I LOVE YOU ABANG SINGA
BAB 17
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 08 Oktober 2015
Penilaian Purata:
(10 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
5364

Bacaan






BAB 17

     Puas hati aku dapat membahan Aleesya pagi ni. Geram dan sakit hati semalam aku lunaskan dengan ‘membasuh’ dia cukup-cukup pagi ni. Selamba aje muka dia. Macam aku sedang bercakap dengan patung. Agaknya masuk telinga kanan, keluar telinga kiri saja semua kata-kata aku tu. Sepatah pun dia tidak menjawab kata-kata aku. Makin hangat hati aku bila dia buat muka selamba macam tu. Rasa macam nak aku gigit-gigit saja bibirnya yang dikemam rapat tu. Menyampah dan geramlah tu dengar aku membebel. Ada aku kisah…

     “Lain kali kalau awak nak pergi main futsal, ajak saya sekali! Bukan main awak berseronok dengan Zulkifli, Badawi dan Azhar tu. Sharif pun ada pulak tu. Saya awak tak pelawa langsung. Dahlah tu, balik sampai jauh-jauh malam, bergelak sakan dengan mereka macam perempuan kabaret aje. Saya tak suka tau!”

     Ya, Allah… Sakitnya hati aku dengan bos singa ni. Sabarlah hati. Tadah ajelah telinga mendengar repekan dia pagi ni. Biar dia sembur aku puas-puas. Penat merapu nanti, diam le dia.

     “Kau tu siapa nak marah-marah dengan aku? Kau tak suka, kau punya pasallah. Aku peduli apa!”

     Kalaulah aku dapat jawab macam tu depan dia kan bagus. Tak berani aku weii… Mahu kena sembur kaw-kaw punya dengan dia. Aku cuma berani menjawab dan mengutuk dia dalam hati saja. Bibir aku gigit tanda geram.

     “Saya ajak awak keluar awak tak mahu, ajak naik kereta sekali asyik menolak saja, dengan mamat berempat tu hendak pulak awak ikut. Elok sangatlah tu ketawa mengilai-ngilai macam pontianak dan bertepuk tampar dengan mereka.”

     Sadis sungguh tuduhan yang dia buat. Mana ada tah aku buat macam tu. Yang paling kuat ketawa tentulah anak dara bertiga tu. Orang lain yang buat perangai, aku pulak yang kena. Buta agaknya mata bos aku ni. Punyalah aku jaga perangai semalam.

     “Ni, awak ambil balik fail ni. Buat semula! Dah berapa lama awak kerja kat syarikat ni? Banyak kesalahan ejaan dan tanda baca. Tambah syarat perjanjian dalam dokumen tu, saya dah tanda dengan pen merah. Saya nak dokumen ni siap hari ini juga!” Fail yang aku letak semalam dicampakkan di hadapanku.

     Kurang asam punya bos! Aku capai fail yang dicampak itu dengan perasaan yang sebak. Tahan air mata tu Lessya, jangan menangis. Jangan jadi perempuan cengeng depan bos singa ni. Lagi dia suka kalau tengok kau menangis, nanti makin galak dia menyakitkan hati kau.

     “Hah lagi satu, sekejap lagi tolong panggil Roslina jumpa saya. Suruh dia bawa sekali laporan akaun syarikat untuk bulan ini. Saya tak mahu sebarang gangguan hari ini. Panggilan yang tidak penting saya tak mahu layan. Pandai-pandai awaklah untuk selesaikan sendiri. Pergi buat air untuk saya sekarang!”

     Amboi mak… Bukan main lagi dia memerintah orang. Tak reti-reti nak beri arahan dengan cara yang berhemah sikit ke?

     Perlahan-lahan aku bangun dari kerusi yang aku duduki di hadapan bos singa tu. Tajam aje mata dia merenung aku. Geram punya pasal, aku lawan balik renungan dia tu. Makin mencerlung mata dia dengan perlakuan aku. Hish…

    “Ada apa-apa lagi yang bos hendak?” Suara aku lembutkan, wajah aku maniskan dan senyuman aku berikan. Sengaja aku bertanya begitu. Aku menyindir dia sebenarnya. Manalah tahu masih ada lagi yang dia tak puas hati dengan aku, boleh juga dia sambung ‘mengaum’, biar perit dan kering tekak dia. Rasakan kau…

     Matanya masih tak lepas daripada memandang aku. Diam aje dia, tak ada lagi le tu nak dibebelkan. Dah penat berkeriau agaknya. Sekali dia jeling, kecut perut aku dibuatnya. Cepat-cepat aku keluar dari bilik yang berbahang itu walaupun pendingin hawa terpasang kuat.

     Fail yang aku bawa aku letakkan di atas meja. Gagang telefon aku capai dan terus mendail nombor jabatan akaun meminta Roslina Zahidin berjumpa dengan Tuan Emir. Sebaik sahaja pesanan Tuan Emir aku sampaikan, aku melangkah ke pantri untuk menyediakan air yang dimintanya tadi.

     “Kau okey tak yang?” soalan Abang Sharif aku jawab dengan anggukan. Senyuman Kak Lela aku balas kelat. Faham benar mereka dengan perangai aku kalau lepas kena marah dengan bos singa tu, mesti aku tak banyak cakap. Tak sampai hati agaknya mereka nak tegur lebih-lebih, takut hati aku bertambah sedih nanti.

     Aku ni bukannya boleh percaya, kalau mereka terlebih prihatin dengan nasib aku, mahu aku menangis dan dan tu juga. Tapi itu dulu. Aleesya yang sekarang ni sudah boleh mengawal perasaan dengan baik depan orang.

     Bengkak sungguh hati aku. Sakitnya hanya Allah sahaja yang tahu. Sebaik-baik sahaja bangun daripada tidur subuh tadi, aku sudah pasakkan sabar dalam hati. Mental, zahir dan batin aku siapkan awal-awal sebab tahu sangat akan kena bahan dengan Tuan Emir pagi ini.

     Memang dugaan aku tepat sekali, tak lama dia sampai, dia sudah menyuruh aku mengadapnya. Air muka aku aje tampak tenang di hadapannya, tapi dalam hati terluka sungguh dengan kata-katanya tadi.

     Kalau ikutkan hati aku yang sakit ni, hendak sahaja aku letak julap banyak-banyak dalam air Milo yang aku buat untuk dia. Biar memulas-mulas perut dia. Biar dia bertunggu tangga dalam tandas tu. Tapi aku tidaklah zalim sangat macam bos singa tu. Tak guna aku berdendam, dapat dosa aje nanti. Kang tak pasal-pasal aku kena pecat, baru padan muka aku.

     Teko air dan dua set cawan serta piring aku letakkan di atas dulang. Sepiring cempedak goreng aku letakkan sekali di atas dulang tu. Dia kalau berbincang tentang akaun dengan Roslina Zahidin tu, mesti mengambil masa yang lama. Entah berbincang entahkan menyembang mereka berdua tu. Lantak kaulah labu… Ada aku kisah.

     Aman sikit hidup aku tak diganggu kalau dia sibuk dengan perempuan gedik tu. Boleh juga aku siapkan semua dokumen yang dia minta. Azam aku hari ini, aku akan menyiapkan dokumen tu sehabis baik supaya tidak ada lagi sebarang kesilapan yang bos singa itu jumpa. Caiyok! Caiyok! Aleesya!

     Sebaik sahaja aku masuk ke dalam bilik Tuan Emir, bukan main riuh lagi suara mereka berdua bergelak ketawa.

     Umang aiii… Cepatnya minah ni sampai. Entah bila masanya dia masuk ke dalam bilik Tuan Emir. Masa aku sibuk menyediakan air di dalam pantri tadi agaknya. Dia ni memang pantang kalau dipanggil oleh Tuan Emir. Suka bebenor hati dia. Aku tahu sangat dia ada hati dengan Tuan Emir, cuma bos singa tu tak berapa nak layan perangai gediknya itu. Jual mahal konon. Pooodah…

     Berhati-hati aku menatang dulang. Dia ketawa sakan tak apa, tapi aku dimarahinya pulak sebab ketawa lebih-lebih semalam. Cis…

     “Good morning Aleesya.” Suara manja dan mengada-ngada Roslina Zahidin menegur aku. Aku jawab seadanya sahaja. Malas nak melayan dia lebih-lebih di hadapan Tuan Emir. Hati masih berbuku selepas kena bambu tadi. Muka Tuan Emir pun aku tak pandang. Lantak dialah nak tenung aku macam mana pun. Aku sudah tak peduli.

     “Eeee… Pagi-pagi you dah beri bos you makan cempedak goreng Aleesya. You jangan makan cempedak tu Emir. Berminyak tau. Tak elok untuk kesihatan. You makan saja kuih talam yang I bawak ni. Ibuat sendiri tau.”

     Geli geleman aku bila dengar suara minah gatal ni. Menggeletis tak bertempat. Gelenyar semacam aje dia ni. Entah ya entahkan tidak dia buat sendiri kuih tu. Nampak macam kuih yang dijual di gerai Kak Milah seberang jalan tu aje aku tengok.

     Aku jeling sekilas wajah Tuan Emir. Nampak dia mengigit hujung bibir. Masak dia nak melayan perangai gedik minah tu hari ni. Padan muka hang. Dengan aku bolehlah kau tunjuk taring, tapi dengan minah sekor ni, mati kutu dia dibuatnya. Ha ha ha... Sukanya hati akak, dik…

     Aku melangkah keluar dengan membawa cempedak goreng itu sekali. Orang tak hendak, ada aku kisah. Boleh juga jamu kawan-kawan yang lain. Aku hulurkan dulang yang berisi cempedak goreng itu kepada Kak Norlela yang kebetulan mahu ke pantri. Aku jemput rakan-rakan yang lain merasa cempedak hasil dari kebun arwah ayah yang aku goreng pagi tadi. Pantas sahaja Abang Sharif bangun diikuti beberapa orang teman yang lain menuju ke pantri. Rezeki yang ada dikongsi bersama. Dapat juga aku panjangkan pahala untuk arwah ayah.

     Aku capai fail yang berisi dokumen yang disuruh perbetulkan kesalahan oleh Tuan Emir tadi. Puas aku belek, tak ada sebarang kesalahan ejaan dan tanda baca yang aku jumpa pun. Apa yang ada cuma penambahan syarat-syarat perjanjian bertanda merah di beberapa perenggan tertentu sahaja.

     Masa dia suruh siapkan dokumen tu semalam, tak ada pun dia beritahu aku pasal syarat-syarat itu. Pagi ni ada tokok tambahnya pulak. Sengaja dia buat macam tu. Menconteng ikut suka hati dia aje. Ada ke patut ikon muka orang sedang geram dia lukis sekali di bahagian tandatangan dokumen tu. Besar pulak tu. Perangai tak semenggah, macam budak-budak terencat akal pun ada. Amik kau… Puas aku mengata dia dalam hati.

     Dengan Bismillah, aku memulakan tugas menyiapkan semula dokumen itu. Setiap ayat, tanda baca dan ejaan, aku baca dengan berhati-hati. Mesti lebih prihatin dan lebih teliti kali ini. Tak mahu mengulang buat perkara yang sama berkali-kali. Bunyi mesej masuk di telefon jelas kedengaran. Tapi tidak aku pedulikan. Sekejap lagilah aku baca. Kerja sedang melambak ni. Banyak fail yang perlu aku bereskan.

     Leka aku dengan kesibukan. Tak peduli dengan keadaan sekeliling dalam pejabat tu. Suara orang bergurau senda dan berbual pun tidak kedengaran. Mereka sibuk dengan tugasan masing-masing. Tak ada gangguan, aman rasanya jiwa aku.

     Sejambak bunga ros merah diletakkan di hadapanku. Aku panggung kepala melihat gerangan yang meletakkan bunga itu. Sengihan Abang Sharif bukan main lebar lagi.

     “Siapa punya?” Aku bertanya Abang Sharif yang tak habis-habis menyengih.

     “Bos punya ek?” Biasalah tu, orang banyak peminat. Zaman sekarang, bukan lelaki sahaja yang rajin beri perempuan bunga untuk menggoda, tapi kaum perempuan pun sudah terlebih pandai memikat lelaki dengan kiriman bunga. Macam perigi cari timba. Moden sangat.

     “Kau punyalah yang. Tadi ada budak lelaki hantar. Nampak Leesya sibuk sangat buat kerja, abang tolong signkan borang penghantaran bunga tu.”

     Abang Sharif mengangkat semula bunga yang diletakkan di hadapanku. Selamba sahaja dia mencium-cium jambangan bunga tu.

     “Wangilah Leesya. Siapa yang beri?”

     Cepat-cepat aku merampas jambangan bunga ros merah itu sebelum sempat Abang Sharif membaca nama pengirim pada kad kecil yang terselit di celah bunga itu. Aku jegilkan mata. Sibuk aje nak tahu. Kembang hati aku weii... Ada juga orang nak beri aku bunga.

     “Kedekut…” Lentik aje jari telunjuk Abang Sharif hendak menonjol kepala aku. Nasib baik sempat aku elak. Melenggang dia berjalan balik ke mejanya semula. Kawan-kawan sepejabat yang lain dah mula tersenyum-senyum. Geli hati melihatkan gelagat Abang Sharif. Aku cium bunga ros dengan perasaan teruja. Aku ada peminat weiii... Ahakss...

     ~ Untuk Aleesya yang cantik menawan. Sudi tak makan tengah hari dengan saya?

     ~Dylan Park

     Ya, Allah... Bunga daripada mamat K-Pop itu rupa-rupanya. Terbayang aku akan wajah dan penampilannya yang seperti artis pop Korea. Sebab tu aku panggil dia mamat K-Pop. Mata aku halakan ke dinding. Jam sudah menunjukkan hampir pukul satu tengah hari. Nak menolak pun tak sempat rasanya. Bila-bila masa mamat K-Pop tu akan muncul. Lagi pun macam mana aku nak hubungi mamat tu, nombor telefon dia pun aku tak ada.

     Eh, baru aku perasan, Tuan Emir masih tak habis-habis lagi berbincang pasal akaun dengan Roslina Zahidin tu ke?

     Jambangan bunga aku letakkan di tepi meja. Kerja yang belum selesai aku siapkan dengan segera. Takut kalau-kalau Tuan Emir minta semua dokumen tu bila-bila masa. Bukan boleh percaya sangat dengan bos aku tu. Dia main sebut aje fail yang dia hendak, jadi aku mesti sentiasa bersedia.

     Bunyi gelak kedengaran di hadapan pintu Tuan Emir. Berseri-seri wajah Roslina Zahidin semasa keluar dari bilik itu, maklumlah dapat menatap wajah handsome Tuan Emir sepanjang pagi ini. Kembang semangkuklah jawabnya hati dia.

     Mereka berdua berhenti di hadapan meja aku. Mata Tuan Emir tertancap pada jambangan bunga yang ada di atas meja. Cepat-cepat aku ambil dan peluk jambangan bunga itu sebelum Tuan Emir sempat mencapainya. Tak mahu dia baca kad kecil yang terdapat pada jambangan bunga itu.

     Jangan perasan ya bos, ini bukan bunga untuk bos, ini bunga saya.

     “Amboi Aleesya... Cantik bunga yang awak dapat hari ni. Siapa beri?” Roslina dah mula buat suara mengada-ngada. Tangannya menyentuh kuntuman bunga dalam jambangan yang aku pegang. Cemburu le tu. Semacam aje pandangan mata Tuan Emir.

     Hah... Apa kau ingat tak ada orang yang hendak beri aku bunga ke? Tolong sikit ek…

     “Dokumen yang saya suruh betulkan tu dah siap ke belum? Letak atas meja saya sebelum awak keluar makan tengah hari nanti.” tegas aje suara Tuan Emir. Serius sahaja roman wajahnya Segaris senyum pun kedekut nak dilemparkan pada aku. Depan Roslina nak tunjuk garang. Cis…

     “Sudah bos, semua saya sudah siapkan.” Aku menjawab selembut mungkin. Bibir sentiasa aku maniskan. Dia berkasar, aku tetap akan berlembut. Tak rugi pun kan. Tiba-tiba telefon di atas meja aku berbunyi, pantas aku capai gagang. Suara di hujung sana buat dada aku berdebar-debar. Lembut sahaja nada suaranya.

     “Okey…” itu sahaja yang aku jawab sebelum meletakkan gagang di tempatnya. Malu nak cakap banyak, lebih-lebih lagi di depan Tuan Emir dan Roslina yang masih berdiri di hadapan meja aku. Mata Tuan Emir tidak lepas daripada merenung aku. Ada lagi yang dia tak puas hati ke?

     “Saya dan Roslina nak pergi makan tengah hari ni. Tolong kemas cawan dan piring dalam bilik saya. Jangan lupa letak dokumen yang dah siap tu atas meja saya.”

     Langkah Tuan Emir diikuti Roslina dengan senyum lebar. Tak mesra alam langsung bos aku hari ini. Dengan orang lain bukan main manis muka dia, tapi dengan aku asyik nak berangin satu badan aje. Menyampah aku…

     Aku turun ke lobi selepas meyelesaikan semua arahan Tuan Emir tadi. Pelawaan Abang Sharif dan Kak Norlela untuk makan tengah hari aku tolak dengan baik.

     “Leesya dah ada temu janji tengah hari ni. Sorry ya.” Itu jawapan aku pada mereka berdua.

     “Amboi... Kelas kau Leesya…Tak pernah-pernah ada temu janji makan tengah hari, tiba-tiba pi dating pulak hari ni ya.” Aku hanya tersenyum sahaja bila diusik oleh Abang Sharif.

     “Dating dengan siapa Leesya?” Kak Lela pula menyibuk nak tahu.

     “Biarlah rahsia...” Tajuk lagu Siti Nurhaliza aku beri. Cantik aje jelingan Kak Norlela aku dapat. He he he…

     Lupa sekejap dengan sakit hati aku dengan kejadian pagi tadi. Tengah hari ni aku tak mahu bersedih atau bermuram durja. Aku sudah mangli dengan perangai Tuan Emir. Layankan sahaja angin dia. Kalau dah tak tahan sangat, aku pulak yang akan meletup nanti. Hah... baru padan muka dia. Ingat aku tak berani nak melawan ke? Aku hormat kan dia aje tau, sebab dia bos aku. Ishh… Berdebar-debar le pulak dada aku ni…



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku