I LOVE YOU ABANG SINGA
BAB 20
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 08 Oktober 2015
Penilaian Purata:
(50 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
4360

Bacaan






BAB 20

     Bunyi suara orang bergelak ketawa kedengaran di luar biliknya. Bidai disingkap sedikit. Amboi… Gelak sakan dia noo… Siap makan cupcake lagi. Langsung tak pelawa aku yang keseorangan dalam bilik ni.

     Apa hal skodeng anak dara orang ni Emir oii… Wajah yang sedang tersenyum manis itu direnung lama. Lebih dua minggu dia tidak melihat gelak ceria di wajah Aleesya. Siapa pulak yang datang ke pejabat aku ni?

     Pintu bilik dibuka. Badan disandarkan di tepi pintu. Mata dilingaskan ke seluruh ruang pejabat. Ada pesta ke dalam pejabat aku ni? Semuanya sedang mengunyah cupcake. Sampai hati dia orang tak pelawa aku makan pun.

     “Eh, bos…” Suara Abang Sharif kedengaran manja dan meleret-leret ketika menyebut perkataan bos tu. Hampir tersembur makanan yang ada dalam mulut Aleesya. Melampaulah Abang Syarif ni, tak boleh agaknya suara tu dikeraskan sikit. Lentuk semacam aje badan dia.

     “Terima kasih ya bos sebab belanja kami cupcake ni. Semoga Allah kurniakan bos rezeki yang bertambah dan melimpah. Nanti bolehlah bos belanja kami lagi ya.” Bukan main lagi ayat Abang Sharif aku ni. Nak beli jiwa boslah tu. Menyampah aku…

     Erk… Bila masa pulak aku belanja mereka semua cupcake ni? Apa hal semua ni? Tiba-tiba matanya ternampak mummynya berdiri di tepi meja Ahmad Badawi dan menghulurkan cupcake kepada jejaka hitam manis itu.

     Aik… Bibik Sumarni pun ada sekali di sebelah mummy. Besar juga kotak yang dipegang oleh bibik tu. Mesti banyak cupcake dalam kotak tu. Cupcake mummy memang the best. Tapi bila masa pulak mummy membuatnya?

     Kaki melangkah ke arah mummynya. Sempat lagi tu dia menjeling sekilas Aleesya yang yang sedang menunduk sambil menulis sesuatu dalam buku. Rasa tak sedap hati pulak bila Aleesya tidak memandang wajahnya, terus dia berpatah balik dan berdiri di hadapan Aleesya sambil berpeluk tubuh.

     “Ya, bos… Apa yang boleh saya bantu?”

     Hah… Pandai pulak menegur aku. Aleesya tegur pun setelah aku berdiri agak lama di hadapannya. Pura-pura tak perasan konon. Aku cubit pipi tu kang baru kau tahu.

     Okey Emir… Buat muka berlagak sekarang ni. Tunjuk air muka garang macam dulu-dulu. Biar ngeri sikit hati anak dara Mak Leha ni. Orang tu jual mahal seribu ringgit, aku jual sejuta ringgit, lagi mahal tau…

     “Kenapa awak tak beritahu saya mummy datang?”

     Amboi… Garangnya suara…. Walaupun nadanya perlahan, tapi cukup untuk membuat Aleesya mengetap bibir.

     “Awak tak reti-reti nak angkat gagang telefon tu ke? Susah sangat ek nak beritahu pasal kedatangan mummy saya. Dahlah makan cupcake tak ajak saya sekali. Saya kat dalam bilik tu awak biarkan kekeringan sorang-sorang.”

     Ewah, ewah, ewah… Memang semangat singa jantan bos aku ni sudah datang balik. Baru saja aku nak buang perkataan singa tu dan tak mahu panggil dia bos singa lagi. Nampak gayanya tak jadilah aku buat macam tu, biar panggilan tu kekal. Memang layak pun dia dapat gelaran tu. Garang tak bertempat. Meroyan ke apa bos aku ni?

     “Err, kekeringan?” Terkebil-kebil kelopak mata Aleesya apabila mendengar perkataan itu. Bos basah kena hujan ke tadi? Kekeringan sorang-sorang… Apa tu?

     “Dahaga, haus, kering tekak tahu tak!” Comel pulak bila melihat wajah pelik orang di hadapannya itu. Nak tergelak pun ada. Sedar kesilapan sendiri. Lain kali cakap tu biar terang Emir Haidar oii... Macam tak tahu pulak perangai lurus bendul Aleesya tu. Hang cakap lain, dia fikir lain. Payah sungguh.

     “Mummy yang tak beri Aleesya beritahu Emir pasal kedatangan mummy pagi ni. Saja mummy nak buat surprise. Mari masuk ke dalam bilik Emir dulu.”

     Ishh… Bila masa pulak mummy berdiri kat belakang aku ni. Malaikat penyelamat Aleesya sudah datang. Patutlah dia senyum bila pandang muka aku. Ingatkan dia senyum dengan aku, rupa-rupanya senyuman dia untuk mummy yang ada di belakang aku. Cis…

     “Err… Lela, tolong bibik agihkan cupcake ni pada kakitangan yang lain ya. Terima kasih.” Datin Seri Suzana memberi arahan kepada Norlela sebelum melenggang masuk ke dalam bilik Emir Haidar.

      “Buatkan air untuk saya dan mummy. Buat air panas, jangan buat air sejuk! Hah... Lagi satu, jangan terlampau manis sangat air awak tu. Awak nak saya kena kencing manis ke? Nak membunuh orang agaknya awak ni.” Sempat lagi tu menunjuk belang dan garang pada aku.

     Asyik suruh aku buat air aje kerja bos aku ni. Macam tak ada benda lain nak suruh aku buat. Pantang nampak muka aku, asyik mintak air saja kerjanya. Aku letak tong air dalam bilik dia baru tahu nanti. Nak air panaslah, jangan terlampau manis sangatlah, kena kencing manislah. Banyak songeh betul. Cerewet sungguh…

     Sebenarnya memang sengaja aku lebihkan susu pekat dalam air Milo bos singa tu kelmarin. Projek membalas dendam sebenarnya. Puas hati aku dapat kenakan dia di depan tetamu yang datang. Air untuk tetamu aku buat sesedap mungkin, tapi air untuk bos singa tu terlebih sedap dan berperisa. Hendak tak hendak terpaksa juga dia minum air tu di hadapan tetamu yang datang. Ha ha ha… Padan muka dia.

     Walaupun telinga aku perit kena dengar ‘ceramah’ dia sebab perkara tu, tapi hati aku puas sebab dapat mengenakan dia. Dua hari dia tak berani suruh aku buat air milo, dia cuma minum air mineral sahaja. Sekali tu aje aku pedajalkan dia. Tak sampai hati nak buat macam tu lagi. Dia suka minum air yang aku buat, jadi kenapa mesti aku sakat dia lagi kan. Kesian kat dia. Baik kan aku ni. He he he…

     Rancak mereka dua beranak berbual ketika aku masuk ke dalam bilik Tuan Emir untuk menghantar minuman. Aku letakkan teko dan cawan minuman di atas meja dengan berhati-hati. Takut tertumpah di hadapan mereka. Mata Tuan Emir seperti helang yang sedang memerhatikan mangsa ketika melihat aku menyusun cawan dan sepiring cupcake yang dibawa oleh Datin Seri Suzana tadi.

     Eleh… Maaf ya. Aku sudah semakin cekap dengan tugas menyediakan minuman ni. Tak akan aku ulang kesilapan lalu. Jangan harap dia dapat peluang untuk memarahi aku. Sorry ek…

     “Jemput minum Datin Seri.” Aku mempelawa dengan suara yang lembut. Berhemah dan bersopan sungguh. Anak siapalah ni kan?

     “Mari minum dengan kami sekali Aleesya.” Datin Seri Suzana pula mempelawa aku. Cantik saja senyuman yang terukir di bibir mummy bos aku ni.

     “Terima kasih datin. Maaf ya, saya ada kerja yang perlu disiapkan.”

     Aku menolak dengan baik. Segan sebenarnya nak duduk bersama-sama anak beranak tu. Lagi pun tak hingin aku mengadap muka bos singa tu. Kalau boleh lari, hendak aje aku sembunyikan diri daripada pandangan matanya itu.

     “Duduk Aleesya. Jangan degil! Kerja tu bila-bila masa awak boleh siapkan!” Alamak… titah perintah daripada raja singa sudah keluar. Sikit punya tegas bunyi suara Tuan Emir.

     Semacam aje dia merenung aku. Macam hendak ditelannya aku ni. Nak tunjuk garang depan mummy dia apa hal. Kalau aku menolak juga, nanti tak pasal-pasal kena sembur depan Datin Seri Suzana. Mahu setahun tak hilang malu aku.

     Lambat-lambat aku labuhkan punggung di sebelah Datin Seri Suzana. Walaupun dalam hati rasa berbuku, muka tetap aku maniskan. Tak mahu tunjuk yang aku terasa dengan kata-kata Tuan Emir tadi. Boleh pulak dia kata aku degil di hadapan mummy dia. Sengaja nak tunjuk kuasa. Sabar ajelah Aleesya ya…

     Tiba-tiba Tuan Emir bangun lalu menuju ke mejanya. Gagang telefon diangkat.

     “Norlela, tolong bawakan cawan kosong ke bilik saya.” Arahan yang dengan jelas kedengaran di telinga aku.

     Kalau sudah mengadap Datin Seri serta minum dan makan segala bagai macam ni, mesti panjang ceritanya nanti. Mesti ada perkara yang ingin Datin Seri bincangkan dengan aku dan Tuan Emir. Susah le aku kalau macam ni. Bila masa nak siapnya kerja yang sedang aku buat tadi. Ishh…

     Aku menundukkan kepala ketika Tuan Emir duduk semula di atas sofa. Tak berani aku hendak memandang wajahnya itu. Tak manis langsung air mukanya. Serius semedang. Macam muka orang kalah judi. Macam muka orang kena tinggal dengan bini pun ada juga. Hah… Mengata orang ya Aleesya. Orang tu tahu tau kalau kau mengata dia dalam hati. Kalau tak percaya cuba kau pandang wajah dia, mesti dia sedang tenung muka kau.

     Aku jeling sekilas wajah Tuan Emir yang duduk di hadapan aku. Hah… Kan betul aku cakap… Dia memang sedang merenung aku dengan renungan yang beracun. Tak malu gamaknya dia buat perangai macam tu di hadapan mummy dia. Aku korek biji mata tu baru dia tahu. Biar buta mata dia, jadi macam Kassim Selamat.

     Eh… Apa yang aku merepek ni. Fokus Aleesya… Fokus…

     Kak Norlela keluar dari bilik Tuan Emir setelah meletakkan cawan kosong di hadapanku. Baik pulak hati bos aku ni menuangkan air ke dalam cawan aku. Tunjuk rajin depan Datin Seri konon. Tak pernah-pernah dibuatnya kelaku macam tu. Tadi bukan main marah lagi dia dengan aku. Mamai agaknya bos aku ni. Awas… Jangan terpedaya dengan lakonannya Aleesya.

     “Terima kasih.” Aku tetap berbahasa dengan dia walaupun tahu yang dia tak ikhlas buat macam tu. Agaknyalah kan… Apalah aku ni… Entah-entah dia memang ikhlas buat macam tu, tak baik fikir yang bukan-bukan. Bersangka baiklah Aleesya weii…

     Datin Seri dan Tuan Emir menghirup minuman mereka dengan sopan. Suasana terasa sunyi. Seganlah pulak rasanya hendak minum di hadapan mereka berdua. Aura orang berada ni lain sikit. Golongan marhaen macam aku ni terasa kerdil sangat. Rasa macam tak layak hendak duduk minum bersama-sama dengan mereka berdua. Tak setaraf langsung.

     Kalau dalam keluarga aku, tak ada senyapnya macam sekarang ni. Riuh semedang mulut kami. Bercakap dan bergurau sambil makan dan minum itu perkara biasa dalam keluarga kami. Tak ada syarat, tak ada protokol. Main laruh aje. Lebih meriah dan mesra.

     “Mummy datang dengan bibik Sumarni pagi ni kenapa ya? Siap belanja staf Emir cupcake lagi. Musykil sungguh ni.”

     Alahai… Lembut aje bila dengar suara Tuan Emir bercakap dengan mummy dia. Anak misali ni. Sopan dan berhemah sungguh. Kalau dengan aku… Masya-Allah… Jangan harap nak lembutnya nada suara dia tu.

    “Saja mummy nak buat surprise kat Emir. Lupa ya, hari ni hari jadi Emir.”

     Erk... Hari ni hari jadi Tuan Emir? Aku sendiri pun terlupa. Selalunya aku ingat, tapi kali ni terlupa pulak. Asyik makan hati dan bermasam muka aje sampai tak peduli dengan tarikh penting macam tu. Apalah aku ni. Tak ada surprise party untuk bos aku macam yang aku buat tahun lepas bersama-sama dengan kakitangan yang lain.

     Aku pandang muka Tuan Emir, dia jeling aku. Sempat lagi tu dia buat perangai menjeling aku di hadapan mummy dia. Nak beri amaran pada aku le tu. Dia sendiri pun tak ingat hari ni hari jadi dia apa hal? Sorry ek bos…

     “Mummy datang sebab nak jemput semua staf datang ke rumah kita malam esok. Mummy nak buat majlis kenduri doa selamat dan kesyukuran sempena hari jadi Emir. Daddy pula nak buat majlis tu sebab syarikat kita berjaya dapat tender dari Jepun.”

     “Lagi pun, sudah lama juga kita tak buat majlis macam tu. Kita raikan sekali kakitangan yang bertungkus lumus bekerja untuk memajukan syarikat kita.” Tuan Emir mengangguk sambil tangan kanannya memegang dagu. Entah apa yang dia sedang fikirkan agaknya.

     “Aleesya, saya nak minta awak tolong uruskan tempahan makanan untuk majlis tu. Telefon katering yang selalu awak buat tempahan tu ya. Makanannya boleh tahan sedap juga. Jangan lupa tempah empat buah khemah. Lepas tu saya nak…”

     Kami berdua tenggelam dalam perbincangan untuk majlis malam esok. Aku mencatat segala arahan Datin Seri. Banyak juga permintaan Datin Seri Suzana yang perlu aku lakukan. Tak apa, aku cuma perlu bermain dengan telefon sebentar lagi untuk membereskan semua arahan yang diberi. Semuanya di hujung jari. Dail dan order… Senang bah itu…



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku