I LOVE YOU ABANG SINGA
BAB 16
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 08 Oktober 2015
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
3852

Bacaan






BAB 16

     Aleesya melabuhkan punggung di atas lantai di penjuru studio tarian itu. Botol air minuman dalam beg sandannya dicapai. Air diteguk dengan rakus. Dahaga sungguh. Pergh… penat betul malam ini. Abang Sharif terlampau teruja mengajar mereka tarian zapin dan joget. Tarian rampai yang akan dipersembahkan dalam pertandingan semasa Hari Keluarga syarikat nanti. Macam-macam ragam tari yang dia selitkan dalam tarian tu. Pola lantai pun boleh tahan juga sukarnya.

     Tuan Hazlin, Zariani serta Fauziah turut serta duduk di penjuru itu. Beberapa minit kemudian, Ahmad Badawi, Zulkifli serta Azhar menyertai mereka di situ. Abang Sharif datang dengan membawa bekas yang berisi karipap.

     “Rasalah karipap sardin ni. Kak Mastura korang yang masak.”

     Abang Sharif meletakkan tupperware besar di hadapan mereka. Berebut-rebut mereka mengambil karipap yang dibawa oleh Abang Sharif. Masakan isterinya sedap. Mana boleh dilepaskan peluang untuk menikmatinya.

     Ahmad Badawi bangun untuk mengambil beberapa botol air mineral di dalam peti sejuk kecil yang terdapat di bilik belakang studio tarian itu. Seronok mereka bersantai di atas lantai studio selepas berpeluh sakan berlatih menari tadi. Tuala kecil di dalam beg diambil untuk mengelap peluh yang masih belum kering.

     “Sakit kaki Lin ni tersepak lantai masa buat ragam tarian zapin ‘Gesek-gesek, tendang-tendang’ tadi.” Tuan Hazlin dah mula buka mulut. Manja sahaja dia mengadu dengan kami. Tergelak semua yang ada di situ. Dia paling muda antara kami semua. Nama Tuan di pangkal namanya menandakan yang dia ada darah keturunan raja. Kami sudah seperti satu keluarga. Rapat dan suka bergurau senda. Saling mengusik itulah kerja kami. Hilang tekanan bila berada dalam kalangan mereka semua.

     “Ala sikit aje tu. Meh sini abang tolong urutkan kaki tu.”

     Azhar yang berkulit sawo matang dah mula hendak menyakat ‘adik kecil’ kami. Kaki Tuan Hazlin cuba dicapainya. Ulat bulu dah naik daun… Mau tapi malu. Jeritan kecil Tuan Hazlin menggamatkan lagi suasana ketika itu.

     “Weii… Jangan berani nak sentuh anak dara orang Azhar oii... Kang benjol dahi tu baru kau tahu.” Zulkifli yang duduk di sebelah Abang Sharif mencelah sambil menarik badan Azhar yang sudah mengesot ke arah Tuan Hazlin.

     Kami semua tahu Azhar ada hati dengan Tuan Hazlin, cuma mamat tu sahaja yang masih belum berani hendak meluahkan perasaan. Malu konon. Takut orang tu tak sudi nak terima.

     “Ragam ‘Kunang-kunang Mabuk’ masa tarian joget tu pun susah juga kan Abang Sharif?” Zariani yang bertahi lalat di bawah bibir membuka mulut. Fauziah yang duduk di sebelahnya turut mengiakan kata-kata Zariani. Mengangguk dengan karipap penuh di mulut.

     “Tapi bila kita sudah menguasai ragam tu rasa seronok pulak. Bila kaki bersilang dan buat pusingan beberapa kali, rasa macam nak melompat dan terbang aje.” Ahmad Badawi menggambarkan perasaannya semasa menari. Kami ketawa secara berjemaah.

     “Paling seronok buat ragam ‘Terancang’ masa bahagian akhir tarian joget tu. Pantas dan rancak kaki kita angkat dan menyepak angin. Aku paling suka part tu.” Azhar mencelah.

     “Kita cuma ada peluang untuk berlatih lima kali sahaja lagi bulan depan. Harap-harap semua ragam dapat korang kuasai dengan baik. Rasanya tak ada masalah. Kalau kita sudah biasa menari, apa ragam sekali pun yang diberi pasti kita boleh buat. Betul tak?” Abang Sharif menepuk-nepuk bahu Zulkifli dan Ahmad Badawi yang duduk di sebelah kiri dan kanannya.

     “Dengar kata hadiah untuk johan tarian agak lumayan juga. Tapi tak tahu apa hadiahnya. Kak Lela kata tunggu sahaja malam jamuan tu nanti.” Fauziah membuka cerita yang didengarnya daripada Kak Norlela.

     “Kalau kita menang mesti bengkak hati si Roslina Zahidin tu. Dia siap upah jurulatih luar lagi untuk melatih budak-budak dari jabatan akaun. Minah gedik tu pun masuk sekali menari kalau kau nak tahu. Menari macam robot, ada hati nak masuk bertanding. Abang yang jantan ni pun menari lebih lembut daripada dia.”

     Abang Sharif sudah mula menganyam ketupat. Sempat lagi tu puji diri sendiri. Awak tu mananya tak lembut, perangai mengalahkan perempuan, masih tak sedar lagi ke? Hah… Aku pulak mengutuk Abang Sharif dalam hati.

     “Pakaian kita macam mana Abang Sharif? Kalau boleh jangan over sangat bling-blingnya. Biar sopan dan menarik.” Aku memandang wajah Abang Sharif. Senyum aje dia.

     “Pasal pakaian tu korang jangan risau. Abang dah dapatkan pakaian tu. Gabungan warna biru turqoise dan pink. Cantik sangat. Sulaman lace pada tudung kepala penari perempuan dan tiara kecil pun siap sekali abang pilih. Sekali pakai macam orang nak pi menikah.” Ha ha ha… Gelak kami berpadu.

     “Untuk penari lelaki, samping dan jaket luar dari kain songket berwarna pink. Baju melayu pula kita pakai warna biru turqoise. Penari wanita berbaju kebaya biru turqoise bersulam kerawang warna pink, kainnya pula songket warna pink juga. Cantik gitu kata kau.” Teruja sungguh Abang Sharif aku ni bila bercakap pasal pakaian tarian kami.

     “Tak sabar pulak aku nak pakai baju tu. Mesti gempak nanti kan. Tuan Emir akan mengetuai jabatan kita kan nanti? Kita mesti menang dalam pertandingan tarian tu, biar dia bangga dengan kita semua.”

     Bersemangat sungguh suara Zulkifli. Ceria saja wajahnya. Orang kalau dalam hati ada taman agaknya memang begitu sikapnya kan. Maklumlah baru dua minggu bertunang dengan gadis dari Gombak. Gembira sentiasa sebab hati sedang bahagia.

     “Laparlah, jom kita pi makan. Lepas makan boleh balik. Esok pagi nak pi kerja pulak.” Zariani bangun sambil menarik tangan aku. Aku pula menarik tangan Tuan Hazlin dan Fauziah. Lapar sungguh ni selepas penat berlatih tarian. Abang Sharif and the gang hanya mengikut sahaja langkah kami keluar dari studio tarian.

     Riuh Restoran Mangga Emas dengan suara kami lapan orang. Tak henti-henti kami ketawa bila Abang Sharif, Zulkifli serta Azhar dan Ahmad Badawi saling berbalas soalan teka teki sengal. Entah apa-apa soalan tah yang mereka beri. Sakit perut menahan gelak. Sambil makan pun masih sempat buat lawak pasal telur bungkus.

     “Kenapa lauk ni dipanggil telur bungkus?” tanya Abang Sharif.

     “Sebab telur ni adik-beradik dengan hantu bungkus.” Ha ha ha… Jawapan sengal daripada Zulkifli. Gamat suara kami dengan gelak ketawa. Nasib baik tak menyembur air yang aku minum.

     Terpaku kaki Emir Haidar di hadapan pintu restoran tatkala melangkah di situ. Amboi, amboi, amboi… bukan main galak dia ketawa dengan geng sepejabat yang lain. Apa projek yang mereka semua buat malam-malam ni? Dylan Park yang berdiri di sebelahnya turut memaku pandangan pada kumpulan yang riuh itu. Cepat sahaja bibirnya mengukir senyuman apabila ternampak Aleesya juga ada di situ.

     “Patutlah kau telefon tak berjawab. Rupa-rupanya dia ada urusan dengan kawan-kawannya yang lain.” Dylan Park menepuk bahu Emir Haidar. Langkah Dylan Park menuju ke meja Aleesya dan kawan-kawannya diturut dengan hati yang panas. Kat sini rupa-rupanya dia bercanda dan berjimba.

     Bengkak sungguh hati Emir Haidar. Geram dengan Aleesya. Penat sahaja dia pergi ke rumahnya tadi, tapi dia tak ada di rumah. Berkali-kali dia mendail nombor telefon Aleesya, niat di hati hendak mengajak Aleesya makan malam, namun panggilannya langsung tidak berjawab. Sudahnya, Dylan Park diajaknya keluar untuk menjadi penemannya malam itu.

     “Assalamualaikum.” Semuanya menoleh apabila mendengar suara orang memberi salam.

     “Bos….. Eh, walaikumsalam bos. Bos buat apa kat sini?” Abang Sharif berdiri sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Emir Haidar dan Dylan Park.

     “Saya jadi jaga kat sini. Tak tahu ke?” jawapan orang yang sedang menahan geram.

     “Hah… Bos kerja jaga kat sini. Biar betul bos?” soal Ahmad Badawi dengan rasa terkejut. Biar betul bos aku ni...

     “Apalah kamu ni Badawi, kalau datang ke sini mestilah nak makan, macam yang awak semua buat sekarang ni.” Emir Haidar menepuk bahu Ahmad Badawi. Dylan Park yang berdiri di sebelahnya hanya tersenyum. Kepala dianggukkan kepada semua staf Emir Haidar yang sedang memerhatikan mereka berdua.

     “Entahnya kau ni Badawi. Bos kelentong sikit pun kau nak percaya. Agak-agaklah weii...” Semuanya tergelak bila Abang Sharif menjawab sambil jari telunjuknya melentik-lentik. Siap ditonjolnya pipi Ahmad Badawi. Aksi lembutnya sungguh mencuit hati kami.

     “Kamu semua baru lepas berjogging ke? Semua pakai track suit. Muka pun berminyak dan berpeluh. Tak ajak saya sekali pun ya Aleesya.”

     Soalan Mr. Dylan membuatkan aku serba salah untuk menjawabnya. Tajam aje mata Tuan Emir merenung muka aku. Apa kes buat muka macam kambing gurun tercekik biji kopi. Lebar saja senyuman Mr. Dylan, tak berani aku nak lebih-lebih membalas senyumannya, kang tak pasal-pasal kena bahan lagi dengan bos singa tu.

     “Kami baru lepas men…” Buk… kaki Fauziah aku sepak. Terdiam terus minah tu. Terkebil-kebil mata dia memandang muka aku. Terkejut agaknya dengan perbuatan aku. Aku buat muka supaya dia jangan pecahkan rahsia kami. Tak mahu Tuan Emir tahu.

     “Kami baru lepas main futsal Mr. Dylan, tu yang muka nampak berminyak dan berpeluh ni.” Cepat-cepat aku potong cakapnya. Mana boleh bos singa tu tahu aktiviti aku. Menyibuk aje nak ambil tahu semua hal.

     “Ha ah bos, kami main futsal tadi. Err.. bos, Mr. Dylan mehlah join kami makan.” Punyalah baik budi bahasa Abang Sharif, siap dipelawa bos dan Mr. Dylan makan sekali.

     ‘Ya, Allah… Janganlah Tuan Emir makan di meja ni. Mahu tercekik tekak aku ni.’ Aku berdoa dalam hati. Boleh mati selera aku nanti.

     “Its okay. Kami duduk di meja sana saja. Tak mahu ganggu kamu semua.Teruskan menjamu selera.” Dylan Park mengangkat tangan sebelum beredar ke meja yang terdapat di sudut kiri restoran itu. Wajah Aleesya dijeling sekilas. Senyum dilemparkan sekali lagi.

     Kalau ikutkan hati, memang Emir Haidar hendak duduk bersama-sama mereka berlapan, biar senang dia hendak menjeling dan merenung Aleesya. Rasa geram dan sakit hati terhadap Aleesya masih bersisa. Tapi depan kakitangannya air muka kena jaga. Kelakuan mesti dikawal, lagi pun banyak perkara yang ingin dia bual dan bincangkan dengan Dylan. Esok masih ada. Siap kau Aleesya…

     Rasa lemas dan rimas mula menguasai diri Aleesya. Setiap kali dia mengangkat kepala, pasti ternampak pandangan tajam Tuan Emir terarah ke meja tempat mereka berkumpul. Walau pun mulutnya berbicara dengan Mr. Dylan, tapi matanya tak sudah-sudah menghala ke sini.

     ‘Bos ni pandang aku ke, pandang kawan-kawan yang lain?’ Hati sudah mula rasa tak sedap. Tahu sangat yang bos singa itu sedang dalam mood tidak baik.

     Mesti dia marah dengan aku sebab menolak untuk balik bersama-sama dengan dia petang tadi. Esok mesti aku kena bahan dengan bos singa tu. Dia kalau dah marah dengan aku memang ada saja perkara yang akan dia buat untuk menyakitkan hati aku balik. Adoilah… Masak aku kali ni… Mak tolong…

     ~ Balik dengan saya sekali.

     Mesej yang diterima daripada Tuan Emir sungguh menyakitkan hati aku. Dah malam-malam buta macam ni dia masih nak cari pasal dengan aku. Tolonglah…

     ~ Terima kasih sajalah bos. Saya balik dengan Zariani. Selamat malam bos. See you tomorrow.J

     Selepas aku menghantar balasan sms kepada Tuan Emir, telefon bimbit terus aku matikan. Tadi masa aku hidupkan telefon, punyalah banyak miss call yang aku terima. Semuanya daripada bos singa tu. Tak hingin aku nak balik sekali dengan dia. Takut weii… Malu dengan Mr. Dylan pun masih ada lagi, karang tak pasal-pasal aku jadi kera sumbang dalam kereta dia. Ishh… Tak nak aku…

     Bertuah punya setiausaha. Asyik menolak pelawaan aku saja dia ni. Tadi semasa mereka semua minta diri, sempat dia bertanya tentang kereta Aleesya. Alasan untuk mengetahui sama ada Aleesya memandu kereta sendiri atau menumpang sesiapa pada malam itu. Jawapan Aleesya membuatkan hatinya lega. Dia naik kereta kawannya. Tapi kawan yang mana satu? Syarif, Azhar, Zulkifli atau Badawi? Tiba-tiba pulak rasa cemburu menyerbu hatinya.

     Sebaik-baik sahaja kumpulan itu beredar, cepat-cepat dia menghantar mesej kepada Aleesya. Tapi jawapan yang diberi sungguh mengecewakan hatinya. Hari ini sahaja sudah dua kali Aleesya menolak bantuannya untuk menumpangkan Aleesya balik ke rumah. Tak ada peluang langsung dia hendak ‘beramah mesra’ dengan gadis itu.

     Tak apa Aleesya. Seribu kali awak menolak, sejuta kali saya tak kisah. Erk… Iya ke? Kalau tak kisah, kenapa hati terasa sakit dan hampa bila dia tak terima pelawaan aku. Rasa macam kecewa sangat. Dah kenapa dengan hati aku ni ek?

     Aleesya ni pun satu. Bila di luar pejabat boleh pulak dia buat-buat tak kenal dengan aku. Sepatah perkataan pun tak keluar dari mulutnya untuk menegur aku. Cuma tersenyum dan menganggukkan kepala saja bila melihat muka aku. Dengan lelaki empat orang tu bukan main ramah lagi mulut dia berbual.

     “Aleesya tu sudah ada yang punya ke belum?” Pertanyaan Dylan semasa aku menghantar dia balik ke hotel tadi betul-betul buat hati aku tersentap. Dia sudah terpikat dengan Aleesya ke?

     “Kenapa kau tanya macam tu?”

     “Aik… tanya pun tak boleh ke?” wajah sahabatnya itu dipandang dengan perasaan pelik Apalah Emir ni, aku tanya dia, dia tanya aku balik. Sentap sekejap. Tiba-tiba kau nak marah kenapa ni Emir? Kawal diri sikit ya.

     “Aleesya tu kosong lagi agaknya. Aku pun tak tahu dia sudah ada yang punya ke belum. Kau dah berkenan dengan dia ke Dylan?” Soalan yang seolah-olah memamah hatinya sendiri. Walaupun dia tahu kisah hidup Aleesya, tak mungkin dia menceritakan semuanya kepada Dylan. Biar dia seorang sahaja yang menyimpan rahsia itu.

     “Agaknyalah kot.” jawapan Dylan bagai menikam jantungnya.

     “Tapi dia tu macam jinak-jinak burung merpati kan Emir? Nampak manja dan mesra aje, senang untuk didekati, tapi bila kita cuba tangkap, cepat saja dia terbang tinggi melarikan diri.”

     Tergelak Dylan. Emir Haidar hanya tersenyum kelat. Malas nak bercakap banyak. Takut terkeluar perkataan yang tidak patut nanti. Kalau tersilap cakap nanti Dylan akan menaruh syak yang bukan-bukan. Biarlah Dylan melayan perasaannya sendiri.

     Badan yang letih berbaring di atas katil dikalih ke kanan. Kenapa susah sangat nak padamkan wajah Aleesya dari fikirannya malam ini? Kelopak mata dirapatkan. Tak sabar nak menunggu hari esok. Harap-harap dapat mimpi indah malam ini. Huh, mengantuknya… Aleesya… zzzzzzz…



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku