Isteri Aku Nanny!
BAB 4
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 12 Oktober 2015
alhamdulillah.. Sudah diterbitkan..boleh dapatkan di MPH atau Popular dan juga ditoko-toko buku terpilih berhampiran anda :) terima kasih buat para pembaca..bab ini bukan versi penuh.. boleh dptkan buku dri penulis juga ya di fb ayu balqishah
Penilaian Purata:
(10 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
2681

Bacaan






BAB 4

Hari ini bermulalah episod baru dalam sejarah hidup Aina menjadi seorang pengasuh. Langsung tak termimpi, takdirnya adalah sebagai seorang pengasuh. Nak tergelak pun ada. Berapalah umur anak asuhannya tu. Aina tersenyum sendirian. Malam tadi Hana dah tunjuk arah jalan mana yang perlu dia lalui untuk sampai ke Country Garden Danga Bay. Harap-harap tidaklah tersesat nanti.

Aina teringat perbualannya bersama ibunya sebaik sahaja di melangkah keluar dari kediaman majikannya. Ibunya betul-betul gembira dengan berita yang baru didengar. Dan berkali-kali mengucap syukur.

"Ingat Aina, kamu jangan lupa solat. Jangan lewatkan solat. Macam mana penat sekali pun jangan kamu lupa, siapa yang memberi rezeki, siapa yang memberi jalan".

"Ya mak, Aina ingat. Mak jangan risau ya. Mak tolong doakan semoga Aina kekal dan cekal untuk teruskan apa yang Aina dah mulakan ni. Mak pun tahukan, Aina bukan orang yang pertama jadi pengasuh anak bongsu datin tu. Aina orang yang ke 23. Takut jugak Aina. Kenapa dengan 22 orang lagi tu."

"Aduh kau ni. Tak payah nak kusutkan kepala otak kau tu dengan dok fikir apa, kenapa. Kau tunggu je. Tengok je. Kalau rasa-rasa tak boleh terima atau lain macam dengan apa yang tak sepatutnya, kau cabut, tok sah tunggu".

"He..he mak ni. Ada macam tu pulak. Aina tengok Datin Qalsum tu macam baik je. Nampak muslimah gitu".

"Ha.. baguslah macam tu. Dah tak payah nak pikir yang bukan-bukan. Malam karang, kamu sediakan je apa yang patut kamu pakai, apa yang patut kamu bawak. Esok senang, tinggal capai aje."

"Ok mak. Mak jaga diri ya. Kirim salam sayang dan rindu kat ayah. Baru sekejap je kat sini, dah rasa macam setahun punya rindu. Sakitnya tuh di sini tau mak". Dia tergelak kecil.

"Yelah nanti mak sampaikan. Mak ayah pun rindukan kau. Kami malas nak ganggu. Kang kami call cakap kami rindu, kamu nak balik pulak nanti. Mak nak anak mak baik-baik saja kat sana. Temu jodoh yang baik. Kawan yang baik. Majikan yang baik. Ya nak.. Jangan lupa mak ayah sayang kamu sangat-sangat. Nanti ada masa kami datang ke sana lawat kamu. Lagi satu, kena sabar tau jaga bebudak ni. Jangan kamu pang-pangkan pulak. Cakap elok-elok. Layan baik-baik."

"Ya mak.. insyaAllah. Sayang mak, sayang ayah. Love u. Assalammualaikum". Aina menahan sebak di dada. Mahu pecah sahaja takungan air dimatanya. Namun dia tidak mahunya ibunya susah hati. Kalau ikutkan perasaan, Aina nak terbang pergi ke Kuala Lumpur. Rindunya seolah bagaikan hendak terpisah sahaja jasad dan nyawa. Sungguh-sungguh punya rindu. Aina faham pasti ibunya merasakan yang sama. Perlahan-lahan akhirnya, jatuh juga airmata yang ditahan sejak dari tadi. Hana yang hanya menjadi penonton turut merasakan apa yang dirasai Aina.

"Sudahlah tu Aina..nanti bila kau cuti nanti, aku pun cuti, aku ajak Taufiq pergi KL. Sekarang ni baik kau kesat airmata kau tu. Nanti orang ingat kau putus cinta pulak dengan anak dato' kat sini." Sempat lagi Hana mengusik teman baiknya itu.

**********

Aina tersentak dari lamunan, apabila tiba-tiba ada mesej yang menerjah masuk di telefon bimbit purbanya itu.

Kau dah siap belum? ~ Hana ~

Terkejut aku tetiba sms masuk. Dah aku dah siap. Tengah mengunyah roti gardenia. ~ Aina ~

Ok. Hati-hati. Apa-apa call je aku. Aku nak masuk keje balik ni. Aku pun baru lepas telan 2 biji telur dinosaur separuh masak. Ha ha ha ~ Hana ~

Erk. Kau ni ada-ada je. Aku dah masak makan tengahari. Tapi kau balik petangkan. Kalau aku lambat nanti kau tolong panaskan gulai daging dalam periuk tu ya. Dan tolong tanakkan nasi. Atau bahasa biasa masak nasi. Kekeke. Bye. Assalammuaalaikum. ~ Aina ~

Tq darling. Wslm. ~ Hana ~

Ada ke telur dinaosur katanya. Aina tertawa sendirian, sambil mengambil secawan milo panas. Mana tahu minum milo ni betul-betul boleh jadi sihat dan kuat.

Aina terus mencapai bag kecil yang terisi telekung dan beberapa barang peribadi miliknya. Lalu mengambil kunci skuter dan helmet pink yang diberi pinjam oleh Hana. Baginya biar awal asalkan jangan terlambat. Hari ni dia mengenakan seluar slack hitam berserta dress labuh paras peha warna ungu dan dipadankan juga tudung warna sedondon dengan dressnya. Wajah disolek tipis. Aina sangat beruntung, dia tidak perlu berhias lama di hadapan cermin. Dengan natural beauty yang sedia ada padanya, dia tidak perlu bermakeup tebal. Ditambah tahi lalat sebelah kanan betul-betul di bawah bibirnya, membuatkan senyumannya bertambah manis.

Ting Tong..

Daun pintu berwarna putih itu terbuka. Nampaknya Mak Cik Piah sudah sedia menanti kehadirannya.

"Masuklah nak.."

"Terima kasih Mak Cik Piah".

"Kamu duduk dulu kat situ. Makcik ambilkan air. Lepas tu nanti makcik tunjukkan kamu ruangan dalam rumah ni ya." Aina hanya menurut tanpa kata. Ditariknya perlahan kerusi di meja makan tersebut.

"Makcik, tak yah susah-susah, saya baru je sarapan sebelum datang sini tadi."

"Sekejap je nak. Lagipun kamu awal setengah jam ni. Kamu minum dulu. Lagipun jauh jugakan perjalanan kamu ke sini". Makcik Piah terus berlalu meninggalkan Aina keseorangan.

Aina hanya tersenyum. Aina tunduk melihat jam tangan murah miliknya. Dibeli dipasar malam. Tertulis jenama Guess. Tapi jiplak. Kalau nak dibandingkan dengan jam dinding di rumah majikannya ini, memang jauh bezanya. Aina mengesek-gesekkan tapak kakinya pada karpet yang mengalas tempat kakinya itu. Ya Allah lembutnya. Guna bulu kambing ke kucing ni. Sekali sekala Aina merenung ke arah karpet tersebut. Mahu sahaja di lekatkan tapak kakinya di situ. Selesanya bukan main.

Aina tak perasan yang Mak Cik Piah sedang merenungnya. Setelah berasa seperti diperhatikan, Aina berhenti dari terus-terusan merasai kelembutan karpet bercorak abstrak itu.

Makcik Piah mendekatinya dengan sekuntum senyuman, dibawanya segelas jus pink guava dan juga beberapa biji kuih ketayap. Kali ni warnanya biru muda. Sewaktu datang kelmarin berwarna hijau. Agaknya orang dalam rumah ni memang suka kuih ketayap. Nak nampakkan kelainan hanya tukarkan warnanya sahaja. Aina mencongak-congak di dalam hati.

"Apa lagi difikirkan tu, jemputlah makan. Anak sulong Datin Qalsum memang suka kuih ketayap ni. Kalau makcik tak buatkan, mau seminggu dia tak mahu bercakap dengan makcik." Makcik Piah seolah mengerti apa yang Aina fikirkan.

"Kamu ni, namanya Aina Qaisarahkan? Sedap nama. Sesuai dengan orangnya. Cantik." Makcik Piah memuji Aina. Mahu sahaja Aina menyorok di bawah meja makan yang diperbuat dari kaca ini. Makcik ni memuji dia atau si Hana sahabat baiknya itu.

"Nama saya Aina Batrisya. Qaisarah tu kawan saya," jawab Aina dengan wajah yang manis. Diambil sebiji kuih ketayap lalu dimasukkan ke dalam mulut. Mujurlah saiznya sebesar ibu jari tangan Aina. Jadi senanglah nak sumbat terus ke dalam mulutnya.

"Owh.. makcik tersalah sebut hujung nama ya. Jangan kamu fikirkan yang bukan-bukan pula, mak cik memang suka tengok kamu ni, manis je, tenang je wajah kamu tu. Makanlah lagi. Air tu minum. Elok minum air jambu merah ni. Sekejap lagi kita boleh buat sesi meronda."

Aina hanya menurut sahaja. Disuruh minum, Aina minum. Walaupun dia tak tahu pun apa eloknya minum air jambu tersebut. Disuruh makan dia makan. Nanti kecil hati pula makcik Piah ni. Sudahlah dia mahu kerja lama di situ. Jadi dia perlu menjaga setiap perasan yang ada di dalam rumah ini.

Aina dibawa melihat persekitaran di dalam rumah. Dari dapur hinggalah ke ruang bilik tidur. Kedengaran ada seseorang yang sedang mandi di salah satu bilik yang terdapat di situ. Aina terpesona dengan kecantikkan dan kemewahan yang ada di dalam kondo tersebut. Hampir keseluruhan perabot yang ada berwarna putih, dan juga ada yang digandingkan bersama merah atau pun hitam. Siap ada mini bar lagi.

Paling membuatkan Aina jakun adalah pada televisyen jenama Samsung. Bentuknya yang agak melengkung dan bersaiz 78 inci itu membuat Aina melekat lama di situ. Disentuhnya perlahan, umpama membelai seseorang yang dicintai, Aina begitu asyik. Dia membayangkan pasti best jika dia dapat menonton rancangan drama kegemarannya bersama Hana. Paling besar TV yang pernah dia tonton adalah di rumahnya di Kuala Lumpur, berjenama Samsung juga tetapi tidak lah melengkung, saiz pun hanyalah 32 inci.

"Ok dah, jom. Aina duduk dulu kat sofa sana tu. Makcik pergi panggilkan Adam." Aina sedikit terkejut mendengar suara Makcik Piah. Iyalah, bukan ke dia sedang berimaginasi menonton drama kegemaran.

"Siapalah agaknya Adam tu", sambil Aina meneruskan langkah kaki ke sofa.

"Huh!" Empuknya sofa sampai terasa nak tenggelam ke dalam. Kalau buat tempat tidur ni, seharian aku tak bangun. Aina mengomel di dalam hati.

"Dah lama sampai?" Tegur lelaki yang mungkin lewat 20an itu. Berkumis tipis dan ada janggut yang seciput menambah ketampanannya. Takkanlah pemuda di hadapannya sekarang yang perlu diasuhnya, mana mungkin.

Aina terpaku. Lelaki itu memandang tepat ke arah anak matanya. Menusuk hingga ke jantung. Aina lekas-lekas mengalihkan pandangan. Ketika itu, barulah dia terlihat ada kanak-kanak kecil di sebelah pemuda terbabit. Aina menghembuskan nafas kelegaan.

"Lama tak lama jugaklah dalam 1 jam yang lalu". Aina buat-buat tidak nampak pemuda yang berdiri dihadapannya. Dia serba salah. Nak bangun atau terus sahaja dengan kedudukannya sekarang. Aina menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal itu.

"Ok, so you nampaknya seorang yang tepat pada masanya. Jangan hari ni saje. Sebab saya tak suka yang melewat-lewatkan waktu atau pun bahasa mudah saya tak suka menunggu." Kata pemuda tersebut.

"Baik encik." Aina berdiri. Tak selesa rasanya dia duduk dan majikannya hanya berdiri.

"Tak apa, awak boleh duduk. Saya tak boleh lama. Lepas ni nak masuk ofis pula. Ni adik bongsu saya, Adam Qaulalhaq. Adam pergi salam kakak. Duduk diam-diam dengan dia. Jangan buli ok?"

Bukan main sedap lagi namanya. Aina hanya mengangguk faham.

"Ok saya pergi dulu. Anything you boleh beritahu Mak cik Piah dan makcik Piah akan beritahu saya. Anyway, nama saya Izhan Rayqal bin Dato' Aminuddin. Tak pe lain kali kita jumpa lagi. Jaga adik saya baik-baik".

"Baik Encik Rayqal. InsyaAllah. Assalammualaikum".

"Waalaikummussalam."

Aina merenung Adam yang duduk di sebelahnya. Kenapalah si Adam ni dok pegang whiteboard dengan marker pen. Macam pelik je.

"Adam dah makan?" Aina cuba mendekati kanak-kanak tersebut.

Adam hanya menggelengkan kepala.

"Mm Adam nak makan? Kakak suapkan."

Senyap.

"Adam tak sekolah ke hari ni?" Melihat Adam yang tampak seperti kanak-kanak yang berumur lingkungan 5 ke 6 tahun, membuatkan Aina ingin tahu kenapa dia tidak bersekolah. Jika dilihat pada apa yang terpampang di matanya sekarang, mana mungkin mereka tidak mampu menyekolahkan Adam. Pasti Adam dihantar ke private school.

"Adam tak sihat ya? Kita main lukis-lukis nak?"

Adam angguk perlahan. Aina melayan sahaja apa yang dilukis oleh Adam. Sekali sekala Adam memberikan marker pen pada Aina. Aina lukis apa sahaja yang terlintas di fikirannya.

Waktu sudah hampir Zohor. Aina meminta kebenaran Mak Cik Piah untuk solat. Aina solat di bilik Adam. Walaupun hanyalah kanak-kanak, bilik adam dah macam kamar beradu anak putera raja. Indah sungguh hiasan bilik tidurnya. Katil bersaiz queen. Beralaskan cadar bak sutera dengan warna turqoise. Di sebelah katilnya terdapat lampu tidur yang ringkas. Lengkap dengan bilik mandi dan paling syok ada bath tub! Habis dijelajah Aina bilik tidur si kecil itu.

Seusai solat, "Adam.. Adam.. " Aina memanggil Adam setelah melihat kanak-kanak itu tiada di dalam biliknya.

Adam berlari-lari anak dari ruang dapur menuju ke bilik tidurnya. Kelihatan Adam tidak lagi mengusung white board dan markerpen. Kali ini Adam membawa ipad! Aina tidak pernah menyentuh ipad. Kalau dikedai-kedai pameran adalah. Dia langsung tidak pandai menggunakan aplikasi di dalam ipad tersebut.

Adam cuba menunjukkan beberapa games yang ada di dalam ipadnya. Salah satunya game angry bird. Adam langsung tak bersuara. Dia hanya menunjukkan sahaja cara-cara untuk bermain game berkenaan.

Akhirnya mereka berdua terlelap di atas katil yang beralaskan tilam yang empuk itu. Ketebalannya mungkin mencapai 20 inci! Suhu bilik yang sejuk, membuatkan Aina tertidur dengan lena sekali. Begitu juga Adam. Adam tertidur di dalam pelukkan Aina.

"What are u doing here?" Terkejut Aina mendengar suara jerkahan tersebut.

"Maaf Encik Rayqal, saya langsung tak sedar bila masa saya terlelap. Tadi saya sempat melayan Adam main games di ipadnya. Entah bila kami tertidur saya langsung tak perasan." Aina cepat-cepat turun dari katil, malunya dia tertangkap ketika sedang tidur. Sudahlah hari pertama pulak tu.

Aina mengerling jam di tangan. Hampir pukul 4.30 petang. Asar belum lagi masuk. Dia tidak berani menatap wajah Rayqal.

"Kalau saya tak balik tadi, entah pukul berapa agaknya awak bangun!" Marah benar si Rayqal pada Aina. Sekali sekala dia merengus. Seperti mahu dibahamnya hidup-hidup gadis itu.

"Maaf encik, saya akan pastikan ianya takkan berulang lagi." Aina hanya tunduk memandang lantai. Dalam hatinya tidak berhenti berdoa agar dia tidak diberhentikan. Makcik Piah yang berada di belakang Izhan Rayqal hanya memandang sayu wajah Aina. Hendak dibantu dia sendiri serba salah.

"Adam dah mandi? Saya dah beritahu awal-awal dia perlu mandi sebelum jam 6 petang." Lelaki itu seperti sengaja mencari-cari kesalahan Aina.

"Sekarang baru jam 4.45 petang encik. Selepas saya selesai solat Asar nanti, saya bawa dia mandi".

"Pastikan air tak terlalu sejuk dan tak terlalu panas. Saya tak mahu apa-apa berlaku pada dia disebabkan awak. Kebiasaannya dia akan mandi jam 4 petang. Bukan selepas Asar atau pun pukul 4.30. Kami sangat menepati jadual. Jadi kalau awak nak kerja lama, sila ikut jadual yang saya dah tetapkan. Esok ambil timetable dan skop kerja awak. Saya tak mahu perkara ini berulang lagi".

"Tapi esok sabtu. Sabtu dan ahad saya cuti. Tapi kalau encik nak saya datang esok. Saya boleh datang insya Allah."

"Owh saya lupa. Kita jumpa semula Isnin nanti. Dah pergilah solat. Berdoa banyak-banyak supaya awak bukanlah orang ke 23 yang diberhentikan. Atau pun awak bukanlah orang yang berhenti dengan sendirinya sebab tak tahan. Lemah." Sinis sahaja bunyinya.

Aina tidak mahu menjawab. Dia terus mengambil wudhuk dan menunaikan solat Asar setelah pemuda bengis itu beredar dari bilik adik bongsunya.

Izhan Rayqal tidak tahu, bahawa Aina bukanlah seorang gadis yang mudah putus asa. Lebih-lebih lagi dia sudah tekad untuk mengubah hidupnya menjadi lebih baik.


Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku