelakinya serta ipar-iparnya masing-masing tidak berenggang sedari tadi. Apa sahajalah yang dibualkan oleh anak-anak muda itu. Itu satu hal, yang suaminya ini pula pun asyik benar bersembang dengan ayah Izzul. Terlupakah suaminya itu niat utama mereka datang ke sini?

Dalam kerancakan mereka bersembang, telefon bimbit Encik Izzuddin tiba-tiba berbunyi. Lantas lelaki itu meminta diri untuk menjawab panggilan sebentar. Kesempatan ini tidak dilepaskan oleh Tengku Dafina untuk bercakap dengan suaminya.

“Amboi! Seronok betul abang berbual, ya.”

“Kenapa, yang? Salah ke? Lagipun memang betul abang seronok bersembang dengan ayah Izzul tu. Banyak cerita dia.”

“Memanglah tak salah, bang. Tapi abang lupa ya tujuan sebenar kita datang ke mari untuk apa? Bersembang tu lepas-lepas ni pun boleh,” bisik Tengku Dafina seraya menjeling suaminya di sebelah.

“Hai, nak jeling-jeling manja pulak isteri abang ni kat sini.” Tengku Haiyan mengusik isterinya sambil tersenyum. “Abang tak lupalah, Fina. Cuma tengah cari waktu yang sesuai. Tak bolehlah nak terus terkam. Kita kan nak menyunting anak dara orang ni. Kenalah sabar.”

Sebentar kemudian kelihatan Encik Izzuddin kembali ke ruang tamu dan duduk semula di tempatnya.

“Maaf ya, Tengku. Client call tadi,” jelas Encik Izzuddin sebaik melabuhkan duduknya kembali.

“Tak mengapa, Encik Izzuddin. Biasalah kerja ni kadang tak kira waktunya bila.”

“Ha... lupa pulak. Dah lama bersembang ni baru perasan. Tengku tak usahlah berencik-encik dengan saya. Panggil Izzuddin je dah cukup.”

Kata-kata Encik Izzuddin itu membuatkan Tengku Haiyan tertawa kecil. “Yelah, Izzuddin. Tujuan kami ke sini pun untuk mengeratkan lagi silaturahim antara keluarga kita. Izzul tu dah macam anak kami sendiri sejak dia berkawan dengan Hafiy. Tapi saya dengan isteri ni tak pernah lagi jumpa orang tua dia. Alhamdulillah, orang kata rezeki kamilah hari ni dapat kenal dengan lebih rapat macam ni. Terima kasihlah sebab Izzuddin dan keluarga sudi terima kedatangan kami.”

“Eh! Tak ada apalah, Tengku. Sepatutnya kami yang ucap terima kasih pada Tengku sekeluarga sebab sudi datang ke teratak kami yang tak seberapa ni. Sudi terima layanan kami sekeluarga. Kalau ada yang terkurang tu, maaflahlah ya. Maaf jugak pada yang lain-lain,” tambah Encik Izzuddin. Ketika itu semua tumpuan sudah beralih pada perbualannya bersama Tengku Haiyan.

“Tak ada apa yang kurang pun. Semuanya cukup.”

“Alhamdulillah.” Encik Izzuddin menarik lafaz lega tatkala mendengar jawapan Tengku Haiyan. Risau juga sekiranya layanan yang diberikan tidak dapat memuaskan hati tetamu mereka yang bukan sebarangan orang itu.

“Izzuddin...,” kata-kata Tengku Haiyan terhenti di situ. Mulutnya terasa berat tiba-tiba untuk meneruskan ayatnya. Dia mencuri nafas seketika sebelum menyambung bicara. “Memang tujuan kami datang ni untuk berkenal-kenal dan mengeratkan lagi hubungan keluarga kita. Tapi ada satu lagi hajat lain yang kami bawa bersama ke mari untuk dibincangkan sebenarnya.”

“Hajat apa tu, Tengku?” soal Encik Izzuddin sedikit hairan.

“Begini Izzuddin. Saya bagi pihak keluarga dan juga isteri saya datang ke mari membawa hajat. Hajat untuk merisik dan menyunting bunga yang sedang mekar dalam rumah Izzuddin ni.”

Berderau darah Encik Izzuddin tatkala mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Tengku Haiyan itu. Menyunting bunga di dalam rumahnya? Adakah lelaki itu tersalah cakap? Atau telinga dia yang tersilap dengar? Menyunting bunga di dalam rumahnya beerti ingin menyunting anak gadisnya. Dan anak gadisnya yang tinggal kini cuma seorang sahaja.

“Betul ke apa Tengku cakapkan ni? Atau mungkin saya yang tersilap dengar.”

“Tak, Izzuddin. Memang betul apa yang saya cakapkan ni. Dan tak mungkin Izzuddin dan yang lain-lain salah dengar.”

Sekelip mata wajah Encik Izzuddin bertukar serius. Dahinya juga turut berkerut memikirkan sesuatu. “Tengku... bunga yang ada dalam rumah saya ni cuma tinggal sekuntum je. Dan bunga tu cuma tinggal Irish seorang.”

“Iya. Memang Irishlah yang kami maksudkan Encik Izzuddin,” pantas sahaja Tengku Dafina mengiyakan kata-kata itu. Berharap benar dia agar hajatnya itu diterima oleh keluarga Encik Izzuddin.

“Kalau tak keberatan boleh saya tahu. Untuk siapa risikan ni, Tengku?”

“Untuk anak lelaki kami. Tengku Harrys.”

Berderau sekali lagi darah Encik Izzuddin saat mendengar penjelasan wanita itu. Tidak tahu apa yang harus diperkatakan. Sekilas ingatannya melayang pada anak gadisnya yang entah berada di mana ketika ini.

Suasana di ruang tamu itu berubah menjadi hening. Masing-masing tidak bersuara. Baik keluarga Tengku Haiyan apatah lagi keluarga Encik Izzuddin. Puan Qarina juga hanya mengambil sikap berdiam diri apabila perkara ini disuarakan secara tiba-tiba. Dia dapat melihat ketegangan di wajah suaminya. Bagaimana berat perasaannya saat ini, dia yakin suaminya itu juga sedang merasakan hal yang sama.

“Macam mana, Izzuddin? Dapat terima hajat kami ni?” Tengku Haiyan memberanikan diri bersuara setelah melihat lelaki itu hanya terdiam sedari tadi.

“Irish tahu ke tentang hal ni?”

“Tak, Encik Izzuddin. Irish tak tahu. Cuma Izzul je yang tahu tentang perkara ni.”

Serentak itu pandangan mata Encik Izzuddin menyorot ke arah anak sulungnya. Izzul pula cuma mampu membalas pandangan itu dengan perasaan bersalah. Pada keluarganya sekadar diberitahu tentang kedatangan keluarga Tengku Haiyan hari ini hanya untuk berkenal-kenalan dengan lebih rapat lagi. Manakala hal yang satu itu memang lansung tidak diceritakan pada mereka.

“Err... Encik Izzuddin jangan marah Izzul, ya. Memang saya yang pesan pada Izzul supaya rahsiakan perkara ini dulu. Biar kami yang sampaikan hajat kami ni sendiri,” beritahu Tengku Dafina, tidak mahu Izzul dipersalahkan dalam hal ini. Memang semua ini atas kehendaknya sendiri.

Encik Izzuddin menundukkan wajah. Satu keluhan berat dilepaskan. Tidak tahu jawapan apa yang harus diberikan kepada keluarga itu. Memang kalau diikutkan, dia tidak layak lansung untuk bergaul dengan keluarga Tengku Haiyan. Inikan pula berbesan. Tetapi dari pengamatannya, jelas yang mereka benar-benar megharapkan hajat ini dapat diteruskan. Dalam keadaan kusut begini, dia hanya teringatkan nasib Irish. Berat mata memandang, terasa berat lagi bahu yang memikul.

“Beginilah, Tengku. Saya nak bagi apa-apa keputusan pun, saya tak berani. Sebab bukan saya yang dirisik. Apa-apa sekalipun, kami sekeluarga kena berbincang dan bertanya pada tuan empunya badan sendiri sama ada dia setuju ataupun tidak. Faham jelah kan budak-budak zaman sekarang ni. Semuanya nak ikut kehendak sendiri. Yang saya boleh cakap sekarang, saya mohon budi bicara Tengku dan keluarga untuk beri kami sedikit masa berbincang dan buat keputusan.”

Penjelasan Encik Izzuddin itu membuatkan Tengku Haiyan tersenyum. Mengerti dengan maksud kata-kata lelaki di hadapannya ini. Kemudian dia menoleh pada Tengku Dafina di sebelah. Dia tahu isterinya itu sedikit kecewa dengan jawapan Encik Izzuddin. Pantas dia menggenggam jemari wanita itu, memujuk dan meminta agar bersabar.

“Assalamualaikum.”

Tiba-tiba kedengaran satu suara lembut memberi salam, sekaligus mengalihkan perhatian mereka semua yang berada di situ.

“Baru balik, Irish.” Puan Qarina menyapa anak perempuannya yang sedang menuju ke arah mereka.

“Iya, umi.”

Irish sedikit terkejut kala melihat ruang tamu rumah dipenuhi dengan tetamu-tetamu yang sama sekali di luar jangkaannya. Dalam termangu kakinya tetap juga melangkah untuk bersalaman dengan mereka. Sebelum keluar tadi memang dia telah dimaklumkan bahawa ada tetamu yang akan datang ke rumah hari ini. Namun tidak sangka pula bahawa tetamu yang dimaksudkan itu adalah keluarga Tengku Haiyan.

“Dah lama sampai, Mak Engku?” tanya Irish sewakt bersalaman dengan Tengku Dafina.

“Dah lama jugak, Irish. Dah siap makan pun kami semua.”

Irish tersenyum mendengarkan jawapan tersebut sebelum dia berlalu ke arah Puan Qarina dan duduk di sebelah uminya itu.

“Berbalik pada perbincangan kita tadi, kalau Izzuddin sekeluarga perlukan masa untuk berbincang dan buat keputusan, tak mengapa. Kami faham. Yelah. Nak mendirikan masjid ni bukan satu perkara yang mudah, kan. Tambah-tambah lagi kalau bukan dengan pilihan sendiri.” Tengku Haiyan menyambung bicaranya. Kemudian dia menoleh pada Tengku Dafina.

Bagaikan mengerti maksud pandangan itu lantas wanita itu membuka beg tangannya untuk mengambil sesuatu. Setelah itu dia meletakkannya di atas meja. “Kak Ina, ini sebagai tanda hajat kami. Tak kisahlah berapa lama masa yang Kak Ina dan keluarga perlukan untuk berbincang dan buat keputusan. Tapi saya harap Kak Ina dapat terima dan simpan cincin ni dulu. Bila dah ada keputusannya nanti, bagitahulah kami. Kalau hajat kami ni diterima, Alhamdulillah. Tapi kalau jawapannya nanti sebaliknya, saya tak kisah kalau akak nak pulangkan semula. Kalau tidak pun, tak mengapa. Anggap saja ini sebagai hadiah dari kami.”

Puan Qarina mengambil barang yang berupa sebuah kotak baldu kecil berwarna merah itu lalu dibukanya. Sebentuk cincin belah rotan yang ringkas tetapi menarik reka bentuknya terletak rapi di dalam kotak tersebut. Memang cantik. Dan yang pasti harga cincin itu juga bukan setakat ratusan ringgit. Puan Qarina memandang Irish di sisi. Begitu juga dengan Irish. Dia tahu anaknya itu pasti tertanya-tanya keadaan yang sedang berlaku ketika ini. Kotak yang berada di tangan itu ditutup semula sebelum meletakkan kembali di atas meja.

“Terima kasih, Tengku. Tapi akak rasa belum masanya untuk kami terima cincin ini. Lebih-lebih lagi, kami belum beri apa-apa kata putus.”

“Tak apa, Kak Ina. Macam yang saya cakapkan tadi. Saya memang nak akak simpan cincin tu dulu. Bila dah ada kata putus nanti akak bagitahulah kami, ya.”

Irish yang sedari tadi menjadi pemerhati, semakin bingung mendengarkan perbualan yang sememangnya tidak diketahui hujung pangkalnya itu. Tiba-tiba dia teringatkan Izzul. Mungkin alongnya tahu tujuan kedatangan Tengku Haiyan sekeluarga ke rumah mereka hari ini. Pantas matanya mencari wajah lelaki itu menagih jawapan. Namun cepat-cepat Izzul melarikan pandangan darinya. Begitu juga dengan adik beradiknya yang lain. Seakan mereka tidak mahu bercakap dengannya, apatah lagi untuk memberitahu apa sebenarnya yang sedang terjadi.

‘Kenapa dengan semua orang ni. Buat tak tahu je aku pandang. Cincin? Bincang? Kata putus? Hmm... dengan siapa aku nak tanya ni, ya.’

Minda Irish terus ligat memikirkan tentang isi perbualan antara keluarganya dengan keluarga Tengku Haiyan itu. Hinggalah ke petang selepas tetamu sudah berangkat pulang, masih tiada seorang pun yang berani membuka mulut untuk menerangkan tentang keadaan sebenar yang telah berlaku sepanjang hari ini.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku