I LOVE YOU ABANG SINGA
BAB 13
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 08 Oktober 2015
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
4080

Bacaan






 BAB 13

     Sebaik sahaja lepas bersarapan pagi, Tuan Emir meminta diri untuk balik. Tak jadi nak gerak bersama-sama dengan aku petang nanti. Emak dengan Abang Long beria-ia menahan dia, suruh tunggu sampai makan tengah hari nanti, tapi dia menolak dengan baik. Ada urusan katanya. Dia macam tak menyempat-nyempat nak blah. Eleh… Merajuklah tu. Marah dengan aku sebab insiden malam tadi.

     Malam tadi kami tak jadi meronda di Jongker Walk. Aku pun suka juga sebab tak jadi pergi ke tempat itu. Lebih kurang macam pergi ke Petaling Street aje. Senyap saja dia sepanjang perjalanan. Takut aku nak menegur bila dia sudah dalam mood diam macam tu. Laju saja dia berpusing melalui jalan yang menghala balik ke rumah aku. Ingatkan nak makan kat mana, rupa-rupanya makan ikan bakar di Medan Selera Pengkalan Balak saja.

     Tuan Emir diam sahaja semasa makan. Marah sungguh agaknya dia dengan aku. Ni nasib baik di luar waktu pejabat. Kalau di pejabat, dah tentu macam-macam aku kena sembur dengan dia. Dalam dia marah macam tu, nasi tetap bertambah. Habis semua ikan pari bakar diratahnya. Nak tergelak pun ada bila lihat dia macam tu. Tapi mana berani aku ketawa depan dia dalam keadaan tegang macam ni. Nak kena jerkah.

     Agaknya dia menahan rasa amarahnya dan dilepaskan dengan cara makan banyak. Dia mengunyah nasi, macam mengunyah aku hidup-hidup. Agaknyalah kan... Ha ha ha… Merepek betul aku ni.

     Sebaik-baik sahaja keretanya bergerak, aku terus masuk ke dalam bilik. Berguling-guling atas katil. Lega sebab dia sudah tak ada dalam rumah ni. Kalau dia ada, jenuh aku nak menjaga tingkah laku. Kak Long kata aku terlebih control ayu sebab Tuan Emir ada. Cis, mana ada…

     Pintu bilik aku diketuk dari luar. Ala… Baru nak bersenang-lenang, ada sahaja yang datang menganggu. Pintu bilik dibuka, wajah emak terjongok dari celah pintu.

     “Anak dara tak elok sambung tidur lepas sarapan.” Emak menepuk paha aku sebaik-baik sahaja dia melabuhkan punggungnya di birai katil.

     Aku labuhkan kepala di atas paha emak. Rasa tenang sungguh bila emak membelai rambut aku. Rindu sangat nak bermanja-manja dengan emak macam dulu. Walaupun aku dah besar panjang, tapi aku tetap merasakan yang aku ini anak kecil manja emak. He he he…

     “Petang karang bila Leesya balik, tolong bawa sekali kain pelikat Emir yang tertinggal kat bilik air tadi. Kak Long dah masukkan dalam mesen basuh. Nanti Leesya pulangkan pada dia ya.” Ingatkan hal penting apa yang emak nak cakap, rupa-rupanya hanya pasal kain pelikat mamat tu aje. Leceh betullah Tuan Emir ni, tertinggal kain le pulak.

     “Leesya dengan Emir tu ada apa-apa ke?”

     Alahai… Emak dah mula nak korek rahsia. Lebar saja senyuman emak. Aku pandang wajah emak. Sayang sunguh aku dengan dia. Tak sanggup rasanya nak buat hati emak tersentuh. Kalau boleh, aku tak mahu emak bersedih dan hiba seperti dahulu. Cukup-cukuplah emak menderita sebab aku.

     “Mana ada apa-apa mak. Kalau ada pun cuma hubungan antara pekerja dengan majikan sahaja. Dia sudah ada kekasihlah mak. Tak inginnya dia dengan anak mak ni.” Tangan emak aku genggam. Aku letakkan di atas dada.

     “Kalau tak ada apa-apa, kenapa dia datang ke sini? Nampak macam dia suka dengan Leesya aje. Mak perhatikan gelagatnya lain betul. Sekejap-sekejap pandang Leesya, sekejap-sekejap menjeling Leesya, lepas tu tersenyum-senyum. Ada makna tu jelingan dia.”

     “Pandai aje mak ni buat tanggapan macam tu. Mak jangan salah sangka pulak ya. Tuan Emir tu memang suka menjeling. Kalau mak nak tahu, kat pejabat lagi dahsyat jelingan dia, siap dengan mengaum sekali. Tak lama lagi julinglah mata bos singa tu sebab suka sangat menjeling orang.” Aku gelak manja. Biar emak tidak terasa.

     “Bos singa? Kenapa Leesya panggil dia macam tu? Emir tu garang ke dekat pejabat Leesya?”

     Alamak… aku sudah terlepas cakap dengan emak. Mamat tu di pejabat lain wataknya, kat depan emak dia bersalin kulit lain, berhemah sungguh. Menyampah aku…

      “Garang mengalahkan singa betina lepas bersalin anak sulung kalau mak nak tahu. Pantang silap sikit, asyik nak mengaum dan menjerkah orang sahaja kerjanya. Kalau berkeriau, macam murai tercabut ekor. Kalah mulut mak nenek bila dia berleter.” Ha ha ha… Aku gelak sakan. Puas hati sebab dapat kutuk dia. Pantas sahaja tangan emak mencubit pipi aku.

     “Adoiii… Sakitlah mak…” perit rasa kulit pipi bila kena tarik dengan emak. Emak aku ni walaupun sikit sahaja dia cubit, tapi bisanya masya-Allah tak boleh nak gambarkan macam mana. Pedih weiii…

     “Amboi, bukan main lagi mengata orang ya. Mak tengok tak adalah Emir teruk macam yang Leesya cakap tu. Sopan aje bila bercakap dengan emak.”

     ‘Eleh… Kat depan emak aje dia macam tu, kalau kat belakang, Leesya aje yang tahu emak oiii…’ Aku masih mengata dia dalam hati. Tak berani nak menjawab. Kalau banyak sangat aku menjawab, nanti telinga aku juga yang tersumbat dapat tazkirah percuma daripada emak.

     “Bangunlah, mari ikut emak pergi kebun. Kata nak ambil buah cempedak, nak bawa balik petang ni.” sekali lagi emak menepuk punggung aku sebelum bangkit dan keluar dari bilik aku. Aku pun pantas sahaja bangun bila emak sebut pasal buah cempedak. Esok pagi pergi pejabat, bolehlah bawa cempedak goreng. Sedapnya…

     Bunyi hon kereta dari belakang menyedarkan aku dengan keadaan sekeliling. Nasib baik tak terbabas kereta yang aku pandu. Sepanjang pemanduan aku, kepala ligat memikirkan peristiwa semalam. Aku terasa sungguh dengan kata-kata Aleesya. Punyalah handsome muka aku ni, boleh dia kata dia tak sudi nak jadi isteri aku. Ada ke dia kata aku ni garang macam singa. Memang melampau sungguh ayat dia.

     Aku pun tak sangka ayat tu boleh terlepas dari mulut aku. Aku cuma nak bergurau dan mengusik dia sahaja bukan ada niat lain pun, tapi minah tu ambil serius pulak dengan kata-kata aku. Memang lurus bendul betullah dia tu. Sekali dia bersuara, sentap sungguh aku rasa. Main cakap aje dia, macam peluru berpandu, tak fikir langsung dengan perasaan aku.

     Malam kelmarin dia kata ada lelaki yang suka buat dia menangis. Siapa lagi lelaki tu kalau bukan aku. Itu aku dah terasa sikit, malam tadi memang makan dalam sungguh ayat dia. Memang teruk betul ke aku layan dia selama ini sampaikan dia panggil aku singa. Agaknya makan hati sungguh dia bekerja dengan aku selama ini.

     Tiba-tiba tawanya meletus. Masya-Allah… Dah kenapa dengan aku ni ek? Nak merajuk segala bagai dengan Aleesya. Dia tu bukan kekasih aku pun. Macam budak-budaklah pulak aku ni. Kan dah rugi balik cepat. Kalau aku tak ikutkan perasaan sangat tadi, dah tentu boleh balik lewat sikit petang nanti dengan Aleesya. Boleh juga suruh dia masakkan asam pedas untuk makan tengah hari. Ishh… rugi betullah.

     Stereng kereta digenggam kuat. Kelajuan kereta dikurangkan. Tak perlu tergesa-gesa untuk sampai di rumah. Sunyi dan sepi rumah tu. Cuma ada bibik, Mak Tipah dan suaminya Pak Darus saja. Mummy dan daddy bukan ada di rumah pun. Bosan aku nanti. Hai... keseorangan lagilah aku malam ni…



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku