I LOVE YOU ABANG SINGA
BAB 15
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 08 Oktober 2015
Penilaian Purata:
(5 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
4116

Bacaan






  BAB 15

     Aku mengekori langkah mereka masuk ke Restoran Seri Melayu yang terletak di Jalan Conlay dengan perasaan yang sebal. Kak Norlela memegang lengan aku. Malas-malas aku berjalan menyaingi langkahnya. Meja bulat berkerusi enam yang terletak di bahagian belakang berhampiran dengan deretan gerai pencuci mulut menjadi pilihan Tuan Emir.

     Masya-Allah… Banyaknya lauk-pauk dan segala bagai makanan yang terdapat di situ. Rasa macam membazir sahaja datang ke sini. Larat ke kami nak mengisi perut dengan pilihan makanan yang pelbagai itu.

     Kak Norlela duduk di sebelah kiri aku manakala Mr. Dylan duduk di sebelah kanan aku. Macam sengaja aje dia memilih untuk duduk di situ. Abang Sharif duduk bersebelahan dengan Kak Norlela dan Tuan Emir duduk di antara Mr. Dylan dan Abang Sharif. Yang tak sedapnya tu dia duduk berhadapan dengan aku. Memang masaklah aku kena tenung dengan bos singa tu nanti.

     Penuh meja dengan pelbagai makanan yang mereka ambil. Selamba sahaja Mr. Dylan makan sambal belacan berserta ulam-ulaman yang lain. Tabik aku dengan dia sebab tahan makan makanan yang pedas. Agaknya dia sudah biasa makan sambal belacan dengan ulam-ulaman sebab selalu datang ke Malaysia ni.

     “Mr. Dylan, kalau saya tanya sesuatu boleh tak?”

     Abang Sharif sudah mula nak menyibuk bertanya hal orang. Biasalah dia ni kan. Mak Jemah tahap wartawan TV3 yang tak bertauliah. Kak Norlela yang duduk di sebelahnya diam sahaja, menikmati makanan dengan enaknya. Baik jadi macam dia, tak peduli dengan semua, isi perut lagi bagus kan Kak Lela.

     “Dylan. Panggil saya Dylan sahaja. Tak perlu terlalu formal di luar ni. Lebih selesa dan mesra kan…

     Pergh… Kalau dengar dia bercakap siapa sangka yang dia ni orang Korea. Mesti orang yang dengar kata-katanya ingat yang dia ni orang Cina, rakyat Malaysia yang fasih berbahasa Melayu.

     “You nak tanya pasal apa Sharif?” Sambil menyuap nasi ke dalam mulutnya sempat lagi tu dia menoleh dan menjeling aku yang duduk di sebelahnya. Nasib baik tak tercekik tekak aku dibuatnya bila kena jeling dengan mamat K-Pop ni. Aku nak menyuap makanan pun tak senang.

     Sudahlah Tuan Emir tak habis-habis merenung aku sejak tadi, ditambah pula dengan orang di sebelah ni. Tak keruan aku jadinya. Entah-entah aku sahaja yang perasan sendiri sejak tadi. Ishhh… Malunya…

     “Macam mana you kenal dengan Tuan Emir ni?”

     Ha ah… Aku pun nak tahu juga pasal tu. Aku pandang wajah Tuan Emir bersilih ganti dengan wajah Mr. Dylan. Dua-duanya serentak tersenyum sambil berbalas pandang. Mesti ada kisah menarik antara mereka berdua ni.

     “Kami kenal dah lama. Ayah saya berkawan baik dengan ayah Emir. Secara tidak langsung kami berdua menjadi rapat. Ayah saya dulu merupakan duta Korea Selatan ke Malaysia. Kami tinggal di kawasan kediaman yang sama. Setiap petang kami akan bermain bola keranjang bersama-sama.”

     “Kami bersekolah di sekolah yang sama, iaitu di International School di Ampang. Emir melanjutkan pelajaran ke England, tapi saya lebih selesa menyambung pengajian saya di Universiti Malaya sehingga tamat ijazah pertama saya.”

     Air di dalam gelas diteguk dengan sopan. Kami masih menadah telinga untuk mendengar cerita selanjutnya daripada Mr. Dylan. Seronok pulak bila mendengar kisah mereka berdua. Rakan karib rupanya mereka ni.

     “Walaupun kami sudah berpisah, tapi kami tetap saling berhubungan melalui e-mail dan sekali sekala menelefon untuk bertanya khabar masing-masing. Kadang-kadang Dylan akan datang bercuti di England melawat saya di sana. Kami suka melancong, hampir seluruh Eropah sudah kami jelajah bersama-sama.” Tuan Emir mencelah, menambah informasi tentang hubungan mereka. Pandangan matanya ditalakan ke arah Mr. Dylan lalu beralih ke wajah aku. Senyumannya untuk aku ke untuk Mr. Dylan? Aku perasan sendiri.

     “Bila ayah saya tamat perkhidmatannya di Malaysia, kami sekeluarga pulang semula ke Korea. Saya melanjutkan pengajian di Busan untuk mendapatkan master dalam bidang perniagaan di sana. Sebaik-baik sahaja balik ke Korea, ayah saya menubuhkan syarikat perkapalan dan menjalinkan usahasama dengan ayah Emir. Mereka rakan kongsi yang serasi. Ayah saya menguruskan syarikat di Korea manakala ayah Emir menguruskan cawangan di Malaysia.”

     “Setiap tahun kami akan datang ke Malaysia. Selain berurusan dan berbincang pasal perniagaan syarikat, kami sekeluarga selalu juga bercuti bersama-sama keluarga Emir. Kadang-kadang saya turut serta dengan keluarga Emir menyambut Hari Lebaran di sini.”

     “Saya sukakan Malaysia. Rakyatnya peramah dan mesra. Makanan dan budayanya, tempat pelancongannya yang menarik, malah apa sahaja yang ada kena mengena dengan negara ini sangat-sangat saya kagumi.”

     “Patutlah you fasih berbahasa Melayu. Tak pelat langsung bila bercakap.” Abang Sharif sudah menunjukkan kekagumannya dengan kepetahan Mr. Dylan berbicara.

     “Ayah saya menyediakan guru untuk kami belajar bahasa Melayu dan mendalami budaya rakyat negara ini. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Betul tak Aleesya?” soalan spontan yang buat aku terkejut. Tiba-tiba saja dia menyebut nama aku, mana aku tak terperanjat.

     Aku hanya tersenyum dan mengangguk perlahan-lahan. Sekali dia balas balik senyuman aku, perghh… Rasa macam nak pitam bila melihatkan senyumannya yang mengancam tu. Kami berbalas senyuman. Rasa macam nak aku cubit sahaja bibirnya yang sedang senyum lebar itu.

     Tiba-tiba aku rasa bulu roma aku meremang. Aku pandang orang yang duduk di hadapan aku. Bukan main lagi dia merenung aku. Nampak macam marah aje. Takkanlah hanya sebab aku berbalas senyuman dengan Mr. Dylan dia nak hangin satu badan.

     Eleh, awak tu siapa nak marah dengan aku? Suka hati akulah nak senyum dengan siapa pun. Sibuk aje…

     Makin dia tenung aku, semakin galak pula aku berbalas senyuman dengan Mr. Dylan. Mamat K-Pop ni pun selamba sahaja meletakkan hirisan kambing panggang ke dalam pinggan aku. Manja sahaja aku ucapkan terima kasih kepadanya.

     Amik kau… Sengaja aku buat macam itu, biar makin bengkak hati bos singa aku tu. Ha ha ha ha. Jahatnya aku…

     Aku bangun untuk mengambil makanan. Pinggan aku ambil. Terliur pula aku bila melihat laksa Johor. Segala bumbu aku taburkan di atas spagheti. Kuahnya yang pekat aku kacau sebelum menceduk dan menuang kuah laksa itu di atas pinggan. Sesudu sambal belacan aku letakkan di atas laksa. Tak ada nikmat makan laksa Johor kalau tak ada sambal.

     Hemm… Orang Johor yang moden… Laksa Johor kuah dan segala bahan daripada resepi orang Melayu, tapi pastanya dari Eropah… Kelas gitu…

     Ketika tangan aku hendak mengambil buah limau kasturi, ada tangan lain yang mencapainya terlebih dahulu dan meletakkannya di atas pinggan berisi laksa yang aku pegang. Aku menoleh ke sisi kanan, laa… baik sungguh hati bos aku buat macam tu.

     “Terima kasih.” Aku berbahasa sebab dia sudah berbudi kepadaku.

     “Jangan senyum lebih-lebih dengan lelaki lain. Saya tak suka!” itu yang aku dapat, bukan jawapan sama-sama atas ucapan terima kasih aku tadi.

     Sesedap rasa aje dia nak membahasakan aku. Suka hati akulah nak senyum dengan siapa pun, apa dia kisah. Yang dia nak marah dengan aku apa hal? Melampau betul bos singa aku ni. Depan rezeki pun nak buat kelaku. Sengal punya bos…

     Selepas kena tegur dengan Tuan Emir, aku mendiamkan diri sehinggalah kami semua balik semula ke pejabat. Tak berani aku nak senyum atau ketawa lebih-lebih bila Abang Sharif dan Mr. Dylan membuat lawak. Nanti tak pasal-pasal kena bahan dengan bos singa tu. Sibuk aje nak aku jaga tingkah laku depan orang, yang dia gelak sakan macam tak hingat dunia boleh pulak. Berbuku betul rasa hati aku.

      Sebaik sahaja selesai menunaikan solat Zohor, aku terus mengadap komputer untuk menyambung kembali kerja-kerja yang terhenti sebab mengikut titah perintah bos singa tu pergi makan di Restoran Seri Melayu tadi.

     Malas aku nak melayan sembang Abang Sharif yang tak habis-habis memuji Mr. Dylan dan Tuan Emir. Bila dapat makan free bukan main melangit pujiannya ya, Abang Sharif. Cuba kalau dia sakit hati, berbakul-bakul dikutuknya bos singa tu. Rasa macam nak saja aku sumbat mulut Abang Sharif dengan kotak tisu biar senyap mulut dia yang menceceh macam burung kakak tua tu.

     Bunyi deringan telefon di atas meja membuatkan aku terkejut. Ralit sangat membuat kerja, nasib baik tak gugur jantung aku sebab terperanjat. Aku jeling sekilas jam yang aku pakai di tangan kiri. Masya-Allah, sudah hampir pukul 5.15 petang, patutlah orang kat dalam bilik tu telefon aku.

     Gagang telefon aku angkat. Aku jeling sekilas Abang Sharif yang mengangkat kepalanya memerhatikan aku sambil menjongkitkan kening ala Ziana Zainnya itu.

     “Air saya mana?” tak sempat beri salam, terus aku kena jerkah dengan Tuan Emir.

     Pantas sahaja dia menghempas telefon tanpa sempat aku menjawab kata-katanya itu. Agaknya masa mengandungkan dia dulu Datin Seri Suzana terlebih makan cili padi kot, sebab itu pedas sahaja kata-kata yang keluar daripada mulut bos singa aku tu.

    “Air saya mana?” Itu ayat pertanyaan kegemaran bos singa aku. Macam tak ada ayat permintaan yang lebih berhemah yang boleh diucapkan agaknya bos aku ni. Kasar sahaja bahasa dan suaranya.

     “Aleesya, tolong buatkan saya air boleh tak?” Huh… Jangan haraplah aku nak dengar permintaannya dengan suara yang lembut macam tu. Mahu banjir Kuala Lumpur ni kalau bos singa tu bercakap baik-baik dengan aku.

     Cepat-cepat aku bangun menuju ke pantri untuk menyediakan minum petang Tuan Emir sebelum dia mengaum dengan lebih lantang lagi. Dia kalau ada yang tak kena dengan sesuatu, pasti keluar kelakunya yang menjengkelkan hati aku. Adalah tu yang dia tak puas hati dengan aku. Sabar ajelah…

     “Buatkan air untuk abang sekali ya, yang.” Abang Sharif pulak ambil bahagian mengarah aku. Aku jeling dia geram. Malas aku nak layan kerenah dia.

     “Kau tak reti-reti nak buat sendiri ke Sharif?” Kak Lela menegur abang lembut aku tu.

     “Ala, bila lagi aku nak bermanja dengan adik aku ni, kan Leesya?” suara Abang Sharif gedik semacam. Manja le sangat. Menyampah aku.

     Benci-benci pun, menyampah-menyampah pun, aku tetap sayangkan dia dan Kak Lela. Mereka berdua selalu ada di sisi waktu aku susah. Sentiasa sudi membantu, memberi semangat dan menenangkan aku kala aku dalam kesedihan. Aku sudah anggap mereka berdua seperti abang dan kakak aku sendiri. Jadi aku tidak berkira sangat untuk melakukan sesuatu untuk mereka kerana mereka juga tidak pernah berkira membuat sesuatu untuk aku.

     Abang Sharif dan Kak Lela mengekori langkah aku ke pantri. Riuh suara Abang Sharif mengusik aku dan Kak Lela. Gamat pantri itu dengan gelak aku dan Kak Lela bila Abang Sharif membuat lawak bodoh. Serta merta mati tawa aku bila ternampak Tuan Emir yang bersandar di tepi pintu sambil berpeluk tubuh. Tajam matanya merenung gelagat kami bertiga. Marahlah tu sebab aku lambat menyediakan minuman yang dia minta tadi.

     “Bos, jom minum sekali kat sini.” Selamba sahaja Abang Sharif mempelawa sambil menuangkan air teh tarik yang sudah aku siapkan dalam teko ke dalam cawan.

     Kak Lela memotong kek buah yang dibawanya pagi tadi. Aku susun kek yang sudah dipotong itu di atas piring. Seram sejuk rasa badan sebab takut kalau-kalau bos singa tu melenting depan Kak Lela dan Abang Sharif.

     “Bos nak minum di sini ke di dalam bilik bos?” Aku bertanya untuk menghilangkan rasa gabra. Senyuman aku beri kepadanya, tapi macam biasalah mana dia nak balas senyuman aku kalau dia tengah berangin macam tu. Sedekah yang aku beri dia tak sudi terima. Tak apa, aku tak kisah pun. Aku tetap dapat pahala, kan senyum itu satu sedekah.

     “Saya minum di sini sajalah.” Kerusi ditarik dan punggungnya dilabuhkan di situ. Cawan yang berisi air dicapai, ditiup sedikit untuk mengurangkan kepanasan lalu diteguk perlahan-lahan. Dahaga sangat gamaknya bos aku ni. Kesiannya dia. Rasa bersalah mula menyerang hati aku. Tugas yang mudah macam tu pun aku boleh terlalai untuk melakukannya.

     “Sorry ya bos, saya terlupa nak menyediakan air untuk bos tadi. Banyak sangat kerja yang perlu saya bereskan.” Tuan Emir hanya mengangguk sahaja. Sepatah pun dia tak menjawab kata-kata aku. Enak sahaja dia menyuap potongan kek buah ke dalam mulutnya.

     “Aleesya, Lela, mari minum sekali dengan kami.” Abang Sharif menarik kerusi untuk aku. Tapi cepat-cepat aku menolak dengan alasan hendak menunaikan solat Asar. Kak Lela pula minta diri untuk mengemas meja, waktu pejabat pun hampir habis. Suaminya pasti sudah menanti di bawah.

     “Malam ni jangan lupa ya Leesya, kat tempat biasa. Jangan tak datang pulak. ” Sempat lagi Abang Sharif mengingatkan aku tentang aktiviti malam nanti.

     Tuan Emir mengangkat kepala, memandang aku dan Abang Sharif silih berganti. Aku letakkan jari di bibir sambil menggelengkan kepala beberapa kali kepada Abang Sharif, isyarat agar dia tidak memberitahu aktiviti yang akan kami lakukan kepada Tuan Emir. Aku tak mahu dia tahu aku menyertai latihan tarian untuk pertandingan antara jabatan sempena Hari Keluarga syarikat nanti.

     Cepat-cepat aku menarik tangan Kak Lela keluar dari pantri itu. Hanya aku seorang sahaja yang menunaikan solat Asar kerana Kak Lela sudah pun bersolat tadi. Ketika keluar dari surau aku bertembung dengan Tuan Emir di hadapan pintu. Tak berani aku hendak memandang wajahnya. Dia tak menegur aku, hanya menjeling aku sekilas sahaja, jadi tak perlulah aku ramah tak bertempat hendak menegurnya ketika itu.

     Kasut aku sarungkan dengan pantas dan terus melangkah ke meja. Tak perlu singgah di pantri, Abang Sharif tentu sudah membasuh cawan dan piring serta membersihkan apa-apa yang patut. Aku memang boleh harapkan abang lembut aku tu.

     Siap mengemas meja, aku masuk ke dalam bilik Tuan Emir untuk menghantar dokumen yang sudah aku siapkan. Sebelum dia minta, baik aku letakkan siap-siap dokumen itu. Esok dia boleh baca dan tandatangan dokumen itu kalau tidak ada sebarang kesilapan yang aku buat. Fail yang berselerak di atas mejanya aku susun dengan elok. Dia tidak suka mejanya berselerak, dan setiap hari sebelum balik, sudah menjadi tugas aku untuk mengemas mejanya.

     Aku susun semua fail dan meletakkannya dengan kemas di penjuru meja. Aku tidak berani mengalihkan fail-fail itu ke tempat lain selagi belum diarahkan untuk berbuat demikian oleh Tuan Emir. Aku tak mahu kejadian dahulu berulang lagi. Macam petir suara Tuan Amir menjerit bila dia tidak menjumpai fail yang dicari. Padahal aku cuma masukkan fail itu di dalam kabinet yang terletak di tepi dinding di belakang mejanya sahaja.

     Kerana kejadian itu, teruk aku kena bambu dengan dia. Jangan gatal-gatal tangan mengalihkan fail yang ada di atas mejanya ke tempat lain kalau dia tidak suruh. Eee… Serik aku…

     Sebaik-baik sahaja aku berpusing, “Opocot…” aku terlanggar badan Tuan Emir yang berdiri di belakangku. Entah bila masa agaknya dia masuk dalam bilik ni. Macam pencuri menyelinap dengan senyap. Tak reti-reti gamaknya dia nak beri salam ke, panggil nama aku ke, berdehem ke atau apa-apalah sebagai isyarat untuk memberitahu aku yang dia sudah masuk ke dalam bilik itu.

     “Awak ni kenapa Aleesya?” garang sahaja bunyi suaranya.

     “Bos ni pun dah kenapa? Tak reti-reti ke nak beri salam sebelum masuk dalam bilik ini. Macam pencuri tau. Suka sangat buat orang terperanjat.”

     Cepat-cepat aku menolak badannya, melangkah laju dan membuka pintu dengan pantas. Baik aku cabut lekas sebelum singa ni mengaum dengan lebih lantang. Sambung esok sajalah kalau nak marahkan aku pun. Dah lewat petang, nanti lambat pulak aku nak ganti bateri kereta yang dah kong tu.

     Aikk, Aleesya ni… Dia pulak yang marahkan aku. Ada ke patut dia samakan aku dengan pencuri. Suka hati akulah nak kelur masuk bilik ni. Inikan bilik aku. Memang nak kena minah ni…

     Beg bimbit dan kot yang tergantung di belakang kerusi dicapai. Sebelum keluar, pandangan dilemparkan ke sekeliling bilik untuk memastikan semuanya selamat. Setelah menutup suis lampu, pintu bilik ditutup. Mata menjeling meja Aleesya. Kosong. Cepat betul dia hilang. Tau pun kau takut dengan aku. Spontan sahaja bibirnya tertarik ke tepi. Geli hati bila teringatkan gelagat Aleesya yang gelabah tadi. Telefon di atas meja Aleesya dicapai. Nombor setiausahanya itu didail.

     Lagu ‘Rahmat Ujian’ nyanyian Hafiz Hamidun kedengaran dari dalam beg tanganku. Telefon bimbit aku keluarkan, nombor telefon pejabat terpampang di skrin. Apa lagi agaknya yang bos aku hendak ni. Nak marah aku ke?

     “Awak kat mana?” tanpa salam bos aku terus bersuara. Main jerkah orang saja kerjanya. Macam orang tua nak menopaus. Asyik nak meradang sahaja. Aku dah mula mengutuk dia dalam hati. Badan aku sudahlah letih, yang dia pun satu, tak sudah-sudah nak kacau aku apa hal?

     “Tengah tunggu teksi” malas nak berhemah sangat dengan dia kalau di luar waktu kerja. Lagi pun aku di luar bangunan pejabat sekarang ni. Dia boleh buat apa dengan aku kan?

     “Tunggu saya di situ, balik dengan saya sekali.”

     Arahan yang memang tidak akan aku patuhi. Malam sikit ya bos. Tak hingin aku. Nanti tak pasal-pasal dalam kereta aku kena dengar khutbah dia yang panjang berjela. Menyakitkan hati dan membuat telinga aku bernanah.

     “Tak apalah bos. Terima kasih saja ya. Teksi pun dah sampai. Assalamualaikum bos.” Cepat-cepat aku matikan telefon. Tak mahu dia menganggu aku dengan panggilannya lagi.

     “Bertuah punya setiausaha. Berani betul dia melawan perintah aku!” gagang telefon diletak dengan kasar. Yang kau tiba-tiba nak naik angin ni kenapa Emir? Astarghfirullahalazim… Baru dia tersedar dengan kesilapan sendiri. Sekarang bukan waktu pejabat Emir. Ingat sikit ya.

     Sebenarnya aku nak cakap apa dengan Aleesya tadi ek? Dia sendiri tak pasti kenapa dia menelefon Aleesya tadi. Spontan sahaja dia mencapai gagang dan menelefon Aleesya. Dia ketawa sendiri sambil mengeleng kepala beberapa kali. Dah mereng agaknya kepala aku ni.

     Kaki melangkah ke lif. Nampaknya malam ni aku masih berseorangan lagi di rumah. Mummy dengan daddy masih bercuti lagi. Hemm… Aleesya, malam ni awak tunggu saya datang. Tahulah saya ajar awak nanti…



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku