I LOVE YOU ABANG SINGA
BAB 3
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 08 Oktober 2015
Penilaian Purata:
(9 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
5038

Bacaan






 BAB 3

     Fail projek yang terletak atas meja aku capai. Aku selak isi di dalamnya. Hem… Lengkap semuanya. Tak ada kesalahan yang dilakukan. Tak ada peluang aku nak marah Aleesya kalau begini kemas dan teliti hasil kerjanya. Sekejap lagi pukul 3.30 petang, ada perbincangan dengan wakil dari syarikat Mahir Maju Holding pasal tender untuk menyewa dua buah kontena yang membawa pakaian dari Jepun.

      Teringatkan peristiwa dia mendapat ‘isteri’ tadi menyebabkan bibir menguntum senyuman. Kenapalah selama ini aku tidak perasan dan terfikirkan perkara itu. Bagus juga perkara itu ditimbulkan oleh Aleesya tadi. Layanan Aleesya ketika aku makan tadi membuatkan hati aku merasa senang. Walaupun setiap hari kena jerkah, setiausaha aku itu sabar sungguh melayan kerenah aku. Telinganya sudah kebal agaknya mendengar segala kata-kata aku yang kasar setiap hari.

     Aku pun tak tahu kenapa aku suka sangat nak menyakitkan hati Aleesya. Aku memang marah sangat dengan dia kerana peristiwa dia menumpahkan air pada baju kemeja yang aku pakai dulu. Bagi aku dia pekerja yang cuai. Perkara senang macam itu pun tak boleh buat dengan betul. Memang pantang aku kalau orang tidak cermat ketika membuat kerja. Pekerja yang cemerkap tidak sepatutnya ada dalam syarikat ni.

     Semenjak aku bertugas di sini, sudah macam-macam perkara aku lakukan untuk menyakitkan hati Aleesya. Biar dia tidak tahan dengan sikap aku. Kalau sudah sampai tahap tak boleh tahan dan hampir gila, ingatkan dia akan meletak jawatan, tapi makin tabah pulak dia menangani sikap aku yang kata mummy macam perempuan meroyan ni.

     Agaknya Aleesya sudah tidak hairan dengan sikap aku yang suka sangat mencari kesalahannya. Kering betul hati dia kan. Kalau dulu bila kena jerkah sikit mesti dia jadi perempuan cengeng, asyik nak menangis sahaja kerjanya. Tapi sekarang ni, aku marah macam mana pun selamba saja muka dia, siap melawan lagi. Dia sudah berani menjawab kata-kata aku sekarang.

     Bunyi interkom menyedarkan aku daripada terus melayan fikiran yang entah ke mana perginya. Asyik ingatkan pasal Aleesya Syaurah sampai tak sedar masa banyak terbuang begitu sahaja. Apa nak jadi dengan aku ni ntah.

     “Bos, Encik Fahmi Iskandar dan Encik Steven Lim dari Maju Mahir Holding sudah sampai. Boleh saya suruh mereka masuk jumpa dengan bos sekarang?” Lembut sahaja suara Aleesya aku dengar. Tiba-tiba rasa macam merdu pulak suara dia di telinga aku.

     Sudah kenapa dengan aku ni? Lupa pulak sekejap azam aku hendak menyingkirkan dia dari syarikat ini. Nampaknya makin hari makin susah pula aku hendak menjayakan misi aku ni.

      “Suruh mereka masuk. Hah, lagi satu, saya tak mahu terima sebarang panggilan masa kami sedang berbincang, faham!”

       Huh... dah mula nak cakap kasar balik bos singa ni. Tadi masa makan bukan main lagi dia bersembang dengan aku. Ingatkan sudah berubah. Rupa-rupanya tidak. Masa rehat, kena berehat sebentar daripada mengamuk kot, lepas tu masuk saja waktu kerja, sambung balik perangai cengilnya tu. Ceh… sengal punya bos.

     Aku bangun lalu membukakan pintu untuk mereka berdua. “Silakan masuk encik.” Senyuman manis aku hadiahkan kepada mereka berdua.

     Tiba-tiba darah aku rasa berderau apabila Encik Fahmi Iskandar mengucapkan terima kasih sambil mengenyitkan mata padaku. Nampak miang sangat senyuman yang dia beri. Tak herannya aku dengan kenyitan matanya itu. Sudah biasa sangat aku kena ngorat dengan pelanggan yang datang ke syarikat ini. Tak pernah aku lebih-lebih melayan mereka. Nak mati kena sembur dengan bos singa tu.


     “Awak nak kerja ke nak menggatal kat pejabat ni? Kalau nak menggatal, baik awak letak jawatan, pergi kahwin dengan lelaki yang mengurat awak tu! Jangan jadi perempuan gedik kat pejabat ni boleh tak!” Teruk aku kena bahan dengan singa tu dulu.

     Entah masa bila tah aku menggedik dengan pelanggan dia. Ada orang hantar bunga pada aku, yang dia nak hangin satu badan tu kenapa? Bukan aku mintak pun bunga tu.

     Nak kata dia cemburu, tak kanlah kot. Dia bukan suka dengan aku pun. Kalau tak cemburu, memang sah dia ada masalah organ dalaman. Masalah jiwa kacau. Tak boleh tengok aku senang sebenarnya.

     Sakit hati punya pasal, sengaja aku bawa masuk jambangan bunga yang aku terima ke dalam bilik dia. Aku masukkan dalam pasu dan letakkan di atas meja tetamu dalam bilik tu. Biar sakit mata dia memandangnya.

     Masa aku masuk ke dalam bilik itu untuk menghantar fail, aku lihat jambangan bunga itu sudah dibakul sampahkan. He he he… Amik kau… Marahkan aku, bunga tu yang jadi mangsanya. Ada aku kisah dia nak humban ke mana pun bunga tu. Suka hati awak le bos…

     Berhati-hati aku menatang dulang yang berisi tiga cawan air Nescafe. Boss singa tu, tak cerewet, semua air diminumnya. Tiga pasang mata memandang aku yang meletakkan air dan sepiring kuih cara berlauk di atas meja di ruang melayan tetamu itu. Aku buat-buat selamba sahaja. Tahu sangat mata tajam Tuan Emir tidak lepas memerhatikan aku melakukan tugas itu. Ingat Aleesya, jangan cemerkap lagi. Sekali terkena, sepuluh kali aku ingat.

      “Jemput minum encik.” Aku mempersilakan tetamu menikmati minuman yang aku hidangkan. Sekilas senyuman aku hadiahkan kepada mereka berdua.

     Muka bos singa manis sahaja, maklumlah ada tetamu dalam bilik tu. Cuba kalau tak ada orang, jangan harap dia nak senyum lebar macam tu depan aku. Kalau senyum pun, mesti senyum sinis atau senyum mengejek. Tak ikhlas langsung senyuman yang dia lemparkan untuk aku.

     “Leesya tak minum sekali?” Gatal aje bunyi suara Encik Fahmi Iskandar aku dengar. Meluat pulak aku tengok sengihan di bibirnya. Semacam aje bahasa badannya. Aku hanya tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala. Tak berani nak cakap banyak. Kalau dilayan lebih-lebih, mahu lepas tetamu balik bos singa aku ‘sekolahkan’ aku cukup-cukup. Dah banyak kali dia bahasakan aku. Jadi aku sentiasa beringat untuk mengawal mulut daripada bercakap banyak depan tetamu yang datang. Cepat-cepat aku angkat kaki keluar dari bilik itu. Seram bila terpandang jelingan bos singa aku. Ngeri weii…

     “Cantik setiausaha you Emir. Berkenan pulak I tengok. Sudah kahwin ke belum Aleesya tu?” ayat gatal keluar dari mulut Fahmi Iskandar.

     Aku hanya senyum saja, malas nak layan perangai buaya daratnya itu. Aku pandang muka Steven Lim. Dia hanya tersenyum sambil mengangkat bahunya. Kami faham sangat dengan sikap Fahmi Iskandar. Ada makna pertanyaan dia tu kan.

     “So, macam mana perbincangan kita tadi. You setuju ke dengan syarat-syarat yang terdapat dalam dokumen tu?” Sengaja aku lencongkan percakapan. Menyimpang daripada memperkatakan tentang diri Aleesya. Orang sedang berbincang pasal perniagaan, sibuk dia nak bertanya pasal setiausaha aku. Pantang tengok perempuan cantik, mulalah nak jual minyak urat.

     Lepas ni mesti tak henti-henti dia akan jalankan projek memikat Aleesya. Apa yang perlu aku buat untuk selamatkan Aleesya daripada buaya tembaga ni. Huh… pandai-pandailah dia nak jaga dirinya sendiri. Ada aku kisah? Yang aku menyibuk pasal dia apa hal?

     Perbincangan kami tamat dua jam kemudian. Nasib baik Aleesya tidak ada di mejanya semasa kami keluar dari bilik. Ke mana pulak perginya setiausaha bertuah aku ni? Nasib baik dia tiada di situ, kalau tak mesti sakit mata aku lihat aksi Fahmi Iskandar mengayat Aleesya.

     “Okey, Emir. Kalau semuanya berjalan lancar kita boleh teruskan projek ini. Kami akan datang balik bila surat perjanjian sudah siap disediakan. Tolong tetapkan tarikh untuk kami tandatangani surat perjanjian tu. Kami minta diri dulu. Kirim salam pada Aleesya, ya.” Huluran tangannya aku sambut. Sempat lagi tu menyelitkan nama Aleesya. Memanglah mamat kasanova ni, anak sudah berderet di rumah, masih nak menggatal lagi.

     Sekilas aku pandang jam di tangan kiri, sudah hampir pukul enam suku petang. Aleesya sudah balik agaknya. Cepat-cepat kaki aku hala ke surau. Solat Asar belum aku tunaikan. Lama kami berbincang, sampai meleret-leret ke hal lain. Nak dapatkan pelanggan, hati mereka kena jaga dengan baik.

     Bertembung dengan Aleesya di hadapan surau. Patutlah dia tak ada di mejanya tadi, di sini rupa-rupanya dia berada. Nampak bersih dan berseri sahaja wajahnya. Tak perlu pakai alat solek pun mukanya dah nampak cantik. Kecantikan semula jadi. Ishh.. apa yang aku merepek ni.

     Aku menjeling wajahnya sekilas. Menunduk saja dia. Macam takut nak pandang wajah aku. Hanya kami berdua sahaja di situ. Pejabat sudah mula lengang kerana kebanyakan pekerja sudah balik. Tegur aku pun tak, apa hal minah ni. Nasib baik aku dah lambat nak menunaikan solat Asar, kalau tak… sendiri mahu ingatlah Aleesya ya…

     Bos dah keluar, mesti perbincangan dengan wakil Maju Mahir sudah tamat. Lama betul mereka berbincang. Walaupun waktu pejabat sudah habis, aku terpaksa menunggu perbincangan mereka tamat. Tak kan aku nak balik dulu tanpa mengemas piring dan cawan yang ada dalam bilik tu. Mahu menyinga bos aku yang memang garang macam singa tu. Memang kena sangatlah nama dia dengan sikap cengilnya tu. Haidar kan bermaksud berani atau singa. Singa yang berani. Berani menjerkah aku setiap hari. Cis…

     Hanya tinggal aku berdua sahaja dengan Tuan Emir. Pantas aku mengemas meja. Meletakkan semua cawan dan piring di atas dulang. Cepat aku basuh semua cawan dan piring ni, cepatlah aku boleh balik. Sebelum dia keluar dari surau baik aku ke pantri cepat-cepat menyelesaikan semua tugas petang ini.

     Semasa hendak meletakkan cawan dan piring yang kotor ke dalam sinki, aku terjerit kecil bila ternampak lipas merayap di dalam sinki itu.

     “Kurang asam punya lipas. Buat aku terperanjat sajalah.” Geli geleman aku rasa bila melihat makhluk yang sedang merayap dalam sinki tu. Dua ekor pulak tu. Macam mana binatang ni boleh ada kat sini? Nak aku bunuh tak sampai hati. Tapi kalau tak dibunuh, mahu dia membiak dan beranak pinak dalam pantri ni.

     “Bunuh sajalah. Itu pun nak takut ke?” Suara kuat Tuan Emir memeranjatkan aku. Kurus semangat aku sekejap. Hampir terlepas dulang yang aku pegang. Bertuah punya bos. Nasib baik aku tak ada penyakit lemah jantung. Kalau tak, dah lama aku gol kat tepi sinki tu.

     “Saya gelilah bos. Bos ajelah yang bunuh lipas ni.” Aku berani-berani ayam menyuruh dia buat apa yang dia suruh aku buat tadi. Hah... sudah berbelit-belit ayat aku. Selamba aje dia mengambil mengambil cawan atas dulang yang aku tatang. Penyek dua ekor lipas tu kena tekan dengan buntut cawan. Lepas tu selamba sahaja dia campakkan lipas dan cawan tu dalam tong sampah. Selesai semuanya. Alamak... sayangnya dia buang cawan tu…

     “Penakut! Dah tua bangka, dengan lipas pun nak takut ke?” Selamba aje dia mengutuk aku sebelum dia berlalu keluar dari pantri tu.

     Emir Haidar menggeleng-gelengkan kepalanya. Bibir dicebikkan. Ingatkan kenapa tadi. Buat aku terperanjat sahaja bila mendengar jeritannya tadi. Lipas saja kot, bukannya ular. Nak marah lebih-lebih pun aku tak sampai hati. Pucat semacam aje muka dia tadi.

     “Cis… melampau betul bos singa aku ni. Aku bukannya takut dengan lipas tu, cuma geli aje.”

     Cepat-cepat aku membasuh cawan dan piring. Nampaknya esok kena ajak staf yang lain buat operasi pembersihan, takut ada lipas yang lain bersarang dalam kabinet dalam pantri ni. Eh, apa hal aku pulak yang nak buat kerja tu semua. Itukan tugas Mak Cik Gayah, cleanerdi pejabat ni. Siaplah dia esok…

     Selesai membasuh cawan dan piring, aku menuju ke meja aku. Beg tangan aku capai dan apa lagi, ca alif butlah… Lantaklah kalau Tuan Emir tak balik lagi. Malas aku nak tunggu, masa bekerja sudah tamat. Ni pun sudah dikira lewat aku balik. Kaki melangkah ke lif yang terdapat di hadapan jabatan kami. Apasallah lambat pulak lif ni. Lenguh kaki aku dibuatnya berdiri di hadapan lif.

     Bau minyak wangi yang biasa aku hidu begitu kuat menyapa hidung. Kepala aku toleh ke belakang. Alamak… Tuan Emir berada di belakang aku. Kenapalah lif ni tak sampai awal tadi. Terpaksalah aku berdua-duaan dengan bos singa ni dalam lif nanti.

     Aku melangkah ke dalam lif sebaik-baik sahaja pintu lif terbuka. Tuan Emir masuk dan berdiri di hadapan aku. Aku mengundurkan diri ke belakang hingga badan menyentuh dinding. Menjauh daripada bos singa tu. Susuk tubuh Tuan Emir aku pandang dari belakang. Nampak tegap dan bergaya. Rambut kemas bersisir rapi.

     “Dah puas awak belek badan saya? Ada yang tak kena ke?” Uiksss… Tak pandang belakang pun dia tahu aku sedang perhatikan dia. Hebat betul bos aku ni.

     ‘Memang ada yang tak kena dengan awak bos oii… Luaran nampak kemas dan segak, tapi yang di dalam tu... Ishhh… ada sedikit kureng.’ Berani kau cakap macam tu depan dia Aleesya. Sudahlah kau berdua sahaja dengan dia dalam lif ni, nanti entah apa yang akan dibuatnya. Eee… Ngeri aku… takut nak fikir kemungkinan yang akan terjadi. Baik diam dan kunci mulut tu rapat-rapat.

     Pak Kassim pengawal keselamatan syarikat menyapa kami berdua ketika kami bertembung di lobi. Aku membuntuti langkah Tuan Emir keluar dari bangunan pejabat.

      Mana pulak kunci kereta Persona aku ni? Sambil melangkah, tangan menggagau kunci kereta dalam beg. Aku tak pandang kiri dan kanan, leka mencari kunci dalam beg tangan. Kaki melangkah laju sampai aku tak perasankan Tuan Emir yang berjalan di hadapan aku. Buk… badan Tuan Emir aku langgar dari belakang.

     “Awak ni letak mata kat lutut ke Aleesya? Apasal dari tadi awak asyik mengekor saya saja? Nak ikut saya balik rumah ke?” Mata Emir Haidar mencerlung ketika memandang wajah Aleesya Syaurah. Bengang betul aku rasa bila dia tunjukkan wajah tak bersalahnya itu. Dah langgar badan orang, boleh pulak dia buat muka selamba saja.

     Bos aku ni memanglah... Sampai kat luar bangunan pejabat pun dia nak bahasakan aku. Ingat aku hadap sangat agaknya nak ikut dia balik rumah. Siapa tah yang mengekor dia? Perasan sungguh…

     “Mana ada saya ikut bos. Tak kanlah saya nak pergi ke tempat lain kalau kereta saya ada kat sebelah kereta bos ni.” Tajam renungan Tuan Emir di wajahku. Eleh… asyik nak merenung orang saja kerjanya. Hari ni sudah dua kali aku berlaga badan dengan dia. Bukan aku sengajakan pun. Ingat aku suka ke?

     “Menjawab aje kerja awak ya.” Pintu keretanya dibuka. Sempat lagi tu menjeling aku sebelum dia masuk ke dalam keretanya.

     “Menjeling aje kerja bos ya,” nak sangat aku cakap macam tu pada dia. Agak-agak kena sembur tak kalau aku cakap macam tu depan dia? Berani kau Aleesya? Hish... tak ingin aku. Nanti tak pasal-pasal aku kena dengar ceramah kat tempat pakir ni. Baik masuk dalam kereta cepat-cepat. Malam ni boleh berehat dan bergolek-golek atas katil dengan senang hati. Esok hari Khamis, cuti umum sempena Hari Wilayah. Tak payah nak menghadap muka bos singa tu esok. Seronoknya…



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku