I LOVE YOU ABANG SINGA
BAB 7
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 08 Oktober 2015
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
4673

Bacaan






 BAB 7

     Puas dia berkalih ke kanan dan ke kiri, namun matanya masih juga tidak mahu lelap. Selepas menunaikan solat Isyak tadi, dia merebahkan diri di atas katil untuk melelapkan mata. Masalahnya rasa kantuk itu hilang entah ke mana. Tadi bukan main mengantuk lagi, sangap tak henti-henti ketika dia mendirikan solat Isyak. Gangguan syaitan tu Emir, biar kau tidak khusyuk ketika bersolat. Astarghfirullahalazim…

     Kata-kata Aleesya tadi masih terngiang-ngiang di telinganya. “Lepas saya keluar dari kereta ni, bos tengok cermin pandang belakang tu ya. Nanti bos akan nampak muka lelaki yang selalu buat saya sakit hati dan menangis tu.”

     Tak ada wajah orang lain yang dia nampak di situ selain wajahnya sendiri. Bertuah punya setiausaha, terkena aku malam ni…

     Bila difikir-fikirkan balik kata-kata Aleesya tu memang ada betulnya. Siapa lagi yang sering membuat Aleesya menangis dan bersedih sejak hampir setahun yang lalu kalau bukan aku sendiri. Menyesal pun tak berguna. Perkara sudah berlaku. Kalaulah aku tahu penderitaan yang pernah dialami oleh Aleesya pasti aku akan layan dia dengan baik.

     Masalahnya aku sendiri tidak dapat mengawal rasa marah bila melihat wajah Aleesya. Kenapalah dia lakukan kesilapan ketika waktu pertama kali kami berjumpa dahulu. Tanggapan pertama yang negatif terus melekat di kepala. Rasa tidak percaya dengan kemampuan dirinya sama ada dia boleh melakukan tugasan lain dengan baik. Kerja mudah menghidang air pun tak boleh dibuat dengan sempurna, apa tah lagi hendak menyiapkan kerja lain yang lebih sukar.

     Telefon bimbit dicapai apabila bunyi mesej masuk kedengaran di telinganya. Jam di skrin telefon dijeling sekilas sebelum membaca mesej yang masuk. Hemm... sudah hampir pukul satu pagi. Apahal Aleesya menghantar mesej ni, tak tidur lagi ke minah tu?

     Salam bos. Maaf menganggu. Esok saya nak balik kampung. Hari Jumaat saya nak minta cuti, nak tenangkan fikiran saya yang berserabut ni. Surat permohonan cuti saya hantar melalui e-mail. Selamat malam bos ~Aleesya Syaurah

     Bertuah punya setiausaha. WhatsApp ringkas ni sahaja yang dia hantar. Siap beri ikon senyum lagi pada aku. Pantas nombor telefon Aleesya dicari. Tak sampai seminit terdengar suara di sana memberi salam. Sah, dia belum tidur lagi.

     “Kenapa awak minta cuti hari Jumaat nanti Aleesya? Esok hari Khamis kan dah cuti sempena Hari Wilayah, tak cukup lagi ke?” Emir Haidar terus melontarkan soalan selepas menjawab salam yang diberi oleh Aleesya.

     Apalah bos aku ni. Tak baca mesej yang aku hantar dengan betul ke? Suka sangat tanya soalan yang sudah ada jawapannya.

     “Bos tak baca dengan betul ke mesej yang saya hantar tadi?” Aik… orang tanya dia, dia soal aku balik. Ini yang aku tak suka ni. Kalau tak menaikkan darah aku memang tak sah agaknya Aleesya ni.

     “Sebab dah bacalah saya telefon awak ni.” Bunyi suara orang geram pukul satu pagi. Apa hal nak marah-marah waktu hampir dinihari ni Emir? Entah kenapa tiba-tiba sahaja hatinya rasa meruap setelah membaca mesej yang dihantar oleh Aleesya tadi.

     “Kalau bos dah baca, mesti bos fahamkan kenapa saya minta cuti esok. Saya mengantuk sangat ni bos. Jumpa hari Isnin nanti ya. Assalamualaikum...” Perbualannya ditamatkan dengan segera oleh Aleesya.

     “Bertuah punya setiausaha. Tak sempat aku nak cakap apa-apa dia sudah putuskan panggilan aku.”

     Didail sekali lagi nombor telefon Aleesya, namun semakin hangat hati dibuatnya kerana Aleesya telah mematikan terus telefon bimbitnya. Mesej yang dihantar oleh Aleesya tadi dibaca sekali lagi. Hem… Terkena aku. Dia dah cakap balik kampung sebab nak tenangkan fikiran, itu pun susah sangat aku nak faham ke?

     Sebenarnya aku sendiri tidak faham dengan perasaan aku. Esok kalau Aleesya tak ada tentu tak seronok. Tak ada orang yang nak aku lawan bertekak. Tak ada orang yang akan buatkan aku air dan tak ada ‘isteri’ yang akan melayan aku makan.

     Eh… Sudah kenapa dengan aku ni. Esok belum lagi muncul aku sudah merepek segala bagai ni kenapa? Macam tak ada orang lain yang boleh aku minta tolong. Punyalah ramai staf di pejabat tu, Aleesya juga yang aku kisahkan. Apa nak jadi agaknya dengan otak aku ni.

     Gambar Aleesya dalam galeri telefon bimbitnya dicari. Tenang dan tampak manis senyuman Aleesya yang sedang berdiri sambil memegang piring berisi kek hari jadi. Majlis ringkas yang dibuat untuk Sharif oleh staf di situ. Jangan tak tahu ya, gambar curi tu…

                                                        *******************

     “Kak Lela, sekejap lagi suruh Aleesya masuk jumpa saya.”

     Tempat duduk Aleesya kosong ketika dia tiba di situ. Ke mana entah perginya setiausaha aku ni, asyik menghilang saja kerjanya. Sudahlah aku penat baru balik jumpa pelanggan, dia pulak tak ada di situ.

     Pintu bilik dibuka. Beg bimbit serta fail yang dipegang diletakkan di atas meja. Letih sungguh hari ni, kalau dapat minum air buatan tangan Aleesya yang sedap tu tentu lega.

     Punggung dilabuhkan di atas kerusi. Kelopak mata dipejamkan, melepaskan lelah seketika. Mana Aleesya ni? Kedengaran pintu bilik diketuk. Hemm… baru aku sebut namanya dia sudah datang.

     Kakinya melangkah ke dalam bilik setelah mendapat keizinan untuk masuk ke dalamnya. Aik, penat sangat ke bos ni, sampai terpejam-pejam kelopak matanya. Tidur ke bos aku ni?

     “Err… Bos…” tak tahu nak cakap apa dah. Wajah Tuan Emir yang keletihan dipandang dengan perasaan belas.

     “Hemm… Aleesya, tolong buatkan saya air milo sejuk. Dahaga sangat ni.” Mulut bercakap tapi, kelopak mata tetap terkatup. Tak tahu ke siapa yang berdiri di sini.

     “Bos, Aleesya cuti hari ini. Saya ambil alih tugas Aleesya, saya…”

     “Apa awak cakap?” tak sempat dia menghabiskan ayatnya suara kuat Tuan Emir memotong percakapannya. Tajam matanya merenung Norlela yang berdiri di hadapan mejanya. Satu saat, dua saat, tiga saat, empat saat, lima sa… Masya-Allah… dah kenapa dengan aku ni? asyik terlupa sahaja hari ini.

     “Opps… sorry Lela saya terlupa. Letih sangat ni. Tolong buatkan air yang saya minta tadi ya.” Senyum sekilas dihadiahkan kepada Norlela.

     Sebaik-baik sahaja pintu ditutup oleh Norlela, dia meraupkan tangan ke muka. Nafas dihela panjang. Mengong betul aku hari ini, asyik terlupa sahaja yang Aleesya bercuti hari ini. Susah jadinya urusan hari ini kerana ketiadaan Aleesya di pejabat. Baru kau tahu kelam kabutnya hidup bila orang yang selalu menguruskan jadual dan segala keperluan tiada di pejabat. Kenapalah awak bercuti hari ini Aleesya oiii…

     Ini semua sebab penangan mamat psiko malam kelmarin, buat perasaan Aleesya sedih dan fikirannya jadi tidak tenang. Lelaki itu punya pasal, dengan aku-aku sekali jadi tak tenang dan kelam kabut hidup aku. Susah juga ya kalau tukang peringat tentang segala urusan aku tak ada. Tak boleh jadi ni…

     Pagi tadi, nyaris-nyaris dia terlupa perjumpaannya dengan wakil dari Syarikat Megah Alam Holding di pejabat syarikat itu pada pukul 9.00 pagi kalau tidak kerana panggilan yang dibuat oleh setiausaha syarikat itu tadi.

     Hari Rabu kelmarin Aleesya sudah memberitahunya tentang perjumpaan untuk hari ini, dia sahaja yang terlupa. Manalah dia nak ingat kalau kebiasaannya Aleesya yang akan membacakan aktiviti yang perlu dia lakukan setiap hari. Hari ini tukang peringatnya tak datang, jadi sendiri mahu ingatlah ya Emir…

     Seharian dirasakan hidupnya seperti lompong dan kosong. Rasa seperti ada benda yang hilang. Buat apa pun serba serbi tak kena. Kepala asyik teringatkan orang itu.

     Macam mana hendak buat bayangan dia hilang dari kepala aku ni ek? Makin dicuba untuk melupakannya, semakin kuat pula ingatan terhadapnya. Sasau ke aku ni? Gila bayang kot.

     Bila dia ada di depan mata, asyik nak bercekau saja, tapi bila dia tak ada, rasa macam kehilangan pula. Apa maknanya itu Emir? Nampaknya kena cari juga ubatnya dan penawar itu cuma ada di Melaka sinun. Kena pergi sana juga untuk mendapatkannya.

     Nombor telefon HR didail. Alamat Aleesya perlu diketahui, baharulah misi mencari penawar boleh diperolehi, kan Emir. Lepas solat Jumaat nanti aku akan pergi ke Melaka. Aleesya awak tunggu saya datang…

     “Tolong buatkan air untuk aku sekali ya Lela,” tangannya mencuit bahu Norlela dengan jari telunjuknya. Kerusi di tepi dinding ditarik. Punggung dilabuhkan untuk melepaskan lelah. Balang yang berisi biskut di atas mej dicapai. Laparlah pulak petang-petang ni.

     “Oii... air kau…” teguran Sharif ketika dia sedang leka mengacau air dalam jag membuatkan latahnya keluar. Spontan tangannya menepuk bahu Sharif dengan kuat. Amik kau… buat orang terperanjat saja.

     “Apalah kau Sharif, tak reti-reti nak beri salam ke? Nasib baik aku tak simbah muka kau dengan air ni. Kurus semangat aku tau!”

     Air yang sudah siap dibancuh dituang ke dalam dua biji gelas. Satu diletakkan di atas dulang kecil, dan satu lagi dihulurkan kepada Sharif yang sedang tersengih-sengih sambil mengusap-usap bahunya yang perit akibat tepukan kuat Norlela tadi.

     “Bos suruh kau buat air ke Lela?” gelas di tangan di sua ke mulut. Air Milo sejuk diteguk perlahan-lahan. Terasa dingin menuruni tekaknya. Hurmm… lega…

     “Taklah, dia suruh Aleesya yang buat tadi. Mamai agaknya bos tu. Macam orang angau pun ada juga aku tengok. Asyik tersasul menyebut nama Aleesya saja. Kau agak kenapa ek Sharif?”

     Sesi menganyam ketupat sudah bermula. Si Syarif lembut memang suka sangat bab gosip mengosip ni. Sama naik saja dia dengan Norlela kalau bab bergosip ni. Sekepala kata orang.

     “Aku rasa Abang S Aleesya tu sudah diserang penyakit sawan asmaradana. Rindu dendamlah tu dengan adik Aleesya kita Lela oii... Tak sampai sehari Aleesya bercuti, sudah macam orang mabuk kepayang. Hamik kau Abang S. Kalau Aleesya ada depan mata asyik nak menjerkah saja kerjanya. Bila orang tu tak ada, udah macam orang mati bini pulak gayanya aku tengok.”

     Terjongket-jongket kening Sharif bila bercakap. Bibirnya dijuihkan. Jari tangannya melentik-lentik mengikut nada suaranya bercakap. Bikin Norlela tersenyum melihatkan aksinya itu. Lawak sungguh.

     “Itulah siapa suruh sombong sangat. Garang tak bertempat, kan sudah merana badan tu menanggung rindu.” Gelak sakan mereka berdua.

     Ewah… Ewah… sesedap rasa saja menokok tambah perasa dalam ketupat tu ya Norlela. Dulang kecil ditatang dengan berhati-hati. Kalau lambat dihantar air ni, mahu kena jerkah dengan bos singa tu. Tahu pulak kau takut ya Lela.

     “Aku hantar air ni dululah Sharif. Lepas ni aku nak keluar beli barang. Malam ni mak mertua aku nak datang ke rumah aku. Petang ni aku kena balik cepat sikit. Kena masak apa-apa yang patut.” Perlahan-lahan kaki melangkah keluar dari pantri meninggalkan Sharif yang sedang enak mengunyah biskut jagung.

     “Beli ajelah lauk tu Lela oii… Kaukan ‘rajin’ memasak. Chef kau kat restoran di taman perumahan kau tu kan sedia berkhidmat untuk engkau.”

     Sempat lagi tu mengusik Norlela yang sedang melangkah keluar dari pantri itu. Jelingan maut habuan yang dia terima daripada Norlela. Eleh… Tak takut pun. Senyuman terus menguntum di bibirnya. Macam-macam hal le pulak kau ya Sharif…

     Cepat-cepat disudahkan kunyahannya. Balang biskut ditutup ketat-ketat dan gelas yang kosong dicuci sehingga bersih. Sekejap lagi nak pergi solat Jumaat. Apa tunggu lagi, agaknya Ahmad Badawi, Zulkifli, dan Azhar sudah menunggunya di lobi. Moh le kita…



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku