BAYANGAN GURAUAN
Teaser 36
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 15 September 2015
** ALHAMDULILLAH.. Bayangan Gurauan sudah diterbitkan pada Januari 2017 under Alaf 21 / Karangkraf & kini sudah berada di pasaran.. Anda boleh dapatkannya melalui belian secara online di Karangkraf Mall, melalui Whatsapp, di outlet Karangkraf & juga di kedai-kedai buku berhampiran anda.. Terima kasih semua yang setia dan sabar menanti BG selama lebih 3 tahun ini.. Salam sayang dari #HarrysIrish.... ^_^
Penilaian Purata:
(7 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
6113

Bacaan






BAB 36 

“DUDUK, Irish.” Encik Izzuddin mengarahkan anak gadisnya itu duduk di sofa setelah meminta Irma memanggilnya di bilik untuk berkumpul di ruang tamu bersama ahli keluarga yang lain. Ada perkara yang mereka sekeluarga perlu bincangkan malam ini. Irish yang masih kelihatan terpinga-pinga, hanya menurut arahan ayahnya dengan mengambil tempat di sebelah Irma.

Suasana ruang tamu di kala itu sunyi sepi. Yang kedengaran hanyalah bunyi kipas syiling yang sedang berputar melakukan tugasnya. Mulut masing-masing bagaikan terkunci. Tiada seorang pun berani bersuara. Hanya menunggu Encik Izzuddin membuka mulut memulakan bicaranya.

“Irish nampak siang tadi siapa yang datang, kan?”

Pertanyaan Encik Izzuddin itu hanya dibalas anggukkan oleh Irish.

“Tahu kenapa mereka datang ke sini?”

“Tak, ayah.” Ringkas jawapan yang Irish berikan. Kepalanya masih tertunduk memandang lantai. Tidak berani menentang wajah ayahnya yang kelihatan serius ketika ini.

“Sebelum tu ayah nak tanya dulu. Irish ada berkawan dengan sesiapa sekarang ni?”

Spontan Irish mendongak. Dahinya berkerut. “Maksud ayah?”

“Irish ada berkawan dengan mana-mana lelaki ke sekarang?”

“Tak ada.”

Encik Izzuddin menghela nafasnya seketika sebelum berpaling pada isterinya di sebelah. “Awak ceritalah, Ina.”

Permintaan suaminya itu membuatkan Puan Qarina bangkit dari sofa dan berjalan mendekati Irish lalu duduk bersebelahan dengan gadis itu. Kemudian dia mencapai tangan Irish dan menyerahkan sesuatu dari genggamannya.

“Apa ni, umi?”

Irish sedikit kaget melihat kotak kecil itu sudah berada di telapak tangannya kini. Kotak baldu kecil berwarna merah yang sama seperti dilihatnya siang tadi sewaktu Tengku Dafina menyerahkan ia kepada uminya.

“Irish... sebenarnya Tengku Haiyan sekeluarga datang ke rumah kita hari ni bawa hajat.”

“Hajat? Apa maksud umi?”

Irish dapat merasakan jantungnya berdebar tiba-tiba. Berdebar menanti ayat seterusnya yang akan keluar dari mulut Puan Qarina.

“Mereka berhajat untuk melamar Irish.”

“Hah??!” membulat mata Irish tatkala mendengar ayat itu. Kotak baldu yang dipegangnya juga hampir terlepas. “Lamar Irish? Buat apa?”

“Kalau dah melamar namanya, untuk dibuat calon isterilah dik oi! Boleh tanya buat apa pulak!” Iman mencelah tiba-tiba. Gelihati mendengar soalan itu.

“Tapi untuk siapa?” soal Irish lagi. Namun soalan itu hanya dibiarkan tanpa jawapan. Masing-masing tidak berani untuk memberitahu untuk siapa lamaran itu dihantar.

“Kenapa semua diam? Ke lamaran ni tak bertuan?”

That’s for Hafiy’s brother, Irish.”

“Hah??!” sekali lagi Irish terkejut dengan jawapan itu. Kali ini pandangannya tepat dihalakan ke arah Izzul. “Tengku Harrys?”

Izzul hanya mengangguk sebagai mengiakan jawapan tersebut. Dia tahu Irish pasti terkejut dengan berita ini. Sama seperti dirinya sewaktu mula-mula Tengku Dafina meluahkan hasratnya tempoh hari.

“Along jangan main-mainlah. Jangan bergurau dengan hal macam ni!”

“Tak ada siapa yang berani bergurau dalam keadaan macam ni, Irish. Tengok muka kitorang sekarang ni ada macam bergurau ke?” celah Rafie pula, sekaligus membuatkan Irish terdiam.

“Irish, apa yang along bagitahu tu memang betul. Memang Tengku Haiyan sekeluarga datang ke sini siang tadi nak merisik dan melamar Irish untuk Tengku Harrys. Tapi Irish dengar sendiri kan yang kami belum beri apa-apa kata putus lagi. Sebab kami nak berbincang dan tanya sendiri pada Irish sama ada Irish setuju ataupun tidak. Ini berkaitan dengan hidup Irish, masa depan Irish. Jadi umi dengan ayah nak Irish tentukan sendiri. Fikir baik-baik sebelum buat keputusan.”

Penjelasan Puan Qarina itu membuatkan Irish semakin tunduk membisu. Masih tidak percaya dengan khabar yang baru di dengarnya ini. Sungguh, dia bingung memikirkan apa sebenarnya yang sedang berlaku.

‘Kenapa tiba-tiba ni? Ya Allah! Dugaan apa pula kali ini?’ keluhnya dalam hati.

“Ayah bagi tempoh seminggu untuk Irish fikirkan tentang hal ni. Lepas tu buat keputusan. Sama ada terima atau tak, itu hak Irish. Tapi ingat, jangan sampai bergaduh disebabkan perkara ni. Irish cari rezeki dengan mereka. Dan ayah tak nak Irish terima disebabkan termakan budi atau status yang mereka pegang,” tegas sahaja kata-kata Encik Izzuddin kedengaran. Lalu dia bangun dari sofa yang didudukinya. “Terima atau tak, bagi ayah jawapannya minggu depan. Jangan sampai buat orang tertunggu-tunggu dengan keputusan kita.”

Dan lelaki itu terus berlalu dari situ meninggalkan ahli keluarganya yang seakan tergamam dengan tingkahnya. Dia sendiri tidak tahu kenapa emosinya begitu terganggu sejak keluarga Tengku Haiyan pulang dengan meninggalkan sesuatu yang sukar untuk diterimanya. Kalau dia punya kuasa untuk menolak, sudah ditolak hajat itu awal-awal sewaktu mereka meluahkan hasrat siang tadi. Tetapi demi menjaga air muka tetamu serta maruahnya sekeluarga, ditahan saja emosi yang sedang berperang ketika itu. Lagi pula, semua keputusan di tangan Irish. Biarlah anaknya sendiri yang menentukan masa depannya.

Di ruang tamu pula semuanya mendiam seribu bahasa. Masing-masing hanya berpandangan sesama sendiri. Bagai mengerti dengan kata-kata ‘amaran’ yang diucapkan oleh ayah mereka sebentar tadi.


SEISI keluarga itu sedang leka menonton televisyen kala bunyi deruman enjin Ducati 1098S berwarna merah memasuki perkarangan villa. Ketika itu waktu sudah menjangkau ke pukul 11.30 malam. Beberapa minit berlalu, kelibat Tengku Harrys muncul di balik daun pintu utama. Riak wajahnya masih sama sepertimana dia meninggalkan rumah seawal pagi tadi.

“Harrys ke mana dari pagi baru balik?” sapa Tengku Dafina apabila melihat anaknya hanya berlalu melewati mereka di ruangan itu.

Tengku Harrys yang baru sahaja ingin melangkah menaiki anak tangga, tidak jadi untuk meneruskan. Terkaku sebentar dirinya di situ sambil tertunduk memandang lantai.

“Harrys?” panggil Tengku Dafina sekali lagi.

“Keluar ambil angin.”

“Harrys dah makan belum? Kalau belum mama minta Mak Ros ke Dewi sediakan.”

“Tak apa. Harrys dah makan. Kalau tak ada apa-apa Harrys naik dulu.”

Tanpa menunggu lagi Tengku Harrys terus mendaki anak tangga menuju ke biliknya. Dia hanya mahu merehatkan badan serta fikiran ketika ini. Dan perlakuannya itu menimbulkan rasa tidak puas hati pada Tengku Dafina. Lantas wanita itu bangkit dari sofa dengan harapan ingin berbual sebentar dengan anak bujangnya itu.

“Nak ke mana awak, Fina?”

“Nak naik atas jenguk Harrys sekejap, bang.”

“Tak usahlah. Budak tu baru je balik. Biarlah dia berehat dulu.”

“Tak adalah, bang. Saya ni bukan apa. Risau menengok budak si Harrys tu.”

“Mama, tak apa.” Tengku Hafiy bangun lalu memaut bahu mamanya agar wanita itu kembali duduk. “Mama duduk je kat sini. Biar Hafiy yang pergi tengok Harrys. Okay?”

“Tapi...,”

“Mama, listen to me. He’s not in a good mood right now. So let me see him. Hafiy tahulah nak handle adik Hafiy tu macam mana. Mama duduk je tengok TV tu dengan papa semua.”

“Hmhh... yelah, yelah!” akhirnya wanita itu mengalah.

Tengku Hafiy tertawa kecil bila melihatkan mamanya sudah menarik muka. Terbit rasa kasihan di hati. Tetapi dia tidak mahu ada pertengkaran yang akan berlaku sekiranya Tengku Dafina berjumpa Tengku Harrys dalam keadaan emosi adiknya itu tidak stabil. Dia tahu fikiran Tengku Harrys sedang berserabut ketika ini.

“Hafiy naik tengok Harrys dulu.”

Tengku Hafiy berlalu dari situ dan terus menaiki tangga menuju ke bilik Tengku Harrys. Firasatnya kuat mengatakan ada sebab mengapa adiknya berkelakuan sebegitu hari ini. Jarang dia melihat Tengku Harrys dalam keadaan marah-marah. Dan sebagai anak lelaki sulung, satu tanggungjawab untuk dia memperbetulkan keadaan dan salah faham yang timbul sekarang ini. Sampai sahaja di hadapan bilik lelaki itu, dia mengetuk pintu terlebih dahulu. Namun tiada jawapan. Dengan perlahan Tengku Hafiy membuka pintu bilik tersebut sebelum kakinya melangkah masuk. Dalam samar cahaya, dia melihat sesusuk tubuh sedang berbaring di atas sofa yang terletak di satu sudut bilik itu. Perlahan dia menghampiri. Dilihat mata adiknya sudah terpejam sambil tangan kanannya diletakkan ke atas dahi. Tidak pasti sama ada Tengku Harrys sudah terlena ataupun sekadar baring melepaskan penat.

“Harrys. Tidur ke?”

Teguran itu membuatkan Tengku Harrys sedikit terkejut. Tidak sedar entah bila abangnya itu masuk ke dalam biliknya. Tahu-tahu sahaja lelaki itu sudah melabuhkan duduk di sofa sambil menghadapnya.

“Bila abang masuk?”

“Abang ketuk pintu tadi senyap. Redah jelah. So, what’s up bro? Kau okay ke?”

“Tak ada apa-apa. I’m okay,” balas Tengku Harrys lalu bangkit dari baringnya dan duduk bersandar di sofa.

Okay kau cakap? Tak payah nak berlakonlah, Harrys. Dari pagi tadi kau keluar dengan muka macam tu, okay kau cakap?” Tengku Hafiy tergelak mendengarkan jawapan adiknya. “Kau ke mana satu hari ni, ha? Tahu kan family pergi merisik untuk kau?”

“Tahu.”

Then, mana kau menghilang? Patut orang tua pergi merisik, happy, excited! Ini tak. Muka dah macam ayam kena berak kapur je abang tengok!”

Serentak itu Tengku Harrys mencapai sebiji bantal kecil di sebelah lalu dibalingkan ke arah Tengku Hafiy. Tetapi tangan abangnya lebih pantas menangkap. Apalagi, makin galaklah ketawa lelaki itu.

Tengku Harrys mendengus geram. Malas mahu melayan abangnya lagi dia bingkas berdiri sambil menanggalkan jaket yang masih tersarung di badan sebelum berlalu ke almari untuk mengambil tuala dan pakaiannya. Sehari suntuk dia menunggang motosikal hari ini tanpa hala tuju. Semata-mata ingin lari dari masalah yang sedang membelenggu diri. Setelah itu dia merehatkan diri di kondo miliknya dan Fezrul. Menghabiskan masa bersama rakan baiknya itu sedikit sebanyak dapat meringankan sedikit beban di fikiran. Namun untuk bercerita dengan Fezrul tentang masalah yang sedang dihadapi, belum waktunya lagi.

Dia tidak tahu apa yang telah berlaku siang tadi dan apa yang terjadi dengan risikan itu. Dan sememangnya dia tidak mahu mengambil tahu lansung mengenainya. Dia pasrah seandainya ini adalah takdir yang sudah tertulis buat dirinya. Sejak mengetahui tentang perkara tersebut dari mamanya tempoh hari, dia hanya mengambil sikap berdiam diri. Tidak pernah dia bertanya siapa calon pilihan mamanya itu, walaupun dia dapat mengagak siapakah orangnya. Malah sejak itu hatinya menjadi tidak tenteram. Emosinya juga sering terganggu. Hingga kadangkala dia melepaskan kemarahannya itu pada orang lain. Dan yang menjadi mangsa selalunya adalah Irish.

‘Irish.’

Hmhh! Menyebut nama itu sahaja membuatkan dirinya dipagut rasa bersalah.

“Kau tak nak tahu ke apa jadi dengan majlis merisik siang tadi, Rys?”

Pertanyaan itu mematikan lamunan Tengku Harrys. Dia menoleh pada abangnya yang masih duduk di atas sofa. Tiada sebarang jawapan. Hanya satu renungan tajam diberikan pada lelaki itu sebelum berpaling semula menghadap almari mencari sesuatu.

“Eh, budak ni. Senyap pulak dia! Rys, dengar tak apa abang tanya ni?”

“Dengar.”

“Dengar tapi buat tak tahu pulak!” tingkah Tengku Hafiy geram.

“Perlu ke?”

“Hai, of courselah! Takkanlah kau tak nak tahu siapa bakal isteri kau tu. Dan apa jawapan yang we all bawa balik hasil perbincangan siang tadi.”

Masih lagi senyap. Tiada tanda-tanda yang Tengku Harrys akan membuka mulut.

“Harrys!”

Sebaik namanya disebut sekali lagi, terus sahaja Tengku Harrys menghempas pintu almari dan meluru ke arah abangnya. Kolar baju Tengku Hafiy direntap lantas dia menarik lelaki itu untuk bangun menentang matanya.Jelas sekali kemarahannya tidak dapat dibendung ketika ini. “Nak ambil tahu pasal apalagi?! Who’s my future wife?? The answer is Tengku Melissa, right?! And of course family Pak Ngah dah terima risikan tu! Now I want to ask you one question. When is the date of our engagement? Next month? Next year? Or probably next week, my dear brother?!”bentak Tengku Harrys geram. Mukanya sudah merah padam menahan marah.Namun marahnya itu hanya percuma sahaja apabila ketawa Tengku Hafiy berderai sekali lagi hingga memenuhi segenap ruang bilik itu.

“Wei, Rys! Kau ni dah kenapa??! Astaghfirullahalazim! Cuba bawa mengucap sikit!” jerkah Tengku Hafiy lalu melepaskan genggaman Tengku Harrys di kolar bajunya. Terkedu juga dia diperlakukan sebegitu. Sungguh, seumur hidupnya inilah pertama kali Tengku Harrys berkelakuan seperti ini. Namun sedikit pun dia tidak ambil kisah atau berasa hati. Dia tahu adiknya benar-benar tertekan saat ini. “Itulah. Lain kali orang offer nak bagitahu, jangan jual mahal sangat. Kan dah jadi macam ni!” tingkah lelaki itu lagi bersama tawa yang masih bersisa.

What?! Apa yang salah Rys cakap? Is it untrue what I’m saying just now?!”

“Memang tak betul pun! Kau ingat mama nak ke buat perempuan macam Lissa tu jadi menantu dia? Mati hidup balik pun mama takkan buatlah!”

Serta-merta wajah Tengku Harrys berubah mendengarkan kata-kata abangnya. “Bukan Lissa? Then, who?!” soal lelaki itu dengan nada suara yang masih sama seperti tadi.

“Macam nilah, Rys. We all balik tadi dengan tangan kosong sebab keluarga pihak perempuan belum beri apa-apa keputusan lagi. Mereka minta tempoh untuk berbincang dan beri kata putus yang abang sendiri pun tak tahu sampai bila. So...,” Tengku Hafiy merapati adiknya lantas memaut bahu lelaki itu sambil membisikkan sesuatu. “... kau bincanglah dengan Irish baik-baik pasal hal ni. Mana tahu dapat lembutkan hati dia untuk terima kau!” ujarnya seraya menepuk bahu Tengku Harrys sebelum dia beredar untuk keluar dari situ.

“Abang, wait!” Pantas Tengku Harrys menarik bahu abangnya, menghalang lelaki itu dari terus melangkah. “Apa maksud abang bincang dengan Irish baik-baik?”

For your information, calon pilihan mama yang selalu dia sebut-sebut tu, she was Irish.”

What??!”

Yes! Sebab tu abang suruh kau bincang baik-baik dengan dia. Doa-doalah keluarga dia akan beri jawapan yang mengembirakan. Sebab mama memang betul-betul berhajat nak bermenantukan Irish untuk kau.”

Tengku Hafiy terus berpaling dan menyambung langkahnya. Sebelum merapatkan pintu, sekali lagi dia berpesan. “Bincang baik-baik dengan Irish. Ingat pesan abang tu. Good night!”

Daun pintu ditutup. Namun mata Tengku Harrys masih tertumpu di situ dengan pandangan yang tidak berkelip.

“Irish?” ucapnya seakan tidak percaya.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku