I LOVE YOU ABANG SINGA
BAB 12
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 08 Oktober 2015
Penilaian Purata:
(7 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
4501

Bacaan






 BAB 12

     Kalau ikutkan hati aku yang bengang, hendak sahaja aku hempuk kepala bos aku dengan beg tangan ni. Dah banyak kali aku cakap, aku tak nak naik, tapi dia paksa juga aku naik Menara Taming Sari tu. Sudahnya, sebaik sahaja aku turun dari menara tu terbelahak aku muntah. Pening dan seakan-akan berputar kepala aku. Selamba sahaja dia tepuk-tepuk belakang badan aku. Kalau tak disebabkan kepala aku yang pusing, memang aku tepuk balik belakang badan bos aku ni. Biar gugur jantung dia.

     “Awak okey tak Aleesya?”

     Ngeee... Soalan orang terlebih bijak. Kalau dah sampai aku muntah-muntah dan muka pucat lesi sebab naik ke menara yang berpusing semasa turun naiknya itu, masih mahu tanya lagi ka… Rasa macam naik roller coaster tau. Berputar kepala aku. Aku memang benci benda yang berpusing-pusing ni. Rasa macam nak terburai semua isi perut aku.

     “Nah, beri isteri anak minum air ni.” Seorang mak cik menghulurkan sebotol air mineral kepada Tuan Emir.

     “Mengandung anak sulung ya. Dah berapa bulan dah ni?”

     Adoilah mak cik … Sebenarnya saya bukan isteri dia. Kahwin pun belum lagi. Boy friend pun saya tak ada mak cik oii…. Tapi semua kata-kata tu cuma bergema dalam hati. Tak larat aku nak bercakap. Sakit sangat kepala dan perut aku.

     “Baru sebulan mak cik. Terima kasih beri air ni ya.”

     Tuan Emir menghulurkan air kepada aku. Rasa macam nak aku cepuk saja muka dia. Memandai aje buat cerita dengan mak cik tu. Nasib baik aku tak larat nak bergaduh. Kena jaga juga air muka dia depan mak cik tu.

     “Jaga isteri tu baik-baik ya. Kesian dia. Teruk sungguh loya dan muntahnya tu. Jaga kandungan tu baik-baik ya, nak.” Bahu aku ditepuk-tepuknya perlahan. Tangan mak cik tu aku jabat. Tunggu aku rasa lega sikit, sekejap lagi siap kau bos!

      Tuan Emir memimpin aku masuk ke dalam keretanya. Nasib baik kereta diparkir berdekatan dengan Menara Taming Sari itu, tak adalah seksa aku nak berjalan jauh. Aku menyapu minyak angin yang aku ambil dari dalam beg tangan aku. Minyak Cap Kapak memang sentiasa aku bawa ke mana-mana. Aku ni selalu pening, sebab tu tak tinggal langsung minyak tu, sentiasa ada dalam beg tangan aku.

     Mulanya tadi lepas solat Asar, Tuan Emir ajak aku, Abang Long dan Kak Long bersiar-siar di Bandar Hilir ni. Ikutkan hati, aku malas nak ikut, tapi last-last minute, Along dengan Kak Long tak dapat pergi sama sebab katanya mak suruh pergi beli barang dapur. Ceh, alasan aje tu. Sengaja mereka nak biar aku sahaja yang temankan bos singa ni.

     “Aleesya, awak dah okey ke tak ni?” Hangat aje hati aku dengar pertanyaan yang keluar daripada mulutnya tu. Tambah lagi sakit hati dengan lakonan dia depan mak cik tadi. Aku jeling dia geram.

     “Amboi… Dalam pening-pening ni pun awak masih sempat menjeling saya ya Aleesya.” Punyalah gelabah aku tadi bila tengok dia muntah. Rupa-rupanya dia ni gayat dengan tempat tinggi. Sebenarnya naik Menara Taming Sari tu macam naik lif aje, berputar dan bergerak perlahan semasa turun dan naik. Boleh pulak pening kepala dia sebab tak tahan naik ke tempat tinggi..

     “Awak mengidam nak makan apa Aleesya?” Sengaja aku usik dia bila teringatkan kata-kata mak cik tadi. Kebetulan pula ya. Dia ‘isteri’ aku di pejabat, tadi pula mak cik tu tanya dia mengandung berapa bulan. Kebetulan yang sangat manis. Aku err... err… rasa macam suka sangat. He he he…

     Pantas sahaja belakang tangan dia mendebik dada aku. Adoilah… Aku tangkap tangannya bila dia hendak memukul dada aku untuk kali kedua. Tergamam terus dia. Hah... Amik kau, berani ya pukul dada aku. Ingat aku tak berani ke nak pegang tangan dia. Aku cium kang baru tahu.

     “Melampaulah bos ni. Pandai-pandai aje buat cerita depan mak cik tu tadi. Bila masa

saya mengandung? Kahwin pun belum lagi tau.”

     Tangan aku yang dipegang, aku tarik perlahan-lahan. Kalau sentap kuat, nanti tangan aku yang sakit. Lagi pun, kalau aku buat macam tu, semakin kuat nanti dia cengkam pergelangan tangan aku. Sakit tau… Bos aku ni bukannya boleh dicabar. Kita kenakan dia sikit, melampau-lampau dia kenakan kita balik. Tak mengagak langsung.

     “Eh, tak betul ke awak ni isteri saya?” senyum kambing gatal koyak di bibirnya.

     Ngee… Menyampahnya aku... Tak habis-habis dengan ‘isteri’ dia. Menyesal sungguh aku. Itulah Aleesya, siapa suruh kau sebut perkataan tu, memang sedaplah dia ambil kesempatan membahan kau. Asyik nak mengenakan orang saja kerjanya. Malas aku nak layan. Aku buangkan pandangan ke luar kereta. Tak boleh nak tengok wajah dia yang sedang senyum lebar sebab dapat mengusik aku.

     Bos singa aku sudah hilang taringnya. Sudah macam kucing Parsi pulak. Miang dan mengada-ngada. Tapi jangan terpedaya Aleesya oii… Kat luar dia jadi orang lain, tunggulah masa di pejabat nanti, mesti bertukar balik watak dia. Kembali menjadi singa…

     Enjin kereta dihidupkan. Dari Bandar Hilir, kereta dipandu menghala ke Mahkota Parade lalu di belok ke kiri menuju ke Pulau Melaka. Tuan Emir memberhentikan kereta di hadapan Masjid Selat. Tersergam indah binaan masjid yang cantik seni binanya itu. Berdiri megah menghadap Selat Melaka. Cantik dengan hiasan lampu yang banyak di sekelilingnya. Kagum aku dengan pemandangan indah di situ. Damai rasa hati.

     “Turun! Jangan nak berangan dalam kereta ni!”

     Ish...  potong stim betullah bos aku ni. Baru nak tangkap syahdu. Kan aku dah kata. Dia ni bila-bila masa boleh bertukar kulit. Sekejap macam ulat beluncas, sekejap macam kucing parsi. Hah... La ni dah jadi singa balik. Kang aku cakar muka tu baru tahu.

     “Nak buat apa turun? Dah senja ni tak tahu ke? Buat apa kita datang sini?”

     Hah… Amik kau… Sampai tiga soalan sekali gus aku beri. Semacam aje dia tenung muka aku. Ngeri le pulak aku rasa.

      “Kalau dah senja dan berhenti pulak depan masjid, nak buat apa lagi, mestilah nak bersolat! Turunlah, kita solat Maghrib kat sini dulu, lepas ni baru kita pergi ke tempat lain.”

     Serta merta muka aku berona merah. Malu weii… Aku udahlah tengah ‘cuti’ ni, segannya nak beritahu dia. Tapi aku berlagak selamba, perlahan-lahan kaki aku keluarkan dari kereta. Aku terus menuju ke tempat solat untuk kaum wanita. Aku lebih rela menunggu dia di ruangan itu daripada menunggu di dalam kereta. Nanti dia kutuk aku kaw-kaw punya.

     Aku masuk ke dalam tandas. Aku basahkan muka macam lepas ambil wuduk. Kalau tak buat macam ni nanti dia syak pulak. Lakonan mesti mantop. Lama juga aku menjadi penunggu dalam tandas tu. Agak-agak sudah selesai solat Maghrib, aku keluar dari situ. Lambat-lambat aku berjalan. Sengaja sebab nak curi masa, biar bos aku tidak mengata apa-apa.

     Aku menyandarkan badan ke kereta Audi Q7 bos aku. Selalunya dia bawa kereta BMW M2 kalau ke pejabat. Kali ni, kereta lain pulak yang dia bawa. Lama juga aku tunggu Tuan Emir. Entah apa yang dia buat dalam masjid tu tah. Lama berzikir kot.

     Aku berdiri di atas tebing yang terdapat di tepi masjid itu. Bayu laut yang berpuput sepoi bahasa, menampar lembut wajahku. Tangan aku dakapkan ke tubuh. Rasa sejuk sudah mula terasa.

     Subhanallah… cantik sungguh persekitaran masjid ini. Terang benderang dengan limpahan cahaya neon di sekelilingnya. Aku tebarkan pandangan ke laut lepas. Tampak bangunan hotel yang sedang dalam pembinaan di seberang sana. Nafas aku tarik panjang. Jiwa aku terasa tenang dan damai ketika ini. Allahu Akbar…

     Teringat aku akan tazkirah Ustaz Syukri, imam di surau tempat aku tinggal. Barang siapa tidak menghargai nikmat hidup, maka nikmat itu akan diambil dalam keadaan kita tidak mengetahuinya.

     Hidup ini adalah gabungan antara bahagia dan derita. Ia sangat menguji keteguhan iman seseorang. Malanglah bagi mereka yang hanya mengikut kehendak hati dan tidak sanggup menerima penderitaan.

     ‘Ya, Allah... Kau sejukkanlah hatiku yang resah dan sembuhkanlah luka di hatiku ini. Berikan aku kekuatan dan ketabahan hati serta ketenangan jiwa untuk terus kuat mengharungi hidup yang penuh pancaroba ini.’ Tiba-tiba pula aku rasa sayu. Rindukan arwah abah dan teringatkan emak yang sentiasa menyokong aku dengan kasih sayangnya.

     “Berangan! Berangan! Pantang dapat peluang, asyik berangan saja kerja awak ni ya Aleesya!”

      Kurang asam punya bos. Tak ada salam terus sergah orang. Nasib baik aku tak melompat masuk ke dalam laut sebab terperanjat. Aku urut dada untuk melegakan perasaan. Kalau ikut hati, hendak saja aku karatekan bos aku ni. Geram betullah dengan dia ni…

     “Ya, Allah bos… Tak reti-reti nak beri salam ke? Nasib baik tak gugur jantung saya tau. Kalau saya mati terkujat kat sini, apa bos nak jawab dengan emak saya.” Aku jeling dia dengan perasaan yang terrrsangat geram. Macam biasalah, selamba badak saja muka dia. Tak ada rasa bersalah langsung. Senang hati lagi adalah sebab dapat mengenakan aku.

     Aku labuhkan punggung di atas kerusi yang terdapat di situ. Dada masih berdebar-debar lagi. Rasa terperanjat belum hilang. Kalau asyik kena sergah macam ni, mahu pendek terus umur aku. Nauzubillah… Aku buat-buat tak tahu dengan Tuan Emir. Biar dia menunggu kat situ pulak. Tadi dahlah lama aku tunggu dia, sekarang ni, biar dia pulak yang tunggu aku. Lantak dialah nak marah pun.

      Tuan Emir menyandarkan belakang badannya di tepi tembok. Nampak bergaya sungguh bila dia berpeluk tubuh macam tu. Air mukanya tampak tenang dan berseri-seri, berkat wuduk dan solat yang baru didirikan tadi. Kami berbalas pandang. Dia tenung aku, aku pulak malu-malu kucing membalas renungannya.

     Ah, sudah... Apa hal berbalas renungan ni? Kat depan masjid pulak tu. Baik aku beredar dari sini, kang tak pasal-pasal kena tangkap basah. Lepas tu terus kena menikah dalam masjid. Hish… Tak mahu aku haih…

     “Jomlah bos. Kata nak pergi Jonker Walk. Lagi lambat kita bergerak, nanti lambat pulak kita balik. Takut emak saya bising nanti. Tak elok kita berdua duduk di sini. Depan masjid ni bos, kang tak pasal-pasal kita kena cekup, naya aje.” Cepat-cepat aku melangkah ke keretanya. Nasib baik dia tidak membantah. Pintu kereta aku buka setelah dia menekan punat kunci.

     “Okey apa kalau kena cekup depan masjid. Senang kira, terus menikah kat sini.” Terhenti terus tangan aku yang hendak memasang tali pinggang keledar. Wajah selamba Tuan Emir aku renung.

     Biar betul dia ni. Dah mereng agaknya kepala bos aku ni. Sambil menghidupkan enjin kereta, bibir Tuan Emir tak henti-henti tersenyum. Sengajakan dia hendak buat jiwa aku kacau. Kereta dipandu perlahan-lahan keluar dari perkarangan masjid itu.

     “Bos memang suka kenakan saya kan? Bos hendak ke menikah dengan saya? Buah hati bos tu nak campak ke mana? Agak-agaklah bos kalau nak melawak pun. Tak nak saya kahwin dengan bos. Bos dahlah garang macam singa, nanti tiap-tiap hari kena jerkah dengan bos. Tak sanggup saya bos. Saya ni tak layak langsung dengan bos. Lagi pun bos mana suka dengan saya.Takut saya nak…”

     “Kita pergi makan dulu boleh?” cepat aje dia potong kata-kata aku. Dia ni memanglah, tak sempat habis ayat aku, suka sangat menyampuk masa orang sedang bercakap. Sengaja tukar topik lain. Air muka dia sudah serius balik.

     Ah, sudah.. Yang aku ni pun satu, sedap aje tembak dia macam-macam. Mesti dia terasa dengan kata-kata aku tadi. Alamak… Baru aku tersedar yang aku mengata dia garang macam singa. Terkejut punya pasal sampai macam bertih mulut aku menceceh. Habis keluar kutukan aku pada dia. Mak tolong… Masak aku kali ni.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku