I LOVE YOU ABANG SINGA
BAB 18
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 08 Oktober 2015
Penilaian Purata:
(9 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
3891

Bacaan






BAB 18

     Umang aii… Segaknya mamat K-Pop tu bersandar di badan kereta Toyota Camry. Sekali pandang, macam artis Korea sedang buat photoshoot kat depan bangunan pejabat kami. Uikss… macam biasa kulihat sahaja kereta itu. La… kereta syarikat rupa-rupanya yang dia bawa. Dari jauh bukan main lebar senyuman dia bila ternampak aku yang keluar dari lobi. Rasa macam tak padanlah pulak aku nak berjalan dengan dia nanti.

     “Annyeonghaseyo...” terbeliak sekejap mata mamat K-Pop tu bila aku beri ucapan macam tu. Jangan tak tahu, aku ni peminat tegar drama Korea. Setakat nak ucap hello, apa khabar macam tu kacang ajelah.

     “Khabar baik...” Ha ha ha… Dia jawab dalam bahasa Melayu. Senyuman kami saling berbalas. Pintu kereta dibukakan untukku. Rasa macam puteri le pulak aku rasa.

     “Kita nak pergi makan di mana?” Aku bertanya setelah dia menghidupkan enjin kereta.

      “Hari ini saya teringin nak makan tomyam. Kita pergi makan di restoran tomyam di Jalan Rasa Musa, Kampung Baru. Tomyam kat situ sedap.”

     Macam-macam selera mamat K-Pop ni, mengalahkan selera orang Melayu. Sudah lama tinggal di Malaysia dulu, pasti semua jalan dan tempat menjamu selera di Kuala Lumpur ni dia sudah mahir.

     “Cantik Aleesya hari ini. Saya suka sangat lihat perempuan Melayu pakai kebaya. Walaupun nampak sedikit seksi dengan potongan baju yang mengikut bentuk badan, tapi tetap tampak ayu dan sopan. Perlahan sahaja langkah mereka ketika berjalan.” Dahsyat sungguh pandangan mamat ni pasal wanita Melayu dan baju kebaya. Mesti suka perhatikan gelagat orang dia ni.

     “Awak nak tahu sebab apa perempuan yang pakai kebaya tu jalan perlahan?”

     “Kenapa?” Tak pernah pulak sampai ke situ aku berfikir pasal baju kebaya ni. Kalau nak pakai, aku main sarung aje. Dah tak sempat nak fikir perlahan ke laju masa tu.

     “Potongan kain kebaya tu serong dan ketat, sebab tu langkah pemakainya menjadi kecil dan perlahan.” Ha ha ha…. Dia gelak kuat. Aku pun terikut sekali ketawa. Betul juga kata dia tu kan.

     “Tak ada maknanya melangkah dengan perlahan. Saya tetap pantas ketika berjalan. Tak adalah macam wanita Jepun yang berbaju kimono.” Aku tergelak sekejap. Cantik aje senyuman Mr. Dylan. Suka pulak aku tengok.

     “Mr. Dylan ni salah pilih profesyenlah. Sepatutnya Mr. Dylan jadi pereka fesyen. Mesti meletup ciptaan Mr. Dylan. Pandai pulak Mr. Dylan buat rumusan pasal pakaian ni ya.”

     Dia cuma tersenyum. Aku rasa macam sedang berbual dengan Lee Donghae penyanyi dari Kumpulan Super Junior tu bila lihat senyuman Mr. Dylan.

     “Aleesya, awak dah lupa ya?” soalan yang buat aku menoleh lama ke wajahnya. Sempat lagi tu dia menjeling aku. Nampak sweet sangat jelingan dia tu.

     “Lupa? Lupa pasal apa?” tangan kanan aku bawa ke bibir. Jari telunjuk aku gigit. Aku lupa pasal apa ek?

     “Kan saya dah kata semalam, saya tak suka awak panggil saya Mr. Dylan ketika di luar ni. Terlalu formallah. Saya sukakan suasana yang santai. Panggil Dylan sahaja. Lebih mudah dan mesra.” Dia jeling aku sekali lagi. Ha ah kan... Mesralah sangat..

     Ketika tiba di restoran itu mata aku tertangkap pada kereta yang terparkir di hadapan restoran itu. Alamak… Masak aku… Dia pun ada kat sini juga ke? Punyalah banyak tempat makan di sekitar Kuala Lumpur ni, kenapa kat sini juga yang dia datang untuk menjamu selera.

     Aku menyaingi langkah Mr. Dylan dengan perasaan yang libang libu. RelaxAleesya, Jangan gelabah. Buat-buat tak tahu sahaja. Kalau boleh, berlagak dan berpura-pura yang kau tak nampak dia dalam restoran tu.

     Macam bertih jagung mulut Roslina Zahidin bercerita. Seronok sangat hari ini sebab Emir Haidar sudi untuk makan tengah hari dengannya. Ingat senang ke nak ajak bos besar keluar makan berdua-duaan macam ni.

     Eh, tapi kenapa mata dia asyik memandang ke hadapan aje? Penat aku bercerita. Dia dengar ke tidak apa yang aku cakapkan tadi. Siapa yang dia tenung tu? Kepala dipusingkan ke belakang. Oh… Patutlah…

     “Eh, Aleesya pun makan kat sini juga. Kalau tak salah, lelaki tu anak tuan punya syarikat perkapalan, rakan kongsi Dato’ Seri Hulawi dari Korea kan Emir? Amboi… Bukan main mesra Aleesya dengan lelaki tu ya. Handsome sungguh. Sekali pandang macam artis terkenal dari Korea.” Emir Haidar mengetap bibir. Ayat makan dalam tu.

     Terteleng-teleng kepala Roslina memandang pasangan yang sedang leka berbual itu. Tak sedar betapa hangatnya hati Emir Haidar mendengar kata-katanya. Berani dia puji lelaki lain di hadapan aku.

     Bila masa pulak Dylan datang ke pejabat mengambil Aleesya? Langsung dia tak beritahu aku pun aktiviti dia hari ni. Patutlah bila aku ajak keluar makan, dia kata sudah ada program lain. Ini rupa-rupanya projek dia. Projek mengurat Aleesya. Eee... Geramnya aku...

     ~ Amboi… Seronok nampak…

     Mesej di hantar ke telefon bimbit Aleesya. Tapi tak ada tindak balas langsung. Telefonnya juga tidak disentuh. Ralit sangat berbual sampai tak dengar bunyi mesej masuk agaknya. Nombor Aleesya dicari, namun hati semakin terasa sakit kerana hanya suara perempuan lain yang menjawab panggilannya. Patutlah tak dengar bunyi mesej masuk, dia matikan telefon rupa-rupanya.

     “You sudah siap makan ke belum Lina? Kalau dah siap, mari kita balik. I ada banyak kerja yang perlu dibereskan.” Tiba-tiba mati seleranya hendak menghabiskan hidangan tengah harinya itu.

     “Ala Emir… I tak habis makan lagi. Kenapa you nak cepat-cepat balik ni?” Gedik saja suara Roslina Zahidin.

     Mengada-ngada. Ingat aku suka sangat agaknya nak melayan kerenah dia yang manja semacam aje ni. Menggeletis sungguh. Nak menelan makanan pun rasa tercekik di tekak. Menyesal sungguh aku terima pelawaan dia tadi.

     “Kalau you masih nak makan lagi, nanti you balik naik teksi ajelah. I nak cepat ni, menimbun kerja I kat pejabat tu. ” Suara orang geram ganda dua kali. Geram dengan kerenah minah gedik ni, ditambah pula geram melampau dengan Aleesya.

     “Tadikan I datang dengan you, balik pejabat pun mestilah dengan you jugakan. Tak kan you nak tinggalkan Isorang-sorang kat sini.” Cepat-cepat air dalam gelas diteguk. Geram dengan perangai Emir Haidar. Tak menyempat-nyempat nak belah. Aku baru saja nak mengayat dia.

     Untuk ke kaunter, mereka perlu melalui meja tempat di mana Aleesya dan Dylan Park sedang menjamu selera. Sengaja dia menuju terus ke situ. Mahu menegur dan beramah mesra dengan pasangan yang sedang leka berbual itu. Bukan main lagi kau ya Aleesya…

     “Eh, Dylan … Kau dengan Aleesya pun ada kat sini. Kenapa tak cakap nak makan tengah hari di sini, boleh juga kita datang bersama-sama tadi.”

     Tanpa ucapan salam, terus sahaja ditegur Dylan Park. Bahu sahabatnya itu ditepuk kuat. Aleesya yang memang sudah nampak bosnya menuju ke meja mereka berdua pura-pura terkejut dengan kehadiran Emir Haidar dan Roslina Zahidin.

     Nasib baik tidak menyembur makanan yang ada di dalam mulutnya bila dikejutkan begitu oleh Emir Haidar. Aleesya menghulurkan tisu kepada Dylan Park. Gelas berisi air tembikai turut disuakan kepadanya. Mata menjeling Emir Haidar. Melampau betullah bos aku ni…

     Jus tembikai yang diteguk melegakan tekaknya. Bibir dilap dengan tisu. Mencerlung matanya memandang Emir Haidar yang tersengih-senghih berdiri di hadapannya ketika itu. Perempuan yang berdiri di sebelah Emir Haidar bukan main lagi merenung wajahnya. Semacam aje senyuman Roslina Zahidin ketika matanya meliar di wajah Dylan Park. Erk… Kenapa dengan perempuan ni?

     “Apalah kau Emir ni buat aku terperanjat aje.” Pinggang Emir Haidar disiku perlahan.

     “Kau dah makan ke belum Emir?” sengaja berbasa basi. Nak menghilangkan rasa bersalah sebab menolak pelawaan Emir Haidar untuk makan tengah hari bersama-sama tadi.

     “Aku dah nak balik ke pejabat dah ni. Tak boleh berlama-lama di sini. Banyak kerja yang menunggu di pejabat tu.” Ayat orang yang tak boleh tengok orang lain senang. Peringatan dan sindiran untuk Aleesya sebenarnya.

     Orang yang disindir tu buat-buat pekak badak aje. Aku tahu le kerja sedang banyak sekarang ni. Tapi sampai bila-bila pun tak akan habis kerja di pejabat tu. Orang nak makan pun tak senang. Mendongkol hati Aleesya dibuatnya. Malas nak pandang muka bosnya itu. Hati masih terasa dengan ‘tazkirah’ yang diterima pagi tadi.

     “Aku pinjam setiausaha kau sekejap ya Emir. Lepas makan nanti aku hantar dia balik ke pejabat. Kalau kau nak balik dulu silakanlah. Kami baharu nak menjamu selera.”

     “It’s okey. Aku tak kisah pun. Teruskanlah menjamu selera. Aku beredar dulu.”

     Bahu Dylan Park ditepuk perlahan beberapa kali. Mata melirik tajam pada setiausaha yang langsung tidak mengangkat muka. Terus menyuap mulut dan menundukkan kepala. Tahu sangat Aleesya masih terasa dengan dirinya.

     Tak kisah konon. Dalam hati, hanya Tuhan sahaja yang Maha Mengetahui. Tak tahu nak gambarkan perasaan apa. Marah, geram, benci... Semuanya ada. Tapi yang pasti rasa yang memamah hatinya kini tak lain dan tak bukan perasaan cemburu… Amat-amat cemburu… Adoiii…

     Semasa berdiri di kaunter pembayaran, Emir Haidar masih sempat memandang Aleesya dan Dylan Park yang sedang berbual-bual mesra. Ceria sahaja wajah Aleesya. Seronok sangatlah tu. Bukan main lagi dia ya. Kalau depan aku muka macam asam kecut. Hatinya mencemuh. Cemuhan yang menggambarkan perasaan cemburu yang meluap-luap.

     Roslina Zahidin yang berdiri di sebelahnya seolah-olah tidak wujud. Bengang betul gadis itu. Sudahlah tadi dia tidak diperkenalkan kepada Dylan Park. Sekarang ni, Emir Haidar buat perangai sombongnya semula. Menyesal pulak ajak dia keluar makan tengah hari tadi. Bila nampak Aleesya sahaja terus perangainya berubah. Macam ada yang tak kena aje bos aku ni. Sehingga sampai di pejabat, sepatah perkataan pun tidak keluar dari mulut Emir Haidar. Eee… Bosannya…

     “Tambah lagi Aleesya. Sikit sangat awak makan.” Dylan Park meletakkan daging masak merah ke dalam pinggan Aleesya. Kailan ikan masin turut diletakkan sama.

     “Opps… Cukup Dylan, saya sudah kenyang.” Aleesya cuba menghalang tangan Dylan yang mahu mencedukkan kuah tomyam ke dalam mangkul kecilnya.

     “Aleesya… siapa yang nak makan lauk yang banyak ni?” Dylan Park masih tidak berputus asa menyuruh Aleesya menambah makanannya.

     “Awaklah yang kena habiskan. Lagi pun di Korea tu susah nak dapat tomyam kan. Saya kat sini hari-hari boleh makan tomyam ni kalau saya mahu. So,awak jangan membazir. Sila habiskan sampai licin ya.”

     Tergelak Dylan mendengar kata-kata Aleesya. Pandai juga dia nak kenakan orang ya. Tawa mereka berpadu. Sesekali tangan Aleesya menyuap daging masak merah ke dalam mulutnya. Menolong Dylan meratah lauk yang masih banyak. S Qss

     “Awak kata awak selalu datang ke Malaysia. Tapi selama hampir setahun saya menjadi setiausaha kepada Encik Emir, kenapa saya tak pernah nampak awak di pejabat tu, kecuali semalam. Yang selalu saya jumpa, Mr. Lee Cha Dong dan kadang-kadang ayah awak yang datang ke pejabat tu. Awak pergi ke mana kalau datang ke Malaysia ni Dylan?” musykil sungguh hati Aleesya.

     Senyuman menghiasi wajah Dylan Park. Makanan di dalam mulut dikunyah perlahan-lahan sebelum ditelan. Gelas berisi ais kosong dicapai lalu diteguk dengan sopan. Aleesya masih sabar menanti jawapan daripadanya.

     “Masa saya belajar di Universiti Malaya dulu, saya ada ramai kawan. Selain Emir, saya ada seorang lagi sahabat karib yang berasal dari Terengganu. Nama dia Kamarul Ariffin. Ayah Kamarul seorang peguam. Saya merupakan anak angkat keluarga mereka”

     ‘Dia ni, aku tanya lain, dia jawab lain le pulak. Sudah keluar topik dah ni.’ rungut Aleesya dalam hatinya.

     “Kalau awak nak tahu, selain ke rumah Emir, saya selalu pergi ke Kuala Terengganu berjumpa dengan keluarga angkat saya kalau saya datang ke Malaysia ni. Urusan perniagaan biasanya diuruskan oleh ayah serta wakil syarikat iaitu Lee Cha Dong yang awak kenal tu. Dia tu pak cik saya, adik kepada emak saya.

     “Selepas tamat pengajian sarjana saya, barulah saya mengambil alih urusan perniagaan daripada ayah saya. Baharu beberapa bulan ini sahaja saya aktif dalam perniagaan. Dulu kalau saya datang ke Malaysia, saya jarang terlibat secara langsung dengan semua perbincangan.”

     “Apa-apa sahaja urusan perniagaan saya jarang terlibat sama. Saya tidak mahu tergesa-gesa memegang jawatan penting dalam syarikat. Saya belajar dari bawah tentang perniagaan ni. Setiap laporan yang dikemukakan oleh pak cik saya, akan saya baca dan kaji dengan teliti. Saya lebih suka menjadi orang di belakang tabir sahaja. Sebab itulah awak tidak pernah berjumpa dengan saya Aleesya.” Wajah Aleesya di hadapannya direnung. Tenang sungguh wajah itu.

     “Awak sudah habis makan Dylan? Kalau sudah, bolehlah awak hantar saya balik ke pejabat semula. Kalau lambat saya sampai di pejabat tu nanti, ada singa jantan yang akan mengaum pulak.” Tanpa sengaja Aleesya mengata bos singanya.

     “Singa jantan mengaum? Siapa? Emir ke yang awak maksudkan?” kening Dylan Park terjongket sedikit.

     Alamak… Terlepas cakap le pulak. Naya aje kalau di mengadu dengan Tuan Emir yang aku panggil dia singa jantan. Masak aku kena bahan nanti. Mak tolong…

     Tercuit hati Dylan Park melihat aksi Aleesya yang tiba-tiba menutup mulutnya dengan tangan kanan. Tanpa sengaja tawanya meletus. Emir Haidar singa jantan? Oh, tidak… Ha ha ha...

     “Ada-ada sahaja awak ni Aleesya. Emir tu memang garang ke Aleesya? Macam tak percaya aje.” Ketawanya masih belum habis lagi.

     “Err… Dylan tolong jangan beritahu Tuan Emir pasal hal singa ni ya. Nanti teruk saya kena ‘ceramah’ dengan dia.” Tahu pun kau takut ya Aleesya. Lain kali kawal sikit mulut tu, jangan main cakap lepas aje.

     “Awak jangan risaulah Aleesya. Saya tak akan beritahu Emir.” Senyum lagi dia.

     “Emir tu memang garang semasa di pejabat ya Aleesya? Saya tengok elok saja dia menegur staf yang lain. Tak nampak pun tang mana garangnya Emir tu.”

     “Saya pun tak tahu kenapa dengan saya saja dia garang sangat. Dengan kakitangan yang lain dia okey pulak. Tuan Emir suka cari kesalahan saya. Kalau tak sabar, memang sudah lama saya letak jawatan dan bekerja di tempat lain. Biarlah gaji kecil asalkan hati saya senang.” Air yang masih berbaki dalam gelasnya diteguk sehingga habis. Bagai melepaskan geram yang berbuku dalam hatinya.

     “Rugilah syarikat kami kalau awak tidak bekerja di situ. Kalau awak berhenti, sudah tentu saya tidak dapat berkenalan dengan awak yang cantik manis ni kan?” Dylan melemparkan senyuman sekali lagi kepada Aleesya. Baik punya mengayat Dylan ni kan…

     “Ha ah... Rugilah sangat. Lagi Tuan Emir suka adalah…” mulut mencebik. Comel sahaja aksinya pada pandangan mata Dylan Park. Aleesya, Aleesya… Ada-ada sahajalah awak ni…

     “Entah-entah Emir tu suka dengan awak tak Aleesya? Cuma dia ego dan malu nak beritahu awak sahaja. Dia selalu marah-marah sebab nak tarik perhatian awaklah tu. Orang kata, marah-marah sayang.” Dylan membuat ramalan yang memang tidak boleh dipakai.

     “Oh, tolonglah Tuan Emir nak suka dengan saya. Kalau dia suka, tak adalah dia asyik nak marah-marah sahaja. Hari pertama saya bekerja dengan dia, dia sudah cabar saya supaya berhenti kerja. Puncanya hanya kerana baju dia terkena air yang saya pegang masa mula-mula kami bertemu di pejabat dulu. Dia yang cuai, tapi saya pula yang disalahkannya. Kawan karib awak tu ada masalah organ dalaman agaknya Dylan.” Ha ha ha… Masalah organ dalaman le pulak… Aduh lawak sungguh Aleesya ni…

     “Tak ada maknanya Tuan Emir nak suka dengan saya Dylan. Buah hati dia Husnina Suraya yang seksi dan bergaya tu nak letak di mana? Saya ni jenis perempuan yang tidak menepati cita rasa Tuan Emir. Tak sesuailah saya dengan dia. Mahu kami berperang tiap-tiap hari. Lagi pun saya tak tahan dengan mulut dan sikap panas baran dia yang tak menentu itu.” Ish… Tak naklah aku… Makan hati nanti weiii…

     “Rasanya awak masih belum mengenali Emir dengan lebih mendalam Aleesya. Dia sebenarnya seorang yang penyayang dan lembut hati. Cuma pengalaman lalu yang menyebabkan dia bersikap begitu. Suatu hari nanti awak akan tahu juga kisah sedih Emir.”

     Malas aku nak ambil tahu pasal kisah sedih Tuan Emir tu. Aku punya kisah dan pengalaman lalu lebih perit dan menyedihkan. Sekarang ini aku hanya mahu hidup bahagia dan meneruskan kehidupan dengan jiwa yang tenang. Rasanya susah juga aku hendak menggapai bahagia dan memperolehi ketenangan jiwa kalau aku masih bekerja dengan Tuan Emir. Tapi, selagi aku boleh bersabar dengan kerenahnya, insya-Allah aku akan terus bertahan. h

     “Jomlah Dylan. Kita dah lambat ni. Awak tak kesian dengan saya ke?” asyik berbual saja bila lagi nak beredarnya.

     “Yalah, yalah. Lambat balik ke pejabat nanti ‘mengaum’ pulak bos awak tu kan. Takut sangat awak kena baham dengan dia ya.” Ha ha ha... Tak habis-habis Dylan Park menggelakkan Aleesya.

      Aik… dia pun pandai nak mengenakan aku ya. ‘Kena baham’… Eee… Guruan yang amat menyeramkan…



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku