I LOVE YOU ABANG SINGA
BAB 6
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 08 Oktober 2015
Penilaian Purata:
(4 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
4319

Bacaan






BAB 6

     “Terima kasih ya bos, sebab tolong saya tadi.”

     Aku patut bersyukur sebab dia sudah menolong aku tadi. Cengil-cengil dia pun, dia masih benarkan aku meminjam lengannya tadi. Masih sudi untuk menyelamatkan aku daripada naga Malaya yang sangat-sangat aku benci tu. Dia bawa aku ke sini untuk menenangkan diri. Baik juga hati bos singa aku ni kan.

     “Bos?” keningnya dijongketkan. Sempat lagi tu mengusik aku. Tak hingin aku panggil dia B dalam keadaan aku sedang bersedih macam ni. Agak-agaklah bos oii…

     “Sekarang ni kita bukan dalam restoran, tak ada orang dengar pun. Saya rasa tak selesa nak panggil bos macam tadi. Nampak macam gedik sangat. Kalau orang dengar, mesti mereka salah sangka. Ingatkan saya ni kekasih boss pulak.”

     Aku jeling sekilas wajah kacak di sebelah aku. Tiba-tiba aku rasa malu bila mengingatkan kejadian tadi. Tak guna punya naga jantan!

     “Saya suka awak panggil saya macam tu. Sweet sangat bunyinya. Nak kekalkan terus panggilan tu pun tak apa.” Senyum merekah di bibir Emir Haidar.

     B… sekali dengar macam baby, dua kali dengar macam hubby. Hah… dia sudah perasan sendiri. Uikss… melampau tu Emir. Bawa-bawa mengucap, tunang orang tu Emir oii… Tiba-tiba rasa kecewa menghentam dinding hatinya. Sudah kenapa dengan aku ni?

     “Merepeklah bos ni. Mahu setahun tak habis malu saya kalau semua staf dengar saya panggil bos B. Mati saya kena umpat dengan mereka bos. Tak naklah saya.”

     Jangan harap ya aku akan panggil dia macam tu semasa di pejabat. Mahu meliang liuk badan dan suara Abang Sharif mengutuk aku nanti. ABANG S… Abang Singa, sudah bertukar menjadi Abang Sewel. Sengal punya bos…

     “Hah, jawab soalan saya tadi. Kenapa awak tak pernah beritahu saya yang awak ni sudah bertunang?”

     Soalan yang sama diulang. Suaranya kembali serius. Hilang sudah senyuman di bibirnya. Rasa kecewa pun ada. Entah mengapa perasaan hampa itu mengetuk tangkai hatinya. Aku ni ada hati dengan Aleesya ke? Soalan yang membuat dia terpegun sendiri.

     “Tak penting pun bos.” Selamba saja jawapan Aleesya. Bibirnya dijuihkan. Aik… berani dia buat macam tu depan aku. Aku gigit bibir tu baru tahu nanti. Gulp… Apa ni Emir?

     “Tak penting awak kata! Ke hulu ke hilir awak ikut saya jumpa pelanggan. Kadang-kadang keluar makan malam dengan mereka. Ada masanya saya hantar awak balik sampai lewat malam tau. Itu awak kata tak penting? Awak sedar tak yang awak ni tunang orang Aleesya?”

     “Bekas tunang orang bos. Kami sudah putus tunang lebih dua tahun yang lalu,” jawapan yang membuat hatinya benar-benar lega. Wajah Aleesya yang sedang menyandarkan kepalanya di belakang kerusi sambil menutup mata dipandang dengan perasaan er...er… apa ya… suka kot... Suka saja ke Emir? Tak ada perasaan lain ke? Betullah tu… Hati memarahi diri sendiri.

     “Kenapa awak putus dengan dia?” sesi mengorek rahsia sudah bermula.

     Malam ini kalau boleh dia mahu tahu banyak perkara tentang diri setiausahanya yang dahulu banyak sangat berahsia dengannya. Nampak saja lembut, tapi dalam lembutnya, sesekali dia menjawab boleh menanah telinga dibuatnya. Kalau dia mengenakan Aleesya, gadis itu sudah berani mengenakan dia balik. Apa tidaknya, ada penyokong kuat di belakang Aleesya. Siapa lagi kalau bukan Datin Seri Suzana, mummynya itu.

     “Bos, kalau orang putuskan pertunangan empat hari sebelum hari perkahwinan, apa yang bos rasa? Kad jemputan sudah diedarkan, segala persiapan sudah siap. Bilik tidur berhias cantik dan pelamin pun sudah siap dipasang. Ayah saya diserang sakit jantung kerana terperanjat. Dua hari kemudian ayah meninggal dunia. Emak merana kerana menanggung malu. Apa perasaan bos kalau itu yang terjadi pada diri bos?”

     Sebak sungguh suara Aleesya. Air mata bergenang kembali. Tanpa silu dia menangis tersedu-sedu. Kisah pahit yang cuba dilupakan, timbul kembali setelah berjumpa dengan lelaki durjana itu tadi.

     Terpana Emir Haidar mendengarkan luahan rasa Aleesya. Tak sangka dalam tenang raut wajahnya tersembunyi cerita sedih yang memilukan. Kasihan dia. Tentu dia merana menanggung rasa kecewa dan malu kerana perbuatan tidak bertanggungjawab lelaki itu.

     Kalau perkara itu terkena pada batang hidung aku sendiri, mahu sasau aku jadinya. Memang ada yang bakal menjadi mayat aku kerjakan kalau itulah yang terjadi pada diri aku. Sadis sungguh kisah hidup Aleesya.

     Nasib setiap orang tidak sama, aku juga pernah menderita suatu ketika dahulu. Tangannya mengenggam erat setereng kereta. Geram dan dendam bila mengingatkan kisah lalu. Kisah yang membuat hidupnya menderita, kesannya masih berbekas hingga kini..

     “Saya tak sangka Abang Kamaluddin sanggup buat saya macam tu. Dia yang beria-ia sangat mahukan saya menjadi isterinya, tapi dia juga yang memutuskan pertunangan kami. Kami tinggal berjiran. Hanya berselang tiga buah rumah sahaja jaraknya rumah keluarga kami di Kota Tinggi tu. Bos bayangkan betapa sedihnya ayah dan emak menanggung rasa malu kerana perbuatan Abang Kamaluddin. Satu kampung mengumpat kami. Saya ni pembawa malang kata mereka.”

     “Kalau membunuh itu dibenarkan oleh undang-undang, memang sudah lama saya tembak lelaki tu bos.” Air mata merembes laju membasahi pipinya.

     “Kerana tidak tahan menanggung malu dan kasihankan saya yang menderita, Abang Long membawa saya dan emak berpindah ke Melaka, balik terus ke kampung datuk sebelah ayah di Pengkalan Balak di mana ayah dikebumikan di situ.”

     “Sekarang ni emak tinggal dengan Abang Long sekeluarga di rumah pusaka di sana. Kebetulan pula Kak Ngah saya pun berkahwin dengan orang di situ juga dan tinggal tidak jauh dari rumah emak.” Sapu tangan yang diberi Emir Haidar tadi disapu ke muka. Lecun sudah sapu tangan itu, basah kerana air mata yang melimpah sejak tadi.

     “Kenapa dia putuskan pertunangan dengan awak Leesya? Dia ada perempuan lain ke?” semakin jadi penyibuk pulak dia ya. Semuanya dia hendak tahu. Belas sungguh rasa hati setelah mendengar kisah sedih Aleesya. Siapa sangka, rahsia hati disembunyikan di sebalik senyumannya yang menawan itu.

     “Bukan sahaja ada isteri bos, malah isteri dia sedang sarat mengandung waktu itu. Memang dasar lelaki penipu, jantan curang! Dia pergi ke Ipoh sebab dapat tawaran kerja sebagai akauntan di sana.

     “Bukan saja dapat kerja, malah dapat isteri lagi adalah. Nasib baik saya sudah tamat pengajian waktu tu dan kebetulan Dato’ Seri tawarkan pekerjaan di syarikatnya.” Wajah Tuan Emir aku pandang sekilas. Senyap sahaja dia, tekun dia mendengar cerita aku.

     “Saya bawa hati yang lara ke Kuala Lumpur ni dengan azam untuk melupakan kisah pahit lalu. Saya hendak memulakan hidup baharu, jadi Aleesya yang bersemangat waja, bukannya Aleesya yang hanya tahu menangis dan meratap hiba nasib diri. Pengalaman lalu menjadikan diri saya kuat bos. Cukup-cukuplah saya merana, saya tak mahu menjadi bodoh kerana seorang lelaki.”

     “Saya tak tahu apa tujuan dia mengaku yang saya ni masih tunang dia lagi. Sakit hati saya tau bos. Saya tak boleh pandang langsung muka dia. Dia menyebabkan kami sekeluarga menanggung malu. Sebab dia, ayah saya meninggal dunia dan saya terpaksa berpindah untuk mengubat hati yang kecewa.”

     Keluhan berat aku lepaskan. Sesak dada aku rasa bila memikirkan sikap lelaki tak guna itu tadi. Mabuk agaknya dia tu. Rasa macam nak aku tumbuk sahaja mukanya yang tebal macam papan lapis tu. Geramnya aku…

     “Semua kejadian yang berlaku pasti ada hikmahnya Aleesya. Mungkin Allah hendak menjodohkan awak dengan lelaki yang lebih baik. Lelaki yang akan menyayangi awak dengan seikhlas hati. Kan lebih baik awak merana sekarang sebelum berkahwin dengan dia daripada awak merana selepas menjadi isteri dia.”

     “Perjalanan hidup kita ini memang sukar untuk dijangka Aleesya. Kita hanya boleh merancang, tapi perancangan Allah adalah yang terbaik untuk kita. Reda sajalah.”

     Tak sangka bos aku yang garang ni boleh beri nasihat macam tu. Dia tak pernah bercakap setenang ini dengan aku. Tahunya menjerkah sahaja bila bercakap. Kasar semedang.

     “Bos nak tahu, tak sampai setahun air mata saya kering, ada pulak lelaki lain yang buat saya menangis semula. Hari-hari saya makan hati dan menangis kerana sikap cengil dia bos. Rasa macam hendak saya karate sahaja lelaki itu, biar patah riuk tulang dia.”

     “Kalau tidak kerana menyahut cabaran dan sokongan yang kuat daripada keluarga dan teman baik saya, memang sudah lama lelaki itu saya tinggalkan”

     Wajah berkerut Tuan Emir aku pandang. Serentak itu juga dia menoleh ke arah aku. Kami berlawan pandang. Biarkan mata sahaja yang berbicara… Erkk…

     “Kalau tak keberatan, boleh awak beritahu saya siapa lelaki itu Leesya?” cepatnya dia dapat pengganti. Rasa macam nak kecewa dah ni. Tangan mengusap dada yang diserang rasa sebu tiba-tiba. Kenapa dengan aku ni?

     “Alah… bos kenal sangat dengan dia.” aku tersenyum mengejek. Boleh lagi senyum tu walaupun hati masih terluka.

     “Saya kenal dia? Siapa lelaki tu Aleesya?”

     Tak sangka pulak pengganti bekas tunangnya itu aku kenal. Hendak sangat aku jumpa dengan lelaki yang selalu buat Aleesya sakit hati dan menangis setiap hari. Kalau aku jumpa lelaki tu, memang lebam muka dia aku bedal. Kasihan setiausaha aku ni. Tak habis-habis dirundung malang.

     “Bos nak kenal sangat ke dengan lelaki tu?” sengaja dia bermain sorong tarik kata dengan Emir Haidar. Hendak lihat apa reaksinya.

     “Mestilah hendak. Awak jangan buat saya marah boleh tak Aleesya. Beritahulah cepat siapa lelaki tu. Jangan buat saya tertanya-tanya. Kawan dan pelanggan saya ramai, tapi yang mana satu yang selalu buat awak menangis. Beritahu nama dia, tahulah saya ajar dia nanti.

    Kan… aku dah cakap dah. Mudah sangat dia naik angin. Baran tak habis-habis. Tak reti nak bersabar gamaknya bos aku ni.

     “Bos hantar saya balik boleh tak? Nanti-nantilah saya beritahu siapa lelaki tu. Saya takut kalau bos tahu siapa lelaki tu, bos amuk saya dengan lebih teruk nanti.” Aku melemparkan senyuman sehabis manis kepada Tuan Emir. Biar surut sikit rasa marahnya itu.

     “Oh, pleaselah Aleesya… awak ni kan memang…”

     Cepat-cepat aku memotong kata-katanya sebelum dia berkicau dengan lebih riuh lagi. Kalau biarkan dia membebel, kalah Mak Senah Janda, jiran depan rumah aku yang suka sangat membebelkan anak-anaknya yang ramai tu. Pagi petang, siang dan malam asyik berkeriau saja kerjanya.

     “B... please... hantar saya balik ya.” Sengaja aku gunakan panggilan itu. Biar lembut sikit hati bos yang sedang panas tu.

     Terkebil-kebil matanya memandang wajah aku. Seronok pulak dapat mengenakan dia malam ini. Amik kau … kelu lidah tu jadinya. Asyik dia saja yang selalu mengenakan aku, mana adil kan? Ha ha ha… Aku menyimpan gelak dalam hati.

     Ini yang aku lemah ni kalau suara meleret Aleesya sudah keluar. Manja saja bila panggilan B itu dia sebut. Macam kekasih memujuk buah hatinya. Aduh, aku dah mula nak perasan dah ni. Aku renung wajahnya yang sudah nampak segar sedikit. Tidaklah sembab teruk macam lepas menangis tadi.

     “Nakal…” Hidung Aleesya aku cuit. Mati terus senyuman yang menghiasi bibirnya. Marahlah tu. Ada aku kisah...

     Tak apa dia tidak mahu beritahu aku siapa lelaki itu. Nanti, nanti aku akan tahu juga siapa dia kan. Sampai bila dia hendak simpan rahsia tu daripada aku? Esok atau lusa aku akan tahu juga. Jerkah sikit mesti dia takut. Pasti terkeluar nama lelaki tu. Tunggu ya Aleesya jerkahan saya…

     Kurang asam punya bos! Sesuka hati dia sahaja menyentuh hidung aku. Aku gigit jari tu baru dia tahu. Berani ek sentuh anak dara orang.

     Aik Aleesya… Jangan lupa ya, kau lebih teruk tadi. Siap peluk lengan anak bujang orang lagi. Kau buat tak apa ya. Tak malu sungguh…

     Tadi aku tak sengaja, darurat apa, terpaksa untuk menyelamatkan diri daripada naga Malaya tu tadi. Hati sudah bolak balik mengutuk dan membela diri sendiri.

     Sehingga sampai di hadapan pangsapuri tempat tinggal Aleesya, mereka berdua langsung tidak bercakap apa-apa. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Emir Haidar menghentikan keretanya di tepi pondok pengawal. Kepala ditoleh ke arah Aleesya yang duduk di sebelahnya. Mengelamun lagi anak dara ni rupa-rupanya, sudah sampai ke mana agaknya lamunannya itu.

     “Tak nak turun ke?” suara Emir Haidar menyedarkan Aleesya Syaurah daripada lamunannya.

     “Aaapa bos cakap? Sorry saya tak dengar tadi.” Gelabah sekejap.

     Asyik sangat mengelamun sampaikan tidak sedar sudah sampai di hadapan pangsapurinya. Kepala sedang berselirat melayan perasaan sedih. Ligat otak ni berpusing memikirkan pertemuan yang tidak disangka-sangka tadi. Jiwa sudah mula kacau. Janganlah hendaknya aku terserempak dengan naga Malaya itu lagi.

     “Saya tanya, awak nak turun ke tidak? Kalau tak nak, saya bawa awak balik ke rumah saya. Boleh juga temankan saya malam ni. Saya pun tinggal seorang sahaja di rumah. Mummy dan daddy pergi bercuti di Singapura.”

     Senyum senget kambing gatal terukir di bibirnya. Sengaja mengusik Aleesya yang sedang bercelaru fikirannya ketika itu. Ini kalau aku jerkah suruh turun, mahu gugur jantung minah sengal ni. Senyum terus mengulum di bibir Emir Haidar. Seronok mengenakan Aleesya yang macam orang mamai ketika itu.

     “Tak naklah saya ikut bos balik rumah. Saya nak turunlah ni.”

     Melampau betul bos aku ni. Ada hati nak bawa anak dara orang balik ke rumah ya. Nak kena pelangkung kepala tu agaknya. Seriau aku tengok senyum gatal bos singa aku ni. Serupa macam singa jantan yang kemaruk hendak mengawan. Eeee… seramnya.

     Cepat-cepat pintu kereta dibuka. Nasib baik dia hantar aku balik, kalau dia bawa aku entah ke mana tadi, siapa yang susah, aku juga kan… Lain kali jangan mengelamun sampai tak ingat dunia ya Aleesya…

     “Terima kasih ya bos sebab belanja saya makan malam ini. Terima kasih daun keladi, lain kali belanjalah saya lagi...” Tak malu kau ya Aleesya. Sudah semakin berani nak bergurau dengan bos singa kau tu. Tak takut kena jerkah ke?

     Eleh… Bos tu nampak aje garang, tapi sebenarnya hati dia baik sangat. Malam ni baru aku tahu sikap sebenar dia.

     “Err… bos… Lepas saya keluar dari kereta ni, bos tengok cermin pandang belakang tu ya. Nanti bos akan nampak muka lelaki yang selalu buat saya sakit hati dan menangis tu.”

     Aku pandang wajah Tuan Emir sebelum menutup pintu keretanya. Berkerut muka dia mendengar kata-kata aku. Pantas aku berlari-lari anak menjauhkan diri dari tempat itu. Kebetulan ketika itu pintu lif sudah terbuka. Laju aku melangkahkan kaki masuk ke dalamnya. Fuhh… selamat aku…

     Setelah memastikan Aleesya selamat masuk di kawasan itu, Emir Haidar membetulkan cermin pandang belakang keretanya. Orang yang Aleesya cakap tu tinggal di sini juga ke? Puas diliarkan matanya memerhati kawasan di belakang kereta dari cermin pandang belakang keretanya, tapi tak ada sesiapa pun yang dia nampak. Apa yang ternampak olehnya hanya satu wajah sahaja…Wajahnya sendiri.

     Lama dia merenung wajah yang melekat di cermin itu. Masya-Allah… aku ke orang yang Aleesya maksudkan tadi?



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku