I LOVE YOU ABANG SINGA
BAB 21
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 08 Oktober 2015
Penilaian Purata:
(3 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
5263

Bacaan






BAB 21

     Leka aku melihat gelagat mummy dan Aleesya. Nampak macam serasi sangat mereka berdua ni. Bukan sebarangan orang boleh mesra dan rapat dengan mummy aku ni. Pemilih orangnya. Tapi dengan Aleesya boleh pulak dia bergurau dan bertepuk tampar.

     Kadang-kadang aku rasa yang aku ni macam bukan anak mummy bila dia selalu menangkan Aleesya ketika aku naik angin. Mummy kata, tak ada perempuan lain yang boleh tahan dan bersabar melayan sikap panas baran aku ni selain daripada Aleesya. Aku mengamuk macam mana sekali pun, Aleesya masih tetap bertahan. Dia tidak meninggalkan aku. Tetap berada di sisi, walaupun aku tahu hati dia sakit dan terguris luka dengan sikap aku yang teruk itu.

     Aku pandang wajah mummy yang ceria. Kasihan mummy aku… Apa salahnya aku biarkan sahaja dia dengan rancangannya itu. Aku mahu mummy gembira dan bahagia. Semasa aku kecil dulu, mummy sudah puas menderita. Kami berdua sudah puas merana. Ah… Bencinya aku dengan kenangan lalu. Kenangan pahit yang membekas hingga kini.

     Rasa marah dan dendam muncul tiba-tiba. Aku genggamkan tangan untuk mengurangkan perasaan marah itu. Sakitnya jiwa bila mengenang peristiwa dulu. Sakit yang seolah-olah tiada ubatnya. Badan terasa membahang dan mula hendak mengiggil. Serasa ingin meraung untuk melepaskan beban perasaan yang aku tanggung.

     “Emir… kenapa ni?” Terhenti terus perbualan kami bila Datin Seri bangkit dan terus memeluk Tuan Emir.

     ‘Kenapa dengan bos aku ni? Merah sungguh rona wajahnya.’

     “Ya, Allah… Mengucap sayang, mengucap…” Datin Seri Suzana sudah mula hendak menangis. Belakang badan Tuan Emir diusap perlahan-lahan.

     Pantas sahaja aku bangun dan mengambil botol air mineral yang ada di atas meja Tuan Emir. Aku tuangkan air ke dalam gelas lalu aku unjukkan gelas itu kepada Datin Seri. Kata orang, air boleh meredakan ketegangan serta memadamkan api kemarahan. Harap-harap apa yang aku lakukan ini betul.

     Kenapa ya dengan bos aku ni? Dia ada penyakit sawan ke? Tiba-tiba aje dia jadi macam ni. Aku sudah mula rasa tidak sedap hati. Belas pula bila melihat air mata yang menitis di pipi Datin Seri Suzana ketika dia menyambut gelas yang aku hulur kepadanya.

     Aku melutut di tepi Datin Seri Suzana, menolong dia menenangkan Tuan Emir yang sedang mengiggil. Spontan sahaja tangan aku meleraikan tali leher yang dipakai oleh Tuan Emir. Dua butang bajunya aku buka. Biar dia bernafas dengan lancar. Dadanya aku usap perlahan-lahan. Aku sudah tak fikir apa lagi selain hendak membantu Datin Seri menenangkan Tuan Emir.

     “Minum air ni sayang.” Datin Seri menyuakan gelas ke bibir Tuan Emir. Bagai anak kecil dia meladeni anak lelaki tunggalnya itu. Terpancar rasa kasih seorang ibu. Kasih sayang yang tidak bertepi.

     “Habiskan airnya sayang. Habiskan…” Sayu sungguh nada suara Datin Seri Suzana. Air mata mengalir di pipi gebunya. Agaknya Tuan Emir selalu kena serangan penyakit macam ni. Tapi dia sakit apa sebenarnya?

     Tiba-tiba Tuan Emir mengenggam tangan aku. Kuat sangat, seolah-olah dia ingin menyalurkan semua kesakitannya kepada aku. Walaupun terkejut, aku tidak cuba untuk melepaskan genggaman tangannya. Kasihan dia. Kalau aku rentap tangan aku, mahu penumbuk Jepunnya singgah di muka aku.

     Aku renung wajah Tuan Emir. Simpati aku melimpah tatkala terpandang raut wajahnya yang berkerut-kerut menahan kesakitan. Hilang semua rasa marah dan benci aku ketika itu. Marah dan benci macam mana sekali pun dengan dia, tak guna juga kan. Dia tetap bos aku. Ini pejabat dia, tempat aku mencari rezeki. Aku sepatutnya berterima kasih kepada Tuan Emir, bukannya berperangai tak matang macam yang selalu aku buat.

     “Bos… Bos okey tak?” Aku bertanya dengan perlahan ketika dia membuka kelopak mata dan merenung aku yang sedang melutut di tepinya. Dia menganggukkan kepalanya perlahan-lahan. Nampak macam tak bermaya sungguh.

     Datin Seri Suzana menarik nafas lega. Wajahnya tenang semula. Barangkali dia sudah lali dengan keadaan Tuan Emir seperti ini. Macam sudah biasa menghadapi situasi cemas sebegini.

     “Mummy… Kepala Mir sakit sangat. Tolong Mir mummy.”

     Ya, Allah… Tuan Emir macam budak-budak kecil merengek dengan mummynya. Orang yang selalu menengking dan bercakap kasar dengan aku, rupa-rupanya manja orangnya. Baru aku nampak sisi lain sikapnya yang berbeza. Hilang semua taringnya ketika itu.

     “Mummy tahu sayang. Bawa bertenang Mir. Mengucap banyak-banyak. Ingat Allah Ya, Mir.”

     Mengucap? Erk… tak kanlah bos nak…

    Ishh… Merepek sungguh aku ni. Aku pandang wajah dua beranak itu silih berganti. Hati masih tertanya-tanya. Banyak sungguh soalan yang bermain dalam kepala aku ni. Nak bertanya ketika ini, rasa macam tak sesuai masanya. Sabar sikit ya Aleesya. Datin Seri tengah kalut tu. Esok masih ada.

     “Aleesya, tolong picitkan kepala Emir sekejap ya. Saya nak telefon Doktor Ruzaidi, nak suruh dia datang ke sini.” Datin Seri Suzana bergerak ke meja Tuan Emir. Gagang telefon diangkat dan mula menghubungi doktor peribadi keluarga mereka.

     Picit kepala bos? Erkk…

     Aku bangun perlahan-lahan lalu berdiri di belakang Tuan Emir yang sedang menyandarkan kepalanya di sofa putih itu. Rasa macam tak sudi nak sentuh kepala dia. Tapi bila dengar suaranya mengerang menahan kesakitan, cepat sahaja tangan aku memicit kepalanya perlahan-lahan. Dari kepala, tangan aku menjalar ke tengkuk. Memicit-micit batang tengkuknya untuk mengurangkan kesakitan. Kemudian, bahunya aku picit dan urut perlahan-lahan. Nampak dia semakin tenang dan selesa.

     Aku ulang berkali-kali proses urutan itu. Kalau aku nak balas dendam dengan dia ketika ini boleh sesangat kan. Tarik aje rambut dia kuat-kuat, lepas tu cekik batang tengkuknya sekuat hati. Biar makin bertambah sakitnya itu.

     Ishh… Zalim betul kalau aku buat macam tu kan. Tak sanggup aku. Kesian dengan bos aku ni. Hati aku tak adalah jahat sangat. Tak sampai hati hendak mengenakan dia saat ini. Tak adillah kan memperdajal orang yang sedang lemah dan tak berdaya mempertahankan diri ketika dia sedang sakit.

     “Picit kepala saya kuat-kuat sikit Aleesya. Awak picit macam orang tak makan sepuluh hari.”

     Amboi, amboi, amboi… Dalam sakit-sakitnya itu sempat lagi dia mengutuk aku ya. Nak sangat rasa picitan maut aku kan. Hah… Amik kau... Sehabis kuat aku memicit kepalanya. Berdecit-decit suaranya menahan picitan aku. Jangan tak tahu, aku ni cicit bidan kampung. Moyang lelaki aku guru silat. Bakat mengurut tu dah ada, cuma tidak selalu aku praktikkan sahaja.

     “Aduh… Aduh… Perlahan sikitlah Aleesya… Lebam nanti tengkuk saya.”

     Mengada-ngada… Tadi suruh aku picit kuat-kuat, sekarang ni suruh picit dengan perlahan pulak. Melampau sungguh bos aku ni.

     “Emir, sekejap lagi Doktor Ruzaidi sampai. Lepas dia rawat Emir, kita balik ke rumah ya.”

     Datin Seri Suzana melabuhkan punggungnya di atas sofa. Nasib baik Datin Seri datang ketika aku berniat jahat hendak mematah-matahkan tengkuknya. Ha ha ha… Macamlah aku berani sangat hendak buat macam tu.

     “Emir dah okey sikit ni mummy. Call balik Doktor Ruzaidi, suruh dia pergi terus ke rumah kita. Tak payah datang ke pejabat ni.” Lemah sahaja suara bos aku ni.

     “Betul ni? Okey, mummy call balik Doktor Ruzaidi. Aleesya tolong telefon Pak Darus, suruh dia sediakan kereta di hadapan lobi. Saya hendak bawa Emir balik ke rumah.” Datin Seri Suzana bergerak ke meja Tuan Emir semula.

     Ketika aku mahu melangkah keluar dari bilik itu, pantas sahaja tangan Tuan Emir menangkap pergelangan tangan aku. Bukan main terperanjat aku dibuatnya. Nasib baik bunga silat aku tak keluar sebab terkejut. Kalau tidak, memang patah riuk tulang dia aku kerjakan. Hah…

     “Lepaskan tangan saya boleh tak?” Aku pandang muka Tuan Emir. Mata aku kecilkan, tunjuk garang dan rasa marah dengan perbuatan dia.

     “Terima kasih…” Perlahan sahaja suara bos aku ni.

     Macam tak percaya pulak dia ucapkan terima kasih pada aku. Jarang tau dia berhemah macam ni. Siap hadiahkan aku senyuman lagi. Walaupun senyumannya macam orang lemau, tapi aku rasa amat dihargai.

     Aku balas dengan anggukan kepala. Cepat-cepat aku cabut dari situ. Terasa segan pulak aku nak pandang muka dia. Tak mahu dia nampak pipi aku yang sudah bertukar warna macam warna buah strawberi ni. Malunya aku…

     Kecoh juga pejabat kami pagi tu bila ternampak Tuan Emir dipapah keluar dari biliknya. Semuanya sibuk mengerumuni Tuan Emir. Sampai ke depan lif mereka mengiringi Tuan Emir. Datin Seri minta pertolongan daripada Abang Sharif dan Zulkifli untuk memapah Tuan Emir turun ke lobi.

     Tabik kat Abang Sharif aku. Ingatkan dia lembik dan tidak kuat. Rupa-rupanya tenaga dia mengalahkan tenaga tiga orang lelaki yang tegap. Cukup kuat dia memaut bahu Tuan Emir. Hilang terus lembut dan lentuk dia. Bersemangat sungguh dia membantu Tuan Emir. He he he… Cayalah Abang Sharif…

     Penat mulut aku menjawab soalan daripada staf yang bertanya tentang penyakit Tuan Emir. Tak akan aku ceritakan apa yang berlaku dalam bilik tadi. Kesian bos aku tu. Dia pun mesti tak mahu kakitangannya tahu tentang penyakitnya tu kan. Aku tak mahu mereka buat spekulasi yang bukan-bukan. Jadi aku cuba tenangkan mereka supaya jangan risau.

     “Bos demam ajelah, jangan risau.” Berulang-ulang kali jawapan yang sama aku beri. Sampai petang menjawab soalan staf yang tak putus-putus bertanya…

     Hah… letih akak nak menjawabnya…



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku