I LOVE YOU ABANG SINGA
BAB 11
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 08 Oktober 2015
Penilaian Purata:
(6 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
3836

Bacaan






BAB 11

     Udara pagi yang sejuk nyaman aku hidu sedalam-dalamnya. Biar penuh oksigen dalam paru-paru aku. Rasa tenang sangat saat ini. Aku lontarkan jeritan sekuat-kuat hati ke arah laut. Kuhumban seluruh rasa sedih dan pilu. Biar terbang dan hilang semua perkara yang membuat otak aku berserabut.

     Ada tiga hal dalam hidup yang tidak boleh kembali iaitu waktu, kata-kata dan kesempatan. Waktu yang berlalu, tak mungkin dapat kita raih semula. Kata-kata manis atau melukakan hati yang diucapkan, tak mungkin dapat ditarik kembali sesuka hati dan kesempatan yang pernah diberi atau diterima akan terlepas dari genggaman begitu sahaja kalau kita tidak menghargainya.

     Ada perkara yang kita tidak mahu ia berlaku, tetapi kita terpaksa menerimanya. Ada perkara yang kita tidak mahu tahu, tetapi kita terpaksa menelan realitinya dan ada wajah yang kita tidak mahu berpisah, tetapi kita terpaksa melupakannya. Siapalah kita untuk menentang takdir-NYA.

     Jika keterpaksaan itu dapat melatih dan mengajar kita tentang erti reda, maka laluilah ia walaupun terpaksa. Masa depan kita tidak ditentukan oleh masa lalu. Masa depan kita ditentukan oleh apa yang kita lakukan saat ini. Hidup perlu diteruskan walau apa pun yang terjadi. Caiyok! Caiyok! Aleesya…

     Aku berlari-lari anak di sepanjang pantai. Lama sungguh tidak berjoging dan mengeluarkan peluh. Badan pun dah mula nak mengumpul lemak. Aku hayunkan tangan ke depan dan ke belakang, lagak orang yang senang hatinya.

     Tiba-tiba tangan yang aku hayun ke belakang terkena badan seseorang. Siapa pulak yang menyibuk berjoging kat belakang aku ni? Pantas sahaja kepala aku tolehkan ke belakang.

     La… dia lagi… Terus aku lajukan larianku. Makin laju aku berlari, semakin panjang pula langkah dia mengejar aku.

     “Bos nak apa kejar saya ni?” Aku menjerit sekuat-kuat hatiku melawan bunyi deburan ombak yang kuat. Hentian serta merta kakiku menyebabkan dia tidak sempat menghentikan lariannya lalu buk… badannya melanggar badanku. Berdebab kami jatuh berpelukan di atas pasir.

     Masya-Allah, sakitnya badan aku. Sudahlah terjatuh, kena hempap pulak dengan Abang singa ni. Patah siot tulang-temulang aku. Sesak nafas aku dibuatnya. Tolong… Aku seolah-olah kekurangan oksigen.

     Punyalah sedap badan dia landing atas badan aku. Berdegup-degap degupan jantung menghentam dada aku. Dunia seakan-akan berhenti berputar ketika tajam matanya berlawan pandang dengan mata aku. Saat tangannya mahu menyentuh pipi aku, cepat-cepat aku tolak tubuhnya sekuat-kuat hati aku. Berat seh badan dia. Muka sudah terasa hangat. Malunya aku…

     Aku bangun dan terus bersila di atas pasir pantai. Tudung yang senget aku betulkan. Nafas yang tersekat-sekat aku tarik perlahan-lahan untuk menghilangkan debar perasaan yang bertandak rancak dalam dada. Allahu Rabbi… Dah kenapa dengan aku ni?

     Tuan Emir yang terlentang di tepi aku, bangun perlahan-lahan dan turut bersila di sebelah aku. Lama kami berdiam diri. Tiba-tiba kami menjadi bisu pulak. Masing-masing macam sudah kehilangan kata-kata. Kesan terperanjat akibat insiden tadi gamaknya.

     “Err… Bos.. Kenapa bos kejar saya tadi?” Aku memulakan kata setelah agak lama kami menjadi bisu. Kalau masing-masing terus berdiam diri, mahu sampai petang kami jadi tugu kat tepi pantai ni.

     “Kenapa awak menjerit tadi?” Aik, dia ni.. Aku tanya dia, dia tanya aku balik. Inilah sikap dia yang paling aku benci. Suka sangat berbalas soalan dengan aku. Tak reti-reti agaknya nak jawab terus soalan yang aku tanya.

     Aku pandang wajah Tuan Emir. Segaknya dia pakai baju t-shirt kuning dan seluar track suit hitam. Sempat lagi tu aku belek penampilan dia pagi ni.

    Eh, nanti kejap… Dia nampak ke aku menjerit-jerit tadi? Pukul berapa dia balik dari memancing pagi tadi? Alamak… Malunya aku… Mesti dia ingat kepala aku sudah mereng, menjerit macam orang tak siuman kat tepi pantai pagi-pagi ni. Aku terus senyap. Malu nak beritahu dia sebab aku menjerit tadi.

     “Aleesya…” Aku buat tak tahu sahaja dengan pertanyaannya itu. Daripada bersila, aku menarik kedua-dua lututku ke dagu. Tangan memeluk lutut dan kepala aku labuhkan di atasnya. Kepala aku tolehkan ke kiri. Malu nak pandang wajah Tuan Emir yang pastinya sedang merenung aku.

“Awak jangan buat saya risau Aleesya. Kenapa awak menjerit tadi?” Sekali lagi soalan yang sama diulangnya.

     Dia ni memanglah, selagi kita tak jawab soalan yang dia kemukakan, jangan haraplah dia akan lepaskan kita. Memanjang tak puas hatinya nanti.

     “Tak ada apa-apalah bos.” Air mata rasa macam nak meleleh dah ni. Terharu sebab pertanyaannya itu. Garang-garang dia pun, dia masih sudi nak ambil berat pasal aku. Mahunya aku tak terasa. Lain sungguh sikap dia ni. Selalunya dia tak peduli pun dengan aku, tapi kali ini, baik pulak hati dia nak ambil kisah pasal aku. Betul ke bos aku ni?

     “Kalau dah menjerit-jerit macam perempuan meroyan lepas beranak, tak kan tak ada apa-apa!”

     Umang ai mulut dia ni. Hendak saja aku sumbat pasir dalam mulut dia. Sesuka hati aje mengutuk aku. Mana tah dia tahu macam mana perempuan meroyan menjerit, dia pernah tengok ke? Sudahlah cuti aku ni terganggu dengan kehadirannya di sini, dia tambah lagi sakit hati aku dengan kata-katanya yang bikin hati aku hangat.

     Malas aku nak layan. Aku cuba bangun untuk melarikan diri daripada Tuan Emir, namun belum sempat kaki aku tegak berdiri, pantas sahaja tangannya menarik lengan aku. Sekali lagi aku jatuh terduduk di atas pasir pantai.

     “Apa ni bos tarik-tarik lengan orang. Saya tak suka tau!” Hendak aje aku hempuk kepala dia dengan kasut sukan yang aku pakai. Sesuka hati saja tarik lengan aku. Kang nampak dek emak, mahu setahun dia berleter tak sudah. Nasib baik aku tak jatuh terduduk atas riba dia, mahu letak jawatan terus aku kalau itu yang berlaku.

     “Kalau tak suka saya buat macam tu, jawab sajalah apa yang saya tanya tadi. Susah sangat ke awak nak beritahu saya!”

     Hah... kan dah tinggi nada suara aku. Punyalah kita risaukan dia, boleh dia kata tak ada apa-apa. Memang nak kena Aleesya ni. Rasa macam hendak sahaja aku gigit muncungnya yang panjang tu. Asyik nak melawan sahaja kerjanya. Bila dah kena jerkah, baru nak terkebil-kebil matanya memandang aku. Kesian pula aku tengok biji matanya yang sudah mula nak merah tu.

     “Aleesya…” dia masih mendiamkan diri.

     Amboi… bukan main berani ya sekarang ni dia melawan renungan mata aku. Aku pula yang jadi gelabah bila ditenung oleh Aleesya. Aku tatap wajahnya. Sayu saja air mukanya.

     Eh, baru aku perasan ada tahi lalat kat bawah dagunya. Selama ini aku tak sedar ada tahi lalat di situ. Nampak sweet sangat. Baru kali ni aku dapat belek wajah dia dekat-dekat.

     “Leesya…” suara aku lembutkan. Perlahan sahaja aku menyeru namanya. Tiba-tiba nak tangkap syahdu di tepi pantai ni kenapa Emir? Bila mata bertentang mata, lidah kelu untuk berkata-kata. Hah, sudah…

     “Saya minta maaf Aleesya. Bukan sengaja nak takutkan awak. Yang awak lari tadi siapa suruh?”

     “Dah bos kejar saya, saya larilah. Yang bos kejar saya tadi siapa suruh?”

     Aik… dia copy ayat aku pulak. Kita tanya dia, dia tanya kita balik. Dia ni kan… Ishh… Asyik menjawab sahaja kerjanya. Aku beliakkan mata. Tajam aku renung wajahnya. Perlahan-lahan dia menundukkan kepala. Hah... Tahu pun dia takut bila kena tenung dengan aku.

     “Aleesya, kalau awak tak mahu beritahu saya tak apa. Tapi lain kali tolong jangan buat perangai macam ni. Sesuka hati awak sahaja minta cuti, tinggalkan saya sorang-sorang di pejabat. Kelam kabut tahu jadinya hidup saya. Tak ada orang nak ingatkan apa yang perlu saya buat dan tak ada orang yang boleh saya lawan bertekak. Norlela buat air tak sedap langsung tau.” Aik… Sempat lagi tu mengutuk Kak Norlela.

     Hah, padan muka! Baru kau tahu susahnya hidup kalau aku tak ada. Kalau Kak Lela buat air tak sedap, maknanya air buatan tangan aku tu sedaplah ya bos. He he he… Dia tak mahu puji aku terang-terang, tapi aku faham maksud ayat terakhirnya itu.

     “Bukan ke bos suka sangat kalau saya tak ada di pejabat. Bos kan menyampah tengok muka saya ni. Kalau saya ada kat pejabat tu, ada saja silap saya yang bos nampak.” Punyalah ramai kakitangan yang lain dalam pejabat tu, suka hati dia saja cakap aku tinggalkan dia sorang-sorang di pejabat. Sewel   agaknya kepala bos aku ni.

     “Memang saya tak suka! Saya tak suka awak tak datang kerja dan yang paling saya tak suka bila awak tak ada depan mata saya.”

     Terkejut aku bila dia meninggikan suaranya. Bagai nak luruh jantung aku dibuatnya. Hati aku sudah berdebar semacam dah ni. Tajam matanya merenung wajah aku. Alamak, angin pasang dia sudah datang…

     “Err… Err… Kenapa bos tak suka saya tak ada depan mata bos?” Apa punya soalanlah Aleesya oii…

     Kau jangan nak perasan ya Aleesya. Takut-takut aku melawan renungan matanya yang menikam tajam wajah aku tu. Bos aku ni sudah tak betul angin dia gamaknya. Sekejap cakap lembut, sekejap meninggikan suara. Lemas betul aku nak melayan kerenah dia nilah…

     “Kalau awak tak ada depan mata, saya tak boleh nak buli awak, tak boleh nak menjerit sesuka hati sebab saya tak boleh nak lepaskan geram pada orang lain.”

     Ceh… terus aku debik lengan dia. Itu rupanya yang ada dalam hati dia. Ingatkan dia ada simpan perasaan pada aku. Kau jangan nak perasan ya Aleesya, lupa ke yang dia sudah ada kekasih. Seksi dan gebu lagi. Kau tu siapa, cuma setiausaha merangkap PA tak bertauliah dia sahaja. Sedar diri sikit ya Aleesya.

     Dagu aku labuhkan semula di atas lutut. Aku peluk kuat-kuat lutut aku untuk melepaskan rasa terkilan dalam hati. Berdiam lebih baik daripada berkata-kata. Kalau banyak cakap, nanti entah apa pulak ayat yang keluar dari mulut aku. Kalau silap cakap boleh bikin orang di sebelah aku hangin satu badan. Susah nak jangka perangai dia. Sekejap romantik, sekejap melenting. Ada wayar putus gamaknya dalam kepala bos aku ni.

     Bahu aku dicuit-cuitnya. Ishh… Main cuit-cuit orang pulak bos ni. Aku tolehkan kepala memandang wajahnya yang tak sudah-sudah memerhatikan gelagat aku. Aku teliti wajah Tuan Emir. Pipi licin dan bersih macam pipi orang perempuan. Bukan main lagi dia menjaga mukanya itu. Aku tersenyum sinis. Ha, kan aku dah buat dosa mengata dia dalam hati.

     “Kenapa awak senyum?” serius sahaja dia bertanya.

     “Aik, bos. Senyum pun tak boleh ke?” aku tanya dia balik.

     Dia menunjal kepala aku dengan jari telunjuknya. Kurang asam punya bos. Karang aku tunjal balik kepala dia baru tahu. Dah kenapa dengan bos aku pagi ni tah. Gatal aje tangan dia nak menyentuh aku. Kalau ikut hati aku yang panas ni, hendak saja aku gigit dan patah-patahkan jari dan tangan dia yang menggeletis macam ulat gonggok tu. Tercuit sana, tertunjal sini. Lagi sekali dia buat macam tu, memang siaplah aku kerjakan dia.

     Erk… Macam berani le sangat ya Aleesya. Bibir aku kemamkan tanda bengang.

     “Awak kutuk saya dalam hati ya Aleesya?” faham pun dia. Tahu saja dia ya apa yang berselirat dalam hati aku ni. Aku hanya menggeleng sambil tersenyum. Nak mati beritahu dia apa yang ada dalam kepala aku ni. Nanti tak pasal-pasal dia mengaum kat tepi pantai ni. Telinga siapa yang tersumbat dengan ngaumannya nanti? Telinga aku juga kan…

     “Awak masih tak nak beritahu saya kenapa awak menjerit tadi Aleesya.” Laa… Masih tak habis-habis lagi ke isu jeritan aku tadi. Kena beritahu juga dengan dia ni. Selagi aku tak bercerita, selagi itu dia tidak akan berpuas hati.

     “Bos, saya menjerit tadi bukannya apa. Bukan sebab saya meroyan ke, sewel ke. Saya menjerit sebab hendak menghumbankan seluruh rasa derita dan kecewa saya. Biar terbenam semuanya ke dasar lautan. Saya rasa lega sangat bila semua perasaan serabut dan tekanan perasaan yang saya alami seolah-olah hilang bila saya berbuat demikian. Fikiran saya lapang, jiwa semakin tenang. Beban perasaan yang saya tanggung semakin ringan.”

     Renungan di wajahku dialihkan ke laut. Jauh pandangan matanya. Lama dia berdiam diri. Entah apa yang dia fikirkan tah.

     “Kalau saya menjerit macam awak, agak-agak lega tak perasaan saya? Boleh hilang tak beban perasaan yang saya tanggung?” Aik... tadi mengata aku meroyan sebab menjerit, kali ni dia pulak nak mencubanya.

     “Buat sajalah bos. Tak salah pun menjerit kat sini. Tak ada siapa yang nak saman kalau bos buat macam tu. Lagi lega perasaan bos tu adalah.” Aku beri semangat pada dia untuk mencuba.

     “Memang aktiviti menjerit boleh mengurangkan tekanan perasaan yang kita tanggung. Sekurang-kurangnya, kita tak menjerit depan orang. Tak adalah orang mengata kita gila. Biar laut dan pantai jadi saksi jeritan kecewa kita. Kita humbankan semua rasa pilu dan selepas itu, tanamkan azam dalam hati, aku tak mahu ingat semua kisah sedih. Mulakan hidup baharu dengan jiwa yang tenang dan hati yang lebih bersih.”

     “Senyuman yang kita berikan dan air mata yang kita titiskan, simpanlah ia, jadikan tauladan. Segala apa yang kita pandang dan dengar, kita simpan untuk dijadikan pedoman pada masa hadapan. Jika kita ingin mengubah hidup, kita harus memutuskan untuk segera melakukannya, bukan menunggu. Betul tak bos?”

     “Dalam surah Al-Imran ayat 139, Allah telah berfirman: Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman. Ayat inilah yang sentiasa menjadi pegangan saya sewaktu saya bersedih ketika ditimpa musibah.”

     Banyak cakap pulak aku pagi ni. Sekali orang dengar, sudah macam ustazah le pulak. Aku pulak yang beri nasihat pada Tuan Emir. Kelmarin dia nasihatkan aku, hari ni aku pulak yang jadi penasihat tak bertauliah dia.

     Eh, kenapa bos aku ni nak menjerit? Musykil aku. Senyap aje orang kat sebelah aku ni. Dia faham ke tidak apa yang aku cakap tadi.

     “Err, bos… Kenapa bos nak menjerit juga? Bos pun ada masalah ke?” Jauh sungguh renungan bos aku ni. Seriau aku bila melihat renungan tajamnya itu. Mata dia seolah-olah berkaca-kaca. Erkk… bos aku menangis ke?

     “Bos, kenapa ni?” berderet-deret soalan aku, langsung tidak dijawabnya.

     “Kalau ada kata-kata saya yang buat bos terasa, saya minta maaf ya. Saya cakap bukan untuk bos sahaja, tapi sebagai peringatan untuk diri saya yang sentiasa alpa. Saya…” tak sempat aku habiskan kata-kata, Tuan Emir sudah memotong percakapan aku

     “Aleesya…Terima kasih ya. Tak sangka awak boleh beri pandangan yang bernas macam tu. Saya ingatkan awak ni cuma tahu menangis dan melawan cakap saya saja. Rupa-rupanya pandai juga awak beri nasihat pada orang. Nasihatkan bos awak pulak tu.”

     Fulamak… Manis sungguh senyuman bos aku. Pagi ni aku dapat banyak sedekah percuma daripada dia. Sedekah senyuman yang selalunya dia lokek nak beri serta ucapan terima kasih yang jarang-jarang, eh bukan jarang, tak pernah langsung aku terima daripada dia.

     “Pengalaman lalu banyak mendidik saya bos. Hidup kita ini terlalu singkat untuk diisi dengan perkara yang merugikan diri. Allah hantar ujian sebab DIA rindu dan sayang dengan kita. DIA hantar kesakitan untuk menghapus dosa. Bila Allah hendak kita bahagia, DIA berikan ketenangan kepada kita. Kita matang kerana masalah. Kita jadi lemah kerana putus asa. Kita maju kerana usaha dan kita jadi kuat kerana doa.” Sekali lagi aku jadi macam pakar motivasi. Boleh tukar profesyen kalau macam ni.

     “Awak sepatutnya jadi ustazah, bukan jadi setiausaha saya tau Aleesya.” Pandai juga ya Tuan Emir mengusik aku. Kami berbalas senyuman. Perkara yang jarang-jarang dan kadang-kadang kami lakukan sebab dulu bos singa aku ni ada masalah urat kejang di mulutnya. Payah nak senyum. Agaknya urat kejang di tepi bibirnya sudah kendur. Ha ha ha… Aku dah mengata dia balik…

     “Bos nak menjerit kenapa ek?” Samalah macam dia, aku tak puas hati selagi dia tak jawab soalan aku. Dia sibuk nak tahu hal orang, aku pun nak tahu juga rahsia dia. Baru adilkan…

     Kelu lagi lidah bos aku ni. Kelopak matanya dipejamkan. Nafas ditarik panjang dan dilepaskan perlahan-lahan. Leka pulak aku tengok aksinya itu. Nampak segak sangat.

     Hah, Aleesya... Jangan tenung anak teruna orang lebih-lebih sangat. Nanti dia ingat kau ada hati dengan dia.

     “Jangan ingat awak seorang sahaja yang ada masalah Aleesya. Bukan hidup namanya kalau tidak diduga oleh Allah. Macam kata awak tadi, Allah hantar ujian sebab dia sayangkan kita. Hanya manusia sahaja yang tidak tahu menghargai kasih sayang. Saya pernah hilang kasih sayang seseorang malah menjadi mangsa kebenciannya. Kesan yang dia tinggalkan membekas hingga kini. Sakit sungguh jiwa saya bila mengingatkan semua perbuatannya. Tak tahu entah bila akan hilang semua kesakitan yang pernah saya alami dulu.”

     Sayu sungguh suara Tuan Emir. Berat juga rupa-rupanya beban perasaan yang dia alami. Aku ingat, aku saja yang teruk merana, tapi dia pun pernah menderita macam aku. Tapi susah juga aku nak cerna kata-kata dia tadi. Dia pun pernah putus cinta juga ke? Atau ada kisah dan rahsia lain yang aku tak tahu.

     “Bos, kalau saya tanya, bos jangan marah ya.” Aku lembutkan suara. Nak tahu rahsia orang mestilah kena berhati-hati bila bersuara, betul tak?

     Selama ini aku dengan Tuan Emir selalu bermasam muka. Asyik nak bercekau sahaja bila berjumpa, tak sangka pulak kami boleh duduk serapat ini meluahkan rahsia masing-masing. Tuan Emir menjongketkan keningnya seolah-olah bertanya apa soalan yang ingin aku tahu.

    “Bos pun pernah putus cinta ke? Saya cuma agak daripada kata-kata bos tadi. Taklah seteruk saya bos... Saya ni sudahlah kena tipu, putus tunang lagi. Ditambah pula dengan mendapat malu. Paling tragis bila ayah meninggal dunia sebab terkejut dengan perbuatan bekas tunang saya dulu. Saya bukan sahaja sudah jatuh ditimpa tangga, dengan rumah-rumah tu sekali hempap saya tau bos.”

     Aku cuba melawak dengan dia. Kesian pulak aku tengok air muka dia yang keruh. Nampak saja dia tenang, segak dan bergaya. Tapi dalam hatinya ada rahsia yang terpendam.

     “Orang menderita bukan sebab putus cinta sahaja Aleesya. Ada banyak perkara yang boleh buat kita merana. Awak diuji dengan putus cinta, tapi Allah beri dugaan lain kepada saya. Rahsia saya, milik saya. Tak payahlah awak tahu.”

     Kalau dah itu kata dia, baik aku diam sahaja. Buat apa nak paksa-paksa dia beritahu aku. Dia paksa aku tak apa, tapi aku jangan berani-berani nak paksa dia ceritakan semuanya. Nanti tak pasal-pasal dia mengamuk dan melenting. Angin puting beliung dia bukan boleh dijangka. Kalau nak mengamuk, dia akan mengamuk sepuas hati. Tapi kalau dia dalam keadaan tenang, alahai lembut sungguh dia bercakap. Romantik aje bila dengar suaranya. Aku boleh tangkap lentuk dengan dia.

     “Bos dah sarapan ke belum?” Cepat-cepat aku tukar topik lain. Asyik bercerita pasal merana dan derita bosan juga. Lagi pun dia bukan nak bercerita dengan aku kisah sedihnya. Buat aku bengang aje. Kalau dipaksa bercerita kang lain pulak jadinya.

     Tuan Emir mengeleng-geleng sambil tersenyum. Aku bangun diikuti oleh Tuan Emir. Kami melangkah bersama-sama pulang ke rumah. Pagi ni Kak Long Maimunah aku buat roti canai dengan kuah kari ayam. Perghh… Terbaiklah…



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku