BAYANGAN GURAUAN
Special Teaser 8
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 15 September 2015
** ALHAMDULILLAH.. Bayangan Gurauan sudah diterbitkan pada Januari 2017 under Alaf 21 / Karangkraf & kini sudah berada di pasaran.. Anda boleh dapatkannya melalui belian secara online di Karangkraf Mall, melalui Whatsapp, di outlet Karangkraf & juga di kedai-kedai buku berhampiran anda.. Terima kasih semua yang setia dan sabar menanti BG selama lebih 3 tahun ini.. Salam sayang dari #HarrysIrish.... ^_^
Penilaian Purata:
(7 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
3208

Bacaan






SPECIAL TEASER 8 


LELAKI itu melangkah kemas menyusuri pantai yang beralun lembut dipukul ombak. Damai terasa hatinya menikmati keindahan milik Yang Maha Esa ini. Biar selama mana pun, takkan pernah dia jemu mencari ketenangan hakiki yang abadi sebegini.

Bersama sebuah gitar di tangan, dia terus mengayun langkahnya menuju ke suatu tempat yang agak terlindung dari orang ramai. Sememangnya dia memerlukan suasana begini untuk menenangkan diri dari segala yang bersarang di fikiran.

Lelaki itu kemudian menaiki sebuah batu besar dan mendaratkan duduknya di situ. Menikmati angin pantai petang begini sungguh menyenangkan. Diselang-seli kicauan burung, ternyata ia memberi lebih ketenangan. Seketika pandangannya dilontarkan jauh ke dasar laut yang terbentang luas di hadapan. Sejauh ingatannya terhadap seseorang di kala ini.

Sebuah keluhan dilepaskan. Keluhan yang terasa sungguh menyesakkan. Kalaulah dia tahu cinta akan rasa sakit begini, dia lebih rela untuk hidup menyendiri hingga hayatnya mati. Seperti prinsip hidupnya yang dulu. Mungkin jika dia masih tegar dengan prinsip itu, dirinya tidak akan menjadi seperti sekarang ini. Menjadi Tengku Harrys yang beku hatinya terhadap perempuan itu dirasakan lebih mudah dari menjadi Tengku Harrys yang inginkan kehidupan normal seperti kaum adam yang lain. Mendambakan seorang hawa di sisi. Mencintai dan dicintai, tetapi akhirnya cinta itu memakan dirinya sendiri.

“Perasaan cinta yang kau rasakan tu tak bersalah, Harrys. Ia datang tanpa kau minta. Ia adalah sebuah perasaan suci kurniaan yang Maha Esa. Sepatutnya kau rasa bersyukur kerana diberi peluang untuk merasakan semua tu.”

Tengku Harrys tersentak mendengarkan suara itu. Suara halus yang terbit dari dalam hatinya sendiri.

“Jangan salahkan diri kau sekiranya perjalanan cinta itu tidak seperti yang diharapkan. ALLAH menghadirkan hidup kau dengan seseorang mungkin kerana dua sebab. Sama ada dia ujian untuk kau atau dia adalah jodoh kau. Anggaplah ini satu ujian. ALLAH usik hati kau dengan ujian sebab DIA rindukan kau. Dia rindu dengan suara kau menyebut nama-NYA.”

Sekali lagi suara halus itu berbicara, membuatkan Tengku Harrys meraup wajahnya.

“Ya ALLAH...” Spontan nama itu meniti di bibir Tengku Harrys. Saat itu terasa separuh daripada beban yang ditanggung ditarik keluar perlahan-lahan dari jasadnya.

“Hati kita milik ALLAH, Harrys. Walau sekuat manapun sayang kau pada seseorang, simpanlah sedikit ia di dalam hati. Supaya bila suatu ketika nanti kau diuji, kau tidak akan terus rebah, sebaliknya masih ada kekuatan untuk kau bangun semula. Ingat! Walau digenggam sekuat manapun, andai ia bukan milik kau, ia akan terlepas jua.”

Suara itu terus membisikkan kata-katanya pada Tengku Harrys. Entah mengapa, saat ini jiwa lelaki itu terasa sebak. Adakah sudah tiba masa untuk dia melepaskan Irish pergi dari hatinya? Mampukan dia?

“Tapi jika sejauh manapun ia terlepas dari genggaman kau, andai ia memang sudah tertulis untuk menjadi milik kau, ia pasti akan kembali semula ke pangkuan kau suatu masa nanti. Jangan berhenti berdoa. Setiap yang berlaku ada alasannya. Dan kau takkan pernah tahu apa yang telah tersurat di sebalik rencana-NYA.”

Seulas senyuman kembali menghiasi bibir. Kata-kata akhir suara halus itu seakan memberinya nafas baru. Dan selepas itu suara halus tersebut terus menghilang bersama bayu yang berpuput lembut membelah langit petang.

Tengku Harrys melirik gitar di sisi. Gitar kesayangan itu dicapai lalu dibawa ke ribaan. Sesaat, petikan tali gitar mula kedengaran bersama suara nyanyian kecil mengiringi desir pantai.


Selalu ku mengharapkan kau akan segera pulang

Kau balik seperti dulu menghapuskan rindu yang sering menghantuiku

Semenjak kau datang di hatiku sayang semua resahku hilang

Diriku bukanlah seorang yang mudah menyerahkan cinta semudah kata


Ku mendambakan cinta indah seperti dulu

Kerna cintaku tak pernah rasa jemu

Biar hati bimbang aku terus menunggu

Benar kutahu kau tak pernah jauh

Kau di hatiku....


Petikan gitar terhenti. Saat itu juga Tengku Harrys tersedar sang mentari sudah bersedia menarik selimut malam membaluti tubuh.


** Teaser ini disertakan sekali bersama sebuah video.. You can watch the full video in my official FB, my blog, Wattpad and Youtube at https://youtu.be/YyYj9V-EfYU...



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku