Isteri Aku Nanny!
Bab 2
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 12 Oktober 2015
alhamdulillah.. Sudah diterbitkan..boleh dapatkan di MPH atau Popular dan juga ditoko-toko buku terpilih berhampiran anda :) terima kasih buat para pembaca..bab ini bukan versi penuh.. boleh dptkan buku dri penulis juga ya di fb ayu balqishah
Penilaian Purata:
(4 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
2708

Bacaan






BAB 2

Aina sudah pun menjejakkan kakinya ke bandar Johor Bharu. Kelihatan Aina terdongak-dongak mencari kelibat kawan baiknya Hana Qaisarah. Mereka berkawan baik sejak dibangku sekolah lagi. Masih segar bugar diingatan Aina, bagaimana mulanya titik persahabatan mereka.

"Budak baru ke? Sekolah agama?" Sapa Hana.

"Mm. Haar", ringkas Aina.

" Saya Hana Qaisarah Panggil Hana boleh, Sarah pun boleh. Saya duduk bersebelahan dengan meja awak je. Senanglah nanti. Kalau ada apa-apa nak mintak tolong beritahu je saya", Hana menyambung keramahannya dan menyambut huluran tangan Aina.

"Saya Aina Batrisya. Panggil Aina je".

Sejak itu, kemana sahaja mereka pasti berdua. Waktu rehat, study group, dan sehingga melarat di luar waktu persekolahan. Hana langsung tidak peduli apa kata orang. Walaupun Aina bertudung labuh, itu bukanlah satu permasalahan buat Hana Qaisarah. Baginya Aina sangat baik dan mudah dibawa berbincang. Dan bijak dalam subjek Pendidikan Islam. Walaupun Hana tidak menambah subjek Tasawur Islam dan Syariah Islamiah dalam peperiksaan SPM, Hana sering menemani Aina ke kelas tambahan untuk kedua-dua subjek tersebut.

" Oit ! Betullah kata mak kaukan?"Aina tersentak dengan teguran yang datang dari arah belakangnya. Dia menoleh.

"Ya Allah kau ke ni Hana?! Dah lamanya kita tak jumpakan?" Riak wajah kegembiraan jelas sekali terpancar di antara dua sahabat itu. Mereka berpelukan tanpa mempedulikan orang yang berada sekitar di stesen bas Larkin tersebut. Orang ramai yang lalu-lalang hanya memandang lalu tersenyum bersahaja. Mungkin mereka dah lali melihatnya.

"Hmm.. siapa ni Hana?" Baru Aina perasan sejak dari tadi lelaki ini asyik kaku di belakang Hana, sekali sekala memerhati tingkah laku mereka.

"Alamak! Lupa aku nak perkenalkan. Ni boyfriend aku Taufiq Iskandar."

"Assalammualaikum", Aina hanya menunjukkan tanda hormat kepadanya. Lelaki tersebut seolah memahami, hanya membalas dengan senyuman manis.

Taufiq hanya mengikuti mereka berdua dari belakang, sambil menjinjit bag Aina di tangannya. Puas Aina melarang, tapi dia tetap berkeras untuk membantu. Penyudahnya, Aina terpaksa membiarkan sahaja. Hana pula hanya melihat, dia sudah kenal benar dengan dengan sikap Aina.

Proton Waja hijau yang dipandu Taufiq diberhentikan betul-betul di hadapan sebuah rumah pangsa.

"Kau duduk sini ke?" Soal Aina sebaik sahaja tiba di flat Taman Daya tersebut.

"Haar, rumah aku tingkat paling atas. Tingkat 5. Murah sikit sewanya. Jomlah naik".

"Saya balik dulu ye. Tak elok pulak nanti orang tengok. Barang-barang kawan awak ni, saya letak dekat sini." Taufiq meninggalkan beg-beg Aina di daun pintu.

" Ok terima kasih tau, esok jumpa lagi ya. Jangan lupa esok saya shift malam",tutur Hana kepada teman lelakinya. Aina hanya menjadi pemerhati.

" Sebelum ni aku menyewa dengan sorang member ni, tapi aku malaslah asyik bawak jantan keluar masuk. Aku suruh dia keluar cari umah lain. Nasib baik aku bayar lebih sebab aku ambil bilik utama, besar sikit. Tu yang aku berani suruh dia cari rumah lain tu. Bercinta tu boleh je, ni sampai bawak masuk dalam bilik, apa cerkan?" Bebel Hana panjang lebar.

"Ooo okay-okay. Faham. Yelah nak bercinta pun ada batasnyakan. Ni aku nak tanya bulan-bulan berapa aku nak bagi kat kau ni. Deposit apa semua tu." Aina mematikan tajuk. Takut pula cakap berlebih-lebih nanti terjadi pada batang hidung sendiri.

" Kau dah ada keje ke?" Sengaja Hana memancing. Punggung pun belum sempat panas lagi, dah tanya pasal sewa.

"Tak adalah. Mak ayah aku adalah bagi sikit duit. Katanya boleh buat permulaan bayar sewa dengan kau. Taknak lah kita baru jumpa balik, nak menyusahkan kau pulak".

"La.. sape kata tinggal free. Mestilah kena share ngan aku. Tapi bukan sekarang. Buat masa ni, kau cari kerja dulu. Dah dapat kerja baru kita bincang pasal benda ni. Aku cuti nanti, kita cari kerja sama-sama untuk kau? Okay? " sambil dihulur segelas sirap ais ke tangan Aina.

"Pantas sungguh kawan aku ni. Potpet-potpet tengok-tengok air dah depan mata.” Tanpa buang masa Aina meneguk air sirap tadi dengan rakusnya. Memang terasa nikmat bila air sejuk melalui tekak dan terus ke rongga-rongga. Sangat syahdu!

“Ni yang aku malas ni. Segan lah aku. Entah berapa lama pulak aku menganggur. Dengan tak terpikir lagi nak cari kerja kat mana. Kalau melarat dua ke tiga bulan macam mana?" Soal Aina sambil mengelap sisa air sirap di tepi bibirnya.

" Kalau sampai enam bulan pun aku ok je. Sekurangnya bila aku sampai umah, ada kawan nak dibawak bergosip. Tak pun ada makanan terhidang. Tak payah aku susah-susah nak menyinggah beli makan kat luar." Hana menyengih.

Terasa canggung pula bila dapat sahabat sebaik ini. Bukanlah tak de kawan baik langsung semasa di KL dulu, cuma baiknya mereka setakat gitu-gitu je. Dan makan pun bayar asing-asing, asyik Aina je yang belanja diaorang. Betul kata mak, kawan baik memang mudah didapati tapi sahabat baik memang sukar dicari!

**********

Jam menunjukkan dah pukul 2 petang. Aina cuma bersarapan roti saja pagi tadi. Masak untuk makan tengahari pun dah disiapkan, cukup rasanya ayam masak kurma dan kobis goreng. Hana pulak masih terbongkang atas katil bujangnya. Bangun cuma solat subuh, lepas tu sambung tidur balik. Untuk hari pertama di rumah Hana, Aina tidur sebilik dengannya dilantai beralaskan toto yang diberi ibunya Puan Ani Zaleha. Tak dapat dibayangkan, dengan dua bag dan satu toto size queen Aina sumbat masuk ke perut bas. Mata-mata yang melihatnya langsung tak ambil pusing. Apa nak dipedulikan, susah senang kita yang tanggung, diaorang apa tahu?

"La, kenapa kau tak kejutkan aku? Aku ingat nak beli paper kat kedai mamak bawah tu. Sementara aku tak ada nanti, bolehlah kau cari-cari kerja dulu dalam paper tu." Suara Hana mengejutkan Aina yang dari tadi sibuk mengunyah kacang cap tangan yang juga dibekalkan oleh ibunya.

"Tak apa, aku dah beli Harian Metro dengan Berita Harian tadi kat bawah. Aku dah masak, sebelum gi kerja kau makan lah dulu. Sorry aku tak bagitau kau pun nak guna dapur. Barang-barang masak aku beli kat sebelah kedai mamak tu je. Boleh tahan jugak erk harga barang kat sini, mengalahkan KL."

"Dekat sini boleh kata serba serbi mahal. Tapi gaji bestlah. Aku kalau ada shift malam tambah overtime, dapatlah 2k lebih sikit." Jelas Hana dengan mata yang masih terkebil-kebil dan mulut yang terkuap-kuap. Hana mencapai tuala mandi warna biru gelap yang digantung dibelakang pintu biliknya. "Aku mandi jap,lepas tu kita makan sama, ke kau dah lahap dulu?" kelihatan Hana tersenyum sumbing bertanyakan Aina.

"Taklah, aku tunggu kau bangun je. Kau mandi dulu, aku nak buat sirap lemon ais. Musim panas macam ni, aku rasa tonggang ais kat kerongkong pun,tak kan hilang dahaga."

Hana hanya tergelak kecil. Dia terus melangkah masuk ke bilik air untuk mandi. Cepat sungguh! Tak sampai 10 minit Hana dah keluar dari bilik mandi.

"Aku pakai baju sekejap. Lepas tu kita makan. Lepas mandi ni, lapar nya bukan main lagi.

"Pergh! Sedap betul ayam kurma kau masak ni. Kalau macam ni, aku gajikan kau jelah masak untuk aku hari-hari", seloroh Hana sambil tangannya masih sibuk menyuap.

Aina yang sedari tadi hanya makan sesenduk nasi, lagut memerhati sahabatnya makan. Rasanya sudah dua kali dia menambah nasi dan lauk. Sedap sangatlah tu agaknya.

"Kau ni Hana.. makanlah pelan-pelan. Tak lari ke mana pun ayam tu. Ni aku tengok macam dah tiga hari kau tak makan. Ke kau memang makan banyak macam ni? Tapi kalau nak kata kau memang seorang yang pemakan, aku tengok kau macam tu jugak. Kecik molek, ramping, perut pun maintain. Ke kau ada bela? Hahahahaha.. " Aina tertawa sehingga hampir tersembur sirap lemon ais yang diteguknya.

"Uhuk..uhuk..ehem.. aduh.. nasib baik aku tak tersedak. Sapelah yang dok kalut sebut nama aku ni".

Hana buat tak tahu sahaja soalan Aina. Dia menuang sirap lemon ais ke dalam gelas, lalu diteguknya perlahan-lahan.'Glup..glup' bunyi air sejuk memasuki ke laluan tekak Hana jelas sekali kedengaran.

'Burp' "alhamdulillah".

"Tulah kau, sibuk kata orang membelalah itulah inilah, kan dah tersedak. Nak coverline kau cakap ada orang sebut nama kau. Hihi." Hana hanya tersenyum lebar dan bingkas bangun dari tikar mengkuang yang dilapik untuk mereka duduk bersila. Pantas Hana mengambil pinggan Aina yang sudah kosong untuk di bawa ke sinki.

Jika dibandingkan dengan keadaan rumah mereka dengan jiran tetangga memang berbeza sekali. Simple sahaja hiasan di dalamnya, hanya ada sebuah televisyen bersaiz kotak 16 inci jenama Sanyo, yang dibeli Hana semasa gaji pertamanya di kilang sebagai Inspector Quality Control (QC). Dan ruang tamu pula, hanya menempatkan sofa berwarna merah hati yang dah koyak sedikit sarung kulitnya. Lantai pula hanya dibentang tikar mengkuang yang dikirim ibunya semasa mula-mula dia tinggal di situ. Jadilah tempat untuk mereka duduk-duduk santai. Lagipun mereka sendiri tidak pernah di ajar untuk hidup mewah. Cukuplah sekadar yang ada dan mengikut kemampuan tanpa perlu membazir. Ayah Hana sudah meninggal dunia sejak dia berumur 10 tahun. Dia hanya dijaga oleh ibunya bersama 2 orang lagi adik perempuan, Fiqa dan Hanis.

Aina mengekori Hana dari belakang untuk mencuci tangannya.

"Tak payah la basuh, kau letak je. Nanti aku buat. Kau pergi siap. Tak pun duduk rehat. Bagi makanan turun betul ke perut. Kau dah bagi aku duduk sini, aku dah tersangatlah happy dan sangat bersyukur dah. Buat masa ni, biar aku je buat kerja-kerja rumah." Jelas Aina yang serba salah melihat Hana yang sibuk membuang sisa baki tulang ayam ke dalam tong sampah. Hana buat tidak tahu sahaja dengan kata-kata Aina.

Selesai membasuh pinggan Hana menarik tangan Aina pergi ke ruang tamu bersama raut wajah keikhlasan yang terpancar diwajahnya. Hana membetulkan kedudukannya di atas sofa yang tak rasa macam sofa dah. Duduk je terasa duduk di atas kayu. Keras. Nak baring pun mahu sakit-sakit belakang.

"Aina, kau dengar sini. Kita dah lama kenal, walaupun agak lama terpisah aku tahu kau tetap macam dulu. Dan aku tetap macam ni. Tiada apa yang berubah. Cuma yang berubah, kulit muka aku makin licin, lepas tu aku dah makin cantik dan agak ayu gitu", jelas Hana kepada teman baiknya sambil tersipu-sipu.

Aina mencebik. "Baru aku perasan, ye tak ye lah. Kau pakai apa jadi cerah? Dulu kalau tak salah peringatan aku yang masih waras ni, kulit kau tak lah secerah ni. Tapi tak lah segelap mana pun.Biasa-biasa je. Tapi sekarang luar biasa. Kau pakai fair & lovely ke?" Hana geleng kepala. "Mm..mandi susu?" Geleng lagi. "Ke kau pakai susuk?" Hana geleng laju-laju sambil tangan nya pun laju mencubit peha Aina.

Aina menggosok-gosok pehanya yang kononnya tampak begitu sakit."Aduh.. Yelah habis tu kau pakai apa? Aku pun nak tahu jugak."

"Mungkin sebab aku keje dalam aircond kot. Nak dekat 3 tahun dah aku kat situ. ada jugak aku dengar,kalau dah 24jam kena aircond je.. mau jadi cerah kulit tapi jadi kering sikitlah. Aku memang standby lotion je dalam handbag aku dengan moistrizer, rasa kering sikit aku sapu je."

“Ooo.. macam tu, aku pun nak kerja dalam aircond jugaklah, mana tahu dapat kulit seputih salju, bibir semerah delima”, Aina sudah buka buku lamanya, iaitu kaki karut! Hana yang mendengar hanya membalas dengan riak wajah toyernya.

"Ha! Macam ni Aina, esok aku cuti sampai sabtu. Ahad tu aku shift pagi. Esok aku teman kau cari keje. Kau dah tandakan kat mana tempat yang ada jawatan kosong dalam paper semalam? Esok aku boleh double cek, sebabnya buat masa ni, kau cari yang dekat-dekat ngan umah kita ni dulu. Kau pun tak biasa lagi area sini. Nanti kau boleh bawak skuter aku tu je. Aku pergi balik si Taufiq tu yang hantar." Kalau boleh Hana tidak mahu Aina asyik berasa serba salah atau serba tak kena tinggal satu rumah dengannya. Jadi untuk itu, Hana sudah tekad akan membantu Aina mencari kerja sehingga berjaya.

Aina hanya diam seribu bahasa. Raut wajahnya masih terpampang rasa bersalah kerana menyusahkan kawannya tu. Dia perlu dapatkan kerja secepat mungkin. Supaya dia boleh membantu Hana membayar sewa bulanan pada tuan rumah. Dan rasa bersalah yang bersarang dihati sudah merebak ke otaknya boleh dikurangkan.

"Mm.. oklah kalau macam tu. Aku tak tahu macam mana nak balas budi baik kau kat aku. Nanti aku dah dapat kerja, aku belanja kau makan. Cakap je nak makan kat mana."

Mereka berpelukan, dihati Aina masih sebak kerana tidak menyangka begitu tebal keutuhan persahabatan yang terjalin diantara mereka berdua. Harapannya agar hubungan mereka tetap utuh walaupun masing-masing sudah berumah tangga kelak. Insya Allah.

Aina tak sabar-sabar untuk keluar cari kerja esok. Diselongkarnya beg pakaiannya, habis semua baju dipunggahkan. Akhirnya dia memilih untuk mengenakan baju kurung berona putih dan dihiasi bunga-bunga kecil berwarna merah. Tudung juga dipilih sama warna dengan bunga dibaju kurungnya. Dia mencari-cari seterika, bukan apa senang, esok tak adalah dia tergopoh-gapah untuk bersiap. Lagipun dia dah bercadang nak buat nasi goreng untuk sarapan sebelum keluar nanti.

"Macam manalah agaknya esok.. harap-harap dapatlah kerja. Aku bukannya kisah keje apa pun, asalkan halal", ngomel Aina sendirian sambil mengemas semula pakaian yang dipunggah dari beg pakaiannya.

"Aku kalau tempat aku ada kosong, memang aku nak tarik kau masuk. Kalau sama shift boleh kita pergi sama-sama. Tapi tulah buat masa ni, sampai hujung tahun, department aku tak nak ambil budak baru. Susah nak train katanya." Masih terngiang-ngiang lagi apa yang Hana cakap padanya tadi, sebelum Hana lesap ke perut Proton Waja milik Taufiq.

Pagi-pagi lagi Aina dah bangun siapkan sarapan seperti yang dirancangnya malam tadi. Dia pun tak sedar entah jam berapa dia terlelap. Semalaman asyik fikirkan hal kerja. Dia risau kalau-kalau tak de siapa yang nak terimanya sebagai pekerja. Maklumlah pelajarannya pun hanya setakat SPM. Dia ada sambung pelajarannya ke peringkat kolej, tapi sekerat jalan. Dia bosan belajar disitu, asyik-asyik duit. Duit,duit,duit apa sahaja semua duit, dahla yuran pun mahal. Tak boleh terlewat bayar, bila lewat sahaja tak boleh masuk ke kelas.

"Assalammualaikum", jerit Hana dari luar rumah, sambil terkial-kial menanggalkan kasut kerjanya.

"Awal kau bangun", Hana terus baring ditengah ruang tamu. Kipas syiling ditambah kelajuannya ke nombor 5, paling maximum. Bukan main ligat lagi kipas tu berpusing. Hana nampaknya terlalu letih. Bawah matanya pun kelihatan seperti panda. Tak pasti pula sama ada ianya kesan eyeliner atau pun memang kesan tak cukup tidur. Mata Hana semakin mengecil, dan terus terpejam.

"Hana.. kau nak tidur dulu ke?. ", lembut sahaja Aina menyoal.

"Taklah, aku nak baring sekejap je. Bagi relax sikit badan-badan ni. Department aku tak berat sangat kerjanya. Cuma tulah tak boleh nak tidur sekejap. Ada je nanti suara-suara sumbang kat belakang dok terpekik."

"Oo patutlah aku tengok kau letih semacam je. Apa kata, kau mandi dulu. Lepas tu boleh makan nasi goreng yang aku buat. Lepas tu kau rehat. Sambung tidur kat bilik. Kalau kau baring atas lantai ni, nanti tambah sakit pulak belakang badan kau tu nanti." Keprihatinan Aina seakan prihatinnya kakak kepada si adiknya.

"Jap-jap 5 minit je. Kejap lagi aku bangun, lepas tu mandi". Hana dari telentang terus mengiring ke kanan menghadap Aina.

"Oklah, kalau macam tu. Aku nak bancuh air teh jap. Minum panas-panas pepagi macam ni, sedap." Aina terus menuju ke dapur. Hana hanya perhatikan sahaja tingkah laku si Aina.

Aina memang suka memasak. Sejak dibangku sekolah kalau ada pertandingan memasak, Aina takkan lepaskan peluang. Selalunya pasti kumpulan mereka akan jadi juara. Hana ingat lagi, macam mana kali pertama mereka menjadi juara pertandingan memasak nasi goreng cina. Mereka berdua melompat sakan, sehingga tertepis pinggan yang berisi nasi goreng cina yang di goreng Aina. Mujurlah masih ada baki di dalam kuali. Hana tersenyum sendirian mengingati memori manis itu.

Selesai mandi, Hana terus menjamah nasi goreng yang terhidang di ruang tamu rumah mereka. Aina juga menurutinya.

"Kau kompem ke tak mengantuk ni? Kang pening kat tengah jalan macam mana?"

"Eh taklah aku ok je ni. Dah mandi, dah makan segarlah jadinya. Kau dah siapkan semua sijil-sijil kau? Kau letak je segala mak nenek sijil yang kau ada. Mana tau kot-kot diaorang tengok kau ada juara lompat tinggi, dorang boleh bagi kau jadi atlit gantian ke. Mana tau kan?" Giliran Hana cuba membuat Aina menghilangkan rasa gemuruh. Jelas diwajahnya tampak risau. Pegang cawan pun gigil-gigil. Tak mungkin sejuk. Demam jauh sekali.

" Mm .. aar.. ada-ada semua aku bawak. Dari sijil tadika sampailah sekolah menengah, habis semua aku angkut", Aina hanya senyum sumbing. Memang sah dia gemuruh!

"Lepas ni aku mekapkan kau sikit. Bagi tambah seri. Boleh tambahkan keyakinan diri, hehehe.."

Aina hanya menurut. Dia yakin sahabat baiknya itu pasti tahu mana yang terbaik untuk dirinya.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku