BAYANGAN GURAUAN
Teaser 45
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 15 September 2015
** ALHAMDULILLAH.. Bayangan Gurauan sudah diterbitkan pada Januari 2017 under Alaf 21 / Karangkraf & kini sudah berada di pasaran.. Anda boleh dapatkannya melalui belian secara online di Karangkraf Mall, melalui Whatsapp, di outlet Karangkraf & juga di kedai-kedai buku berhampiran anda.. Terima kasih semua yang setia dan sabar menanti BG selama lebih 3 tahun ini.. Salam sayang dari #HarrysIrish.... ^_^
Penilaian Purata:
(24 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
10729

Bacaan






BAB 45 

“OKAY, korang! Makanan dah sampai!” Zaryn berteriak kecil sambil menatang dulang berisi makanan yang dipesan oleh mereka bertujuh. Kelihatan Natasya serta Elaine menyusur di belakangnya, juga membawa dulang di tangan. Sesudah itu mereka bertiga mula mengagih-agihkan set MacD tersebut mengikut pesanan masing-masing.

“Kalau lunch makan burger okay jugak, kan? Boleh diet sikit. Tak adalah hari-hari makan nasi,” ujar Zaryn sewaktu mereka semua sudah mula menjamah makanan.

“Habis tu kau ingat makan burger ni tak gemuklah?” selar Natasya.

“Entah. Kalau dah selalu makan macam ni, makin dipam-pamlah badan gamaknya, Zaryn!” Kak Maisarah pula mencelah.

Zaryn hanya menyengih. “Sesekali tak apa, kan?”

“Tak apa! Nanti I bagi you all cuba ginseng yang I minum. Confirm tak gemuk!”

“Ishh kau ni, amoi! Tak habis-habis dengan ginseng kau, kan!”

“Eh, Farisya. Sharing is caring, maa! Betul tak you all?” tanya Elaine pada yang lain. Namun mereka sekadar ketawa dengan pertanyaan gadis tersebut.

Suasana di dalam restoran MacD tengahari itu agak sibuk dengan pelanggan. Bagi mereka yang inginkan santapan tengahari yang agak ringkas, tempat sebegini adalah pilihan yang paling sesuai. Kelihatan agak berselera nampaknya mereka makan. Cuma Irish seorang sahaja tidak sedemikian. Rakan-rakannya bersembang dan bergelak ketawa penuh ceria, namun dia hanya menyepi tanpa suara.

Are you okay, Cik Irish?”

Irish menoleh pada Insyirah di sebelahnya. “Okay. Kenapa?”

“Dari tadi saya tengok Cik Irish diam je.”

“Tak adalah, In. Saya okay je. Jangan risaulah.” Irish cuba berdalih, menutup rasa gusar di hati. Lantas senyuman diberikan pada gadis itu.

“Ha’ah. Saya pun perasan dari tadi Cik Irish senyap je. Ketawa jangan cakaplah!”

Suara itu membuatkan Irish berkalih pada Zaryn. Bukan hanya Zaryn seorang, malah semua mata sudah tertumpu padanya kini. ‘Hmm... parah!’

“Cik Irish ada masalah ke? Kalau sudi ceritalah dengan kitorang. Manalah tahu kalau-kalau kitorang boleh tolong,” giliran Natasya pula bersuara.

Irish tidak tahu hendak lari ke mana saat ini. Ternyata semua orang sedang menunggu jawapan darinya. Hatinya semakin direnggut rasa bersalah. Hal yang difikirkannya semenjak malam tadi benar-benar menghantui fikirannya sekarang.

“Err... macam mana saya nak cakap, ya. Sebenarnya ada benda yang saya nak bagitahu pada awak semua.”

“Apa dia, Cik Irish. Cakap jelah. Kitorang dengar ni,” pinta Kak Maisarah.

“Saya rasa awak semua sedia maklum majlis pertunangan Tengku Harrys lusa, kan.”

“Oh! Kalau pasal tu yang Cik Irish nak bagitahu, tak apalah. Kitorang memang dah tahu awa-awal pun!” ucap Zaryn selamba.

“Ha’ah, Cik Irish. Sebulan sebelum majlis kitorang dah tahu!” tambah Natasya. Masakan dia tidak tahu bossnya akan melansungkan pertunangan dengan kekasih hati.

“Tapi bukan tu benda yang saya nak bagitahu sekarang ni.”

“Kalau bukan pasal tu, pasal apa pulak Cik Irish? Cakaplah cepat. Cik Irish ni buat suspens kitorang jelah!” tingkah Zaryn.

Melihatkan reaksi dari teman-temannya, Irish menjadi semakin tidak tentu arah. Dia cuba mencari kekuatan untuk meluahkan apa yang telah menjadi rahsianya selama ini.

“Awak semua memang dah tahu bila Tengku Harrys akan bertunang. Tapi bukan itu saya nak cakapkan. Yang saya nak cakap, dengan siapa Tengku Harrys akan bertunang.”

“Hah, kenapa?? Cik Irish tahu ke siapa perempuan tu?!” laju sahaja mulut Zaryn bertanya. Seakan tidak sabar untuk mengetahui siapa gadis yang telah berjaya menakluki hati ‘prince charming’nya itu.

“Ya, mey! You tahu ke siapa, Cik Irish?” Elaine turut mencelah. Tidak ketinggalan mereka yang lain juga menuntut jawapan yang sama dari Irish.

“Se... sebenarnya...,” suara Irish tersekat-sekat. Terasa payah mulutnya untuk bercakap. Dan ketika itu terasa ada tangan menyentuh bahunya. Dia tahu itu pasti Insyirah.

“Cik Irish?”

“Sebenarnya perempuan tu adalah saya.”

“Apaaaaa??!”

Serentak semuanya bersuara. Jelas mereka amat terkejut dengan berita yang baru disampaikan oleh Irish. Ada yang terlopong, ada yang menongkat dagu, ada yang memegang pipi. Mata masing-masing terbeliak tanpa berkedip. Pendek kata macam-macam reaksi yang ditunjukkan oleh mereka berenam.

“Biar betul ni, Cik Irish??” Kak Maisarah menyoal inginkan kepastian.

“Saya minta maaf sebab rahsiakan hal ni dari awak semua. Bukan saya tak nak berterus-terang. Tapi banyak sebab yang buatkan saya terpaksa simpan benda ni.”

Irish tertunduk lemah bila melihatkan semuanya hanya terdiam dan merenung ke arahnya. Sudah tentu rakan-rakannya sedang marah. Apatah lagi selama ini mereka sering memperkatakan tentang Tengku Harrys. Tiba-tiba Irish merasakan ada air hangat sudah bertakung di hujung tubirnya.

“Ha!!!” Zaryn menjerit lalu menepuk meja. “Kan betul aku dah cakap! Cik Irish dengan Tengku Harrys memang ada apa-apa punya. See!”

“Kau kalau ya pun janganlah tepuk meja sampai macam ni sekali, Ryn. Terkejut akulah!” bentak Natasya geram. Lebih-lebih lagi bila melihatkan makanan mereka di atas meja sedikit berterabur.

Sorry, sorry, sorry! Aku terexcited sekejap!” Zaryn hanya menyengih. “Tapi betullah. Pandai Cik Irish simpan, kan. Sampai kitorang pun boleh tak tahu!”

“Tulah. Terkejut betul akak. Tak sangka perempuan yang kita dok sibuk-sibuk cakap selama ni ada je depan mata. Nasib baik tak gugur jantung ni dibuatnya!”

“Ya Allah! Malunya aku!” tiba-tiba Zaryn menekup muka. Kali ini lengannya ditepuk Farisya yang sememangnya duduk di sebelahnya.

“Yang kau ni kenapa pulak dah nak malu-malu?”

“Mahu tak malu! Selama ni aku punyalah tangkap syok kat Tengku Harrys sampai terlentok-lentok. Rupanya aku dok syok kat boyfriend Cik Irish. Aduh! Malu, malu!”

“Samalah! Tapi I tak kisah pun. rela lepaskan Tengku Harrys kat you, Cik Irish!”

“Awak semua tak marah saya ke?”

“Eh! Kenapa pulak kitorang nak marah, Cik Irish?” Insyirah bertanya hairan.

“Yelah. Saya dah dikira bohong dengan awak semua selama ni.”

“Ishh! Apa Cik Irish cakap ni! Mana ada Cik Irish bohong kitorang. Cik Irish buat macam tu bersebab, kan? Kalau saya kat tempat Cik Irish pun akan buat benda yang sama. Kalau tak, hmm... alamat histerialah satu Haiyan Holdings tu nanti!” gurauan Natasya mengundang ketawa mereka. “Tapi saya salutelah kat Cik Irish. Saya yang secretary Tengku Harrys pun tak dapat nak bau rahsia ni!”

“Maaflah semua. Saya betul-betul tak ada niat nak sembunyikan hal ni.”

“Eh, tak ada hal pun Cik Irish! Kitorang okay je. Kan, korang?” Insyirah menjawab bagi pihak yang lain.

“Betul tu, Cik Irish. Yang pasti kitorang semua tumpang gembira dengar berita ni. Lagipun kitorang memang suka tengok Cik Irish dengan Tengku Harrys pun selama ni!”

Pantas Farisya menyiku lengan Zaryn bila menyedari rakannya itu sudah terlepas cakap. “Kau ni tak boleh cover sikit ke cakap tu!” bisiknya pada gadis itu.

“Hmm? Tengok saya dengan Tengku Harrys?”

“Eh! Tak adalah, Cik Irish. Maksud Zaryn, kitorang memang suka tengok Cik Irish dengan Tengku Harrys tu. Macam pinang dibelah dua. Sama cantik, sama padan. Err... Cik Irish tak nak jemput kitorang ke majlis tu nanti ke?” Farisya cuba berdalih.

“Oh! Memang saya nak jemput pun awak semua. Datanglah ya ke rumah saya Sabtu ni. Cuma buat majlis biasa je.”

“Eh! Biasa-biasa pun mesti meletop, kan!” duga Zaryn.

“Tak kisahlah macam mana pun majlis tunang Cik Irish dengan boss saya tu nanti. Yang penting saya nak peluk Cik Irish sebab saya dah cakap kalau saya dapat jumpa that lucky girl, saya nak peluk dia kuat-kuat and cakap tahniah sebab dah kalahkan minah salleh celup tu! And one more thing, tahniah kerana menjadi satu-satunya perempuan yang dah berjaya cairkan hati boss saya yang beku tu!”

Natasya bangun dari kerusinya dan meluru ke arah Irish lalu memeluk gadis itu erat dari belakang. Dan perbuatannya itu lansung diikuti oleh rakan-rakannya yang lain tanpa mempedulikan mata-mata yang sedang menyaksikan drama ‘percuma’ mereka tengahari itu.


TENGKU DAFINA kelihatan begitu khusyuk mengemaskini gubahan hantaran di ruang istirehat villa sambil dibantu anak perempuan serta menantunya. Baru petang tadi dia mengambil hantaran-hantaran tersebut di butik pengantin milik temannya, Sara bersama Tengku Hazreen. Bahagian Irish pula akan dihantar sendiri oleh Sara pada hari pekerja-pekerjanya memasang pelamin pertunangan di rumah Irish esok. Hanya sekadar menambah sedikit hiasan agar kelihatan lebih menarik. Selebihnya dia amat berpuas hati dengan hasil sentuhan tangan rakannya itu.

Sedang mereka asyik melakukan kerja, pintu utama villa terkuak dari luar. Sebentar kemudian kelibat Tengku Harrys muncul di balik daun pintu. Lelaki itu memberikan salam sebelum bergerak menghampiri keluarganya yang sibuk melakukan kerja sambil menonton rancangan di kaca televisyen. Cuma papa serta abangnya tidak kelihatan kerana menghadiri satu majlis penting anjuran pelanggan Haiyan Holdings yang berlansung malam ini. 

“Baru balik, Rys?” sapa Tengku Dafina sambil mengerling jam besar berhampiran dengannya. Sudah hampir ke pukul 10.00 malam.

“Hmm.”

“Banyak kerja ke?” soal wanita itu sebaik sahaja Tengku Harrys duduk di atas hamparan permaidani baldu bersebelahannya. Riak kepenatan jelas terlihat di wajah itu.

“Harrys baru balik dari Melaka, ma. Ni yang baru sampai.”

“Melaka? Buat apa kamu ke sana?”

“Papa minta Harrys jenguk site kat sana.”

Tengku Dafina mengangguk-anggukkan kepala. “Kamu pergi sorang je ke?”

“Tak adalah. Berdua.”

“Dengan siapa?”

Soalan itu membuatkan Tengku Harrys tidak terus menjawab. Tidak tahu bagaimana reaksi mamanya bila mengetahui dengan siapa dia pergi ke Melaka hari ini. Matanya terus leka menatap kaca TV di hadapan.

“Eh, senyap pulak dia! Dengan siapa Harrys pergi?”

Tengku Harrys memandang mamanya sekilas. “Irish.”

Serta-merta tangan Tengku Dafina terhenti dari membuat kerjanya. Bukan dia sahaja, malah Tengku Hazreen dan Helena yang berada di situ juga turut menoleh ke arah Tengku Harrys sebaik nama Irish disebut.

“Amboi! Dating berdua nampak!” Tengku Hazreen mula menyakat abangnya.

“Abang pergi sana kerjalah. Bukan dating.”

“Sambil menyelam minum airlah tu. Kan, kak?” ujar Tengku Hazreen sambil menyiku Helena di sebelah. Namun hanya senyuman yang dibalas oleh kakak iparnya itu.

Spontan Tengku Harrys mencapai sebiji bantal di atas sofa yang kebetulan berada di sebelahnya lalu dibaling tanpa sempat Tengku Hazreen mengelak.

“Aduh! Sakitlah, bang!”

Hujung bibir Tengku Harrys tersenyum kecil. “Lain kali buat lagi.”

Tengku Hazreen mengetap bibir. Biasanya dia dapat mengelak bila Tengku Hazleen atau Tengku Hafiy bergurau sebegitu. Tetapi malam ini nasibnya tidak baik pula dengan Tengku Harrys.

“Ishh, sudahlah kamu berdua ni! Tak ada Abang Hafiy kamu, dengan Abang Harrys pulak kamu menyakat kan, Reen?”

“Abang Harrys nilah, ma. Tiba-tiba nak sentap pulak!”

“Buat kerja tu. Lebih baik buat kerja tu sekarang,” arah Tengku Harrys separuh bergurau. Tengku Hazreen hanya menurut sebelum sebiji bantal lagi akan melekat di mukanya.

“Harrys dengan Irish macam mana sekarang?” Tengku Dafina bertanya setelah keadaan kembali tenang.

“Macam mana apa, ma?”

“Yelah. Hubungan Harrys dengan Irish macam mana sekarang?”

“Alhamdulillah. Okay.”

“Betul cakap mama dulu, kan?”

Dahi lelaki itu berkerut. Lantas wajah mamanya ditenung. “Cakap apa?”

“Sanggup atau tidak Harrys tolak calon pilihan mama tu.”

Tengku Harrys hanya tersenyum. Masakan dia lupa. ‘Kalau Irish bukan calon pilihan mama atau tak bekerja kat syarikat tu sekalipun, Harrys tetap akan cari dia, ma. Walaupun bayang dia yang terpaksa Harrys kejar.’

“Jaga dia baik-baik, Rys. Jangan sesekali lukakan hati dia.”

Tiba-tiba sahaja ayat itu meluncur keluar dari mulut Tengku Dafina. Dia sendiri tidak tahu mengapa dirinya terasa ingin berpesan sebegitu pada Tengku Harrys. Seketika, tangan anak bujangnya itu diraih dan digenggam. Dan genggamannya berbalas erat.

“Insyaallah. Kalau tak ada apa-apa, Rys naik dulu. Badan dah melekit ni. Nak mandi.”

Tengku Dafina menghantar anaknya hingga ke atas dengan sebuah pandangan.

“Ha! Mama tenung apa?” sergah Tengku Hazreen tiba-tiba.

“Ishh, budak ni! Tak ada apa-apalah!”

“Mama tak perasan ke yang Abang Harrys dah berubah sikit sekarang?”

“Berubah? Apa yang berubah?”

“Dulu nak tengok dia senyum punyalah susah. Tapi sekarang boleh je nampak senyuman kat bibir dia tu. Tu satu. Ada lagi satu.”

“Ha, apa yang lagi satu?”

“Sekarang Abang Harrys dah pandai bergurau nampak!” ujar Tengku Hazreen sambil menunjukkan sebiji bantal yang dilempar oleh Tengku Harrys padanya tadi.

Tengku Dafina mengambil bantal itu. Memang ada benar apa yang dikatakan oleh anak perempuannya. Tengku Harrys nampak sedikit berubah sejak akhir-akhir ini. Tidak tahu adakah perubahan itu disebabkan Irish? Hanya anaknya itu sahaja yang tahu jawapannya. Terasa perasaannya sedikit berbunga-bunga saat ini. Malah sejak Tengku Harrys memberitahu yang dia pergi ke Melaka hari ini bersama Irish, dia sudah dapat rasakan perasaan itu. Dan kini ia semakin mekar berkembang di sudut tangkai hatinya.


USAI membersihkan diri, Tengku Harrys merebahkan badannya di atas katil. Masuk sahaja ke biliknya tadi dia terus mandi. Mujur dalam perjalanan pulang dari Melaka dia dan Irish sempat singgah di sebuah masjid untuk menunaikan solat Maghrib dan Isyak.

Irish. Menyebut nama itu membuatkan hatinya ditebak dengan pelbagai perasaan. Dia tidak tahu bagaimana lagi caranya untuk menyelami hati gadis tersebut. Setiap kali dia ingin mendekati, bagai ada sahaja yang menghalang. Memang gadis itu terlalu sukar untuk difahami.Perbualan bersama Irish sepanjang perjalanan pulang dari Melaka tadi terimbau kembali di ingatan.

“Ada benda menarik ke kat luar sana tu?” soal Tengku Harrys sambil menjeling sekilas ke sebelah. Dari bertolak pergi siang tadi hinggalah ke waktu pulang sekarang ini hanya pandangan luar yang menjadi tumpuan gadis itu.

Irish pantas menoleh. Tengku Harrys masih tenang meneruskan pemanduannya. Seketika kemudian dia tertunduk.

“Apa yang ada kat luar?” sekali lagi Tengku Harrys bertanya.

“Tak ada apa-apa.”

“Habis dari siang tadi asyik pandang ke sana?”

Sunyi tiada jawapan.

“Saya tak cukup handsome lagi ke untuk awak pandang?”

Soalan itu membuatkan Irish sekali lagi menoleh ke arah Tengku Harrys. Sedikit kaget dengan kata-kata lelaki itu.

“Jangan tenung lama-lama. Nanti jatuh cinta pulak.”

Serta-merta Irish melarikan pandangan. Kalut dia apabila ditegur sebegitu. Mujurlah sudah waktu malam sekarang ini. ‘Sabarlah wahai hati. Sabar.’ Hatinya berbisik tenang.

Tengku Harrys tersenyum kecil. Dia tahu wajah gadis di sebelahnya ini pasti sudah merona merah dengan usikannya. Volume radio yang sedang memutarkan lagu diperlahankan. Dia cuba mencari ruang untuk berbual bersama Irish dengan harapan dapat mengenali lebih dekat gadis yang sudah boleh digelar sebagai bakal tunangnya ini.

“Fikir apa?” lembut sahaja suara Tengku Harrys bertanya.

“Hmm?”

“Awak fikir apa? Dari siang tadi sejak pergi asyik termenung.”

Irish tidak menjawab. Dia sendiri tidak tahu apa yang difikirkan. Terlalu banyak benda yang bermain di kepalanya ketika ini. Lebih-lebih lagi bila mengingatkan majlis pertunangan mereka berdua yang akan berlansung lusa. Semakin dekat hari tersebut, semakin berdebar dirasakannya. Tidak tahu mengapa dia berasa tidak sedap hati. Seakan-akan ada sesuatu yang akan berlaku.

‘Hmmh! Apa benda yang kau melalut ni, Irish. Astaghfirullahalazim!’

“Irish?”

Panggilan itu menyentakkan Irish dari lamunan. “Ya?”

“Kenapa?”

“Tak ada apa-apa.”

Jawapan Irish itu membuatkan Tengku Harrys sedikit mengeluh. Sejak tadi hanya itu sahaja ayat yang keluar dari mulut kecil itu. Sepatah ditanya, sepatah sahaja yang dibalas. Payah benar hendak mendengar suaranya.

“Fikir pasal majlis tu?” Tengku Harrys masih tidak berputus asa untuk berbual.

“Sikit.”

“Takut?”

“Mungkin.”

“Apa yang awak takutkan?”

‘Aku sendiri tak tahu apa yang aku takutkan. Macam mana aku nak bagitahu orang lain?’ bicara Irish sendiri di dalam hati.

“Susah sangat ke awak nak buka mulut untuk saya, Irish? Ini baru nak bertunang. Masih ada lagi excuse. Kalau kahwin nanti, macam mana?” luah Tengku Harrys. Dari ekor matanya dia perasan gadis itu masih lagi tertunduk membisu.

Irish semakin dipagut resah. Perkataan yang disebut oleh Tengku Harrys sebentar tadi terasa menyesakkan nafasnya. ‘Kahwin?’ Irish bersandar sambil memejamkan mata seketika. Cuba membuang jauh segala prasangka yang bermain di fikiran. Perlahan dia membuka matanya kembali. Tengku Harrys di sebelah dipandang.

“Tengku tak menyesal ke?”

“Menyesal? Sebab apa?”

“Keluarga Tengku pilih saya.”

For what reason I have to feel it so?”

“Banyak.”

So... tell me now all those reasons.”

Irish bungkam. Tidak tahu bagaimana untuk dia luahkan pada lelaki di sebelahnya ini. Walaupun berjela-jela penjelasan yang akan dia berikan, adakah lelaki itu akan faham? Untuk seketika, suasana kembali sepi. Kepala Irish tertunduk semula masih mencari-cari ayat yang sesuai untuk diucapkan.

“Atau awak sebenarnya yang menyesal? Menyesal kena bertunang dengan saya?”

“Tengku belum kenal saya.”

“Awak yang tak pernah bagi ruang tu.”

“Kita pun tak pernah bercinta.”

“Itu semua belum cukup untuk dijadikan alasan. Seumur hidup, saya tak pernah bercinta. Tapi saya cuba bagi peluang pada diri untuk semua tu.”

“Dan sampai sekarang masih belum berhasil, kan?” ujar Irish seraya menoleh pada Tengku Harrys. Lelaki itu terdiam. Tepat seperti jangkaannya. Kali ini bibir Irish pula menguntum senyum. Pandangan dihalakan kembali ke luar tingkap.

Tengku Harrys mengetap gigi. Rahangnya kelihatan bergerak-gerak menahan geram. Sedikit sebanyak dia rasa terpukul dengan kata-kata Irish sebentar tadi.

“Yakin ke awak takkan jatuh cinta dengan saya?”

“Saya takut Tengku yang takkan boleh jatuh cinta dengan saya.”

Tengku Harrys tergelak kecil. “Alright. We’ll see!”

Lamunan Tengku Harrys terhenti tatkala nada telefonnya berbunyi memberitahu bahawa ada pesanan mesej masuk. Jarinya menyentuh skrin di telefon untuk melihat.


Assalamualaikum. Saya minta maaf pasal tadi.


Melihat sahaja nama pengirimnya, Tengku Harrys terus tersenyum. Pantas jarinya menaip di atas skrin untuk membalas mesej tersebut.


Waalaikumussalam. Nothing to be forgiven. Sleep tightly. Night.


Tengku Harrys meletakkan kembali telefon di meja sisi katil. Dia tidak marah pada gadis itu. Cuma sikap Irish kadangkala menguji kesabarannya. Dia yakin ada sesuatu yang menghalang gadis itu daripada membenarkan dirinya untuk didekati.

"Aku tahu kau bukan macam tu. Tapi kau paksa diri untuk jadi keras. Tak apa. Kita tengok sejauh mana kerasnya hati kau, Irish."

Kala itu mata Tengku Harrys terpandangkan gitar yang disandarkan di sisi katil. Pantas tangannya mencapai gitar tersebut sebelum jarinya mula memetik lagu yang selama ini menjadi siulan di bibirnya.

‘Kalau kau tahu bayang siapa yang selama ini selalu datang mengganggu hari-hari aku, kau juga pasti akan terdiam.’



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku