I LOVE YOU ABANG SINGA
BAB 9
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 08 Oktober 2015
Penilaian Purata:
(3 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
3904

Bacaan






BAB 9

     Desiran ombak yang menghempas pantai bagaikan irama merdu di telingaku. Tiupan bayu laut yang menampar sekujur tubuh begitu mendamaikan. Teruja sungguh bila berdiri di tepi laut. Kaki mencecah gigi air. Sekejap lagi nak berendam puas-puas, air pun dah mula nak pasang ni.

     Kampungku yang permai. Kalau boleh aku ingin berlama-lamaan di situ. Bermanja sepuas-puasnya dengan emak dan Kak Ngah serta Abang Long. Tapi kalau lama di sini, makin bertimbunlah tugas yang menunggu di pejabat nanti. Mahu mengaum tak henti-henti bos singa aku tu.

     Eh, apasal pulak aku teringatkan bos singa tu. Seharian ni rasa sunyi pulak sebab tiada sebarang gangguan langsung daripadanya. Sms dengan WhatsApp tak ada, panggilan telefon jauh sekali. Rasa lain macam pulak bila tidak ada gangguan daripada dia. Biasanya pantang aku bercuti, dia mesti tak henti-henti mengacau aku. Sekejap-sekejap telefon, lepas tu, WhatsApp tak henti-henti.

     Dah kenapa dengan aku ni ek? Rindu ke dengan bapak singa tu? Oh, tolonglah.. Bak kata Abang Sharif, tak kuasa mak, nyah…

     “Tak habis-habis berangan!” Uiksss… Dah kenapa dengan aku ni ek? Sampai kat tepi pantai ni pun aku terdengar-dengar suara bos singa aku tu. Teringatkan dia sampai boleh terdengar-dengar suaranya, apa hal pulak ni?

     Aku menebarkan pandangan di kaki langit. Petang yang damai dan permai. Jauh dari hiruk pikuk kota yang melemaskan. Tak ada masalah kesesakan jalan raya, tak ada tekanan perasaan menghadap bos singa tu. Jauh dari naga Malaya tu ia juga.

     Kalau berhenti kerja dan tinggal di kampung dengan emak best jugakan. Yang tak best kat sini sebab ada Izzat anak Mak Yam yang suka sangat skodeng aku. Nanti tak pasal-pasal lari dari mulut naga, aku masuk mulut buaya Pengkalan Balak ni pulak. Ishh… tak mahu aku.

     Daripada aku pandang muka Izzat yang macam duda gila talak tu, aku lebih rela menghadap muka bos singa aku tu. Garang-garang dia pun, bila dia senyum boleh cair hati aku.

     Ishh… teringat Tuan Emir le pulak petang-petang redup ni… udah macam orang sewel ketawa sorang-sorang kat tepi pantai ni.

     “Awak rindukan saya ya Leesya?” Uikss… gema suara dia lagi. Sah aku ni kena sampuk dengan bayangan Tuan Emir. Berseorangan di tepi pantai lewat petang ni macam-macam perkara boleh berlaku. Tiba-tiba meremang pulak bulu roma aku. Eee… Seram le pulak…

     Kelopak mata aku kelipkan berkali-kali. Kepala aku ni sudah ting tong agaknya. Terlebih makan rojak pasembur tengah hari tadi gamaknya. Tadi aku macam terdengar-dengar suara Tuan Emir. Kali ini, sebaik-baik sahaja aku berpusing ke belakang, aku nampak dia berdiri sambil memasukkan kedua-dua belah tangannya ke dalam saku seluar. Gaya santai dia ketika memantau kakitangannya membuat kerja masing-masing.

     He’eh… Dia senyum dengan akulah. Aku sedang bermimpi ke ni? Aku rapatkan kembali kelopak mata. Dalam hati Ayatul Kursi aku baca. Kalau syaitan, hilanglah kau. Tapi kalau betul dia yang berdiri depan mata aku macam mana?

     “Opocot!” tak sengaja latah aku keluar. Terkejut bila melihat tubuh tegap Tuan Emir berdiri betul-betul di hadapanku. Rasa macam nak melompat keluar jantung dari dada. Dug dag, dug dag… Degupan sudah jadi tidak stabil.

     Aku pukul lengan Tuan Emir sekuat-kuat hati aku untuk memastikan yang aku tidak bermimpi. Masya-Allah… Memang betullah bapak singa ni yang berdiri depan aku. Berkerut muka dia menahan rasa sakit yang aku hadiahkan di lengannya. Cepat sahaja tangannya menarik hidung aku.

     “Adoiiii…” aku tepis tangan dia dengan pantas.

     “Sesuka hati bos aje sentuh anak dara orang. Sakit tau…” aku tampar lengan dia sekali lagi.

     “Ingat sikit ya Aleesya, awak yang mulakan dulu tadi. Awak sentuh saya tak apa, tapi saya sentuh awak tak boleh pulak ya.” Alamak… Gulppp… Tak tahu nak cakap apa dah. Malu sendiri sudahnya aku.

     “B, buat apa kat sini?” Tak sengaja aku terrrpanggil dia dia macam tu. Teruja sangat kot.

     “Oppss… Sorry… Bos buat apa kat sini?” Cepat-cepat aku betulkan panggilan yang tak sepatutnya aku sebut tadi bila ternampak senyuman di bibirnya. Gatal aje senyum Tuan Emir aku tengok. Jarang dia nak tersenyum dengan aku kalau tak ada apa-apa yang dia hendak. Mesti ada apa-apa ni. Kalau tak, tak kan sampai ke sini dia cari aku. Alamak…

     Aku pandang dia, dia tenung aku. Renungan membunuh tu. Hilang semua rasa takut aku bila kena tenung dengan Tuan Emir. Perasaan lain pulak yang aku rasa. Remang-remang senja ni berlawan pandang, memang suka sangatlah ‘makhluk’ lain mencucuk jarum. Astarghfirullahalazim…

     Sesi berbalas renung tamat apabila nama aku dijerit oleh seorang lelaki. Berlari-lari anak aku mendapatkan lelaki itu. Tangan lelaki itu aku peluk untuk menghilangkan malu kerana peristiwa tenung merenung antara aku dengan Tuan Emir tadi. Semacam sahaja air muka Tuan Emir bila melihat keberanian aku memeluk lengan lelaki lain di hadapannya. Berubah terus rona wajahnya.

     ‘Apa hal Aleesya pegang tangan lelaki lain? Siapa lelaki itu? Kekasih Aleesya ke?’ Punyalah menggebu-gebu rindu aku pada dia sampai sanggup meredah lebuh raya untuk datang ke kampung dia ni, tapi ini pula sambutan ‘meriah’ yang dia beri pada aku.

     Aku sentuh sikit, bukan main marah lagi, tapi depan mata aku sesuka hati dia saja menunjuk-nunjuk kemesraan dia dengan lelaki lain. Geram sungguh hatinya. Tangan kanan digenggam kuat. Kalau ikutkan hatinya yang sakit, mahu sahaja dia layangkan penumbuk ke muka lelaki yang sedang ketawa mesra dengan Aleesya itu.

     Tangan lelaki itu Aleesya tarik untuk mendekati Tuan Emir yang berdiri kaku memandang mereka berdua dengan renungan yang tajam. Marah le tu. Ha ha ha… Hampir dua hari tidak mendengar amukannya rasa rindu le pulak.

     Lelaki itu meletakkan tangan kirinya ke bahu Aleesya ketika mereka sampai di hadapan Emir Haidar. Mata mereka berlawan pandang. Seorang menatap dengan mesra, yang seorang lagi, faham-faham sajalah ya. Tenung orang dengan pandangan yang berapi.

     “Bos, kenalkan ini Abang Long saya. Along, inilah Tuan Emir Haidar, bos Leesya.” Tangan yang dihulur oleh abang Aleesya digenggam erat.

     Fuh…. Nasib baik aku tak meletup tadi, kalau tak, mana aku nak letak muka ni. Sendiri menelan malu dalam diam. Kalau aku mengamuk tadi, mahu Aleesya jadi bisu sebulan, tak mahu bertegur sapa dengan aku. Siapa yang susah nanti, aku jugakan.

     “Ashman.” Genggaman tangan mereka semakin ketat. Tiba-tiba tubuhnya diraih ke dalam dakapan lelaki itu. Terkejut dan terkedu jadinya dia. Omak aii… mesra dan ramahnya abang Aleesya ni…

     “Oh, ini rupanya Tuan Emir Haidar, Abang S, Aleesya.” Ketawa lembut keluar dari bibir Ashman.

     Wajah Aleesya yang tiba-tiba pucat aku pandang dengan perasaan hairan. ABANG S? Abang Sayang ke? Wah, ini sudah bagus! Senyuman aku lemparkan kepada Aleesya, tapi dia menjeling aku dan terus menundukkan kepalanya. Malulah tu sebab rahsianya sudah pecah. Ha ha ha…

     “Abang S? S untuk apa ya?” Pertanyaan yang membuatkan ketawa Ashman menjadi semakin kuat. Kepalanya digeleng-gelengkan. Bahu Emir Haidar ditepuk-tepuk. Takkanlah dia hendak pecah lubang pulak, mati nanti adik kesayangannya dikerjakan oleh bos singa tu.

     Nampak macam orang yang berhemah. Sopan saja gayanya. Tang mana tah garangnya Emir Haidar ni, tak nampak pun. Senyuman terus mekar di bibirnya. Wajah Aleesya yang sedang membuat mimik muka dipandangnya dengan perasaan lucu. Isyarat jangan pecah rahsia… Ha ha ha… Faham sangat dia. Tahu kau takut ya dik...

     Alamak… apasallah Abang Long ni ramah sangat dengan bos aku ni? Menyesal pulak aku cerita kat dia pasal Abang S tu. Nasib baik dia tak beritahu makna S tu. Kalau tak, mahu meletup-letup bos singa aku kat tepi pantai ni. Silap hari bulan, mahu dibenamnya aku dalam laut tu. Ishh… ngeri aku…

     Entah apa tah yang disembangkan Abang Long dengan Tuan Emir tu. Malas aku nak dekat dengan mereka berdua. Sesi mengutuk aku agaknya. Punggung aku labuhkan di atas batu di tepi pantai itu. Tengok matahari senja yang hampir terbenam itu lagi baik. Sekejap sahaja perasaannya kembali tenang. Subhanallah… Indahnya ciptaan Allah ini…

     “Adik, jangan lama-lama sangat kat tepi pantai ni ya. Mak suruh abang cari adik tadi, takut dia adik sorang-sorang kat sini. Dah ada Emir kat sini abang tak risau dah.”

     Aik… cepatnya mesra. Boleh panggil Emir sahaja. Hilang sudah perkataan tuan tu ya Along. Aku menolehkan kepala sebaik sahaja suara Abang Long kedengaran di belakangku. Aku hanya mengangguk-angguk sambil membuat tanda peace. Tuan Emir yang berdiri di sebelahnya aku jeling sekilas. Malu aku weiii…

     “Abang balik dulu Emir. Jemput datang rumah ya. Boleh juga berkenalan dengan mak kat rumah tu. Tidur di rumah kami sajalah malam ini. Boleh kita bersembang lagi nanti.”

     Bahu Emir Haidar ditepuk sekali lagi. Jabat tangan mengiringi perpisahan mereka senja itu. Selamba sahaja Emir Haidar melabuhkan punggungnya di sebelah Aleesya Syaurah.

     Senyap aje minah ni, malu dengan aku agaknya. Bahu Aleesya ditolak dengan bahunya. Ishh, apa bos ni. Main tolak-tolak orang pulak.Orang di sebelah dijeling dengan perasaan geram. Selalunya aku yang suka menjeling Aleesya, kali ni terbalik sudah, dia pulak menjeling aku. Sweet sangat kan…

     “Bos buat apa kat sini?” aku bangun untuk menjarakkan diri daripada Tuan Emir. Maghrib dah nak masuk, lebih baik aku balik. Lambat sampai rumah, mahu mak risau nanti.

     Kaki melangkah seiring dengan Tuan Emir yang mengekori langkahku. Makin aku nak menjarakkan diri daripadanya, semakin rapat pula dia mendekatkan diri dengan aku. Apa hal bos ni? Kalau orang nampak nanti, takut timbul fitnah pula, aku buat maksiat di tepi pantai ni.

     “Tak ada pulak papan tanda kat sini yang menunjukkan saya tak boleh datang ke sini.” Ayat selamba yang bikin hati aku panas.

     Menyampahlah dia ni, aku tanya lain, dia jawab lain. Hampir dua hari tidak bertekak, rindu gamaknya bos aku ni nak cari pasal dengan aku. Pinggangnya aku sigung. Balas balik perbuatan dia tolak bahu aku tadi. Amik kau…

     “Sakitlah sayang oiii…” lengan aku dipegang dengan kejap.  Serta merta mati langkahku. Rasanya telinga aku ni belum pekak lagi. Betul ke apa yang aku dengar tadi?

     Diseretnya lengan aku menghampiri keretanya yang dipakir di tepi jalan. Bagai kerbau dicucuk hidung, aku mengikut sahaja ke mana dibawanya aku pergi. Terpempan bila dengar perkataan sayang yang dia sebut tadi. Itu baharu satu perkataan sayang sahaja yang dia sebut. Agaknya kalau dia cakap I Love You, mahu dan dan itu juga aku pengsan kat tepi pantai ni.

     “Masuk.” Pintu kereta dibukakan untukku. Badan aku ditolak lembut supaya masuk ke dalam keretanya.

     Yang aku ni pun satu, ikut saja arahan dia. Tak reti-reti nak membantah agaknya. Tali pinggang keledar dipasangkan untukku. Selepas itu, dia beredar ke bahagian pemandu. Bila pintu kereta berdentum ditutup, baru aku tersentak. Wajah Tuan Emir aku pandang. Subhanallah… manisnya senyuman dia…

     “Bos nak bawa saya pergi mana ni?” baru suara aku keluar. Boleh pulak aku jadi bisu sekejap akibat penangan perkataan sayang yang dia ucapkan tadi.

     Masya-Allah… bawa-bawa sedar diri sikit Leesya oiii. Orang tu tak maksudkan apa-apa pun bila menyebut perkataan tu, yang engkau perasan sendiri ni apa hal? Tangan aku raupkan ke muka. Malu nak pandang muka Tuan Emir yang tak henti-henti tersenyum sejak berjumpa dengan aku tadi.

     Selama ini, bukan main kedekut lagi senyuman dia tu. Dah kena sampuk hantu senyum senja agaknya bos aku yang handsome ni. Handsome ke dia? Memang pun… Aduh, kemain lagi hati aku ni, tiba-tiba dibius jus miang buluh. Gatalnya… Mak tolong…

     “Awaklah bawa saya ke mana pun awak nak pergi. Ke mana, di mana pun saya tak kisah. Saya ikut saja.”

     Blur sekejap kepala aku. Dia nak pergi ke mana sebenarnya ni? Apa hal pulak aku yang kena bawa dia pergi ke mana-mana. Hah, kan dah berbelit-belit otak aku. Ke mana, di mana dan mana-mana. Apa ni?

     Enjin kereta dihidupkan. “So, mana jalan ke rumah awak?” kereta mula bergerak perlahan-lahan. Dag dig dug pula jantung ni nak berjumpa dengan emak Aleesya.

      Pergh… Gementar le pulak aku rasa. Dengan anak dia bukan main garang lagi aku ni, tapi dengan emak dia, kena hormat ya Emir. Ambil hati emak dahulu, baru boleh pikat hati anak dia pulak.

     “Bos nak buat apa pergi ke rumah saya?” soalan orang bengang ni. Tak suka betul dia datang ke rumah aku. Menyibuk aje kacau orang nak bercuti. Tak boleh tengok orang senang agaknya bos aku ni, sampai ke kampung dia cari aku. Kalau nak suruh buat kerja, tak boleh masa di pejabat nanti agaknya.

     “Saya nak beli belacan dan cencaluk dengan emak awak.”

     Hah.. Bila pulak emak aku jual cencaluk dengan belacan ni? Makan cencaluk pun mak tak suka, apa tah lagi nak jual benda tu, memang taklah. Aku perhatikan wajah Tuan Emir yang sedang ketawa. Ya, Allah. Dia main-mainkan aku rupa-rupanya. Bendul betul aku ni.

     “Saya nak hantar awak baliklah Aleesya oii… Abang awak yang suruh tadi. Saya cuma jalankan amanah yang orang beri. Baik kan hati saya ni.”

     Ceh… masuk bakul angkat sendiri. Menyampah aku... Lain benar sikap bos aku hari ini. Macam bukan dia, macam orang lain, macam kena sampuk. Macam kena kenan sengih Wak Jongos pun ada. Macam apa lagi ek? Macam… Hah… macam-macamlah dia ni… Adeh…

     “Ops, bos… stop, stop!” serta merta brek kereta ditekan. Jantung bagaikan mahu meletup kerana terperanjat dengan jeritan Aleesya. Tangan ditekap ke dada. Nafas ditarik panjang. Allahu Akbar. Apa hal ni?

     “Kenapa?” Lengan Aleesya aku pegang kejap. Cemas sungguh, takut kalau berlaku apa-apa padanya.

     “Bos dah terlepas rumah saya.” Aik, tak sampai lima minit memandu, dah sampai rumah dia ke? Mana satu rumah dia, kan sudah terlepas. Tadi tak mahu beritahu awal-awal. Memanglah minah ni.

     “Undur sikit kereta ni bos. Masuk ke lorong kiri tu ya. Rumah saya yang ada pokok rambutan dan bercat biru tu.”

     Lengannya yang aku pegang ditarik perlahan-lahan. Selamba saja muka Aleesya aku tengok. Tak ada rasa bersalah langsung sebab buat aku terperanjat. Sengaja dia mengelip-ngelipkan kelopak matanya. Bajet comellah tu.

     “Awak ni memanglah Aleesya. Suka sangat buat saya terkejut.” Kepalanya aku tunjal lembut. Ada rasa mesra menyapa hati. Kenapa dengan aku ni ya?

     Kereta aku undur dan masuk ke lorong di mana terletak rumah keluarga Aleesya. Nampak kemas dan bersih sahaja halaman rumah mereka.

     “Bos ni dah kenapa? Asyik nak sentuh saya saja apa hal?” sakit hati betul aku dengan singa ni.

     Eh, hari ini dia tak garang langsung pun la. Singa garang sudah bertukar menjadi ulat beluncas pulak. Gaya ulat bulu pun ada juga dia ni. Merenyam semacam. Hairan bin ajaib. Pelik sungguh ni. Musykil aku dibuatnya.

     “Suka hati sayalah nak pegang awak ke, nak sentuh awak ke. Awakkan ‘isteri’ saya.”

     Kurang asam punya bos. Ingat ini pejabat ke? Menyesalnya aku tersebut pasal ‘isteri’ depan dia hari tu, kan dia sudah ambil kesempatan. Ngee…

     “Isteri kat pejabat. Bos jangan lupa tu! Kalau nak pegang ke, nak sentuh ke, nak peluk cium ke, tunggu masa saya sudah sah jadi isteri bos.” Pintu kereta aku tutup dengan kuat. Amik kau…

     Terkedu singa tu aku buat. Padan muka jadi bisu sekejap. Kena sebijik dengan aku. Asyik nak kenakan aku aje. Kan aku dah kata, aku pun pandai mengenakan orang juga. Kaku, beku, bisu singa tu… Ha ha ha…



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku