I LOVE YOU ABANG SINGA
BAB 10
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 08 Oktober 2015
Penilaian Purata:
(6 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
3916

Bacaan






   BAB 10

     Bukan semua yang menggembirakan hati kita, baik untuk kita. Kadang-kadang yang menggembirakan itu tersembunyi derita. Dan bukan semua yang memualkan hati kita, tidak baik untuk kita. Kadang-kadang di situlah letaknya bahagia. Itulah apa yang aku rasa usai menunaikan solat Maghrib tadi. Wajah Tuan Emir yang tenang ketika bersalaman dengan Abang Long aku pandang. Bersih dan berseri di pandangan mataku yang diserang mood syahdu ini.

     Mulanya aku hendak kata padan muka dia, bila Abang Long meminta dia menjadi imam ketika kami hendak mendirikan solat Maghrib tadi. Semacam saja air muka dia. Takutlah tu. Aku tahu sangat Abang Long sengaja buat macam tu sebab nak try and test bos aku tu.

     Senyum sinis aku lemparkan pada dia. Boleh ke dia jadi imam kami? Di pejabat, sekali pun dia tak pernah mengimamkan solat kami kakitangannya. Abang Sharif yang lembut tu pulak yang selalu jadi imam. Dia cuma jadi makmum sahaja. Tahu ke dia baca surah yang panjang?

     “Jangan pandang dia sebelah mata,” itu kata Abang Long tadi.

     Aku malu sendiri bila mengingatkan sangkaan aku terhadapnya yang tidak tepat langsung. Bukan surah pendek biasa yang dibacanya ketika rakaat pertama, tetapi sebahagian Surah Al-Mulk, surah yang boleh menyelamatkan manusia daripada azab kubur, bagi orang yang mengamalkan surah tersebut.

     Subhanallah… Malu sungguh aku. Aku sendiri tidak begitu hafal surah ini. Aku sudah memandang rendah pada Tuan Emir. Kelebihan yang dimiliki tidak pernah ditunjukkannya.

     Siapa sangka, bos aku yang garang macam singa tu rupa-rupanya boleh menjadi imam yang baik. Panjang doa yang dibacanya selepas habis bersolat tadi. Lancar dan fasih. Boleh kalah Abang Long aku tau. Emak dan Kak Long bukan main lagi suka dengan Tuan Emir. Lelaki macam nilah bagus dibuat suami, kata emak.

     Erk… Tolonglah mak… Singa tu…

     “Tambah lagi Emir. Asam pedas ni Aleesya yang masak. Masam ke, masin ke, entah apa rasanya.”

     Ala emak ni… Tahulah aku ni tak cekap memasak seperti Kak Long dan Kak Ngah. Sengaja kan nak buat aku malu. Tak sanggup aku nak angkat muka. Tahu sangat Tuan Emir sedang memandang aku.

     Aku sebenarnya lebih pandai buat kek dan kuih. Masak lauk-pauk pun boleh sebenarnya, cuma kerap tak dipraktikkan sahaja. Qasreena teman serumah pun selalu tak ada di rumah. Aku makan sorang-sorang. Kedai makan dan restoran kan banyak, buat apa menyusahkan diri memasak. Malas aku haih…

     “Cukup semua rasa pedas, garam dan asamnya mak cik. Sedap Aleesya masak. Dah nak masuk dua pinggan saya tambah nasi ni. Tak sangka pulak saya, Aleesya pandai memasak. Ingatkan dia cuma tahu makan saja.”

     Cis, bos… sempat lagi tu mengutuk aku. Yang aku bawa kuih dan macam-macam makanan lagi ke pejabat tu tak ingat ke? Siapa yang menghabiskan semua tu kalau bukan dia.

     “Saya ingat malam ni nak ajak mak cik sekeluarga makan di Medan Selera Ikan Bakar, Pengkalan Balak tu. Tapi sudah rezeki saya malam ni dapat rasa masakan Aleesya pula. Malam esoklah kita pergi makan ikan bakar kat situ ya mak cik. Teringin juga saya rasa ikan bakar Pengkalan Balak ni.”

     Lauk asam pedas ikan parang di dalam mangkuk diceduk untuk kesekian kali. Pergh… sedap sungguh masakan Aleesya ni. Tidak dipedulikan langsung jelingan Aleesya yang duduk di hadapannya itu. Marah le tu...

     Aiyarkk… Malam esok bos nak tidur kat sini lagi ke? Bila dia nak balik? Tak boleh jadi ni. Macam mana nak tenang hati dan perasaan aku masa cuti ni kalau dia ada sekali kat sini. Ingatkan bolehlah aku bersenang-lenang melapangkan fikiran di kampung ni. Memanglah bos aku ni. Penyibuk nombor wahid. Pengacau tahap tentera Amerika yang suka menganggu ketenteraman negara lain..

     Erk… Dah kenapa pergi ke tentera Amerika segala bagai ni. Geram dengan Tuan Emir, otak aku sudah merapu yang bukan-bukan. Ishhh…

     “Errr... Bos kata nak balik esokkan?” Terus sahaja aku halau dia dengan cara yang berhemah. Kalau cakap terang-terang nanti dia terasa. Bila dia sudah terasa, memang mudahlah dia naik angin. Bila dia dah naik angin, nanti siapa yang susah. Aku juga kan...

     Bulat sekejap biji mata dia. Soalan yang tidak dia jangka. Aku pura-pura tersenyum. Bibirnya diketapkan. Berani sungguh dia jeling aku kat depan emak dan Along. Ha ha ha… Marahkan aku le tu…

     “Eh, kau nak balik esok ke Emir? Kata nak aku temankan kau melawat sekeliling Bandar Hilir dan merayau ke Jongker Walk malam esok. Tak jadi ke?”

     Wah, Along aku sudah beraku engkau dengan bos singa aku ni. Terlebih mesra nampaknya mereka berdua ni. Siap bertepuk tampar lagi. Bengang pulak aku melihat aksi mereka berdua. Along lupa ke cerita aku pasal Abang S aku ni. Kaki Along aku sepak dari bawah meja. Mata aku jegilkan. Selamba aje muka Along aku. Menyengih aje kerjanya. Keningnya dijongket-jongketkan. Kang aku cukur kening tu baru tahu…

     “Tak jadilah saya balik esok Along. Rasa seronok pulak makan angin di sini. Tak apa ke mak cik saya tinggal di sini sehari lagi?”

     Amboi, amboi, amboi… bukan main lagi ya dia beralong bagai dengan abang aku. Yang bos singa ni pun satu, punyalah banyak tempat pelancongan di Malaysia ni, kenapa kat Pengkalan Balak, kampung aku ni juga yang dia pilih untuk makan angin. Hangin satu badan aku jadinya.

     “Apa pulak tak bolehnya. Nak tinggal terus kat sini pun tak apa. Mak cik suka sangat.” Alahai… Emak pulak yang terlebih sudah ni apasal… Siap senyum lebar lagi Mak Leha aku ni. Aku buat muncung depan emak. Marah sebab dia cakap macam tu depan bapak singa tu.

     “Amboi muncung… Boleh gantung penyangkut baju.” Bibir aku ditarik oleh Kak Long Maimunah aku. Menyampahlah… Semuanya pakat berjemaah nak kenakan aku ni kenapa?

     Lebar saja senyuman orang yang duduk di hadapan aku tu. Penyokong dia ramai. Tak pernah-pernah dia tersengih sampai koyak melebar bibirnya macam tu. Selalunya masam mencuka sahaja air mukanya. Lokek nak senyum. Kalau senyum pun, senyum sinis yang menyakitkan hati. Dah kenapa dengan bos aku ni tah? Eee… Geramnya aku…

                                                                         *****************

     Aku duduk di beranda sambil mendukung Debab aku yang manja. Aku sayang sangat dengan Debab ni. Aku jumpa Debab masa dia masih kecil. Kasihan tengokkan dia yang terjatuh dalam longkang masa aku pergi ke Mahkota Parade dengan Kak Long dan emak tahun lepas.

     Emak marah sangat bila aku nak bawa Debab balik. Nanti siapa yang nak bela kalau aku tak ada di rumah, itu kata mak dulu. Sekarang ni, emaklah orang yang paling sayang dengan Debab. Pantang hilang sikit, sibuk dicarinya ke sana ke mari. Dulu Debab kecil dan kurus, sekarang ni badan Debab macam dipam-pam gebunya. Sebab tu daripada Tompok, aku tukar kepada nama Debab, sebab badannya yang semakin gemuk. Makan tidur sahaja kerjanya, mana tak makin debab badan Tompok aku ni.

     “Debab, rindu akak tak? Kalau boleh akak nak bawa Debab tinggal dengan akak. Tapi kalau akak pergi kerja, siapa nak jaga Debab? Mak pun mesti tak beri akak bawa Debab. Nanti dia rindu pulak dengan Debab. Akak sudahlah jauh, kalau Debab ada, boleh juga mak hilangkan rindu pada akak dengan peluk Debab.”

     Aku usap bulu Debab yang lebat dan kembang. Mana tak gebu badan Debab, mak beri makanan kucing yang mahal. Siap bawa jumpa dengan doktor haiwan lagi. Syampu bulu dia dua hari sekali. Bukan main lagi mak jaga kau ya Debab.

     Leka aku memerhatikan aksi Aleesya dengan kucing kesayangannya itu. Mula-mula aku rasa pelik juga bila terdengar suara dia bercakap sorang-sorang. Dia bercakap dengan siapa? Siap bahasakan diri akak lagi. Dia cakap dengan budak kecil mana? Bila aku jenguk ke beranda, la... ruap-rupanya dia sedang bercakap dengan kucing. Rasa macam nak tergelak pun ada bila dengar dia bahasakan dirinya akak dengan kucing tu. Siap dipeluk cium dan dibelai manja kucing gemuk tu.

     Terserlah sikap penyayang Aleesya. Naik cemburu aku dibuatnya. Rasa macam aku pulak yang nak jadi kucing tu, biar aku yang dibelai-belai dan dipeluk cium oleh Aleesya. Tentu asyikkan. Eh, aku ni nak cemburu dengan kucing apa hal? Kepala aku dah ting tong agaknya.

     “Jom, Emir. Semuanya dah siap. Pak Tam dengan kawan-kawan Along yang lain dah tunggu kat tepi pantai tu.”

     Kus semangat… Terkejut aku dengan tepukan Along di bahu kanan aku. Berilah salam dulu Along oiii… Nasib baik penumbuk aku tak melayang ke mukanya. Kalau tidak, lebam muka tu tau tak… Aku cuma tersengih sahaja. Malu wei kalau dia tahu aku tengah skodeng adik dia yang cun tu.

     “Adik nak ikut tak?” sapaan Along buat aku terperanjat sekejap. Tuan Emir di sebelah Along tenang-tenang sahaja wajahnya.

     Aik… Siap bawa tong polesterin dan mangkuk tingkat segala bagai ni nak pergi mana? Tangan kanan Tuan Emir memegang botol besar berisi air masak. Siap pakai baju track suit sepasang lagi. Tak kan nak berjoging malam-malam buta ni?

     “Along nak pergi mana dengan Tuan Emir?” soalan Along aku tak jawab. Aku lontar soalan balik pada dia. Hah...

     “Kami nak pergi memancing kat tengah laut. Adik nak ikut tak?” terjongket-jongket kening Along masa bertanya aku macam tu.

     Uikss… ada sahaja yang hendak dibuat oleh mereka berdua. Pantas sahaja aku menggeleng-gelengkan kepala. Tak nak aku ikut, lebih-lebih lagi kalau ada AS (Abang Singa) tu. Entah balik pukul berapa pagi agaknya nanti. Tidur lebih baik. Lagi pun aku tak suka naik perahu atau bot, pening kepala nanti. Tak sanggup nak tahan loya dan muntah.

     “Marilah ikut kami sekali Aleesya.” Sikit punya merayu suara aku. Tak seronok kalau dia tak ada. Rasa macam kosong hidup.

     Ishh… dah mula nak melalut otak aku ni. Gelengan kepalanya sedikit mengecewakan hatiku. Selamba saja dia bangun masuk ke dalam rumah. Bukan main seronok ya kau Debab kena peluk ketat-ketat dengan Aleesya. Aleesya peluk jantan lain. Cemburunya aku… 


Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku