Isteri Aku Nanny!
Bab 3
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 12 Oktober 2015
alhamdulillah.. Sudah diterbitkan..boleh dapatkan di MPH atau Popular dan juga ditoko-toko buku terpilih berhampiran anda :) terima kasih buat para pembaca..bab ini bukan versi penuh.. boleh dptkan buku dri penulis juga ya di fb ayu balqishah
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
2290

Bacaan






BAB 3

"Hana, dah banyak tempat kita pergi ni. Satu pun tak ada yang sangkut. Padahal dalam paper diaorang tulis, ada jawatan kosongnya. Agaknya aku ni muka tak laku kotkan. Tu yang dia orang reject", Aina mengeluh sambil menyedut minuman yang dipesan, milo ais. Sudah 5 tempat mereka pergi, semuanya hampa. Akhirnya mereka berhenti minum di destinasi terakhir Tesco Plentong, boleh tahan juga besarnya food court di situ. Tapi yang pelik, satu kedai pun tak de yang ada vacancy. Kalau ada pun nak yang fasih bahasa Mandarin.

"Awak boleh berbahasa cina ke amoi? Mandarin or Kantonese?" Tanya salah seorang penyelia di kedai baju di dalam Tesco tersebut.

Slumber sahaja Aina menjawab, " Kalau bahasa Mandarin saya tak tahu, tapi limau mandarin saya tahu".

"Haiya! Kalau macam tu, u boleh balik sajalah. Orang betul-betul dia lagi mau main-main". Merah padam muka cina tu. Menahan marah agaknya.

Hana hanya tergelak kecil mendengar jawapan Aina. Bila amoi cina tu perasan, Hana lekas-lekas menutup mulutnya menggunakan kedua-dua belah tapak tangannya.

"Tulah kau, tadi masa amoi tu tanya kau duk main-mainkan dia."

"Mana ada aku main-main. Aku cakap betul apa tadi."

"Dah jom kita makan. Ni dah petang sangat dah." Hana merenung jam getah bertali hitam jenama Q & Q miliknya. "Dah pukul 5.30 petang dah ni. Kau order apa tadi?"

"Aku order Nasi Claypot. Kejap lagi sampailah tu kot. Kau makanlah dulu".

"Nak rasa? Sedap ni. Aku kalau datang sini memang aku order Nasi Ayam Special je. Lembut ayamnya aku habaq hang!" Sambil Hana menunjukkan isyarat menggunakan ibu jarinya.

"Tak pelah. Nanti sedap sangat aku pulak yang perabihkan."

Tidak sampai beberapa suapan, makanan yang dipesan Aina pun sampai.

"Terima kasih",ucap Aina kepada pelayan tersebut.

"Sama-sama". Tanpa berlenggah, Aina menadah tangan membaca doa makan.

**********

Hampir seminggu Aina masih belum lagi dapat kerja. Kebanyakkan semuanya menolak mentah-mentah sahaja setelah melihat sijil-sijil yang dibawa Aina.

"Esok kita pergi lagi, kita cari sampai jumpa k? Kau janganlah risau sangat. Ada rezeki nanti, insyaAllah pasti ada jalan.

Aina hanya angguk perlahan.

"Lepas je habis semua tu, kita tengok wayang. Dah lama sangat aku tak masuk wayang ni. Kita tengok 'Cinta Paling Agung', ada Aaron Aziz.” Hana menguntumkan senyuman. “Membayangkannya pun aku dah melty tau Aina." Dipeluknya bantal busuk pinknya berbentuk hati, sampai naik lunyai dah kawan tu dipeluknya sekuat hati. Siap pejam mata lagi!

Angau betul si Hana ni dengan Aaron Aziz. Dari dulu sampai sekarang. Dinding bilik pun dipenuhi dengan poster-poster Aaron Aziz. ‘Dia tak tahu ke si Aaron pujaannya tu dah pun berkahwin?’ Aina hanya bermonolog sendiri. Pelik dengan sikap Hana. Apa si Taufiq tu tak cukup hensem lagi ke bagi dia?

"Wei!" Serentak melayang bantal busuk Hana melayang ke muka Aina yang kelihatan serius.

"Kau ni, asyik berangan je."

"Mana ada aku berangan. Aku cuma pelik tengok kawan aku sorang ni. Dari dulu dok Aaron.. Aaron..."

"Hehe.. aku tak ada apa pun. Cuma suka tengok dia berlakon macam-macam watak. Semuanya nampak seksi kat mata aku. Kau tak rasa ke apa yang aku rasa?".

"Euwwww.. seksi?" Aina hanya menelan liur dan mengerutkan dahi. Terus dia merebahkan tubuhnya ke katil beralaskan toto tu. Hana yang beria-ria nak bawak katil bilik sebelah ke biliknya. Senang nak berborak dan berkongsi gosip katanya.

Aina terus memejamkan mata rapa-rapat, layan si Hana ni, entah apa yang akan dimerepekkannya lagi nanti. Mula-mula seksi, lepas tu? Aina mengeliatkan sedikit tubuhnya, memperbetulkan tulang-tulang belakang.

**********

"Awalnya kau bangun Hana, lagi semangat dari aku nampaknya", Aina merenung jam loceng warna biru di sebelahnya. Jarum menunjukkan pukul 7.30 pagi.

"Aku tadi 6.45 aku terjaga, dah ambil air sembahyang, dah pakai telekung, baru aku ingat yang aku tengah ABC! Nak tidur balik, tak boleh pulak. Tu yang aku mandi-mandi terus bersiap."

"Patutlah, tunggu aku mandi jap." Aina terus mencapai tuala mandinya, dia melangkah laju ke bilik air.

"Kejap lagi kita breakfast kat Danga je!" Jerit Hana dari luar.

"Ok-ok aku belanja!

Selesai bersarapan, Aina bangun untuk membayar pesanan.

"Allah!" Maaf encik,saya tak perasan, saya sibuk kira duit ni."ujar Aina kepada pemuda tersebut.

"Lain kali jalan tengok depan, bukannya ke bawah. Faham?" Berlagak betul gayanya. Taulah pakaian kemas, pakai blazer lagi. Bukannya cedera pun. Iyalah orang kayakan memang macam tu.

Aina terus ke kaunter pembayaran. Meluat pula yang timbul pagi-pagi ni.

"Kira dik".

"Semuanya RM 10.50." Balas gadis cashier tersebut, etelah membuat kira-kira menggunakan kalkulator. Dari raut wajah dan tubuhnya, tampak masih belasan tahun.

"Adik dekat sini ada kerja kosong tak?" Aina tanpa segan bertanya. Mencuba nasib. Mana tahu untung sabut timbul, untung batu tenggelam.

"Sekejap ya kak.” Sambil memalingkan tubuhnya ke belakang.

“Abang Talib! Abang Talib!” Ni ada orang tanya kerja kosong".

Kelihatan seorang lelaki lewat 30an, memakai apron kuning dan kasut boot ala-ala phua chu kang berjalan ke arah kaunter.

"Buat masa ni, tak adalah dek. Kami baru je ambil sorang ni, budak part time." Sambil ibu jarinya diarahkan kepada cashier tersebut.

"Kalau ada nanti boleh tak abang telefon saya? Saya betul-betul nak kerja, tak kisahlah kerja apa sekali pun. Cuci pinggan mangkuk pun saya sanggup." Cepat-cepat Aina mengeluarkan pen dan kertas untuk menulis nombor telefonnya.

"Owh sekejap. Tadi ada sorang lelaki ni, katanya sedang cari pekerja. Awak cuba telefon. Abang tak pasti sebagai apa. Ni kad nama dia. Tapi atas nama perempuan. Nanti call ya, mana tahu ada rezeki nanti." Huluran kad nama yang agak tebal dan timbul tulisannya bertukar tangan.

"Terima kasih ya. Terima kasih sangat-sangat. Harap adalah kerja yang sesuai untuk saya", Aina kelihatan girang menuju ke meja makan tempat Hana menunggunya.

"Lambatnya kau pergi bayar. Ke kau mengorat cik abang phua chu kang tu?" Hana kedengaran merajuk bunyinya.

"Bukan ngoratlah. Aku tanya ada kerja kosong tak kat sini. Abang tu kata tak ada. Tapi dia bagi aku kad nama ni. Katanya ada orang tinggalkan kad nama ni, sebab dia tengah cari pekerja. Kerja apa tak tahulah. Kejap lagi aku nak cuba call."

"Call je sekarang. Sementara masih awal ni." Hana pula yang excited.

Aina mengeluarkan telefon nokia 3310 miliknya. Berapa punya lama khazanah tu disimpannya. Zaman sekarang mana ada orang guna handphone jenis tu dah. Semuanya canggih-canggih. Ada kamera tu dah jadi sayu kewajipan. Aina pula tanpa segan silu masih menggunakan model lama. Kalau buat baling anjing memang melalaklah anjing tu, menyesal hingga ke hujung hayatnya.

Tit..tit.. punat telefon di dail. Hampir terbeliak anak mata Aina. Tadi dia hanya tengok seimbas lalu sahaja kad nama tersebut. Sekarang baru dia perasan. Dia sedang menelefon seorang datin! Datin Qalsum.

"Datin tu suruh aku datang jam 11 pagi ni. Tak payah bawak sijil. Tapi aku rasa baik bawakkan?" soal Aina sebaik sahaja talian dimatikan.

"Ok kejap lagi kita gerak. Kau bawak jelah sijil-sijil kau ni, dah alang-alangkan. Dia suruh kita jumpa dia kat mana?"

"Kat apartment dia je katanya. Sekejap aku tengok alamat yang aku salin tadi. Blok 3, Country Garden Danga Bay". Aina menggaru-garu kepalanya yang mula gatal tidak pasal-pasal.

"Kejap lagi kita tanya orang kat sini. Senang sikit kerja kita,"balas Hana acuh tak acuh. Dia sendiri pun kurang mahir kawasan sini.

"Bak sini alamat tu. Aku tanya kat pakcik sana tu ha.." Aina yang masih percaya tak percaya menyerahkan sahaja alamat datin tu. Dia bukannya apa, seumur hidupnya inilah kali pertama dia nak jumpa seseorang yang berpangkat datin. Entah macam manalah orangnya. Berlagak ke. Sombong ke. Kalau dengar dari suaranya yang lembut, rasa-rasa macam okay.

Aina menarik nafas panjang. Sekali-sekala mengelap peluh yang memercik di dahinya. Dia cuba berlagak tenang.

"Tadi cara kau cakap macam jauh je dari sini Hana. Ni tak sampai sekangkang kera, kita dah sampai? Nak buat apa kat sini? Tak nampak macam perumahan pun." Melilau mata si Aina. Mewah betul tempat ni. "Kenapa macam tempat percutian je?" Aina tak puas hati apabila Hana hanya mendiamkan diri. Langsung tak dijawabnya soalan yang bertalu-talu keluar dari mulut comelnya itu.

"Aku lagilah terkejut. Ni rumah ke tempat pelancongan? Agaknya datin ni datang sini untuk rehat-rehat je kot", barulah kedengaran suara Hana separa berbisik, dalam hati kagum.

Tidak sampai beberapa minit mereka berjalan, barulah mereka ternampak tulisan ' Country Garden Danga Bay 5 Star Living For You. "Betullah kot ni hotel aku rasa. Jom jalan ke depan sikit." Hana kelihatan tidak sabar untuk melihat lebih dekat apartment yang mereka cari. Skuter kesayangannya ditinggalkan ditempat parkir luar.

Akhirnya mereka ternampak beberapa bangunan berwarna silver yang bahagian luarnya berdinding kaca kebiruan. Mereka berjalan beberapa langkah ke pondok keselamatan yang terletak di hadapan tempat mereka berdiri.

"Uncle,bangunan ni Country Garden Danga Bay ke?" Aina mengajukan soalan pertamanya kepada pengawal keselamatan berbangsa cina itu.

"Ya, tadi sebelum you masuk sini, you tak nampak ada ditulis besar-besar?" Giliran pengawal itu pula menyoal mereka.

‘Pengawal pun dah berlagak cam gini. Aduh, macam manalah datin tu agaknya.’ Aina sudah mula gelisah.

"Saya nak pergi ke unit 21. Nak berjumpa Datin Qalsum. Katanya jumpa dia di sini." Hana menyampuk.

"Owh blok berapa?"

"Blok 3" jawab Aina dengan wajah yang mencuka.

"Mintak ic you all berdua. Nanti nak keluar, i kasi balik".

Tanpa berlengah, Aina dan Hana mengeluarkan kad pengenalan masing-masing dan diserahkan kepadanya. Pengawal berkenaan kelihatan sedang menulis sesuatu dibuku log yang panjang dan tebal.

"Ok, you all boleh naik. Bangunan tu kat situ je. Semua ada tulis di pintu lif. Tekan saje nanti butang yang ada kat situ".

Sesampai sahaja mereka di unit 21, Hana terus menekan loceng.

"Assalammualaikum puan, maaf mengganggu saya ingin berjumpa Datin Qalsum" jelas Hana dengan lancarnya. Dia bukannya apa, cuma perasaan yang melonjak-lonjak ingin tahu hiasan dalaman rumah tersebut bagaimana. Masa dalam perjalanan ke sini, memang mewah sungguh. Serba lengkap. Ada gym, kolam renang dan bermacam lagi kemudahanlah.

‘Kalau aku jadi pencuci kolam kat sini pun aku sanggup.’ Getus hati kecil Hana. Sungguh-sungguh dia begitu kagum dengan segala kemudahan yang ada di sini.

"Kamu berdua boleh masuk. Mana satu yang tengah mencari kerja ni?" Serius benar kelihatan wanita hujung 40an yang berada dihadapan mereka ini.

"Saya puan", Aina mengangkat wajahnya yang sejak tadi asyik menunduk.

"Okay, saya Datin Qalsum, yang kamu telefon tadi. Apa yang kamu bawa dalam fail tu? Sijil?"

"Ya datin".

"Berikan pada saya", diselak satu persatu-satu. "Not bad, jadi kamu belajar sampai SPM sahaja? Dan kamu ambil 10 subjek. Dua subjek lagi sebagai tambahan?" Datin Qalsum tertarik pada dua subjek tambahan yang Aina pilih. Tasawur Islam dan juga Syariah Islamiah. Kedua-duanya mendapat kepujian. Dia kagum, disekolah menengah biasa Aina berani mengambil risiko dengan menambah subjek Islamik yang memerlukan dia belajar sendiri.

"Ya, puan. Eh, maaf ya datin."

"Kamu suka budak-budak?"

"Suka", sambil dianggukkan kepala berkali-kali.

"Saya mencari pengasuh untuk anak bongsu saya. Jika kamu setuju, kamu adalah pengasuh yang ke 23. Kamu ada masalah dengan jawatan yang saya tawarkan ni?"

"Baiklah saya setuju datin." Jawab Aina sedikit girang, dihiasi dengan senyuman yang melebar hampir ke telinga selayaknya.

‘Tapi kenapa yang ke 23, kaya gila agaknya sampai 23 orang pengasuh datin ni. Entah-entah…’ Hana pula yang berasa pelik, dikerling sekejap wajah temannya itu yang masih tidak lekang senyum di bibir.

"Skop kerja, saya rasa kamu sendiri akan tahu. Kamu tak perlu memasak, sebab kita dah ada tukang masak sendiri". Serentak dengan itu seorang wanita dalam pertengahan 50an datang membawa sebotol besar jus oren Twister berserta teh o panas dan juga kuih ketayap berserta karipap.

"Jemput minum ya. Tak perlu segan dengan saya". Datin Qalsum mempelawa.

Set cawan yang dihidangkan ni pun tampak mahal. Sudah pasti berates harganya.

"Terima kasih datin". Hana dan Aina tanpa memikirkan apa-apa terus menikmati hidangan tersebut. Padahal mereka baru sahaja bersarapan tadi. Melihat meja makannya dan hiasan diatasnya pun, sudah membuatkan mereka berasa tidak mahu bangun dari situ. Mereka rela makan sebanyak yang mungkin, asalkan dapat menikmati pandangan semewah ini. Hana langsung terus lupa mengenai perkara yang bermain difikirannya tadi. Melihat keramahan Datin Qalsum, Hana mula percaya yang wanita itu pasti baik orangnya, tak nampak seperti ibu ayam pun.

"Tentang gaji, untuk pemulaan saya akan beri RM 1500. Kalau kamu perlukan tempat tinggal beritahu saya. Saya tidak mahu kamu lewat sampai ke sini. Jika berpanjangan kamu bersama saya, tempat tinggal saya boleh uruskan. Buat sementara ni, kalau kamu perlu tempat tinggal, kamu boleh duduk je kat sini. Mak Cik Piah pun ada boleh temankan.

"Baik datin. Buat masa ini, saya akan cuba untuk tepat pada waktunya. Sekarang ni pun saya tinggal bersama kawan saya Hana. Maaf saya nak tanya, gaji permulaan saya RM 1500 ya?" Soal Aina yang mahukan kepastian. Takut-takut jika dia tersalah dengar, lebih baik dia dapatkan pengesahan.

"Ya betul. Kenapa kamu rasa tak cukup? Jangan risau kamu confirm sahaja nanti, saya akan berikan satu surat pengesahan dan gaji kamu akan dinaikkan sebanyak RM 500 selama 6 bulan. Selepas itu akan mengikut pada budi bicara saya, suami saya serta anak sulong saya".

"Eh bukan-bukan datin. Sebab selama saya kerja di KL, gaji saya paling banyak saya dapat pun RM 1300, itu pun jika ada OT. Saya takut saya tersalah dengar, itu yang saya tanya lagi sekali tu. Maaf ya datin". Segan pula Aina apabila Datin Qalsum fikir yang gaji diberikan tak berbaloi untuk dirinya.

"Oo..macam tu. Jadi bila kamu boleh start?"

"Bila-bila masa sahaja, datin. InsyaAllah." Aina tak sabar-sabar nak mulakan kerja barunya. Di dalam hati tidak henti-henti mengucapkan syukur.

"Kalau macam tu, esok saya jumpa kamu di sini jam 10 pagi. Tapi esok sahaja ya 10 pagi, selepas tu, kamu akan bermula pada jam 8 pagi".

"Baik datin. Saya akan sampai awal esok."

"Ok, jemput makan. Lupa pula nak tanya, siapa nama kamu?"

"Saya Aina Batrisya Binti Muzaffar".

"Kawan kamu ni?"

"Nama saya Hana Qaisarah." Hana kelihatan sedikit segan dengan telahannya sendiri, meski pun tanpa pengetahuan sesiapa, dia tahu yang Dia mengetahui segalanya.

"Ok Aina, Qaisarah saya dah nak pergi ni. Lepas ni saya ada meeting. Kalau ada yang tak faham nanti boleh tanya pada Mak Cik Piah ya."

"Baik datin." Mereka berdua menyalami Datin Qalsum. Nampaknya Aina tersalah tafsir. Datin Qalsum nampak sangat ramah dan baik. Berbudi bahasa. Cantik dan bergaya pula tu. Senyuman diwajahnya yang dihiasi lesung pipit tidak pernah lekang. Alhamdulillah, aku dapat majikan yang baik sepertinya. Terima kasih ya Allah.

Sebaik sahaja mereka berdua habis bertanyakan itu dan ini kepada tukang masak Datin Qalsum, mereka juga meminta diri untuk pulang. Mak Cik Piah juga ramah dan mudah mesra.

“Kamu janganlah risau apa-apa ya Aina, dia orang ni semua baik-baik belaka.” Jelas Mak Cik Piah yang dari tadi memuji-muji majikannya.

“Insya Allah terima kasih ya, assalammuaalikum”. Mak Cik Piah menhantar mereka berdua hingga ke muka pintu.

Keluar sahaja dari bangunan mewah itu, Hana mengingatkan perjanjian yang telah dipersetujui oleh mereka bersama malam tadi.

“Dah jom! Kerja pun dah dapat, perut pun dah dua kali kenyang, sekarang jom kita tengok wayang.. yippie!”

“Dah macam pantun tak jadi je aku dengar”, Aina mengulum senyuman.

“Kau tak jadi-tak jadi jangan sebut, aku dah excited ni nak dating dengan Abang Aaron aku tu”, Hana menjeling tidak puas hati.

“La.. kau ni ke situ pulak melencongnya. Aku sebut pantun tak jadi, bukannya wayang tak jadi,” Aina menepuk perlahan belakang Hana.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku