BAYANGAN GURAUAN
Final Teaser
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 15 September 2015
** ALHAMDULILLAH.. Bayangan Gurauan sudah diterbitkan pada Januari 2017 under Alaf 21 / Karangkraf & kini sudah berada di pasaran.. Anda boleh dapatkannya melalui belian secara online di Karangkraf Mall, melalui Whatsapp, di outlet Karangkraf & juga di kedai-kedai buku berhampiran anda.. Terima kasih semua yang setia dan sabar menanti BG selama lebih 3 tahun ini.. Salam sayang dari #HarrysIrish.... ^_^
Penilaian Purata:
(49 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
17140

Bacaan






BAB 47 

KEDIAMAN Encik Izzuddin sudah dipenuhi dengan sanak-saudara dan kenalan mereka yang kelihatan sedang sibuk bergotong-royong bagi mempersiapkan majlis pertunangan yang akan berlansung pada sebelah petang. Encik Izzuddin serta Puan Qarinalah adalah antara yang paling sibuk untuk memastikan segalanya berjalan dengan lancar. Mujur anak-anak mereka turut membantu. Tidaklah hanya mereka berdua terkejar-kejar. Terlihat deretan tiga buah khemah yang sudah tersedia di halaman bagi membolehkan para tetamu menikmati jamuan makan setelah majlis selesai nanti. Sementara di dalam rumah, Irish sedang sibuk disolek oleh jurumekap wanita yang ditempah dari Butik Pengantin D’Sara, butik milik rakan Tengku Dafina yang dikunjungi mereka tempoh hari.

“Pukul berapa rombongan sampai?” soal jurumekap tersebut yang memperkenalkan dirinya sebagai Kak Zira. Begitu teliti wanita itu melakukan tugas demi memberikan hasil yang terbaik. Lebih-lebih lagi majlis ini adalah majlis kawan baik kepada majikannya.

“Lepas Zohor, Kak Zira.”

“Sempatlah nak siap. Sekarang baru pukul 12.30, kan. Ada masa lebih kurang satu jam lebih lagi,” ujar Kak Zira sambil tangannya masih tetap meneruskan kerja-kerja menata rias wajah Irish.

Dalam masa hampir dua jam, Irish selesai didandan sepenuhnya. Kak Zira meneliti Irish dari atas hingga ke bawah. Setiap sudut pada tubuh gadis tinggi lampai itu diperhati. Seakan berpuas hati dengan hasil kerjanya, barulah dia ‘melepaskan’ Irish.

Okay, done! Irish bolehlah tengok cermin sana. Kalau ada yang tak okay bagitahu akak,” arah Kak Zira lansung mengemas kembali alat-alat soleknya yang telah digunakan.

Irish melangkah mendekati cermin panjang yang terletak di dinding bilik. Sebaik berdiri di hadapan cermin itu, dia melihat bayang susuk tubuhnya. Dalam busana pertunangan berwarna hijau lumut serta solekan yang dikenakan pada wajah, ternyata dia kelihatan amat berlainan sekali. Seperti bukan melihat diri-sendiri. Pertama kali dalam hidup, dia melihat dirinya dari sisi yang berbeza. Irish terkaku untuk seketika.

“Irish? Okay ke?” Kak Zira menyentuh lembut kedua bahu Irish yang seakan tidak berganjak dari memandang ke arah cermin. Dia kemudian turut sama melihat bayangan gadis itu pada cermin di hadapan.

“Hmm?”

“Kenapa? Ada yang tak okay ke? Dok tenung cermin tu sampai tak berkelip mata!”

“Eh, okay! Okay sangat, Kak Zira. Cuma shocked sekejap. Macam bukan tengok diri-sendiri pulak.”

“Orang kalau tak pernah make-up, macam nilah. Lagipun memang dah cantik. Pakai apapun, mestilah lagi nampak cantik. Kan?” ujar Kak Zira sambil mendekatkan pipinya dengan pipi kanan Irish, cuba menenangkan gadis itu.

“Terima kasih, kak.”

“Sama-sama. Akak nak kena gerak ni. Ada event lain.” Kak Zira lantas mengambil beg serta peti alat soleknya di atas katil dan kembali semula pada Irish untuk bersalaman.

“Akak tak makan dulu ke?”

“Tak apa. Tu pun tadi mak Irish dah sediakan kuih dengan air untuk akak. Akak balik dulu, ya. Apa-apa call je. And tahniah, for your engagement!”

Sesudah itu Kak Zira melangkah keluar, meninggalkan Irish seorang diri di bilik kini. Gadis itu melabuhkan duduknya di hujung katil, merenung barang-barang hantaran yang tersusun kemas di atas lantai. Seperti tidak percaya apa yang berlaku pada dirinya hari ini. Lansung tidak terjangkau di akal.

‘Betul ke apa yang aku buat ni? Kenapa hati aku rasa tak sedap semacam?’ Irish berbicara sendiri. Sedaya upaya dia mengusir perasaan itu dari terus menghantui dirinya.

‘Ini keputusan yang kau ambil, Irish. Tak mungkin kau dapat patah balik. Teruskanlah. Demi untuk orang-orang yang kau sayang.’ Irish cuba memujuk hatinya. Terasa ada air hangat yang bertakung di hujung mata. Segera dia menyeka, tidak mahu solekannya rosak gara-gara terlebih emosi.

“Hey, girl!!”

Teguran itu membuatkan Irish berpaling ke belakang.

“Ira!”

“Aaaaaa!!!” jerit Athirah sebaik terpandangkan rakan baiknya itu. Terus sahaja dia menerpa ke arah Irish dan memeluk gadis itu erat-erat. “Rindunya aku kat kau, Irish!”

“Aku pun.”

Lama mereka berdakapan untuk melepaskan rindu setelah hampir beberapa bulan tidak bersua muka. Setelah puas, barulah mereka merenggangkan pelukan masing-masing.

“Betul ke ni kau, Irish?”

“Betullah aku. Asal kau tanya macam tu?”

“Serius. Kau nampak lain gila!”

“Kan? Aku sendiri tengok pun rasa tak percaya.”

“Yelah. Kau mana pernah make-up macam ni bagai. Of courselah bila dah kena sekali terus naik seri tu! Anyway... kau nampak cantik sangat-sangat hari ni. Dengan baju ni. Marvellous! Kalau aku jadi lelaki pun boleh cair tengok!” puji Athirah pada rakannya itu.

“Ada-ada jelah kau ni. Kau bila sampai?”

“Baru je. Eh! Sini...,” lantas Athirah menarik tangan Irish untuk duduk di birai katil. Tangan gadis itu digenggamnya. “Kau tak cakap awal-awal dengan aku pun kau nak bertunang, kan? Dahlah baru bagitahu. Call pulak tu! Hishh! Memang tak patut betullah kau, Irish!”

Irish memandang Athirah dengan seribu satu perasaan. Dia tahu rakannya itu masih terkejut dengan berita pertunangan ini. Dari reaksi Athirah sewaktu dia menelefon beberapa hari lalu, dia sudah dapat mengagak rakannya itu pasti bebar-benar terkejut. “Sorrylah, Ira. Aku tak ada niat pun nak sorokkan hal ni. Aku tahu kau mesti terkejut.”

“Mahunya tak terkejut! Hari tu kau cakap family Tengku tu masuk meminang. Then kau minta tempoh untuk bagi jawapan. Lepas tu kau lansung tak update apa-apa dengan aku pun, kan! Tub-tub nak bertunang dah. Apa kes?”

Sorrylah, Ira.”

Sorry, sorry!”

Irish memegang lembut wajah Athirah dengan kedua tangannya, meminta gadis itu memandang ke arahnya. “Ira... aku bukan tak nak bagitahu kau. Tapi kau pun tahu kan keadaan aku macam mana. Semua yang berlaku ni bukan atas kehendak aku,” terang Irish dengan suara yang sudah mula bergetar.

“Aku main-main jelah!”

Spontan terdengar gelak tawa Athirah memenuhi segenap ruang bilik. Mujur pintu bilik tertutup ketika itu. Pantas Irish mengambil sebiji bantal lalu memukul tubuh gadis itu.

“Kau kan!”

“Aku apa? Ha, tulah! Buat aku macam tu lagi. Ada ubi adalah batas!” selamba sahaja Athirah membalas sambil mengangkat-angkat keningnya.

“Kan? Suka kenakan aku?”

“Sukalah! Bukan senang nak dapat prank kau macam ni. Kat majlis tunang kau pulak tu! So jaga-jagalah time kau kahwin nanti.”

“Tak ada maknanya.”

“Tak ada maknanya konon! Kita tengoklah nanti!” tingkah Athirah lagi seraya melagakan bahunya dengan bahu Irish di sebelah. Serta-merta ketawa mereka berderai.

“Kak Irish.”

Panggilan itu membuatkan kedua-duanya menoleh.

“Ya, Irfan. Kenapa?”

“Kawan-kawan akak sampai.”

“Kawan?”

Adik bongsunya itu mengangguk. Sebaik Irfan berkalih tempat, seorang gadis melangkah masuk ke dalam bilik tersebut.

“Hai, Cik Irish!”

“Insyirah!”

Seraya itu Natasya menyusul dari belakang diikuti Zaryn, Farisya, Elaine dan akhir sekali Kak Maisarah yang mendukung seorang anak kecil. Seketika suasana di dalam bilik itu agak riuh dengan suara-suara mereka. Masing-masing memuji penampilan Irish yang ternyata berlainan dari hari-hari biasa yang mereka nampak. Di kesempatan itu juga buat pertama kalinya Irish memperkenalkan teman-teman sepejabatnya kepada Athirah. Hanya beberapa minit bertemu, tidak sangka semuanya dapat menyesuaikan diri, menjadikan satu ikatan persahabatan yang baru terjalin di antara mereka.


KETIBAAN rombongan keluarga Tengku Haiyan disambut mesra oleh wakil tuan rumah yang telah diamanahkan untuk mengendali majlis pada petang itu. Kelihatan ceria sahaja mereka pabila bergaya sedondon dengan pakaian berwarna coklat emas yang menjadi tema pilihan. Sementara menanti majlis dimulakan, para tetamu dilihat berbual-bual sesama mereka di ruang hadapan kediaman Encik Izzuddin. Dulang hantaran dari kedua-dua belah pihak juga sudah bersusun cantik di satu sudut berhadapan pelamin kecil yang menempatkan Irish di situ.

Bacaan doa membuka tirai majlis pada petang itu diikuti dengan sesi perbincangan antara kedua-dua belah pihak yang mana keluarga Irish diwakili oleh abang kepada Encik Izzuddin sementara keluarga Tengku Harrys pula diwakili oleh Tengku Arham. Suasana nyata begitu tenang dan lancar sepanjang perbincangan itu berlansung. Masing-masing tidak banyak bantahan baik dari pihak lelaki mahupun pihak perempuan. Berlainan pula dengan Irish yang duduk di atas pelamin kecil yang direka khas untuk majlis tersebut. Sejak dari awal majlis itu berlansung, hatinya sentiasa dibaluti keresahan. Entah apa yang dirisaukannya dia sendiri tidak pasti. Mujurlah rakan-rakannya ada untuk menemaninya di atas pelamin ini. Walaupun ia belum mampu mengusir rasa gundah di hatinya.

“Pssttt! Kau okay ke?” bisik Athirah perlahan. Irish di sebelah pantas menoleh.

“Kenapa kau tanya macam tu?”

“Sebab aku tengok muka kau semacam je. Asal?”

Irish terdiam sejenak. Berkira-kira untuk memberi alasan. “Nervouskut.”

“Kalau ya pun nervous janganlah tunjuk sangat muka tu!”

“Nampak sangat ke?”

“Kalau tak nampak, tak adalah aku cakap. Ishh, budak ni!” balas Athirah sedikit geram walaupun masih dalam nada berbisik. “Cuba senyum sikit. Kesian abang cameraman tu tangkap gambar dari tadi. Tak pasal-pasal esok keluar paper dengan tajuk utama seorang gadis dipaksa bertunang. Kau nak?”

Kata-kata Athirah itu membuatkan ketawa Irish hampir terburai. Nasib baik dia dapat mengawalnya. “Kau jangan buat lawak kat sini boleh tak, Ira? Nanti aku dah ketawa, kau jugak yang susah kang.”

Okay, aku diam! Focus, okay. Focus!”

Hampir satu jam berlalu, perbincangan di antara kedua-dua pihak tiba ke penghujungnya. Kata sepakat sudah dicapai, janji juga sudah termetrai. Kini tiba upacara menyarung cincin pertunangan dari wakil pihak lelaki. Kelihatan Tengku Dafina bangun dari duduknya dan bergerak menuju ke pelamin diiringi oleh kedua anak perempuannya bersama dulang hantaran yang mengandungi sebentuk cincin. Irish hanya menanti gerak langkah ketiga-tiga wanita itu dengan penuh debaran.

Sebaik menghampiri Irish di atas pelamin, Tengku Dafina memberikan salam terlebih dahulu sebelum mengambil cincin yang berada dipegangan Tengku Hazleen. Perlahan dia menyarungkan sebentuk cincin emas putih yang bertakhtakan batu permata biru di jari manis kanan Irish. Dengan tersarungnya cincin itu, maka dengan rasminya gadis itu kini selamat menjadi tunangan kepada Tengku Harrys. Irish kemudian meraih tangan Tengku Dafina lalu dikucupnya sebelum wanita itu turut membalas dengan satu ciuman di dahi. Agak lama bibir Tengku Dafina singgah di dahi gadis tersebut. Tidak tahu mengapa dadanya terasa sebak di kala ini. Wajah Irish kemudian diamati untuk kesekian kali sebelum bibirnya singgah pula dikedua-dua pipi gadis itu.

Irish hanya membiarkan sahaja perlakuan Tengku Dafina padanya walaupun dalam hati sedikit tergamam dengan tingkah-laku wanita tersebut. Habis itu, giliran Tengku Hazleen, Tengku Hazreen dan yang lain-lain pula bersalaman dengannya sebelum majlis diambil alih oleh jurukamera yang bertugas untuk sesi fotografi.


MAJLIS pertunangan Tengku Harrys dan Irish telah selamat dilansungkan sedari awal sehingga ke penghujungnya.Semua tetamu yang hadir telah pulang apabila petang merangkak ke senja. Namun seisi keluarga itu masih kelihatan sibuk memandangkan mereka akan menerima kedatangan keluarga Tengku Haiyan sekali lagi malam nanti. Bak kata orang, sebagai meraikan ikatan pertunangan Tengku Harrys dan Irish yang telah selamat dimetrai di samping mengeratkan lagi hubungan keluarga yang mula terjalin antara kedua-duanya.

Jam menunjukkan ke angka 9.15 malam sewaktu kunjungan Tengku Haiyan tiba. Seluruh ahli keluarganya turut serta termasuklah Tengku Harrys yang baru berkesempatan menjejakkan kaki ke kediaman itu sejak berlansungnya majlis siang tadi. Adat budaya orang Melayu. Bila mana sesebuah pertunangan diadakan, si lelaki tidak dibenarkan untuk hadir sepanjang majlis tersebut dijalankan. Dan dia sebagai orang muda hanya menurut sahaja kata orang tua tanpa sebarang bantahan.

“Alhamdulillah. Semuanya dah selamat, Izzuddin. Majlis pun berjalan lancar,” ucap Tengku Haiyan memulakan bicara. Kelihatan semuanya duduk berkumpul di ruang tamu kecuali anak menantu perempuan Encik Izzuddin yang masih melakukan kerja di dapur.

“Nampak gayanya macam tulah, Tengku. Saya minta maaflah kalau ada yang terkurang dengan majlis tadi, ya. Itu je yang mampu saya sekeluarga sediakan.”

“Eh! Tak adalah, Encik Izzuddin. Tak ada apa yang kurang. Bagi kami semuanya cukup. Saya nak ucap terima kasih pada Encik Izzuddin dan Kak Ina sekeluarga sebab dah bersusah-payah untuk majlis siang tadi.”

“Tak ada apa nak diterima kasih, Fina. Semuanya dah jadi tangunggungjawab kami. Lagipun banyak jugak yang Fina sekeluarga sediakan. Jadi tak adalah banyak mana kami perlu buat. Yang penting semuanya dah selamat,” balas Puan Qarina.

“Ya, dah selamat. Tinggal majlis besarnya saja!” Tengku Dafina menambah lagi.

Encik Izzuddin hanya mempelawa Tengku Haiyan sekeluarga menikmati makan malam setelah semuanya siap terhidang. Sambil menjamu makanan, perbualan mereka masih tetap diteruskan. Di suatu sudut, Irish turut asyik bersembang bersama kakak-kakak dan iparnya sambil ditemani Tengku Hazleen, Tengku Hazreen serta Helena. Apa yang dibualkan pun tidak tahu hingga gelak ketawa sentiasa mengiringi setiap minit perbualan mereka. Dalam leka bersembang, kepala Irish teringatkan Tengku Harrys tiba-tiba. Dia tidak pasti dengan kehadiran lelaki itu memandangkan dirinya sibuk di dapur sejak kedatangan keluarga Tengku Haiyan tadi. Sehinggalah pandangannya terhenti pada sesusuk tubuh yang duduk di sofa sedang bersembang bersama Tengku Hafiy, Izzul, adik-adiknya serta kedua abang iparnya.

‘Hmm. Datang rupanya dia!’ detik hati Irish.

Menyedari dirinya seakan diperhatikan, Tengku Harrys turut menoleh. Renungan gadis nun di hadapan sana dibalasnya. Hinggalah akhirnya gadis itu yang tertunduk mengalah. Spontan senyuman kecil terpamer di hujung bibir lelaki itu sebelum renungannya beralih ke lantai.

Hari-hari semalam dia memandang Irish dengan pandangan yang sangat jauh. Seperti tidak dapat digapai bintang yang beribu-ribu batu jauhnya di langit. Namun malam ini, pandangan itu terasa begitu dekat dengannya. Pandangan terhadap seorang gadis yang kini sudah bergelar tunangnya. Seperti satu mimpi.

‘Adakah aku bermimpi? Hati yang selama ini aku bina tembok untuk menghalang cinta dan perempuan dari memasukinya sudah semakin roboh dari hari ke hari. Apakah makna untuk semua ini?’ soal Tengku Harrys di dalam hati.

“Itu maknanya hati kau sudah kalah, Harrys! Mengaku saja yang kau sudah jatuh cinta dengan dia!” terdengar suara-suara halus di dalam hatinya menjerit memberi jawapan.

Tengku Harrys sedikit tersentak. Matanya kembali berkalih pada Irish. Gadis itu masih setia di tempatnya. Betulkah aku sudah jatuh cinta dengannya? Jadi benarlah perasaan yang aku rasakan selama ni adalah cinta? Perasaan yang mampu hadir hanya bersama Irish. Itukah dia? Namun segala persoalan itu mati di dalam kepalanya tatkala telinga menangkap satu suara yang datang dari luar. Begitu juga perbualan yang lain.

Sesaat dua, muncul kelibat seseorang di balik muka pintu bersama sebuah senyuman sebagai menyapa kesemua yang berada di ruang tamu rumah Encik Izzuddin. Suasana hening seketika. Rata-rata mereka agak terkejut dengan kehadiran yang tidak di duga sama sekali. Tidak kurang juga yang tertanya-tanya siapakah gerangan lelaki yang tiba-tiba muncul ini.

Hye everyone!” tegur lelaki itu dengan selamba lalu melangkah masuk ke dalam rumah. “Nampaknya I dah menganggu majlis you all semua. Sorry for that. It’s not on my purpose!”


TO BE CONTINUE… IN OTHER VERSION.....


Insyaallah jika ada rezeki dan diizinkan… Doakan segalanya berjalan lancar… Dan terima kasih kepada pembaca semua yang sudi mengikuti…. 

Salam sayang dari Sayhazs Zailie..... ^-^

 





Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku