I LOVE YOU ABANG SINGA
BAB 2
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 08 Oktober 2015
Penilaian Purata:
(5 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
5531

Bacaan






BAB 2

     Pintu bilik aku ketuk tiga kali. Aku melangkah ke dalam setelah mendengar suara menyuruh aku masuk. Fail yang sudah lengkap aku siapkan, aku letak dalam tray yang terdapat atas meja bos aku. Sekilas sahaja dia menjeling aku. Bos singa aku ni kalau sudah leka dengan kerjanya boleh lupa dunia. Tenggelam dengan kerja yang menimbun. Tak peduli dia dengan alam sekelilingnya.

     “Errr… bos, dah nak dekat pukul satu ni, bos tak nak pergi makan ke?” takut-takut aku bertanya.

     Pen yang dipegangnya diletakkan di atas meja. Soalan aku langsung tidak dijawabnya. Kedua-dua belah tangan diraupkan ke mukanya. Badan dan kepala disandarkan ke kerusi. Kelopak matanya dirapatkan. Huii… Terpegun aku bila tengok aksinya yang mengancam tu. Ah sudah, tak boleh tunggu lama-lama kat dalam bilik ni. Baik aku keluar cepat-cepat.

     “Bos, jangan lupa tandatangan cek pembayaran untuk pembekal ni ya. Saya sudah susun dalam fail ni.” Fail berkulit keras aku letakkan di hadapannya.

     “Saya keluar dulu bos, nak pergi makan. Kalau ada apa-apa tugas, bos beritahu saya lepas saya makan nanti ya.” Kena cakap macam gitu, kalau tak, waktu makan aku pun sibuk dia menganggu. Suruh buat itulah, buat inilah. Bikin hangat hati aku aje. Uikss… Diam aje bos aku ni. Pelik juga kan.

     “Bos nak kirim apa-apa ke? Boleh juga saya belikan.” Wajahnya aku pandang sekali lagi sebelum melangkah keluar. Dia menggeleng-gelengkan kepala. Macam tak larat sangat. Masih kenyang lagi agaknya sebab banyak makan kuih cara berlauk aku tadi.

     Cepat-cepat aku keluar sebelum dia perintahkan aku buat ntah apa-apa kerja. Kak Norlela dan Abang Sharif sudah menunggu di lobi. Hari ini Abang Sharif nak belanja kami makan nasi ayam Hainan yang sedap tu. Maklumlah orang baru dapat duit hasil jualan kebun kelapanya di kampung.

     Restoran Warisan Bonda penuh dengan pengunjung ketika itu. Kalau waktu makan tengah hari memang sentiasa penuh dengan pelanggan yang ingin mengisi perut. Bukan jauh mana pun restoran itu dengan pejabat kami. Lima minit berjalan kaki sudah sampai. Nasib baik ada meja kosong untuk kami bertiga. Sebaik-baik sahaja kami melangkah masuk, ada pelanggan yang sudah selesai menjamu selera. Memang rezeki kami. Pesanan dibuat oleh Abang Sharif, dia yang hendak belanja kami kan, jadi biarlah dia yang membuat pilihan.

     Abang Syarif ni bukan sahaja ada kebun kelapa, malah dia juga ada kumpulan tariannya sendiri yang sentiasa mendapat jemputan membuat persembahan kebudayaan di sekitar Lembah Kelang. Dulu dia bekas penari kebudayaan. Sekarang ni pun dia yang menjadi jurulatih pasukan tarian di jabatan kami di samping menyandang jawatan sebagai pengurus operasi. Ralit kami bersembang sementara menunggu pesanan kami sampai.

     “Tahun ni hari keluarga syarikat kita Dato’ Seri nak buat di Avani Goldcoast, Sepang. Macam-macam acara yang sudah diatur untuk memeriahkan lagi hari keluarga syarikat kita.” Kak Norlela yang merupakan ahli jawatankuasa urusetia hari keluarga membuka cerita.

     Seorang pelayan lelaki meletakkan tiga pinggan nasi ayam Hainan di meja kami. Sepinggan besar paiti turut diletakkan sama berserta tiga gelas besar air tembikai.

     “Huiii… mahu sampai malam ni kita kekenyangan Kak Lela.” Aku mencapai paiti yang berintikan lobak, taugeh dan sengkuang berserta sos cili yang sedap. Rangup sahaja kulit luarnya bila dikunyah.

     “Tahun ni akan diadakan pertandingan tarian tradisional antara jabatan. Kau jangan tak masuk pulak Aleesya untuk wakil jabatan kita. Satu kumpulan lapan orang. Empat lelaki dan empat perempuan. Dalam jabatan kita ada dua puluh enam orang staf. Kita ambil bahagian dalam pertandingan tarian, biar staf yang selebihnya masuk acara lain.” Abang Syarif sudah membuat perancangan rapi.

     “Acara sukaneka macam biasa mesti ada. Pertandingan bola tampar pantai dan futsal pantai pun ada. Masa jamuan makan malam baru pertandingan tarian dan pertandingan karoke dijalankan.”

     Kak Norlela menambah maklumat untuk pengetahuan aku dan Abang Syarif. Sedar tak sedar nasi ayam yang kami makan sudah tinggal separuh. Kalau orang belanja, semuanya aku rasa sedap. Percuma le kata kau.

     “Kalau Leesya tak masuk, tak boleh ke Abang Syarif?” Sengaja aku nak tengok reaksi dia. Abang Syarif kalau dah membebel, kalah Mak Jemah. Seronok aku mengusiknya. Turun naik nada suaranya ketika bercakap selalu membuat unit kami gamat dengan gelak ketawa. Lawaknya selamba sahaja. Tapi kalau bos singa tu ada kami semua jadi alim, senyap sunyi sampai nak bercakap pun tak berani.

     “Kau jangan nak mengada-ngada ek Leesya. Abang tahu kau bekas penari kebudayaan masa di universiti dulu. Abang kenal kau sebab abang pernah jadi hakim pertandingan tarian antara universiti. Kumpulan kau yang menang masa pertandingan tu kan?” Melentik-lentik jari telunjuk Abang Sharif ditala ke muka aku. Lawak aje bila dengar cara dia bercakap.

     “Kita buat latihan lepas waktu kerja di studio dekat dengan rumah abang. Abang ingat kita buat tarian rampai. Kita gabungkan tarian joget dan zapin. Tuan Hazlin, Zariani, dan Fauziah anak dara tiga orang tu akan join kita sekali. Mereka pun biasa menari. Yang lelaki pulak selain abang, Ahmad Badawi, Zulkifli, dan Azhar akan turut serta.”

     “Huii… tak sabar abang nak latih korang menari. Mesti menang punyalah kumpulan kita.” Abang Syarif dah mula berangan. Belum bertanding lagi, dia sudah isytiharkan kumpulan kami sebagai pemenang. Perasan sungguh.

     “Kita berlatih senyap-senyap tau bang. Jangan beritahu Tuan Emir, Leesya masuk sekali pertandingan tarian tu. Tak mahulah dia tahu. Nanti tak habis-habis Leesya jadi bahan kutukannya.”

     “Bukannya akak dan abang tak tahu macam mana sikap dia pada Leesya. Setakat ni ada berapa kumpulan yang sudah daftar untuk bertanding kak?” Wajah Kak Norlela yang sedang menghirup jus tembikai aku pandang. Walau pun sudah beranak tiga, Kak Norlela masih cantik dan menawan. Pandai dia menjaga penampilan dirinya.

     “Ada empat kumpulan yang akan bertanding. Setiap kumpulan mewakili jabatan masing-masing.”

     “Akak rasa kumpulan dari jabatan kewangan adalah pesaing kita yang paling rapat. Macam le kau tak kenal dengan Roslina yang gedik tu. Dia siap upah jurulatih luar lagi untuk melatih kumpulan tarian dia. Akak tengok macam kayu aje kaki dan tangan dia masa menari. Tapi masih ada hati juga nak masuk bertanding tu,” tergelak aku dengan Abang Sharif mendengar kata-kata Kak Norlela. Macam-macam hal akan dilakukan untuk menang.

     Siapa yang tak kenal dengan Roslina Zahidin akauntan di jabatan kewangan tu. Semenjak Tuan Emir Haidar mengambil alih jawatan daripada Dato’Seri Hulawi, setiap hari pasti mukanya akan terjongok di jabatan kami.

     Tahu sangat yang dia tu ada hati dengan bos singa aku. Macam-macam cara yang dia lakukan untuk mengurat bos aku, tapi kesian betul dengan minah tu, tak pernahnya dilayan oleh Tuan Emir Haidar. Dia layan minah tu sama macam dia layan staf yang lain. Sama rata layanannya. Kecuali aku ‘istimewa’ sikit dilayan oleh singa tu.

     Sedar tak sedar waktu berjalan dengan pantas. Seronok kami bersembang. Aku belikan sebungkus nasi ayam Hainan untuk Tuan Emir. Manalah tahu kot-kot dia lapar nanti. Suka hati dialah nak makan ke tidak. Aku tak kisah pun. Kalau dia tak mahu makan, boleh juga aku sedekahkan pada Pak Kassim pengawal keselamatan yang menjaga bangunan tu, dapat juga aku pahala.

     Selepas menunaikan solat Zohor, aku kembali ke mejaku. Pintu bilik Tuan Emir aku pandang. Pelik juga sebab hari ni dia tak keluar makan tengah hari. Kalau tidak, memang setiap hari dia akan jumpa buah hatinya yang cantik bergaya itu kalau buah hatinya tidak bertugas di angkasa. Orang bercinta dengan peramugari le katakan, sayang bebenor aku tengok Tuan Emir dengan Husnina Suraya. Gebu dan seksi orangnya. Memang padan dengan Tuan Emir yang kacak bergaya tu.

     Pintu bilik Tuan Emir aku ketuk. Senyap saja tak ada jawapan. Fail projek usahasama dengan syarikat perkapalan dari Korea aku dakap kemas. Perlahan-lahan aku pulas tombol pintu.

     “Aik… kosong aje, mana bos ni? Tak beritahu aku pun ke mana dia nak pergi.”

     Fail projek aku letakkan di atas meja. Kertas dan fail-fail lain yang berselerak aku kemaskan dengan berhati-hati. Takut nak usik sangat kerja yang sedang dibereskan oleh Tuan Emir. Nanti kalau dia tak jumpa apa yang dicari, aku juga yang susah. Tak cukup sehari aku kena ceramah dengan dia.

     Sebaik sahaja aku berpusing, gedebuk… aku terlanggar badan Tuan Emir yang berdiri di belakang aku. Entah bila masanya dia tercogok di situ. Cantik aje aku melekap pada dadanya yang bidang itu. Bau haruman minyak wangi yang dipakainya menyerbu hidung aku.

     “Oppss… Sorry bos saya tak sengaja.” Malu sungguh aku. Darah menyerbu ke muka. Hangat saja aku rasa. Cepat-cepat aku lepaskan pelukan tanganku di tubuhnya.

     “Lain kali kalau nak berpusing, pandang-pandang sikit orang yang ada di belakang ni. Mata tu letak mana?” Keras sahaja nada suaranya. Matanya menjeling aku. Terus dia menuju ke kerusi empuknya.

     Ada ka macam tu. Mana aku tahu dia ada di belakang aku. Masuk senyap-senyap macam penyamun. Buat orang terperanjat saja. Bukan salah aku pun. Dia memang suka buat darah aku mendidih. Tak lama lagi memang kena penyakit darah tinggi gamaknya aku ni sebab melayan kerenah bos yang macam singa lepas beranak ni.

     “Bos pergi mana tadi? Tak beritahu saya pun.” Malas aku nak melayan amarah dia tu. Kalau dilayan makin melampau nanti mulut dia berkicau.

     “Awak isteri saya ke nak ambil tahu ke mana saya pergi?” Apa punya cerdik soalan bos aku ni. Tak berfikir sebelum bercakap. Asyik nak menyembur orang sahaja kerjanya.

     “Memanglah saya bukan isteri bos, tapi saya ni setiausaha bos, merangkap PA bos. Saya kenalah ambil tahu semua pergerakan bos. Nanti kalau ada klien nak jumpa senang saya nak beritahu bos pergi ke mana.”

     “Di pejabat, saya ni kan umpama isteri bos. Segala keperluan bos saya yang sediakan. Bos jumpa siapa, meeting dengan siapa, semua saya perlu ambil tahu. Itu kan sudah memang kerja saya.”

     Hah… amik kau…. Panjang berjela aku menjawab. Wajah Tuan Emir aku pandang. Tiba-tiba aku nampak dia tersenyum. Bukan senyum mesra, tapi senyum yang sangat sinis… Macam mencebik pun ada. Eeee…geramnya aku…

     “Isteri, ya…” Dia senyum lagi. Senyum mengejeklah tu. Alamak… Mulut aku ni pun satu, cabul sangat. Apasal perkataan ‘isteri’ tu yang aku sebut. Geram punya pasal, habis tugas aku sebagai setiausaha aku kaitkan sebagai tugas isteri.

     “Betullah bos… Orang yang menguruskan hal-hal peribadi majikan di samping tugas-tugas rasminya yang mengurus urusan surat-menyurat, menyimpan rekod, membuat kerja-kerja perkeranian dan sebagainya untuk majikan, ‘isteri di pejabat’ a.k.a setiausaha… Tak betul ke tu?” Sengaja aku bertanya balik. Biar dia sedar siapa aku ni.

     “Oleh sebab awak dah mengaku yang awak ni ‘isteri’ saya masa di pejabat, jadi saya nak awak sediakan makan tengah hari untuk saya. Pergi cepat siapkan, abang dah lapar ni!”

     Ngeee… menyampahnya aku… sengaja dia nak ambil kesempatan. Abang konon… Abang Singa adalah. Asyik nak memerintah orang saja kerjanya. Tadi orang tanya nak makan ke tidak, jual mahal sangat. Nasib baik aku ada belikan makanan untuk dia.

     “Abang nak makan kat mana? Kat pantri ke atau dalam bilik ni?”

     Hah... amik kau…Terbeliak mata dia bila aku panggil dia abang, bukannya bos. Nak kenakan orang konon, aku pun pandai mengenakan orang tau. Senyap terus mulut dia. Aku pulak hadiahkan senyum sinis pada dia. Sengaja aku lemparkan jelingan sebelum melangkah keluar untuk mengambil nasi ayam Hainan yang aku belikan untuknya tadi.

     Dalam hati aku gelak sakan sebab dapat buat lidah dia menjadi kelu. Tahu pun kau senyap ye abang singa. Jangan ingat aku tak berani nak menjawab sekarang ni. Cukup-cukuplah dia buli aku selama ini. Kali ini aku tak akan beri peluang kepadanya untuk mengenakan aku lagi.

     Datin Seri Suzana kata, hormat-hormat juga, tapi sesekali aku perlu melawan untuk mempertahankan diri. Jangan asyik kena buli dengan Tuan Emir. He he he… bagus betullah nasihat mummy abang singa tu.

     Sesekali kalau Datin Seri Suzana dan Dato’Seri datang ke pejabat, pasti ada nasihat yang diberikan untukku. Dia kasihan agaknya dengan aku sebab terpaksa melayan kerenah anak bujang dia yang garang tak bertempat tu.

     Emir Haidar mengusap dadanya yang tiba-tiba diserang rasa berdebar. Sudahlah tadi kena peluk secara tak sengaja oleh Aleesya Syaurah. Lepas tu selamba sahaja dia panggil aku abang. Kelu terus lidah aku. Nak marah pun tak boleh sebab suara macam sudah tersekat di kerongkong. Makin hari semakin berani dia menjawab sekarang.

     Spontan senyuman terukir di bibirnya. Ada perasaan halus menyelinap dalam hati bila perkataan ‘abang’ itu disebut oleh Aleesya Syaurah tadi. Perasaan yang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata. Pelik sungguh rasa itu.

     Duduk dibetulkan sebaik sahaja Aleesya Syaurah melangkah masuk dengan menatang dulang yang berisi nasi ayam dan sebotol air mineral berserta sebiji gelas. Pantas sahaja dia melangkah menuju ke sofa dan meletakkan makanan di atas meja di situ. Cekap sahaja tangannya menyediakan hidangan makan tengah hari untuknya. Leka dia memerhatikannya.

     “Bos, makanan saya sudah siapkan. Bos makan dulu ya. Nanti dah siap makan, bos panggil saya. Jemput makan bos. Saya keluar dulu.”

     Cepat-cepat aku bangun setelah selesai meletakkan makanan di atas meja. Hati tiba-tiba jadi segan bila mengingatkan keceluparan mulut aku tadi. Itulah berani sangat, tapi berani tak kena tempat.

     “Siapa suruh awak keluar? Duduk kat situ temankan saya makan. Itukan tugas ‘isteri’. Tak kan nak biarkan ‘suami’ makan sorang-sorang!”

     Ewah, ewah, ewah… Abang singa ni… Ambil kesempatan nampak. Menyesal pulak aku sebut perkataan ‘isteri’ tadi, kan tak habis-habis dia nak mengenakan aku. Aku layankan sahaja kerenahnya. Kalau melawan cakap dia, nanti aku juga yang jadi mangsa amarahnya. Aku buat muka selamba sahaja, walhal dalam hati rasa berbuku sangat-sangat. Ngeee… geramnya aku…

     “Bos pergi mana tadi?” Aku bertanya sambil menuangkan air mineral ke dalam gelas. Sengaja bertanya untuk memecahkan kesunyian. Duduk diam-diam mengadap dia makan bikin hati aku rasa tak senang.

     Sambil menyuap makanan, sempat lagi dia menjeling aku yang duduk di hadapannya. Asyik menjeling aje bos aku ni. Juling mata tu nanti baru tahu.

     “Saya pergi surau, solat Zohor.” Uikss… lembut pulak suara dia kali ni. Depan rezeki, tak baik mengamuk-ngamuk kan Tuan Emir.

     Aku ni dah betul-betul macam ‘isteri’ dia le pulak, melayan ‘suami’ makan sambil berbual-bual. Seram sejuk badan aku bila berdua-duaan macam gini dengan bos singa yang sudah menyimpan kukunya sekejap. Taring singanya pun aku tak nampak. Tekun betul dia menghabiskan nasi ayam dalam pinggan. Lapar sangatlah tu.

     Gelas yang dihulurkan oleh Aleesya aku sambut. Memang sudah sebiji macam ‘isteri misali’ yang melayan suami di meja makan. Seronok jugakan kalau ada ‘isteri’ di pejabat ni.

     Baru aku sedar hari ini rupa-rupanya aku sudah ada ‘isteri’. Wah… dalam kepala macam-macam agenda aku rangka untuk mendapatkan khidmat ‘isteri’ tak bertauliah aku ni. He he he… Siap kau Aleesya Syaurah…



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku