BAYANGAN GURAUAN
Teaser 24 (UV)
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 15 September 2015
** ALHAMDULILLAH.. Bayangan Gurauan sudah diterbitkan pada Januari 2017 under Alaf 21 / Karangkraf & kini sudah berada di pasaran.. Anda boleh dapatkannya melalui belian secara online di Karangkraf Mall, melalui Whatsapp, di outlet Karangkraf & juga di kedai-kedai buku berhampiran anda.. Terima kasih semua yang setia dan sabar menanti BG selama lebih 3 tahun ini.. Salam sayang dari #HarrysIrish.... ^_^
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1730

Bacaan






BAB 24 

IRISH melabuhkan duduk di atas kerusi pejabatnya. Seminggu lebih dia membuat tugasan luar, bermakna selama itu jugalah dia tidak berada di biliknya ini. Gadis itu memerhatikan keadaan sekeliling. Bersih, kemas serta teratur. Sama seperti waktu dia meninggalkannya sebelum berangkat ke Johor Bharu tempoh hari. Sudah tentu ini kerja Insyirah. Pembantunya itu menjaga bilik ini sama sepertimana dia menjaganya selalu.

Morning, Cik Irish!” tiba-tiba kelibat gadis itu muncul dengan wajah yang ceria.

Irish tersenyum menyambut sapaan itu. Baru sahaja disebut-sebut nama, terus sahaja muncul di hadapannya kini. “Morning.”

“Lamanya Cik Irish pergi outstation. Rindu betul!” tutur Insyirah lalu duduk di kerusi berhadapan Irish.

“Hmm? Iya ke rindu ni? Entah-entah happy kut saya tak ada kat sini. Ya, In?”

“Ishh, mana ada Cik Irish ni! Tengoklah, rindu punya pasal sampai tiap-tiap pagi saya kemas bilik ni. Dapatlah jugak tengok muka Cik Irish dalam gambar tu.” Insyirah memuncungkan mulutnya pada gambar Irish sekeluarga yang sememangnya diletakkan di atas meja ketuanya itu.

“Kan? Patutlah kemas semacam bilik ni. Rajin orang tu kemas.”

“Mestilah!” Insyirah sudah tersengih-sengih apabila dipuji sebegitu. “Cik Irish, tak ada ole-ole dari JB untuk saya ke?”

Irish tergelak kecil. “Ada. Mana boleh tak ada. Tapi ada kat dalam kereta. Time lunch nanti saya bagi. Untuk yang lain-lain pun ada sekali.”

“Ya ke?? Ni yang buat sayang lebih kat Cik Irish ni!”

“Yelah, Cik Insyirah. Hmm... tak nak kerja ke? Dibuatnya tiba-tiba boss masuk ke sini, siapa nak jawab?” Irish bangkit dari kerusinya dan menuju ke rak yang terletak di sudut kiri. Tangannya mula mencari sesuatu di antara fail-fail yang tersusun di situ.

Yes, maam!” spontan gadis itu berdiri bila mendengarkan perkataan boss disebut-sebut. Terus sahaja kakinya meluru ke arah pintu. Sebelum keluar, sempat lagi dia berkata sesuatu. “Time lunch nanti tau, Cik Irish. Jangan lupa!”

“Iya, Insyirah.” Jawab Irish sambil menoleh sekilas ke arah gadis itu.

Okay. Jangan lupa!” Insyirah mengingatkan sekali lagi.

“Iya. Dah tentu.”

Mendengarkan jawapan itu, Insyirah terus menutup pintu. Irish mengukir senyum. Dia tahu pasti pembantunya itu akan membuka semula pintu tersebut untuk bertanya kembali selagi tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan olehnya. Dia sudah kenal benar. Dan jangkaannya tepat. Kedengaran daun pintu dibuka semula.

“Iya, sayang. Time lunch nanti. Saya tak lupa!” Irish menjawab terlebih dahulu sebelum sempat Insyirah bertanya. Dengan yakin dia bersuara tanpa menoleh ke arah pintu.

“Sayang?”

Berderau darah Irish mendengarkan suara itu. Pantas dia memalingkan tubuhnya.

“Err...,” kelu lidahnya sebaik terpandangkan wajah Tengku Harrys yang sudah berdiri di tengah-tengah bilik itu. Mati-mati dia ingatkan Insyirah yang masuk semula tadi.

“Awak panggil saya apa tadi?” Tengku Harrys bertanya sekali lagi sambil berpeluk tubuh kali ini. Matanya tepat merenung gadis di hadapan.

“Err... maaf, Tengku. Saya ingatkan Insyirah tadi.”

Irish menundukkan wajahnya apabila ditenung sebegitu. Sedikit kesal dengan tindakannya sebentar tadi.

“Tolong kemaskinikan laporan yang kita dah buat di JB untuk mesyuarat pagi esok. Dah siap nanti hantar ke bilik saya. Kalau perlukan bantuan, awak boleh minta Tasyauntuk bantu.” Tengku Harrys memberikan arahan.

“Baik, Tengku.”

Mendengarkan jawapan itu, Tengku Harrys bergerak untuk keluar semula. Namun langkahnya terhenti di muka pintu. “Awak memang macam tu, kan. Suka cakap tak pandang orang. Next time, be careful. Luckily that person was me,” ucapnya dan terus melangkah keluar meninggalkan bilik itu.

Irish terkesima. Terkaku dia seketika. Tebal dirasakan mukanya saat ini.

“Hmm... tulah! Kenapa tak toleh dulu sebelum nak cakap, Irish. Tengok apa dah jadi? Isshh!” Irish memukul bibirnya beberapa kali. Kesal sudah terlajak kata. Lama dia tercegat di situ sambil termenung.

“Nak buat macam mana. Benda dah jadi,” bicaranya sendiri. Sedikit keluhan dilepaskan. Setelah hatinya tenang, Irish menapak keluar dari bilik untuk berjumpa Insyirah dan Natasya.


JARUM jam di dinding sudah menunjuk ke pukul 1.30 petang. Namun kelibat tiga gadis di dalam bilik itu masih setia menghadap kerja-kerja mereka. Tidak berganjak seminit pun dari tempat duduk masing-masing sedari tadi.

“Cik Irish.” Natasya bersuara tiba-tiba, membuatkan Irish yang sedang leka menghadap skrin komputer menoleh.

“Ya, Tasya. Kenapa?”

“Lapar!” Natasya mengadu sambil memegang perutnya yang sudah mula berkerocong minta diisi. Spontan tawa Irish dan Insyirah terburai.

“Kan? Ingatkan dah lupa nak makan. Leka sangat buat kerja. Kalau dah lapar kita break sekejap,” ujar Irish yang sudah pun berdiri. “Tapi tak apakan makan maggie je?”

“Tak kisahlah, Cik Irish. Janji boleh isi perut.”

“Ha’ah, Cik Irish. Tak kisah pun. Maggie pun jadilah!” tambah Insyirah sambil melirik pada Natasya di sebelah. Sejak berkhidmat sebagai setiausaha Tengku Harrys, secara tidak lansung gadis itu menjadi akrab dengannya serta rakan-rakan mereka yang lain.

“Kalau macam tu, jom!” Irish mendahului Natasya dan Insirah menuju ke ruangan pantry. Deretan kabinet yang terletak di situ dibuka dan diambil dua bungkus mee segera yang sememangnya disediakan untuk para pekerja di situ. Sebuah periuk diisikan dengan air sebelum dipanaskan di atas dapur elektrik. Sementara menanti, dia membancuh minuman terlebih dahulu. Dalam masa sepuluh minit kemudian barulah Irish menghidangkan semua itu di hadapan kedua-dua gadis tersebut.

“Ni jelah yang dapat saya masakkan hari ni. Maaf, ya. Nanti saya belanja In dengan Tasya makan kat luar.”

“Kitorang tak kisahlah, Cik Irish. Ni pun dah okay dah. Janji perut kenyang!”

“Betul cakap In tu, Cik Irish. Tapi, kalau Cik Irish nak belanja kitorang makan kat luar next time, tu lagi Alhamdulillah sangat-sangat...,”

“Ishh kau ni, Tasya! Tak malu sungguh!” belum sempat Natasya menyudahkan kata-katanya, Insyirah sudah terlebih dahulu mencelah. Disiku rakannya itu agar menutup mulut.

“Apa? Betullah aku cakap! Kalau dah Cik Irish nak belanja, takkanlah nak tolak. Rezeki tu! Kan, Cik Irish? Kau tak nak, tak apa!”

“Cik Irish dah masakkan ni dah kira okaylah. Bukan senang nak dapat, tahu tak!” ngomel Insyirah lagi.

“Eh, tak apalah. Saya tak kisah pun. Hari ni takat ni je saya dapat sediakan. Lain kali saya bawa belanja makan kat luar, ya. Dah makan cepat. Nanti sejuk, tak sedap.”

Irish cuba meredakan keadaan. Pinggan yang sudah berisi mee segera perisa tom yam itu disuakan pada mereka berdua. Baru sesuap dua mereka menjamah, kelibat seseorang muncul di ruangan pantry tersebut.

“Tasya.”

Natasya yang sedang asyik menyuap maggieke dalam mulut, hampir tersedak mendengar namanya dipanggil tiba-tiba. Nasib baik tidak tersembur keluar makanan yang ada di dalam mulutnya. Pantas dia menoleh untuk melihat gerangan yang empunya suara.

“Eh, Tengku!” sedikit terkejut gadis itu apabila melihat ketuanya sudah berada di muka pintu. Diambil sehelai tisu untuk mengelap mulut yang sedikit comot. “Maaf, Tengku! Tengku cari saya ke?”

“Hmm. Tak keluar lunch ke?”

“Tak. Saya lunch kat sini je. Tak sempat nak turun sebab tolong Cik Irish siapkan report. Tengku cari saya ada hal penting ke?”

“Ingatkan awak keluar lunch,” balas lelaki itu. Perlahan dia menghampiri meja makan yang diduduki ketiga-tiga gadis tersebut. “Makan apa lunch kat sini?”

“Makan maggie je, Tengku. Bolehlah buat alas perut. Ni pun Cik Irish yang masakkan.”

Serentak itu mata Tengku Harrys menangkap seraut wajah yang sedari tadi hanya diam bersama pembantunya di sebelah. Terus sahaja dia melabuhkan duduk di sebelah setiausahanya.

“Boleh join?” pinta Tengku Harrys, membuatkan ketiga-tiga mereka berpandangan sesama sendiri. Kemudian mata mereka dihalakan tepat ke arah lelaki itu.

“Err... Tengku ni serius ke?” soal Natasya lagi seakan tidak percaya dengan tingkah lelaki itu. Masakan anak pemilik syarikat mahu makan bersama mereka di sini dengan hanya menjamah mee segera sahaja. Mustahil!

“Yelah. Saya pun lapar jugak. Ada pinggan untuk saya?” Tengku Harrys memandang Irish di hadapan, seolah-olah pertanyaan itu ditujukan untuk gadis tersebut.

“Sekejap.”

Irish bangkit dari kerusi dan mengambil sebiji pinggan kosong beserta sudu dan garfu lalu diberikan kepada Tengku Harrys. Lelaki itu menyambutnya bersama ucapan terima kasih.

“Maggie je kut. Tengku ni biar betul??” kali ini Insyirah pula yang bersuara.

“Kenapa? Makanan jugak, kan. Rezeki. Kat UK dulu benda ni jugak yang kadang saya makan,” terang Tengku Harrys sambil tangannya sudah mencedok mee segera tersebut ke dalam pinggan. Dia tahu dirinya sedang diperhatikan oleh tiga pasang mata tanpa berkelip. Dengan selamba dia menyuap maggie itu ke dalam mulut. Maggie yang biasa sahaja rasanya seperti selalu terasa sedap ditekaknya kini. Mungkin kerana orang yang memasaknya. Tengku Harrys tersenyum sendiri.

“Dah. Kenapa Tengku senyum-senyum pulak ni?” tegur Natasya bila melihat ada senyum di bibir lelaki itu.

“Hmm? Saya senyum ke? Tak adalah.”

“Bukannya Tengku jauh sangat dengan saya pun. Takkanlah saya salah pandang! Tak sedap ke maggie Cik Irish masak ni?”

Mendengarkan nama itu, sekali lagi Tengku Harrys melarikan anak matanya pada Irish. “Sedap.”

Natasya tidak jadi bertanya lagi dengan jawapan ringkas dari lelaki di sebelahnya. Walaupun sebenarnya dia masih tidak berpuas hati. Seakan dapat merasakan sedikit kelainan dengan Tengku Harrys hari ini.

“Kenapa tak lunch kat luar?” Tengku Harrys kembali bersuara setelah beberapa minit menyepi.

“Macam tak sempat je. Sibuk meng’update’ report projek kat JB tu. Kalau kita orang keluar kesian Cik Irish kena buat sorang-sorang nanti,” terang Natasya prihatin.

“Kalau dah buat sorang-sorang alamatnya sampai ke malamlah Cik Irish kena stayback nanti, Tengku. Siapa pulak nak temankan? Satu hal lagi!” Insyirah pula mencelah.

“Adalah tu orang temankan nanti.” Tengku Harrys menjawab selamba. Seretak Natasya dan Insyirah memandang ke arahnya.

“Siapa??!”

“Siapa-siapalah.”

Hanya itu yang jawapan keluar dari mulut Tengku Harrys. Bagaikan baru tersedar akan kata-katanya sebentar tadi. Matanya pantas mencari wajah Irish di hadapan. Pandangan mereka bertemu. Namun hanya seketika apabila gadis itu tertunduk malu.

Irish cuba menahan kekalutannya. Dia pasti wajahnya kini sudah bertukar warna. Harapnya janganlah Insyirah mahupun Natasya perasan akan perubahan itu. Irish kembali mendongak. Dilihat Tengku Harrys begitu berlera menjamah maggieyang dimasak olehnya. Tidak tahu apa yang sedap sedangkan lelaki ini boleh saja makan masakan yang jauh lebih enak di luar sana. Seketika dia teringatkan kejadian yang menimpa Tengku Harrys di tapak pembinaan beberapa hari lalu. Nampaknya lelaki ini sudah beransur pulih walaupun lengannya masih berbalut. Namun dia tidak tahu sama ada balutan di lengan Tengku Harrys itu sudah berganti ataupun masih kekal balutan yang sama tempoh hari.

“Berselera nampak, Tengku!” tegur Natasya bila melihatkan mee segera di dalam pinggan ketuanya hampir habis.

“Rezeki jangan ditolak.”

“Agak-agak kalau saya yang masak maggie ni, licin macam ni tak Tengku makan?” tanya Natasya lagi, membuatkan lelaki di sebelahnya tergelak kecil.

“Mungkin. Air untuk saya tak ada?” sekali lagi Tengku Harrys memandang Irish.

Seakan sudah memahami, Irish bangun kembali dan mengambil sebiji gelas di dalam kabinet. Dengan tenang dia menuang air ke dalam gelas tersebut sebelum dihulurkan pada Tengku Harrys, walau jantungnya serasa sudah tidak teratur lagi berdegup saat ini.

Thanks.”

Huluran dari Irish dicapai lalu diteguk minuman sejuk itu sambil mata masih tidak lepas terarah pada wajah di hadapan. Agak lama kali ini. Hingga tidak sedar kelakuannya diperhatikan oleh Insyirah dan Natasya. Kedua-dua gadis itu berpandangan sesama mereka. Bagai dapat membaca apa yang terlintas di fikiran masing-masing. Dan senyuman akhirnya terbit di bibir kedua-dua gadis itu, bagai mengerti dengan apa yang sedang berlaku.




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku