I LOVE YOU ABANG SINGA
BAB 5
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 08 Oktober 2015
Penilaian Purata:
(13 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
4766

Bacaan






BAB 5

     Aku melingaskan mata memerhati dekorasi di dalam Restoran Villa Danelli itu. Restoran yang menghidangkan makanan Itali itu kelihatan penuh dengan pelanggan yang sedang menjamu selera. Aku pandang wajah Tuan Emir yang duduk di hadapanku. Segak sungguh dia malam ini. Berbaju kemeja berwarna ungu serta mengenakan vest di luarnya. Rambut bersisir rapi. Eh, dia baru potong rambut ke? Ralit aku membelek penampilannya malam ini.

     “Dah puas belek muka saya?” matanya merenung wajah aku. Dalam renungan matanya. Tersentak aku dengan tegurannya itu. Amik kau Leesya... kan dah kena. Tertangkap basah bila merenung anak teruna orang. Berani ya kau Leesya.

     “Bila bos gunting rambut?” Itu pulak yang keluar dari mulut aku. Sebenarnya nak tutup malu sebab terpergok semasa merenung dia tadi. Malunya aku. Sekali lagi aku mendapat jelingan percuma daripada Tuan Emir.

     Pinggan yang berisi Caesar Salad with Grilled Ckicken and Parmesan Shavings diletakkan di hadapan kami. Salad ayam aje kot, tapi boleh buat lidah aku berbelit untuk menyebut nama menu yang dipilih oleh Tuan Emir. Dua piring kekRosemary Crème Brulee yang dibuat daripada beri hitam serta sepinggan besar Piemontese Pizza diletakkan di hadapan kami. Pizza yang dibakar secara tradisional dalam ketuhar batu yang terdapat dalam restoran itu. Semerbak baunya menyerbu ke hidung. Rasa macam betul-betul berada di restoran yang terdapat di Itali.

     Setakat nak makan pizza, pergi ke Domino’s Pizza atau ke Pizza Hut pun tak apa. Harga pun lebih murah jika dibandingkan dengan harga di restoran ini, cuma Restoran Villa Danelli ini lebih selesa dan eksklusif tempatnya. Dekorasi di dalamnya sungguh cantik dan sesuai sangat untuk orang yang bercinta yang berduit bertemu janji di sini.

     Orang tu sudi nak belanja makan pun sudah bersyukur Aleesya oii… makan sajalah apa yang dia order, janganlah banyak cekadak pulak ya Aleesya. Tak baik mengutuk orang depan rezeki.

     Hati aku bagai digaru-garu ingin bertanya tentang buah hati kesayangan Tuan Emir. Mana dia, tak nampak-nampak pun mukanya sejak tadi?

     Makan dulu Aleesya, jangan tanya lagi. biar Tuan Emir habiskan dulu makanannya. Takut hilang pulak selera dia nak menghabiskan makanannya bila kau bertanya pasal Husnina Suraya yang seksi dan gebu itu.

     Air jus epal aku teguk perlahan-lahan. Tuan Emir pun sudah menghabiskan suapannya yang terakhir. Senyap aje dia sepanjang kami menikmati makanan tadi. Agaknya dia masih marahkan aku.

     Aku pandang pasangan yang makan di meja sebelah. Mesra sahaja mereka berbual dan bergurau senda. Aku ni nama saja duduk berdua-duaan dengan Tuan Emir, tapi kami macam musuh. Tak mesra langsung. Macam mana nak mesra kalau aku datang sini pun kena paksa. Rela dalam terpaksa namanya. Habislah masa rehatku malam ini kerana terpaksa melayan kerenah bos singa ni.

     “Bos, kalau saya tanya bos jangan marah ya.” Berhati-hati aku memulakan kata. Takut Tuan Emir melenting. Aku pandang wajah Tuan Emir yang sedang mengelap bibirnya dengan kain napkin. Segaknya dia. Anak matanya bertembung dengan mata hitamku. Gulp… darah sudah menyerbu ke muka. Aku jadi malu bila pandangan kami bersatu.

     “Awak jangan panggil saya bos kat sini boleh tak?”Dia menjeling aku sekilas.

     “Habis saya nak panggil apa? Tuan Emir boleh?”Aku renung wajahnya dengan perasaan hairan.

     “Apa-apa pun tak apa asalkan bukan bos atau Tuan Emir. Kita bukan berada di pejabat sekarang ni. Tolong jangan gunakan kedua-dua panggilan tu dalam restoran ni, saya tak suka!” Tangannya mencapai gelas jus epal yang ada di atas meja. Sempat lagi tu menjeling aku sebelum meneguk minumannya.

     Aikk… dah kenapa dengan bos aku ni. Blur sekejap otak aku mencerna kata-katanya tadi. Kalau dua-dua panggilan itu tidak boleh digunakan, aku nak panggil dia apa? Panggil dia singa boleh tak? Agak-agak kalau aku gunakan panggilan tu, mengaum tak dia malam ni? He he he… aku menyengih sendiri. Geli hati bila membayangkan dia mengamuk dalam restoran ni.

     “Kenapa awak tersengih?” Gulp… Perasan pulak dia dengan sengihan aku. Mati aku kena jerkah kalau dia tahu. Aku tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala.

     “Tak ada apa-apalah bos. Saya…”

     “Saya kata jangan panggil saya bos kan tadi. Degil ya awak ni!” Alamak… dia sudah marah...

     “Habis saya nak panggil bos apa?” Aku ulang balik soalan aku tadi. Kenapalah bos aku malam ni, pasal panggilan pun nak dijadikan isu juga ke?

     “Awak boleh panggil saya macam panggilan yang awak gunakan masa bertanya saya di mana saya nak makan, tengah hari tadi.” Terbit senyumannya selepas bercakap begitu. Wajah aku dijeling sekali lagi. Kepalanya ditoleh ke sisi kanan. Senyum masih mengulum di bibirnya.

     Panggilan masa makan tengah hari tadi? Omak aii… Tak kanlah kot? Mereng ke apa kepala bos aku ni. Dia nak aku panggil dia abang? Eee… Tolonglah. Tak tahu ke dia nak membezakan antara panggilan mesra dengan panggilan sindiran aku tengah hari tadi? Ada hati ya nak aku panggil dia abang. Maaf ya bos, tak hingin aku…

     “Tak naklah saya gunakan panggilan tu. Tak sesuai langsung. Saya panggil B sahaja boleh?” Mencerlung matanya merenung wajah aku. Senget balik bibir bos aku. Mesti dia sudah fikir yang bukan-bukan. Tengok senyum sengetnya pun aku sudah faham.

     “B…? B untuk baby ke? Hemm… I Like it…” Dagunya diusap-usap dengan tangan kanannya. Gosh… dia sudah mula perasan. Geli geleman aku weii…

     “B untuk bos, bukan baby. Tolong jangan perasan ya bos…”

     Apa ke halnya aku nak panggil dia baby. Awak tu siapa dengan aku? Sudah besar panjang macam ni nak aku panggil baby ke? Tolonglah… Tapi kalau di belakang B tu aku tambah S lagi cantik kan… BS untuk BOSS SINGA! Amik kau…

     “Hemm… B ya… Okey, awak gunakan panggilan yang tu. Lagi sekali awak panggil saya bos atau Tuan Emir, siap awak!” Eleh… Itu pun nak marah. Menyampah aku…

     “B, mana buah hati B yang cantik dan gebu tu? Kata nak dating dengan dia malam ni? Sampai kita sudah habis makan dah ni, bayang dia pun tak nampak-nampak lagi. Dia tak datang ke malam ni B?” musykil betul aku. Suruh orang buatkan tempahan meja untuk dia, tapi sudahnya aku pulak yang sedap-sedap makan malam ni dengan bos aku. Mana Husnina Suraya buah hati bos ni ek?

     Sedap pula bila dengar Aleesya panggil aku B. Rasa macam manja sangat panggilan tu kan. Rasa mesra sangat. Tak sangka otak dia boleh terfikir macam tu. Fikiran dia ni memang tidak boleh aku jangkau. Siang tadi ‘isteri di pejabat’, malam ni B pulak.

     Hemm… Kalau minta dia kekalkan panggilan tu di pejabat, hendak tak dia? Huii… jangan buat hal Emir oii… mahu meletup pejabat tu dengan gossip Mak Jemah. Aku ada skandal dengan setiausaha sendiri. Hish... tak mahu aku.

     “B…” panggilan Aleessya menyedarkan aku daripada lamunan. Aku tenung wajahnya yang tampak cantik malam ini. Selama ini, aku tak perasan sangat dengan lekuk di dagunya itu, manis pulak bila dipandang. Penampilannya walaupun nampak ringkas, tetapi kemas dan bergaya. Menarik sungguh, sejuk mata memandang.

     “B… dengar tak saya tanya apa tadi?” sebutan B yang manja dan meleret-leret buat bibir Emir Haidar tersenyum senget. Suka sangat dia mendengarnya…

     “Awak ada nampak dia kat sini tak?”

     Aikkk… aku tanya dia, dia tanya aku balik. Apa ke hal bos aku ni. Kalau itulah jawapannya baik aku jangan tanya banyak-banyak. Diam lebih baik daripada berkata-kata. Menyakitkan hati aje. Air dalam gelas aku sedut sehingga habis. Biar sejuk sikit hati aku yang panas ni.

     Senyap aje orang kat depan ni. Tadi bukan main lagi macam bertih jagung mulutnya. Meletup-letup bertanya itu ini. Tak seronok pulak suasana sepi macam ni. Wajahnya yang cerah itu aku teliti. Hemm… licin dan bersih kulit dia. Eh… Apa hal malam ini aku asyik merenung Aleesya sahaja. Sudah kenapa dengan aku ini?

     “Husnina tak dapat datang malam ini. Dia terpaksa bertugas menggantikan kawannya yang sakit. Penerbangan ke Hong Kong. Itu yang dia cakap pada saya.” Punyalah susah nak bercerita bos aku ni. Kan senang jawab sahaja apa yang aku tanya tadi. Dia ni memanglah, suka sangat bikin hati aku hangat.

     “Oh, sebab tulah bos ajak saya malam ni. Gantikan tempat dia ek? Kan bos boleh batalkan tempahan ni, tak perlulah nak ajak saya tadi.” Kacau masa rehat aku di rumah saja dia ni. Tajam renungan Tuan Emir. Gaya macam nak telan aku saja lagaknya. Aku dah salah cakap ke tadi?

     “Awak memang degil ya Aleesya.”

     Degil? Aku lawan pandangan Tuan Emir, dahi aku kerutkan. Takkanlah cakap macam tu pun dia nak kata aku degil. Memang pun aku sebenarnya tak ingin keluar malam ni dengan dia, tapi kalau dia sudah memaksa, terpaksalah aku ikutkan juga. Ingatkan hendak berehat sahaja malam ini, esok nak mengemas rumah dan melipat baju yang sudah berlonggok dalam bakul tu. Letih sangat balik dari pejabat sampai seminggu baju tidak berlipat.

     “Kenapa bos kata saya degil?”

     “Saya cakap apa tadi?” tajam renungan bos singa ni.

     “Bos cakap buah hati bos kena bertugas dalam penerbangan ke Hong Kong.” Lurus sahaja jawapan aku.

     “Bukan yang tu!” suara orang meradang sudah keluar.

     “Aik… kalau bukan yang tu, yang mana satu bos?”

     “Saya kata jangan panggil saya bos malam ni kan! Awak memang nak kena ya Aleesya.” Matanya dibesarkan. Bikin aku seram memandangnya. Nasib baik kami sudah habis makan. Kalau ikutkan hangat hati aku ni, hendak sahaja aku cabut, tinggalkan dia sorang-sorang dalam restoran ni. Orang sudah temankan dia, terima kasih pun tak ada. Asyik nak melenting saja bos singa aku ni. Sawan agaknya dia ni. Sawan panas baran…..

     “Oppss… sorry B…”

     Aduhlah boss oii… ingatkan apa tadi. Hal kecil pun hendak dibesar-besarkan. Bertekak perkara yang remeh. Siang malam asyik nak bertekak saja kami berdua ni. Ingat ni pejabat ke? Tak sesuailah untuk kita bergaduh di sini bos.

     Dalam geram, pandangan Tuan Emir aku lawan. Makin aku lawan renungannya, semakin galak pula matanya merenung anak mata aku. Uiksss… masing-masing tidak mahu mengalah.

     “Aleesya...” suara lelaki menegur aku dari sisi kanan. Nasib baik ada penyelamat. Kalau tidak, mahu panjang lagi drama tenung merenung antara aku dengan Tuan Emir berlaku.

     Kepala aku tolehkan ke sisi kiri. Serta merta air muka aku berubah. Jantung bagaikan mahu meletup. Apa dia buat di sini?

     “B… jom balik.” Cepat-cepat aku bangun, hendak melarikan diri daripada lelaki itu.

     Bencinya aku dengan dia. Tetapi pergerakan lelaki itu lebih pantas. Tangan aku disambarnya dan dipegang dengan kejap. Sekuat hati aku merentap pautan tangannya. Pantas aku melarikan diri di belakang Tuan Emir yang sudah berdiri kaku. Lengan Tuan Emir aku pegang kuat.

     Tajam renungan Tuan Emir merenung lelaki yang berdiri di hadapan kami. Aku tak peduli dengan banyak mata yang memerhatikan aksi kami bertiga ketika itu. Apa yang penting, aku hendak melarikan daripada lelaki itu.

     “Emir Haidar.” Selamba sahaja Tuan Emir menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan lelaki tinggi lampai yang berdiri di hadapan kami. Apa hal ni bos? Ini bukan masa untuk beramah mesra dengan lelaki itu, sekarang ni masa untuk ca alif but. Tolonglah selamatkan aku daripada lelaki tak guna itu.

     “Kamaluddin.” Lambat-lambat tangan Tuan Emir disambutnya. Mata masih merenung aku yang berdiri di belakang Tuan Emir. Nasib baik pegangan tangan aku tidak ditepis oleh Tuan Emir. Dibiarkan sahaja aku memeluk lengannya. Aku sudah tak peduli, apa yang penting aku dapat menyelamatkan diri daripada buaya mabuk itu. Badan aku seolah-olah mahu mengiggil. Bukan kerana takut, tetapi kerana menahan rasa marah dan benci yang amat sangat terhadap lelaki itu.

     Cengkaman kuat tanganku di lengan Tuan Emir menyebabkan dia menolehkan mukanya merenung raut wajah aku yang cemas. Aku sudah tidak peduli dengan renungan mata Tuan Emir, apa yang penting aku rasa selamat berada di belakang tubuhnya.

     “Saya, Kamaluddin. Tunang Aleesya.”

     Allahu Rabbi… Sudah kenapa dengan lelaki ini? Pantas sahaja pandangan mata Tuan Emir beralih silih berganti ke wajahku dan lelaki itu. Renungan yang membuatkan aku ingin meraung di situ juga. Semakin kejap peganganku di lengannya.

     Tolong saya bos!

******************************************************************************

     Aku mengusap air mata yang mengalir di pipi. Sepatah perkataan pun tidak keluar daripada mulut Tuan Emir. Sebaik-baik sahaja dapat melarikan diri daripada naga Malaya itu tadi, aku segera keluar dan bersembunyi di sebalik kereta Tuan Emir. Menunggunya di situ. Takut sungguh aku dengan lelaki itu. Nasib baik Tuan Emir sempat menahan lelaki itu daripada mengekori langkahku tadi. Biarlah dia yang membereskan lelaki tak guna itu.

     Kereta diberhentikan di kawasan taman yang terdapat di belakang KLCC. Kawasan sekeliling terang benderang dengan lampu yang berbaris tiangnya di situ. Banyak pengunjung malam ini, maklumlah esok, hari cuti umum sempena Hari Wilayah Persekutuan.

     Tuan Emir membiarkan aku melayan perasaan sendiri. Rasa malu sudah aku humban ke tepi. Apa yang penting sekarang ini aku mahu menangis sepuas-puas hati aku. Biar terbang semua rasa kecewa dan merana yang masih bersisa dalam dada lantaran perbuatan tidak bertanggungjawab lelaki itu dulu. Aku benci dengan dia, benci sangat-sangat…

     Sehelai sapu tangan kecil dihulurkan kepadaku. Aku sambut dengan pantas. Cepat-cepat aku mengelap air mata yang tidak henti-henti menuruni pipiku.

     Renungan orang di sebelah langsung aku tidak hiraukan. Tenunglah aku sampai tembus pun, aku sudah tak kisah. Aku tahu banyak soalan yang akan dia hamburkan sebentar nanti. Jadi aku perlu bertenang terlebih dahulu sebelum menjawab soalan yang akan dikemukakannya nanti.

     Punat radio ditekan. Lagu Menyintaimu nyanyian Kris Dayanti kedengaran di corong radio. Huwaa… baik-baik tangisan aku hendak berhenti, makin lebat semula air mata berjejeran di pipi.

     Aduhlah bos… kenapa pasang lagu tu? Cepat-cepat punat radio ditekan. Padam terus bunyi nyanyian tadi. Menghiris sungguh lirik lagu itu. Bencinya aku…

     Alamak… makin lebat pulak Aleesya ni menangis. Apa aku nak buat ni? Nak memujuk aku tak reti. Emir Haidar sudah mula gelabah. Rambut yang berjurai di dahi disebak ke belakang kepala. Siku kanan diletakkan di tepi tingkap. Tangan memangku dagu.

     Ishh… Macam mana ni? Lama mereka berdiam diri. Seorang ralit melayan perasaan sedih, yang seorang lagi melayan rasa ingin tahu yang membuak-buak di dalam dada. Rasa macam mahu diraih sahaja Aleesya ke dalam pelukannya. Biar dia menangis sepuas hati di bahunya. Dia sudi untuk meminjamkan bahunya selama mana yang diingini oleh Aleesya.

     Tak boleh jadi kalau membisu macam ni. Mahu sampai esok tak berhenti-henti tangisan Aleesya. Tak pernah-pernah aku lihat Aleesya menangis seteruk ini. Selalunya di pejabat, walau sedih macam mana pun, Aleesya bijak menyembunyikan air matanya.

     Wajah sembab setiausaha yang sudah hilang manisnya ketika itu dipandang dengan perasaan simpati. Rasanya sudah lama juga dia tidak melihat air mata Aleesya meleleh di pipi. Malam ini banjir sudah kereta aku…

     “Kenapa awak tak pernah beritahu saya pun yang awak ni tunangan orang? Kalau saya tahu, memang saya tak akan ajak awak keluar malam ni.”

     Emir Haidar memulakan kata setelah dilihat Aleesya sudah tenang dan berhenti menangis. Ada rasa kecewa menghuni hatinya. Dunia terasa seolah-olah berhenti berputar apabila lelaki tadi memperkenalkan diri sebagai tunang Aleesya. Terkejut sungguh dia tadi ketika punat kunci kereta ditekan, Aleesya menyerbu masuk ke dalam kereta. Ingatkan dia sudah balik sendiri.

     “Cepat bos! Tolong bawa saya keluar dari sini, cepat!”

     Begitu cemas dia lihat keadaaan Aleesya ketika itu. Mesti ada yang tak kena antara dia dengan si Kamaluddin itu tadi. Kalau tidak, kenapa Aleesya nampak macam takut sangat dengan lelaki itu. Dia pun ikut sama gelabah, pantas enjin kereta dihidupkan sebelum memandu laju ke kawasan taman di KLCC ini. Di sini sahaja tempat yang terfikir oleh kepalanya. Awak buat saya kalut sahajalah Aleesya.

     Tidak ada sebarang kata yang diucapkan kepada tunang Aleesya tadi. Mereka hanya berlawan pandang. Kamaluddin merenungnya macam merenung musuh ketat sahaja. Setelah dia pasti Aleesya selamat keluar dari kawasan restoran itu, baharulah dia meminta diri untuk membuat pembayaran di kaunter. Hati diserbu rasa bimbang, entah ke mana Aleesya melarikan diri.

     “Aleesya…” Senyap saja minah ni. Wajahnya yang menunduk aku pandang dengan perasaan yang belas. Bengkak sudah matanya kerana banyak menangis. Hilang sudah keayuannya, sembab semacam saja muka dia. Hidungnya digonyoh-gonyoh hingga berwarna merah. Sekali lihat sudah macam hidung pelawak sarkas le pulak. Tunang orang tu Emir. Sedar diri sikit ya.

     “Awak tak jawab lagi soalan saya Aleesya.” Aku tinggikan sikit suara. Biar dia jawab soalan aku. Kalau tidak berkeras, memang tak mahunya dia bercakap. Kalau dijerkah, mesti macam peluru mulutnya menjawab. Aku sudah masak sangat dengan perangai gelabah setiausaha aku ni.

     Sakit betul rasa hati bila mengingatkan perlakuan tunang Aleesya tadi. Kasar sungguh. Nasib baik sempat ditahan lelaki itu daripada mengejar Aleesya, kalau tidak entah akan diapa-apakannya setiausaha aku ni. Wajah Aleesya ditenung dengan perasaan yang berbuku.

     “Aleesya, awak dengar tak apa yang saya tanya tadi?” ini sudah kali yang ketiga aku bertanya. Kalau tak jawab juga, memang nak kena jerkah juga Aleesya ni. Hangat sudah hatinya melihatkan sikap Aleesya yang mendiamkan diri itu.

     Dua tapak tangan diraupkan ke muka. Malulah sikit Aleesya, Tuan Emir sedang pandang tu. Baik kau jawab soalan dia cepat-cepat sebelum bom atom meletup. Kalau meninggikan suara, beri saja pada dia. Juara nombor satu tu. Kesianlah sikit dengan saya ni bos.

     Nafas aku hela panjang. Berkali-kali aku ulangi perbuatan itu. Biar tenang jiwa yang kacau tadi. Wajah Tuan Emir yang masih menunggu jawapan aku pandang dengan rasa yang pedih. Kecewa sedikit dengan sikapnya yang sejuk itu. Sedih tau…



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku