BAYANGAN GURAUAN
Teaser 46
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 15 September 2015
** ALHAMDULILLAH.. Bayangan Gurauan sudah diterbitkan pada Januari 2017 under Alaf 21 / Karangkraf & kini sudah berada di pasaran.. Anda boleh dapatkannya melalui belian secara online di Karangkraf Mall, melalui Whatsapp, di outlet Karangkraf & juga di kedai-kedai buku berhampiran anda.. Terima kasih semua yang setia dan sabar menanti BG selama lebih 3 tahun ini.. Salam sayang dari #HarrysIrish.... ^_^
Penilaian Purata:
(20 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
14421

Bacaan






BAB 46 

TENGKU MELISSA bermalasan di sofa ruang tamu sambil menonton televisyen petang Sabtu itu. Matanya masih terasa mengantuk walaupun dia baru bangkit dari katil tiga puluh minit yang lalu. Penangan dari majlis yang diadakan oleh temannya sewaktu belajar di US dulu membuatkan dia begitu seronok berparti lewat malam tadi sehingga terlupa untuk tidur. Menjelang subuh barulah dia pulang dan melelapkan matanya.

“Lissa. Tak siap lagi kamu?” sapa Tengku Kamelia yang baru sahaja turun dari tingkat atas sebaik terpandangkan anak gadisnya.

“Siap ke mana, mummy?” Tengku Melissa membalas sambil lewa.

“Tanya ke mana pulak dia! Kan mummy dah bagitahu malam tadi nak jemput Mak Long satu family dekat airport petang ni. Lupa?”

Tengku Melissa terdiam. Terlupa lansung dia akan hal itu. Memang mummynya ada menyatakan padanya sewaktu dia ingin keluar malam tadi. Oleh kerana dia sudah lewat dan agak kelam-kabut meninggalkan rumah, apa yang disampaikan oleh wanita itu hanya berlalu bersama angin sahaja.

“Ada apa bising-bising ni, Lia? Sampai ke atas abang dengar.”

“Tak ada apa, bang. Ni hah, anak dara awak tak bersiap lagi. Padahal saya dah bagitahu malam tadi,” jelas Tengku Kamelia pada suaminya yang baru muncul itu.

“Lissa tak nak ikut jemput Mak Long?

“Tak kut, daddy. Lissa tak berapa sihat.”

“Bila siang tak sihatlah, ya. Tapi kalau malam macam burung hantu. Ligat bukan main!” tingkah Tengku Kamelia. Sengaja dia memerli anaknya itu.

“Dahlah, Lia. Kalau tak sihat, tak apalah. Lissa rehat je kat rumah. Biar daddy dengan mummy je yang pergi.”

Seraya itu Tengku Arham dan isterinya beredar meninggalkan ruang tamu dan bergerak menuju ke pintu utama. Pemandu mereka kelihatan sudah sedia menanti di luar bersama kereta.

“Jap, jap, jap!” tiba-tiba Tengku Melissa bangun dan menahan kedua orang tuanya dari meneruskan langkah. “Mummy dengan daddy cakap nak jemput Mak Long kat airport, kan? Kenapa tiba-tiba je Mak Long balik dari London?”

“Saja je nak makan angin!”

Mummy ni, kan! Lissa tanya betul-betul ni. Kenapa tiba-tiba Mak Long balik sini?”

“Lissa dah lupa ke? Esok kan Harrys nak bertunang. Sebab tulah Mak Long balik ke sini. Nak ikut hantar rombongan sekali,” jelas Tengku Arham.

Serentak itu jantung Tengku Melissa bertukar rentak. Terasa dadanya seakan mahu meletup saat ini. Terus dia berpaling dan kembali duduk semula di sofa.

“Eh! Dia yang tahan kita, lepas tu pergi macam tu je? Memang betullah budak ni! Jomlah, bang. Kita dah lambat!”

“Lissa, kami pergi dulu. Ni... daddy dengan mummy balik lewat sebab terus bawa Mak Long ke rumah Pak Lang. Ada jamuan sikit. Jaga diri baik-baik. Jangan lupa makan ubat!” sempat Tengku Arham berpesan sebelum Tengku Kamelia menggamit tangannya keluar dari banglo, meninggalkan Tengku Melissa terkaku di ruang tamu sendirian.

‘Macam mana aku boleh lupa yang Harrys bertunang esok?!’ bentak hatinya yang sudah mula resah.

“Arrgghhh!!!”

Tengku Melissa menumbuk geram sofa yang didudukinya. Rasa marah datang membuak tiba-tiba. Beberapa minit termenung di situ, akhirnya gadis itu menutup televisyen yang ditontonnya sejak tadi sebelum berlalu naik ke bilik. Satu jam kemudian dia turun semula dengan pakaian yang sudah berganti.

“Nak ke mana?”

Satu suara tiba-tiba menegurnya sewaktu dia melintasi ruang tamu. Pantas dia menoleh. Dilihatnya Tengku Zafran sedang berbaring di atas sofa. “Keluar.”

“Ke mana?”

Tengku Melissa mendengus geram. “Apa you kisah? You dah berapa hari tak nampak batang hidung kat rumah ni, I tak kisah pun!”

“Hai! Tanya macam tu pun nak marah? Relaxlah!”

Tengku Melissa melepaskan keluhan. Kerana terlalu ikutkan rasa marah, abangnya pula menjadi mangsa tempat dia melepaskan geram. Perlahan kakinya dihala menghampiri Tengku Zafran lalu duduk di sisi lelaki itu.

Sorry. I tak sengaja nak marah you.”

You bukan marah kat I. Tapi kat orang lain,” selamba Tengku Zafran menjawab. Dia tahu marah gadis itu bukan ditujukan buatnya. “Apa yang buat you marah sangat ni?”

I hope you’re still remember your promise.”

Promise? Promise what?”

Sekali lagi Tengku Melissa menoleh. Dijegilkan matanya tepat ke arah wajah abangnya itu. “You lupa atau buat-buat lupa?”

Can you please straight to the point, girl? Janji apa ni?”

You janji apa dengan I hari tu kat kelab? Lupa? Youjanji nak tolong I dapatkan Harrys balik. Esok Harrys dah nak bertunang. Tapi plan you satu apa pun I tak nampak!”

Tengku Zafran terdiam sebaik mendengar kata-kata adiknya. Dia yang tadinya santai berbaring kini sudah menegak duduk. Mukanya turut berubah. Jika Tengku Harrys bertunang esok, bermakna gadis pujaannya juga akan jatuh ke tangan orang lain. Bagaimana dia boleh lupa hal yang penting itu? Tengku Zafran meraup wajahnya. Namun seketika kemudian terdengar tawa pecah dari mulut lelaki itu.

You are still laughing, Zaf?!” sedikit meninggi suara Tengku Melissa kali ini.

Be cool, girl! Baru nak bertunang, kan? Belum kahwin lagi. Even dah kahwin pun boleh bercerai-berai.”

So you nak tunggu sampai diorang kahwinlah baru you nak bertindak?!”

I tak kata macam tu. Relax! We still have the time. I tahulah apa I nak buat nanti.”

“Apa yang you nak buat?!”

Tengku Zafran merenung adiknya dengan sebuah senyuman penuh makna. “Just wait, Lissa. The time will come. And I guarantee you akan tersenyum lebar masa tu.”

Melihatkan reaksi abangnya, Tengku Melissa berasa sedikit lega walaupun hatinya masih tidak yakin dengan rancangan lelaki itu. Sekurang-kurangnya dia masih punya harapan untuk memiliki insan yang sudah sekian lama bertakhta di hatinya dalam diam.

Okay! Ipercaya you, Zaf. I tak kisah apa pun plan you. Yang penting...,” Tengku Melissa bingkas bangun dari sofa. “… Idapat balik hak I and you pun dapat apa yang you nak. That’s our deal!”

No problem!” sahut Tengku Zafran selamba.

Okaylah. I chow dulu!”

Where are you going?”

“Keluarlah. Have some fun with my friends. Duduk kat rumah pun buat apa. Menyakitkan hati je!”

May I join you?” soal Tengku Zafran bersama sebuah renungan untuk adiknya.

Excuse me! Hello! Sejak bila pulak you pandai nak join I ni? Bukan kawan-kawan you tu lagi havocke dari I punya!”

“Saja. Mana tahu dapat kenal kawan-kawan you yang lagi cantik and sexy.”

Enough, Zafran! Tak payah nak buat lawak kat sini. Lebih dari tu pun you boleh dapat! Macam I tak tahu. Dahlah, I keluar dulu. Bye!”

Tengku Melissa melangkah keluar dan terus mendapatkan keretanya sebelum memecut laju meninggalkan kawasan banglo itu. Tengku Zafran pula hanya memerhati adiknya sehinggalah bayang kereta tersebut lenyap dari pandangan.

“Irish.”

Nama gadis itu terungkap di bibir sebelum Tengku Zafran tersenyum sinis. “Sorry, Harrys. Aku akan pastikan that girl jadi milik aku walau dengan apa cara sekalipun!”


“KAK LONG! Apa khabar? Sihat?” Tengku Kamelia yang baru muncul di ruang tengah villa terus sahaja meluru ke arah kakak iparnya, Tengku Yasmin yang tiba bersama Tengku Arham dan Tengku Kamelia. Dua orang anak Tengku Yasmin, Tengku Syaffi dan Tengku Safra turut sama pulang menemani ibunya.

“Alhamdulillah, sihat.” Tengku Yasmin menyambut huluran salam Tengku Dafina. Ahli keluarga yang lain telah pun ditemuinya seawal dia sampai ke sini tadi. “Fina sihat?”

“Sihat, Kak Long.”

Tengku Dafina duduk menyertai suaminya dan yang lain-lain di ruangan itu. Suasana Villa Haiyan malam ini sedikit meriah dengan kehadiran saudara-mara terdekat mereka sebagai memenuhi undangan majlis doa selamat dan jamuan makan yang diadakan oleh Tengku Haiyan sempena majlis pertunangan Tengku Harrys dan Irish yang akan berlansung esok.

“Lama dah tak jumpa Kak Long. Makin cantik Fina tengok sekarang!” puji Tengku Dafina. Seingatnya, kali terakhir mereka bertemu adalah sewaktu dia sekeluarga datang melawat Tengku Harrys di UK sambil bercuti di negara Eropah itu.

“Ishh! Pandai jelah kamu ni, Fina. Kak Long sama je macam dulu.”

“Sama macam dulu maknanya awet mudalah tu, kan.”

“Kita ni orang perempuan kenalah jaga diri, Fina. Nak-nak yang masih bersuami macam kamu ni. Kena jaga betul-betul. Kalau tidak, hmm... mulalah lelaki pasang mata!”

“Dengar tu, bang?” Tengku Dafina mengajukan kata-kata itu pada suaminya.

“Eh, apa pulak saya! Kak Long tu bagi nasihat pada awak. Dengar baik-baik.”

Sebagai seorang wanita bekerjaya, memang soal penampilan amat dititikberatkan Tengku Yasmin. Lebih-lebih lagi dia mencari rezeki di tempat orang. Sejak arwah suaminya meninggal, dia dan anak-anaknya terus bermastautin di bumi London mengikut anak sulungnya yang telah berkahwin dengan seorang jejaka warganegara itu. Di sana, dia telah memulakan perniagaan dengan membuka sebuah butik yang diuruskan bersama-sama kedua anak perempuannya.

“Saffa tak ikut balik sekali, Kak Long?” soal Tengku Dafina merujuk pada anak sulung kakak iparnya, Tengku Saffa.

“Tak ada, Fina. Dia yang tolong tengok-tengokkan butik kat sana. Lagipun suaminya tengah sibuk sekarang. Susah nak dapat cuti. Tu yang bawa budak berdua tu je.”

“Kak Long sampai bila kat sini?” soal Tengku Arham.

“Tengok keadaan dulu, ngah. Kalau rasa nak lama, lamalah Kak Long kat sini.”

“Tinggal lama sikitlah, Kak Long. Kak Long pun dah lama tak balik sini. Ya tak? Bolehlah nanti kitorang bawa jalan-jalan round satu Malaysia!” Tengku Kamelia turut mencelah, sekaligus membuatkan mereka tertawa.

“Dah masak kuah kacang tu, Dewi?” tanya Mak Ros. Kelihatan dia tidak menang tangan menyiapkan juadah makanan untuk malam ini bersama Dewi. Tidak seperti sebelum-sebelumnya, kali ini majikan mereka memilih untuk menyediakan hidangan sendiri.

“Udah, mak. Sebentar Dewi mahu masukin ke dalam bekasnya!” sahut Dewi. Kuah kacang yang telah masak itu dimasukkan ke dalam sebuah bekas kaca untuk dihidangkan bersama-sama nasi impit sebagai salah satu menu yang terdapat pada malam ini.

“Dah siap tu nanti pergi hidang makanan-makanan ni semua kat depan, ya.”

“Hah?! Apa mak bilang?”

“Eh, budak ni! Apa tak cukup kuat ke mak cakap sampaikan kau tak dengar? Mak cakap dah siap masukkan kuah kacang tu, pergi hidang semua ni kat depan. Dengar?”

Dewi menghampiri Mak Ros yang ketika itu sedang memotong puding caramel untuk dihidangkan kepada tetamu. “Iya... yang itu Dewi dengar, dong.”

“Habis apa yang kau tak dengar?”

“Maksud Dewi ya masakan mak suruhin Dewi pergi ke ruang depan dengan pakaian begini? Ah, malu sih!” tingkah gadis itu sambil menunjukkan apronnya yang sudah kotor.

“Apa masalahnya kalau kau keluar macam ni? Selama ni pun kau memang pakai baju ni kan hari-hari?”

“Ya, iyalah! Tapi kan malam ini tetamunya ramai sekali. Nanti ada cowok-cowok yang lihatin Dewi comot begini, malu ah!”

Tangan Mak Ros yang laju membuat kerjanya terus terhenti. “Amboi, amboi! Perasannya kau, Dewi! Siapa yang nak tengok kau ni? Cuba cakap dengan mak.”

“Ya itulah... cowok-cowok ganteng di depan sana itu. Apa mak enggak perasan?”

“Ingat mak ni macam kau? Dok terjenguk-jenguk kat depan dari tadi. Banyak lagi kerja yang mak kena buat dari perhati orang-orang kat depan tu. Dah, tak usah nak tercegat kat sini lagi. Pergi hantar semua makanan ni ke depan sana!”

“Bisa aja. Tapi mak kasi Dewi lima minit. Boleh enggak?”

“Kenapa pulak?”

“Dewi mahu tukarin baju ini dulu, ya! Udah itu nanti Dewi hantarin semua-semuanya ke depan. Kalau mak mahu Dewi duduk depan terus pun Dewi enggak kisah!” Dewi sudah tersengih-sengih sambil memintal hujung rambutnya di hadapan Mak Ros.

“Nak jugak kau Dewi, kan?”

“Jiwa orang muda, mak. Biasa sih!”

“Dah pergi tukar cepat. Lima minit je!”

“Apa?? Benaran, mak? Tidak main-main ini?” tanya gadis itu seakan tidak percaya.

“Iya! Dah, pergi cepat sana!”

“Ah, senang sekali!” Dewi lansung memeluk Mak Ros lalu mencium pipi wanita itu. “Ini yang Dewi sayang bangat sama mak. Dewi pergi salin bajunya dulu, ya. Bentar aja!”

Gadis itu terus berlalu meninggalkan Mak Ros di dapur.

“Lima minit!”

“Ya, iya! Lima minitlah!” laung gadis itu yang sudah menjauh. Mak Ros yang memerhati hanya menggeleng kepala melihat telatahnya.

“Dewi, Dewi! Ada hati jugak kau, ya. Ikut kaulah, nak. Janji kau bahagia!” ngomel Mak Ros sambil menyudahkan tugas yang tergendala dek kerana gadis bernama Dewi itu.

“Macam mana persiapan untuk majlis esok? Dah selesai semuanya?” Tengku Yasmin mula bertanya perihal majlis pertunangan yang akan berlansung.

“Alhamdulillah, Kak Long. Nampak gayanya macam tulah. Tinggal nak dibawa badan ke sana je ni,” jawab Tengku Haiyan.

“Dapat jugak Kak Long tengok si Harrys tu bertunang, ya. Ingatkan kempunan. Punyalah terkejut Kak Long waktu kamu telefon bagitahu hari tu. Macam mimpi pun ada!”

“Betul tu, Kak Long. Saya pun terkejut sama!” celah Tengku Arham.

“Mahunya tak, angah. Dari dulu bukan main susah nak tengok perempuan dekat dengan dia. Anak kawan-kawan Kak Long tu ramai je yang nak kenal. Dia je yang tak nak. Tiba-tiba dapat berita nak bertunang. Alhamdulillah. Terbuka jugak hati dia akhirnya!”

“Itu pun payah nak memujuk, Kak Long. Jenuh jugak saya dibuatnya!”

“Eh! Kenapa pulak Fina cakap macam tu?”

“Sebenarnya itu calon pilihan saya, kak. Kebetulan dia adik pada kawan baik Hafiy. Dan dia pun bekerja kat Haiyan Holdings.”

“Laaa... ya ke. Macam mana budaknya? Okay?” tanya Tengku Yasmin seakan berminat tentang gadis yang telah berjaya membuka hati anak buahnya yang seorang itu.

“Alhamdulillah, kak. Setakat yang saya tengok, baik budaknya. Tak tahu nak cakap macam mana. Tapi pertama kali saya jumpa dia, hati saya ni dah berkenan. Bila saya suarakan hajat untuk meminang dia nampaknya semua orang pun setuju.”

“Harrys macam mana?”

“Mula-mula tu memang dia setuju tidak, membantah pun tidak. Dia cakap terpulang pada saya. Tapi sekarang, Alhamdulillah. Nampaknya dia boleh terima. Ya, bang?”

“Hmm. Itulah yang dikatakan jodoh. Bila jodoh tu dah sampai, nak elak macam mana pun takkan dapat. Keras hati macam mana pun kalau ada usaha, ada doa, Insyaallah Dia akan berikan yang sebaik-baiknya.”

“Baguslah macam tu. Kalau nak tunggu Harrys yang cari sendiri sampai bilalah baru terbuka hati budak tu agaknya!” bicara Tengku Yasmin lagi.

“Assalamualaikum.”

Serta-merta perbualan mereka terhenti. Perhatian masing-masing teralih pada suara yang memberikan salam. Kelihatan Tengku Harrys yang segak berpakaian baju melayu hitam sedang berjalan menuju ke arah mereka.

“Apa khabar, Mak Long?” soal lelaki itu sambil menyalami ibu saudaranya. Perkara yang sama juga turut dilakukan pada Tengku Arham serta Tengku Kamelia.

“Baik. Kamu sihat, Rys?”

“Sihat, Alhamdulillah. Mak Long balik sorang ke?”

“Eh, tak adalah! Syaffi dengan Safra ada tu kat sana. Dah jumpa sedara, masing-masing lupa Mak Long kat sini. Kak Saffa kamu je yang tak dapat nak ikut. Dia sampaikan salam dan tahniah pada Harrys.”

“Waalaikumussalam. Pak Ngah dengan Mak Ngah berdua je?”

“Ha’ah, Rys. Biasalah dua orang sepupu kamu tu. Kamu pun dah faham sendiri, kan?” ujar Tengku Kamelia.

Tengku Harrys hanya tersenyum simpul. “Tak apalah. Sambunglah berborak. Harrys minta diri dulu. Nak jumpa yang lain-lain.”

Setelah meminta diri, Tengku Harrys bergerak ke ruang istirehat hadapan untuk menemui saudara-maranya yang lain. Kelihatan sudah ramai sanak-saudara yang telah hadir memenuhi villa. Sewaktu dia naik ke atas untuk membersihkan diri dan bersolat tadi tidaklah seramai sekarang ini. Kakinya terus melangkah sambil bersalaman dengan tetamu-tetamu yang ada hinggalah dia berhenti di suatu sudut sebaik terlihat abangnya sedang berbual-bual bersama adik perempuan serta sepupu mereka.

“Ha, Rys. Come! Meet our cousins dari London ni!”

“Ishh! Apalah Abang Hafiy ni. Tak payahlah cakap macam tu!” ujar Tengku Safra seraya memukul lengan sepupunya itu.

“Eh! Tak betul ke apa abang cakap?”

“Bukan tak betul. Tapi janganlah mention macam tu. Malulah!”

Tengku Harrys lansung datang menghampiri sebelum bersalaman dengan dua orang sepupunya yang baru tiba dari London itu. “Syaffi dengan Safra sihat?” soalnya lalu duduk di sofa bersebelahan Tengku Hafiy.

“Sihat, bang. Macam yang abang tengoklah.” Tengku Syaffi menjawab.

“Amboi! Makin handsome Abang Harrys sekarang ni, kan. Berseri-seri muka tu Safra tengok!”

“Mana tak berseri-seri, Safra oi! Hati sedang dilamun bahagialah katakan!” sampuk Tengku Hazreen yang bersila di atas lantai sambil menghadap mereka yang lain.

“Ha’ah. Cuba cerita sikit. Macam mana Abang Harrys boleh jatuh cinta tiba-tiba ni? Setahu Safra, hati abang ni keras macam batu. Kalau kena siram dengan air satu sungai pun belum tentu boleh lembut! Kan, Reen?”

“Memang pun!”

“Ha, Abang Rys. Tiba-tiba je ni. Ada apa-apa ke?” Tengku Syaffi turut sama menyoal, begitu berminat untuk mengetahui tentang perkara tersebut.

“Jodoh dah sampai kut.”

“Takkan tu je? Mesti ada sebab lain, kan?” Tengku Safra seakan tidak berpuas hati.

“Abang Harrys korang ni memang hati beku dengan perempuan. Bukan tak ada perempuan yang nak. Dia yang jual mahal sangat. Tapi sebeku-beku hati lelaki dia pun, ada jugak taman dalam tu. Tak tahulah kenapa dengan sorang perempuan ni hati dia boleh lembut pulak!”

“Perempuan? Maksud Abang Fiy, bakal tunang Abang Harrys?”

“Yelah, Safra. Siapa lagi.”

“Wow! Sound interesting! Macam mana bakal tunang Abang Harrys tu, ya? Definitely she’s really amazing, right?” Tengku Syaffi semakin berminat untuk mengetahui.

Of courselah, Syaffi! Cantik, baik, sopan, lembut. So special!” ujar Tengku Hazreen lagi dengan riak muka penuh perasaan. Dan gelagatnya itu membuatkan Tengku Harrys terus mencapai sebiji bantal kecil di sebelahnya.

“Eh, eh! Jangan! Baik abang letak balik bantal tu.”

“Sekali lagi, abang tak jamin bantal ni akan duduk diam.”

Okay, okay! Reen tutup mulut!” Spontan Tengku Hazreen menutup mulut dengan telapak tengannya, membuatkan ketawa yang lain pecah di situ.

“Tak sabar Safra nak tunggu esok. Nak tengok perempuan yang dah berjaya cairkan hati Abang Harrys yang keras dan beku macam tembok China tu!”

Exactly!” Tengku Syaffi turut menyokong.

“Aku gerenti korang akan suka dengan Kak Irish tu punyalah! Tengoklah bakal kakak ipar siapa, kan!” Tengku Hazreen berdehem beberapa kali sambil mengangkat baju kurung di bahagian bahunya. Sedikit bangga bila bercerita tentang Irish. Dan serentak itu tangan Tengku Harrys mencapai semula bantal tadi lalu disuakan pada gadis tersebut. Belum pun sempat dia membaling, adiknya itu lebih dulu bangun.

“Mamaaaaa!” jerit Tengku Hazreen dan terus berlari meninggalkan tempat itu. Sekali lagi tawa mereka berderaian melihatkan tingkah gadis manja tersebut.

“Err... siapa nama yang Reen sebut tadi?” soal Tengku Safra.

“Irish. Irish Qiara. Itulah nama bakal tunang Abang Harrys korang.” Tengku Hafiy menjawab sebelum sempat adiknya di sebelah membuka mulut.

I see. Indah nama tu. Mesti seindah orangnya, kan!”

Tengku Harrys yang mendengar pujian Tengku Safra itu sekadar mempamerkan segaris senyum. Terusik sedikit hatinya kala nama itu diperkatakan. Seperti yang lain, dirinya juga tidak sabar untuk menunggu hari esok. Hari yang mungkin bakal merubah perjalanan hidupnya selepas ini!



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku