I LOVE YOU ABANG SINGA
BAB 19
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 08 Oktober 2015
Penilaian Purata:
(4 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
4098

Bacaan






     BAB 19

     Sudah hampir dua puluh minit Emir Haidar mundar-mandir di dalam biliknya. Jam di tangan sudah berkali-kali dijeling. Sesekali kepalanya menjenguk di celah bidai yang menutup cermin biliknya. Melampau ni… Masih kosong lagi meja setiausahanya. Makan apa sampai tak balik-balik lagi. Bersembang sampai tak ingat dunia. Hangat sungguh hatinya.

     Punggung dihempas di atas kerusi. Fail yang diletakkan oleh Aleesya di atas mejanya dicapai. Syarat-syarat perjanjian yang tercatat di dalam fail itu dibaca satu persatu. Otak seolah-olah tidak boleh berfikir. Tiba-tiba pulak jadi beku. Aduh…

     “Dah kenapa dengan aku ni, asyik mengulang baca ayat yang sama berkali-kali.” Cepat-cepat fail ditutup. Mana nak masuknya segala maklumat dalam kepala tu kalau fikiran asyik menyimpang ke lain. Telefon bimbit dicapai. Nombor Dylan Park dicari.

      “Kau di mana sekarang ni Dylan?” Suara seboleh mungkin cuba dilembutkan. Tak mahu orang di sana perasan dengan gelodak perasaannya yang sedang berombak kuat sekarang ni.

     “Hah… kat Mid Valley! Aleesya pun ikut sekali ke situ ke?” naik sedikit nada suaranya.

     “Apa? Dia dah lama balik ke pejabat.” Ke mana dia pergi, tak nampak pun dari tadi?

     “Oh…Okey, okey…terima kasih.”

     Panggilan ditamatkan dengan segera. Cepat sahaja dia bangun dari kerusinya. Sekali lagi dia mengintai di celah bidai. Hah… ada pun dia. Lama ditenung setiausahanya yang sedang leka menaip di komputernya. Memang nak kena minah ni. Dia kembali semula ke mejanya. Gagang telefon diangkat.

     “Masuk bilik saya sekarang! Bawa sekali dokumen yang saya suruh awak siapkan pagi tadi.” Pap… Gagang dihempas dengan kuat. Baru puas hati aku…

     Bagus sungguh perangai bos aku ni kan. Tak berhemah langsung. Kasar aje suara dia bila bercakap dengan aku. Entah apa lagi yang dia tak puas hati dengan aku agaknya. Tak cukup-cukup ke dia membahan aku pagi tadi. Lambat-lambat dia melangkah ke bilik bosnya. Ketuk pintu tiga kali, terus masuk tanpa menunggu kebenaran daripada bos singa itu. Orang dah suruh masuk tadi kan.

     Wajah Emir Haidar yang sedang menunduk kerana membelek fail dipandang dengan perasaan yang sedikit cuak. Punggung dilabuhkan di atas kerusi, mengadap bos yang sebenarnya berpura-pura ralit membelek fail yang dipegang. Lama dibiarkan Aleesya menunggu di situ. Sengaja sebenarnya. Ambil masa sikit untuk meredakan perasaannya.

     “Kenapa awak masuk pejabat lambat? Awak pergi melilau ke mana tadi?” Garang aje bunyi suaranya. Pekerja yang tidak berdisiplin dan suka ambil kesempatan memang patut ditegur dan dimarahi.

     “Mana saya ada balik lambat bos. Saya balik awal tadi.”

     “Menjawab, menjawab! Kalau awak balik awal, kenapa saya tak nampak awak di meja kerja awak tu? Awak pergi mana?” Bom atom sudah hendak meletup dah ni.

     “Saya pergi solat Zohor di suraulah bos. Itu pun tak boleh ke? Yang bos nak marah-marahkan saya ni kenapa? Bos sudah solat ke belum? ” Hah… Amik kau sebijik. Tak boleh ke menegur dan bertanya dengan baik. Kan dah kena dengan aku.

     Adoiii… Rasa macam kena penampar Jepun saja mukanya. Panas rasa kulit muka. Marahkan orang sampai terlupa hendak menunaikan solat Zohor. Mata menjeling Aleesya yang duduk di hadapannya dengan muka selamba.

     “Mana dokumen yang saya mintak tadi?” suara tegas dan kepala ditundukkan semula. Rasa macam malu hendak memandang wajah Aleesya.

     Aik… Sunyi aje. Tak ada sebarang suara pun yang keluar dari mulut Aleesya. Kepala diangkat. Mata berlawan pandang dengan anak mata Aleesya yang sedang merenungnya sambil mengigit bibir. Dug... dag… dug... dag… Jantung tiba-tiba menjadi tidak stabil rentaknya. Nak tunjuk garang depan Aleesya konon, sudahnya dada sendiri yang berombak.

     “Hem... Ehem…” anak tekak dibetulkan beberapa kali. Tiba-tiba aku yang jadi gelabah ni apa hal?

     “Awak dengar tak soalan saya tadi Aleesya?” suara cuba digarangkan kembali.

     “Dengar…”

     “Faham tak arahan saya tu?”

     “Faaahammm….” Menjawab dengan suara yang meleret-leret. Suara orang bengang dan meluat sebenarnya tu.

     “Kalau awak dengar dan faham, mana dia dokumen yang saya mintak tadi?” Sudah tinggi balik nada suaranya. Mata dicerlungkan. Tapi sedikit pun setiausahanya tidak menunjukkan wajah takut. Malah semakin berani melawan renungannya. Aik, bukan main lagi dia ni ya...

     “Bos… yang bos pegang dan belek tu apa? Saya sudah letak dokumen tu sebelum keluar makan tengah hari tadi seperti mana yang bos suruh.”

     Mengigau agaknya bos aku ni. Terlebih makan apa agaknya masa keluar dating dengan si Roslina tadi. Hah... kan dah kena kutuk dengan aku. Berani-berani ayam renungan bos singa itu dilawannya. Hati di dalam libang libu sebenarnya. Takut kena baham, macam kata Dylan Park tadi. Mak tolong…

     Fail di tangan dihempas di atas meja. Muka tiba-tiba rasa bertambah panas dan sudah mula hendak menebal. Malunya weiii… Silap dah ni. Kan dah kena… Padan muka aku. Malu ganda kuasa dua. Hendak mengenakan Aleesya, tapi terkena batang hidung sendiri. Cuai sungguh. Apa yang aku baca tak masuk langsung dalam kepala. Ini semua Aleesya punya pasallah ni…

     “Saya tahu… Tapi sengaja saya tanya awak, nak lihat apa jawapan awak.” Hah… Tak menahan sungguh. Ayat orang nak menyelamatkan diri daripada malu. Nak tutup rasa segan dengan melengkingkan suara.

     “Pergi sediakan minum petang saya. Jangan lupa bawa sekali cempedak goreng yang awak bawa pagi tadi.” Sengaja lari ke topik lain. Nak hilangkan rasa malu sebenarnya.

     “Pagi tadi kan bos tak sudi nak makan cempedak tu. Kan Roslina kata berminyak dan tak elok untuk kesihatan.” Sempat lagi tu menyindir ya, Aleesya.

     “Bila masa pulak saya kata saya tak sudi nak makan cempedak goreng awak tu Aleesya? Awak tak baca mesej yang saya hantar lepas awak keluar dari bilik saya pagi tadi ke? Saya suruh awak simpankan cempedak goreng tu untuk saya. Lupa ke?”

     “Erk…. Bos ada hantar WA pada saya ke? Sorry bos saya tak baca langsung mesej bos tu. Saya ingatkan bos tak nak cempedak tu, saya sudah beri pada kawan-kawan yang lain. Maaf ya bos, cempedak goreng tu dah selamat pagi tadi. Dah habis.”

     “Apa? Awak mem…”

     “Errr…bos, baik bos pergi solat dulu, waktu Zohor pun dah nak habis ni. Saya keluar dulu ya bos, nak buatkan air milo sejuk untuk bos, biar dingin sikit panas hati bos tu. Dari pagi tadi bos asyik meletup saja.”

     Cepat-cepat Aleesya bangun dan keluar dari bilik itu. Apahal tah bos aku ni? Pasal cempedak goreng pun nak naik angin. Baik aku cabut cepat, lagi lama aku mengadap muka dia nanti makin banyak semburan beracun yang bakal aku terima.

     “Bertuah punya setiausaha. Berani dia keluar tanpa izin aku. Tak habis lagi cakap aku, dia dah potong.” Badan disandarkan ke kerusi. Tangan memicit dahi.

     “Dah kenapa dengan aku ni? Astarghfirullahalazim…” nafas ditarik panjang.

     Sejak peristiwa hari itu, sikap Aleesya sudah semakin dingin dengan Emir Haidar. Bercakap hanya pada hal-hal yang penting sahaja. Tak ada lagi mulut petah yang menjawab bila ditegur. Tak ada lagi usikan Aleesya yang kadang-kadang mencuit hatinya. Senyum dengan aku pun sudah jarang-jarang Aleesya ni. Selamba sentiasa muka dia.

     Padan muka aku. Dulu bila Aleesya senyum dengan aku, tak pernah aku balas. Aku jeling dia adalah. Agaknya macam nilah yang Aleesya rasa bila senyuman yang diberi tidak berbalas. Sakit hati aku tau. Penat aku senyum dengan dia, boleh dia pandang dan buat tak tahu sahaja.

     Nampak gayanya aku kena bersikap macam dulu semula. Buat muka serius balik. Jangan peduli dengan dia. Kau buat kerja kau, aku dengan kerja aku, macam dulu-dulu. Err… Tapi boleh ke aku buat macam tu? Rasa macam tak percaya dengan diri sendiri. Sebenarnya tak percaya dengan hati sendiri. Terasa macam dipinggirkan.

     Bila difikir-fikirkan balik, memang tak patut pun aku marahkan Aleesya. Dia nak keluar dengan Dylan ke, nak pergi main futsal dengan orang lain ke, nak melepak dengan kawan-kawan pejabat ke, apa aku kisah? Aku ni siapa nak marah-marah dengan dia? Aku tak ada hak pun nak melarang dia buat apa yang dia suka. Suka hati dialah nak buat apa pun kan.

     Bila bawa dia keluar jumpa pelanggan, rasa macam bawa perempuan bisu. Senyap dan tak banyak cakap semasa dalam kereta. Dengan orang lain hendak pulak dia tersenyum, dengan aku, bukan main mahal lagi senyuman dia tu. Bila aku naik angin, sudah tidak ada lagi mulut becok yang menjawab. Dia cuma diam dan menunduk aje, macam aku bercakap dengan tembok. Tenang aje air muka dia.

     Sudahlah Emir, fokus… fokus… Jangan peduli dengan Aleesya tu. Tumpukan perhatian pada fail-fail yang menimbun di atas meja. Kerja tengah melambak ni. Dylan pun sudah balik semula ke Korea. Nampaknya aku sudah tak ada teman untuk menyembang dan keluar malam lagi. Buang masa aje asyik fikir pasal Aleesya. Satu kerja pun tak siap nanti.

     Eleh, Emir… Buang masa konon… Piiirahh…



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku