BAYANGAN GURAUAN
Teaser 08 (UV)
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 15 September 2015
** ALHAMDULILLAH.. Bayangan Gurauan sudah diterbitkan pada Januari 2017 under Alaf 21 / Karangkraf & kini sudah berada di pasaran.. Anda boleh dapatkannya melalui belian secara online di Karangkraf Mall, melalui Whatsapp, di outlet Karangkraf & juga di kedai-kedai buku berhampiran anda.. Terima kasih semua yang setia dan sabar menanti BG selama lebih 3 tahun ini.. Salam sayang dari #HarrysIrish.... ^_^
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1602

Bacaan







BAB 8 

“ALANG dengan Irish mana, umi?” Izzul bertanyakan uminya yang sedang menuang minuman panas di atas meja sambil dibantu Iman. Malam minggu itu Encik Izzuddin sekeluarga hanya bersantai di rumah sambil menonton televisyen.

“Tak tahulah. Lepas makan malam tadi terus hilang budak berdua tu. Ada dalam bilik Irish agaknya,” duga Puan Qarina seraya melabuhkan duduk di sebelah suaminya. Beberapa minit kemudian barulah terpancul wajah Irish dan Irma di ruang tamu tersebut bersama gelak tawa mereka, sekaligus membuatkan tumpuan yang lain terganggu pada rancangan yang sedang ditayangkan di kaca TV.

Happy nampak!” spontan Irhan menyapa.

“Ya ke? Biasa je. Tapi, kalau semua orang tahu pun mesti happy jugak!”

“Apa dia? Irfan nak dapat anak buah baru ke, Kak Lang?” Irfan bagaikan teruja ingin mengetahui berita tersebut. Kebetulan dia balik bercuti hujung minggu itu, dapatlah dia berkumpul dengan ahli keluarganya yang lain.

“Ishh, Irfan ni! Ke situ pulak fikir dia!”

“Habis dah tengok Kak Lang happy semacam! Kalau bukan tu, apa dia?” tanya Irfan lagi sambil menggosok-gosok lengannya yang sedikit pedih akibat dipukul Kak Langnya.

“Ada orang tu dah dapat kerja. Lepas ni bolehlah belanja kita semua!” seloroh Irma seraya melirik ke arah Irish dengan senyuman penuh makna.

Semua mata yang ada di situ tertumpu pada Irma, dan kemudiannya jatuh pada wajah Irish. Pandangan mata menggantikan mulut sebagai isyarat menyoal pada gadis itu. Melihatkan semua ahli keluarganya bagaikan ternanti-nanti, akhirnya Irish menggangguk-anggukkan kepalanya tanda mengiakan berita yang baru disampaikan oleh Irma itu.

“Alhamdulillah! Tahniah!”

Kedengaran suara-suara gembira keluar dari mulut ahli keluarga Encik Izzuddin yang berada di ruangan keluarga tersebut.

“Syarikatmana, Rish?” tiba-tiba Izzul bertanya.

“Haiyan Holdings.”

Serentak itu mata Izzul terarah ke wajah adiknya. “Serius? Syarikat kawan along tu?”

“Iyalah, long. Kenapa?”

“Tak ada apa. Along ingatkan tak dapat. Yelah, dah lama jugak baru dapat jawapan sejak along hantar temuduga hari tu.”

“Tulah. Irish ingat pun tak dapat. Tapi tengah hari semalam diorang baru call bagitahu,” jelas Irish. Memang pada mulanya dia juga menyangka temuduga itu tidak berjaya disebabkan sudah lebih tiga minggu tiada apa-apa jawapan yang diterima.

So, bila kena lapor diri?” celah Iman pula.

“Isnin depan.”

Stay sana? Ke berulang-alik?”

“Ya kut, Kak Ngah. Semalam ada jugak diorang bagitahu yang syarikat ada sediakan apartmen untuk pekerja. Tapi Irish rasa baik berulang jelah. Lebih selesa tinggal kat rumah sendiri. Lagipun tak boleh nak tinggalkan umi, ayah dengan adik-adik lama. Nanti rindu. Lagi-lagi dengan Irfan ni.”

“Tahu tak apa!” Irfan membalas kembali gurauan kakaknya itu. Belum sempat Irish ingin memukulnya, kali ini Irfan sudah terlebih dahulu menjauhkan diri. Dan seisi ruangan itu dipenuhi dengan deraian tawa mereka yang lain.


MALAM sudah semakin larut kala Irish melangkah masuk ke dalam biliknya. Ahli keluarganya yang lain turut berbuat demikian setelah puas bersembang panjang tadi. Menjelang malam begini sudah tentulah masing-masing ingin merehatkan diri setelah penat melakukan aktiviti seharian.

Irish merebahkan badannya di atas katil. Namun matanya tidak mahu pejam. Sudahnya dia hanya berbaring sambil merenung kipas yang sedang berputar di syiling. Sebagaimana kipas itu berputar, begitu jugalah dirasakan putaran hidupnya selama dua puluh empat tahun bernafas di muka bumi ini. Mindanya mula berlegar-legar mengingati sorotan kisahnya dari zaman kecil hinggalah menginjak ke alam remaja. Bagaimana dia mula menjejakkan kaki ke alam persekolahan, kemudian melanjutkan pelajaran ke pengajian tinggi, dan selepas ini dia akan mula memasuki alam pekerjaan pula. Begitu pantas masa berlalu. Baru dirasakan semalam dia belajar mengeja di sekolah tadika. Tetapi hari ini dia sudah menamatkan pengajiannya di menara gading dengan segulung ijazah. Dan lusa, dia akan memulakan khidmatnya di salah sebuah syarikat yang boleh dikatakan cukup gah di negara ini.

“Dah ready ke kau nak kerja ni, Irish? Macam tak je tengok. Ishh!”

Irish meraup wajahnya, cuba mengusir perasaan tersebut jauh dari hati. Dikumpulkan sedikit kekuatan untuk menghadapi hari-hari mendatang selepas ini. Usahanya berhasil apabila sedikit keyakinan mula datang bertamu dalam diri. Lantas mulut kecil itu tersenyum nipis.

“Boleh. Kau boleh, Irish. Insya-ALLAH pasti boleh. Semangat!”

Sesudah itu, mindanya kembali berputar mengingati satu-persatu peristiwa yang berlaku sepanjang hidupnya. Pelbagai suka dan duka telah ditempuh. Dari kisah-kisah yang menggembirakan hinggalah ke cerita yang menyedihkan itu. Terdetik sesuatu di dalam hati. Andai dirinya tidak kuat, mungkin dia tidak akan berada hinggap ke tahap sekarang ini. Melukakan hati banyak pihak. Dan yang lebih teruk lagi, mehancurkan masa depannya sendiri. Syukur Alhamdulillah, Allah masih sentiasa bersamanya. Dan akan tetap terus bersama seandainya dia sendiri tidak pernah lupa dan leka kepada Penciptanya itu.

Irish melepaskan keluhan. Diraup wajahnya sekali lagi.

“Haishh! Kenapa mata ni tak nak pejam-pejam ni?”

Digosok-gosok matanya yang sedikit pedih. Kemudian dia beralih kedudukan dari menelentang hingga mengiring pula kini. Namun matanya masih tetap segar. Jam di sisi katil ditenung. Sudah pukul 2.00 pagi. Lantas dia bangun dari pembaringan.

“Tak boleh jadi ni! Daripada dok guling-guling tapi tak mahu pejam jugak, baik aku ambil air sembahyang. Sembahyang sunat lepas tu mengaji. Lagi bagus!”

Serentak itu Irish turun dari katilnya perlahan-lahan dan kemudian menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk dengan mulut yang tidak henti-henti mengomel.

“Kau ni mata bila suruh pejam, tak nak pejam. Bila time nak buat kerja, masa tulah kau nak tertutup, kan? Saja betul!”




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku