I LOVE YOU ABANG SINGA
BAB 1
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 08 Oktober 2015
Penilaian Purata:
(39 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
11103

Bacaan







BAB 1

     “Kurang asam! Sewel punya bos. Tak guna!” Fail pengurusan yang aku pegang aku hempas di atas meja. Sakit sungguh hati aku. Kalau macam ginilah gayanya setiap hari, mahu kena serangan jantung aku dibuatnya. Bukan sakit hati dan jantung saja, mungkin juga kena sakit darah tinggi dan kancing gigi. Nasib tak baik kena sawan tarik sekali. Cis……

     Mengiggil tubuh aku menahan rasa marah yang seolah-olah mahu meletus macam gunung berapi Pinatubo kat Filipina tu. Dada aku urut perlahan-lahan. Astarghfirullahalazim… sabar Aleesya.. Bersorak syaitan sebab dapat merobohkan benteng kesabaran kau.

     “Kenapa yang?”

     Abang Syarif yang duduk selang dua meja daripadaku berdiri di hadapanku menegur dengan suaranya yang ‘lemah gemalai’. Semua orang dipanggilnya sayang, maklumlah orangnya berperawakan lembut, macam gaya encik ‘pon’ sikit pun ada. Tapi jangan tak tahu kalau angin puting beliungnya datang, mahu runtuh bangunan pejabat ini dibuatnya.

     “Bos datang bulan agaknya, sebab tu hari ini asyik nak mengamuk sahaja kerjanya.”

     Jawapan spontan yang keluar dari bibirku membuatkan Kak Norlela yang duduk di hadapan Abang Syarif ketawa. Cawan kertas yang berisi air mineral dihulurkan kepadaku. Bagus juga bos kami yang dahulu meletakkan mesen air di penjuru bilik tempat kami bertugas. Senang katanya, siapa yang dahaga, tak perlu berulang-alik ke pantri yang jauh sedikit dari ruang kerja kami.

     “Minum dulu Aleesya, kasi sejuk sikit hati kau yang panas tu,” Kak Norlela mengurut belakang badanku perlahan-lahan.

     Abang Syarif duduk di atas kerusi di hadapanku. Matanya tidak lepas memandang aku dan Kak Norlela. Tahulah aku ni cantik, tapi janganlah tenung aku macam tu. Tolonglah… Perasan sungguh kau ya Aleesya.

     “Apa yang bos marahkan sangat tu Leesya?” lembut saja suara Abang Sharif bertanya. Senyum tak putus terukir di bibirnya. Sejuk hati aku bila mendengar suara Abang Syarif yang lembut tu. Lembut-lembut dia pun, jangan tak tahu anak sudah nak masuk empat orang tau.

     Kak Norlela menepuk-nepuk bahu aku. Bersyukur sungguh aku kerana mendapat rakan kerja yang prihatin seperti mereka berdua. Aku mengenali mereka semasa menjalankan praktikal di sini tiga tahun dahulu. Dato’ Seri Hulawi tuan punya syarikat ini menawarkan jawatan kepada aku sebaik-baik sahaja tamat praktikalku di sini. Rezeki jangan ditolak betul tak?

     Graduan lain ada yang terpaksa menganggur berbulan-bulan lamanya untuk mendapatkan pekerjaan, tapi Allah permudahkan laluan kerjaya aku. Agaknya Dato’ Seri Hulawi puas hati dengan hasil kerja aku, kebetulan pula waktu itu Kak Intan setiausahanya akan berhenti kerja dua bulan lagi kerana mengikut suaminya berpindah ke Sabah.

     “Dia marah Leesya sebab katanya Leesya tak pandai menaip surat. Masuk kali ni sudah empat kali Leesya betulkan surat tu, semua arahan dia Leesya dah ikut, tapi bos tu tetap tak puas hati. Tertinggal satu tanda koma pun punyalah dia melenting marahkan Leesya. Tak boleh ke tegur orang baik-baik sikit.”

     Aku dah mula nak menangis. Sebak sungguh rasa hati aku. Dato’ Seri Hulawi dulu kalau aku buat silap, lembut sahaja bahasanya bila menegur, tapi penggantinya ini, masya-Allah…. Pantang aku buat salah sikit, asyik nak meletup sahaja kerjanya. Harap muka aje kacak, tapi perangai, hampeh…….

     Orang kata bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Tapi bos singa aku ni tak menurun langsung perangai ayahnya. Keluar daripada acuan, terus dia jadi kuih bantat agaknya. Tapi Damia Atuff adik perempuan dia elok saja budi bahasanya. Datin Seri Suzana, mummy dia pun punyalah baik dan tidak menyombong dengan semua staf di pejabat ni. Lama sangat duduk di luar negara, inilah hasilnya. Berlagak dan perasan bagus. Piiirah……. 

     Hah.. aku dah mula mengutuk boss singa tu. Masalahnya dengan orang lain boleh pulak dia cakap dan beri arahan dengan baik, tapi apasal dengan aku dia asyik nak naik angin saja. Hish…. Geramnya aku……..

     “Sabar ya Leesya. Ikutkan saja kehendaknya. Kita ni makan gaji kat sini dik.” Kak Norlela yang sudah lebih sepuluh tahun bertugas di sini menyabarkan aku. Matanya sesekali menjeling bilik bos. Takut kalau-kalau wajahnya tersembul di muka pintu. Tak pasal-pasal kena sembur pulak nanti.

     “Leesya sabarlah ni kak. Kalau tak sabar memang dah lama Leesya karate Abang S tu.” Hanya kami bertiga sahaja yang tahu makna S tu. Aku menggelarkannya Abang S sebab perangainya yang garang macam singa. S untuk singa…ABANG SINGA… hah amik kau…. Sesuai sangatlah tu. Pantang silap sikit asyik nak mengaum sahaja kerjanya. Cuma nasib baik dia tak ada kuku dan taring yang tajam macam singa tu. Kalau ada, tentu dah lama gamaknya badan aku ni carik-carik dikerjakannya. Maklumlah, cuma aku seorang sahaja mangsa yang suka sangat dijerkahnya. Tak guna punya boss….!!

     Tapi dalam garang-garangnya itu, dia mentadbir syarikat dengan baik. Banyak tender yang diperolehi. Hasil keuntungan semakin meningkat. Dia tidak lokek memberi bonus lebih kepada kami. Kebajikan pekerja dijaga dengan baik. Sama seperti daddynya yang prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh staf. Rakan-rakan setugas ramah dan mesra, ruang kerja yang disediakan pun selesa. Sebab tu aku masih bertahan di sini. Kalau fikirkan sikapnya yang tak memberangsangkan itu, memang sudah lama aku ca alif but dari sini. Angkat kaki ke syarikat lain. Kalau aku tak ada, baru kau tahu nanti.

     Masa mula-mula dia datang dahulu senyuman sentiasa terukir di bibirnya. Datang bersama-sama mummynya Datin Seri Suzana yang cantik bergaya. Semua orang ditegurnya. Lawatan peribadi sebelum mengambil alih tugas CEO daripada daddynya.

     Pertama kali Datin Seri Suzana memperkenalkan dia kepada aku sewaktu di dalam bilik Dato’ Seri, dada aku bagaikan mahu meletup apabila melihat senyumannya yang menawan tu. Hampir terlepas dulang yang aku tatang. Handsome weiii anak Dato’ Seri dan Datin Seri ni. Perlahan-lahan cawan yang berisi air Holicks minuman kegemaran Dato’ Seri aku letakkan di hadapannya.

     “So, awaklah Aleesya Syaurah yang akan jadi setiausaha saya nanti ya?”

     Dia memandang aku dari atas ke bawah. Meneliti penampilan aku yang biasa-biasa sahaja ini. Aku mengangguk-anggukkan kepala sambil meletakkan perlahan-lahan cawan minuman di hadapan Datin Seri Suzana yang duduk bersandar di atas sofa putih yang terdapat di ruang untuk tetamu dalam bilik Dato’ Seri itu.

     “Emir Haidar, bakal bos baharu awak.”

     Tangan kanannya dihulurkan kepada aku yang ketika itu mahu meletakkan minuman di hadapannya. Yang dia ni pun satu, masa aku nak letakkan cawan tu, masa itulah juga dia hendak bersalaman dengan aku. Perbuatan yang menyebabkan tangannya tersinggung cawan yang aku pegang. Tertumpah sedikit air dalam cawan tu lalu terkena lengan baju kemeja berwarna hijau yang dia pakai.

     “Hei, macam mana awak buat kerja ni hah!”

     Macam petir suaranya menengking aku di hadapan Dato’ Seri dan Datin Seri. Tergamam mereka berdua. Aku apa tah lagi, mengiggil terus. Rasa macam nak menangis bila kena tengking. Bukan salah aku pun. Dia yang tersinggung cawan tu, aku pula yang dimarahinya. Hilang semua senyuman di bibirnya. Bengis sungguh wajahnya ketika itu. Nampak garang sungguh. Seram aku dibuatnya.

     Malu betul aku dengan Dato’ Seri dan Datin Seri. Mata sudah mula terasa pedih, sekejap lagi mesti hujan. Aku sudahlah lembut hati, kena tengking mahunya aku tak rasa nak menangis. Aku cuba menahan air mata daripada menitis di pipi. Ini baru sedikit, macam manalah agaknya aku nak bekerja dan menghadapi dia setiap hari nanti. Habislah aku…..

     “Maaf Tuan Emir, saya tak sengaja.”

     Tergagap-gagap suara aku meminta maaf. Takut aku nak pandang wajah dia yang menyinga itu. Bukannya basah lecun pun lengan baju dia, sikit sahaja terkena tumpahan air tu, tapi marahnya dia macam kena simbah dengan sebaldi air le pulak.

     “Banyak le awak punya maaf. Awak ni kan mem….”

     “Emir… sudahlah tu Aleesya tak sengaja kan. Lagipun dia sudah minta maaf tadi. Bukannya kotor sangat lengan baju tu. Sikit saja kan.”

     Datin Seri Suzana memotong pantas percakapan anak sulungnya itu. Kasihan pula melihatkan mata Aleesya Syaurah yang sudah merah menahan tangis. Malu kena tengking dengan anak bujangnya.

     “Aleesya awak keluar dulu ya. Kalau saya perlukan apa-apa nanti saya panggil awak.”

     Dato’ Seri menyuruh aku keluar. Nasib baik dia mencelah. Kalau tidak, mahu aku jadi patung cendana di situ menahan telinga mendengar cemuhan bakal bos baharu aku yang garang macam singa tu.

     Rasanya itulah kali pertama dan terakhir aku melihat senyuman yang terukir di bibir lelaki itu. Dengan aku ajelah dia tak senyum, tapi dengan orang lain bukan main manis senyumannya. Sejak peristiwa itu berlaku, aku ni dibuat macam musuh. Cakap tak pernahnya lembut. Tinggi sahaja nada suaranya. Marah sungguh gamaknya dia dengan aku ni, ishh…

     Abang Syarif kalau nak berjumpa dengan dia mesti tanya abang kau ada tak? Sejak itu panggilan abang dan bukannya bos melekat terus di bibir dia. Aku siap tambah S lagi di hadapan panggilan abang tu. Bukan Abang Sayang tau, tapi Abang Singa… kalau dia tahu, mahu empuk kami kena rebus dengan bos garang tu.

     Masalahnya dia cuma garang dengan aku. Dengan orang lain, dia okey aje. Penatlah melayan orang yang ada masalah angin puting beliung ni. Entah bila agaknya hidup aku nak tenang. Nampak gayanya aku kena cari kerja lain kalau hendak hidup aman.

     “Aleesya Syaurah…..Masuk bilik saya sekarang!!!” Terputus terus ingatan aku pada kenangan semasa aku ‘berkenalan’ dengan mamat singa tu.

     Aku mengurut dada kerana terperanjat dengan jeritannya. Nasib baik jantung aku masih sihat lagi, tapi kalau sudah setiap hari kena jerkah mahu lemah terus jantung aku.

    “Pergilah masuk cepat Leesya. Entah apa hendaknya Abang S kau tu.”

     Abang Syarif dah mula menyengih. Tangan sudah meliang-liuk menyuruh aku pergi. Tahulah awak tu jurulatih tarian untuk kumpulan tarian di jabatan kami ni. Melentik-lentik sahaja jari dia. Baru aku nak meredakan ketegangan dalam jiwa aku ni, bos singa tu sudah panggil balik. Menyampah betullah……………

     “Sabar Leesya… Selawat banyak-banyak biar lembut sikit hati Abang S kau tu. Orang kata marah tanda sayang.”

     Kak Norlela menyabarkan aku. Sepakat aje dia dengan Abang Syarif tersenyum. Nak mengusik aku le tu. Ada ka…. Sayang konon… piiiirahhh… Orang kalau sayang, tak adanya asyik nak melenting macam orang meroyan. Banyaklah dia punya sayang. Tak hingin aku dia jadi abang aku. Tak ada abang pun tak apa kalau gitu le gayanya sikap dia.

     Pintu bilik aku ketuk perlahan-lahan. Tak mahu kena sembur macam dulu sebab terlupa nak ketuk pintu. Ayat penenang hati aku baca berkali-kali. Apalah bos aku hendak kali ini.

     “Bos hendak apa panggil saya?” Aku terus bertanya. Malas nak berbasa basi lagi. Tajam saja renungan matanya. Macam mata pembunuh bersiri le pulak aku tengok. Marah le tu aku tanya macam tu. Pantang lepa sikit, asyik nak panggil orang aje kerjanya. Macam aku tak ada kerja lain yang hendak dibuat, asyik kena mengadap muka dia saja. Setiap hari kena jerkah, aku sudah tidak takut lagi dengan dia. Sudah mangli kata orang.

     “Air saya mana?” Amboi bos…. nak minum tak reti-reti nak minta dengan baik ke. Kureng betul budi bahasanya ye.

     “Aik… bos ada suruh saya buat air ke tadi?” Entah bila masa tah dia suruh aku buat air. Marah aku adalah pasal surat tu tadi.

     Matanya dikecilkan. Macam nak telan orang saja gayanya. Eleh… macamlah aku takut. Walaupun sebenarnya kecut juga perut aku, tapi sengaja aku buat-buat berani. Jangan tunjukkan ketakutan aku depan dia, itu kata Datin Seri Suzana. Nanti lagi seronok dia buli aku. Bagus juga nasihat mummy bos singa aku tu kan.

     “Menjawab…menjawab..! Kalau saya tak mintak, tak reti-reti nak buatkan air untuk saya. Kan sekarang ni waktu minum saya.” Adoilah bos singa aku ni. Sabar ajelah Aleesya…

     “Kali ni bos nak minum air apa? Yang sejuk ke atau yang panas?” Sengaja aku bertanya. Kepala dia pun bukan betul sangat. Bila aku buatkan air Milo, dia suruh tukar buat air teh. Bila aku sudah buatkan air teh panas, dia mahu teh sejuk pula. Baik aku tanya siap-siap, kang aku juga yang teruk kena berulang alik ke pantri melayan kerenah bos singa aku ni.

     “Yang awak tanya banyak sangat ni kenapa? Macam tak tahu pula minuman kesukaan saya. Dah berapa lama awak kerja kat sini?” Hah…. Dah mulalah tu. Sengaja nak buat aku gelabah. Ada juga kang yang kena sumbat dengan cawan mulutnya nanti. Geram betullah….

     “Yalah, saya mestilah tanya dulu. Minuman kesukaan bos banyak. Nanti kalau saya buat air teh, bos suruh tukar buat air kopi, bila dah buat kopi, bos suruh buat air….”

     “Banyak cakap pulak awak hari ni ya. Buatkan saya air Milo panas. Hah… apa tunggu lagi, pergilah buatkan sekarang!” Tak sempat aku habiskan kata-kata, cepat sahaja dia potong cakap aku.

     Kan senang kalau beritahu aku awal-awal macam tu. Tak adalah aku merepek bagai depan dia. Ingat dia saja ke yang tahu nak sakitkan hati aku. Aku pun pandai menyakitkan hati orang tau. Cuma aku ni lebih berhemah daripada dia. Pantas aku melangkah keluar dari bilik dia. Panas seh...… walaupun pendingin hawa terpasang kuat, tapi dalam bilik bos singa tu berbahang saja aku rasa.

     Air Milo dan sepiring kuih cara berlauk yang aku bawa dari rumah aku letakkan di hujung meja. Kepalanya yang menunduk ketika membaca dokumen di hadapannya, diangkat sedikit. Matanya menjeling air dan kuih yang baru sahaja aku letakkan.

     “Cubalah senyum sikit bos, masam aje muka tu. Udah macam asam kelubi pulak bila aku tengok.” Berani kau nak cakap macam tu depan dia Leesya. Kena pancung baru kau tahu. Kutuk dalam hati aje sudahlah ya. Ishh… banyak dah dosa aku sebab asyik mengutuk bos singa aku ni.

     “Saya ada mintak kuih ke tadi? Saya cuma nak air saja kan. Awak ni pekak agaknya ya?” Amboii… bagus betul bahasa dia kan. Ada saja benda yang boleh dia jadikan isu untuk mengenakan aku. Tapi, tak apa. Aku tak heran pun. Telinga aku ni pun sudah jadi kalis sebab sudah biasa kena kutuk dengan dia. Kalis kutukan gitu..

     “Bos, arwah ayah saya kata, rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari. Kalau banyak musuh, nanti ramai yang membenci.” Hah… amik kau... Eksyen sangat. Kan dah kena ‘libas’ dengan aku.

     Hampir setahun menjadi setiausahanya aku sudah masak sangat dengan kelakunya. Mulut aje kata tak nak, tapi mata tak henti-henti menjeling kuih yang aku letak di hadapannya itu. Macam aku tak tahu dia belum bersarapan lagi pagi ni.

     “Bos kalau tak ada apa-apa lagi, saya pergi dululah ya. Nak betulkan balik surat yang bos kata saya buat macam kerja budak darjah satu tu,” kena kau sedas lagi. Kaki melangkah menuju ke muka pintu. Belum sempat tombol aku pulas, suara dia yang ‘lemak merdu’ tu menyapa gegendang telinga aku.

     “Ada saya suruh awak keluar ke? Duduk sini dulu!”

     Lambat-lambat aku melangkah balik untuk duduk di hadapannya. Apa lagilah yang dia hendak ni… walaupun hati aku geram, tapi aku layankan sahaja kerenahnya. Kan dia tu bos, aku ni cuma pekerjanya sahaja. Jadi semestinya aku patuh pada perintahnya.

     “Angkat air dengan kuih ni, saya nak bersarapan di sofa tu,” tak sempat aku labuhkan punggung atas kerusi, satu demi satu arahannya keluar. Tadi kenapa tak beritahu aku awal-awal yang dia hendak bersarapan di situ?

     Memanglah dia ni, kalau tak menyusahkan aku, bukan bos namanya kan... Aku ikutkan sahaja arahannya. Tak boleh membantah. Entah apa angin bos singa aku pagi ni nak bersarapan di ruang tempat melayan tetamu.

     Aku duduk di atas sofa berhadapan dengannya. Senyap aje dia menikmati kuih cara berlauk yang aku masak sendiri. Sedaplah tu agaknya, kalau tak sedap mesti dia sudah melenting suruh aku buang kuih tu dalam tong sampah.

     Sesekali matanya menjeling aku. Aku buat-buat selamba saja. Habis seluruh ruang dalam bilik tu aku pandang sebab nak mengelakkan mata aku daripada bertembung dengan anak matanya. Kemas saja susun aturnya. Siapa yang buat, kalau bukan aku. Puji diri sendiri nampak… he he he….

     Sampai habis air milo itu diteguk dan kuih cara berlauk satu pun tak tinggal, dia masih mendiamkan diri. Cakap ajelah yang dia hendak aku temankan dia bersarapan, kan senang. Ini tidak, buat aku macam tunggul aje kat situ. Dahlah kerja atas meja tu banyak yang perlu aku bereskan. Tak faham betullah aku dengan bos aku yang sorang ni.

     “Awak sudah buat apa yang saya suruh semalam?” Terkejut aku dengan pertanyaannya itu. Apa taknya, ralit sangat melayan perasaan.

     Wajah bos singa yang tampak segar pagi ini aku tenung. Terkesima sekejap. Kacaknya dia.. Berani ya kau Leesya tenung anak teruna orang. Ibu jari dan jari telunjuknya dipetik beberapa kali di hadapanku. Kus semangat…. kan dah termalu sendiri.

     “Aaa..pa bos tanya tadi?” Tergagap-gagap aku jadinya. Serta merta air mukanya berubah.

     “Saya tanya awak sudah buat ke belum apa yang saya suruh semalam?” Sudah meninggi balik nada suaranya.

     “Kerja yang mana satu bos? Banyak sangat yang boss suruh saya buat semalam.” Aku dah mula garu kepala.

     Cubalah cakap tu biar terang sikit. Suka sangat buat kepala aku ting tong. Aku tayang muka blur, takut dia melenting. Aku nampak dia menarik nafas panjang. Nasib baik perutnya sudah kenyang, kalau lapar, mahu ditelannya aku hidup-hidup.

     “Saya suruh awak buat tempahan makan malam di Restoran Villa Danelli untuk malam ini. Sudah buat ke belum?” Masih tinggi lagi nada suaranya. Wajah aku dipandangnya semacam. Geramlah tu. Itu pun nak marah. Tak boleh tanya aku baik-baik ke?

     “Oh, yang itu. Saya sudah buat bos. Bos hendak makan malam di Restoran Villa Danelli, di Hotel Sheraton Imperial tu kan? Beres semuanya bos.”

     Aku melemparkan senyuman kepadanya. Tapi, hapah pun tak dibalasnya. Ustazah aku kat sekolah dulu kata, senyum itu satu sedekah. Tapi bos singa aku ni kedekut nak bersedekah. Lokek sungguh senyumannya.

     “Awak boleh keluar sekarang. Kalau dah siap surat-surat tu, letak atas meja saya. Lagi satu, saya tidak mahu diganggu kalau tak ada hal yang penting.” Serius sahaja wajahnya.

     Perghhh… lega. Cepat-cepat aku bangun dan mengangkat cawan dan piring kuih yang sudah kosong.

     Malam ni dia hendak berdating dengan kekasih dia di Sheraton Imperial, aku jugak yang kena buat tempahan tempat untuk dia. Entah bila aku dapat merasa belanja bos singa aku ni. Sabor ajelah…



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku