I LOVE YOU ABANG SINGA
BAB 4
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 08 Oktober 2015
Penilaian Purata:
(13 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
5047

Bacaan







BAB 4

     “Turun bawah! Saya beri awak masa 15 minit untuk bersiap. Kalau awak tak turun, saya bunyikan hon kuat-kuat, biar kecoh kawasan ni. Hah, lagi satu, tolong pakai baju cantik-cantik sikit.” Tak sempat aku nak menjawab dia sudah mematikan telefonnya.

     Tak guna punya bos. Waktu malam pun dia nak ganggu aku. Kan sekarang ni bukannya waktu bekerja. Kacau orang saja malam-malam ni. Inilah masalahnya kalau dia sudah tahu di mana tempat tinggal aku. Suka sangat datang sini. Ikut suka hati dia aje. Mesti ada hal yang dia nak suruh aku buat. Dah malam dah ni, agak-agaklah bos oii…

     Telekung aku buka. Masa aku sedang membaca Al-Mathurat selepas solat Isyak tadi, bos singa tu telefon. Kenapa tah dia ni? Bukan ke malam ni dia ada dating dengan buah hati dia di Restoran Villa Danielli kat Hotel Sheraton tu. Apa hal pulak dia ajak aku keluar. Suruh pakai baju cantik segala bagai. Takkanlah nak suruh aku temankan dia pergi datingkot. Melampau tu…

     Gaun labuh daripada kain sifon berwarna merah bata dalam almari aku capai. Aku sarungkan tudung berlapis dua yang berwarna krim dan merah bata juga. Malas nak melilit shawl malam-malam buta ni. Bedak aku tepekkan di muka dan sedikit gincu aku oleskan ke bibir. Okey, siap. Tak perlu berhias lebih-lebih. Bukan aku nak pergi dating pun dengan bos singa tu. Entah ke mana agaknya Tuan Emir nak bawa aku.

     “Kau nak pergi mana Leesya?” Qasreena teman serumah menegur aku sewaktu aku keluar dari bilik. Dia duduk di atas sofa sambil menonton televisyen di ruang tamu. Kami berdua berkawan semenjak kami belajar di Sekolah Tun Habab, Kota Tinggi lagi. Masuk universiti yang sama dan sekarang ni menyewa pangsapuri tiga bilik di Jalan Jelatik.

     “Aku nak keluar dengan bos aku. Entah apa mimpi tiba-tiba dia ajak aku keluar malam ni. Tak boleh tengok aku senang sikit. Kalau tak mengacau aku tak sah agaknya hidup dia. Geram betul aku…”

     Kasut tumit tinggi dalam almari kasut aku keluarkan. Tombol pintu aku pulas sekuat hati. Aku bayangkan yang aku memulas kepala bos singa aku tu.

     “Entah-entah dia nak bawa kau pergi berjumpa dengan Dato’ Seri dan Datin Seri tak? Bawa balik calon menantu jumpa bakal mak dan pak mertua.” Qasreena ketawa terkekeh-kekeh. Sengaja nak mengenakan aku. Macamlah dia tak tahu layanan ‘baik’ Tuan Emir terhadap aku. Orang tu pun tak sudi dengan aku. Aku ni bukan taste dia.

     “Banyaklah kau punya calon menantu. Kalau dengan bos singa tu, seratus kali aku kena fikir dulu nak jadi isteri dia. Tak hingin aku. Kalau jadi isteri dia, mahu setiap hari aku makan hati berulam jantung. Boleh kurus kering badan aku nanti. Mahu aku jadi zombie. Garang weii bos aku tu.” Grill pintu aku buka sebelum menutupnya kembali.

     “Nasib hang le Bedah. Layankah sajalah bos singa hang tu.” Qasreena hanya ketawa sahaja sambil menggeleng-gelengkan kepala.

     “Kau tak payah tunggu aku Ena. Tak tahu pukul berapa aku balik.” Kaki menghala ke lif untuk turun ke bawah. Lambatlah pulak lif nak naik ke tingkat lapan ni. Masak aku macam ni.

     “Lambat!” itu perkataan yang keluar dari mulut Tuan Emir. Marahlah tu...

     Eleh… siapa suruh dia datang tak beritahu awal-awal. Salah sendirikan. Suka sangat paksa orang ikut cakap dia. Asyik nak mengugut orang saja kerjanya. Kang bila aku menjawab, tahu pulak dia marah. Malas aku nak layan. Baik diam daripada berkata-kata. Nanti aku juga yang kena bahan.

     “Bos nak bawa saya pergimana ni boss?” Sudah lebih sepuluh minit aku dalam kereta ni. Senyap aje bos aku ni. Langsung tak bercakap apa-apa. Tak boleh jadi ni. Baik aku bertanya awal-awal. Manalah tahu dia nak culik aku ke, nak bawa pergi Thailand ke? Ishh… Apa yang aku merepek ni. Kalau nak bawa aku lari, tak kan dia suruh aku pakai cantik-cantik.

     “Ikut saya pergi hotel.” Mulut saja bercakap, pandang muka aku pun tak. Mata tetap di dihala ke hadapan. Tenang saja dia memandu.Cantik aje aku tengok bila hujung bibirnya tertarik ke tepi. Senyum ada makna tu. Senyum nak mengenakan aku kot.

     “Hah… Ikut bos pergi hotel!” Dia nak buat apa bawa aku pergi hotel? Otak aku sudah mula fikir yang bukan-bukan. Dia nak apa-apakan aku ke? Tahulah dia benci sangat dengan aku. Mati aku kali ni. Mak tolong…

     “Buat apa pergi hotel bos? Bos nak apakan saya?” Aku dah mula cemas. Takut sangat ni. Mata dah mula merah dan perit. Nak menangis dah ni. Aku jerit kang baru dia tahu.

     Wajah tenangnya aku pandang. Dia menoleh ke sisi, memandang wajah aku sekilas. Fulamak… macam nak meletup jantung aku bila tiba-tiba dia tersenyum. Eh, eh… Bos singa ni senyum? Senyum ikhlas ke senyum mengejek? Aku dah tak dapat nak membezakan makna senyumannya itu.

     “Ikut ajelah. Jangan banyak cakap!” dia jeling aku geram.

     “Mana boleh main ikut aje bos. Nanti tah apa-apa tah bos buat pada saya. Baik bos hantar saya balik. Kalau tak, saya terjun dari kereta ni.” Pintu kereta aku pegang. Bersedia untuk membuka pintu kereta. Takut sungguh aku. Aku lebih rela mati jatuh dari kereta, daripada mati dikerjakan oleh bos singa ni.

     Tuan Emir membrek keretanya dengan tiba-tiba di tepi jalan. Nasib baik aku pakai tali pinggang keledar. Kalau tak memang pecah kepala aku menghentam cermin depan kereta tu. Kereta yang banyak lalu lalang di situ membunyikan hon dengan kuat. Gila betul bos aku ni. Nak membunuh orang agaknya dia ni.

     “Apa yang awak merepek ni Aleesya! Nak bawa awak pergi makan pun kecoh sangat ni kenapa?” Ah, sudah... tinggi nada suara Tuan Emir. Tajam matanya merenung aku. Marahlah tu. Marah dia aje yang dia kisah, marah aku dia tak tahu lagi. Sabar Leesya, sabar…

     “Cakaplah, bos nak bawa saya pergi makan. Tak adalah saya kalut sangat. Bos tak reti-reti ke nak beritahu saya awal-awal? Bukannya bos tak ada nombor telefon saya. Telefon ajelah, bukan susah sangat pun. Bos buat macam ni, sudah macam penyangak nak melarikan anak dara orang tahu tak!” Hah, amik kau… terperanjat punya pasal, macam bertih mulut aku meletup. Jarang-jarang aku membebel macam ni tau.

     “Apa awak panggil saya? Penyangak!” tinggi dan garang sahaja suara bos singa ni. Alamak… Aku ada sebut penyangak ke tadi? Bila hati sudah tenang sikit, barulah otak aku boleh berfungsi dengan baik. Masya-Allah… takut punya pasal, tak sedar aku tersebut perkara yang bukan-bukan. Siapa suruh dia buat aku cemas. Amik kau…

     “Er… sorry bos... Saya tak sengaja. Takut punya pasal saya ter…”

     “Baik awak diam. Jangan banyak cakap lagi. Nanti saya bawa awak lari betul-betul baru awak tahu. Kita nak pergi makan aje pun, bukannya nak pergi Siam!”

     Uiks… Macam tahu-tahu aje dia apa yang aku fikirkan. Kereta dipandu semula. Masam aje muka dia. Cis… cakaplah awal-awal nak ajak aku pergi makan. Tak adalah aku meroyan macam orang gila tadi.

     Inilah sikap dia yang paling aku tak suka. Kalau tak buat hidup aku kacau-bilau tak sah agaknya bos singa ni. Aku lontarkan pandangan ke luar kereta. Tak berani nak menoleh ke kanan lagi. Baik aku duduk diam-diam.

     Dari sisi aku perasan bos singa tu menjeling aku tak sudah-sudah. ‘Ya, Allah... kau sabarkanlah hati aku melayan kerenah bos aku yang mereng otaknya ni.’ Hah, kan... Tak pasal-pasal kena kutuk dengan aku. Bertambah lagi dosa aku mengata dia malam ni.

     Eh… Dia kata nak ajak aku pergi makan? Apa hal bos aku ni? Bukan ke dia ada dating dengan buah hati dia di Hotel Sheraton. Kenapa dia bawa aku sekali? Baru nak membuka mulut, serta merta aku hurungkan niat untuk bertanya. Teringat amaran dia tadi. Diam Aleesya!

     Sudahnya, sampai di Hotel Sheraton kami tak bercakap apa-apa. Keretanya dipakir di kawasan meletak kenderaan di tepi hotel itu. Tegang aje wajah Tuan Emir ketika membuka pintu keretanya. Sombong!

     “Tak reti-reti nak keluar. Nak saya gendong awak masuk ke dalam hotel tu ke?”

     Aduh… Sadis sungguh ayat bos singa aku ni. Macam tak ikhlas aje nak belanja aku makan. Pintu kereta pun dia tak bukakan untuk aku. Tak berhemah langsung.

      Engkau ingat kau ni siapa Aleesya oiii. Mengada-ngada hendak dibukakan pintu kereta segala bagai. Sedar diri sikit ya...



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku