Isteri Aku Nanny!
BAB 5
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 12 Oktober 2015
alhamdulillah.. Sudah diterbitkan..boleh dapatkan di MPH atau Popular dan juga ditoko-toko buku terpilih berhampiran anda :) terima kasih buat para pembaca..bab ini bukan versi penuh.. boleh dptkan buku dri penulis juga ya di fb ayu balqishah
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
2353

Bacaan






BAB 5

"Hah? Kau tertidur? Hari pertama kau dah tertidur? Habis tu macam mana? Kau diberhentikan ke?" Separuh terjerit Hana mendengar cerita dari teman baiknya tu.

"Mm.. kan aku dah cakap tadi aku tertidur. Bukan sengaja tidur. Kau ni, banyak betul soalan. Huhu. Janganlah risau sangat. Aku tak diberhentikan pun. Isnin ni aku kerjalah balik macam biasa. Nasib baik sabtu ahad ni cuti, bolehlah aku cuba buat-buat lupa apa yang dah jadi. Yelahkan biasa tidur berkipas. Ni bilik si Adam tu siap dah on awal-awal aircondnya, sejuk giler.. ntah bila aku terlelap pun aku tak sedar." Aina begitu teruja untuk bercerita tentang kemewahan majikannya itu.

"Hensem ke si Izhan Rayqal tu?" Soal Hana lagi sambil mata dan jarinya tertumpu pada telefon bimbit touch screennya. Apa lagi jika bukan berwhatsapp dengan insan kesayangannya si Taufiq. Dalam sibuk melayan si Taufiq, boleh lagi dia nak tahu kehenseman si Rayqal tu.

“Ai! Aku dok kalut citer pasal adik dia, tiba-tiba je kau boleh melencong ke lainkan?” Aina mencebik tidak puas hati.

“Alah, lagipun kan kau dah cerita, bilik adik dia tu sejuk, ada aircond, kita ni Cuma ada kipas je. Aku dah faham dah bab tu. Jadi apa salahnya kalau aku nak belajar bab lain pulak,” Hana tersengih buat-buat tidak tahu dengan riak wajah yang ditunjukkan Aina.

“Bolehlah. Biasa-biasa je." Sengaja Aina memberi jawapan yang tidak sepatutnya. Padahalnya anak majikannya itu jauh lebih hensem berganda-ganda berbanding si Aaron Aziz pujaan si Hana tu. Dah la muka ala-ala wara' gitu, hitam manis, dada bidang, tinggi lampai, dan paling manis ada lesung pipit sebelah kiri! Argh... ini baru Mr. Perfect 10!11!12!...

"Kau ni asal aku tanya je, bolehlah-bolehlah. Kau ingat lagu Mas Idayu ke apa, bolehlah boleh datang ke rumahku.. " sejurus kemudian Hana lantas berdiri buat gelek seakan penyanyi dangdut no. 1 negara itu. Dah macam Dato' M. Daud Kilau pun ada.

"Wei! Tak yahlah sampai joget. Kalau Taufiq tengok mahu macam lipas kudung dia lari tengok kau, tau tak?" Aina menekup wajahnya dengan bantal menahan gelak.

“Alah.. setakat lipas kudung, aku hempuk terus penyek,” selamba sahaja jawapan diberi Hana. Membuat mereka berdua melepas gelak yang hampir pecah panggung.

“Aku bagi tahu Taufiq yang kau nak hempuk dia,” ujar Aina tiba-tiba dengan mula lagak serius.

Hana hanya merenung sambil meniru aksi kening penyanyi dan pelakon Ziana Zain.

“Cuba kau tenung muka aku ni elok-elok, dengan kening Ziana Zain aku, shape ala-ala Beyonce yang aku miliki, aku takkan teragak-agak mengatakan..” sengaja Hana mematikan ayatnya di situ.

“Kau nak kata apa?’ Aina menjelirkan lidahnya.

“Ada aku kisah?” jawab Hana spontan bersama senyuman lagak bangga.

“Huh! Tau lah dia tergila-gilakan kau, sebab tu kau berani cakap gitu,” Aina menjeling tajam pada si Hana.

"Yelah..yelah.. so esok apa plan? Aku shift malam. Boleh la aku teman kau kalau nak pergi mana-mana. Mana tahu nak beli baju baru ke, nak ngadap anak majikan yang bolehlah tu, KAN..?... sengaja Hana menekan perkataan kan tu.

"Tengoklah aku ingat nak duk rumah je. Rehatkan badan. Kau pun, sejak aku kat sini, asal cuti je ajak berjalan. Taufiq tak tanya apa-apa ke? Kau jangan sebab aku ada, kau tak nak keluar dengan dia pulak. Aku no hal. Asal kau pandai jaga diri, aku okay je." Aina merenung ke luar tingkap bilik mereka. Di celahan-celahan susunan tingkap kaca itu, Aina masih boleh melihat keindahan alam yang terbentang luas. ‘Terangnya bulan malam ni’.

"Dia okay je. Dia faham. Lagipun dia sendiri pun sibuk. Dah jumpa time dia ambil dan bawa aku balik kerja tu pun dah untung sangat dah. Kitaorang kalau dating sekali pun, sebulan sekali je kot. Jaranglah nak keluar setiap minggu, kecuali kalau dia betul-betul cuti, tak ada apa nak buat barulah kitaorang keluar sehari suntuk. Ni dia ada rancang nak bawak kita pergi Lego Land, tapi kena tunggulah kita bertiga cuti serentak". Anak mata Hana kembali tertancap ke skrin telefon bimbitnya.

"Ok jugak tu. Tapi tunggulah aku dapat gaji dulu. Kalau pergi tak de duit kat tangan, tak syoklah." Aina kembali mendapatkan tempat tidurnya. Baring sambil merenung ke jendela, tangan kananya diletakkan di atas dahi. Apa lagi agaknya yang bermain di kotak fikirannya.

Hana senyap. Rupanya dia sudah terlebih dahulu sampai ke Lego Land menerusi alam yang satu lagi. Alam mimpi!

Aina masih tidak dapat melelapkan matanya. Dia sendiri berasa pelik. Selalunya pantang sahaja disorong bantal, sepantas itu dia pasti terlelap. 'Apasal aku terbayang wajah dia je ni. Dah la tampak bengis bila marahkan orang. Sekejap baik sekejap garang macam singa. Tapi aduh.. mata dia tu. Anak mata hitam dia tu yang buat aku gila bayang. Bulat, dan besar. Hitam pekat pulak tu! Ya Allah apa yang aku merepek ni. Sampai ke mata dia aku dok telek. Astarafirullahhalazim..' Aina sedaya mungkin menepis apa yang dibayangkannya sebentar tadi.

‘Aku datang sini nak kerja. Nak ubah penampilan aku yang biasa-biasa ni. Bukan nak jadi kaya, cuma aku rasa aku ni terlalu kolot kot? Ke aku je yang rasa macam tu? Hana tak cakap apa-apa pun. Dia cuma tegur pasal henpon aku ni je. Aku elok je kat mata dia. Kata dialah. Tak tahu pulak kalau hati dia kata lainkan. Satu hari nanti aku nak tanya dia. Mana tau kot-kot dia ada jalan nak bantu aku berubah'. Aina membulatkan tekad.

**********

Kelihatan Datin Qalsum sedang sibuk menaip sesuatu di MacBook miliknya. Sekejap-sekejap dipegangnya helaian kertas di dalam fail yang sedia tebal itu, sekejap-sekejap dia meneruskan menaip. Mini pejabat inilah yang menjadi saksi anak beranak ini bertungkus-lumus mengekalkan apa yang dimiliki mereka sekarang. Mereka mempunyai beberapa buah rumah di sekitar Malaysia, namun Datin Qalsum lebih selesa tinggal di sini buat sementara waktu menemani anak sulongnya yang masih mentah di dalam selok belok perniagaan. Sesekali sahaja Datin Qalsum akan masuk ke pejabat. Lagi pula dia risau untuk meninggalkan anak bongsunya.

Suaminya Dato' Aminuddin anak Tan Sri Mokhtar pemilik syarikat Jentayu Group Corporation Sdn Bhd. Dia adalah diantara Melayu pertama yang terkaya dengan sumber kekayaan terbesarnya adalah dari kelapa sawit dan juga hartanah. Oleh itu Dato' Aminuddin jarang berada di rumah, kebanyakkan masanya habis berada di luar sama ada di dalam negara mahupun luar negara.

"Mama, Iz rasa budak perempuan tu bukan nak kerja sangat pun. Cuma nak ambil kesempatan. Iz tak suka dialah Ma. Kita cuma minta dia jadi pengasuh, bukannya jadi bibik dalam rumah ni. Kalau bibik, Iz bolehlah pertimbangkan dia mungkin penat seharian buat kerja dalam rumah ni." Izhan Rayqal masih tidak berpuas hati atas apa yang dilihatnya semalam.

"Iz.. dia baru je sehari kerja dengan kita. Apa salah kita bagi dia ruang dan peluang. Mana tahu, dia boleh jadi lebih baik dari kita yang mengasuh si Adam tu. Kita tak boleh terus hukum seseorang tu hanya kerana 1 kesalahan yang remeh. Nanti Isnin ni dia masuk kerja semulakan?" Soal Datin Qalsum. Di hatinya agak risau juga, jika tiba-tiba anak sulongnya ni, memberhentikan budak baru tu tanpa pengetahuannya.

"Ya,ma.". Izhan Raqhal masih berdiri membelakangi ibunya, dia hanya menjadi pemerhati.

"Kalau macam tu, we'll tell her what to do as a pengasuh, a babysitter. In a month afterwards if she's still obstinate, we'll take charge on her".

"Baiklah mama sayang, hope lepas ni dia takkan ulang lagi apa yang dia dah buat. Iz ikut je kata mama," sambil dirangkulnya leher Datin Qalsum dengan penuh kasih sayang.

"Okay, that's my boy".

**********

Sabtu sudah pun berlalu. Bermakna hari ini, adalah hari Ahad. Jam bulat di dinding ditenungnya lama. Bukan sawang-sawang yang melekat pada jam dinding tu yang menjadi masalah. Tentang itu lagi seminggu nak raya barulah boleh dia fikirkan. Sekarang dia asyik ke hulu ke hilir tanpa arah, duduk lepas tu berdiri semula. Dari dalam bilik membawa ke dapur, dari dapur pergi ke ruang tamu. Hatinya tidak begitu damai seperti semalamnya. Andailah seisi rumah ini mampu berkata-kata, tentu sekali mereka menyuruh Aina berhenti, duduk saja diam-diam.

‘Aduh, macam mana ni. Esok mesti datin tanya, kenapa aku boleh tertidur di bilik anak bongsunya tu. Apa aku nak jawab? Takkan nak cakap aku tertidur sebab bilik tu sejuk, tak macam bilik aku. Atau takkan aku nak kelentong yang Adam paksa aku tidur sampai nangis-nangis, bentak-bentak kaki tidur dengan dia? Tak logik betul!’

Akhirnya Aina mendapatkan almari bajunya diperbuat dari kain berwarna merah, berbunga putih. Dibelinya masa membeli barang dapur di Tesco bersama Hana dan Taufiq. Dibuka zip perlahan, diselak helaian demi helaian baju-baju yang bergantungan. 'Mm.. nak tak nak aku kena pergi jugak esok. Baik standby sekarang. Apasallah jantung ni, dari tadi dok berdegup laju. Nak sakit jantung ke apa aku ni?'

"Assalammualaikum! Oo.. Assalammualaikum!" Terperanjat Aina dibuatnya dengan suara lantang si Hana.

"Waalaikummussalam.. ya.. ya, aku datang ni. Kau tak bawak kunci geril ke?"

"Tak bawak, tadi aku kelam kabut sikit. Aku cari pin tudung aku hilang ke mana ntah. Ni aku bedal kau punya. Sorry tak bagitau."

"Ooo.. tak pe, aku banyak lagi pin tudung. Memang aku beli sekali banyak. Biasalah kita perempuan ni. Mana nak cukup 5 bijik pin, jap-jap kang hilang. Lupa mana letak".

Hana terus ke dapur mendapatkan segelas air kosong di peti sejuk.

"Aku tak masak hari ni. Mood nak masak tu tak de. Kosong je aku rasa dalam kepala ni. Sekarang dah okay sikit, bila tengok kau dah balik ni. Aku solat Asar jap. Lepas tu aku masakkan makan malam. Ayam pun aku dah keluarkan tu".

"La.. kau baru nak solat ke?" Soal Hana kehairanan. Selalunya bila azan sahaja, Aina tidak akan menunggu lama, dia akan terus mengambil wudhuk, berteleku di sejadah sampai habis azan. Tak de tunggu-tunggu dah terus je solat. Hana mengerling jam di dinding, dah pukul 6.15.

"Dah-dah, baik cepat selalunya kau tak macam ni." Sambung Hana lagi.

Tanpa berlengah Aina terus berlalu, diam seribu bahasa. Dihatinya sangat menyesal, kerana perkara dunia dia telah melewatkan sesuatu yang lebih penting untuknya di akhirat kelak.'Ampunkan aku ya Rabb'.

Malam itu, mereka berdua hanya makan malam di rumah, berlaukkan Asam Pedas Ayam. Berkali-kali Hana mendapatkan kepastian dari Aina. Risau jika teman baiknya itu benar-benar terganggu dengan masalah di rumah majikannya. Memasak memerlukan tumpuan, jika terganggu asamnya ke mana, pedas ke mana, cari ayam tak jumpa. Walaubagaimana pun, Aina tetap menyakinkan Hana, bahawa fikirannya kini sudah pun kembali tenang.

"Dah-dah jangan nak termenung sana-sini. Jom tidur. Esok dah start masuk jam 8 pagikan?" Soal Hana.

"Mana ada aku termenung. Aku tengah ambik feel nak tidur la ni".

"Yelah tu." Hana menjuihkan sedikit bibirnya sebagai tanda tidak percaya.

Tiba-tiba Hana terdengar dengkuran yang datangnya dari Aina.

" Biar betik, takkanlah cepat sangat lelapnya siap irama lagi", Hana bangun perlahan mendekati Aina. Digeleteknya pinggang Aina. Aina cuba bertahan daripada tergelak, dikalihnya sedikit tubuhnya dengan memeluk bantal panjangnya.

' Mmm betul punyalah tidurlah ni', Hana berbisik sendirian dan kembali ke tempat tidurnya. Dia terlupa sesuatu, lalu bangun semula dan menekan suis lampu. 'Pap', serentak dengan itu bilik mereka gelap serta merta.

Ketika Hana sedang cuba melelapkan matanya. Dia terdengar desahan nafas yang teramat dekat dengan cuping telinganya. Terasa suam-suam panas! Hana menelan air liur, hendak bersuara seolah tersekat di kerongkong.

"Jahat kau kan, aku dah ada feel nak tidur, mimpi baru nak mula, kau datang geletek aku kan." Aina bersuara.

Hampir gugur jantung Hana. Serasa mahu hilang nyawa dari badan. 'Tak tidur lagi rupanya minah ni'.

"Ampunkan kami penunggu bilik, ampunkan kami penunggu bilik", serentak dengan itu deraian ketawa dari mereka memecah kesunyian malam yang masih awal lagi buat anak kota seperti mereka.

Aina berdiri untuk kembali menyambung tidur. " Tu dari cerita yang mana erk?".

"Takkan kau tak ingat, berkali-kali kita tengok, dalam Nujum Pak Belalang, babak masa badan dengan nyawa dalam gua". Mereka masih belum dilahirkan ketika filem seniman agung itu dimainkan di layar perak. Tetapi sehingga kini, filem arahan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee itu masih lagi dimainkan di stesen-stesen TV pada zaman yang serba moden ini. Sehinggakan boleh dihafal setiap rangkap skripnya oleh muda-mudi pada zaman sekarang. Inilah baru dikatakan, tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

"Owh.. ingat-ingat. Dahla jomlah tidur. Dah berapa kali aku asyik menguap je ni. Sampai mengalir air mata", adu Aina.

"Jom-jom, aku pun besok shift pagi. Selamat malam."

"Selamat malam. Assalammualaikum".

"Waalaikummussalam".

‘Harap-harap esok mamat tu tak marahkan aku lagi, aku perlu cipta sejarah aku sendiri sebagai seorang pengasuh yang berjaya!’ Aina mengusap wajahnya bersama harapan yang baharu.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku