I LOVE YOU ABANG SINGA
BAB 14
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 08 Oktober 2015
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
4073

Bacaan






BAB 14

     Kelam kabut aku turun dari teksi. Sudahlah terlewat bangun pagi tadi, kereta pulak buat hal. Enjin tidak boleh dihidupkan. Bateri kong. Pagi ni le pulak kereta tu buat perangai. Semalam tak nak pulak dia buat hal. Menyusahkan betul. Sudahlah hari ni ada tetamu nak datang berjumpa dengan Tuan Emir. Masak aku kena bambu dengan bos singa tu nanti.

     Pantas aku berlari-lari anak menuju ke lif yang terdapat di penjuru kanan lobi pejabat. Kelam kabut punya pasal sampai aku terlanggar seorang lelaki yang sedang berdiri di hadapan pintu lif itu. Habis terjatuh beg dan fail yang dipegangnya. Dia pun sama jatuh terduduk di atas lantai akibat rempuhan aku yang kalut tadi.

     “Adoi…” berpinar sekejap kepala aku. Aku pandang lelaki Cina yang sama-sama terduduk di sebelah aku. Terkebil-kebil mata dia yang sepet itu merenung muka aku. Bibirnya seolah-olah bergerak-gerak mahu menuturkan sesuatu. Alamak… nampak macam dia nak marahkan aku. Mak tolong…

     “Haiya apek… Apasal lu berdiri depan lif ni? Kan sudah kena rempuh dengan gua.” Ayat nak cover line sebab takut dan malu.

     Lelaki Cina itu pandang muka aku semacam aje. Lepas tu aku dengar dia cakap bahasa yang macam biasa sahaja aku dengar. Aku pulak pandang dia semacam. La… Bukan orang Cina rupa-rupanya. Tak pasal-pasal aku panggil dia apek. Bila dengar betul-betul ayat yang dia sebut, sah dia ni orang Korea. Aku kan peminat tegar K-Pop dan drama Korea.

     “I’m sorry sir… I’m sorry...” Aku minta maaf berkali-kali sambil menolongnya memungut fail dan beg yang terjatuh tadi. Aku berdiri lalu membongkok-bongkokkan badan beberapa kali, macam orang Jepun menunduk ketika memberi hormat kepada tetamunya.

     Udah macam burung belatuk mengangguk-anggukkan kepala. Teruk betul nasib aku pagi ni. Sudahlah terlambat datang ke pejabat, accident pulak depan lif. Apalah nasib badan…

     “Are you okay sir?” Gelabah punya pasal, tali lehernya yang senget aku betulkan. Lengan dan bahunya aku tepuk-tepuk untuk menghilangkan habuk yang mungkin melekat akibat terjatuh tadi. Spontan sahaja perlakuan aku itu.

     Lelaki Korea ni memang semuanya muka macam artis ek? Segak dan tinggi. Sempat lagi tu aku menelek rupa dan penampilannya. Tergamam terus mamat K-Pop tu dengan perlakuan aku. Bila kena tenung, serta merta aku sedar diri. Terus aku menarik tangan daripada menyentuh kot yang dipakainya.

     Ya, Allah… Apa yang aku dah buat ni. Pijar rasa kulit muka. Bahang malu menyerbu wajah aku. Aku cuba tersenyum untuk menutup malu.

     “Sorry sir...” sekali lagi aku minta maaf sebelum lelaki itu melangkahkan kakinya masuk ke dalam lif. Dia pun sudah jadi macam orang Jepun menundukkan badannya beberapa kali di hadapan aku. Sempat lagi tu dia melemparkan senyuman kepada aku sebelum pintu lif tertutup. Pergh… senyuman dia sebiji macam Lee Donghae, penyanyi kumpulan Super Junior tu. Sah dia tak marahkan aku. Lagi pun bukannya aku sengaja merempuh dia tadi. Mestilah dia faham kan...

     Aku cuba menenangkan diri sementara menunggu lif tiba. Tangan mengusap dada. Aku berastaghafar dalam hati. Nafas aku tarik dan lepas beberapa kali. Tadi aku tak masuk sekali dalam lif dengan mamat K-Pop tu sebab malu. Segan wei kalau hanya kami berdua sahaja dalam lif tu. Sudahlah aku langgar dia, lepas tu boleh pulak aku kemaskan tali leher dan kot yang dia pakai. Tak ke sengal aku ni. Perlakuan lebih pantas daripada fikiran. Akal tidak digunakan dengan betul sebab gelabah. Adoilah…

     Sebaik-baik sahaja aku sampai di meja kerja aku, telefon berdering beberapa kali. Abang Sharif menjongkit-jongkitkan keningnya. Cis, perasan macam Ziana Zainlah tu. Kak Norlela yang baru keluar dari pantri menegur aku. Aku angkatkan tangan kanan isyarat menyuruhnya tunggu dulu sebab aku hendak menjawab panggilan telefon yang berbunyi tanpa henti itu.

     “Norlela, Aleesya masih belum sampai lagi ke?” Marah sungguh bunyi suara Tuan Emir di corong telefon. Matilah aku kena sembur dengan dia nanti.

     “Assalamualaikum bos, selamat pagi.” Aku sejukkan hati dia dengan ucapan salam. Janganlah dia mengamuk ya Allah, doa aku dalam hati.

     “Hah, ada pun awak. Masuk bilik saya sekarang!”

     Omak aii… Garangnya dia. Tak sempat aku nak cakap apa-apa, dia dah hempas gagang telefon tu. Bersiap sedialah ya Aleesya. Tahankan hati, tadah telinga dan pasang benteng kesabaran bila berhadapan dengan bos singa tu nanti. Takut-takut aku melangkah ke bilik Tuan Emir. Badan sudah macam nak demam dah ni, seram sejuk semua anggota sebab takut punya pasal.

     “Good luck yang…” Tak guna punya Abang Sharif. Sengaja aje dia menambah darjah ketakutan aku. Aku tunjuk penumbuk pada dia. Dia balas dengan flying kiss. Cis…

     “Masuk cepat Leesya. Dari tadi dia cari Leesya tau. Ada tetamu dalam bilik dia tu.” Kak Norlela menepuk bahu aku.

     Aku bawa buku nota untuk mencatat apa-apa yang penting nanti. Pintu aku ketuk tiga kali. Dengan lafaz Bismillah aku membuka pintu dan melangkah masuk perlahan-lahan. Tajam renungan mata Tuan Emir. Wajahnya masam mencuka. Sekali tengok muncung bibirnya sudah macam mulut Donald Duck. Hah, kan dah kena kutuk dengan aku.

     “Kenapa awak lambat Aleesya? Kan awak dah tahu hari ini saya ada tetamu penting, Sengaja nak buat saya naik darah ya?” Dia marah dengan aku, tapi kenapa suaranya diperlahankan, cakap macam orang berbisik saja.

     “Sorry bos. Kereta saya rosak. Saya terpaksa naik teksi. Jalan jam pulak tu.” Hairan pulak aku bila dia meletakkan jari telunjuknya di bibir. Dah kenapa dengan bos aku ni ntah.

     “Cakap perlahan sikit boleh tak. Tetamu saya ada dalam bilik air tu. Awak tolong sediakan air dan kuih. Saya sudah suruh Samad beli tadi. Ambil dokumen ni, suruh Samad fotostatkan dua salinan. Lepas tu, masukkan dalam fail ni. Bawa masuk ke sini lepas awak hidangkan minuman nanti.”

     Keras sahaja bunyi arahan Tuan Emir. Fail yang diunjukkan aku capai dan sekali lagi aku meminta maaf sebelum melangkah keluar dari biliknya. Nasib baik dia ada tetamu, kalau tidak, mahu setengah jam dia membahan aku. Fuh, selamat aku…

     “Samad, tolong akak fotostatkan dokumen ni dua salinan. Lepas tu, letak atas meja akak ya.”

     Aku hulurkan dokumen itu kepada Samad budak pejabat kami sebaik sahaja keluar dari bilik Tuan Emir. Senang nak minta tolong dengan Samad ni sebab dia tidak pernah berkira bila disuruh. Rajin sungguh budaknya. Sentiasa merendah diri. Baru lima bulan dia bekerja di sini.

     Samad anak orang susah yang berasal dari Hulu Tembeling, Pahang. Ramah dia bercerita dengan kami. Sebab tulah sedikit sebanyak aku tahu pasal diri dan keluarganya. Aku melangkah ke pantri. Kak Norlela turut mengekori langkahku ke situ.

     “Akak dah tolong panaskan air tadi. Tuan Emir nampak macam marah sangat bila Leesya tak sampai-sampai lagi. Kalut dia bila tetamu tu muncul tadi.”

     Kak Norlela menolong aku menyusun cawan dan piring di atas dulang. Mangkuk berisi kuah kari ayam dan piring berisi roti jala disusun di atas dulang yang lain bersama-sama dengan sepiring kuih seri muka. Aku membancuh seteko Nescafe. Kalau aku ada di pejabat, jangan harap Tuan Emir nak membenarkan orang lain membuatkan air untuknya. Tahu sahaja dia kalau air yang diminumnya bukan buatan tangan aku.

     “Bateri kereta saya kong pagi ni kak, sebab tu saya lambat datang ke pejabat. Jalan pulak sesak sangat pagi Isnin ni.”

     Kak Norlela hanya tersenyum mendengar alasan aku. Lincah tangannya meletakkan dua piring kosong dan dua batang sudu di bawah piring kuih seri muka. Aku meletakkan teko yang sudah siap berisi air di atas dulang. Perlahan-lahan aku menatang dulang itu manakala Kak Norlela menolong aku mengangkat dulang yang berisi kuih untuk dibawa ke dalam bilik Tuan Emir.

     Aku menuang air dengan berhati-hati ke dalam cawan. Takut juga kalau air tertumpah. Mata Tuan Emir tak lepas memerhatikan tugas yang aku lakukan. Takut sangat agaknya dia aku buat kerja sambalewa. Aku susun dengan kemas dan teratur piring-piring kuih dan cawan minuman di atas meja.

     Kusyen di atas sofa aku betul-betulkan. Setelah berpuas hati, dulang kosong aku bawa keluar. Selepas menghantar dulang itu ke pantri, aku mengambil dokumen yang sudah siap difotostat oleh Samad lalu aku memasukkannya ke dalam fail yang diberi oleh Tuan Emir tadi. Pantas sahaja aku bergerak ke bilik Tuan Emir untuk menghantar fail dan dokumen yang dia minta tadi.

     Sebaik-baik sahaja pintu bilik aku buka, mata aku menangkap tubuh lelaki yang duduk membelakangkan aku di atas sofa. Tuan Emir kelihatan sedang beramah mesra dengan tetamu pentingnya itu. Ralit sungguh mereka berbual. Aku menghampiri mereka untuk menghantar fail kepada Tuan Emir.

     Tiba-tiba jantung aku berdegup kencang. Alamak… Mamat K-Pop yang aku langgar depan lif tadi rupa-rupanya tetamu penting Tuan Emir. Mak tolong… Masak aku kali ni…

     Terbeliak mata sepet mamat K-Pop itu bila ternampak aku berdiri di sebelah Tuan Emir. Aku buat-buat selamba, seolah-olah tidak mengenalinya, tapi dalam hati, Tuhan sahaja yang tahu betapa takutnya aku dengan renungannya itu. Tiba-tiba dia tersenyum…

     “Hei… We meet again!” Semakin lebar senyumannya.

     Gulp… Tuan Emir sudah pandang aku semacam. Fail yang aku hulur diambilnya perlahan-lahan. Tangan dia sahaja yang bergerak, tapi matanya tetap merenung aku. Dua orang jejaka kacak serentak merenung aku yang sedang dalam keresahan. Tak ke haru dibuatnya…

     “You, kenal dia ke Dylan?” Aik… Tuan Emir berbahasa Melayu dengan mamat K-Pop tu. Reti ke dia berbahasa Melayu?

     “Kami bertembung di hadapan lif tadi.”

     Omak aii… Fasihnya dia berbahasa Melayu. Kagum aku. Dia ni orang Malaysia ke orang Korea? Senyuman masih menghiasi bibir mamat Korea tu. Mesti dia teringat akan perlakuan aku yang membetulkan tali leher dan kot yang dia pakai semasa di depan lif tadi. Senyum dia tu mesti senyuman mengejek. Erkk…

     “Kenalkan ini Aleesya, setiausaha I. Aleesya, ini Mr. Park Dong Joo, rakan kongsi kita dari Busan, Korea.”

     Alamak, janganlah dia mengadu pasal aku pada Tuan Emir. Habislah aku nanti kena bahan dengan bos singa aku ni. Aku menghadiahkan senyuman kepadanya. Aku tundukkan kepala dan badan aku bongkokkan sebagai tanda perkenalan.

     “You boleh panggil I Dylan Park. Marilah join kami minum sekali.”

Ramah dia mempelawa aku. Minta maaflah ya, tak sanggup aku nak duduk di situ. Malu dengan dia satu hal, takut dengan Tuan Emir pun ada. Jelingan Tuan Emir membawa maksud ‘jangan menyibuk’ amat-amat aku fahami. Cepat-cepat aku menolak dengan baik lalu meminta diri untuk menyiapkan kerja aku di luar.

     Fuh, lega… Cepat-cepat aku menghidupkan suis komputer, banyak kerja yang perlu aku siapkan hari ini. Minggu lepas bercuti, maka cepat-cepatlah sedar diri ya, Aleesya. Kalau tak disiapkan hari ini, mahu menanah telinga kena leter dengan bos singa tu. Usikan Abang Sharif langsung aku tak layan. Malas nak melayan kerenah dia yang tiga suku pagi ini. Agak-agaklah kalau nak bergurau pun. Masa tak sesuai, karang ada yang tertelan kertas aku kerjakan.

     Ralit aku menyiapkan kerja. Tak peduli dengan suasana sekeliling. Lantaklah kalau mereka nak menyembang ke, nak bergossip ke. Tiba-tiba aku terperanjat apabila gumpalan kertas mengenai pipi aku. Macam biasa, opocot aku keluar. Suara orang ketawa kedengaran di hadapanku.

     Mak… mamat K-Pop dengan Tuan Emir sedang berdiri di hadapan meja aku. Cerah sahaja muka mereka berdua sebab dapat gelakkan aku. Tak guna punya Abang Sharif, ada ke buat macam tu untuk menyedarkan aku. Tak ada cari lain ke? Berdehem ke, panggil nama aku ke, tak pun bersiul ke. Cis… buat aku malu aje.

     “Aleesya, mari ikut kami pergi makan tengah hari. Dylan hendak belanja hari ini. Ajak Sharif dan Norlela sekali.”

     Amboi bukan main baik hati bos aku hari ini. Ni mesti ada apa-apa ni. Tak pun projek usahasama mereka berdua berjaya. Aku pandang Abang Sharif dan Kak Norlela, aku beri isyarat tak mahu ikut, tapi Abang Sharif punyalah buat-buat tak faham, terus sahaja setuju dengan pelawaan Tuan Emir. Geramnya aku…

     “Maaflah bos, saya tak dapat ikut sama, kerja banyak lagi yang tak siap ni.” Cepat-cepat aku beri alasan. Malu dengan Mr. Dylan Park masih belum lagi hilang. Mamat K-Pop tu tidak henti-henti tersenyum. Rasa macam nak aku korek sahaja biji mata dia yang tak habis-habis merenung aku.

     “Tutup komputer tu! Sekarang ni waktu makan tengah hari. Lepas makan nanti boleh sambung balik. Jangan degil!”

     Arahan keras Tuan Emir sudah keluar. Matanya dijegilkan. Walaupun perlahan sahaja bunyi suaranya, tapi aku faham sangat. Kalau tak ikut kata dia, memang sengaja aku cari nahas. Menyampahlah dia ni, suka sangat paksa orang… Ngeee…



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku